Thursday, January 12, 2012

RG2011... Fw: Hukum Pelaburan Ke Atas Syarikat Swiss Cash

 

----- Original Message -----

 
 

Hukum Pelaburan Ke Atas Syarikat Swiss Cash Mutual Fund

Keputusan: 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10 - 12 April 2007 telah membincangkan Hukum Pelaburan Ke Atas Syarikat Swiss Cash Mutual Fund. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Sebarang pelaburan yang menjamin keuntungan secara tetap seperti ditawarkan oleh beberapa syarikat pelaburan dalam dan luar negara seperti Swiss Cash Mutual Fund dan lain-lain adalah haram kerana ia mengandungi unsur riba dan gharar.
     
  2. Oleh itu, umat Islam dilarang terlibat dengan pelaburan seumpama ini kerana banyak alternatif lain berlandaskan Islam yang boleh disertai oleh umat Islam.
Keputusan (English): 

The Ruling on Investing in Swiss Cash Mutual Fund Company

Decision:

The 77th Conference (Muzakarah) of the Fatwa Committee of the National Council for Islamic Religious Affairs Malaysia held on 10th -12th April 2007 has discussed the ruling on investing in Swiss Cash Mutual Fund Company. The committee has decided that:
 
1. Any investment that guarantees a fixed return as offered by some investment companies locally and internationally such as Swiss Cash Mutual Fund and alike is prohibited as such investments involve the elements of riba (usury) and gharar (uncertainties).
 
2. Thus, Muslims are prohibited from investing in such investment as there is plenty of other Shariah based alternatives for Muslims.
 
Keterangan/Hujah: 
 
LATAR BELAKANG
 
Pelaburan melalui internet (e-commerce) semakin mendapat tempat di kalangan orang awam termasuk umat Islam sendiri. Sehubungan itu, timbul persoalan di kalangan masyarakat berkaitan dengan hukum pelaburan melalui internet atau e-commerce, projek pembangunan, hedging, ekuiti, tukaran wang asing (forex), perniagaan komoditi dan instrumen lain.

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti/SecuritiesCommission (SC) telah menyatakan bahawa Swiss Cash bukan sebuah badan pelaburan yang diiktiraf oleh kerajaan untuk mengutip deposit daripada orang ramai tanpa kelulusan BNM dan tidak pernah diberikan lesen oleh SC untuk menjalankan kegiatannya di Malaysia.
 
Skim pelaburan Swiss Cash dikendalikan oleh Syarikat Swiss Cash Mutual Fund diketuai oleh Michael Mansfield. Swiss Cash merupakan satu pelaburan yang menawarkan pulangan sehingga 300% dalam tempoh pelaburan selama 15 bulan. Pelaburan tersebut ditawarkan kepada para warganegara Malaysia, Singapura, dan Indonesia di mana penganjur skim ini mendakwa bahawa dana pelabur disalurkan ke dalam aktiviti perniagaan yang merangkumi cari gali minyak, serta perkapalan dan pertanian di Republik Dominica.
 
Ciri-ciri pelaburan Swiss Cash bagi mengenal pasti asama ada ia bertepatan ataupun tidak dengan kehendak syariah adalah seperti berikut:
 
a. Pelaburan Swiss Cash dijamin kadar keuntungannya atau Guaranteed Fixed Return Sebagai contoh yang diambil dari laman web Swiss Cash sendiri, untuk pelaburan berjumlah antara USD 1,000,00 hingga USD 100,000 pelabur dijamin pulangan 20% untuk setiap 30 hari. Manakala pulangan pelaburan dari segi amaun kewangan pula ialah jika modal pelaburan sebanyak USD 100,000 dilaburkan selama 450 hari, jaminan pulangan ialah sebanyak USD 300,000. Di samping itu, pelaburan Swiss Cash memerlukan pelabur meletakkan wang deposit pelaburan ke dalam Syarikat Swiss Cash (institusi kewangan). Dalam masa yang sama juga pelabur dijanjikan faedah yang disyaratkan;

b. Dari segi pembahagian keuntungan antara pelabur dengan syarikat ini, pelabur telah ditentukan terlebih dahulu keuntungan mengikut bentuk jumlah iaitu USD 300,000 dan bentuk peratusan kepada modal iaitu sebanyak 20%.

c. Swiss Cash mempromosikan pelaburannya dalam minyak, gas, hedging, commodity futures and forex bagi meraih keuntungan. Salah satu bidang perniagaan Swiss Cash ialah pertukaran mata wang asing (forex atau money market).

d. Swiss Cash tidak mempunyai Jawatankuasa Penasihat Syariah. Ini adalah kerana ia merupakan syarikat pelaburan konvensional dan tidak memerlukan jawatankuasa ini untuk mengawasi segala aktiviti pelaburan.
 
HUJAH DAN DALIL
 
Berdasarkan ciri yang pertama, bentuk pelaburan yang dijamin keuntungan dari segi syarak termasuk salah satu daripada dua bentuk iaitu qard atau pinjaman dengan faedah yang disyaratkan yang mana ia adalah riba. Kedua ialah akad mudharabah yang rosak syarat-syaratnya. membawa kepada riba. Ini berdasarkan Hadis Rasulullah SAW :
 
Maksudnya:
Setiap pinjaman yang membawa manfaat (faedah) maka ia ialah riba. (Hadis riwayat Baihaqi)
 
Pandangan ulama dalam perkara ini adalah seperti berikut:
 
  1. Ibn Qudamah mengatakan setiap qard yang disyaratkan padanya pertambahan, maka ia adalah haram tanpa khilaf.
     
  2. Pendapat rajih di kalangan ulama Hanafi menyatakan setiap qard yang disyaratkan manfaat, maka ia adalah haram.
     
  3. Pandangan mazhab Maliki adalah haram mengambil sesuatu faedah daripada harta orang yang berhutang seperti menunggang binatang tunggangannya.
     
  4. Mazhab Shafie dan Hanbali bersepakat untuk tidak mengharuskan hutang yang ada manfaat.
     
  5. Majlis Penasihat Syariah BNM menyatakan hibah tidak boleh disyaratkan atau dijanjikan dalam kontrak pinjaman (qard) dan wadiah kerana ia boleh membawa elemen riba.

Berdasarkan pandangan ulama, para pelabur telah memberi pinjaman kepada Syarikat Swiss Cash dan syarikat ini menjanjikan pulangan tetap. Pulangan ini ialah naf'an (manfaat) yang merupakan riba yang diharamkan.
 
Berdasarkan ciri yang kedua, pembahagian keuntungan berkait rapat dengan akad mudharabah. Ulama bersepakat bahawa kontrak pelaburan (mudharabah) yang menjamin keuntungan adalah tidak sah dari segi syarak. Antara pandangan ulama ialah:
 
a. Ibn Abidin mengatakan bahawa keuntungan antara kedua-dua pihak hendaklah fleksibel (anjal). Kalau ditetapkan satu kadar, maka rosaklah (akad mudharabah itu).

b. Al-Kasani berpendapat sekiranya kedua-dua pihak (rabb al-mal dan mudharib)  mensyaratkan bilangan tertentu seperti mensyaratkan salah seorang mendapat seratus dirham keuntungan atau lebih dan bakinya diberikan kepada pihak satu lagi maka ia tidak dibenarkan.

c. Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan sekiranya menetapkan kepada pelabur keuntungan yang dijamin tidak bertambah dan berkurangan, walaupun keuntungan mungkin berlipat kali ganda atau kerugian yang merudum maka ia menafikan keadilan yang jelas nyata dan ini adalah roh riba yang keji.

d. Jaminan untung dalam kontrak pelaburan disepakati ulama sebagai haram kerana ia ialah riba. Hadis Rasulullah SAW menyebut :
 
Maksudnya:
(Bagi mendapatkan) keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi risiko (bermakna tiada untung tetap yang dijanjikan dan pelabur mesti menjamin keelokan barangan yang dijual jika melibatkan jual beli).
 
Berdasarkan hujah di atas ia menunjukkan pelaburan Swiss Cash dianggap sebagai akad mudharabah yang rosak syaratnya kerana tidak menepati hukum dalam pembahagian keuntungan iaitu tidak ditentukan dengan kadar atau nisbah tertentu seperti 70:30 atau 1:3 daripada keuntungan bersih setelah ditolak segala perbelanjaan mudharabah dan sebagainya. Pelaburan yang menjamin keuntungan tetap ialah pinjaman dengan riba.
 
Berdasarkan ciri yang ketiga, perdagangan pertukaran mata wang asing diharuskan oleh syarak tetapi tertakluk kepada garis panduan yang mesti dipatuhi iaitu qabd (serah dan terima) dalam waktu yang sama secara 'hakiki' atau 'hukmi' sebagai (yadan biyadin) berdasarkan Hadis Rasulullah SAW :

Maksudnya:
Emas dengan emas, perak dengan perak, bijian dengan bijian, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus (pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah kamu sebagaimana yang disukai sekiranya ditukar secara terus.
 
Perdagangan tukaran mata wang asing yang diuruskan sistem kewangan konvensional menggunakan forward forex atau forex yang menggunakan value forward (nilai masa hadapan) serta tidak menjaga syarat qabd menyebabkannya menjadi riba nasi'ah. Antara fatwa keharusan forex adalah tertakluk kepada syarat qabd atau al-taqabud atau yadan biyadin, bukan secara mutlak:
 
a. Keputusan Fatwa Negeri Perak menyatakan: Mesyuarat Jawatankuasa Syariah yang bersidang pada 22 Muharram 1425H bersamaan 3 Mac 2005 bersetuju bahawa hokum perniagaan mata wang asing adalah harus dengan syarat al-Taqabud.

b. Fatwa Majma' al-Buhuth al-Islamiyyah bi al-Azhar al-Sharif menyatakan harus membeli satu mata wang dengan mata wang yang lain yang berbeza nilai dan jenis seperti membeli Dollar Amerika dengan Euro Eropah berdasarkan Hadis Rasulullah SAW dalam Sahih Muslim iaitu:
 
'...apabila berlainan jenis, maka berjual belilah kamu sebagaimana yang disukai sekiranya yadan biyadin...'
 
Dalam Swiss Cash, perjalanan perdagangan forex tidak dipantau badan syariah menyebabkannya menggunakan instrumen forex tanpa sebarang ikatan syarat yang ditetapkan syariah. Tanpa syarat qabd, transaksi antara mata wang dengan mata wang secara bertangguh menyebabkan berlakunya riba nasi'ah yang diharamkan.
 
Dalam ciri yang keempat pula, peraturan yang diamalkan di Malaysia dalam sistem perbankan, kewangan dan pasaran modal Islam menyatakan mana-mana bank atau syarikat yang ingin mewujudkan sistem perbankan Islam atau melaburkan dana mereka dalam mana-mana sekuriti lulus syariah, wajib dan hendaklah melantik Jawatankuasa Penasihat Syariah dalaman bagi mengawasi dan memastikan produk-produk perbankan dan pelaburan berlandaskan prinsip syariah. Walau bagaimanapun Syarikat Swiss Cash tidak mempunyai Jawatankuasa Penasihat Syariah kerana ia merupakan syarikat pelaburan konvensional sekali gus menyebabkan segala aktiviti pelaburan mereka tidak diawasi agar sentiasa menepati kehendak syariah.
 
Sumber: Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan: Berhubung Dengan Isu-Isu Muamalat (2009)

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

MARKETPLACE

Stay on top of your group activity without leaving the page you're on - Get the Yahoo! Toolbar now.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment