Friday, January 4, 2013

RG2011... Satu juta Azam

 

 
Saya mengucapkan selamat tinggal 2012 dan selamat datang 2013. Kalendar Maya juga telah berakhir untuk satu pusingan selama 26 ribu tahun. Heboh-heboh dalam kalendar Maya tentang dunia ini akan kiamat pada 21 Disember lalu telah meleset. Perjalanan hidup manusia diteruskan dengan gangguan koma, sengkang dan tanda tanya. Noktah akhir masih jauh lagi.

Di bulan tahun baru ini media - akhbar dan radio - seperti biasa telah menjadi Pak Sibuk dengan mengajak warga membuat azam baru. Juga media ini meminta pendengar dan pembaca untuk melihat kembali azam tahun lalu sama ada telah dapat dikotakan atau hancur di tengah jalan.

Saya sendiri tidak pernah membuat apa-apa azam untuk tahun baru yang lepas-lepas. Untuk saya mustahil azam saya hanya muncul di tahun baru. Mustahil saya ini hanya akan membuat azam hanya di tahun baru. Saya tidak melihat logik dan rasional yang kita hanya membuat azam di tahun baru. Apakah kalau tidak di tahun baru kita tidak ada keupayaan untuk membuat azam. Hidup ini bukan seperti syarikat untuk dihitung sama ada untung atau rugi dari tahun ke tahun.

Tetapi untuk tahun 2012 ini agak berbeza. Untuk pertama kali dalam dalam hidup ini saya telah membuat azam di tahun baru. Bukan ini sahaja, azam tahun baru saya ini juga untuk memiliki tarikh dan masa inilah wajib saya capai. Ertinya azam saya ini ada tarikh lupus. Bunyinya agak ganjil tetapi inilah sebenarnya yang sedang berlaku.

Pada malam berakhirnya 2012 dan bermulanya 2013 saya berazam untuk menghasut satu juta warga Malaysia untuk turun berhimpun di Kuala Lumpur. Azam tahun baru saya cukup jelas lagi benderang. Saya berazam untuk menghasut satu juta warga turun pada hari Sabtu 12 Januari 2013 akan datang ini. Satu juta orang ini akan mula berhimpun di Stadium Merdeka pada jam 2 petang. Lihat dan perhatikan azam saya kali ini, ada memiliki tarikh, waktu-waktu yang wajib diikuti termasuk juga di mana azam saya ini akan meledak.

Sedarlah bahawa azam tahun baru saya bukan generik, luas atau berfalsafah. Ini bukan azam untuk 'memperbaiki' lagi hidup atau azam untuk berhenti merokok atau berjanji untuk tidak mencari bini baru dan, dan, dan... seperti yang selalu kita dengar dalam radio. Azam saya ini jelas tidak berselindung dengan kata-kata muluk lagi indah atau berselindung dengan kata-kata yang berlagak hikmat dan berfalsafah.

Saya membuat azam ini kerana saya merasakan bahawa masa dan ketikanya telah sampai untuk warga bertindak. Tindakan yang saya azamkan bukan tindakan individu perseorangan. Azam yang menghasut satu juta warga ini bertujuan untuk memastikan agenda individu tidak diketepikan. Malah agenda individu inilah yang dikumpulkan untuk menjadi agenda satu juta Himpunan Kebangkitan Rakyat.

Azam saya untuk menghimpunkan satu juta warga di Kuala Lumpur memiliki asas yang kukuh. Azam saya ini bukan muncul secara tetiba. Azam ini juga bukan lahir dari angan-angan dan mimpi-mimpi. Azam menghimpunkan satu juta warga ini muncul dari lembah siasah tanah air kita. Azam satu juta rakyat berkumpual berlatar belakangkan politik yang wujud hari ini.

Umum yang telah akil baligh politiknya tahu bahawa PRU13 akan berlangung pada awal tahun ini. Saya telah berkali kali membawa pencerahan dengan bahan bahan bukti tentang penipuan yang telah dirancang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR) untuk PRU13 ini. Saya yakin pembaca tulisan saya telah semakin sedar tentang penipuan-penipuan ini.

Mengetahui dalam PRU13 ini nanti akan berlaku banyak penipuan telah menjadikan warga marah, bengis dan berdendam. Ada juga warga yang menjadi sinikal. Dan ada juga warga yang hilang punca seolah-olah tidak ada jalan keluar. Kemarahan, sinikal atau putus asa individu ini untuk saya tidak memiliki apa apa makna yang hakiki. Kemarahan individu akan terus menjadi kemarahan individu. Kemarahan individu sampai kiamat tidak akan membawa apa apa perubahan.

Tetapi bayangkan jika azam 12 Januari saya ini berjaya direalisasikan, kemarahan individu ini dapat dikumpulkan untuk menjadi kemarahan satu juta warga. Jika ini berlaku maka ia akan membawa makna yang baru.

Apa makna barunya? Pasti ada pembaca yang bertanya apa sebenarnya tujuan Himpunan Kebangkitan Rakyat. Kenapa perlu satu juta dan tidak 50 orang atau 50,000 orang. Soalan seperti ini adalah soalan jujur dan memerlukan pencerahan. Biar saya terangkan di sini.

Angka satu juta ini muncul sesudah BERSIH berjaya menghimpunkan lebih dari 250,000 warga pada 28 April 2012 yang lalu. Warga sebanyak ini telah menuntut agar dijalankan pilihan raya yang bersih dan adil di Malaysia. Tuntutan ini telah gagal. Jika 250,000 warga gagal dengan tuntutan di jalan raya maka adalah logik untuk dibawa satu juta pula ke jalan raya. Jika gerombolan yang berkuasa tidak mengindahkan suara 250,000 orang maka mari kita duga dengan suara tuntutan satu juta.

Tarikh dan waktu Himpunan Kebangkitan Rakyat ini sengaja dipilih berhampiran dengan tarikh PRF13. Tarikh ini bukan muncul secara TIDAK sengaja. Tarikh ini dipilih untuk memberi tekanan maksimum kepada United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya. Juga memberi tekanan kepada lembaga SPR.

Himpunan ini memang dirancang dengan jangka masa yang panjang. Ini untuk melihat apakah konco-konco United Malays National Organisation akan berani membuat halangan seperti yang sudah-sudah. Ketika himpunan BERSI dahulu berpuluh-puluh laporan polis telah dibuat. Banyak kenyataan yang cuba menakut-nakutkan orang ramai telah didengar. Menakut-nakutkan orang ramai yang berani bersuara terus menjadi agenda United Malysa National Organisation.

Dalam azam tahun baru saya ini juga, saya ingin melihat apakah NGO-NGO Melayu akan berani bersuara dengan sombong sambil berangan-angan ingin membuat satu himpunan pada hari yang sama. Atau gerombolan Patriot yang berbaju merah akan berusaha lebih gigih lagi untuk mengumpulkan lebih ramai Mat Bangla untuk menentang satu juta Himpunan Kebangkitan Rakyat.

Saya juga berazam ingin melihat apakah gerombolan PERKASA dan NGO yang sealiran dengannya akan cuba menggangu gugat kekuatan satu juta rakyat. Saya juga mahu melihat apakah Silat Cekak Leher akan berubah untuk menjadi Silat Cekak Pinggang apabila melihat satu juta di jalan raya.

Tetapi semua ini hanyalah hujah sampingan kenapa satu juta perlu turun pada 12 Januari ini. Azam utama, hujah utama dari satu juta orang ramai turun berdemo ke jalan raya ini adalah tanda amaran. Satu juta kemarahan rakyat itu adalah ada satu juta amaran kepada United Malays National Organisation. Ini adalah amaran agar SPR dan United Malaysa National ORganisation TIDAK akan menjalankan penipuan dalamn PRU13 yang akan datang ini.

Satu juta rakyat berhimpun adalah tanda ingatan bahawa orang ramai amat sedar tentang penipuan yang telah,s edang dan akan dijalankan dalam pilihan raya yang akan datang. Satu juta rakyat berhimpun adakah amaran yang cukup jelas: jangan tipu dalam PRU13.

Dari kajian lembaga akademia saperti Malaysian Electoral Roll Analysis Project (MERAP), umum diberitahu tentang dakwaan rancangan jahat SPR untuk memasukkan nama-nama 'warga asing' ke dalam senarai undi. Justeru, adalah membuang masa untuk saya menuliskan lagi contoh dan bukti penipuan yang sedang berjalan dan sedang dirancanag.

Memadailah saya nyatakan di sini sejelas mungkin bahawa satu juta rakyat yang keluar ke jalan raya ialah amaran awal. Satu juta ini keluar untuk mendindingi diri mereka agar tidak lagi mahu kena tipu. Tetapi, jika United Malays National Organisation dan SPR menjalankan 'projek tipu' mereka dalam PRU13 ini nanti maka satujuta ini hanya percubaan awal.

Jika pengundi dan rakyat merasakan mereka telah ditipu dalam PRU13 ini nanti bukan hanya satu juta yang akan turun ke jalan raya, bukan dua juta tetapi berjuta juta rakyat akan ke jalan raya. Semua akan bangun melawan kerana tidak mahu lagi ditipu dan dibodohkan oleh SPR.

Memang betul ini bukan Arab Spring. Malaysia bukan Mesir. Malaysia bukan Arab. Kita memiliki budaya dan politik yang berbeza dengan budaya dan politik Arab. Justeru saya akui apa yang berlaku di Malaysia ini bukan Arab Spring tetapi apa yang sedang berlaku di sekarang ini ialah "Malaysian durian" - keras, tajam tetapi isinya lemak, lembut dan manis.

Durian Malaysia inilah yang sedang memberi amaran kepada United Malays National Organisation dan budak suruhannya yang bernama SPR. Satu juta yang akan berhimpun pada 12 Januari 2013 ini akan membawa kain rentang yang amat jelas, jangan tipu undi. Kalau tipu undi lima juta lagi akan turun. Lima juta rakyat akan turun ke jalan raya jika mereka merasa mereka telah ditipu. Lima juta ini bukan satu amaran tetapi satu azam dan janji.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment