Sunday, February 17, 2013

RG2011... Antara lagu ketuhanan dan lagu nasyid

 

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

17 FEB — Ketika kecil dalam lingkungan usia 5 tahun di awal tahun 70an dulu, saya selalu bayangkan Tuhan itu sebagai satu objek yang gagah dan hebat seperti Giant Robot, siri kartun sains fiksyenTV popular tahun 70an dari Jepun. Saya selalu menonton siri tersebut di kaca TV hitam putih waktu itu. 

Itu tahap kefahaman saya tentang Tuhan di usia kanak-kanak. Usia yang masih mentah dalam serba serbi. Bak kata orang tua-tua, akal belum cukup lagi. 

Menginjak ke usia 8 tahun, saya mula diajar dan diberikan didikan agama yang secukupnya dan waktu itu saya mula faham apa itu Tuhan dalam konteks keagamaan dan kepercayaan. 

Dalam usia itu juga, saya dibesarkan pula dengan lagu-lagu keagamaan dan nasihat dari kumpulan Nasyid Nada Murni, Orkes El Suraya Medan, Al Jawaher atau Ahmadi Hassan antaranya. 

Menariknya muzik mereka bagi saya penuh dengan elemen irama padang pasir, sangat menarik dan berkualiti dari segi mesej dan gubahan muziknya. Saya masih mendengar lagu-lagu mereka sehingga hari ini terutamanya lagu-lagu Ahmadi Hassan ( arwah ). 

Juga di zaman itu mereka berkarya tanpa banyak kepentingan, mungkin kerana itu nilai kejujuran itu jelas terserlah dalam karya-karya mereka. 

Saya tidaklah menafikan zaman baru dan muzik anak-anak muda hari ini, cuma itulah seperti yang selalu saya tekankan, elok yang muda cuba menjenguk dan mengkaji apa yang ada pada yang lama kerana tiada yang lama manakan ada yang baru? 

Apa yang saya kaji dan dengar muzik anak muda hari ini tempiasnya cuma di angin lalu saja, kerana mesejnya kurang bahkan dari segi keindahan bahasa juga lemah dan lintang-pukang. Kefahaman mereka tentang Tuhan hanyalah sekadar di pinggiran saja kebanyakannya. 

Lagu kalau ceritanya untuk berseronok 24 jam tentang dunia dan nafsu apa faedahnya bukan tidak boleh tapi eloklah kita seimbangkan antara kemahuan minda dan jiwa. 

Untuk kita menceritakan tentang bulan umpamanya, kita tidak perlu bercerita tentang keindahan dan fizikal bulan itu kerana budak umur 10 tahun pun boleh faham apabila mereka menatap cahaya bulan di malam hari. 

Kita tidak perlu terlalu terpesona pada permukaan, bahkan bagus jika kita mengkaji bulan yang ada di dalam diri kita. Kita boleh tamsilkan ia sebagai semangat atau roh dari segi perlambangannya. 

Alam ini dicipta untuk kita belajar mengenal yang tersurat dan tersirat, yang zahir dan batin. Apa yang penting tentang hidup ini adalah tentang Tuhan dan kejadiannya. 

Apabila saya mendengar muzik nasyid dari kumpulan Raihan yang muncul dengan album sulung mereka, Puji-Pujian , ia bagi saya biasa saja dari segi susunan muziknya yang hanya diiringi alat perkusi dan melodi walaupun digubah oleh Steve Thornton, pemuzik bertaraf dunia yang berpengalaman dan professional. 

Pun begitu mereka berjaya mempopularkan lagu-lagu nasyid di Malaysia sehingga album Puji-Pujian terjual sehingga 750,000 ribu unit di Malaysia ( yang juga merupakan rekod jualan tertinggi di Malaysia waktu itu ) dan 3.5 juta unit di seluruh dunia. 

Lirik lagu mereka pula hanya asas bagi yang mahu mengenal Islam dan penuh dengan mesej dakwah yang jelas dan tidak berbelit-belit. Cuma dari segi lirik -lirik mereka bagi saya kurang punya maksud yang tersirat melainkan apa yang tersurat sahaja. 

Dalam mencari Tuhan dan cuba mencari apa yang tersirat di dalam irama dan lagu, saya lebih tertarik dengan muzik, lagu dan lirik penyanyi folk Indonesia, Ebiet G.Ade di tahun 1980 dulu. 

Mesej dan senikatanya sangat puitis, mistik dan misteri. Ebiet menggambarkan Tuhan dalam bentuk kefahaman yang lebih telus, matang dan terbuka. Umpamanya dalam lagu 'Hidup iv'(Camellia 3 ), 'Berjalan di Hutan Cemara' dan 'Nyanyian Kasmaran' yang terdapat dalam album Zaman ( 1985 ) Ebiet mentafsir alam diri dan perhubungan kecintaan antara khalik dan pencipta dalam mood yang penuh dengan nilai kasih-sayang dan asyik masyuk. 

Pengisian lirik-liriknya lebih bersifat spiritual dan menyentuh tentang hakikat alam, Tuhan dan kejadian dengan bahasa-bahasa yang sangat berkualiti dan berseni. 

Apabila mendengar lagu ketuhanannya 'Kepada Mu Aku Pasrahkan' yang terdapat dalam album Camellia 3, saya mula faham dan ia membawa pengertian yang mendalam kepada saya bahawa lagu itu adalah tentang perhubungan antara khalik dan pencipta. 

Semakin berusia selera pemahaman saya semakin menekan tentang apa yang ada di dalam dari yang di luar. Saya mengkaji lirik-lirik lagu lama di tahun 50an seperti lagu 'Di Wajahmu ku lihat Bulan' ( Sam Simon ), ' Ikan di Laut Asam di Darat' ( M.Yatim dan Rubiah ) mahupun lagu 'Jangan Adik Angan-Angan ( P.Ramlee dan Rahmah Rahmat ) dan makna yang tersirat di dalamnya sangat menarik jika kita faham apa sebenarnya yang mahu disampai di dalam lagu. 

Umpamanya di dalam lagu 'Ikan di Laut Asam di Darat' antara liriknya menyatakan ' kalau jujur makrifat iman, minyak dan air mungkin bercampur'. Jika kita cuba faham makna dan cerita dalam lagunya dengan lebih mendalam, kita akan dapati ceritanya berkisar tentang perjalanan hakikat insan dalam menuju Tuhannya dalam bentuk yang lebih telus. 

Apabila tiba era M.Nasir ( dato) dan geng-gengnya seperti Amin Shahab, Loloq dan beberapa kenalan yang sealiran, mereka menerus dan mempopularkan lagu-lagu yang berunsur ketuhanan yang penuh dengan mood puja dan puji umpama sepasang kekasih yang bercinta. 

Kita boleh dengar antara yang menarik untuk kita kaji seperti lagu 'Kepadamu Kekasih', 'Rindu',(Kembara), 'Suci Dalam Debu'(Iklim), 'Kasih tak Terhurai'( Sheqal), 'Berikan Nurbisa'(Hattan) dan kebanyakan lagu-lagu pop dari band-band rock jiwang terutamanya di tahun-tahun 90an dulu. 

Cerita tentang Tuhan bagi saya ia milik semua kita yang punya roh. Kita punya hak menyatakan tahap kasih-sayang kita mengikut tahap faham kita dalam mengenal. Kalau tahap kenal kita itu sekadar huruf, neraka, syurga, dosa dan pahala, pun boleh juga. 

Kalau kita ingin menyingkap tabir usul dan cuba menyelongkar apa rahsia yang tersembunyi, itu lebih baik kerana hakikat itu cerita tentang diri kita dalam bentuk yang tulus dan telus. 

Antara lagu ketuhanan yang terbaik bagi saya sepanjang zaman, cuba dengarkan lagu dan liriknya ditulis oleh Sawong Jabo dan dinyanyikan oleh Fals juga Jabo, judulnya 'Anak Wayang'. Antara yang menarik dalam liriknya menyatakan 'mencintaimu adalah mencintai hidup' dan 'di mana air mata bukan lagi duka'. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment