Thursday, August 23, 2012

Re: RG2011... Siapa yang kafir harbi tu?

 

Surah As-Saaffat
Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik. (40) Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum. (41) Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan. (42) Di dalam Syurga-syurga yang penuh melimpah dengan berjenis-jenis nikmat. (43) Mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin-pelamin kebesaran. (44) Diedarkan kepada mereka piala yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. (45) Minuman itu putih bersih, lagi lazat rasanya, bagi orang-orang yang meminumnya. (46) Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya. (47) Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya. (48) (Putih kekuning-kuningan) seolah-olah mereka telur (Burung Kasawari) yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. (49) (Tinggallah penduduk Syurga itu menikmati kesenangan), lalu setengahnya mengadap yang lain, sambil berbincang dan bertanya-tanyaan. (50) Seorang di antaranya berkata: Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku). (51) katanya: Adakah engkau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat)? (52) Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan? (53) (Setelah menceritakan perihal rakannya itu) dia berkata lagi: Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)? (54) Maka dia pun memandang (ke arah Neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah Neraka yang menjulang-julang. (55) Dia pun (menempelaknya dengan) berkata: Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan. (56) Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayat petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab). (57) (Kemudian dia berkata kepada rakan-rakanya yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama): Bukankah kita (setelah mendapat nikmat-nikmat ini) tidak akan mati lagi. (58) Selain dari kematian kita yang dahulu dan kita juga tidak akan terkena seksa? (59) Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan Syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar. (60) Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia). (61) Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum? (62) Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat). (63) Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar Neraka yang marak menjulang. (64) Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan. (65) Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya. (66) Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi (selain itu) satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak. (67) Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam Neraka yang menjulang-julang. (68) Sebenarnya mereka telah mendapati datuk nenek mereka berada dalam kesesatan. (69) Lalu mereka terburu-buru menurut jejak langkah datuk neneknya. (70) Dan demi sesungguhnya, telah sesat juga sebelum kaummu (wahai Muhammad) kebanyakan kaum-kaum yang telah lalu. (71) Pada hal, demi sesungguhnya, Kami telahpun mengutus dalam kalangan kaum-kaum itu, Rasul-rasul pemberi amaran. (72) Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan Rasul-rasul Kami) setelah diberi amaran. (73) Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan). (74) Dan demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada Kami (memohon pertolongan), maka Kami adalah sebaik-baik yang kabulkan doa permohonan. (75) Dan Kami telah selamatkan dia bersama-sama dengan keluarga dan pengikut-pengikutnya, dari kesusahan yang besar. (76) Dan Kami jadikan zuriat keturunannya sahaja orang-orang yang tinggal hidup (setelah Kami binasakan kaumnya yang ingkar). (77) Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. (78) Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam! (79) Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik. (80) Sesungguhnya Nabi Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. (81) Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mendustakannya). (82) Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim. (83) Ketika dia mematuhi perintah Tuhannya dengan hati yang suci murni. (84) Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Apa yang kamu sembah? (85) Patutkah kamu menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah, kerana kamu memutar belitkan kebenaran semata-mata (bukan kerana benarnya)? (86) Maka bagaimana fikiran kamu pula terhadap Allah Tuhan sekalian alam? (87) Kemudian dia memandang dengan satu renungan kepada bintang-bintang (yang bertaburan di langit). (88) Lalu berkata: Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama). (89) Setelah (mendengar kata-katanya) itu, mereka berpaling meninggalkan dia. (90) Lalu dia pergi kepada berhala-berhala mereka secara bersembunyi, serta dia bertanya (kepada berhala-berhala itu, secara mengejek-ejek): Mengapa kamu tidak makan? (91) Mengapa kamu tidak menjawab? (92) Lalu dia memukul berhala-berhala itu dengan tangan kanannya (sehingga pecah berketul-ketul). (93) (Setelah kaumnya mengetahui hal itu) maka datanglah mereka beramai-ramai kepadanya. (94) (Bagi menjawab bantahan mereka), dia berkata: Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat? (95) Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu! (96) (Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu. (97) Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya). (98) Dan Nabi Ibrahim pula berkata: Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Dia akan memimpinku (ke jalan yang benar). (99) Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh! (100) Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar. (101) Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar. (102) Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami). (103) Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! (104) Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. (105) Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. (106) Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. (107) Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. (108) Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!. (109) Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. (110) Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. (111) Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh. (112) Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri. (113) Dan demi sesungguhnya! Kami telah melimpahkan nikmat pemberian kepada Nabi Musa dan Nabi Harun. (114) Dan Kami selamatkan keduanya dan kaumnya dari kesusahan yang besar. (115) Dan Kami menolong mereka sehingga menjadilah mereka orang-orang yang berjaya mengalahkan (lawannya). (116) Dan Kami berikan kepada keduanya Kitab Suci yang amat jelas keterangannya. (117) Dan Kami berikan hidayat petunjuk kepada keduanya ke jalan yang lurus. (118) Dan Kami kekalkan bagi keduanya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. (119) Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun! (120) Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. (121) Sesungguhnya mereka berdua adalah dari hamba-hamba Kami yang beriman. (122) Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (123) (Ingatkanlah peristiwa) ketika dia berkata kepada kaumnya: Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya. (124) Patutkah kamu menyembah berhala Ba`la dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta? (125) Iaitu Allah Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu! (126) Maka mereka mendustakannya; akibatnya mereka tetap akan dibawa hadir (untuk diseksa). (127) Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan). (128) Dan Kami kekalkan bagi Nabi Ilyas (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. (129) Salam sejahtera kepada Nabi Ilyas! (130) Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. (131) Sesungguhnya Nabi Ilyas itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. (132) Dan sesungguhnya Nabi Lut adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (133) (Ingatkanlah peristiwa) ketika kami selamatkan dia dan keluarga serta pengikut-pengikutnya semuanya. (134) Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang dibinasakan. (135) Kemudian Kami hancurkan yang lain (dari pengikut-pengikut Nabi Lut). (136) Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): Berulang-alik (melalui bekas-bekas tempat tinggal) mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi. (137) Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?. (138) Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (139) (Ingatkanlah peristiwa) ketika dia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. (140) (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah dia dari orang-orang yang kalah yang digelungsurkan (ke laut). (141) Setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditempelak. (142) Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih). (143) Tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. (144) Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang dia berkeadaan sakit. (145) Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar. (146) Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih. (147) (Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing). (148) (Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu: Adilkah mereka membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan dan untuk mereka anak-anak lelaki? (149) Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat-malaikat itu perempuan? (150) Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata: (151) Allah beranak; sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta! (152) (Patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak dan anak itu pula ialah anak-anak perempuan yang kamu tidak sukai?) Adakah Tuhan memilih serta mengutamakan anak-anak perempuan dari anak-anak lelaki (sedang kedua-dua jenis itu Dialah yang menciptakannya)? (153) Apa sudah jadi kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)? (154) Setelah ditegur, maka tidakkah kamu mahu berusaha mengingatkan (bahawa Allah mustahil bagiNya anak-pinak)? (155) Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti yang nyata (menerangkan bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah)? (156) (Kiranya ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan demikian), jika betul kamu orang-orang yang benar. (157) (Mereka telah mengatakan perkara yang mustahil) serta mengadakan pertalian kerabat di antara Allah dan malaikat, padahal demi sesungguhnya malaikat itu sedia mengetahui bahawa sebenarnya orang-orang yang melakukan demikian akan dibawa hadir (ke dalam azab pada hari akhirat). (158) Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu! (159) Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik, (maka mereka akan terselamat dan akan mendapat sebaik-baik balasan). (160) Maka sebenarnya kamu (wahai orang-orang musyrik) dan apa yang kamu sembah itu. (161) Tidak akan dapat merosakkan perhubungan seseorang dengan Tuhannya; (162) Kecuali orang-orang yang telah ditetapkan bahawa dia akan dibakar di dalam Neraka yang menjulang-julang. (163) (Malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan berkata): Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam menyempurnakan tugasnya); (164) Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa berbaris (menjunjung perintah dan beribadat), (165) Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa bertasbih (mensucikan Allah dari sebarang sifat kekurangan)! (166) Dan sebenarnya mereka (yang musyrik) itu dahulu pernah berkata: (167) Kalaulah ada di sisi kami Kitab Suci dari (bawaan Rasul-rasul) yang telah lalu (168) Tentulah kami akan menjadi hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik! (169) (Setelah Al-Quran diturunkan kepada mereka) mereka mengingkarinya; oleh itu mereka akan mengetahui kelak (akibat kekufurannya). (170) Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul. (171) Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan (172) Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran). (173) Oleh itu berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa. (174) Dan lihat (apa yang akan menimpa) mereka; tidak lama kemudian mereka akan melihat (kemenangan yang telah Kami tetapkan untukmu). (175) Maka tidaklah patut mereka meminta disegerakan azab (yang telah ditetapkan oleh) Kami! (176) Kerana apabila azab itu turun dalam daerah dan kawasan mereka, sudah tentu buruklah hari orang-orang yang tidak mengindahkan amaran yang telah diberikan. (177) Dan berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa. (178) Dan lihatlah (apa yang akan jadi); tidak lama kemudian, mereka pun akan melihat juga. (179) Akuilah kesucian Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, dari apa yang mereka katakan! (180) Dan (ucaplah) salam sejahtera kepada sekalian Rasul. (181) Serta (ingatlah bahawa) segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam. (182)

From: roslan mohd <mohroslan@gmail.com>
To:
Sent: Thursday, August 16, 2012 7:10 PM
Subject: RG2011... Siapa yang kafir harbi tu?

 

Oleh Aspan Alias

Setakat ini belum ada apa-apa tindakan pihak kerajaan terhadap pihak yang memfatwakan DAP sebagai parti untuk 'kafir harbi'. Sikap kerajaan membiarkan perkara ini terus menerus disebut oleh pihak tertentu yang 'desperate' ini, membawa tanggapan yang pihak kerajaan BN hari ini tidak prihatin terhadap sensiviti rakyat berbilang kaum dan agama di dalam negara ini.

Tidak ada sesiapa berhak untuk melabelkan pihak yang menyokong dan bermuafakat dengan DAP demi kebaikan negara menggelarkan mereka sebagai kafir. DAP merupakan sebuah parti politik yang terdaftar secara halal dengan pendaftaran pertubuhan dan parti itu telah menjunjung segala peruntukan yang tertulis di dalam perlembagaan negara. Hanya pihak UMNO sahaja yang cuba menafikannya.

Ulamak sesat yang memberikan fatwa itu wajar diambil tindakan kerana ia merupakan satu tindakan memecah-belahkan rakyat berbilang agama dan kaum dan ini merupakan tentangan secara 'direct' terhadap agama suci kita. Memecah-belahkan masyarakat merupakan tindakan yang tercemar daripada pandangan agama suci kita, kerana kita dituntut untuk saling menghormati antara semua puak dan bangsa serta agama.

Kita mesti menerima hukum agama kita secara 'total' dan bukannya mengambil setengah yang sesuai dengan mereka (UMNO) dan membuangkan setengah yang lain yang terkena kepada batang hidung mereka sendiri. Jika kita tidak menerima keseluruhan 6666 ayat di dalam Quran itu maka kita boleh persoalkan keimanan kita sendiri kerana mempercayai Quran secara 'total' itu merupakan salah satu daripada rukun iman yang enam itu. Kalau diambil semua nilai dan hukum agama kita, kita boleh melihat dengan jelas yang UMNO sendiri melakukan banyak perkara yang kafir.

Rasuah itu adalah kafir, menyalahgunakan kuasa itu kafir, memfitnah itu kafir dan memecah-belahkan rakyat itu adalah kerja kafir. Malahan tindakan ramai orang meninggalkan BN khususnya UMNO itu ialah kerana tindakan-tindakan yang kafir yang dilakukan oleh mereka. Banyak kroni di dalam UMNO itu sendiri mempunyai sikap dan sifat Qarun pada zaman Firaun dahulu. Mereka tidak berhenti-henti mengumpulkan harta yang banyak tanpa had dengan menggunakan wang rakyat dan negara.

Sebaliknya di pihak Pakatan Rakyat mereka lebih 'sensitive' terhadap kehendak agama-agama di negara ini dengan melakukan banyak perkara yang dituntut oleh agama-agama khususnya agama Islam. Islam membenci rasuah dan sudah jelas kerajaan DAP Pulau Pinang telah memunafaatkan kuasa yang ada pada mereka mentadbir negeri itu dengan tahap rasuah yang paling rendah dan hampir kepada tahap sifar. Sesiapa boleh menafikannya tetapi kenyataan tetap kenyataan.

Bagi seseorang yang bertuhan dan beragama, yang penting ialah nilai Islam dan agama itu dilaksanakan dengan sungguh-sungguh. Tidak guna kita menjadi muslim tetapi tindakan kita semuanya menentang agama secara terbuka dan tidak meng'addin'kan agama itu. Kita mesti tuntut agar kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengeluarkan fatwa mengikut nafsu dan nafsi amarah mereka kerana Islam yang tulen itu adalah lembut dan sejuk untuk semua orang menerimanya dengan ikhlas dan jujur.

Islam itu sentiasa memberikan kesejukan dan bukannya kepanasan seperti kepanasan api neraka. Saya adalah ahli DAP dan itu tidak mengurangkan kemelayuan saya atau mengurangkan Islam saya.

Saya tahu yang penting ialah saya sentiasa mengingatkan diri saya dan keluarga saya supaya terus menerus bertawajjuh dan bertawassul kepada Rasul dan Tuhannya sentiasa. Apa gunannya menjadi ahli kepada parti yang dianggotai oleh orang-orang Muslim seperti UMNO, sedangkan tindakan pemimpin-pemimpin mereka selalu bertentangan dengan kehendak agama anutan mereka.

Saya tidak berhak untuk memunafikkan sesiapa kerana hanya Tuhan sahaja yang berhak untuk melakukannya, tetapi jika kita tarbiah syariat dengan betul saya hanya berhak setakat mengingatkan sesiapa yang terlibat supaya jangan melakukan perkara-perkara yang munafik. Saya ingin mengingatkan diri saya dan semua pihak, yang munafik ini merupakan satu dosa yang tidak terperi besarnya.

Setakat yang kita ingat UMNOlah yang menolak hukum hudud. Jika UMNO menerima hukum Islam secara 'total' Dr Mahathir tidak sepatutnya menolak hudud dahulu. Kita masih ingat dengan jelas penolakan itu.

Semua parti di dalam BN menolak hudud. Seburuk-buruk Pakatan masih ada niat dan usaha untuk melakukannya. Hanya setakat ini Putrajaya itu masih berada di dalam tangan BN sehingga pilihanraya yang akan datang.

Itulah sebabnya saya selalu mengulangi kata-kata 'the worst of Pakatan Rakyat is a lot better than the best of BN'. Ramai penyokong UMNO marah dengan kenyataan saya ini tetapi saya tidak peduli kerana apa yang saya katakan itu adalah perkara yang benar.

Pakatan DAP, PAS dan PKR wajar diberikan peluang kali ini setidak-tidak buat lima tahun yang akan datang untuk membuktikan kemampuan mereka merubah segala-gala yang tidak baik kepada keadaan yang dituntut oleh agama kita.

Rakyat boleh mengembalikan kepada BN jika PR jelas lebih buruk dari BN. Tetapi PR akan mampu memberikan bukti itu jika Putrajaya berada di tangan mereka (PR). Selepas itu rakyat boleh menilainya kembali kerana setiap lima tahun rakyat mempunyai kuasa untuk menggunakannya.

Barulah kita akan tahu siapa yang kafir harbi itu.


__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment