Sunday, January 20, 2013

RG2011... Komunikasi Menggunakan Bahasa Tubuh - Elakkan Kesilapan Ini!

 

Komunikasi ini bermula sebelum anda menuturkan perkataan pertama sewaktu sesi temu duga. Ketika anda menghampiri penemu duga anda untuk bersalaman dengan beliau, beliau telahpun membuat satu tanggapan terhadap diri anda. Ketika anda menjawab soalan-soalan beliau pula, sebenarnya anda telah dinilai berdasarkan penampilan, postur, senyuman atau keresahan anda.

 

Cuba anda perhatikan guru atau pensyarah anda ketika mereka sedang mengajar. Yang mana satukah antara mereka yang paling anda ingat? Pensyarah yang tidak membuat anda mengantuk atau pensyarah yang hanya berdiri di hadapan dan memberi anda maklumat demi maklumat? Hal ini bukan bermakna anda terpaksa membuat lawak ketika sesi temu duga anda. Hal ini bermakna anda terpaksa membuat perbualan anda menarik dan interaktif. Jika anda katakan bahawa anda sangat teruja untuk bekerja di syarikat itu, tetapi anda tidak menunjukkan sebarang minat, mesej yang hendak anda sampaikan pasti gagal. Oleh itu, anda perlu senyum, gerakkan tubuh anda sekali-sekala pada masa yang sesuai, tunjukkan sedikit tenaga dalam perbualan dan hidupkan sesi temu duga anda.

 

Jangan pandang rendah pada nilai sebuah senyuman. Selain menunjukkan anda berminat terhadap pekerjaan yang ditawarkan, senyuman juga membuat anda berasa yakin terhadap diri anda sendiri.

 

 

Mesej yang disampaikan melalui bahasa TUBUH

 

1. Berjabat tangan

Merupakan detik pertemuan pertama anda dengan penemu duga anda. Beliau menghulurkan tangan dan menerima balas tangan yang basah dan sejuk. Hal ini tidak bagus! Anda perlu bersalam dengan genggaman yang kuat dan erat, tetapi tidaklah terlalu kuat sehingga menyakiti tangan penemu duga anda. Pastikan bahawa tangan anda kering dan

hangat.

 

 

2. Postur

Berdiri dan duduk tegak. Janganlah terlalu kaku. Tunjukkan sedikit tenaga dan minat. Postur yang melengkung menunjukkan bahawa anda penat dan seperti tidak ambil kisah. Pastikan bahawa anda selalu berlatih di hadapan cermin untuk mendapatkan postur terbaik bagi diri anda.

 

 

3. Hubungan mata

Pandang penemu duga anda tepat pada matanya apabila anda berinteraksi. Janganlah pula anda merenung beliau dengan pandangan mata yang tajam. Pastikan pandangan mata anda selalu bertembung. Elakkan memandang ke sekeliling anda terlalu kerap kerana hal ini menunjukkan bahawa anda resah, kurang keyakinan diri dan tidak berminat terhadap hal yang sedang dibincangkan.

 

 

4. Tangan

Bercakap sambil menggerak-gerakkan tangan ialah satu perbuatan yang biasa, tetapi pastikan bahawa pergerakan tangan anda tidak keterlaluan. Pergerakan tangan yang terlalu kerap merupakan satu gangguan. Selain itu, anda harus elakkan daripada menyentuh mulut anda ketika bercakap. Perhatikan diri anda di hadapan cermin ketika berbual dengan rakan melalui telefon. Pada kebiasaannya, anda akan melakukan pergerakan badan yang sama ketika sesi temu duga.

 

 

5. Jangan gelabah

Tidak ada perkara yang lebih teruk daripada calon yang mula bermain dengan rambut mereka, bermain dengan pen, membuat bunyi dengan kaki mereka atau menyentuh bahagian tubuh mereka secara tidak disedari.

 

 

Membuat persediaan tentang perkara yang hendak dikatakan adalah penting. Namun, berlatih cara penyampaian yang hendak dilakukan adalah tidak kurang pentingnya. Kepada sesetengah penemu duga, mesej yang anda sampaikan melalui pergerakan bahasa tubuh adalah lebih efektif daripada kata-kata anda kerana bahasa tubuh jarang menipu.

 

 

Artikel di atas dipetik daripada buku POST MORTEM MASALAH TEMU DUGA ANDA. Untuk lain-lain artikel kerjaya, sila lawati www.books.perintis.com.my atau untuk maklumat lanjut, sila hubungi Cik Nor di talian 03-9019 5303.

 

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment