Monday, December 2, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 031213 bersamaan 29 Muharram 1435H

 

 

 

 

Tarif elektrik naik tahun depan

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

KUALA LUMPUR - Subsidi elektrik dan gas akan disemak semula, dengan kadar purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Jan 2014.

Tarif elektrik semasa ialah 33.54 sen. Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kadar purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 5 sen KWJ atau peningkatan 16.9 peratus daripada kadar semasa iaitu 29.52 sen KWJ kepada 34.52 sen KWJ, berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Bagaimanapun, 70.67 peratus atau 4.56 juta daripada keseluruhan 6.45 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 62 peratus atau 260,000 daripada 418,000 pengguna domestik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, yang menggunakan elektrik pada kadar 300 KWJ dan ke bawah, tidak terlibat dengan semakan itu.

Ketika mengumumkan semakan itu di Parlimen, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata kerajaan akan terus membantu dengan memberikan rebat kepada pengguna yang bil elektriknya berjumlah RM20 dan ke bawah sehingga 31 Dis 2014.

Beliau berkata ekoran pelaksanaan tarif baharu ini, kerajaan masih perlu menanggung RM14 bilion subsidi setahun melalui pelepasan hasil perolehan gas asli ke atas semua pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia, termasuk RM2.4 bilion setahun untuk pengguna domestik kurang daripada 300 KWJ sebulan.

Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, subsidi yang ditanggung kerajaan sebanyak RM570 juta setahun, termasuk RM155 juta setahun untuk kategori pengguna yang sama," kata Ongkili.

Selaras dengan penyelarasan kadar purata tarif elektrik daripada 33.54 sen/KWJ kepada 38.53 sen/KWJ, beliau berkata kerajaan akan menyelaraskan semula tarif elektrik yang melibatkan pengguna domestik, komersil dan industri.

"Bagi pengguna domestik, purata tarif akan dinaikkan kepada 31.66 sen/KWJ daripada 28.63 sen/KWJ iaitu penyelarasan sebanyak 1.21 sen/KWJ (3.03 peratus).

Purata tarif komersil akan dinaikkan kepada 47.92 sen/KWJ daripada 41.01 sen /KWJ iaitu penyelarasan sebanyak 6.91 sen/KWJ (16.85 peratus), manakala bagi tarif industri, ia dinaikkan kepada 36.15 sen/KWJ atau 5.21 sen/KWJ (16.85 peratus) daripada 30.94 sen /KWJ," kata Ongkili.

Beliau berkata peningkatan itu melibatkan empat komponen termasuk kesan penyelarasan harga gas domestik daripada RM13.70 juta MMBtu kepada RM15.20/MMBtu ke atas tarif elektrik sebanyak 1.52 peratus atau 0.51 sen/KWJ.    

Ini juga melibatkan kesan penetapan harga gas asli cecair (LNG) yang diimport pada harga RM41.68/mmBtu ke atas tarif elektrik sebanyak 10.17 peratus atau 3.41 sen KWJ," katanya.

Selain itu, Ongkili berkata ia juga disebabkan oleh penyelarasan harga arang batu daripada AS$85 metrik tan kepada AS$87.5 metrik tan ke atas tarif elektrik sebanyak 0.51 peratus atau 0.17 sen/KWJ.

"Semakan tarif asas TNB itu melibatkan kenaikan sebanyak 2.69 peratus atau 0.90 sen KWJ daripada kadar purata tarif semasa. Tarif asas tenaga ini akan dikawal selia melalui mekanisme insentif berasaskan peraturan (IBR) oleh Suruhanjaya Tenaga.

Bagi mengukuhkan kewangan negara dan ke arah penetapan harga gas berasaskan mekanisme harga pasaran, usaha rasionalisasi subsidi merupakan langkah yang perlu diteruskan oleh kerajaan," kata Ongkili.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan juga perlu memastikan syarikat utiliti mampu menampung peningkatan kos pembekalan elektrik dan mempertingkat pelaburan untuk menyediakan infrastruktur dan operasi pembekalan elektrik yang lebih baik. - Bernama

Dr Mahathir sah letak jawatan

Oleh: NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK

Tarikh: December 2, 2013

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan beliau telah melepaskan jawatan sebagai Penasihat Petronas berkuat kuasa semalam.

Menurutnya, faktor kesihatan menjadi salah satu sebab beliau berbuat demikian.

"Oleh kerana umur saya dah tua, saya perlu perlahankan perkhidmatan yang selama ini saya buat.

"Ia juga selepas dinasihatkan doktor untuk saya mengurangkan aktiviti dan tidak terlalu aktif ketika ini," katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kesahihan beliau meletak jawatan daripada syarikat minyak itu dan sebab beliau mengambil keputusan demikian.

Beliau berkata, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga akan mengehadkan perjalanan beliau untuk lawatan ke luar negara sekali dalam sebulan sahaja.

"Isteri saya kawal segala program kerana tidak mahu saya terlalu penat dengan semua tanggungjawab ini.

"Sebenarnya saya tidak suka menjadi tua, saya mahu jadi muda agar dapat meneruskan khidmat di syarikat tersebut," katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau telah menulis surat untuk memaklumkan mengenai niatnya itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Difahamkan beliau akan kekal sebagai Penasihat Proton, syarikat pengeluar automatif nasional.

Ayah Ammar: "Kematian yang menghidupkan"

Oleh: MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

Tarikh: December 2, 2013

SHAH ALAM - Tutur katanya memperlihatkan beliau seorang ayah yang tabah. Begitu juga ketenangan di wajah seorang ibu tatkala menceritakan detik perginya anak lelaki tunggal dalam keluarga mereka.

Tiada ratapan sayu mahupun tubir mata yang bergenang saat menceritakan tentang putera kesayangan, Ahmad Ammar yang maut dilanggar sebuah ambulans di Istanbul, Turki, bulan lalu.

Kisah Ammar menjadi sebutan malah video mengenai kisah remaja berusia 20 tahun yang merantau jauh semata-mata mahu mendalami ilmu Islam itu disaksikan lebih sejuta pelayar YouTube. 

Ramai antara kenalan Ammar menyifatkan pemergiannya sebagai syahid yang tertangguh.

Ammar digambarkan sebagai mujahid yang disayangi ramai bahkan jenazahnya disemadikan bersebelahan dengan makam sahabat Rasulullah SAW, Saidina Abu Ayub al-Ansari, di pemakaman Eyub di Turki.

Satu-satunya jenazah rakyat Malaysia yang dikebumikan di sana. Kisah sedih permergian Ammar menjadi bualan di seantero dunia.

Permata berharga dari bumi Malaysia itu terkenal dengan akhlak dan perjuangannya mahu mendalami sejarah Islam.

Ujar ayah Ammar,  Ahmad Azam Abd Rahman, 53, pemergian anaknya itu telah "mencelikkan kembali hati-hati manusia", ketika menghadiri sesi dialog di bangunan Karangkraf hari ini.

Malah menurut Azam, selepas pemergian anaknya itu, kerja dakwahnya menjadi semakin mudah apabila semakin ramai masyarakat tampil menghulurkan bantuan untuk umat Islam sejagat,  kata bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia itu.

"Selepas masyarakat menonton video pemergian Ammar di Youtube, ramai yang terkesan, mereka (masyarakat) menangis, mereka kata hendak berubah.

"Mereka kata walaupun Ammar baru menjejak usia 20 tahun namun sudah banyak kerja dakwah yang beliau (Ammar) telah lakukan, tetapi mereka hanya setakat pergi surau sahaja," katanya.

Dalam nada yang sama, tambah Azam lagi, hubungan diplomatik dengan negara Turki serta tempat Ammar belajar (Universiti Marmara) juga seolah-olah dipermudahkan oleh ALLAH.

"Sewaktu  jenazah Ammar disembahyangkan, Rektor Univerisiti ada datang sekali, Alhamdulillah selepas peristiwa itu segala urusan pelajar Malaysia di Universiti berkenaan menjadi mudah.

"Sebelum ini banyak kerenah (prosedur) untuk urusan kemasukan, namun selepas Rektor berkenaan hadir sekali, hatinya terbuka untuk memudahkan urusan pelajar kita di sana, Alhamdulillah atas segala nikmat pemberian-NYA," katanya penuh tanda kesyukuran.

Ibunya, Nur Azlina Abdul Aziz dipetik Kosmo! sebelum ini berkata, Ammar merupakan anak yang cukup mudah dijaga. Malah sukar untuk mengingati bila kali terakhir beliau memarahi anaknya itu.

"Anak saya seperti remaja-remaja lain, cuma beza Ammar ialah akhlaknya. Ketika orang sibuk bertanya tentang keperibadian arwah, saya cuba ingat kembali, berapa kali saya meninggikan suara atau jika pernah terdetik perasaan marah kepadanya.

"Baru saya tersedar, tidak pernah sekali saya melakukan semua itu kepadanya. Dia anak yang mudah dijaga dan tidak pernah merungut," cerita Nur Azlina yang aktif dalam badan kebajikan amal kepada akhbar itu.

Malah ujarnya, Ammar merupakan seorang yang pendiam dan hanya bercakap apabila perlu sahaja sama ada bersama teman mahu pun ahli keluarganya.  

Sehinggakan kata Nur Azlina, guru sekolahnya pernah menelefon beliau semata-mata mahu memberitahu Ahmad Ammar tergelak di dalam kelas. Masa kecilnya, ujar Nur Azlina, dahi arwah sudah mempunyai garis-garis halus. Optimis wanita itu, anaknya mungkin berfikir tentang umat Islam di seluruh dunia.

Sementara itu, ayah Ammar turut berkongsi tips bagaimana beliau memberi didikan kepada anak-anaknya.

"Di sini saya ingin berkongsi sedikit tips yang mungkin berguna dalam medidik anak-anak.

"Bagi saya antara tips yang penting ialah mengajar anak-anak dengan visi wawasan ummati, iaitu kita terapkan kepada anak-anak supaya satu hari nanti mereka menjadi salah seorang manusia yang dapat memberi kebahagian serta kemuliaan kepada Islam.

"Memberi nama yang baik supaya mereka mengikut contoh kepada individu tersebut, misalnya nama Muhammad, ajari mereka mengenai ketinggian adab kepada ALLAH, Rasul, ulama, guru, ajari mereka al-Quran.

"Wajibkan mereka solat, ajari mereka sejarah Islam supaya mereka bersemangat untuk memperjuangkan agama ALLAH ini serta yang terakhir ajari mereka supaya mempelajari bahasa asing (sebab itu saya hantar Ammar ke Turki supaya dia faham sejarah Islam Uthmaniah dan dapat memberi sumbangan pada Islam satu hari nanti, namun ALLAH lebih menyayangi beliau, saya reda dengan ketentuan-NYA ," katanya.

Menyamar kastam kutip duit

Oleh: NORMAWATI ADNAN

Tarikh: December 3, 2013

IPOH - Orang ramai diminta berwaspada terhadap taktik sebuah kumpulan yang menyamar sebagai pegawai kastam bagi tujuan kutipan wang, dikatakan untuk pembiayaan program jabatan itu.

Pengarah Kastam Perak, Datuk Muhammad Nasir Said berkata, setakat ini, jabatan tidak pernah mengeluarkan sebarang surat bagi tujuan kutipan wang untuk membiayai majlis yang dianjurkan.

Menurutnya, mana-mana penganjuran aktiviti di bawah jabatan adalah berdasarkan peruntukan yang disediakan juga sumbangan daripada kakitangan.

"Apa juga urusan babitkan nama jabatan, mereka perlu menunjukkan surat dan kad kuasa, jadi kita minta orang ramai jangan cepat terpengaruh," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden tiga lelaki dan seorang wanita yang dikesan menyamar sebagai pegawai kastam untuk mengutip wang secara haram dari peniaga di Kuala Kangsar, minggu lalu.

Kehadiran kumpulan berkenaan berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis sekitar jam 12 tengah hari, Sabtu lalu.

Mereka dikatakan meminta wang tajaan sebanyak RM1,000 daripada mangsa untuk mengadakan hari keluarga kastam di Jelapang.

Mangsa berusia 40 tahun itu bagaimanapun memaklumkan tidak mempunyai wang sebanyak itu sebelum kumpulan berkenaan beredar.

Mengulas lanjut, Muhammad Nasir berkata, tiada penganjuran program jabatan itu di Jelapang, sebaliknya hanya mengadakan satu majlis meraikan kakitangannya di Lumut pada Sabtu dan Ahad lepas.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan orang awam jangan mudah terpedaya dengan helah pihak tertentu yang menjual barangan lelong kastam dengan harga murah.

Katanya, dalam urusan itu, jabatan biasanya akan menawarkan sebut harga barang yang hendak dijual dan mengeluarkan tender terutamanya membabitkan kenderaan.

"Semua urusan penyerahan barang dan dokumen juga diserahkan di pejabat bukan di kedai kopi atau tepi jalan sahaja," katanya.

Waris bayi perempuan dicari

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 3, 2013

SEREMBAN - Waris bayi berusia 12 bulan, Nur Aleesya Najwa Abdullah yang ditinggalkan ibunya dicari untuk menyelesaikan urusan dokumentasi bayi berkenaan.

Penjaga sementara bayi itu, Dalelah Baba, 40, berkata, bayi itu dilahirkan di sebuah klinik di daerah ini pada 10 November tahun lalu dan ibu bayi itu dikenali sebagai Noryati iaitu seorang warga Indonesia.

"Saya mengenali wanita ini di Hulu Beranang, Lenggeng kerana dia bekerja berhampiran dengan rumah abang saya di sana.

"Ketika itu, dia mengandung tujuh bulan dan kehidupannya agak susah. Malah, dia juga tidak mempunyai sebarang dokumen untuk tinggal di negara ini," katanya yang tinggal di Lenggeng.

Menurutnya, sehari selepas dilahirkan, Nur Aleesya diberikan kepadanya untuk dijaga sebagai anak angkat sebelum ibunya itu menghilangkan diri dan gagal dikesan sehingga kini.

Dalelah berkata, dia kini sayang dengan bayi berkenaan dan menjaganya seperti anak kandung sendiri.

"Saya dan suami berharap waris atau sesiapa yang mengenali serta mengetahui di mana wanita itu berada dapat menghubungi saya di talian 019-6414351," katanya.

Pecut bila nampak polis

Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: December 3, 2013

SUBANG JAYA – Sangkaan sekumpulan penyamun bahawa anggota polis tidak membuat rondaan ketika hujan lebat membawa padah apabila dua daripada lima ahli geng itu berjaya diberkas, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, suspek yang menaiki kereta jenis Proton Wira berwarna hitam dikatakan sedang tercari-cari sasaran di Jalan SS 14/5D  untuk dijadikan mangsa samun mereka.

Tindak tanduk mereka yang mencurigakan berjaya dikesan dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, anggota URB cuba menahan kereta suspek di Jalan SS14/8F untuk pemeriksaan namun pemandu kereta menghimpit motosikal anggota.

Disebabkan cuak melihat kehadiran polis, suspek terus memecut kenderaan secara melulu sebelum terbabas dan melanggar tembok batu sebuah rumah di SS14.

Menurutnya, anggotanya kemudian menghadang kenderaan suspek menggunakan motosikal.

Kesemua suspek keluar dari kereta dan terus melarikan diri menuju ke arah Lebuhraya Kesas.

"Selepas berlaku pergelutan seorang daripada mereka berusia lingkungan 20-an berjaya diberkas di lokasi kejadian. Seorang lagi diberkas sejurus selepas itu," katanya.

Yahaya berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan menemui lima bilah parang disembunyikan bawah tempat duduk penumpang di belakang.

Turut ditemui, tiga telefon bimbit, beberapa topeng muka dan mulut, pemutar skru dan dokumen dipercayai milik mangsa samun.

Pemeriksaan mendapati kereta itu pernah dilaporkan hilang di Taman Sentosa, Klang 14 November lalu.

Katanya, kumpulan penjenayah dikenali sebagai geng topeng dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan samun dan melarikan kenderaan.

"Polis memburu tiga lagi rakan suspek untuk bantu siasatan," katanya.

Hasrat hantar adik tidak kesampaian

Oleh: Mohd Zailani Abdul Rahman

Tarikh: December 3, 2013

KOTA BHARU - Hasrat seorang kakak untuk menghantar adiknya ke tempat kerja tidak kesampaian selepas adiknya maut dalam kemalangan di Simpang Tiga Tiong, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, penunggang, Nor Rashidah Mohd Sapawi, 24, mengalami kecederaan ringan manakala adiknya, Noraidawatie Irnie Mohd Sapawi, 19 parah dan maut di tempat kejadian, selepas motosikal yang ditunggang Nor Rashidah dirempuh sebuah lori muatan batu.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 9.45 pagi itu, menyebabkan kedua-duanya diseret hampir 10 meter sebelum pemandu lori itu menyedari melanggar motosikal terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komosioner Azham Othman, berkata, secara tiba-tiba lori berkenaan yang diparkir di bahagian kanan jalan menukar haluan ke kiri selepas motosikal yang ditunggang Nor Rashidah sampai di lampu isyarat Perodua dan melanggar belakang motosikal.

"Akibat pelanggaran itu, kedua-duanya terjatuh dan diseret, namun penunggang hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan pesakit luar manakala pembonceng maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

"Mangsa yang maut di bawah ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut untuk urusan pengebumian.

"Pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa Mohd Sapawi Che Mat,48, berkata, Noraidawatie  yang merupakan anak kelima dari lapan beradik seorang yang peramah dan suka bergurau senda.

"Dia memang rapat dengan keluarga, namun tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum pemergiannya, hanya beberapa hari lalu dia gembira selepas diterima bekerja di KB Mall sebagai jurujual di pusat membeli belah terbabit.

"Apa pun saya redha dengan kejadian ini walaupun masih sedih dan terkejut dengan dan mengharapkan rohnya ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman," katanya.

Nelayan hilang ditemui selamat, 2 belum ditemui

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

PEKAN - Seorang nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Pahang semalam ditemui selamat di pantai berhampiran Rompin pagi ini manakala dua lagi yang turut dilaporkan hilang masih belum ditemui.

Mohamad Sharil Zulkifli, 28, ditemui terdampar di pantai berhampiran sebuah resort di Endau Rompin dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh orang awam kira-kira 8 pagi ini dan dihantar ke Hospital Mersing untuk rawatan lanjut.
 
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Yahya Othman mangsa dipercayai terapung dengan pelampung sebelum dihanyutkan ke kawasan berkenaan.

"Bekas kakitangan Yayasan Pahang itu kini dalam keadaan terlalu lemah namun dilaporkan stabil dan polis kini dalam usaha mendapatkan keterangan kejadian sebenar daripada mangsa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Yahya berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya bot yang dinaiki mangsa bersama dua lagi nelayan itu mengalami kerosakan sebelum terbalik di laut semasa menangkap ikan.

Mohamad Sharil Zulkifli dikatakan keluar pada jam 5.30 pagi semalam bersama jirannya, Mohamad Isa Awang Ngah, 65, dan anaknya, Mohamad Asri Mohamad Isa, 17, dari jeti Sungai Merchong menaiki sebuah bot jenis gentian kaca.

Bagaimanapun laporan kehilangan mereka bertiga dibuat isteri Mohamad Sharil, Norhafizah Abu Bakar, 23, di Balai Polis Nenasi kira-kira jam 8.33 malam semalam selepas suaminya masih tidak pulang ke rumah.

Yahya berkata usaha mencari dan menyelamat dua beranak yang hilang itu diteruskan oleh pasukan Gerakan Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia. - Bernama

 

Siasatan remaja dirogol sebelum kahwin dibuka

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

PUTRAJAYA - Pejabat Peguam Negara hari ini mengarahkan supaya polis mengumpul semula bukti berkaitan kes seorang remaja berumur 14 tahun yang dikatakan berkahwin selepas diperkosa, dalam tempoh seminggu.

"Bagaimanapun jika bukti yang dikumpulkan tidak mencukupi, kes ini tidak akan dibuka," kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam satu persidangan media di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan menggunakan bukti yang diperoleh semasa kertas siasatan tersebut dibuka pertama kali tahun lepas, selain akan memanggil semula individu berkaitan untuk merekod percakapan.

Katanya keputusan dibuat ekoran gesaan orang awam yang prihatin dengan kes itu.

Abdul Gani berkata antara individu yang akan dipanggil ialah mangsa, ayah mangsa, ibu saudara mangsa, doktor yang memeriksa mangsa serta dua suspek termasuk bekas suami mangsa.

Kes berkenaan mula mendapat perhatian selepas penceraian pasangan muda itu pada November mendapat liputan meluas media, dan bapa remaja perempuan itu membuat kenyataan media bahawa anaknya menjadi mangsa rogol sebelum berkahwin.

Remaja itu dinikahkan pada bulan November tahun lepas setelah mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim.

Beberapa hari selepas penceraian, bapa gadis itu dilaporkan berkata bekas suami remaja itu dan dua kawan lelakinya telah memperkosa anaknya empat bulan sebelum pernikahan, dan kes itu pernah dilaporkan kepada polis pada 15 Julai 2012.

Menurutnya laporan itu ditarik balik selepas dia didatangi bapa lelaki berkenaan yang merayu supaya laporan ditarik balik. - Bernama

Lelaki samun kad tambah nilai dipenjara 6 tahun

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

KOTA BHARU - Gara-gara menyamun sekeping kad tambah nilai prabayar bernilai RM5 dan mencederakan pemilik kedai, seorang pemasang kabel dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas dia didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Hakim Mohd Yusoff Yunus menjatuhi hukuman itu terhadap Rizal Yusof, 29, dari Kampung Wakaf Zain, Tawang, Bachok, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

"Pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata dan mahkamah dengan ini menjatuhi hukuman penjara selama enam tahun berkuat kuasa dari tarikh hukuman hari ini," kata Mohd Yusoff sewaktu membacakan penghakimannya di akhir kes pembelaan.

Rizal didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas menyamun kad tambah nilai prabayar itu hingga menyebabkan kecederaan kepada pemilik kedai, Rosri Yusof, 41, di sebuah kedai runcit di Kampung Cherang, Jalan Dusun Raja di sini pada pukul 11 malam, 28 Januari 2012.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed. - Bernama

Rasuah: Pegawai Imigresen dipenjara 5 tahun, denda

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

SHAH ALAM - Seorang pegawai Jabatan Imigresen hari ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan menerima wang suapan dan wang hadiah RM5,000 antara Julai dan Oktober tahun ini.

Hakim M. Bakri Abd Majid mengarahkan hukuman ke atas Nik Azan Nik Man, 31, berjalan secara berturut-turut dari tarikh tangkapannya pada 20 November lepas.

Nik Azan didakwa menerima suapan wang tunai RM400 daripada Abdullah Busahlan di dalam tandas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada pukul 2.30 petang 28 Ogos lepas.

Sogokan itu adalah sebagai upah supaya tidak mengambil tindakan terhadap individu dikenali sebagai 'Hendrawan' yang tidak mempunyai cop masuk yang sah di dalam pasportnya yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1956/63.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.    

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM kerana menerima suapan RM400 daripada Abdullah di tempat, tarikh dan waktu yang sama supaya tidak mengambil tindakan ke atas 'Amrizal' yang memiliki pasport yang tidak mempunyai cop masuk sah.

Bagi setiap kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM, M. Bakri menjatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan.

Nik Azan juga didakwa menerima wang tunai berjumlah RM1,850 daripada Abdullah melalui akaun CIMB miliknya pada 31 Julai 2013 pukul 9.04 malam di Petronas JML Damai, Persiaran Anggerik Mokara, Taman Kota Kemuning, Shah Alam.

Dia juga menerima hadiah wang tunai RM2,350 daripada Abdullah melalui akaun CIMB miliknya pada pukul 11.19 pagi, 31 Oktober lepas di Petronas Malaysia Airport Niaga KLIA 3, Jalan Pekeliling Kargo di Sepang.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan mahkamah menjatuhi hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan itu.    

Terdahulu, Nik Azan yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya meringankan hukuman ke atasnya kerana dia mempunyai seorang isteri dan seorang anak yang masih kecil, serta menyesal atas perbuatannya itu.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Kevin Morais berkata sungguhpun tertuduh mengaku bersalah pada hari pertama dia didakwa, tertuduh adalah seorang penjawat awam yang diamanahkan menjaga keselamatan negara dan kepentingan awammenerusi Akta Imigresen.

"Amanah yang diberi kepada tertuduh telah disalahgunakan untuk kepentingan diri sendiri. Saya mohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh," katanya.

M. Bakri berkata walaupun mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan masa perbicaraan, beliau juga perlu mengambil kira kepentingan awam kerana peningkatan kemasukan warga asing secara haram telah meningkatkan kadar jenayah di negara ini. - Bernama

Dua lagi individu ditahan kes bunuh pegawai Jaip

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

KOTA KINABALU - Polis menahan dua lagi individu bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) baru-baru ini.

Kedua-dua lelaki itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Tagasan, Semporna pada 1 tengah hari tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib ketika dihubungi Bernama mengesahkan penangkapan itu, bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mereka.

Pada Sabtu lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar Polis berkata polis masih memburu 10 individu lagi bagi membantu siasatan kes pembunuhan pegawai tersebut Mohd Raffli Abdul Malik, 49.

Sebelum itu beliau mengumumkan menerusi akaun Twitternya @KBAB51 bahawa polis berjaya merungkai kes tersebut dengan penangkapan 13 pengikut kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun' dan merampas pistol yang dipercayai ada kaitan dengan kes itu.

Pada 20 November lepas, ketua kumpulan ajaran sesat itu Harun Mat Saat, 47, diberkas bersama-sama seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Tangkak, Muar, Johor.

Mohd Raffli ditembak mati oleh seorang daripada tiga suspek yang datang ke rumahnya di Kuantan, Pahang pada 10 November lalu. - Bernama

Hishammuddin masuk hospital, saluran arteri sempit

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dimasukkan ke sebuah hospital swasta hari ini selepas mengalami masalah saluran arteri yang sempit.

Setiausaha Akhbarnya Azmi Akop berkata doktor telah menjalankan prosedur angioplasti pada 3 petang ini, semuanya berjalan dengan baik dan keadaan Hishammuddin, 52, stabil.

"Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan pada tengah hari tadi, dan telah diminta untuk berehat oleh doktor yang merawatnya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun kurang pasti sama ada Hishammuddin akan menyertai Persidangan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini yang berlangsung mulai hari ini hingga Sabtu.

"Segalanya bergantung kepada tahap kesihatan Naib Presiden Umno itu dan atas kebenaran doktor yang merawatnya," katanya. - Bernama

Penjenayah mati ditembak guna MyKad orang lain

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian rompakan di sebuah rumah di Jalan Persiaran Syed Putra, Brickfields semalam didapati menggunakan MyKad orang lain.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, siasatan mendapati MyKad itu diperoleh dalam satu kejadian rompakan di Kelana Jaya kira-kira pukul 2.40 pagi semalam sebelum suspek merompak rumah di Brickfields itu bersama dua rakannya.

"Setakat ini kita belum dapat mengenal pasti siapa yang mati itu kerana suspek yang berusia 20-an itu meletakkan dokumen terbabit di dalam dompetnya.

"Bagaimanapun kita akan menyemak identitinya dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam waktu terdekat ini," katanya kepada media sebelum melancarkan operasi ke atas pengawal keselamatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Rompakan di Brickfields itu berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi di kediaman seorang pengurus syarikat.

Seorang daripada tiga suspek itu dilapor turut mengacu pistol kepada mangsa yang berusia 30 tahun itu ketika mereka membawanya keluar dari rumah itu bagi membuka pagar automatik untuk melarikan diri.

Namun pada masa yang para penjenayah itu menyedari kehadiran polis di situ dan terus melepaskan tembakan kepada polis.

Polis terpaksa membalas tembakan sebelum dua daripada penjenayah itu rebah manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri dengan sejumlah wang tunai dan barang kemas milik keluarga pengurus itu.

Seorang penjenayah yang berusia sekitar 20-an itu meninggal dunia akibat terkena tembakan di kepala manakala rakannya yang berusia 33 tahun cedera di dada.

Khairi berkata suspek yang kritikal itu dilapor sudah stabil dan keterangan akan diambil daripadanya.

Beliau berkata kereta BMW yang digunakan dalam kejadian itu dipercayai merupakan milik mangsa rompakan di Kelana Jaya.

Sementara itu beliau berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan kebakaran stor tempat menyimpan barangan rampasan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di Laman Rimbunan, Kepong semalam disebabkan perbuatan khianat. - Bernama

Kematian 3 beradik: Puteri nak balik kampung

Oleh: NOOR FAIZAL GHAZALI

Tarikh: December 2, 2013

ALOR SETAR - "Adik nak balik rumah mak (nenek), nak balik Ganung (Terengganu)."

Itulah kata-kata terakhir Puteri Nurul Akma Rusdi, 3, yang masih tergiang-ngiang dalam ingatan neneknya sebelum hilang dan ditemui meninggal dunia bersama kakaknya, Nur Izzati Husna, 12, dan Noor Syafikah Nadia, 14, di dua lokasi berasingan, semalam.

Nenek mangsa, Robiah Daud, 59, berkata, dia dapat bercakap dengan cucunya itu melalui perbualan telefon sehari sebelum tiga beradik terbabit didapati hilang.

Katanya, Puteri yang lebih mesra dipanggi 'adik' selalu menelefonnya untuk bertanya khabar.

"Dia kalau telefon mak cik tanya dah makan ke belum? Mak duk buat apa? Itu sajalah dia tahu cakap, di samping gelak ketawa bersama dua kakaknya.

"Sebelum hari kejadian pula adik telefon.... rasa dia seronok sangat cakap nak balik kampung. Nak balik rumah mak Ganung (Terengganu) adik kata," katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Robiah berkata, selepas diberitahu anaknya mengenai kejadian itu, dia bersama anak-anak terus datang ke rumah anaknya di Kampung Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar, dekat sini.

"Kami semua sangat terkejut macam tak percaya dengan apa yang berlaku. Tiga cucu pergi sekali gus...Tuhan saja yang tahu perasaan kami.

"Mak cik reda kerana sudah ditakdirkan... tapi apa dosa cucu-cucu mak cik sampai ada orang buat begitu. Kami sekeluarga berharap orang yang melakukan perbuatan jahat itu dapat hukuman setimpal," katanya.

Sementara itu bapa mangsa, Rusdi Rani, 38, berkata, dia sekeluarga sememangnya merancang untuk pulang ke kampung orang tuanya di Jertih, Terengganu.

"Saya dan isteri dah minta cuti dua minggu nak balik kampung sebab agak lama tak balik. Anak-anak pun seronok terutama Puteri yang asyik tanya bila nak balik rumah mak di Terengganu.

"Tapi benda ni pula yang terjadi, saya tak tahu nak kata apa. Isteri saya sampai tak lena tidur, berlinang air mata sepanjang masa," katanya.

Ditanya mengenai kelakuan anak-anaknya sebelum kejadian, Rusdi berkata, ketiga-tiga anaknya tidak mempunyai ramai kawan termasuk tidak mengetahui sama ada anaknya mempunyai kawan lelaki atau tidak.

"Mereka banyak berada di rumah, kawan-kawan pun perempuan dan saya pun kenal. Bila tanya kawan anak, mereka pun kata tak ada berkawan dengan lelaki.

"Lagipun kami baru tinggal di sini setahun lebih, sejak duduk sini kami anak beranak tak ada masalah apa-apa...orang kampung pun OK," katanya.

Tiada bukti asas untuk buktikan kenyataan hakim

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

PUTRAJAYA - Tiada bukti asas yang boleh mewajarkan kenyataan seorang hakim Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seseorang yang mempunyai kecenderungan terhadap perlakuan homoseksual, demikian mahkamah persekutuan diberitahu hari ini.

Dalam hujahnya, peguam Datuk Sulaiman Abdullah, yang mewakili ketua pembangkang itu berkata kenyataan berkenaan sepatutnya dipadamkan daripada sebahagian besar penghakiman bertulis oleh hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu Tun Abdul Hamid Mohamad ketika melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat pemandu keluarganya.

Katanya perenggan yang dipersoalkan itu tidak diperlukan dan tidak relevan dalam penghakiman berkenaan kerana ia merupakan kenyataan peribadi Abdul Hamid terhadap Anwar dan tidak menjadi prinsip utama dalam kes terbabit.

"Perenggan yang dipersoalkan itu begitu tidak adil dan tidak munasabah kerana komen peribadi itu dibuat tanpa mengambil kira keterangan Anwar semasa perbicaraan," katanya.

Sulaiman berkata, perenggan yang dipersoalkan itu mencemar dengan teruk nama baik Anwar dan terus mengakibatkan berlakunya ketidakadilan secara serius serta kerosakkan nama baiknya kerana ia sering disalahguna, diulang, disiarkan dan digunakan secara meluas sebagai suatu justifikasi untuk mengutuk dan merujuk kepada Anwar sebagai seorang pengamal homoseks atau seks songsang kepada orang ramai. - Bernama

 

Cadang isytihar UiTM Universiti Diraja

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

KUALA LUMPUR - Pengisytiharan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai Universiti Diraja merupakan antara perkara yang dicadang dibentang dan dibahas pada Perhimpunan Agung Umno 2013.

Cadangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu mahukan UiTM dinaungi Majlis Raja-Raja bagi memastikan peranan universiti itu tidak lagi dipertikai mana-mana parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Presiden GPMS, Ezaruddin Abd Rahman berkata apabila UiTM diletakkan di bawah satu bidang kuasa yang kukuh, usaha memperkasa Bumiputera dalam bidang pendidikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Perkara ini perlu diberi perhatian kerana Umno sebagai parti tonggak orang Melayu perlu memenuhi amanat untuk meningkatkan tahap pendidikan bangsa Melayu," katanya kepada Bernama.

GPMS merupakan antara NGO, golongan profesional dan pihak berkepentingan Melayu yang turut mengambil bahagian dalam memberi input berhubung usul yang akan dibahas anggota perwakilan Umno pada perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai semalam hingga 7 Disember.

Ezaruddin berkata GPMS turut mencadangkan supaya peranan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dikembalikan dalam soal memberi bantuan kewangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), seperti sebelum wujudnya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Selain itu, GPMS mahu kajian bebanan tugas guru dibuat kerana wujud dakwaan ramai guru tidak dapat memberi fokus untuk mengajar kerana dibelenggu tugas pentadbiran.

Mengulas tindakan Umno yang julung kali membuka pintu kepada pihak luar untuk membincangkan usul perhimpunan agung parti itu, beliau berkata sikap inklusif itu membuktikan Umno serius mendengar suara hati rakyat di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) mengusulkan supaya pelajar sekolah kebangsaan mendapat peluang untuk memilih antara aliran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Cambridge O-Levels, seperti yang ditawarkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata isu itu perlu dibentang dan dibahas di atas pentas Umno bagi memastikan bangsa Melayu mencapai kesamarataan dalam pergerakan sosial serta mampu mendepani cabaran global.    

Noor Azimah juga berharap perwakilan Umno dapat membangkitkan semula isu menguasai bahasa Inggeris dalam subjek tertentu kerana bahasa itu memberi lebih jaminan dan kebaikan kepada anak-anak Melayu khususnya.

Usul-usul pendidikan pada perhimpunan agung Umno itu dikendalikan Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.

Perhimpunan tahunan itu kali ini bakal disertai 5,726 anggota perwakilan Umno dari seluruh negara.

 

 

Mukhriz sifatkan insiden satu tragedi kejam

Oleh: NOOR FAIZAL GHAZALI

Tarikh: December 2, 2013

ALOR SETAR - Tragedi yang menimpa tiga beradik yang ditemui mati di dua lokasi berasingan selepas hilang sejak Jumaat lalu turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata, insiden berkenaan suatu yang amat mengejutkan dan menyayat hati semua pihak.

Katanya, beliau berharap penjenayah yang melakukan perbuatan kejam terhadap mangsa terbabit dapat dikesan secepat mungkin.

"Dalam usaha kita untuk mewujudkan sebuah negeri yang aman, kadang-kadang perkara seperti ini masih juga berlaku. Saya yakin dan berharap pihak polis akan bertindak cepat dan menyeluruh dalam siasatan.

"Kita serahkan kepada polis untuk melakukan apa yang patut bagi memberkas penjenayah terlibat dan dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat ke dua ibu bapa mangsa di rumah mereka di Kampung Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Mukhriz berharap keluarga mangsa tabah menghadapi keadaan yang begitu pedih apabila kehilangan ketiga-tiga anak mereka.

"Saya menyatakan rasa sedih dan takziah atas kehilangan anak-anak mereka dalam keadaan begitu kejam.

"Saya dapat bayangkan rasa sedih mereka walaupun kita ucapkan takziah dan minta mereka bersabar. Saya tahu kalau saya dalam keadaan mereka saya tentu susah untuk mengawal perasaan," katanya.

Sementara itu, dalam lawatan berkenaan Mukhriz turut mengambil kesempatan bertahlil dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada ibu bapa mangsa.

Sinar Harian semalam melaporkan kejadian mengejutkan mengenai kehilangan adik Noor Syafikah Nadia Rusdi, 14, Nur Izzati Husna, 12, dan Putri Nurul Akma, 3, yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan penuh misteri di dua lokasi berasingan.

Maut dalam perjalanan ke tempat kerja

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

KUANTAN - Seorang pembantu kedai makanan maut dalam nahas jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Km132 Jalan Kuantan-Johor Baharu dekat Rompin semalam.

Mangsa, Tee Ah Moi, 39, beralamat di Kampung Orang Asli Batu 3 Jalan Sabak, Rompin mati semasa dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dari Klinik Rompin.

Menurut Pegawai Penguatkuasa Trafik dan Pentadbiran, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, dalam kejadian 3 petang itu, mangsa wanita itu menunggang motosikal jenis Kriss Modenas dari arah Kuantan menuju ke Rompin untuk ke tempat kerja.

"Di tempat kejadian, dipercayai semasa mangsa membelok ke kanan jalan dia telah dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta Proton Wira yang mengekori terlalu rapat menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan.

"Pada masa yang sama sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Innova yang berada di belakang Proton Wira terbabit turut melanggar dan menyeret mangsa beberapa meter," katanya  di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa wanita itu mengalami cedera parah di kepala dan badan. - Bernama

Kes bunuh 3 beradik: Remaja diburu

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

ALOR SETAR - Polis Kedah sedang memburu seorang remaja lelaki dipercayai teman Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, yang dipercayai dibunuh bersama dua adiknya dalam satu kejadian Jumaat lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata remaja itu dipercayai berada di Arau, Perlis diperlukan untuk membantu siasatan polis berhubung pembunuhan itu.

"Polis mempunyai bukti-bukti terkini dan saksi yang membantu siasatan kes itu yang diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Saya yakin remaja belasan tahun ini dapat dikesan dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kereta Spanco Proton Preve kepada Ketua-Ketua Polis Daerah negeri ini di Ibu pejabat Kontinjen Kedah di sini, hari ini.

Mayat dua adik Nor Syafikah, Puteri Nurul Akma, 3; dan Nur Izzati Husna, 12; ditemui pukul 3.45 petang semalam dalam terusan Mada di Kampung Padang Tani, Langgar, kira-kira 3.5 kilometer dari tempat mayat Nor Syafikah ditemui di sawah Kampung Alor Senibong, Langgar pada petang Sabtu.

Tiga beradik itu berasal dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di sini.

Tiga beradik itu keluar dari rumah mereka dengan motosikal dikendali oleh Nor Syafikah Nadia pukul 7.30 malam hari Jumaat lepas dan tidak balik selepas itu.

Ahmad berkata polis yakin tiga beradik itu tidak bunuh diri kerana terdapat unsur-unsur perbuatan jenayah berdasarkan keadaan mayat Nor Syafikah.

Beliau merayu orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak kejadian tersebut tampil membantu siasatan.

Sementara itu bedah siasat mayat Puteri Nurul Akma, dan Nur Izzati Husna dibuat pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, katanya.

Mengenai kereta polis, Ahmad berkata ia adalah bagi menggantikan kereta-kereta lama diserahkan oleh Ibu pejabat Polis Bukit Aman dalam dua peringkat berjumlah 115 buah.

Bagi peringkat pertama Polis Kedah menerima 80 buah dan daerah 'panas' diberi keutamaan iaitu Kuala Muda sebanyak 12 buah; Kota Setar (11); Kubang Pasu (9); Kulim (8) dan Langkawi (5) dan bakinya untuk daerah-daerah lain, katanya. - Bernama

'Hidup kami tiada makna tanpa mereka'

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

ALOR SETAR - Kematian tiga beradik yang tidak diketahui motif sebenarnya dalam kejadian Jumaat lalu menjadi detik hitam buat keluarga.

Bapa mangsa, Rusdi Rani, 38, berkata, pada malam kejadian Noor Syafikah memberitahu untuk ke rumah kawan dan membawa dua adiknya bersama.

Menurutnya, anak sulungnya itu sudah tidak bersekolah dan tidak pernah berenggang dengan adik-adiknya untuk ke mana-mana termasuk selalu ke rumah kawan yang dimaksudkan.

"Ketika mereka keluar saya dan isteri ada di rumah. Depa habaq nak pi rumah kawan, tetapi pukul 11 malam tak balik lagi.

"Kami mula risau dan minta jiran tolong cari mereka. Kami cari di merata tempat tetapi tak jumpa mereka sebelum membuat laporan polis pada jam 2 pagi," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.

Rusdi yang juga tukang cuci di sebuah sekolah berkata, semalam dia dihubungi pihak polis kira-kira jam 3.45 petang mengenai penemuan mayat seorang remaja perempuan.

"Kami diminta ke lokasi kejadian untuk membuat pengecaman. Lokasi arwah ditemui itu tidak jauh di antara jalan rumah kami ke rumah kawannya.

"Tetapi motor yang digunakan ditemui di kawasan lain yang agak jauh dari tempat arwah ditemui," katanya yang baharu dua tahun menetap di Alor Setar.

Katanya, ketiga-tiga anaknya sangat rapat dan tidak pernah berenggang antara satu sama lain.

"Mereka bertiga selalu keluar berjalan-jalan di sekitar kampung. Noor Syafikah juga menjaga kedua-dua adiknya kerana dia tidak bersekolah apabila saya dan isteri keluarga bekerja.

"Tak ada makna hidup kami tanpa mereka, hanya merekalah yang menghiburkan kami," katanya dalam keadaan sebak.

Banjir: Kira-kira 100 dipindahkan di Pahang

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

KUANTAN - Kira-kira 100 penduduk dari perkampungan Orang Asli Kampung Kesing, di Rompin mula dipindahkan berikutan kawasan penempatan mereka dinaiki air berikutan hujan lebat sejak semalam.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, semua mangsa terbabit itu dipindahkan sejak 10 pagi tadi berikutan kawasan penempatan mereka dinaiki air sehingga 1 meter.

Maklumat lengkap mengenai proses pemindahan dan pusat penempatan pemindahan itu masih belum diperolehi, katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, pihaknya masih belum memperolehi maklumat lengkap berhubung proses pemindahan mangsa banjir terbabit.

Menurut jurucakap itu, laluan di Km28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan berhampiran Jambatan Sungai Charu kini ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan dinaiki air melebihi 1 meter. - Bernama

Beberapa kawasan di Kuala Rompin dinaiki air

Oleh: MUHAYUDIN SALLEH

Tarikh: December 2, 2013

ROMPIN - Selepas hujan yang tidak berhenti dari semalam (Ahad) di kawasan Kuala Rompin, beberapa kawasan sudah mula dinaiki air antaranya Kampung Sepakat, Kampung Jawa, Kampung Kurnia, Kampung Pianggu dan Tanjung Gemok.

Di pusat pemindahan banjir Dewan Teluk Gading, Tanjung Gemok, setakat ini baru tiga keluarga dipindahkan ke sini iaitu dua keluarga dari kampung Kurnia dan satu lagi dari kampung Pianggu.

Salah seorang mangsa dari kampung Kurnia, Yusuf Ismail, 77, berkata, terpaksa pindah jam 4 pagi tadi.

"Pakcik datang ke pusat pemindahan banjir tadi dengan kenderaan sendiri. Ramai lagi penduduk kampung yang sedang menunggu untuk dipindahkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya yang dihubungi Sinar Harian menasihati penduduk supaya akur dengan arahan untuk berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan dan tidak membenarkan anak-anak bermain air.

Cukai Pintu: Kumpul tandatangan bantah kenaikan

Oleh: NORAFIZA JAAFAR

Tarikh: December 2, 2013

KEPONG - Dianggarkan seramai 100 penduduk pangsapuri Mutiara Magna membuat bantahan kenaikan cukai mendadak yang dikenakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijangka berkuat kuasa awal Januari ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk, Ahasrap Khan berkata, kenaikan tersebut nyata membebankan penduduk berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurutnya, penduduk dianggarkan berjumlah 1,200 keluarga di situ dijangka perlu menjelaskan cukai taksiran RM252 berbanding RM86 sekiranya kenaikan itu diteruskan.
"Kita akan mengumpulkan tandatangan bantahan penduduk di tiga blok di sini sebagai menghalang kenaikan mendadak itu dilakukan dan sekiranya ingin dinaikkan biarlah berpatutan dan munasabah.

"Penduduk sekarang kini perlu menjelaskan bil penyelenggaraan RM68 dan kad akses keluar masuk setiap bulan serta kini dibebankan dengan kenaikan cukai taksiran pula," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, beliau berharap supaya DBKL prihatin dengan masalah penduduk di sini dan mengkaji semula kenaikan itu.

Seorang penduduk, Abu Bakar Ibrahim, 50-an, berkata, DBKL diminta mengambil kira golongan kurang berkemampuan kesan daripada kenaikan yang disifatkan melampau itu.

"Kebanyakan penduduk di sini bukan hidup senang dan ada di antara mereka telah tua dan tidak bekerja tetapi perlu menanggung cukai taksiran yang tinggi.

"Kenaikan mendadak ini menimbulkan rasa tidak senang penduduk yang menyifatkan DBKL tidak mengambil kira masalah penduduk sedangkan kemudahan yang ada kurang memuaskan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Khidmat Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, pihaknya akan mengumpulkan bantahan persatuan penduduk dan akan menghantar kepada pihak DBKL.

"Sehingga hari ini (semalam), kita telah mengumpulkan tandatangan di tiga kawasan iaitu Kg baru Jinjang Selatan, Intan Baiduri dan Mutiara Magna serta akan diteruskan sehingga sampai kesemua persatuan.

"Kita minta supaya semua penduduk Kuala Lumpur tidak membuat sebarang bayaran cukai itu sehingga Mac iaitu sehingga keputusan semakan semula dan formula pengiraan dilakukan," katanya.

Katanya, beliau meminta supaya DBKL tidak melantik panel khas atau pakar runding dari luar untuk mengkaji semula kenaikan itu sebaliknya menggunakan kemahiran sedia ada sebagai menjimatkan kos dan mengurangkan pembaziran.

"Kita yakin sekiranya syarikat perunding dilantik untuk tujuan itu pastinya keputusan akan memihak kepada DBKL berbanding keperluan rakyat.

"Wang yang ada sebaiknya digunakan untuk pembangunan infrastruktur di sini termasuk pembaikan jalan dan kemudahan riadah yang dilihat terhad untuk kawasan perumahan," katanya.

Pembaca rasa dihargai dapat tiket percuma

Oleh: AHMAD NORMAN ABU TALIB

Tarikh: December 2, 2013

SHAH ALAM - Pembaca setia Sinar Harian menyifatkan pemberian tiket percuma ke Taman Tema Air Wet World Shah Alam sebagai langkah tepat mendekatkan diri akhbar ini dengan mereka.

Sambutan diterima juga amat menggalakkan kerana pembaca hanya perlu memotong keratan promo Karnival Sinar Harian Wet World bertarikh 25 hingga 29 November dan mengepilkannya bersama lima masthead akhbar ini.

Krew produksi, Mat Daud, 50, berkata, dengan adanya tiket tersebut, dia dapat meluangkan masa bercuti bersama keluarga di taman tema itu.

"Terima kasih kepada Sinar Harian dan Wet World dengan pemberian tiket ini.

"Saya cadang bawa keluarga ke sana dapatlah berehat bersama-sama," katanya ketika ditemui selepas menebus tiket berkenaan di Lobi Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Peniaga, Ain Nasri, 30, berkata, pemberian seperti ini sememangnya menghargai pembaca.

Katanya, walaupun dia pernah pergi ke taman tema tersebut awal tahun ini, namun dengan adanya pemberian ini ia dapat digunakan untuk bersama dengan keluarga.

Sinar Harian berkolaborasi dengan Wet World Shah Alam sempena Karnival Sinar Harian Wet World yang menawarkan sebanyak 3,000 tiket masuk percuma.
Tiket berkenaan boleh ditebus mulai kelmarin dan semalam.

Lebih menarik tawaran itu diberi pada musim cuti persekolahan bagi membolehkan pembaca meluangkan masa bermandi-manda bersama keluarga.

Tiket berkenaan juga boleh digunakan sepanjang Disember ini.

Warga asing suka gaduh, buat bising

Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: December 2, 2013

SERI KEMBANGAN – Penduduk tempatan bagaikan menumpang di negara sendiri!

Begitulah yang boleh digambarkan terhadap populasi penduduk di Seksyen 7, Pangsapuri PKNS apabila lebih 70 peratus penghuninya terdiri daripada warga asing.

Setiap hari masyarakat tempatan terpaksa berhadapan dengan karenah mereka yang suka membuat bising, bergaduh sesama rakan senegara dan tidak menghormati jiran tetangga.

Salah seorang penduduk, Hussin Mohamad, 46, berkata, jumlah populasi warga asing yang berasal dari Myanmar, Vietnam, Nepal, Indonesia dan Bangladesh yang terlalu ramai di dua blok pangsapuri menyebabkan golongan itu bermaharajalela.

Katanya, kebersihan langsung tidak dititikberatkan apabila warga asing terbabit membuang air kecil sesuka hati dan membuang botol arak yang sudah dipecahkan di merata tempat.

Tidak cukup dengan itu, gejala sosial juga berleluasa apabila mereka bersekedudukan lelaki dan perempuan dan menjalankan perniagaan haram.

"Kawasan padang dipenuhi golongan mereka sahaja pada waktu petang menyebabkan penduduk setempat rasa terasing," katanya.

Bertindak daripada aduan penduduk, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Polis (IPD) Serdang melaksanakan Ops Cantas dengan menyerbu pangsapuri itu, awal pagi semalam.

Seramai 164 warga asing dari pelbagai negara diperiksa dan tujuh daripadanya didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, operasi dibuat selepas menerima rungutan penduduk berhubung kebanjiran warga asing di pangsapuri itu.

Operasi dijalankan bermula jam 11 malam hingga 4 pagi dengan bantuan anggota Pasukan Gerakan Am  Briged Tengah Cheras dan pegawai Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).  

"Operasi mengekang jenayah dijalankan secara menyeluruh bukan sahaja tertumpu dalam kalangan warga asing tetapi juga penduduk tempatan," katanya.

Beliau berharap apabila operasi dijalankan warga asing akan lebih menghormati penduduk setempat.

Katanya, impak operasi dilaksanakan sebelum ini menunjukkan kadar jenayah berkurangan dan berjaya dikawal.

Tercampak keluar dari kereta

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

SERI KEMBANGAN – Seorang pemuda maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dipandunya di Jalan Putra Permai, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kereta jenis Toyota Estima dipandu mangsa, Liew Li Wen, 28, dikatakan berpusing dan terbalik selepas melanggar pembahagi jalan.

Mangsa yang merupakan peniaga sebuah restoran di Taman Equine tercampak keluar dari tingkap bahagian pemandu akibat hentakan kuat kenderaan di besi pembahagi jalan tersebut.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, Toyota Estima tersebut dari arah Seri Kembangan menuju ke Taman Equine.

Hasil siasatan mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu sendirian hilang kawalan lalu menyebabkan kenderaannya terbabas.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Serdang.

Kematian dipercayai berpunca akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Bedah siasat dijalankan Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Serdang untuk mencari punca sebenar kematian.

Kes dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.

Kereta dilarikan ketika beli sarapan

Oleh: ROSDALILAH ZAHARI

Tarikh: December 2, 2013

IPOH - Seorang warga emas berdepan detik cemas apabila kereta dinaikinya dilarikan sekumpulan penjenayah ketika anak perempuannya membeli sarapan di sebuah restoran di pasar Kampung Simee, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa berusia 75 tahun bersama anak perempuannya, 54, dari Taman Ipoh menaiki kereta jenis Perodua MyVi ke restoran berkenaan.

Anak perempuan mangsa pergi membeli sarapan di restoran itu sementara mangsa bersama seekor anjing peliharaannya menunggu di dalam kenderaan yang tidak dimatikan enjin.

Anaknya yang enggan dikenali berkata, apabila dia pergi ke semula kereta yang ditinggalkan kira-kira 15 minit itu, dia mendapati kenderaan berkenaan lesap.

Menurutnya, dia sering membawa bapanya yang mengalami strok sejak beberapa tahun lalu bersiar-siar kerana bosan berada di rumah.

"Bagaimanapun, niat saya untuk menggembirakan hati bapa bertukar kepada pengalaman menakutkan apabila dia dilarikan sekumpulan penjenayah.

"Namun, saya bersyukur kerana bapa ditemui dalam keadaan selamat berhampiran Balai Polis Kampung Tawas, Jalan Kuala Kangsar walaupun cedera ringan di kaki dan kepala," katanya yang turut kehilangan dokumen pengenalan diri, kad kredit dan wang tunai berjumlah RM300.

Susulan kejadian itu, anak perempuan mangsa yang bekerja sebagai kerani membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Sementara itu,  Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Kataya, siasatan awal mendapati mangsa didatangi tiga lelaki tidak dikenali dan ketiga-tiga mereka dipercayai berusia dalam lingkungan 40 tahun.

"Berdasarkan soal siasat yang dijalankan, seorang suspek mempunyai fizikal sederhana, berbadan besar dan seorang lagi berperut buncit.

"Kami giat mencari kenderaan mangsa yang dipercayai dilarikan suspek dengan melakukan sekatan jalan raya di sekitar bandar raya ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Bapa cari anak OKU

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

BAGAN DATOH - Bimbang dengan keadaan anak lelaki yang hilang sejak setahun lalu, seorang bapa meminta bantuan orang ramai bagi mengesan anaknya itu.

Mohammad Mohd Said, 66, berkata, anaknya, Borhan Mohamad, 38, yang juga orang kurang upaya (OKU) tinggal bersama anak perempuan, Zarina selepas kematian isterinya.

Menurutnya, Borhan adalah anak keempat daripada lima beradik dan mempunyai masalah pertuturan serta lembam.

"Beberapa hari sebelum kejadian, saya pernah memberitahu Borhan supaya jangan merayau merata-rata tempat kerana bimbangkan keselamatannya.

"Namun, selang bebarapa hari, Borhan hilang tanpa dikesan menyebabkan kami sekeluarga mencari merata tempat di Bagan Datoh, Teluk Intan, Hutan Melintang namun gagal," katanya ketika ditemui di Kampung Baru Timur, Batu 14, dekat sini.

Mohammad berkata, dia bimbangkan keadaan kesihatan dan keselamatan anaknya kerana Borhan keluar tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

"Saya bimbang jika ada sindiket tertentu cuba mempergunakan anak saya untuk dijadikan keldai dadah disebabkan keadaannya.

"Saya meminta kepada orang ramai untuk membantu mencari anak saya dan sesiapa yang pernah berjumpa dengan Borhan boleh hubungi Zarina di talian 0194227135," katanya.

Misteri kereta dalam parit terjawab

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

PARIT BUNTAR - Misteri kewujudan sebuah kereta di dalam parit di Jalan Sempadan, di sini menjadi teka-teki dalam kalangan penduduk apabila kenderaan itu muncul secara 'tiba-tiba' sejak Khamis lalu.

Bagaimanapun, misteri itu terungkai apabila ia berpunca daripada pemandunya yang mengantuk dan menyebabkan kereta dipandu terbabas lalu masuk ke dalam parit.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, penduduk, Rashid Junid, 56, berkata, dia bersama beberapa penduduk hairan apabila pemilik kereta itu tidak muncul untuk menuntut kenderaannya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat pekerja trak tunda, kenderaan itu terhumban ke dalam parit itu sekitar jam 2.30 pagi.

"Pemilik kereta berumur lingkungan 30-an itu enggan menunda keretanya menggunakan trak penunda pekerja tersebut dengan alasan mahu menggunakan perkhidmatan trak tunda lain," katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Muhammad Riduan Norzaini 20, berkata, dia terjaga dari tidur setelah terdengar bunyi dentuman di hadapan rumahnya.

"Saya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati sebuah kereta dipandu seorang lelaki bersama rakannya terbabas ke dalam parit.

"Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu tidak cedera dan berjaya keluar dari kereta yang hampir tenggelam dengan bantuan orang ramai," katanya.

12 warga emas terbiar dibela

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

KUALA KURAU - Sebanyak 12 warga emas uzur yang tidak mempunyai waris dikenal pasti masih hidup terbiar dan tidak terurus di sekitar Parlimen Parit Buntar setakat ini.

Berikutan itu, Umno bahagian Parit Buntar mengambil inisiatif segera untuk menyelesaikan masalah sebahagian besar mereka dengan menempatkan mereka di rumah penjagaan orang tua.

Ketuanya, Abu Bakar Md Ali berkata, Umno bahagian memandang serius isu kebajikan rakyat terutama warga emas di Parlimen Parit Buntar dan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan masalah golongan itu dijamin.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa khas dipanggil Biro Pendidikan dan Kebajikan amat penting memandangkan masalah warga emas uzur yang tinggal berseorangan akibat tidak mempunyai waris dikenal pasti semakin meningkat.

"Justeru itu, mana-mana warga emas yang tergolong sebagai warga emas terbiar akan diberikan bantuan sewajarnya bagi membolehkan mereka dapat meneruskan sisa-sisa hidup dengan lebih baik.

"Mengenai bentuk bantuan, segalanya bergantung kepada siasatan JKM dan sekiranya mereka diperlukan untuk dihantar ke rumah penjagaan orang tua, kita akan membantu ke arah itu," katanya sewaktu ditemui media, semalam.

Beliau berkata demikian selepas melawat warga emas, Fatimah Saad,86, yang kini berdepan masalah hidup tidak terurus berikutan mengalami uzur dan penyakit nyanyuk di Kampung Parit Abas, di sini.

Abu Bakar berkata, pihaknya turut menggesa pemimpin setempat seperti penghulu mukim dan ketua kampung untuk sentiasa mengenal pasti kes melibatkan warga emas uzur untuk tindakan penyelesaian segera.

Mengenai kes melibatkan Fatimah yang kini berdepan hidup tidak terurus, Abu Bakar bersimpati dengan nasib menimpa warga emas itu.

"Hasil perbincangan dengan pegawai JKM daerah Kerian, makcik Fatimah akan dihantar ke Rumah Seri Kenanga, Taiping setelah menerima rawatan di Hospital Taiping.

"Saya harap orang ramai dapat menyalurkan maklumat secepat mungkin sekiranya mendapati berlaku kes seperti makcik Fatimah," katanya.

'Hantu' besi mengamuk

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

ALOR SETAR - "Kes curi besi di taman perumahan kami kian menjadi-jadi kebelakangan ini," demikian dakwaan seorang penduduk Taman Rakyat, dekat sini, yang tidak tahan berhadapan insiden terbabit.

Nursiah Adam, 58, berkata, bukan sahaja dilanda ketakutan, sebaliknya dia sendiri sudah tidak larat menanggung kerugian apabila besi pada pintu pagar pusat jagaan miliknya diambil individu tidak bertanggungjawab.

"Bukan setakat pintu pagar kediaman hilang, malah penutup longkang dan meter air juga dicuri.

"Bukan sahaja waktu malam, sebaliknya individu terbabit didakwa turut melakukan kegiatan mereka pada waktu siang. Malah, jiran turut menyaksikan individu terbabit mencuri besi pintu belakang pusat jagaan saya pada waktu siang, namun tidak menjerit kerana takut," katanya.

Justeru, katanya, dia memohon supaya pihak berkenaan dapat melakukan rondaan supaya kejadian curi besi tidak berulang.

Malah, nasib serupa turut dialami Rohani Musa, 39, yang mendakwa pintu asrama di bawah seliaan dirinya turut dikebas.

Manakala, Rohani Osman, 54, berkata, kejadian curi besi membabitkan besi penutup longkang di hadapan kedai baru sahaja berlaku lebih kurang sebulan lalu di bangunan premis perniagaan berhampiran taman perumahan berkenaan.

"Kami bimbang keselamatan orang awam. Bayangkan, sekiranya mereka tidak perasaan bahawa penutup longkang dicuri, pastinya sudah mengalami kecederaan," katanya.

Suspek pecah rumah ditahan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

KULIM - Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) bersama polis menahan seorang suspek pecah rumah di Lebuhraya Butterworth Kulim Ekspress (BKE) kira-kira jam 11 malam baru-baru ini.

Pengerusi PPKM, Khor Eng Khim berkata, mangsa yang juga ahli PPKM membuat laporan polis setelah mendapati rumahnya dipecah masuk.

Menurutnya, pada keesokan harinya, mangsa ternampak sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Saya kemudiannya mengarahkan semua ahli PPKM membuat pemantauan terhadap kereta terbabit.

"Menyedari sedang diperhatikan, suspek melarikan diri dengan memecut kereta dinaiki  ke arah Sungai Limau dan cuba menyembunyikan diri di sebuah stesen minyak," katanya.

Eng Khim berkata, ahli PPKM yang mengekori suspek memberi maklumat dua daripada tiga suspek telah melarikan diri.

"Apabila PPKM hendak mengepong kereta suspek, suspek sekali lagi melarikan diri menuju ke arah BKE. Saya memaklumkan kepada polis untuk mendapatkan bantuan unit MPV dan suspek berjaya ditahan," katanya.

Menurutnya, dalam kejadian pecah rumah, mangsa mengalami kerugian RM60,000 termasuk jam tangan berharga RM15,000.

Ketua Polis Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis.

Ghuzlan berkata, sehingga kini polis telah menjalinkan hubungan baik dengan PPKM dalam membasmi kegiatan jenayah di Kulim.

Tutup maahad yang degil

Oleh: ROSLINDA HASHIM

Tarikh: December 2, 2013

JITRA - Kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan drastik dengan menutup operasi maahad tahfiz yang masih berdegil mempergunakan khidmat kanak-kanak untuk mengutip derma.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sekiranya enggan berdepan dengan tindakan, semua maahad tahfiz di Kedah yang dikenal pasti terlibat diminta segera menghentikan perbuatan itu.

"Tindakan tegas ini bukan kerana kita mahu menzalimi pusat tahfiz, tetapi fikirkan kebajikan kanak-kanak yang dizalimi itu," katanya selepas majlis berkhatan beramai-ramai di Masjid Ar-Rahman, Alor Merah, melibatkan 27 kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah.

Menurutnya, pihaknya masih menerima laporan berhubung kejadian itu berlaku di beberapa daerah di negeri ini.

Mukhriz berkata, terdapat juga sebahagian pusat terbabit menghantar pelajar ke seluruh negeri termasuk luar Kedah, bagi tujuan itu dan ini amat mengecewakan.

"Ibu bapa hantar anak mereka untuk timba ilmu, supaya menjadi tahfiz sebaliknya disalah guna untuk kutip derma," katanya.

Menurutnya, pihaknya kesal perkara itu masih berleluasa kerana bimbangkan keselamatan pelajar yang berisiko terdedah pada bahaya.

"Kebelakangan ini kita dengar macam-macam cerita penculikan babitkan kanak-kanak, pihak sekolah harus lebih peka," katanya.

Mukhriz berkata, hasil siasatan yang dijalankan, kutipan dana terbabit tidak disalur untuk kegunaan pengurusan mahupun pengajian sekolah, sebaliknya untuk tujuan lain.

"Mereka bukan sahaja tidak daftar, tetapi tidak mohon kebenaran untuk aktiviti kutipan derma. Malah, sudah beberapa kali diberi amaran namun masih berdegil," katanya.

Mengulas nasib pelajar sekiranya operasi maahad terlibat dihentikan, kerajaan negeri akan memindahkan pelajar ke tempat lain yang bersesuaian kerana terdapat banyak pusat tahfiz di Kedah yang berdaftar.

Siasat dakwaan tahanan dipukul

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

KANGAR - Polis akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung laporan media bahawa seorang tahanan dipukul polis sehingga cedera baru-baru ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya perkara itu terbukti benar dan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pegawai dan anggota yang terbabit.

"Jika siasatan menunjukkan sebaliknya, kami akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya ke atas pihak terbabit. Kes ini masih lagi dalam peringkat siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, tahanan itu telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk pemeriksaan pada hari abang suspek membuat laporan polis pada 27 Nov lalu.
"Kami masih menunggu laporan lengkap pegawai perubatan mengenai kes ini," katanya.

Pada Jumaat lalu, peguam Jamil Mohamed Shafie mendakwa anak guamnya yang berumur 33 tahun dari Tambun Tulang dipukul dalam tahanan sehingga lebam dan cedera pada bahagian muka dan belakang badan, susulan laporan polis dibuat abang suspek.

Zull Aznam berkata, suspek telah ditahan polis di rumahnya di Tambun Tulang pada 21 Novemver lalu mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Katanya, semasa tangkapan dilakukan, lelaki itu telah dimaklumkan tentang sebab tangkapan dan sebuah motosikal yang disyaki berkaitan dengan kes itu turut dirampas. - Bernama

Rumah bergegar dirempuh kereta

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

ALOR GAJAH - Tujuh sekeluarga nyaris cedera apabila sebahagian dinding rumah kayu dua tingkat didiami mereka dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback yang terbabas di Jalan Alor Gajah Lama, Melaka Pindah di sini, kelmarin.

Penghuni rumah terbabit, Wai Sit Yoke, 22, berkata, ketika kejadian, dia yang sedang bermain permainan komputer terkejut apabila tiba-tiba rumahnya bergegar seperti dilanggar kenderaan besar dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, sebelum kejadian dia dan tiga adiknya belum tidur sementara ibu bapanya dan neneknya berusia 80-an sedang tidur di rumah yang disewa mereka lebih 10 tahun lalu.

"Selepas terdengar bunyi rumah dilanggar, saya yang berada di tingkat atas meninjau keluar dan melihat dua lelaki berada berhampiran sebuah kereta.

"Saya dan ahli keluarga termasuk dua adik yang berada di dapur segera ke ruang tamu lalu melihat sebahagian kereta Proton Wira sudah memasuki rumah kami," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Sit Yoke, dia yang melihat ramai lelaki terus menghubungi teman lelakinya yang tinggal pekan Alor Gajah sebelum memeriksa rumah dan mendapati beberapa peralatan serta perabot musnah.

"Banyak peralatan dan perabot musnah termasuk mesin jahit, perabot, sofa, kerusi dan meja yang terdapat di ruang tamu," katanya.

Sementara itu, menurut sumber, kereta dinaiki tiga lelaki dan salah seorangnya mengalami kecederaan pada anggota badan itu datang dari arah Alor Gajah ke Durian Tinggal turut melanggar tiang rumah bersebelahan tidak berpenghuni menyebabkan lantai tingkat atas hampir roboh.

"Sebelum itu, kereta berkenaan dipercayai melanggar pembahagi jalan dan terbabas kira-kira 50 meter melanggar dua rumah kayu di tepi jalan berhampiran simpang masuk ke Jalan Ulu Melaka Pindah," katanya.

Taktik kaki judi terbongkar

Oleh: SITI SHAHROSAMIRAH SHAHRMAN

Tarikh: December 2, 2013

BANDA HILIR - Taktik kaki judi yang berselindung di sebalik bilik VIP untuk melakukan aktiviti judi haram dan pertaruhan melibatkan puluhan ribu ringgit di sebuah pusat hiburan akhirnya terbongkar.

Pusat hiburan yang selama ini menggunakan ruang tetamu kenamaan untuk menjalankan aktiviti perjudian diserbu selepas taktik itu dihidu polis di premis terletak kira-kira 100 meter dari sebuah balai polis di sini.

Serbuan dijalankan Bahagian Pencegahan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) diketuai Superintendan Amir Rasid Derani bersama 12 anggota termasuk dua pegawai dari Bukit Aman kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Difahamkan, aktiviti itu dikendalikan seorang lelaki tempatan dikenali Ah Seng, 40-an yang bekerjasama dengan sebuah kumpulan dari luar Melaka untuk menganjurkan aktiviti haram tersebut dengan menyewa sebuah bilik VIP di pusat hiburan berkenaan.

Bermodalkan wang pusingan sekurang-kurangnya RM300,000, penganjur menjadikan bilik yang luas sebagai sebuah pusat judi jenis Pik atau Tong Kau menggunakan meja snooker dan peralatan judi seperti batu mahjong, dadu dan mancis kepada kaki judi.

Amir berkata, sehubungan itu, seramai 49 individu termasuk 10 wanita berusia dari 20 hingga 60 tahun ditahan ketika leka bermain judi yang membabitkan wang pertaruhan antara RM20,000 dan RM30,000 bagi satu pusingan.

"Mereka yang ditahan adalah lima wanita tempatan dan lima wanita warga asing dari China, Thailand, Vietnam serta Indonesia dipercayai teman wanita sebahagian 39 lelaki yang datang melakukan aktiviti haram itu.

"Mereka dipercayai terlibat perjudian jenis Pik atau di negeri lain dipanggil Tong Kau yang menggunakan meja snooker selain batu mahjung dan dadu sementara batang mancis serta kotak sebagai simbolik jumlah wang pertaruhan," katanya.

Menurutnya, selain peralatan perjudian, pihaknya turut merampas wang tunai RM68,800 dipercayai termasuk wang taruhan milik kaki judi.

"Siasatan awal mendapati penganjur melakukan aktiviti tersebut sejak kira-kira dua minggu lalu sebelum kesemua mereka ditahan dalam Ops Dadu selama dua jam tadi (semalam).

"Mereka akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1952," katanya.

Masyarakat bukan Melayu juga berkhatan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

BENTONG – Penyertaan kaum bukan Melayu dalam aktiviti berkhatan di Felda Lurah Bilut dilihat menjadi satu tradisi kawasan itu sesuai dengan kemajmukan kaum yang terdapat di situ.

Timbalan Pengerusi Briged Sukarelawan Lurah Bilut, Noraidah Saari berkata, pada tahun ini sudah masuk tahun ke12 penganjuran program berkhatan beramai-ramai.

Katanya, sejak 2005 sehingga kini, terdapat 10 peserta bukan Melayu terutama dari kaum Cina dan Orang Asli berjaya dikhatankan dalam program diadakan.

"Apa yang menarik ia bukan sahaja membabitkan kanak-kanak sahaja tetapi juga dewasa bukan Melayu.

"Kami akan berusaha menarik lebih ramai kaum bukan Melayu untuk menyertai program ini pada masa akan datang memandangkan ia bagus dari sudut kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Berkhatan Beramai-ramai anjuran Bridged Sukarelawan Lurah Bilut dan Panel Klinik Kesihatan Felda Lurah Bilut.

Seorang bapa, Yip Seng Lam, 41, berkata, ini kali kedua dia menghantar anaknya menyertai program berkhatan.

Katanya, kali pertama dia menghantar anak sulung dan keduanya pada 2005.

"Kini giliran anak keempat saya, Yip Chong Foo yang berusia 7 tahun untuk berkhatan. Bagi saya, berkhatan mempunyai kebaikan tersendiri terutama dari sudut kebersihan dan kesihatan.

"Sebelum saya mengambil keputusan menghantar anak-anak saya berkhatan dalam program sebegini, saya terlebih dahulu berkhatan iaitu pada 2003 di klinik," katanya.

Seng Lam berkata, mungkin ramai yang takut dengan proses berkhatan namun ia sebenarnya tidak sesukar difikirkan.

Katanya, dalam proses penjagaan anak berpantang selepas berkhatan, dia banyak bertanyakan rakan dari kaum Melayu dan turut mencuba tradisi masyarakat Cina.

"Sebelum program berkhatan diadakan, saya gemar berkongsi pengalaman dengan rakan bukan Melayu berkaitan faedah berkhatan.

"Sekurang-kurangnya mereka dapat turut sama menghantar anak-anak menyertai program dianjurkan," katanya.

Anak peneroka dicekup

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

DUNGUN - Seorang remaja belasan tahun yang baru tamat sekolah menengah berdepan detik hitam apabila terpaksa bermalam di lokap selepas ditahan dalam Ops Cantas khas di Felda Kerteh Enam kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Ujian saringan air kencing juga mendapati anak peneroka itu positif methapethamine.

Selain remaja terbabit, seorang buruh ladang berusia 31 tahun turut ditahan dalam serbuan berasingan di sebuah rumah peneroka dekat Felda Kerteh Satu.

Pemeriksaan lanjut dalam poket seluarnya menemui satu botol plastik cerah berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, polis melancarkan operasi khas di kawasan tanah rancangan Felda berikutan menerima maklumat ramai anak peneroka terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Katanya, polis terpaksa memulakan operasi seawal jam 6.30  pagi untuk masuk ke kawasan sasaran bagi mengelak dihidu penagih dan hasilnya sembilan suspek  berjaya ditahan dalam enam serbuan berasingan yang berakhir kira-kira jam 11.30 pagi.

"Lelaki yang disyaki memiliki heroin itu ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 31 (A) (1)  Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala yang lainnya, positif methapethamine disiasat mengikut seksyen 15(1) akta yang sama," katanya.

Air laut melimpah ke PPRT Pangkalan Atap

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

BESUT - Tiupan angin kencang yang mencetuskan ombak tinggi di pesisir pantai Kuala Besut menyebabkan penempatan Program Pembangunan Rakyat Termiskin  (PPRT) Pangkalan Atap, di sini, turut digenangi air, malam kelmarin.

Pengerusi JKKK Kampung Pangkalan Atap, Mohd Azmi Mahmud berkata, akibatombak besar, limpahan air laut memasuki kawasan perumahan tersebut bermula jam 6.30 petang melalui bahagian yang tidak mempunyai tembok pemecah ombak.

"Kejadian itu menyebabkan beberapa rumah di kawasan terbabit digenangi air laut tetapi hanya sedalam kira-kira 0.1 meter. Air kembali surut pada jam 11 malam.

"Ombak besar petang kelmarin dipercayai disebabkan tiupan angin yang dikenali sebagai Timur Tenggara oleh nelayan di sini," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut, Zahanapi Sagaf yang melawat lokasi berkata, pihaknya akan menambun pasir di kawasan yang terdedah kepada ombak bagi mengelak limpahan air laut masuk ke penempatan 46 keluarga itu.

Menurut, sebanyak 30 lori pasir digunakan dan ia sebagai langkah sementara untuk mengelak kawasan berkenaan digenangi air laut akibat ombak besar.

Jambatan Teladas tenggelam

Oleh: RAIHAM MOHD SANUSI

Tarikh: December 2, 2013

KEMAMAN - Penduduk Kampung Teladas, Air Putih, dekat sini, kini dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kenaikan paras air Sungai Kemaman sehingga menenggelamkan jambatan kampung tersebut sedalam kira-kira 0.3 meter pada jam 7 pagi semalam.

Pengerusi JKKK Teladas, Razali Mohamad berkata, penduduk bersiap sedia untuk berpindah sekiranya paras air sungai terus naik dan melimpah ke kawasan penempatan mereka.

"Jika hujan masih berterusan, paras air mungkin akan terus meningkat dan akan menyebabkan jambatan tidak lagi boleh dilalui," katanya.

Menurutnya, jika jambatan berkenaan ditenggelami air lebih dalam, ia akan mengakibatkan lebih 700 penduduk kampung itu terputus hubungan dan terpaksa menaiki bot untuk keluar dari kampung tersebut.

Mengulas lanjut, Razali berkata, pusat pemindahan banjir di balai raya kampung itu telah dilengkapi bantuan makanan dan keperluan harian sekiranya penduduk berpindah bila-bila masa sahaja.

Setiap tahun, penduduk Kampung Teladas antara yang terawal berpindah apabila banjir melanda daerah ini.

Purata setiap tahun, seramai 200 mangsa dari 40 keluarga berpindah ke pusat pemindahan tiap-tiap kali musim tengkujuh.

Ibu tunggal diarah kosong premis

Oleh: KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

Tarikh: December 2, 2013

KUALA KURAU - Seorang ibu tunggal bakal kehilangan tempat tinggal dan putus mata pencarian, apabila diminta mengosongkan premis milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Pekan Kuala Kurau, bersebelahan Jejantas Kuala Kurau, akhir November lalu.

Lebih mengecewakan arahan pengosongan premis milik agensi kerajaan itu yang didiami Halijah Ijab, 61, bersama seorang anak, menantu dan cucu itu hanya diterimanya lebih kurang dua minggu lalu meskipun tarikh surat dikeluarkan pada 16 Oktober.

Halijah berkata, premis itu didiaminya bersama arwah suami lebih 40 tahun dan hadapan premis itu digunakan mereka untuk perniagaan kedai makan.

Menurutnya, sebelum ini, pihaknya dikunjungi pegawai dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk melihat bangunan yang didiaminya.

"Beberapa pegawai jabatan kastam dari Putrajaya datang meneliti lokasi bangunan ini sebanyak tiga kali dalam tempoh dua bulan lalu. Pada dua siri lawatan awal, pegawai yang hadir tidak memberi tahu tujuan lawatan itu dibuat.

"Namun pada siri lawatan ketiga awal Oktober lalu, seorang pegawai memberitahu premis  ini akan diambil alih pada 30 November  tanpa memberi sebarang notis bertulis," katanya.

Halijah berkata, dia terkejut menerima notis pengosongan premis secara bertulis pada dua minggu lalu dan segera ke Ibu Pejabat Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia di Ipoh untuk mendapatkan penjelasan.

"Saya cuba merayu kepada jabatan kastam agar memberi masa untuk berpindah kerana masa yang diberikan singkat dan dia tidak mempunyai tempat tinggal lain," katanya.

Menurutnya, pegawai yang terlibat bagaimanapun menegaskan jabatan kastam akan mengambil premis itu berikutan satu pekeliling dikeluarkan di peringkat kementerian menetapkan sebuah unit penguatkuasaan jabatan itu perlu diwujudkan di perairan Kuala Kurau.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kastam Negeri Perak, Datuk Muhammad Nasir Said ketika dihubungi berkata, status pengadu yang menduduki premis milik jabatan itu diklasifikasikan sebagai penceroboh disebabkan pengadu tidak pernah membayar sewa sepanjang tempoh mendudukinya.

"Bagaimanapun, jabatan kastam masih menggunakan pendekatan bertimbang rasa dengan hanya meminta  pengadu mengosongkan premis mengikut masa yang ditetapkan," katanya.

Rasional tarik subsidi

Oleh: NORUTUL ILHAM MAD JARI

Tarikh: December 1, 2013

KUALA LUMPUR - Tindakan kerajaan menarik balik subsidi  petrol RON95 dan diesel adalah bagi mengurangkan kos  perbelanjaan hangus untuk diagihkan kepada pelaburan  menjana pendapatan masa hadapan.

Penolong Setiausaha Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa  Kementerian Kewangan, Muhammad Harzi Shah  Pahruddin menyifatkan penarikan itu bukan untuk  menganiaya rakyat.

"Subsidi bahan api merupakan komponen terbesar subsidi  kerajaan. Pada 2009, subsidi bahan api RM6.2 juta bilion  mewakili 3.9 peratus perbelanjaan mengurus (2013: RM24.8  bilion: 11.5 peratus).

"Pada 2013, subsidi bahan api bersamaan 52 peratus  perbelanjaan pembangunan bersamaan dengan 90 peratus gaji  kira-kira 500,000 guru dan kakitangan Kementerian  Pendidikan,' katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan pada Seminar  Penerangan Rasionalisasi Subsidi: Apa Itu GST dan Kesannya  Kepada Pengguna, anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia  (PPIM), di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, istilah lebih tepat digunakan  kerajaan, iaitu merasionalisasikan subsidi itu sama sekali  tidak membebankan rakyat kerana dialihkan kepada perkara  lebih penting.

"Rasionalisasi subsidi adalah untuk mengurangkan beban  golongan berpendapatan rendah dan sederhana kerana  struktur subsidi sedia ada lebih banyak dinikmati golongan  berpendapatan tinggi dan berkemampuan.

"Sebagai langkah awal, ia dilaksanakan dengan mengalih  secara berperingkat kaedah pemberian subsidi daripada  subsidi pukal yang membawa banyak ketirisan kepada subsidi  yang tersasar," katanya.

Kata beliau, ekoran pengurangan subsidi itu, kerajaan  akan lebih menyasarkan kepada golongan yang benar-benar  memerlukan.

"Kesan daripada pengurangan subsidi, kerajaan mampu untuk  meningkatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)  bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah dan  mudah terjejas dengan menaikkan BR1M daripada RM500 kepada  RM650 kepada isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000.

"Bagi pendapatan isi rumah RM3,000 hingga RM4,000  pula RM450 dan individu bujang  bergaji di bawah RM2,000 kepada  RM300," ujarnya.

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment