Saksi-saksi kemalangan jalan raya yang membabitkan 10 kenderaan dan mengakibatkan 15 orang cedera di Ayer Tawar, Perak petang ini mendakwa ia disebabkan oleh kereta peronda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang cuba memintas sebuah lori.

Bagaimanapun, pihak polis menafikan dakwaan itu, dan berkata kereta peronda JPJ itu telah dilanggar oleh lori.

Ahli Parlimen Berus, Datuk Ngeh Koo Ham, yang tiba di tempat kejadian kemalangan sejurus selepas ia berlaku, telah diberitahu oleh saksi bahawa kenderaan pacuan empat roda JPJ itu menyeberangi pembahagi jalan untuk memintas sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

Perbuatan secara tiba-tiba itu menyebabkan lori, yang didakwa 
membawa lebih muatan kelapa sawit, membrek secara mengejut dan dilanggar oleh kenderaan lain di belakangnya, kata Ngeh kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Menurut polis, 10 kenderaan - kereta peronda JPJ, dua bas sekolah, dua buah lori, sebuah motosikal dan empat buah kereta, terbabit dalam kemalangan tersebut.

Ngeh berkata, salah sebuah daripada 10 kenderaan tersebut - Kancil hijau - terbakar selepas melanggar kenderaan lain.

"Mujurlah dua lelaki Cina dan seorang lelaki India memecahkan pintu kereta dan menyelamatkan seorang wanita Melayu yang terperangkap di dalam kereta tersebut, dan memadamkan api.

"Orang ramai sangat marah dan menuntut pegawai JPJ bertanggungjawab terhadap tindakan berbahaya seperti itu. Mereka kemudian memecahkan kenderaan JPJ, menterbaliknya dan membakarnya. Keadaan tidak ganas, mereka hanya marah, "kata Ngeh yang juga pengerusi DAP Perak.

Selepas api dipadamkan menurut Ngeh, orang ramai yang marah enggan membenarkan pihak berkuasa untuk mengambil kenderaan yang terbakar itu tanpa memberi penjelasan yang memuaskan hati mereka.

"Mereka kemudian menterbalikkan kenderaan itu untuk kali kedua."
Keterangan para saksi sama dengan yang diberitahu oleh Ngeh, begitu juga dengan gambar dan video kejadian, yang telah dimuat naik dan dikongsi dalam media sosial.

Ngeh mendakwa tindakan masyarakat tempatan itu adalah kemuncak kepada 'penindasan' yang lama oleh kedua-dua pihak polis dan pegawai JPJ.

Beliau mendakwa perniagaan tempatan, termasuk pengusaha dan pemandu lori, telah dipaksa membayar rasuah bulanan kepada polis dan pegawai penguatkuasa JPJ, dan sekiranya gagal berbuat demikian, mereka akan menjadi mangsa.

Oleh itu, katanya, ketegangan semakin memuncak di kawasan tersebut.

"Saya menggesa kerajaan supaya segera menyelesaikan isu ini, "katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Ahmad Mat Isa mengesahkan 
kepada Malaysiakini bahawa 15 orang mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan tersebut.

Beliau menafikan khabar angin bahawa empat orang mati dalam kemalangan tersebut, dan menjelaskan bahawa tiada kematian dilaporkan setakat ini, dan tiada pelajar di antara mereka yang cedera kerana dua bas terlibat tidak membawa pelajar.

Ahmad menyangkal dakwaan bahawa tiga pegawai JPJ di dalam kenderaan pacuan empat roda telah bertindak secara melulu dan mereka tidak cuba memintas lori terbabit.

Sebaliknya, beliau mendakwa ketiga-tiga mereka adalah dalam perjalanan pulang ke Manjung dari pejabat JPJ Ipoh.

Kenderaan peronda mereka berhenti di hadapan lampu isyarat di depan sebuah sekolah di Ayer Tawar, tetapi dilanggar oleh sebuah lori di belakang kenderaan mereka, menyebabkan kenderaan lain di belakang melanggar lori tersebut, kata Ahmad.

Jika tiga pegawai tersebut menjalankan tugas penguatkuasaan, sepatutnya ada alat penguatkuasaan seperti kon trafik di dalam kereta.

Katanya, menurut laporan polis dan siasatan polis, mendapati tidak 
barangan seumpama itu dalam kereta berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa ketiga-tiga pegawai JPJ itu melarikan diri dari tempat kejadian selepas dikelilingi orang ramai. Mereka menaiki pengangkutan awam untuk ke balai polis Manjung untuk membuat laporan.

Pihak polis masih menyiasat tindakan menterbalikkan kenderaan JPJ itu dan siapa yang melakukannya, tambah Ahmad.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.

Banyak lagi gambar-gambar di sini