Tuesday, January 29, 2013

RG2011... PRU13: Melayu akan selamat, kecuali Awang Selamat!

 

Oleh LIM HONG SIANG 

MANUSIA ditakdirkan untuk berdepan dengan deadline, sekurang-kurangnya sekali seumur hidupnya.  Namun pengarang berdepan dengan deadline berkali-kali, bergantung kepada kala terbitannya.  Lebih-lebih lagi, zaman internet memaksa pengarang terbitan bercetak memetik berita sedekat deadline yang mungkin, kerana antara kandungan dengan pembaca, dijarakkan pula dengan tempoh pencetakan dan pengedaran



Kepantasan maklumat pada zaman sekarang ada kalanya membeliakkan mata kita.  Boleh jadi sesuatu isu itu telah dingin di ruang awam internet, apabila ia sampai ke tangan pembaca dalam keadaan kertas akhbar itu masih hangat. 

Situasi sedemikian bukan "jurang generasi" antara dua zaman, tetapi "jurang maklumat" yang mendalam antara dua komuniti dalam satu negara.

 

Sememangnya manusia tidak mahu ketinggalan.  Kalaupun gagal mendepani zaman, setidak-tidaknya kita cuba seiiring dengan zaman.  Ironinya kerajaan yang berslogankan "1Malaysia" sengaja "menstrukturkan" jurang maklumat tersebut, memisahkan 1Malaysia kepada dua dunia yang berbeza. 

Ia mudah difahami, kerana seandainya masyarakat Malaysia mendepani zaman, maka Mahathir Mohamad akan digulingkan sebelum Suharto.  Kalau Malaysia seiiring zaman maka Umno akan dilanda gelombang Arab Spring.  Hakikatnya, demi seorang individu bernama Mahathir dan sebuah parti politik bergelar Umno, 1Malaysia terus ketinggalan dalam arus perubahan yang menderas di merata-rata dunia.

 

Pengulangan isu = Masyarakat tidak maju
 

Maka Ahmad Lutfi Othman, selaku Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, memikul tugas untuk merapatkan jurang maklumat yang sengaja distrukturkan dalam masyarakat kita. 

Bagi saya tugas ini terlalu berat untuk digalas dengan satu susuk badan yang sentiasa keuzuran.  Dan ini membuatkan saya mengkagumi kecekalan dan ketabahan beliau untuk mengharungi segala-galanya, dan beliau telah berjaya melakukannya.

 

Sungguhpun tertekan dengan deadline, tetapi saya tetap menganggap bahawa laporan berita bukanlah tugas yang paling mencabar. 

Apa yang mencabar dalam laporan berita tidak lain tidak bukan kesahihan, ketepatan, ketangkasan berita itu dihidangkan.  Biarpun pemberitaan itu boleh diolah dengan sudut yang pelbagai, mengikut kepentingan dan keprihatinan penulis atau bilik editorial, tetapi secara dasarnya, berita itu mencerminkan realiti, sungguhpun ia ditampilkan dengan dimensi yang berbeza.

 

Apa yang lebih mencabar adalah komentar, atau ulasan terhadap sesuatu isu.  Ia jauh daripada sekadar mencerminkan realiti, tetapi dituntut untuk mengolah dan merungkai realiti itu, kemudian menilai dan melontarkan kritikan, dengan hasrat menerokai kemungkinan pada masa depan.

 

Saya melihat zaman pasca tsunami politik 8 Mac 2008 amat mencabar, terutamanya untuk PAS yang berada dalam Pakatan Rakyat.  Jikalau sebelum ini isu semasa boleh diulas hanya dalam "zon selamat", mengambil kira pendirian PAS sendiri, tetapi sekarang lidah parti ini perlu membuka perspektif yang lebih luas, dengan mengambil kira pendirian parti komponen dalam Pakatan.

 


Malah, seandainya berlaku perubahan atau penyelarasan dari segi pendirian dalam PAS, maka lidah parti perlu mengemukakan hujah yang meyakinkan penyokongnya.  Jikalau kesilapan dilakukan pemimpin PAS, maka ia perlu ditegur dengan kritikan. 

Saya menganggap ia tugas yang cukup mencabar kerana bukan semua pihak yang ditegur sanggup melapangkan dada.  Fenomena ini bukan hanya berlaku di dalam PAS, tetapi juga di DAP dan KeADILan.  Apa yang penting, fenomena ini sesuatu yang lumrah dalam politik, dan ia menguji kematangan kita berpolitik.

 


Saya tersenyum pahit apabila membaca "Pendahuluan" Detik Utopia tulisan Ahmad Lutfi, mengakui sendiri bahawa sesetengah ulasannya tidak terelak daripada pengulangan dan penekanan yang sama.  Padahal masalah ini menghantui ramai editor media di Malaysia. 

Isu politik yang berulangan, misalnya, apabila diadakan perhimpunan, lazimnya demonstran akan dibelasah FRU, dan aduan akan dihadapkan ke Suhakam. 

 


Beberapa bulan kemudian laporan Suhakam merakamkan pengalaman mangsa yang sama, dengan nama watak yang berbeza; kesimpulan dan cadangan yang sama dikemukakan, dengan perbezaaan hanya pada ketebalan laporannya. 

Seperti biasa, Perdana Menteri dan polis melihat laporan yang berjilid-jilid ini sebagai timbunan kertas putih yang tidak bermakna.  Cara pengendalian yang sama akan diulangi dalam perhimpunan akan datang.

 

Sebagai editor, isu ini boleh diulas dari sudut hak asasi, penyalahgunaan kuasa polis, kezaliman kerajaan Barisan Nasional untuk menekan suara rakyat dan sebagainya.  Sehingga ke satu tahap kita menggaru-garu kepala untuk memikirkan "perspektif baru" agar isu ini tidak dilihat "basi". 

Hakikatnya, jikapun sesuatu berita itu penting, kerana melibatkan kecederaan fizikal dan pencabulan hak asasi manusia, tetapi pembaca akan cepat "bosan" kerana ia bagai drama bersiri yang diulangi mengikut musim. 

Jemu dengan berita demonstran dibelasah polis, kaku dengan kematian dalam tahanan, bersahaja apabila siswa ditekan - akhirnya masyarakat kita seolah-olah tidak memperlihatkan nilai perikemanusiaan kerana telah membiasakan diri dengan ketidakadilan atau kezaliman yang wujud di keliling kita.

 

Seandainya dikupas dengan lebih mendalam, situasi ini mencerminkan realiti Malaysia yang memilukan.  Kita bagai tidak maju ke mana-mana, sering berlegar-legar dengan isu yang sama, cara pengendalian yang sama. 

Penganalisis politik mungkin boleh bermegah kerana jangkaannya terhadap perkembangan isu itu tepat, berdasarkan pengalaman lalu.  Tetapi untuk saya "kemegahan" sedemikian adalah "pengaiban" terhadap masyarakat kita.  Ertinya masyarakat kita, terutamanya pemerintah tidak mengambil iktibar dari pengajaran yang lalu.

 

Demikianlah "kepentingan" wacana untuk sesebuah masyarakat.  Sungguhpun pengkritik ada kalanya dilihat "membebel atau merungut dengan tulisan", tetapi ia menjana perubahan. 

Barangkali tidak keterlaluan untuk kita mendakwa, bahawa "leteran" ini sedikit sebanyak telah menjurus ke arah kejayaan Himpunan Kebangkitan Rakyat 112, apabila polis membuka lembaran baru dalam sejarah untuk mengendalikan perhimpunan rakyat secara profesional. 

Cuma, saya juga berharap, agar hasil usaha ini dilanjutkan dalam isu kematian dalam tahanan, kes rasuah, pencabulan hak siswa dan sebagainya.

 

Menerokai kemungkinan
 

Berbalik kepada buku Ahmad Lutfi, keresahan dan kebimbangan beliau terserlah dalam tulisannya yang dikumpulkan. 

Dalam bingkai Harakah sebagai lidah parti, kritikan atau teguran yang dilontarkan dengan niat yang baik, dilakukan dengan cukup berhati-hati.  Masalahnya apabila mesej yang "tersirat" itu berlapik sangat, orang yang dikritik tidak merasai "bahang" tulisannya. 

Berkali-kali beliau mengingatkan, Pakatan Rakyat masih lemah, tatkala pemimpin dan penyokong ghairah menawan Putrajaya; malah beliau memberi amaran lembut, bahawa jangan sampai kita terlepas peluang lagi dalam PRU13, mengulangi sejarah tahun 1990, 1999 dan 2008.

 

Saya membangkitkan semula konsep "jurang maklumat" tadi, dengan pandangan bahawa ia distrukturkan Umno-BN untuk menghancurkan gandingan parti politik musuhnya. 

Satu Malaysia dipisahkan kepada dua dunia, satu yang mengidamkan politik baru, mengambil berat soal dasar, demokrasi politik, keadilan sosial dan sebagainya; sementara satu lagi masih diselubungi politik sentimen, yang sentiasa mudah dicungkil saraf agama dan perkaumannya. 

Cabaran PAS, malah Pakatan adalah menjalin satu persefahaman, memperlebarkan asas muafakat antara dua komuniti ini.  Tuntutan politik baru sering membimbangkan komuniti miskin-maklumat; di samping politik sentimen sentiasa membelenggu kemaraan Pakatan, bahkan mencalar imej progresifnya.

 

Jurang maklumat ini menyediakan medan pergelutan yang menarik untuk kedua-dua BN dan Pakatan.  Misalnya seandainya perhimpunan anjuran Pakatan atau NGO disuraikan dengan kekerasan, maka Umno-BN akan berdepan dengan tekanan pengundi yang memperolehi maklumat melalui internet. 

Pakatan sebaliknya, memerlukan masa untuk menyebarkan maklumat di kalangan penduduk kampung, menjelaskan apakah sebenarnya yang terjadi dalam perhimpunan, menyanggah tuduhan untuk menyamakan perhimpunan dengan huru-hara.

 

Maka wujud analisis bahawa perhimpunan yang berakhir dengan keganasan di Kuala Lumpur, lebih merugikan Pakatan. 

Namun, bagaimana analisis ini menjelaskan sokongan pengundi Melayu kampung terhadap Barisan Alternatif pada tahun 1999, ketika pertembungan sengit antara pemerintah dengan demonstran jalanan? 

Pernah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menjelaskan fenomena ini, bahawa pergolakan yang rancak di ibu kota lebih memihak kepada pembangkang.  Anak muda di Kuala Lumpur pulang ke kampung dengan maklumatnya untuk mempengaruhi ibu bapa mereka. 

Seandainya analisis Mat Sabu ini lebih meyakinkan, maka bukankah kita harus lebih tegas untuk membawa politik baru (menekankan hak berhimpun dsb), supaya menggarap imaginasi kaum belia, daripada terus terbelenggu dengan isu yang jumud dan lapuk yang dibawa Umno (perhimpunan menggugat keamanan dsb)?

 

Politik sentimen
 

Politik pada asasnya disifatkan sebagai seni yang memungkinkan sesuatu yang mustahil.  Komentar politik sebenarnya bertujuan untuk menerokai kemungkinan baru untuk realiti yang kurang ideal.  Seringkali saya dimaklumkan bahawa agak sukar untuk membawa isu dasar atau polisi kepada pembaca masyarakat kampung, kerana golongan ini lebih dipandu dengan sentimen.

 

Saya teringat sebuah artikel yang disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cinanya selepas PRK Bukit Gantang pada tahun 2009. 

Seorang penulis berkongsi pengamatannya terhadap masyarakat Cina, yang diasak dengan propaganda murahan MCA bahawa "Cina haram makan babi jikalau PAS menang." 

Seorang nenek kawannya dengan tegas membalas, "Kali ini, hatta tak boleh makan daging babi sekalipun, saya akan mengundi bulan!"

 

Saya tidak menganggap nenek tua Cina itu benar bertekad untuk tidak makan babi, tetapi ungkapan itu telah memperlihatkan sentimennya. 

Nenek tua itu tersentuh dengan dasar yang dilaksanakan ketika calon PAS, Nizar Jamaluddin menerajui kerajaan negeri Perak, termasuk pemberian geran tanah tanpa mengira kaum.  Maknanya, pelaksanaan dasar boleh dijelmakan sebagai sentimen, yang kemudiannya diterjemahkan sebagai sokongan politik. 

Saya menganggap kita perlu ubah tanggapan bahawa pengundi Melayu takut dengan dasar baru.  Persoalannya, bagaimana kita meyakinkan mereka bahawa dasar baru ini memanfaatkan mereka.

 

Sesungguhnya dasar yang baik adalah senjata yang lebih tajam setelah diasah dengan tulisan komentar.  Hanya pengecut politik yang gagal membentangkan dasar yang baik, akan mengarahkan tukang pintal untuk menegakkan benang basah. 

Kesudahannya, sepandai-pandai pengarang itu melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.  Panjangkan leher anda pada PRU13, kita akan menyaksikan kesudahannya.  Melayu akan terselamat, kecuali Awang Selamat.

---

 

Untuk Pesanan Pos buku DETIK UTOPIA, sila layari

http://www.tranungkite.net/v12/iklan/detik_utopia.html

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment