Seperti biasa media BN lebih gemar membuat laporan propaganda dari melaporkan sebuah berita yang beretika dan adil.
Mereka hanya melapor madrasah itu akan dirobohkan untuk dibuat kompleks perniagaan tetapi tidak melaporkan tentang surau baru lebih besar yang akan dibina di tempat tersebut di samping pampasan RM1.48 juta untuk membina wakaf baharu di tempat lain yang lebih besar manfaatnya. Ertinya roboh satu surau dapat dua surau yang lebih besar.
Media BN melaporkan seolah-olah seluruh bangunan yang dinamakan Madrasah Salihiah itu adalah surau atau 'rumah Allah' walhal sebahagian besar bangunan itu digunakan sebagai ruang pejabat sebuah syarikat insuran. Hanya satu ruang diguna untuk surau, seperti wujudnya surau di mana-mana bangunan yang lain.
Media BN memberitahu, bangunan itu mempunyai nilai sejarah kerana berusia 100 tahun tetapi surau yang kononnya berusia 100 tahun itu telah dirobohkan di zaman BN memerintah Kedah.
Media BN menceritakan seolah-olah keputusan merobohkan madrasah hanya berdasarkan 'fatwa' yang dibuat oleh Menteri Besar seorang. Mereka menggelapkan sama sekali peranan besar Mufti dan Majlis Fatwa Negeri Kedah yang bermuzakarah secara mendalam sebelum memutuskan keharusan madrasah dirobohkan. Perangai hodoh media BN tidak pernah berubah dalam kerja menggelapkan berita serta melaporkan sesuatu perkara secara tidak adil.
Banyak sudah mulut yang 'terkunci' apabila didedahkan siapa ahli Majlis Fatwa membuat keputusan membenarkan perobohan bangunan madrasah yang kini menjadi pejabat sebuah syarikat insuran itu.
Mereka adalah Dato' Sheikh Baderuddin Haji Ahmad (Mufti yang juga Pengerusi), Dato' Mursyid Diraja Dato' Paduka (Dr) Syeikh Abd. Majid Bin Mohd. Noor (Universiti Al-Azhar Mesir, Universiti Ain As-Syam, Mesir), Dato' Wira Syeikh Yahya Bin Hj Jusoh (Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah Sarjana Muda (BA) Syariah), Universiti Islam Antarabangsa (Diploma Undang-undang Pentadbiran dan Kehakiman), Dato' Syeikh Abdul Razak Bin Haji Mohd Yusof (Universiti Ain Syam, Kaherah, Mesir (Diploma Pendidikan), Dato' Syeikh Abd. Hamid Bin Md. Tahir (Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah BA Syariah Dan Undang-undang) Jayyid (Diploma Pendidikan), Tuan Syeikh Abdul Rahman Bin Abu Bakar (Universiti Ein Syams, Mesir (Diploma Pendidikan) Universiti Al-Malik Saud, Riyadh, Universiti Kebangsaan Malaysia (Sarjana Pendidikan (M.Ed)), Prof. Madya Dr. Haji Abdul Aziz Bin Hj Hanafi (Universiti Al-Azhar Mesir, Ijazah sarjana (MA) Syariah, Doktor Falsafah (Ph.D) dalam Jurusan Syariah Politik Islam/Ekonomi Islam, Tuan Syeikh Marwazi Bin Dziyauddin, Universiti Al-Azhar Mesir - Ijazah Sarjana Muda (Syariah), Universiti Malaya - Ijazah Sarjana (Syariah) Fiqh dan Usul Fiqh dan Tuan Syeikh Aminudin Bin Hj Abd Rahim (Universiti Al-Azhar Mesir - Sarjana Muda (BA) Syariah). Kehebatan ilmu mereka dalam membuat keputusan berkaitan kepentingan Islam tidak boleh dipertikaikan.
Mereka bukan ulamak yang ada kepentingan politik. Mereka bernaung di bawah Tuanku Sultan yang kini adalah Yang DiPertuan Agong dan bukannya lantikan oleh Menteri Besar justeru mereka langsung tidak terikat untuk membuat keputusan 'mengikut kehendak' kerajaan yang memerintah.
Setelah 'kalah' dalam semua isu berhubung Madrasah Salihiah Kanchut ini, pendekatan terbaru yang digunakan mereka ialah bermunajat memohon ke hadrat Allah agar melembutkan hati Menteri Besar. Sungguh kelakar, pihak yang sepanjang sejarah menghentam PAS kerana melakukan pelbagai solat hajat sambil menyifatkan apa yang dibuat PAS sebagai 'munajat politik' kini memilih munajat sebagai propaganda politik mereka.
"Lakukanlah sedikit pengubahsuaian dalam pelan agar madrasah tersebut dalam dikekalkan, mengapa Menteri Besar angkuh sangat." Itu komen yang dibuat oleh pemimpin Umno, seolah-olah ikhlas sangat nak pertahankan harta wakaf.
Memang sejak awal kerajaan negeri dan pemaju telah memikirkan dengan serius untuk mengelakkan bangunan dan tanah wakaf itu terbabit. Kerajaan pun sedar akan muncul golongan yang akan memanipulasinya. Soalnya jika madrasah itu dibiarkan kekal di situ ia akan terpencil di celah tiga bangunan utama lima tingkat di kelilingnya. Ia nampak terpinggir, tercorot dan 'kalah' di tengah2 arus pembangunan. Cadangan membina surau baru di bangunan utama kompleks yang dirancang adalah untuk menonjolkan lagi surau sebagai lambang syiar Islam. Ada kubah, ada azan, boleh akses dari luar 24 jam. Biar kompleks perniagaan itu sendiri ada syiar Islam. Masalahnya sukar untuk memperihalkan wawasan besar terhadap golongan yang terlalu sempit dan negatif pemikirannya seperti pembangkang di Kedah.
Akhirnya, isu perkauman pun muncul. Kononnya projek Aman Central hanya menaikkan ekonomi orang bukan Melayu. Aman Central adalah usahasama antara PKNK dan pemaju bukan Bumiputera. PKNK adalah milik kerajaan negeri justeru tidak semuanya kafir. Ia akan memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan rakyat Kedah (peluang pekerjaan) yang majoritinya terdiri dari orang Islam. Realiti dunia hari ini, akibat kelemahan orang Islam, tidak ada satu aspek yang umat Islam dapat membangunkan iktisad sendiri tanpa orang bukan Islam. Kita tidak boleh bersikap 'biar orang Islam mundur asal bukan Islam jangan kaya.' Jika begitu, orang Islam tidak boleh pergi menunaikan haji untuk elak orang kafir yang buat kapal terbang dapat untung.
"50 tahun BN perintah Kedah, tidak pernah terdengar 'rumah Allah' diruntuh untuk sebuah kompleks perniagaan," muncul lagi ayat 'panas' dari mulut pembangkang. Betulkah begitu? Sebenarnya pembangkang di negeri ini juga adalah dari kalangan Melayu mudah lupa.
Di zaman BN, Masjid Alor Malai, Jalan Langgar pernah diroboh untuk pembangunan menyeluruh Kompleks Al-Bukhari yang juga dibangunkan kompleks perniagaan di situ (antaranya Pasaraya Giant). Sebuah masjid baru dibina, bukan di atas tapak masjid lama tetapi dilokasi lain menggunakan kaedah Istibdal, sama seperti kaedah yang digunakan terhadap tanah wakaf Madrasah Salihiah. Ia tidak menjadi isu kerana pihak pembangkang pada masa itu (PAS) tahu hukum hakam, menghormati institusi ulamak dan tidak membantah membuta tuli. Sekarang isu Salihiah menjadi 'panas' kerana pihak pembangkang kini merasa 'terlebih pandai' dari para ulamak yang ada dalam Majlis Fatwa Negeri Kedah.
Posted by aya
Isu Madrasah Salihiah - Penjelasan 10 Dakwaan Umno
ALOR SETAR - Setelah dikritik hebat pihak tertentu berikutan Kerajaan Negeri bertegas mahu merobohkan Madrasah Salihiah untuk dibangunkan Kompleks beli belah Aman Central, Kerajaan Negeri tampil mengemukakan penjelasan terhadap 10 dakwaan yang dilemparkan.
Exco Penerangan, Abd Ghani Ahmad berkata, penjelasan dibuat supaya rakyat dapat membuat penilaian sendiri, dan tidak terpedaya dengan dakwaan yang dilemparkan atas tindakan Kerajaan Negeri.
Merujuk dakwaan yang mengatakan Kerajaan Negeri bertindak zalim kerana mahu merobohkan madrasah, Abd Ghani berkata, keputusan dibuat bukan sewenang-wenangnya, sebaliknya dirujuk kepada Majlis Fatwa Negeri Kedah, diketuai Mufti Kedah, Datuk Sheikh Badaruddin Ahmad.
"Majlis Fatwa bermuzakarah dan putuskan surau itu boleh dirobohkan berdasarkan kaedah istibdal, iaitu pindah wakaf kepada manfaat yang lebih baik. Pampasan RM1.48 juta diberi kepada Majlis Agama Islam Kedah (Maik) selaku pemegang amanah surau untuk dapatkan wakaf yang baru," katanya.
Menurutnya, di lokasi yang dirobohkan pula dibina surau baru yang mampu menempatkan 400 jemaah, berbanding 200 jemaah di madrasah itu.
"Surau baru dibina dan pampasan untuk adakan wakaf yang baru diberi. Makna, roboh satu dapat dua madrasah, bukankah lebih manfaatnya," katanya.
Dakwaan kedua kononnya Mufti Kedah dipaksa turut kehendak Kerajaan Negeri turut disangkal Abd Ghani.
"Mufti Kedah dan Majlis Fatwa berada bawah kuasa Tuanku Sultan, yang kini Yang di-Pertuan Agong, bukannya lantikan Menteri Besar. Justeru, tuduhan itu tidak berasas. Mufti juga tidak buat keputusan berseorangan tetapi secara muzakarah," katanya.
Menurutnya, kesemua anggota Majlis Fatwa terdiri dari kalangan ulama dan ilmuan agama dan ketokohan mereka tidak wajar dipertikai.
Abd Ghani berkata, menjawab tuduhan ketiga, iaitu surau baru dalam kompleks sukar diakses, katanya, surau itu dibina di aras bawah dan boleh diakses dari luar pada bila-bila masa.
"Jika kompleks itu ditutup, orang ramai masih boleh masuk surau dari laluan lain yang disediakan. Ia juga akan menampakkan syiar sebuah surau seperti kubah dan melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat," katanya.
Menurutnya, berbanding Madrasah Salihiah, hanya dibuka pada waktu Zuhur dan Asar, manakala pada waktu lain surau dikunci dari luar dan tidak diimarahkan sepanjang lima waktu.
Dakwaan keempat yang mengatakan madrasah itu bernilai 100 tahun dan mempunyai nilai sejarah, Abd Ghani berkata, bangunan asal madrasah sudah diroboh pada 2007, dan bangunan sedia ada adalah bangunan baru sebagai ganti.
"Sebahagian besar bangunan adalah ruang pejabat yang disewa kepada syarikat insurans, hanya satu ruang untuk bersolat. Dianggarkan bangunan baru itu berusia empat tahun dan pampasan yang diberi dengan menilai keseluruhan tanah dan bangunan," katanya.
Tiada anak kariah solat Subuh berjemaah di madrasah
Mengulas dakwaan kelima, mengaitkan seluruh bangunan madrasah sebagai rumah Allah, Abd Ghani menyangkal dan menegaskan, rumah Allah hanya untuk surau atau masjid yang menepati syarat, antaranya, tandas mesti terpisah dari bangunan utama musala, seperti
mana kesemua masjid di dunia ini.
"Madrasah Salihiah tidak boleh dipanggil rumah Allah kerana tandas, pejabat perniagaan dan surau berada dalam satu bangunan. Hanya satu ruang untuk surau, seperti mana status surau di bangunan lain," katanya.
Abd Ghani turut menafikan dakwaan keenam, iaitu lebih 200 jemaah memakmurkan madrasah itu setiap waktu solat kerana didapati hanya ada beberapa rumah orang Islam berdekatan.
"Ramai yang memilih Masjid Zahir untuk tunai solat. Jika benar surau itu ada 200 anak kariah, mengapa tiada seorang pun datang solat Subuh di situ? Mereka yang demonstrasi mengaku anak kariah, tetapi mereka sebenarnya penduduk Taman Wira Mergong," katanya.
Menurutnya, bangunan itu lebih berfungsi sebagai pejabat syarikat insurans berbanding sebuah madrasah.
Tuduhan ketujuh yang mahu ganti wakaf (surau) dibuat sekitar lokasi berkenaan, Abd Ghani berkata, cadangan itu mungkin baik tetapi persoalannya, bagaimana mahu memenuhi surau ganti wakaf itu kelak, sedangkan kawasan itu bukan perkampungan orang Islam.
"Bukankah lebih baik fikirkan untuk penuhkan surau baru di kompleks perniagaan yang akan dibina, lebih manfaat juga kita guna pampasan bina surau baru di kawasan ramai penduduk," katanya.
Mengulas dakwaan kelapan yang mengaitkan sebuah gereja berdekatan tidak dirobohkan, Abd Ghani berkata, gereja itu tidak termasuk dalam lokasi strategik yang mahu dimajukan.
"Jika gereja sengaja mahu dimasukkan, maka perlu buat ganti gereja dalam kompleks itu juga. Adakah rakyat negeri ini bersedia melihat sebuah gereja dalam kompleks yang sama dengan surau?" katanya.
Dakwaan kesembilan pula menyebut, mengapa beri peluang kepada pemaju Aman Central yang bukan Islam majukan ekonomi negeri?
Abdul Ghani berkata, Aman Central adalah usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan pemaju, Bellview Group, bukannya projek milik pemaju semata-mata.
"PKNK milik Kerajaan Negeri, projek ini akan beri manfaat kepada rakyat Kedah, seperti peluang pekerjaan. Realiti dunia kini, akibat kelemahan orang Islam, tidak ada satu aspek yang umat Islam dapat bangunkan iktisad tanpa bantuan bukan Islam. Tidak boleh ada sikap
'biar orang Islam mundur asal bukan Islam jangan kaya'," katanya.
Menurutnya, jika begitu, orang Islam tidak boleh menunaikan haji untuk elak bukan Islam yang mengusahakan kapal terbang mendapat untung.
Mengulas dakwaan terakhir, tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Kedah, rumah Allah (masjid/surau) dirobohkan untuk bina kompleks beli belah, Abd Ghani berkata, ianya tidak benar.
"Masjid Alor Malai pernah dirobohkan untuk bangunkan kompleks Al-Bukhari, yang menempatkan kompleks perniagaan. Sebuah masjid baru dibina bukan atas tapak lama, tetapi di lokasi lain dengan kaedah istibdal, sama seperti kaedah Madrasah Salihiah," katanya.
Menurutnya, ianya tidak dijadikan isu kerana ketika itu Kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah, dan Pas selaku pembangkang tahu hukum hakam dan tidak membantah.
"Sekarang isu Madrasah Salihiah jadi panas sebab pembangkang (BN) kini berasa lebih arif daripada ulama dalam Majlis Fatwa, dan buat pelbagai kenyataan dan dakwaan," katanya.
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment