Monday, August 6, 2012

RG2011... kasih sayang yg tak berpenghujung. .. ..

 



Assalamualaikum. .. 
  
 Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. 
 Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan 
 anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah. 
 
 Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. Dia 
 meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan
 panjang sedepa di tangan ayah. 
 
 "Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar. 
 
 Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua 
 kami membisu,cuma tunduk memandang lantai. 
 
 "Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat 
 tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku. 
 
 Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya 
 sambil berkata, "Saya yang ambil!" 
 
 Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, 
 hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah 
 kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik 
 tak tumpah. 
 
 Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut: 
 
 "Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan 
 kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?" 
 
 Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang 
 berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. 
 Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk. 
 
 Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang 
 takut berkata benar. 
 
 Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu 
 berkata,"Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!" 
 
 Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. 
 
 Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku 
 bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah
 berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat 
 pra-universiti. 
 
 Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di
 ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita cemerlang 
 dalam pelajaran. Abang bangga sekali!" 
 
 "Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak. 
 
 "Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?" 
 
 Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. 
 "Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!" 
 
 Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung 
 wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam. 
 
 Panggggg.... sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu 
 aku lakukan ialah menutup muka dan menangis. 
 
 "Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan 
 kamu, ayah akan lakukan!" 
 
 "Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa 
 keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu 
 minyak pada pipinya yang bengkak. 
 
 "Kakak perempuan... . biarlah kakak yang berhenti." 
 
 Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa 
 bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat
 dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat.... . 
 
 "Kak.....untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja 
 dan akan kirim wang buat akak." 
 
 Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup 
 kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah. 
 
 Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: " Ada pemuda 
 kampung tunggu kau kat luar!" 
 
 "Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?" 
 
 Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan 
 pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut orang 
 kampung, sebutlah adik yang datang!" 
 
 Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang 
 akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?" 
 
 Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya.. Aku cukup 
 tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas 
 bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik. 
 
 Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa 
 orang lain kata." 
 
 Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia 
 mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis
 pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak." 
 
 Aku kaku.. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya 
 dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan. 
 
 Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku 
 lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu. 
 
 "Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik." 
 
 "Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka." 
 
 Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan. 
 
 "Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya. 
 
 "Tak....Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan 
 serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. 
 
 Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja 
 keras." 
 
 Apalagi...aku menangis seperti selalu. 
 
 Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan 
 menawarkan jawatan pengurus kepada adik. 
 
 "Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik. 
 
 "Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik 
 ada." 
 
 "Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk. 
 
 "Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan 
 kesedihannya. 
 
 Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah 
 tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara 
 majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?" 
 
 Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya...."katanya lantas 
 menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.. 
 
 "Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke 
 sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai 
 kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia 
 berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah
 sebab tertikam tunggul dan calar-balar. " 
 
 "Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja 
 demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai 
 bila-bila." 
 
 Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik 
 sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria. 
 
 
 
 Ya Allah Ya Tuhanku....aku redha akan ujian dari-MU..pintaku, berikanlah aku kekuatan dan ketabahan untuk mengharungi semua ini... 
 
 ************ ********* ********* ********* ********* ********* *********
 
 Assalamualaikum. ..wbkt..
 Barangsiapa yang menghilangkan satu kesusahan dunia dari seorang
 mukmin, maka Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan di hari
 Kiamat. Barangsiapa meringankan orang yang sedang kesulitan, maka
 Allah akan meringankannya dari (kesulitan) dunia dan akhirat.
 Barangsiapa yang menutupi (kejelekan) seorang muslim, niscaya Allah
 akan menutupi (kejelekannya) di dunia dan akhirat. Dan Allah akan
 menolong hamba selama dia mau menolong saudaranya." (HR. Muslim.)
 

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment