Di celah-celah rimbunan bangunan yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuching, tersudut satu deretan kedai makan yang agak kecil dan terpecil. Kedai makan ini tidak begitu cantik lanskapnya. Ia dikelilingi oleh bangunan kedai-kedai dan pejabat, saiznya kawasan ini juga agak kecil dan sempit, hanya muat sekitar dua puluh buah kereta.
Melihat kepada bentuk kedai, jenis makanan dan harganya, kedai ini sesuai benar dengan selera golongan pekerja yang rata-ratanya tidak mewah kehidupan mereka. Kita dapat mengagaknya kerana kebanyakan pelanggan di sini berkereta model Kancil hingga ke jenis Wira. Ada yang bertali leher tetapi berkemeja besar dengan warna yang lusuh, ada yang berbaju-T berseluar jeans dan khaki.
Bagi wanita pula, kebanyakan yang bertudung, di leher mereka tergantung tag kerja, sekali imbas mereka ini mungkin kerani di jabatan-jabatan kerajaan. Bagi kaum Cina pula, selain dari warga emas, anak-anak muda juga turut memenuhi ruang makan. Melihat dari pakaian mereka, jelas menunjukkan mereka semuanya bekerja makan gaji atau berniaga kecil-kecilan, pakaian tidak formal sama sekali.
Bandaraya Kuching sememangnya telah dan sedang membangun, bukan hanya kedai-kedai teres ini sahaja, malah banyak lagi pusat-pusat perniagaan yang telah dibuka. Pendek kata, selain Pulau Pinang yang dikenali sebagai bandar yang penuh dengan aneka makanan, Kuching juga tidak ketinggalan sebagai sebagai bandar 'makan'.
Deretan kedai-kedai ini sama sahaja dengan format kedai makan di Semenanjung, barangkali, kedai makan teres ini dibina oleh kerajaan negeri. Menurut sahabat yang menemani penulis, kedai ini sudah wujud lebih dari dua puluh tahun dahulu, ketika dia masih bersekolah menengah lagi.
Kedai teres ini samalah dengan medan selera seperti gerai R&R lebuh raya atau medan makan di Jalan Bonus, Masjid India di Kuala Lumpur. Meja makan dan anjungnya tidak begitu tersusun, melihat kepada jenis kerusi dan meja, ianya bercampur antara yang lama dengan yang baru.
Gerai Melayu, gerai Cina
Dari sekitar enam hingga ke sepuluh pintu kedai teres ini, hanya dua buah kedai sahaja yang dilihat begitu popular dan mendapat sambutan pengunjung. Ada juga segelintir pengunjung itu terdiri di kalangan pelancong tempatan, mendengar loghat bahasa ketika memesan makanan, kita dapat membezakan ini penduduk tempatan atau orang luar.
Sebuah kedai menjual makanan dan sebuah lagi menjual minuman. Kedai makanan ini diusahakan oleh orang Melayu Islam, menunya hanya rojak. Rojak ini ada tiga jenis iaitu rojak biasa, rojak mee dan rojak istimewa. Bahan asas rojak ini hanya taugeh, tauhu, telur, tepung goreng dan kuah kacang. Bahan-bahan ini akan dibezakan mengikut jenis biasa atau campur mee kuning atau istimewa (ayam goreng)
Kedai minuman pula diusahakan oleh pengusaha Cina. Apa sahaja selera Malaysia dari teh tarik, kopi dan yang seumpanya, semua ada. Harga makanan dan minuman kedua-dua kedai ini juga tidak banyak beza dengan harga makanan di kedai-kedai lain di Semenanjung.
Hubung kait, persamaan dan kerjasama
Pengunjung yang makan rojak akan memesan minuman di kedai Cina, iaitu di sebelah kedai Muslim ini. Itu hubung kaitnya.
Kedai rojak ini diusahakan oleh anak-anak pemiliknya. Begitu juga dengan kedai minuman di sebelahnya, juga diusahakan oleh anak-anak tauke tersebut. Dahulunya kedai ini dimiliki dan diusahakan oleh bapa mereka, kini generasi kedua telah mengambil alih. Itu persamaannya.
Anjung makan kedua-dua kedai ini agak pendek, ruang makan di luar terdedah dengan cahaya matahari. Namun kini kedua-dua pemilik kedai ini telah menyambung kanopi yang lebih jauh keluar agar para pelanggan dapat duduk dengan redup dan selesa. Melihat dari aspek teknikal buatan kanopi ini, ia jelas menunjukkan mereka berkongsi modal demi berkongsi pelanggan yang sama. Itu kerjasama yang mereka lakukan.
Penulis juga diberitahu, kedai rojak ini sangat popular di sekitar bandaraya Kuching. Sebut sahaja nama kedai ini pasti ramai yang tahu, atau jika ditanya tempat cadangan untuk bersarapan, pasti ramai juga yang akan mencadangkan tempat ini (selain tempat-tempat lain yang popular).
Rasa rojak ini tidaklah begitu asing dengan rasa rojak mamak atau rojak Melayu di Semenanjung, namun perbezaannya cukup terasa. Tidak terlalu manis, tidak begitu berminyak pada tauhu dan tepung goreng, taugeh pula direbus agak setengah masak tetapi terasa lemak apabila kuah rojak itu diadun bersama dengan bahan-bahan yang lain.
Ringkasnya, rasa sederhana tetapi aroma lemak itu melekat hingga ke celah-celah lidah. Nang nyaman! Bak kata orang Kuching.
Minumannya pula dibuat seperti apa yang kita pesan. Jika minum di kebanyakan kedai kopi di mana-mana sekalipun, jarang pembuatnya memberi minuman mengikut pesanan kita. Contohnya bila diminta kurang manis, yang sampai tetap manis terperit lidah! Kadang-kadang kita terpaksa memesan kali kedua untuk mendapatkan rasa seperti yang kita harapkan.
Namun kedai minuman ini tidak begitu. Umumnya, kedai minuman ini biasa sahaja dari semua segi, ia bersih dan layanannya cepat.
Takdir ekonomi dan setia kawan
Penulis diberitahu, pernah suatu ketika, sewaktu pemilik kedai rojak ini mengerjakan haji, kedainya ditutup lima minggu. Pada minggu pertama kedai rojak ditutup, kedai minuman ini hanya mampu bertahan empat hari sahaja. Selepas itu, kedai minuman ini terus bercuti hingga pemilik kedai rojak di sebelahnya kembali dari menunaikan ibadah haji.
Begitu juga ketika Tahun Baru Cina, kedai rojak Muslim ini terpaksa ditutup mengikut tempoh masa bercuti kedai minuman Cina di sebelahnya.
Inilah budaya dan agama yang telah mengikat sumber ekonomi kedua-dua pengusaha yang berbeza kaum dan kepercayaan ini. Hingga kini, waris mereka juga turut berbuat demikian. Daripada ketentuan ekonomi, ia berkembang menjadi tanda setia kawan dan muhibah dalam perniagaan. Di gerai ini juga, tidak ada satu pun logo '1Malaysia', namun ia tetap nyata dan terasa benar semangat muhibbah itu, dan ianya tulen !
Siapa kata peniaga Melayu Islam mudah ditindas oleh peniaga Cina?" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment