Wednesday, January 16, 2013

RG2011... Menuju PRU-13: Kerajaan sementara — Amin Ahmad

 


16 JAN — Selepas Dewan dibubar untuk memberi laluan kepada pilihan raya, pentadbiran negara akan diurus oleh kerajaan sementara (caretaker government) sehinggalah terbentuk kerajaan baru berdasarkan keputusan pilihan raya.

Kerajaan sementara ini sebenarnya terdiri daripada mereka yang telah dipilih dalam pilihan raya penggal sebelumnya. Namun bezanya sebenarnya cukup signifikan.

Kerana urusan kerajaan tidak mungkin terhenti begitu sahaja dalam satu tempoh tertentu yang secara relatifnya panjang, maka kerajaan sementara kekal untuk membolehkan urusan biasa terus berjalan. Urusan biasa ini mestilah tidak menjejaskan integriti proses pilihan raya yang berlangsung.

Bagaimanapun menerusi beberapa laporan dalam dan luar negara yang boleh dibaca, kita melihat wujud kecenderungan kerajaan sementara ini bertindak menyalahi falsafah dan amalan demokrasi sebenar.

Menjamin integriti pilihan raya

Kita perlu sedar bahawa lazimnya kerajaan sementara ini terdiri daripada pimpinan parti yang turut sama bertanding sebagai calon dalam pilihan raya. Justeru, mereka terdedah kepada ruang untuk mengeksploitasi sumber dan jentera kerajaan untuk kepentingan kempen peribadi atau parti yang diwakili mereka. Dalam banyak keadaan, ia adalah menjadikan persaingan kempen tidak saksama malah secara moralnya salah.

Contoh penggunaan sumber dan jentera kerajaan secara salah ialah apabila premis seperti dewan, sekolah atau padang awam dikhususkan kepada pihak parti yang menjadi kerajaan sementara di mana lazimnya calon bagi kawasan terbabit dilibatkan untuk tujuan kempen, sama ada berucap atau tidak.

Selain itu, kenderaan awam, bahan cetak atau kain rentang, malah tenaga kerja penjawat awam juga turut digunakan untuk tujuan ini. Pernah juga kita mendengar banyak projek-projek skala kecil yang dijalankan semasa kempen berlangsung misalnya penambahbaikan jalan, pembaikan longkang dan pemasangan lampu jalan.

Tidak cukup dengan itu sejumlah program kerajaan dijalankan pada waktu kempen berlangsung. Ia sering dijustifikasikan sebagai program yang telah dirancang lebih awal. Ini tidak seharusnya berlaku kerana kabinet sepatutnya tahu bila pilihan raya akan diadakan, dan sekiranya ada perangan begitu dibuat, ia patut dibatalkan atau ditangguhkan sehingga selesai proses pilihan raya.

Kerajaan juga tidak boleh mengumumkan mana-mana dasar baru kerana ia boleh mengikat kabinet baru yang bakal dibentuk. Apa yang boleh dibuat hanyalah kempen "sekiranya kami dipilih sekali lagi, rancangan dasar baru yang ingin dibuat ialah....".

Begitu juga dengan kontrak-kontrak kerajaan dan lantikan-lantikan jawatan. Komitmen terhadapnya tidak patut dibuat sepanjang tempoh kerajaan sementara, malah sebaik-baiknya ditetapkan satu tempoh sebelum tarikh Dewan terbubar dengan sendirinya.

Usaha menambah baik pilihan raya

Sejak 2011 Dewan Rakyat telah membentuk sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya. Ia terdiri daripada sembilan orang ahli parlimen – 5 mewakili parti pemerintah, 3 mewakili parti pembangkang dan 1 mewakili bebas.

Dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas yang dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, dinyatakan bahawa enam sesi pendengaran awam telah dibuat dan sebanyak lebih 200 cadangan telah diterima. Mereka juga turut membuat lawatan ke beberapa buah negara maju untuk mendapat pendedahan dan membuat perbandingan proses pilihan raya yang dijalankan.

Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa selepas saringan dibuat sebanyak 22 cadangan telah diterima – 18 daripadanya dipersetujui bersama dan bakinya berdasarkan undi dan belah bahagi.

Semasa membentangkan Penyata ini juga Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kerajaan sementara merupakan isu yang paling banyak dikemukakan semasa pendengaran awam dan hangat dibincang. Justeru, SPR diminta menyediakan kod amalan kerajaan sementara ini. Setakat ini, SPR menyatakan ianya telah siap didraf dan dihantar ke pejabat peguam negara untuk disemak.

Peranan bersama

Semua pihak mempunyai tanggungjawab besar memastikan institusi awam tidak memihak. Sambil kita menerima bahawa sesetengah penjawat awam dibenarkan aktif terlibat dalam politik kepartian, ia tidak pernah bermaksud institusi awam boleh digunakan secara wewenang. Ini tidak mudah tetapi cukup penting dipastikan berlaku.

Dalam situasi lepas, dakwaan menyalahgunakan premis, jentera, perbelanjaan dan kakitangan awam untuk kempen banyak kelihatan dibuat oleh satu pihak. Ini mungkin kerana konteks politik Malaysia pada waktu itu. Dalam konteks politik Malaysia kini di mana terdapat beberapa buah negeri ditadbir oleh parti berbeza, kita semua berpeluang melihat tindak tanduk kerajaan sementara ini secara lebih saksama.

Sebagai organisasi yang telah diumum untuk dilantik menjadi pemerhati dalam pilihan raya umum ke-13, IDEAS pasti mengambil kira aspek ini untuk dimuatkan dalam laporan rasmi untuk perhatian SPR dan boleh diakses oleh orang ramai.

Untuk menjalankan tugas sebagai pemerhati ini, IDEAS akan memulakan pengkaderan sukarelawan di seluruh negara dalam masa terdekat, sebaik sahaja lantikan rasmi sudah dibuat dan diumumkan.

Syarat asas untuk menjadi sukarelawan pemerhati ialah warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas, tidak seorang yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah, tidak seorang yang bankrap dan belum dilepaskan, tidak seorang yang aktif dalam mana-mana parti politik (memegang jawatan atau terlibat memberikan ceramah) dan boleh mengamalkan sikap berkecuali.

IDEAS (serta mungkin sejumlah organisasi lain yang dilantik) akan mengadakan beberapa siri latihan intensif untuk memastikan sukarelawan pemerhati dapat menjalankan tugas dengan lancar dan baik.

Bagi yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya umum ke-13, anda boleh menyediakan butiran diri dalam format resume ringkas (satu hingga dua muka surat) dan gambar berwarna ukuran passport. IDEAS akan menyediakan borang serta alamat atau emel untuk menghantar permohonan sebaik sahaja urusan rasmi berkenaan lantikan telah dipastikan.

* Amin Ahmad ialah pengurus projek dan operasi di IDEAS

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment