Tuesday, February 5, 2013

RG2011... Sayang, You nampak cantik; Sayang, I Love You dan Leviathan

 

oleh Muhammad Daniyal Abd Kadir

Sayang, I datang lagi.

Kau telefon aku. Kau beritahu yang kau ada masalah besar sekarang dan kau perlukan wang tunai RM30 ribu. Aku beritahu kau aku tak ada duit sebanyak itu. Nada suara kau berubah, daripada merayu kepada marah. Kau cakap aku tak boleh diharapkan. Kau cakap aku bukan kekasih setia. Kau cakap aku menipu kau.

Aku diam di hujung talian. Dalam hati aku menyesal mula timbul. Kenapa aku boleh meniduri perempuan macam kau dan selepas itu baru aku lafazkan cinta. Aku fikir di dalam hati lebih baik lepas aku meniduri kau, aku tembak telinga kau dengan pistol aku. Hmm maksud aku pistol terpakai aku, BARRETA 92 .22 cal.

Aku terfikir juga, aku boleh tembak kau sekarang. Aku lari masuk bilik. aku biarkan telefon seketika. Aku biarkan kau membebel seorang. Aku kembali dapatkan telefon. Aku tarik picu dan Bangggg!!!!

Peluru .22 cal terbenam dalam telefon dan aku tak lagi dengar suara kau. Esoknya aku bangun pagi macam biasa aku buka televisyen dan tonton berita pagi.

"Seorang wanita berusia dalam lingkungan 20an maut secara tragik, mengerikan dan misteri selepas telinganya pecah dan kepalanya bersepai terkena peluru yang dihantar secara sesat melalui talian telefon. Pihak polis kini masih lagi menyiasat punca kematian dan modus operandi pembunuhan melalui talian telefon"

Aku ambil alat kawalan jauh, tutup televisyen dan aku telefon kau untuk ajak sarapan bersama-sama. Tapi telefon kau tak berjawab dan aku cakap dalam hati tak apa, aku pergi mandi dulu dan aku cuba lagi 20 minit.

 

Sayang, you nampak cantik

Kau jemput aku datang rumah untuk makan tengahari. Hari itu hari Ahad, aku tak ada buat apa-apa dan aku setuju. Aku tanya kau, kau nak masak apa, kau jawab surprise. Aku cakap ok.

Aku sampai rumah kau lagi lima minit sebelum pukul satu, aku tekan loceng dari luar pintu pagar, aku tekan lagi berkali-kali, aku nampak kau berlari-lari anak ke arah pintu pagar. Kau tanya aku kenapa aku berpeluh banyak sangat, aku cakap pada kau pendingin hawa kereta aku rosak dan kereta jadi berkuap. Kau tanya aku lagi kenapa tak buka tingkap, aku cakap punat tingkap automatik dah lama tercabut, aku malas nak ganti. Kau senyum tengok aku. Aku tanya kau boleh aku masuk. Kau angguk dan buat senyum paling manis dan tarik tangan aku. Aku biarkan saja.

Peluh aku mula jadi dingin terkena angin kipas berkelajuan empat di ruang tamu rumah kau. Aku sandarkan badan pada sofa dan cari alat kawalan jauh televisyen. Aku tekan punat On, tapi TV kau tak terpasang. Aku kuatkan suara panggil kau yang sedang siapkan makanan di dapur. Kau jawab dari jauh yang remote dah habis bateri. Aku jawab ok dan belek-belek majalah fesyen yang berlonggok di bawah meja.

Kau panggil aku ke meja makan. Kau cakap makanan dah sedia. Aku bingkas bangun dan menuju meja makan. Aku tengok kau hidangkan makanan berkonsepkan sayur-sayuran saja. Tak ada daging, tak ada ikan dan tak ada ayam. Aku tanya kau, sejak bila kau vegetarian, kau jawab kau bukan vegetarian, tapi nak kuruskan badan.

Aku jadi pelik bila kau cakap macam tu, sebab berat badan kau sekarang 50 kilogram adalah ideal dengan ketinggian kau yang 159 sentimeter itu. Aku tanya kau kenapa kau rasa diri kau gemuk. Kau jawab sebab boleh rasa ada lemak yang semakin banyak. Aku cakap aku tak nampak pun lemak kau. Kau cakap ada. kau cakap lemak kau ada di bawah dagu, sekitar lengan, bahagian pinggang, peha dan perut. Aku cakap kau mengarut. Aku cakap kau terlalu obses bukan obes dan bila kau terlalu obses kau jadi lupa tentang diri kau. Aku cakap kau dah terlalu terpengaruh dengan majalah-majalah fesyen.

Muka kau mencuka bila aku cakap macam tu. Aku termenung depan makanan yang kau masak sambil memandang masam wajah kau. Aku cakap aku minta maaf dan aku ada cara untuk hilangkan lemak-lemak kau. Kau mula senyum dan kau pantas tanya aku apa caranya. Aku cakap tunggu sekejap. aku bangun dari kerusi dan pindah ke sebelah kau. Kau tanya aku nak buat apa. Aku cakap aku nak buat ini. Aku terus tumbuk pipi kau. Kau cakap aku gila. Aku cakap tidak, aku cuma nak cari cara paling cepat untuk lalikan kau. Aku tumbuk dua kali di hidung dan telinga kau. darah meleleh keluar dari hidung kau. Tak lama kemudian mata kau kuyu dan kau pengsan.

Aku tarik kau ke bilik air. Aku baringkan kau di lantai dan aku keluar dari bilik air menuju ke dapur. Aku pilih beberapa jenis pisau yang sesuai. Aku capai Serrated Knife, Chef's Knife, Cleaver Knife, Boning Knife dan Slicing Knife. Mula-mula aku rasakan Paring Knife mungkin perlu, tapi aku tak jadi ambil sebab aku bukannya nak buat apa-apa ukiran. Aku rasa bukan semua pisau akan aku gunakan, namun aku malas berpatah-patah balik ke dapur, jadi aku ambil saja pisau yang aku fikirkan sesuai.

Aku kembali ke bilik air dengan pisau-pisau tadi. Aku cuba Serrated Knife pada betis dan peha kau, tapi tak berapa terpotong, mungkin kulit kau lagi tebal dari roti Perancis. Jadi aku belah bahagian tengah betis kau sampai ke peha dengan Chef's Knife, nama pun Chef's Knife memang pisau ini serbaguna boleh potong dan hiris bahagian lembut dan keras. Aku belek-belek belahan betis dan peha kau. Aku tak jumpa pun lemak.

Aku ambil Slicing Knife, aku hiris bahagian bawah dagu kau, aku harap kali ini aku jumpa lemak kau. aku benamkan bahagian hujung pisau sedikit dan aku tarik dari hujung ke hujung sampai terbelah bahagian dagu kau. Darah menyiram dan aku tak dapat kawal alirannya. Aku seluk jari ke dalam belahan luka di bahagian bawah dagu kau. Aku meraba-raba lemak dan aku jumpa sedikit. Aku tarik keluar lemak seperti tali itu.

Aku picit-picit bahagian lengan kau, aku cuba kesan lemak dari luar, tangan kau kurus, aku tak jadi nak belah. Aku tak nak buang masa. Aku singkap baju kau sampai ke perut dan tekan-tekan jari pada perut kau. aku cucuk-cucuk lembut Chef's Knife sekali lagi pada perut kau. Aku hiris perlahan-lahan pada bahagian perut kau. aku bentukkan bulatan dan kemudian aku mulakan keratan rapi. Aku koyak dengan hati-hati kulit perut kau dan aku nampak isinya. Aku tinjau-tinjau kalau ada lemak dan aku jumpa segumpal lemak sebesar penumbuk, tapi aku rasa mungkin lebih besar atau lebih. Aku potong-potong gumpalan itu kepada bahagian-bahagian kecil. Aku senyum, aku tahu masalah kau sudah selesai. Semua lemak kau sudah aku buangkan.

Aku balut badan kau dengan tuala. Aku dukung kau kembali ke meja makan. Aku dudukkan kau di kerusi menghadap hidangan yang kau masak tadi. Darah banyak dalam rumah, penuh di lantai dan merata-rata lagi. Aku cakap pada kau, tak apa nanti aku bersihkan yang penting aku dah kuruskan kau.

Aku duduk menghadap kau di depan meja makan. Aku ajak kau makan. Tapi kau diam saja. Aku tanya sama ada kau tak suka, tapi kau diam. Aku ingat pesan mak aku, kalau anak dara diam tandanya dia suka. Jadi aku fikir kau suka. Sebelum makan aku pergi belakang rumah kau sekejap, aku kutip daun-daun pada pokok-pokok yang aku tak tahu jenisnya, rumput-rumpur liar dan lalang-lalang tinggi. Aku kumpulkan dalam beg plastik dan aku bawa masuk dalam rumah. Aku hidangkan apa yang aku kutip tadi di depan kau. Aku suap kau dengan daun, rumput dan lalang tadi.

"Sayang, kalau you nak kurus kena makan benda-benda organik macam ini, baru sihat, I sayang you."

 

Leviathan

"Jadi kau setuju kahwin dengan aku malam ini?"

Abidin Dindang bertanya dengan penuh kaget. Perasaannya ketika ini adalah separuh percaya dan separuh tidak. Setakat ini dia masih lagi belum membuat keputusan dengan apa yang didengarnya dari mulut Amyliana Mahmudah.

Amyliana Mahmudah adalah kekasih hati dan pujaan jantung Abidin Dindang. Mereka sudah hampir tiga tahun bercinta dan sekali-sekala mendengar manis-manis mulut Abidin Dindang menjanjikan istana perkahwinan untuk Amyliana Mahmudah.

Sebelum ini, Abidin Dindang hanya pandai berjanji, tetapi entah mengapa malam itu dia bersungguh-sungguh dan mahu Amyliana Mahmudah segera mengahwininya tanpa bertangguh lagi.

Apa yang lebih mengejutkan Amyliana Mahmudah yang sebelum ini cenderung untuk mengabaikan kata-kata manis bak madu lebah Abidin Dindang, secara tiba-tiba bersetuju dengan permintaan bersifat rayuan lelaki yang dianggapnya hero kisah cinta mereka.

"Ya, aku setuju Abidin, tetapi setuju aku ini bukan setuju yang buta, setuju aku ini setuju yang ada ikatan. Bak kata brader-brader PERKASA setuju aku ini ada kontrak sosial yang perlu ditandatangani," Amyliana Mahmudah meluahkan dengan tenang pendahuluan persetujuannya.

Seperti yang kita semua tahu, perkahwinan itu adalah jalinan sosial dan memerlukan rencah-rencah bersifat ekonomi dan sedikit kepandaian politik. Namun asas perkahwinan itu adalah sosial jadi untuk itu Amyliana Mahmudah menawarkan kontrak sosial untuk dipersetujui sebelum perkahwinan mereka menerobos aspek-aspek sosial yang lebih rumit serta mencurigakan.

Ya. Perkahwinan itu juga terbina dengan rasa curiga.

"Kontrak sosial? apa maksud kau Amyliana?" Abidin Dindang mula tidak sedap hati dengan jawapan kekasih hatinya yang jarang-jarang menggunakan istilah-istilah falsafah yang berkaitan dengan Rousseau, Hobbes dan Locke.

"Apa kau baru selesai membaca Leviathan?" Abidin Dindang terus mengeluarkan soalan kedua tanpa sempat dijawab Amyliana Mahmudah.

"Leviathan?" Amyliana bingkas memotong sebelum Abidin meneruskan kuliah falsafahnya.

"Apa yang kau merepek ini Abidin, aku tak pernah langsung bercinta dengan manusia lelaki bernama Leviathan. Malah aku tak kenal pun siapa Leviathan. Kau jangan cemburu dengan aku. Kau jangan cemburu buta. Kau jangan jadi lelaki-lelaki tipikal dalam drama-drama televisyen kerajaan dan swasta. Kau jangan nak membuatkan kisah kita ini akhirnya jadi seperti kisah-kisah biasa di dalam televisyen kerajaan dan swasta," Kali ini giliran Amyliana Mahmudah pula bercakap dengan panjang lebar.

"Habis yang kau cakap tentang kontrak sosial itu apa?" Abidin pula mengambil giliran menyampuk.

"Ya. kita kahwin tetapi perlu ada kontrak sosial. Aku mahu kita awal-awal lagi gariskan tentang hak dan tanggungjawab kita secara bersama," Amyliana Mahmudah memulakan bicara.

"Apa kau fikir aku jenis lelaki tak bertanggungjawab sampai kau terfikir kita perlu ke tahap pembikinan kontrak sosial?" Abidin mula seperti kurang senang. Dia mula memikirkan yang Amyliana Mahmudah sudah curiga dan terhakis kepercayaan kepadanya.

"Aku mahu kita saling mengawal. Kau tak boleh terlalu dominan terhadap aku dan aku tidak boleh terlalu dominan terhadap kau," Amyliana Mahmudah masih tenang memberi penjelasan.

"Itu sahaja?" Abidin Dindang bertanya dengan wajah menganggap mudah apa yang dikatakan Amyliana Mahmudah.

"Prinsipnya itu sahaja," balas Amyliana Mahmudah ringkas.

"Jadi mari kita ke padang lalang dan kita berkahwin di sana."

Abidin Dindang lantas menarik tangan kekasih hatinya. Kedua-dua mereka berlari-lari anak menuju padang lalang. Setibanya di sana, Amyliana Mahmudah mengeluarkan kertas setebal 12 muka surat dan ia adalah kontrak sosial yang dimaksudkannya.

"Ini kontraknya, sebelum kita kahwin kau tandatangan dahulu," pinta Amyliana Mahmudah kepada kekasih hatinya.

Lantas tanpa bertangguh, Abidin Dindang menandatangani kontrak sosial berkenaan dengan bersaksikan bulan Penumbra dan bintang Arcturus.

Amyliana Mahmudah senyum melihat persetujuan segera Abidin Dindang dan dia mengambil semula kontrak yang sudah siap ditandatangani untuk disimpannya di dalam peti besi sekembalinya mereka ke rumah nanti.

Tanpa disedari Abidin Dindang, fasal akhir kontrak berkenaan ada menyebut mengenai hukuman kepada mereka yang tidak mematuhi kontrak sosial itu.

"Fasal 30 (Akhir-Hukuman) – Kepada pihak wanita yang tidak patuh kepada syarat kontrak hendaklah diceraikan. Namun kepada pihak lelaki yang tidak mematuhi kontrak mereka hendaklah diguillotinekan dengan serta-merta."

Di bawah cahaya samar Bulan Penumbra dan Bintang Arcturus Abidin Dindang memeluk erat isterinya, Amyliana Mahmudah yang asyik tersenyum dengan penuh makna.

 

Muhammad Daniyal Abd Kadir berusia 26 tahun dan berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Gemar meneliti isu-isu sekeliling dan menggarapnya dalam pandangan sendiri. :-)

 

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment