Saya Tidak Tahu
Oleh TOK JANGGUT
"Saya tak tahu… dia orang bagi nasi sepinggan untuk saya makan dan sehelai kertas kosong untuk saya sain (tanda tangan)." Itulah alasan tok guru berikan berhubung kesilapannya menyerahkan projek bekalan air bersih kepada sebuah syarikat konsesi air, Thames Water kira-kira lebih 18 ke 15 tahun lalu.
Tok Janggut dapat rasakan keadaan tok guru masa tu. Sayu dan sedih bila dia kata dia tertipu sebenarnya dengan perjanjian penyerahan Jabatan Bekalan Air Kelantan (JBAK) kepada Thames Water. Rasa macam nak menitis air mata Tok Janggut lihat wajah tok guru masa tu. Dia dikerumuni puak media untuk dapatkan jawapan.
Memang ketika tu keduh (bermuka sedih) dan hiba sekali. Apa tidaknya, diawal pentadbirannya sebagai menteri besar pada tahun 1990, tok guru telah 'diserang' bertubi-tubi, habis-habisan oleh rakyat Kelantan kerana kegagalannya menangani masalah air.
Elok-elok air diurus dengan baik oleh kerajaan negeri (masa tu bawah pemerintahan BN), tok guru gatal tangan nak mengswastakannya. Kononnya kalau JBAK diswastakan, bekalan air kepada rakyat dapat 'diuruskan' dengan 'lebih sistematik dan tersusun'.
Lagipun, kalau Kerajaan Pusat yang ditadbir oleh Tun Dr Mahathir ketika itu boleh sewenang-wenangnya menswastakan beberapa agensi kerajaan menjadi syarikat konglomerat dan GLC, mengapa kerajaan Pas Kelantan tak boleh buat? Mana adilkan. "Kalu mu (pusat) boleh buat (swasta)… aku (Pas Kelantan) pun boleh (swasta) buat jugok."
Iya… tok guru boleh buat. Tok guru boleh buat apa saja sebab tok guru kan dah jadi menteri besar. Segala kuasa ada di tangan tok guru. Cakap je… semua akan jadi. Tapi tok guru kena ingat. Sebelum Tun Mahathir nak swastakan beberapa agensi kerajaan menjadi syarikat konglomerat, Tun Mahathir guna semua kepakaran yang ada. Dia panggil semua pakar-pakar ekonomi. Dia panggil semua pakar-pakar pentadbir. Dia panggil semua pakar-pakar pengurusan duduk semeja, bincang.
Keputusan dalam perbincangan itu pulak bukan dicapai dalam satu hari dari meeting jam 9 pagi sampai jam 5 petang. Perbincangan itu mengambil masa. Semua pandangan, pendapat, nasihat, teguran diambil kira. Semua aspek dari atas sampai bawah. Dari kanan sampai ke kiri dikaji. Diselidik. Kemudian tengok apa kesan kalau buat begini… dan apa hasilnya kalau buat begitu.
Bukan Tun Mahathir kata, "Kun (jadilah) fayakun (maka jadilah)". Semua yang dibuatnya menggunakan akal fikiran. Berusaha. Dicapai melalui mesyuarat. Perbincangan. Bukan macam tok guru. Diberikan kertas kosong sekeping dan sepinggan nasi, terus tanda tangan. Tanpa bertanya, kertas apa ni? Kosong. Kenapa tak ada apa-apa tulisan?
Esok, bila dapat tahu kertas kosong yang ditanda tangani itu rupanya dokumen perjanjian penyerahan JBAK kepada sebuah syarikat dari Britain, mulalah menyesal. Lebih-lebih lagi rakyat ditekan dan ditindas semahu-mahunya oleh syarikat itu.
Bila pengswastaan itu gagal, tok guru tak dapat buat apa-apa melainkan buat muka sedih… beri alasan, "Saya tak tahu".
Kalau tok guru tak tahu, Tok Janggut nasihatkan tok guru berhenti saja jadi menteri besar. Beri kepada orang yang serba tahu. Sebab nak jadi menteri besar, tok guru kena tahu. Tanggungjawabnya amat besar dan dosa yang ditanggung pun amat besar juga. Semua urusan, baik dari segi pentadbiran, pengurusan, penyelarasan, penyelenggaraan, teknikal, komunikasi, teknologi, tok guru kena tahu.
Matematik kena bijak. Geografi kena pandai. Sejarah kena peka. Sains kena cerdik. Kimia, Fizik, ilmu Perdagangan, ilmu Sastera pun tok guru kena mahir.
Tahu ceramah saja tak cukup. Hari-hari hentam. Siang malam maki hamun pihak lawan tak boleh membangun dan memajukan negeri. Itu tok guru kena tahu. Dan Tok Janggut pun yakin tok guru tahu. Tapi, mungkin tok guru sengaja buat-buat tak tahu, maka semua jenis jawapan atas kesilapan dan kegagalan yang tok guru lakukan, jawabnya, "Saya tak tau". Tujuannya nak elak daripada dipersalahkan.
Ingatan kepada tok guru. Kalau selalu kata, "saya tak tau", lama kelamaan diri akan jadi nyanyuk. Kalau diri dah nyanyuk, jangan salahkan sesiapa. Sebab Allah akan menjadikan seseorang itu sebagai nyanyuk kerana setiap hari kata, "saya tak tau". Setiap kata-kata atau ucapan harian adalah berupa doa. Bila kata, "saya tak tahu…", "saya tak tahu…", "saya tak tahu…" maknanya seperti berdoa, minta pada Allah supaya menyanyukkan diri.
Begitu juga dalam kes pelaksanaan mata wang dinar (emas) dan mata wang dirham (perak). Elok-elok negara dah ada mata wang sendiri. Ringgit Malaysia. Tok guru nak jugak memperkenalkan mata wang sendiri untuk Kelantan. Dinamakan dinar dan dirham. Kononnya, guna dinar dan dirham nampak sikit Kelantan lebih Islamik banding negeri lain.
Tok guru ni macam tikus baiki labulah. Dapat jadi menteri besar, semua benda nak ditukarnya. Kononnya, semua yang ada di Kelantan sebelum ini tidak Islamik. Lalu nak diIslamikkan. Caranya ialah tukar papan-papan tanda bertulisan rumi kepada papan-papan tanda bertulisan Arab dan Jawi.
Tak cukup dengan itu, bumi Kelantan dipadang-pasirkan. Tanah-tanah yang subur dengan tanaman ditambun pasir. Tujuannya supaya nampak macam padang pasir. Nak 'mengarabkan' lagi Kelantan, pokok-pokok kurma ditanam di beberapa kawasan strategic di Kota Bharu sehinggakan Kota Bharu sekarang dipanggil 'Bandaraya Islam'.
Begitulah suasananya dalam tempoh dua tahun pertama pemerintahan kerajaan Pas. Unta-unta dari negara-negara eropah diimport masuk. Dijadikan haiwan korban pada Hari Raya Aidiladha. Menggantikan lembu, kerbau dan kambing. Maka berebut-rebutlah rakyat Kelantan jual beli unta.
Dulu boleh jual beli dalam Ringgit Malaysia. Sekarang dalam perancangan nak ditukar dalam bentuk dinar atau dirham. Apa maknanya semua ini? Maknanya nak nampakkan kepada umum bahawa Pas telah 'mengIslamkan' Kelantan iaitu sesuai dengan perjuangannya yang kononnya berlandaskan al-Quran dan Hadis.
Tak lama lagi, kalau dinar dan dirham dilaksanakan, Tok Janggut dapatlah merasai zaman lakunan Allahyarham Tan Sri p Ramlee. Dapat hidup macam 'pak arab' dalam filem Ahmad Albab dan Tiga Abdul. Dapat tengok lelongan hamba abdi di pasar-pasar pagi. Dengar pelelong melaung-laungkan harga hamba abdi yang nak dilelong, "Seratus dirham…. seratus dirham… seratus dirham…"
Tok guru boleh buat apa saja yang dia nak. Tok guru boleh didik rakyatnya memakai jubah, egar dan bercakap telor (loghat) arab. Tapi pada masa sama tok guru tak boleh kecewakan rakyatnya. Kalau nak laksanakan Islam, tok guru kena benar-benar laksanakannya. Bukan menunggu orang lain. Bukan mengharapkan orang lain buat.
Orang lain tak akan buat, sebab orang lain sudah anggap pentadbiran yang ada sekarang sudah lebih daripada Islam. Fardu kifayah dan fardu ain tidak pernah dilupakan. Tidak pernah ditinggalkan. Sentiasa ada dalam apa saja pengurusan dan pentadbiran. Cuma tidak keterlaluan seperti yang Pas lakukan di Kelantan.
Tok guru kena ingat. Dunia makin berubah. Semua orang mahu maju dan terus maju ke hadapan. Bukan mundur dan undur kebelakang. Nak buat Islam, boleh buat. Tetapi bukan dengan meniru atau mengambil gaya hidup di zaman jahiliah. Kita sudah bergelar bertamadun. Tok guru kenalah bertamadun. Bukan mundur dan terkebelakang.
Orang yang mundur dan terbelakang macam tok guru lah menyebabkan pelaksanaan mata wang dinar dan dirham jadi haru biru. Pengurusannya tidak betul. Wujud penyelewengan, penipuan dan helah muslihat. Apa tujuannya? Tujuannya kerana kepentingan diri.
Tok guru kena tahu anak buahnya bukan seorang yang boleh dibanggakan dalam hal ehwal ekonomi. Lebih-lebih lagi hal ehwal ekonomi Islam. Pakar ekonomi di zaman Nabi Muhammad SAW dahulu kalau nak buat sesuatu, mereka buat kerana Allah Taala. Mereka takut pada hukuman Allah. Mereka buat sesuatu tak ada unsur penipuan atau kepentingan diri. Mereka buat untuk Allah dan rakyat.
Hampir dua tahun dinar emas dan dirham perak diperkenalkan. Tok guru dikatakan langsung tidak tahu dalam pelaksanaan itu ada unsur penipuan. Sehinggalah ia didedahkan oleh seorang blogger yang mengatakan wujud skandal dalam pengeluaran dirham dan dinar emas Kelantan. Blogger berkenaan, Syed Azidi mengemukakan 10 soalan itu untuk mengetahui masalah yang berlaku dalam syarikat yang diberi tanggungjawab mengeluarkan dinar dan dirham itu.
Bagaimanapun, setiap kali timbul masalah dalam pentadbirannya, tok guru kata dia tidak tahu masalah yang berlaku. Katanya, dia tak pernah diberikan sebarang maklumat mengenai berlaku penyelewangan dalam pengeluaran dirham dan dinar emas Kelantan itu.
Tak perlulah Tok Janggut kemukakan apa 10 soalan yang diberikan Syed Azidi kepada tok guru, tetapi tok guru kena ambil seriuslah akan persoalan itu kerana semuanya berkaitan ekonomi Islam yang Pas canang-canangkan.
Nasib baiklah Tok Janggut tak mudah terpengaruh dengan apa saja program 'Islam' yang Pas Kelantan anjur dan laksanakan. Tok Janggut bukan budak baru. Bukan budak hingusan dalam mengenali politik Pas Kelantan. Apa saja yang dilakukan, hanya 0.005 peratus sahaja untuk rakyat. Selebihnya untuk kepentingan pemimpinnya.
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment