Wednesday, April 24, 2013

RG2011... Catatan papa pada awal kelahiran Razin..

 

Saturday, 12 January 2013



Catatan papa pada awal kelahiran Razin..

Tanggal 1 Januari 2013 Masihi bersamaan 18 Safar 1434 Hijrah jam 12.35 Tengahari lahirlah Muhamad Razin Nizar, menjadikan saya seorang ayah. 

Dengan berat hanya 1.15kg, sekarang masih dalam unit pengawasan kritikal neonatal. 
Mohon doanya dari kalian. 
Terima kasih.

Dari taklimat yang diberikan doktor yang bertugas, Baby Razin terpaksa dikeluarkan kerana placenta berhenti berfungsi pada minggu kehamilan yang ke-32. Darahnya sedikit likat menjadikan fungsi kerja untuk organ-organ sedikit berat. Mereka mengawasi pemberian oksigen dengan lebih teliti kerana lebihan oksigen boleh membuatkan bayi mengalami kerosakan tisu dan juga organ. 


Saat kali pertama menatap, menyentuh dan membelai bayi pramatang ini..terdetik dihati tentang signature seorang teman di CG ni.

Maha benar pohonlah diteguhkan, dikukuhkan dan diutuhkan iman..usah berdoa dikecil ujian dan dugaan. Ini kerana saya FAHAM. *Syukur kepadamu Ya Allah. Sabar masih hartaku. Bayi kecil ini hanya amanah dan ujianmu buatku.

Sebelum membisikkan Azan ditelinga Baby Razin, saya melihat sekeliling dalaman bilik NICU HosHas Temerloh ni. Beberapa bayi lain yang juga senasib dengannya ada yang lebih besar tube dan hosenya. Lagi kurang beratnya berbanding Baby Razin. Lebih 'rimas' disitu berbanding dia.

Kelihatan sopan dan redha dengan apa yang perlu dia lalui. Moga sifat ni terus kekal wujud dalam waktu-waktu membesar dalam dunia ni. In Sha Allah.

Kenapa saya memilih 'sopan'? 


Oleh kerana Baby Razin terlalu kecil untuk diangkat (untuk dipangku) saya hanya dapat merapatkan bibir ke telinganya. Suara yang tidak terlalu kuat juga terlalu perlahan untuk didengari. Iqamahnya dengan sedikit kuat. Sambil melontarkan Azan itu, jemari menyentuh tapak kaki kecil Baby Razin. Reaksinya masih tidak menampakkan tanda-tanda dia 'lemas' dengan semua yang berlaku. Ya barangkali dia ingat suara ini yang dia dengar sewaktu dia dibelai ketika masih dalam kandungan mama. Diceritakan tentang impian dan harapan unit keluarga kami. Getaran suara inilah yang akan buat dia tenang dan tenteram satu hari nanti. Mudah-mudahan.


Sepanjang lebih kurang 30 minit membelek fizikal Baby Razin, bukan soal ikut wajah siapa atau cerah gelapnya mahupun apalah 'kesempurnaan' atau 'kekurangan' dia..hati kecil ni asyik teringatkan tentang sebuah kisah berkenaan seketul daging yang dinamakan hati. Tentang perjalanan untuk sampai kesini sebagai seorang ayah..


Sepanjang kali pertama pertemuan dengan Baby Razin, lembut dibisikkan tentang betapa dia perlu kuat. Untuk diri sendiri. Bukan untuk papa atau mama. Kerana papa dan mama hanya boleh disitu untuk apa sepatutnya, bukan setiapkalinya untuk hari-hari mendatang Baby Razin. Untuk bayinya..untuk kanak-kanaknya..untuk remajanya..untuk belianya juga untuk dewasanya Baby Razin akan datang jika segala dan semuanya dipermudahkan Allah. Papa ni tiada harta fizikal. Hanya ada sabar sebagai harta. Sedikit pengetahuan dan pengalaman sebagai panduan peribadi dan institusi kita. Sekelumit amalan yang papa ingin besar, luas, tinggi dan tebalkan. 


Bertahan dan kuatlah disini untuk zahirmu juga disana untuk batinmu. 


Papa akan menulis lagi untuk Baby Razin....





Razin pergi juga akhirnya..


Semalam papa selamat 'hantar' ke lahad kecil Razin..

Maafkan papa.. dan terima kasih sayang..

Maafkan papa kalau-kalau Razin terdengar hati kecil papa ni berkata perjalanan pergi balik 192km ke HoSHAS setiap hari tu selama hampir 20 hari ni dari rumah Opah tempat dimana papa tempatkan mama untuk berpantang selepas melahirkan Razin..atau perjalanan dari rumah kita sejauh 170km itu meletihkan juga telah menuntut peruntukkan masa dan perbelanjaan yang sedikit membebankan  papa ketika itu yang membuatkan Razin pergi kerana tak mahu melihat papa lebih tenggelam. 

Jika itu yang membuatkan Razin pergi..MAAFKAN PAPA..

TERIMA KASIH untuk 11 hari yang indah sehinggalah semalam papa letak Razin dalam lahad tu.. Hampir gugur airmata papa waktu tu melihat Razin buat kali terakhir. Tapi papa dah janji untuk hantar Razin sebaiknya.. Waktu selesai urusan untuk bawa Razin balik..dalam perjalanan pulang papa hantar mesej ringkas pada mama - my tears will come for Razin eventually..but I do my best not now..I will send him properly with all my heart. Do not take my act of silence and resilience as I do not love him.. Because I DO.. Be strong ya teman jiwa papa.. - Mama Razin tau bila papa ungkapkan sesuatu dalam English, walaupun tah betul atau tidaknya susunatur semua perkataan tu, papa tak mahu kedengaran melankolik. Dan papa menuntut ruang untuk diri papa sendiri..


2 hari sebelum pemergian Razin, selepas papa selesai semadikan Abang Irfan anak Pakcik Badin yang meninggal akibat kanser saraf tu di Kemasul..mama call papa beritahu yang doktor nak jumpa. Waktu tu papa dah sediakan hati ini untuk yang terburuk tentang Razin.. Perjalanan dari Kemasul ke Temerloh tu dirasakan amat jauh..


Segala bermain dalam benak papa ni.. Papa teringat semalam ( sehari sebelum doktor panggil untuk beritahu keadaan Razin ) papa ke hospital hantar susu mama untuk Razin, sekujur tubuh kecil dibalut dalam kain cadar hijau Radicare yang menjadi alas tubuh waktu dalam incubator tu dibawa pergi atas troli lalu depan papa..sebabnya adalah sama yang Razin hadapi - jangkitan kuman pada paru-paru..


Razin ingat papa jenguk Razin hari tu waktu tu?

Tiada apa yang mampu papa katakan selain hanya memerhati dan sesekali bisikkan yang papa sayangkan Razin.. Hanya itu mampu papa lakukan selain mendoakan kesihatan dan keselamatan Razin.

Kelmarin..waktu tiba-tiba tergerak hati papa ni untuk pergi menjenguk Razin walau keadaan tu mungkin pada orang lain adalah kesulitan yang dicari sendiri. Tapi papa percaya..tiada siapa akan menilai atau menghukum naluri seorang ayah yang kasihkan anaknya. Begitulah juga tindakan dan pilihan papa untuk menjenguk Razin kelmarin dengan mama. Dah lepas pukul 2 baru papa hantar mesej pada mama - jom jenguk Razin.. ringkas mama balas - jom. Ringkas dan semudah itu untuk masing-masing setuju untuk satu perkara yang sama. Sepanjang perjalanan hanya diam menemani. Masing-masing menerawang. Menyelam atau tenggelam dalam perasaan sendiri. 


Kelmarin itu juga..papa fikir mama sudah katakan  pada Razin apa yang masih menahan dia dari merelakan Razin pergi.. Mungkin setelah mendengar kata-kata mama.. Tiada apa lagi yang buatkan Razin rasa berat untuk melepaskan janji -janji papa dan mama untuk kami menjaga Razin sebaiknya.. 

Hari itu juga reaksi Razin lebih mesra, lebih galak dan lebih aktif dari biasa. Sentuhan dan geselan jemari papa dan mama pada tubuh kecil Razin diberi tindakbalas yang positif. Seolah menjanjikan kekuatan baru dari Razin buat papa dan mama.. Buntang mata Razin memandang papa dan mama.. Ya Allah.. 
Itu rupanya..tanda perpisahan kita.. 

Dalam perjalanan balik..papa dan mama hanya diam. DIAM.. Jika diam papa bleh diberikan tanda aras, tiada dalam..tiada tinggi..tiada luas atau tiada jauh dapat mengukur. Jika tatkala manusia berkira tentang mengukur jagatraya@cakerawala@universe, papa dah pun masuk ke fasa multiverse. 


Sampai dirumah Opah, hanya omelan Opah tentang mama yang berpantang tu yang papa dengar. Papa faham khuatir Opah. Perlahan sebelum papa beredar dari rumah Opah tu papa katakan pada Tok ki Razin yang orang lain berpantang, anak menangis atau ada depan mata. Mama Razin tak sama situasinya..

Sesampai dirumah kita, papa ajak Ayahtan pergi makan. Lepas balik dari gerai makan tu waktu papa cuba nak pujuk mata ni untuk lelap mama call. Mama bgtau panggilan dari pihak hospital menyatakan Razin kritikal. Bergegas papa dengan Ayahtan ke rumah Opah. Hujan menemani perjalanan kami sepanjang ke hospital tu..

Awal pagi jumaat.. Pukul 1.45 pagi baru papa sampai hospital. Mama naik Alza dengan Opah dan Tok ki sampai kemudian. Menanti mama dengan kerusi roda, papa terus dapatkan mama sebaik dia tiba.


Tingkat 3 wad NICU HoSHAS.


Sebaik sampai di sebalik pintu yang memisahkan bilik ventilator Razin,  papa berhenti dan ingatkan mama.. Untuk apa jua yang kita nampak nanti..untuk apa juga yang dibentangkan depan mata nanti..ingatlah dari Dia kita datang..kepada Dia juga kita akan kembali. Dan kita tak perlu untuk tenggelam dalam perasaan sendiri sampai lupa susunatur Allah. 


Sebaik daun pintu ditolak..disitu Razin..


Papa lihat tiada lagi wayar mahupun tiub pada ventilator tu.

Hanya sesuatu yang berbalut kain cadar hijau Radicare..
Ya..
Itu Muhamad Razin Nizar Bin Muhamad Zaki.

Perlahan papa dekati.. Seorang jururawat pergi dapatkan doktor untuk menjelaskan kepada kami apa yang berlaku. Papa diberi pilihan untuk dibuat ujian darah terhadap Razin atau terima segala dan semua ini sebagai satu pemergian yang biasa. Papa pilih untuk mahu Razin terus dibawa pulang. I told him that we both understand the condition and situation. So there's no need for you to be 'examine@check' anymore.  You 'departed' at 12.15 midnight. At that time I do understand why they do not tell us earlier..


Kemudian papa pangku Razin buat kali pertama.. Razin ingat apa yang papa bisikkan?

Kemudian papa letak Razin dalam riba mama.. Sambil tu juga papa ingatkan mama tentang semua ni. Tiada bezanya dalam bilik ni dengan waktu-waktu sebegini untuk kita mahupun orang lain yang kehilangan bayi mereka. Tapi kita perlu kukuh terima ni sebagai 'hadiah' untuk terus sabar dan teguhnya tawakkal kita.
Papa suruh mama lihat keliling..tiap satu papa sentuh tentang perkara sebelum..sedang dan selepas ini..
Jangan berkalau untuk sesuatu yang telah dakwat tintanya sudah kering di Loh Mahfuz sana. Papa petik dialog KCB..,  Tanggal, jam, menit dan detiknya sudah tertulis..tak dilebihi atau kurangi..

Papa keluar untuk hantar mesej ringkas pada mereka yang berkenaan. Papa telefon PaksuBang minta dia siapkan/kemas rumah untuk papa bawa balik Razin.


Kami bawa balik Razin dalam ribaan Opah..

Sewaktu dalam menyusunatur untuk menyemadikan Razin, beberapa perkara berlaku untuk papa lihat sebagai usaha papa untuk sempurnakan pemergian Razin. Urusan kubur,mandian,  tentang kelengkapan kafan dan sembahyang buat Razin.
Alhamdulillah segala dan semuanya dipermudahkan Allah.

Urusan kubur oleh Pakcik Awang dan Pakcik Ghani serta mereka yang lain selesai seperti yang direncana. Cuma perihal untuk sediakan debu tanah untuk Tayammumkan Razin. Mana nak cari debu tanah bila semalam hujan selebatnya mengiringi Razin? Alhamdulillah saranan dari Pakcik Mat Gedu supaya cari kawasan garaj yang kering dan tak pernah dipijak. Papa jumpa lebih baik rupanya.. Tanah bawah surau papa ambil. Papa karas'kikir'kikis dan kemudian tapis. Debuan tanah itu papa tapis lagi guna jaring halus dari kelambu supaya tiada ketulan yang  menekan kulit Razin. Kelengkapan kafan disiapkan pada jam 9.00 pagi.


Papa ditanya sama ada mahu meriba atau letak sahaja Razin untuk dimandikan. Kalau tak dibenarkan pun..tentunya papa mahu dan ingin sekali meriba Razin. Walau hanya sebegitu dan untuk itu. Waktu itu masih kental kelopak mata ni menggedung airmata.. 

Papa perhatikan Tok Lebar mandikan tubuh kecil Razin dalam pangkuan papa.. Apa sepatutnya papa rasa? Apa yang sepatutnya papa fikir? Hanya Allah yang dengar hati papa waktu tu.. 

Selesai Razin dikafankan ramai mula melihat Razin. Ada dari mereka yang pertama kali begitu juga mereka-mereka yang akan kali terakhir melihat Razin. Ramai kawan papa tengok Razin. Papa tak boleh tunggu kerabat-kerabat kita yang lain kerana papa tak mahu suntuk untuk selesai semadikan Razin. Cuma waktu tu papa mohon pada Tok Lebar supaya tunggu sekejap dari menutup kafan Razin kerana Pakcik Ndan dan Makcik Asmah dalam perjalanan. Dialah yang paling patut, paling wajar untuk papa mohon tunggu supaya dia dapat menatap Razin. Terlalu panjang untuk papa ceritakan pada Razin bagaimana watak ni dalam dunia papa.. Cukup untuk papa cakapkan, sebagaimana Razin..andai dia dijemput dahulu dari papa, papalah yang ingin hantar dan sama-sama letak dia dalam lahad. Bukan hanya meramaikan..


Selesai sembahyangkan Razin, papa pangku Razin atas lengan papa.


Perjalanan ke kubur tu indah..hening..dan damai buat papa.

Kerana papa buatkan sebaiknya yang papa mampu.. 
Hanya itu yang termampu dari papa buatmu sayang..

Tiba di tanah perkuburan, ramai dah yang menanti Razin. Papa tak terus turun ke ruang kecil tu.

Papa nantikan andai mereka-mereka yang sepatutnya ada..masih belum disitu. 
Perlahan papa turun.. Papa tahu malah FAHAM ini antara jalan dan keadaannya..

Hingar disitu tak kedengaran lagi pada hujung telinga papa ni. Papa tau caranya. Papa lazim dengan keadaan tu untuk menyemadikan orang. Kafan Razin papa buka. Berkali papa kucup dahi Razin. Razin ingat apa papa katakan?


Lepas letakkan Razin dalam 'tu'..papa terhenti seketika sebelum mengiringkan tubuh kecil Razin. Waktu tu benar-benar menuntut airmata ni. Papa selalu berpegang untuk airmata ni gugur perlu antara dua keadaan. Untuk atau kerana sesuatu. Dalam hal Razin..ianya adalah untuk keduanya sayang.. Papa mahu benar-benar pastikan hidung mancung Razin menyentuh atau mencium tanah lahad Razin.

Alhamdulillah..tiada yang gugur airmata ni waktu tu sayang..

Papa coretkan ini supaya papa tak lupa semua ni. Tiap babak dan watak yang disitu. Supaya satu hari nanti apabila mama barangkali terserempak dengan semua ni, dia tahu sudut pandang, hati dan perasaan papa. 

Sesuatu yang mama takkan dengar dari mulut papa bercerita..
And so that you know my love Haryatiku..that SOMEDAY  my tears for Razin will fall ONLY just now when I write this. ONLY the day after I laid our son Razin to rest in his burial chamber..in all my possibly might..PROPERLY..

Thank you Muhamad Razin Nizar.. TERIMA KASIH.


ALHAMDULILLAH. 





*Terima kasih buat semua yang terlibat dalam menyempurnakan jenazah putera kami, Muhamad Razin Nizar b Muhamad Zaki yang lahir pada Selasa, 1 Januari 2013 jam 12.35 Tengahari dan kembali ke Rahmahtullah pada Jumaat, 11 Januari 2013 jam 12.15 malam. 


Menemani papa dan mama..


Dari mama buat Razin..

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

MARKETPLACE


.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment