Tuesday, February 5, 2013

RG2011... Berendam dalam Embun

 

oleh Amaluddin Zhafir

Tanpa cakap banyak, dia parkir motosikal SYM-nya itu di luar kawasan rumah teres keluarga aku. Motosikalnya yang besar itu tidak muat untuk diparkir bersebelahan kereta ayah ku. Disangkut jaketnya di laman depan rumah, ikut aku mendaki masuk ke bilik dan terus dimatikan tubuhnya di atas katil.

Aku pula tidak terus tidur, sebaliknya turun ke luar halaman rumah untuk sedikit sedutan nikotin.

Kisah yang aku akan sampaikan ini terlampau pelik, payah untuk dihadam. Ini adalah cerita benar dan sepanjang sembilan tahun ini, aku tidak pernah ceritakan kepada sesiapa.

Baru-baru ini aku terbaca mengenai sebuah kisah mistik seekor haruan keluar dari betis seorang perempuan. Bagaimana haiwan itu boleh keluar, mengikut ceritanya disebabkan oleh kuasa Allah SWT. Mudah hujahnya. Boleh saja aku salahkan Tuhan atas kecelaruan yang aku kisahkan ini, tetapi sudah tentu kita tak mahu masuk ke dalam hujah sebegitu rupa.

Kejadian ini berlaku sekitar Ogos 2003, antara jam satu pagi sehingga azan subuh berkumandang. Sebelum itu, aku dan Afif baru pulang dari uptown dan sesampai di rumah, aku buka pagar yang dikunci dengan mangga kecil, lantas mengajak Afif masuk dahulu ke dalam bilik aku memandangkan dia keletihan dan perlu rehat sebelum pulang ke rumahnya di Batu Uban, Pulau Pinang.

Di luar, di atas kerusi malas sambil menikmati kesunyian malam dan merasai sejuk pagi Sungai Petani ini tiba-tiba kucing aku, Bu berlari-lari ke laman rumah mengejar seekor cicak. Dalam masa sama, aku keluarkan lagi daun nipah dan tembakau jawa. Ketika itu Bu sudah pun berada di sebelah ku dengan pandangan tajamnya pada cicak itu.

Cicak itu sudah tak bergerak, mati di sebelah tayar kereta. Jelaslah cicak itu dah mampus bila aku mendekatinya. Mata cicak itu, aku perhatikan rapat-rapat, sangat-sangat besar dan ianya memandang tajam aku seperti ingin memohon pertolongan. Tubuhnya yang telah ditoreh Bu mengeluarkan lendir-lendir merah dari kepala hingga ke pangkal ekor. Bendalir merah dan usus-ususnya yang itu buat aku jijik, nak termuntah.

Biarkan cicak itu di situ, aku undur dan kembali melabuh punggung di sebelah Bu.

Tekak aku terasa haus. Dengan cepat rasa dahaga ini pula semacam menjerit-jerit meminta diisi. Lalu aku bangun dan pulas tombol pintu. Tapi ianya terkunci. Meraba-raba dalam poket tapi tak ada pula kunci. Hairan jadinya. Ketuk-ketuk pintu dengan kadar sederhana, supaya mungkin abang atau Afif dengar ketukan aku. Tapi tiada apa-apa respon. Tiada hasil, aku dail nombor Afif.

Ah! Masalah pula dengan talian. Betul juga, dah seminggu talian Maxis di sini mengalami 'masalah teknikal' merujuk kepada jawapan yang diberikan oleh jurucakap Maxis beberapa hari sebelum. "Sabar ya encik," katanya, "maybe dalam beberapa hari akan ok balik. La ni kawasan tu ada masalah teknikal."

Sudah lebih jam dua pagi, masih tiada petunjuk lagi untuk masuk ke dalam rumah. Berpuluh gulungan daun nipah sudahku buang ke longkang, dan beratus kali pintu di ketuk, masih tiada isyarat balas dari sesiapa kecuali bunyi-bunyi katak dan cengkerik pagi.

Terfikir untuk keluar menghabiskan masa di restoran mamak. Jadi aku pun meraba-raba dan keluarkan kunci motosikal dari jaket Kappa kepunyaan Afif yang disangkutnya di kerusi malas tadi. Aku hampiri pagar menuju motosikalnya yang diletak diluar. Aku jengok keluar; dah hilang! Motosikal yang diparkirnya depan rumah dah hilang? Gila apa.

Darah dalam tubuh menderau, dipam cepat sampai dapat rasa jantung macam nak luruh. Peluh keluar. Dari situ, fikiran terganggu, bermain-main, segala hal-hal agresif-negatif tersedia untuk keluar. Aku berlari ke tingkap rumah menjeritkan Afif. Ah, semua ahli keluarga aku sebut satu persatu. Haram tak dijawab seorang pun.

"Nak hare, apahal pulak ni?."

Bermundar mandir di laman rumah mencari kunci pagar, dan kunci rumah. Mungkin ada di mana-mana. Mungkin aku yang terlalu gelabah sehingga hilang pertimbangan rasional. Gabra, aku selongkar rak kasut yang tergantung, keluarkan semua kasut-kasut sampailah tangan aku terpaut dengan sebuah porch bag. Buka beg tu ada dua buah picagari; satunya berjarum, dan yang satu lagi masih dalam plastik belum dibuka.

Ah! Pulak! Siapa punya ni? Boleh pula ada di rumah aku. Ku raba-raba lagi dalam beg itu, terkeluarkan sebatang straw. "Aik?" hatiku tersentak. Aku picit straw itu, serbuk putih hampir tiada, tapi masih ada baki-bakinya lagi yang melekat. Aku letak straw itu di atas kerusi malas, dan buangkan dua picagari itu ke dalam longkang.

Entah kenapa tiba-tiba hilang perasaan takut akan kehilangan motosikal Afif. Aku kembali menyandar di kerusi malas, membelek serbuk-serbuk putih itu apabila aku terperasan bayang kepala di sebelah rumah, badannya dilindung dinding antara rumah kami, yang hanya nampak cuma satu kepala berambut putih pendek yang sedang membelek pokok kertas rumahnya; Bang Lan.

"Awal bangun, bang?" aku cuba tegur, sambil selitkan straw itu di tingkap belakang aku – takut-takut dia nampak. Kalau dia nampak apa yang aku pegangkan, pasti esok sebaik emak bangun tidur, satu taman perumahan di sini dah tahu.

Tetapi bayang bulat dengan rambut putih itu tak menjawab, sebaliknya dia terus tundukkan kepalanya membelek pokok bunga kertasnya.

Sudah lah tidak dijawab teguran aku, apa kes? Mungkin dia mamai. Fikiran aku berkecamuk dengan usus cicak yang menjijikan, kehilangan motosikal, kunci rumah dan motosikal yang hilang, dua picagari dan satu set ice. Tambah pula tiada siapa menyahut ketukan pintu. Ini menyugulkan aku.

Dari jauh aku lihat ada bayang manusia berjalan menuju ke rumah aku. Dibukanya pagar seolah pagar itu tak berkunci, dan diselitkan olehnya beberapa naskhah buku ke dalam rak kasut, dan dengan cepat melulu ke pintu rumah kemudian membuka pintu itu seperti ianya tak berkunci!

Dalam pada itu, aku jeritkan "hoi" pada abang aku itu. Tapi dia tak membalas. Terus aku bangun dari kerusi ikut dia masuk ke dalam rumah. Tapi sebaik sampai di pintu, ianya sudah ditutup. Sekali lagi, aku pulas tombol, tapi berkunci? Aku jerit, tapi tak ada respon.

Mayat cicak itu masih berada di sebelah tayar kereta, dan Bu pula sedang nyenyak tidur di atas simen. aku jengok jiranku tadi; dia dah hilang.

Bagus juga dia dah tak ada di luar. Boleh aku kencing di pagar rumahnya.

Azan subuh pertama sedang berkumandang. Aku tengok satu persatu rumah mula menyalakan lampu bilik masing-masing, bunyi kenderaan sudah kembali, bunyi air yang turun dari setiap bilik air mula mengalir ke dalam longkang dan waktu itulah aku nampak bayang abahku turun ke bawah lengkap berbaju melayu putih dan kain pelikat putih.

Dengan kelam kabut aku ketuk pintu sambil pulas tombol, tapi dia cuma berlalu ke dapur begitu saja. "Takkan dia tak dengar aku? Sedangkan azan subuh dia dengar," begitulah fikir aku. Kenapa tiada siapa perasankan kewujudan aku? Jiran aku, lembaga misteri yang masuk ke rumah, dan abah, semua tak pedulikan aku.

Betul! aku semacam hendak menangis memikirkan kehidupan yang sebegini; tak dipeduli orang. Kosongnya seperti ditinggal berseorangan dalam sebuah planet yang kontang. Dalam keadaan mata yang makin berair, aku lihat emak pula turun ke bawah. Kali ini, aku jerit sekuat hati memanggilkan emak sambil memulas tombol. Beberapa kali pulas tombol, ianya kemudian jadi ringan, emak berada di depanku. aku di pandangnya beberapa saat, seolah terkejut, lalu dia bersuara, "La, awat tak masuk?" Perasaan sedih dan kacau itu dengan cepat bertukar dengan perasaan yang sangat gembira bercampur maha keliru. Seperti mahu memeluk kuat tubuh emak. Tapi apa yang terkeluar dari mulut aku ialah;

"Ish. Dah berapa kali dah panggil minta buka pintu. Sorang pun tak menyut," aku jawab sambil mengangkat jaket kawanku.

"Aik, bukan keluar tadi bawa kunci ka?"

"Bawa. Tapi tak jumpa pun. Hilang kut."

"Naik atas pi sembahyang."

"Ha."

Perlahan aku memaksa tubuh longlai ini mendaki anak tangga ke bilik untuk mengkhabarkan kepada kawanku tentang kehilangan motosikalnya.

Tapi, dia tiada dalam bilik. Pelik! Tadi aku yang temankan dia ke bilik aku. Dengan sekali dail, kawan aku jawab panggilan aku.

"Awat weh?"

"Hang ada mana?"

"On the way balik rumah." dia jawab, dengan efek deru angin.

"Aik?" aku cuba untuk tak terus menceritakan kepada dia, "Kunci motor hang dengan jaket hang ada dekat aku ni weh."

"Toya hang ni. Aku dok pakai ni."

"Ah, sori, sori." aku jawab ragu-ragu sambil melihat yang jaketnya tidak dipegang lagi.

Aku putuskan talian, dan buka laptop untuk memutarkan beberapa mp3 sebelum tidur. Dengan Eminem berkumandang menghalang azan subuh kedua, aku buka fail PDF The Adventure of Sherlock Holmes, dan terus langkau ke cerpen bertajuk A Case of Identity. Aku mula baca. Alangkah terujanya bila di perenggan pertama, Sherlock Holmes bercakap kepada Dr Watson mengenai kejadian pelik yang berlaku pada manusia.

Aku tampalkan salinannya di sini dalam bahasa Inggeris:

"My dear fellow," said Sherlock Holmes as we sat on either side of the fire in his lodgings at Baker Street, "life is infinitely stranger than anything which the mind of man could invent. We would not dare to conceive the things which are really mere commonplaces of existence. If we could fly out of that window hand in hand, hover over this great city, gently remove the roofs, and peep in at the queer things which are going on, the strange coincidences, the plannings, the cross-purposes, the wonderful chains of events, working through generations, and leading to the most outre ́ results, it would make all fiction with its conventionalities and foreseen conclusions most stale and unprofitable."

"Weh, ni apa yang rasa tadi!" aku cakap sedikit kuat dan teruja pada Afif yang berada di belakangku. "Macam nilah tulisan-tulisan yang baik. Tulisan yang boleh bagi kita sentap."

Kemudian aku tersedar dari keterujaan, menoleh kebelakang, dan ya, memang tiada siapa di belakang aku, kecuali katil yang masih cekang cadarnya.

Aku pun tak pasti apa yang aku fikirkan waktu itu. Kenapa aku boleh bercakap dengan Afif yang tiada dalam bilik, semua ini berlaku spontan seolah aku dah terlupakan apa yang berlaku hampir empat jam sebelumnya.

Aku kembali menghadap cerpen itu, dan dalam separa khayal akan tetapi, tidak dapat aku tumpu lagi, lalu terpacul, "Jom, turun makan Afif."

Aku tersedar serta merta untuk kali kedua cuma aku sorang saja dalam bilik.

Selepas beberapa perenggan, badanku meletih, dan aku fikir inilah masanya untuk tidur.

**

Aku terjaga tepat pukul 7 pagi bila abah bertanyakan kunci pagar. Kunci pagar yang hilang itu ada bersama kunci pintu dapur, jadi, sangat susah kalau pintu dapur tak boleh dibuka. Macam mana nak sidai baju di ampaian belakang rumah?

Dengan malas dan berat yang melampau, aku gagahi juga menyelup poket seluar. Tiada. Turun ke bawah, ke pintu pagar yang masih berkunci, dan mula perah otakku.

"Macam mana aku boleh masuk pintu pagar yang berkunci? Tak mungkin aku melompat tembok, sebab aku betul-betul pasti yang aku tak buat kerja-kerja begitu awal pagi tadi," fikir aku.

Dari pagar, aku pusing halaman rumah, habis bawah kereta aku jengok, dalam rak kasut, bawah kerusi malas, dalam beg kecil; tiada. Mayat cicak yang berada di sebelah tayar juga sudah tiada, bergantikan kumpulan kulit langsat. Melalui pagar di kiri dan kanan rumah, aku menjengok kawasan jiranku. Mana tahu kalau kunci itu dibawa Bu ke sana sini. Tapi tiada; kosong.

Hm, pelik.

Tak puas hati, aku kembali ke bilik, menyelongkar setiap poket jaket dan seluar, dalam dompet, bawah bantal, meja komputer, hasilnya tetap menghampakan.

Aku kembali turun ke bawah.

"Aku rasa hang dah bagi jatuh dah tadi ni," abah tegur sambil berbaring menonton tv.

"Hm…"

"Pagi tadi bukan ka hang masuk pakai kunci tu?" Abah tanya tanpa toleh ke arah aku.

"Ha?" aku jawab. Aku sangat pasti emak lah yang membuka pintu rumah. Tetapi kenapa dia…?

Aku nyalakan sebatang rokok, dan duduk di kerusi malas. Cuba mengimbas kembali kejadian awal pagi tadi. Sedikit demi sedikit, aku kumpulkan fakta seperti berikut:

a. Aku masuk ke laman rumah, tanpa memanjat tembok. Ini aku sangat pasti. Maksudnya aku buka pagar dengan kunci.

b. Di antara pukul 1 sampai 5 pagi, aku cuma duduk di depan rumah. Tak masuk. Sebab 'kunci hilang.'

c. Waktu emak membuka pintu depan, aku macam terperasan aku buka dengan kunci aku. Atau emak yang buka?

d. Pukul 6 pagi aku tidur.

Jadi, kesimpulanya, kunci itu berada di antara pagar rumah sampailah ke pintu depan rumah. Untuk mengatakan yang kunci ada di bilikku, agak mustahil sebab kami sekeluarga sudah biasa menyimpan kunci di dalam kotak kunci di ruang tamu setiap kali masuk ke rumah.

Macamana pula dengan lembaga yang menyimpan buku-buku di bawah rak kasut? Logik aku mengatakan lembaga itu ialah abang aku. Kecuali empat beranak kami, tiada siapa boleh masuk ke dalam rumah senang lenang begitu saja. Jadi aku naik ke biliknya dan selongkar pakaiannya.

Tengoklah pembaca-pembaca sekalian. Sampai ke cerpen ini disiarkan di JalanTelawi, aku belum jumpa logik kejadian ini. Gelap-gelap itu belum disuntik dengan walau setitik cahaya pun. Dengan nama tuhan aku bersumpah, kejadian dalam cerpen ini betul-betul berlaku.

Perihal bagaimana kunci itu berada dalam pasu bunga, cicak yang asalnya keping-keping kulit langsat, buku-buku yang disimpan di bawah rak kasut, kehilangan motosikal dan kawanku yang sekejap ada sekejap tiada, pelik!

Mungkin adakalanya kita tak perlu mencari jawapan dalam sesuatu hal. Tanpa jawapan yang kita kehendakkan, tubuh ini semacam bangkai beryawa yang bermundar-mandir di depan rumah mencari kunci – kosong. Hanya dengan menceritakan kepada kamu, dengan memasuki dunia bermasyarakat, sedikit sebanyak kurang rasa untuk mencari jawapan pasti. Dan ianya boleh kata agak melegakan.

Macam memancutkan peluru air ke arah orang yang suka kita usik. Rasa terpinggir, hilang dan kosong yang memilukan hati, sikit-sikit terhakis dengan keseronokan sementara sebelum diganti dengan masalah-masalah lain. Ah! Graviti, karma! Kita tahu ke mana tetapi tak pasti yang mana!

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment