Wednesday, January 19, 2011

RG09... Pembuangan Bayi

 

 
Pembuangan Bayi
 
selatanonline
 
 
PENGENALAN
 
Malaysia dengan bangganya menuju ke alaf baru yang berorientasikan sains dan teknologi. Namun, terdapat perkara yang masih belum seiring bergerak dengan kemajuan yang dikecapi. Perkembangan sosial di negara ini makin parah khususnya masalah pembuangan bayi. Saban hari, terdapat pelbagai laporan bayi yang dibuang dan dijumpai di dalam tandas, tepi longkang, stesen bas, tepi sungai, pembuangan sampah dan sebagainya.

Sikap perikemanusiaan sudah makin pudar dalam diri seseorang individu. Meskipun pelbagai langkah dilakukan untuk membanteras gejala ini tetapi ia tetap berleluasa dikalangan masyarakat pada masa kini.
 
- FAKTOR – FAKTOR YANG MENYEBABKAN MASALAH PEMBUANGAN BAYI -
 
Fenomena pembuangan bayi ini pada masa kini sudah menjadi kebiasaan dan amat membimbangkan. Kisah pembuangan bayi menjadi bualan hangat masyarakat, setiap hari kisah pembuangan bayi terpapar dalam media cetak mahupun media elektronik. Keadaan ini sebenarnya sukar diterima oleh dek akal manusia yang sempurna. Lebih menyedihkan lagi, angka pembuangan bayi yang tinggi dikaitkan dengan masyarakat Melayu.

Perbelanjaan yang tinggi untuk sesuatu perkahwinan juga menjadi faktor masalah pembuangan bayi di negara ini. Budaya masyarakat Melayu, umpamanya yang melibatkan hantaran, persiapan perkahwinan, membuatkan orang merasakan untuk mendirikan rumah tangga itu amat menyusahkan. Seseorang lelaki itu perlu melangkapkan diri dari segala aspek sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Justeru itu, bagi anak muda yang terlalu ghairah tidak dapat mengawal nafsu shahwatnya terpesong dengan melakukan zina serta menghasilkan anak luar nikah.

Antara faktor utama berlakunya masalah pembuangan bayi ialah kurangnya kefahaman agama dikalangan masyarakat secara menyeluruh. Tidak dapat dinafikan bahawa kesedaran agama dan semangat beragama akhir-akhir ini begitu menonjol tetapi ia begitu tidak menyeluruh, hanya terbatas pada golongan tertentu sahaja sedangkan golongan muda terutama belia, umumnya masing-masing menjauhkan diri daripada mendalami agama. Apabila didikan agama tidak ada, dirangsang pula dengan gambar-gambar lucah dan mengghairahkan yang mudah didapati dalam media elektronik dan media cetak dengan sendirinya anak muda itu akan mudah terjebak dalam melakukan gejala tidak sihat ini.

Kebebasan remaja untuk melakukan sesuatu perkara dan tidak ada pengawasan daripada ibu bapa turut menyebabkan masalah ini berlaku. Pengaruh rakan sebaya, kes ponteng sekolah, kes lepak, pengagihan dadah, minum minuman keras dan lain-lain menyebabkan mereka terjebak melakukannya . Mereka bebas untuk melakukan apa saja yang disukai tanpa ada halangan. Jesteru itu, setiap ibubapa tidak boleh meletakan kepercayaan sepenuhnya kepada anak-anak kerana mereka tidak dapat berfikir sepenuhnya kesan yang akan dihadapi melainkan perasaan yang membuak-buak untuk mencuba sesuatu yang baru.

Pengabaian dalam memberi kasih sayang adalah salah satu jenis penderaan yang meninggalkan kesan mendalam banyak berlaku dalam masyarakat. Ibubapa harus sedar dan meluangkan waktu bersama anak-anak. Walau sesibuk mana sekalipun, mereka harus memperuntukkan waktu bersama anak- anak. Setiap anak-anak perlu mendapatkan kasih sayang yang lebih dari ibubapa mereka. Hal ini kerana, ibubapalah tempat untuk mereka berkongsi cerita gembira atau sedih, meluahkan hasrat hati dan berbincang tentang sesuatu masalah yang dihadapi.

Keruntuhan institusi keluarga islam juga menjadi faktor berlakunya masalah pembuangan bayi. Pensyarah di Akademik Islam, Universiti Malaya, Prof, Madya Hashim Yahya, beliau tidak menafikan gejala sosial yang kedengaran hari ini adalah antara tanda-tanda yang menunjukkan masyarakat Islam sudah mula tidak mengambil berat tentang betapa pentingnya institusi keluarga.Umat Islam mungkin pada saat ini sibuk dengan pembangunan, mengejar kebendaan hingga mereka lupa akan tanggungjawab sebenar dalam membina satu keluarga yang bahagia. Remaja yang kurang kasih sayang ini akan cuba mencari orang lain dan akhirnya terjebak dengan masalah ini.

Faktor terakhir yang menyebabkan berlaku masalah pembuangan bayi ini ialah faktor masyarakat. Sesetenggah masyarakat memandang serong terhadap orang yang melakukan dosa seperti zina, pembuangan anak, dan sebagainya. Mereka yang terjerumus didalam kancah ini menganggap diri mereka sukar untuk diterima oleh ahli masyarakat tambahan lagi sering dihina, dicaci, diejek dan sebagainya. Seperti ayat perumpamaan, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pengkal lengan. Kerana itulah wujudnya kes pembuangan bayi dikalangan orang Islam sendiri. Ini kerana orang yang telah melakukan kejahatan, walaupun menyesal tetapi tidak berani untuk mendekati orang di masjid untuk meminta pertolongan.


- KESAN-KESAN PEMBUANGAN BAYI TERHADAP BAYI, IBU @ PESALAH, KELUARGA, MASYARAKAT DAN NEGARA -
 
Pembuangan bayi dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberi kesan dan impak yang begitu besar dalam masyarakat. Remaja merupakan aset utama Negara pada masa akan datang, memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan sesebuah negara. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka.
Kesan –kesan pembuangan bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan kepada bayi, ibu yang melahirkan, keluarga remaja perempuan yang terlibat dalam pembuangan bayi, kesan kepada masyarakat dan juga negara itu sendiri.

Bayi merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai kepada pasangan suami isteri tetapi bayi juga menjadi bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak bersedia memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah iaitu usia remaja. Akibat daripada itu, tiada sifat perikemanusiaan bayi telah menjadi mangsa dan kesannya mereka hidup tanpa mengenal ibu bapa kandung. Mereka juga mungkin terpaksa memikul gelaran anak luar nikah walaupun mereka tidak berdosa. Dari kecil dilahirkan tidak tahu asal usul dan apabila besar diberi gelaran anak luar nikah, tidak dapat membayangkan perasaan yang perlu dipikul oleh mereka.

Lebih menyedihkan lagi, bayi-bayi ini mati akibat daripada perbuatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mempunyai hati nurani, bayi-bayi ini dibuang di tempat yang tidak sepatutnya diduduki oleh bayi yang masih lemah dan kecil, misalnya dibuang di pembentung, dalam tandas, rumah kosong, sungai, longkang, tong sampah, rumah ibadat dan sehinggakan menjadi makanan binatang buas. Selain itu, tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, balai polis, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan dan sebagainya.

Kesempitan hidup wanita yang hamil anak luar nikah ini biasanya dihantui perasaan takut dan malu serta kemungkinan disisihkan oleh keluarga dan kawan-kawan. Ekoran daripada itu, kesusahan hidup yang terpaksa dilalui menyebabkan mereka mengambil jalan yang salah. Terdapat sindiket yang mengambil kesempatan untuk memperdagangkan bayi-bayi itu dengan tujuan bagi mendapatkan pulangan keuntungan yang lumayan. Mereka sanggup untuk menjual bayi tersebut hanya kerana untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi.

Kesan yang kedua adalah kesan kepada ibu bayi berkenaan atau pesalah. Dari sudut perubatan, kesan yang akan dihadapi ialah pesalah akan mengalami jangkitan kuman, kecederaan sewaktu bersalin dan juga kehilangan darah kerana tidak berada dalam jagaan yang sebenar. Majoritinya mereka melahirkan bayi itu sendiri tanpa pertolongan pihak hospital mahupun orang lain.

Selain itu, kesan dari segi psikologi dan sosial dimana pesalah akan mengalami kemurungan, hilang keyakinan diri, rasa bersalah dan resah serta masalah emosi. Hal ini adalah akibat daripada perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi undang-undang, agama dan negara.

Perbuatan tersebut turut memberi kesan ke atas keruntuhan institusi kekeluargaan dimana wujudnya ketidakharmonian dalam kekeluargaan. Hal ini disebabkan, ibu bapa berasa malu kerana mempunyai anak sebegitu. Bahkan, keluarga tersebut pastinya akan diperkatakan oleh jiran sekeliling menyebabkan mereka malu untuk bergaul dengan orang ramai. Kemungkinan juga akan wujud penceraian kerana ibu menyalahkan bapa, bapa menyalahkan ibu tersebut kerana tidak pandai memelihara anak-anak sehingga menconteng arang di muka mereka. Oleh itu, masa depan anak- anak akan terbiar dan tidak terpelihara sekiranya ibu bapa bercerai.

Tidak dapat dinafikan juga, pembuangan bayi akan memberikan kesan yang sangat besar kepada negara. Jatuh dan bangun sesebuah negara dan masyarakat itu bergantung kepada akhlak remaja atau generasi pada waktu sekarang. Antara kesan yang akan berlaku ialah pembangunan Negara akan terbantut dan keadaan ekonomi Negara juga sukar berkembang kerana wujud gejala sosial ini. Selain itu, perbelanjaan kerajaan akan turut meningkat untuk menampung bayi yang akan diletakkan di rumah kebajikan masyarakat.

 


- LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGATASI MASALAH PEMBUANGAN BAYI -

Perbuatan membuang bayi di merata tempat dan menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan.Malah haiwan lebih baik kerana mengasihani dan memelihara anak serta sanggup mati demi keselamatan anak-anak . Inilah kesannya apabila rohani seseorang tidak diisi dengan ajaran agama sepenuhnya.

Langkah yang lebih berkesan perlu diambil oleh semua pihak untuk membendung gejala sosial itu agar tidak ada kelahiran anak-anak luar nikah yang terbiar dan tidak mendapat kasih sayang yang sewajarnya. Justeru, semua pihak di negara ini harus sama-sama memainkan peranan dalam menangani kemelut ini dengan mengambil langkah-langkah berikut iaitu institusi keluarga perlulah diperkukuhkan dengan berlandaskan "konsep rumahku syurgaku".

Program-program dakwah perlulah dipertingkatkan dan digerakkan secara bersepadu. Ketiga, pihak yang bertanggungjawab perlulah membanteras pengedaran bahan-bahan lucah daripada tatapan anggota masyarakat terutama golongan remaja. Usaha pencegahan perlu bermula dari dalam diri anak-anak remaja agar mereka mampu bertindak bijak menjauhi zina selain bimbingan agama diterapkan untuk dijadikan sebagai perisai diri.

Seterusnya, program-program hiburan melampau yang merosakkan akhlak perlulah dihentikan dan ibu bapa perlulah mengawal pergerakkan anak-anak daripada terlibat dengan pergaulan bebas. Usaha-usaha pencegahan kegiatan tidak bermoral ini perlulah dipertingkatkan oleh semua pihak. Semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menyelamatkan anak bangsa daripada terus hanyut dibuai mimpi.

Akhir sekali, bagi mereka yang sudah terlanjur hendaklah segera bertaubat dan menjauhi segala perbuatan terkutuk tersebut. Janganlah membunuh bayi, berilah mereka peluang untuk hidup di muka bumi ini. Semoga Allah s.w.t menerima taubat hamba-hambanya. Selain itu, anak-anak remaja yang hamil luar nikah mesti dibantu bagi menjalani pemulihan yang bukan sahaja menyediakan bantuan menjaga ketika mereka hamil tetapi yang paling utama ialah membina kekuatan dalaman serta rohaniah. Bersamalah kita berpadu tenaga untuk mengurangkan gejala yang begitu parah pada masa kini. wassalam
 
- KESIMPULAN -

Kesimpulannya, setiap warga masyarakat tanpa mengira kaum haruslah bersatu padu menggembleng tenaga mencegah dan membanteras supaya penyakit sosial ini supaya tidak menular dengan lebih serius lagi. Pihak atasan seperti badan-badan kerajaan dan bukan kerajan (NGO) juga perlu lebih peka dan menganjurkan pelbagai ceramah atau motivasi kepada remaja supaya mereka mendapat lebih informasi tentang gejala ini dan sedar akan kesan daripada perbuatan tidak bermoral itu.

Dengan usaha-usaha yang dilakukan secara bersama dan menyeluruh ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah ini daripada terus menjadi satu penyakit berbahaya di negara tercinta ini. Tiada siapa patut menuding jari pada pihak yang lain, kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat.

Disediakan Oleh : Nurul Aida Bt Nasron
Posted by aya
 

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"



Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment