Monday, December 2, 2013

RG2011... Sinar Global dan Hiburan di TH 031213

 

 

Kereta api tergelincir di New York

Oleh:

Tarikh: December 3, 2013

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT . Sekurang-kurangnya empat maut manakala lebih 60 cedera selepas kereta api penumpang Metro-North tergelincir di daerah Bronx, kelmarin.

Media tempatan melaporkan kebanyakan mangsa mengalami kecederaan pada kepala dan leher.

Jurucakap bomba dan penyelamat memaklumkan tujuh daripada lapan gerabak pengangkutan awam tersebut tergelincir dari landasan manakala lokomotif kereta api terbabit berada hanya beberapa meter dari sungai berhampiran.

Menurut saksi, kereta api tersebut bergerak lebih laju berbanding biasa ketika melalui landasan melengkung di kawasan terbabit, dipetik dari laporan AFP.

Difahamkan, lebih 130 anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat dan menstabilkan gerabak.

Susulan daripada insiden itu, pihak berkuasa memberitahu bahawa laluan antara Bronx dan Westchester terpaksa ditutup selama seminggu serta  pengangkutan awam di kawasan tersebut akan digantikan dengan perkhidmatan bas.

Yingluck enggan berundur

Oleh:

Tarikh: December 3, 2013

BANGKOK - THAILAND . Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, semalam menolak tuntutan kumpulan Baju Kuning supaya menggantung sistem demokratik di negara itu.

Beliau turut bertindak berani mempertahankan jawatannya dan menegaskan tidak akan berundur walaupun protes yang dilakukan sejak lebih seminggu lalu bertujuan untuk menggulingkannya.

"Saya sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan orang lain gembira tetapi sebagai perdana menteri, segala keputusan perlu dibuat mengikut Perlembagaan," tegasnya.

Menurutnya, beliau mungkin akan mempertimbangkan untuk melepaskan jawatannya atau mengadakan pilihan raya awal jika segala tuntutan itu dilakukan dengan cara yang betul.

"Kerajaan sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan untuk mengembalikan keamanan di negara ini," jelasnya lagi.  

Kelmarin, adik kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra tersebut turut mengadakan pertemuan secara tertutup dengan pemimpin Baju Kuning, Suthep Thaugsuban.

Bekas timbalan perdana menteri itu dilaporkan mengancam Yingluck dengan memberi kata dua kepada beliau untuk berundur dalam tempoh 48 jam dan menyerahkan kuasa kepada 'majlis rakyat'.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan, Paradorn Pattanatabut memaklumkan anggota keselamatan terpaksa menggunakan peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang semakin ganas di ibu negara.

"Beberapa sekolah dan universiti di Bangkok juga terpaksa ditutup buat sementara waktu atas faktor keselamatan," katanya lagi menurut AFP.

Sektor swasta Thailand gesa keganasan dihentikan

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

BANGKOK - THAILAND. Wakil sektor swasta Thailand menggesa kerajaan dan pemimpin penunjuk perasaan antikerajaan agar mencari satu penyelesaian damai yang praktikal sebagai satu strategi menamatkan pertikaian ganas di ibu negara itu.

Sambil menggesa semua yang terlibat supaya menghentikan keganasan, mereka menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua sektor di negara itu bagi mencari penyelesaian.

"Jika keadaan begini berterusan, Thailand mungkin menjadi 'negara gagal diperintah' dan bertukar menjadi huru-hara," kata mereka dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini.

Mereka juga memberi amaran bahawa sebarang keganasan atau perpecahan akibat daripada perselisihan politik mungkin mewujudkan kesan negatif terhadap asas ekonomi dan sosial negara, jalinan kekeluargaan dan akhlak, di samping mencemarkan imej global negara dan nilai kredit dalam jangka pendek dan sederhana.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Lembaga Perdagangan, Persekutuan Industri Thailand, Persatuan Jurubank Thailand, Majlis Pelancongan Thailand, Persekutuan Pertubuhan Pasaran Modal Thailand, Bursa Saham Thailand dan Persatuan Syarikat Tersenarai Thailand.

Mereka berkata kacau-bilau politik semasa telah menjejas dengan teruk prasarana ekonomi dan sosial Thailand serta melemahkan keyakinan dan daya saing Thailand dalam perdagangan, industri, penggunaan, pelancongan dan pelaburan dan sektor swasta.

Konflik politik semasa yang melarat dengan kehilangan nyawa dan menyebabkan kesusahan kepada rakyat dan negara, jika dibiarkan boleh merebak dan membawa kerosakan tidak terhingga kepada rakyat amnya, kata mereka.

Mereka berkata mereka bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak seperti universiti, media massa dan individu yang berhasrat berganding bahu dalam proses perdamaian mencari penyelesaian kepada sengketa itu dengan mengambil kira undang-undang, keadilan untuk semua dan prinsip tadbir urus yang baik.

Bagaimanapun, kata mereka, sektor swasta tidak menganggap kebebasan menyuarakan pandangan politik patut bertukar menjadi ganas.

Dalam usaha menyelesaikan konflik politik, tidak wajar syarat dikenakan sebagai strategi menang-kalah yang mengakibatkan nyawa melayang dan salah satu cara penyelesaian secara damai dapat dicapai adalah melalui proses demokrasi, kata mereka.

Bagi mengelakkan sejarah berulang semula, mereka mencadangkan agar perbincangan dan dialog awal dianjurkan melibatkan semua golongan yang mempunyai kepentingan untuk mengenal pasti isu dan merangka jalan masa depan sebelum pilihan raya akan datang. - Bernama

 

 

Harga emas merosot, pelombong tingkat pengeluaran

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

MELBOURNE - Pelombong emas di Australia telah bertindak balas kepada harga yang semakin merosot dengan mengeluarkan lebih banyak logam itu untuk suku kedua berturut-turut.        

Pengeluaran emas naik empat peratus kepada 69.5 tan metrik pada tiga bulan hingga hujung September.
   
Ini adalah satu kenaikan 12 peratus daripada 62 tan metrik pada suku September 2012.
   
Pengeluar emas menyasarkan gred yang lebih tinggi semenjak harga emas merosot awal tahun ini untuk melindungi margin mereka, kata Dr Sandra Close, pengarah syarikat perunding Surbiton Associates, menurut Australian Associated Press.
   
Sepanjang tempoh satu dekad peningkatan harga emas antara 2001 dan 2011, pengeluar emas telah mengurangkan gred bijih mengakibatkan kenaikan kos tunai, kata beliau.
   
Harga emas merosot daripada US$1,580 satu auns kepada US$1,190 pada suku Jun, dan telah kekal pada jajaran sempit semenjak itu.
   
Pelombong emas terbesar Newcrest Mining terjejas terus dengan kerugian berbilion dolar yang mengakibatkan harga sahamnya merosot 65 peratus tahun ini.

Kemenangan untuk mangsa Haiyan

Oleh: LIZA HASAN

Tarikh: December 2, 2013

TATKALA rakyat Filipina berkabung untuk ribuan mangsa taufan ganas Haiyan, bintang tinju negara itu, Manny Pacquiao memberi sedikit keceriaan. Pacquiao atau digelar Pac Man baru-baru ini, menumbangkan lawan Brandon Rios dalam pertandingan The Kick Heard World Round 12 sekali gus menyaksikan beliau umpama menterjemahkan ketangkasan dan kemarahannya terhadap taufan ganas itu.

Walaupun populariti beliau tidak setanding Mike Tyson, namun nama Pacquiao tetap menjadi kebanggaan rakyat Filipina. Beraksi di hadapan 13,000 penonton di Venetian Macao's Cotai Arena, Macau untuk kategori welterweight ternyata, tumbukannya masih berbisa.

"Kemenangan masih milik saya. Belum masanya saya meninggalkan arena. Saya menyerang Rios sama seperti taufan Haiyan menyerang rakyat kami," katanya.

Lawannya Rios mengakui, segala tumbukan Pacquiao tepat mengenai sasaran hingga mata kanannya koyak.

"Saya dapat rasakan kemarahannya. Beliau tidak seperti Pac Man 2009 yang pernah saya kenali. Kini, asakannya lebih bahaya dari Lehlohonolo Ledwaba atau Marco Antonio Barrera," katanya.

Ahli Dewan Rakyat

Selain bergelar petinju profesional Pacquiao merupakan ahli politik dan penyanyi.

Pada Mei 2010, Pacquiao dipilih buat kali kedua ke Dewan Rakyat Kongres ke-15 bagi mewakili wilayah Sarangani dan menyimpan hasrat menjadi Presiden. Bergelar juara tinju dunia 10 kali, karakter beliau sudah cukup menggerunkan.

Namun, status sebagai petinju dunia dan artis sudah cukup membuatkan beliau disenangi rakyat apabila sepanjang berkempen, beliau akan turun padang bersama artis dan kumpulan muzik.
Pengiktirafan

Pacquiao merupakan ahli tinju hebat apabila muncul satu-satunya peraih juara paling banyak dalam empat kategori berbeza. Beliau juga adalah petinju kedua dunia menerima bayaran paling tinggi dengan 2.2 juta peso (RM1.6 juta).

Persatuan Penulis Tinju Amerika Syarikat (BWAA), Majlis Tinju Dunia (WBC) dan Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) memberi gelaran 'Pejuang Dekad era 2000' sebagai mengiktiraf kejuaraannya.

Sepanjang terlibat dalam tinju, beliau meraih anugerah hatrik The Ring oleh BWAA dengan membawa gelaran 'Pejuang Terbaik' pada 2006, 2008 dan 2009 serta 'Pejuang Anugerah Espy' pada 2009 dan 2011.

Selain itu, gelaran petinju terbaik dunia juga diberikan oleh ratusan laman web sukan, termasuk ESPN, Sports Illustrated, Sporting Life, Yahoo! Sports, About.com, BoxRec dan The Ring.

Pada April 2012, prestasi Pacquiao menurun kepada ranking nombor dua dunia di belakang Floyd Mayweather Jr.

Sehingga kini, Pacquiao kekal beberapa gelaran seperti Ang Pambansang Kamao, The Mexicutioner, The Destroyer, Pambansang Ninong dan Filipina Slugger.

Sepanjang kerjayanya, beliau menyertai 63 pertandingan dengan 56 kemenangan, menang KO, 38 kali, tewas lima kali dan seri dua kali.

Kehidupan peribadi

Emmanuel Manny Dapidran Pacquiao dilahirkan pada 17 Disember 1978 di Kibawe, Bukidnon, Filipina. Beliau adalah anak keempat dari enam beradik kepada Rosalio Pacquiao dan Dionesia Dapidran. Ibu bapanya berpisah ketika beliau berada di gred enam.

Berkahwin dengan Maria Geraldine, mereka dikurniakan empat anak, Emmanuel Jr, Michael, Princess dan Queen Elizabeth. Beliau kini menetap di kampung halamannya di General Santos City, selatan Cotabato.

Sebelum bergelar peninju profesional, Pacquiao yang mempunyai ketinggian 1.69 meter merupakan bekas tentera berpangkat Leftenan Kolonel dalam Pasukan Simpanan Tentera Darat Filipina.

Pendidikan

Pacquiao menamatkan sekolah rendah di Saavedra Saway Elementary School di General Santos City. Disebabkan kemiskinan melampau beliau tidak berpeluang menyambung persekolahan. Pada usia 14 tahun, beliau meninggalkan rumah untuk membantu ibunya.

Pada 2007, beliau menduduki peperiksaan khas sekolah tinggi dan keputusannya melayakkan beliau menyambung pengajian ke kolej. Berkat usahanya, beliau menamatkan pengajian kolej dengan cemerlang hingga mendapat anugerah khas oleh Jabatan Pelajaran. Pacquiao kemudiannya mendaftarkan diri ke pengajian peringkat ijazah dalam pengurusan perniagaan di Notre Dame di Universiti Dadiangas, Santos City.

Pada Februari 2009, Pacquiao dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan (Honoris Causa) oleh Universiti Southwestern di Waterfront Cebu City di Lahug. Penganugerahan itu sebagai mengiktiraf pencapaiannya dalam dunia tinju dan kerja-kerja amal.

Di sebalik pencapaian terbaik petinju muda ini, beliau tidak terlepas daripada kontroversi kewangan.

Sejurus menumbangkan Rios dua minggu lalu, beliau berjanji untuk membantu 10,000 keluarga mangsa Haiyan dengan meminjam 1 juta peso.

Namun, janji tinggal janji apabila beliau mendakwa, bank Filipina membekukan 12 akaun banknya.

Menurut Suruhanjaya Biro Siasatan Kewangan Kim Henares, Pacquiao gagal membuktikan bayaran cukai dari 2008 hingga 2009.  

"Kami mahu bukti kukuh dari Jabatan Cukai Negara bukan bukti dari Agensi Cukai Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Bagaimanapun, Pacquiao bertegas, beliau menjelaskan cukainya di AS selepas menewaskan Ricky Hatton dan Oscar de la Hoya.

"Jika saya tidak membayar cukai bagaimana saya boleh ke AS dan Macau. Segala duit itu adalah hasil titik peluh saya yang diperoleh melalui tumbukan, darah dan keringat tenaga," katanya.

Kini, mampukah beliau membantu mangsa Haiyan seperti dijanjikan atau ucapannya sekadar omongan kosong untuk meraih sokongan sebagai Ahli Kongres demi kepentingan politik?

Hamba moden

Oleh: NORHANA FARIZA HARUN

Tarikh: December 2, 2013

WALAUPUN dunia hari ini semakin menuju arus kemodenan, perhambaan yang wujud sejak ratusan tahun nyata tidak pernah lenyap.

Dua minggu lalu, gempar apabila polis Britain menyelamatkan tiga wanita termasuk seorang warga Malaysia selepas didakwa menjadi hamba domestik selama lebih 30 tahun di sebuah rumah di selatan London.

Sehubungan itu, pegawai polis daripada Unit Pemerdagangan Manusia menahan dua suspek iaitu seorang lelaki dan wanita, kedua-dua berusia 67 tahun sebagai sebahagian daripada siasatan.

Siasatan dilancarkan bermula Oktober lalu selepas sebuah badan kebajikan menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mengatakan dia dikurung tanpa kemahuannya di dalam sebuah rumah sejak lebih 30 tahun lalu.

Mangsa, seorang rakyat Malaysia berusia 69 tahun, warga Ireland berusia 75 tahun dan seorang warga Britain berusia 30-an kini dibawa ke tempat lebih selamat.

Menurut Ketua Unit Pemerdagangan Manusia Polis Metropolitan, Kevin Hyland, kesemua mangsa kini berada dalam keadaan trauma dan wanita mangsa termuda yang dikurung berkemungkinan dilahirkan ketika dalam kurungan.

"Pihak polis tidak mempunyai bukti kukuh berlakunya penderaan seksual ke atas mangsa dan tidak tahu hubungan antara mangsa dan suspek.

"Kes perhambaan selama 30 tahun ini adalah luar biasa dan kami memuji tindakan badan kebajikan yang menyokong untuk membantu mangsa. Siasatan besar-besaran telah dilancarkan untuk mewujudkan fakta bagi pertuduhan ini," katanya.

Sementara itu, pengasas badan kebajikan, Aneeta Prem berkata, kesemua mangsa mengalami penderaan mental dan fizikal.

"Cerita begini sememangnya jarang berlaku. Bagaimanapun, saya pernah mendengar ia berlaku di luar negara tetapi tidak di kota London," katanya.

Proses pemulihan

Pakar Psikologi dari Sydney, Dr David Russell menyifatkan, peralihan semula ke dunia biasa akan mengambil masa kerana mangsa perlu menyesuaikan diri.

Menurutnya, ramai mangsa penculikan mengalami Sindrom Stockholm, di mana mereka mula membentuk hubungan dengan si penculik.

"Sesetengah mangsa tidak boleh pulih dan ada yang memerlukan lebih lima tahun untuk pulih dan menyesuaikan diri dengan masyarakat.

"Saya rasa mangsa perhambaan ini memerlukan penjagaan dan bantuan mungkin sepanjang hayat mereka," katanya.

Perhambaan moden meluas

Setiausaha Dalam Negeri Britain, Theresa May berpendapat, perhambaan moden adalah meluas di Britain dan musuh sentiasa ada di mana-mana termasuk di kedai, padang, kilang dan mungkin di sebalik langsir.

"Menangani jenayah yang saya anggap hina ini kini menjadi keutamaan. Cara terbaik untuk melindungi dan mengurangkan bilangan mangsa perhambaan adalah mensabitkan kesalahan dan memenjarakan kumpulan penjenayah ini yang melibatkan pemerdagangan manusia," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan Britain akan menangani jenayah ini dan menjadikannya keutamaan bagi Agensi Jenayah Kebangsaan yang baru di mana hukuman maksimum akan ditingkatkan seperti penjara seumur hidup dan mewujudkan Pesuruhjaya Anti-Perhambaan.

Draf Perlembagaan baru Mesir digubal

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

KAHERAH - MESIR. Draf Perlembagaan baru Mesir yang digubal, kelmarin dilihat akan mencetuskan kemarahan banyak pihak terutamanya penyokong Ikhwanul Muslimin (IM) berikutan kerajaan sementara itu bersetuju untuk meletakkan lebih banyak kuasa di tangan tentera.

Pengerusi jawatankuasa penggubal, Amr Moussa berkata, mereka bersetuju dengan keseluruhan artikel yang terkandung dalam draf Perlembagaan tersebut.

Menurut Reuters, ia akan diputuskan menerusi referendum selepas mendapat kelulusan Presiden sementara Adly Mansour selewat-lewatnya pada bulan ini.

Kandungan dokumen yang menjadi sebahagian daripada proses peralihan politik yang dirancang tentera tersebut turut melarang sebarang penubuhan parti berasaskan agama.

Menurut Artikel 74, penduduk mempunyai hak untuk menubuhkan parti politik tetapi mereka dilarang mengamalkan sebarang kegiatan atau membentuk parti berteraskan agama.
Selain itu, draf Perlembagaan tersebut juga membenarkan orang awam dibicarakan di mahkamah tentera.

Beberapa pihak berpendapat, jika draf Perlembagaan itu dikuatkuasakan, harapan untuk mencapai negara demokrasi yang diperjuangkan banyak pihak sebelum ini didakwa akan tersasar dari matlamat asalnya.

India lancar misi jelajah ke Marikh

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

BANGALORE - INDIA. India melancarkan misi penjelajahan ke planet Marikh, semalam sekali gus menandakan kejayaan negara itu memasuki fasa kedua bagi merealisasikan impian mereka.

Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (Isro), K Radhakrishnan memaklumkan segalanya berjalan lancar dan pesawat angkasa digelar Mangalyaan itu dijangka mendarat di planet merah tersebut pada 24 September depan.

Menurut AP, pesawat angkasa itu akan melakukan kajian termasuk penyelidikan ke atas gas metana yang terkandung dalam atmosfera Marikh.

Beberapa pihak mendakwa Mangalyaan mungkin terpaksa berhadapan kesukaran sebelum selamat tiba di Marikh seperti beberapa cubaan sebelum ini.

Penduduk, polis Israel bertempur

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

TEBING BARAT - PALESTIN. Kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan rejim Zionis, kelmarin di beberapa lokasi termasuk Genting Gaza ketika protes membantah draf undang-undang yang mahu mengusir penduduk Badwi Palestin di selatan gurun Negev.

Sebelum insiden tersebut, kumpulan itu dilaporkan berhimpun di kampung Negev di Houra untuk menyertai kempen anti-Israel terbabit.

Bagaimanapun, pertempuran tercetus selepas pihak berkuasa bertindak ganas untuk menyuraikan mereka dan 11 penunjuk perasaan turut ditahan.

"Kami tinggal di sini sejak lebih 60 tahun lalu iaitu sebelum Israel merampas wilayah ini pada 1948. Aduan juga telah dikemukakan kepada mahkamah, namun  tiada sebarang tindakan dibuat," kata Maqbul Saraya, 70.

Menurut Press TV, Januari lalu, kerajaan Israel telah meluluskan penempatan semula kira-kira 40,000 penduduk Badwi Palestin dan merobohkan 40 kampung serta merampas tanah mereka di Negev.

Difahamkan, ratusan ribu penduduk Badwi Palestin membantah rancangan penempatan semula itu kerana rejim Zionis sengaja mahu menempatkan mereka di kawasan tidak mempunyai kemudahan.

Budak dirogol, dibunuh

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

PORT OF SPAIN - SEPANYOL. Mayat seorang kanak-kanak berumur enam tahun dipercayai dirogol dan dibunuh ditemui di dalam tong dalam keadaan menyayat hati.

Menurut polis Trinidad, mangsa, Keyana Cumberbatch  dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke rumah neneknya yang terletak hanya beberapa meter dari kediaman keluarganya di Maloney, Isnin lalu.

Menurut DailyMail, hasil aduan penduduk yang terhidu bau busuk di kawasan kejiranan tersebut, pihak berkuasa akhirnya menemui mayat mangsa yang disumbat di dalam beg plastik berhampiran rumah keluarganya.

Pakar patologi, Dr Alexandrov berkata, hasil bedah siasat menunjukkan kematian mangsa berpunca daripada kecederaan di kepalanya.

Tanah runtuh ragut 9 nyawa

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

JAKARTA - INDONESIA. Sekurang-kurangnya sembilan maut dalam kejadian tanah runtuh akibat hujan berterusan di sekitar gunung berapi Sinabung di Berastagi, kelmarin.

Jurucakap Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho memberitahu kebanyakan rumah penduduk kampung Gundaling dan Laununggap tertimbus dalam kejadian itu.

Dipetik Jakarta Globe, susulan daripada insiden tersebut, Sutopo telah menggesa penduduk supaya berwaspada berikutan musim tengkujuh dijangka berterusan untuk tempoh beberapa bulan lagi.

"Penduduk yang tinggal di kawasan cerun bukit dan tebing sungai perlu sentiasa berjaga-jaga kerana kejadian tanah runtuh boleh berlaku pada bila-bila masa dalam keadaan cuaca seperti ini," katanya lagi.

Mesej palsu amaran tsunami di Filipina

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

MANILA - FILIPINA. Kira-kira seribu mangsa taufan Haiyan yang masih trauma bertindak meninggalkan rumah masing-masing selepas menerima berita palsu amaran tsunami di wilayah Antique.

Menurut AFP, semalam, Jurucakap Majlis Pengurusan Bencana, Leck Benitez memaklumkan ada pihak tidak bertanggungjawab bertindak menyebarkan khabar angin tersebut menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Kami terpaksa meyakinkan mereka bahawa ia hanya amaran palsu kerana ramai penduduk takut untuk pulang ke rumah," katanya lagi.

Kumpulan Baju Kuning semakin ganas

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

BANGKOK - THAILAND. Pihak berkuasa, semalam terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan menyembur air ke arah kumpulan Baju Kuning selepas mereka cuba menyerbu Rumah Kerajaan dalam usaha untuk menggulingkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Kumpulan penunjuk perasaan itu bertindak ganas dengan merempuh sekatan yang dibina di luar pekarangan dan pintu masuk premis tersebut, di mana ia turut menempatkan pejabat pemimpin terbabit.

Beberapa kawasan lain turut dikenakan tindakan sama oleh polis selepas kumpulan Baju Kuning pimpinan bekas Timbalan Perdana Menteri Suthep Thaugsuban mula mencetuskan huru-hara.

Menurut AFP, ketika kejadian, adik kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra itu dilaporkan sempat dibawa keluar dengan selamat dan dihantar ke satu lokasi rahsia.

Difahamkan, ketegangan semakin memuncak selepas keganasan tercetus di sekitar stadium yang menjadi lokasi perhimpunan puluhan ribu penyokong prokerajaan iaitu kumpulan Baju Merah.

Kumpulan antikerajaan tersebut didakwa bertempur dengan penyokong Baju Merah yang mahu menyertai perhimpunan menyokong pemerintahan Yingluck di daerah Ramkhamhaeng.

Jurucakap pusat kecemasan bandar Erawan memaklumkan, empat disahkan maut manakala 57 cedera dalam insiden ganas terbabit yang pertama kali dilaporkan selepas protes aman tercetus sejak sebulan lalu.

Susulan daripada kejadian itu, kumpulan Baju Merah memutuskan untuk menamatkan perhimpunan tersebut bagi meredakan situasi yang semakin meruncing di negara terbabit.

"Kami terpaksa pulang kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan," kata pemimpin Baju Merah, Thida Thavornseth.

Dalam perkembangan lain, lebih 2,700 anggota keselamatan ditempatkan di Bangkok bagi mengukuhkan kawalan keselamatan di sekitar kawasan ibu negara tersebut.

Johan anggap Shila tak matang?

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

PELAKON utama Juvana, Johan As'ari nampaknya kurang senang apabila penyanyi, Shila Amzah sering meluahkan perasaan di media sosial.

Sebelum ini, Johan dan Shila digosipkan hangat bercinta sehinggalah Johan mengakui telah melamar Lana Nordin untuk dijadikan suri hatinya.

Sejak berita itu tersebar, pelantun lagu, Masih Aku Cinta ini sering dilihat meluahkan kata-kata di laman sosial miliknya ekoran kekecewaan itu, namun dalam nada positif.

"Tak apa, jodoh ALLAH yang tentukan, Sha terima siapa pun jodoh Sha. Doakan yang terbaik lagipun ALLAH tahu dan ada hikmah semuanya," katanya yang menjawab respons peminat di laman mikro Twitter miliknya.

Johan yang ditemui pada Majlis Anugerah Skrin 2013 bagaimanapun menyifatkan tindakan Shila sebagai tidak matang.  

"Bagi saya dalam hal begini Shila Amzah menunjukkan sifat yang tidak matang," katanya dipetik daripada portal Gua.com

Berkata kepada portal Oh Bulan pula, Johan percaya, Shila sebenarnya masih melalui fasa kematangan. 

"Mungkin sebab sejarah yang pernah dilaluinya. Tapi tak apa, saya faham.

"Kalau dia cakap dia berasa tertipu, tak apalah. Saya belajar untuk memaafkan orang.

"Saya maafkan dia. Dia sahabat saya, sayang saya pada dia akan sama sampai bila-bila," katanya. 

Malah Johan turut menegaskan bahawa dia dan Shila tidak pernah bercinta.

"Saya tidak pernah bercinta dengan Shila Amzah. Kenyataan mana yang mengatakan saya dengan dia bercinta?," katanya.

Katanya lagi, Shila turut 'block' semua laman sosial miliknya.

Diet sihat Syahrini

Oleh:

Tarikh: December 2, 2013

LANGSING dan cantik! Itulah ungkapan tepat untuk menggambarkan penyanyi popular, Syahrini ketika menghadiri majlis anugerah, SCTV Awards 2013, baru-baru ini.

Bukan sahaja cantik, malah penyanyi yang baru sahaja memenangi kategori Penyanyi Paling Ngetop di anugerah berkenaan, ini kelihatan lebih kurus berbanding penampilannya sebelum ini.

Tampil berkongsi rahsia kelangsingan, Syahrini mengakui dia kini mengamalkan diet sihat dan berjaya menurunkan berat badannya daripada 52 kilogram (kg) kepada 45kg.

"Saya mengikut saranan doktor dengan meminum ubatan berasaskan herba dan mengamalkan pemakanan yang tepat mengikut jenis darah.

"Selain itu, saya juga turut melakukan olahraga dan bersenam sekiranya ada kelapangan," katanya yang bakal melancarkan lagu baru, Cetar, akhir tahun ini.

Ahmad Idham bakal bersara?

Oleh: AKMALIAH RAZAK

Tarikh: December 2, 2013

Berilmu, berpandangan jauh dan mudah untuk didekati! Itulah pelakon, pengarah dan penerbit, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Pemilik syarikat produksi Excellent Pictures Sdn Bhd ini bukanlah nama picisan dalam industri, malah kredibiliti yang ada padanya bukan sekadar dalam bidang pengarahan, lakonan dan penerbitan sahaja.

Hampir-hampir menjawat jawatan Ketua Pengarah di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), ia membuktikan pengarah filem Mael Lambung ini bukanlah calang-calang orang.

Sebelum ini, Ahmad Idham pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Finas, di mana beliau merupakan satu-satunya golongan penggiat seni yang diberi tempat di situ.

Walaupun sebelum ini dia dilihat 'sama naik' dengan bekas Presiden Seniman, Zed Zaidi, dalam menyuarakan pandangan mengenai industri, namun itu bukan bermakna tiada perkembangan terbaru dalam bidang penerbitan.

Bakal tampil dengan buah tangan terbaru, Ahmad Idham muncul untuk berkongsi dengan Zass mengenai perkembangan terbarunya serta beberapa perkara melibatkan industri.

Boleh ceritakan sedikit mengenai perkembangan terbaru anda?

Alhamdulillah, filem terbaru saya, Cinderella, bakal menemui penonton pada 19 Disember ini di pawagam. Buat masa ini, saya memang fokus kepada filem ini sahaja untuk memastikan kelancaran dan turut terlibat dalam kerja-kerja promosi. Saya memberi 100 peratus komitmen pada filem ini agar tiada masalah sampingan yang timbul sehingga mencacatkan perjalanan karya terbaru ini.

Adakah filem ini kesinambungan pada drama bersiri popular pada 90-an, Cinderella?

Ia bukanlah kesinambungan drama Cinderella, namun ia adalah 'remake' (penghasilan semula) Cinderella yang dahulu. Mungkin ia nampak sama, tetapi tidak serupa. Namun, jiwa, perasaan dan romantiknya, tetap sama.
Apabila saya garap, saya tahu apa yang saya nak penonton rasa ketika menonton filem ini. Ini hanya untuk mengangkat nostalgia 15 tahun dulu. Dalam filem ini, saya kekalkan metafora dalam drama Cinderella sahaja. Saya mengekalkan kewujudan Cinderella Melayu, iaitu dari seorang anak tiri di sebuah kampung ditangkap basah dengan seorang lelaki yang tidak dikenali dan dibawa ke bandar. Selain itu, saya turut mengekalkan lagu tema, Sehati Sejiwa, yang diberi nafas baru. Saya turut mendapatkan khidmat pelakon terkenal, Fizo Omar da Nelydia Senrose sebagai tonggak utama, Nurul dan Salman. Selain itu, filem ini turut dibintangi barisan pelakon hebat, termasuk Kamal Adli, Erin Malek, Fauziah Nawi, Datuk Jalaludin Hassan, Azizah Mahzan, Sahrolnizam dan Azlan Komeng.

Selain Cinderella, apa lagi karya terbaru anda?

Mengikut pada perancangan asal, saya berhasrat untuk menghasilkan dua tiga filem lagi. Sebenarnya, dah dua bulan saya berhenti daripada kerja-kerja pengarahan. Saya juga pernah terlintas nak tarik 'hand break' kerana kecewa dengan sikap penonton di luar sana yang tidak menghargai penat lelah kami.

Sejujurnya, saya bukan kecewa kerana kurang sambutan, namun saya terkilan dengan sikap masyarakat yang tidak serik-serik untuk menjahanamkan karya bangsa sendiri. Lanun cetak rompak juga semakin berleluasa dan paling menggerunkan kecanggihan teknologi ini memberi ruang yang cukup luas untuk mereka bermaharajalela di laman Internet. Mereka tanpa segan silu merompak karya orang lain dengan memuat turun filem di internet.

Fenomena ini semakin berleluasa dan ia memberi impak buruk kepada industri. Sekiranya, satu hari nanti saya tarik diri dan berundur, ia bukanlah satu kejutan, malah perkara inilah yang menghantui sebilangan besar penerbit seperti saya.

Sekiranya anda berundur, adakah anda akan terus bersara dalam industri dan menceburi bidang lain?

Rasa cinta saya dalam industri sangat kuat kerana penglibatan saya dalam industri bukanlah setahun dua. Saya tidak akan tinggalkan industri secara sepenuhnya, malah saya berhasrat untuk menubuhkan kolej sendiri yang memberi pembelajaran kepada pelajar yang berminat dalam industri seni.

Sejak kebelakangan ini, anda tidak lagi lantang bersuara seperti dahulu, mengapa?

Sebenarnya, saya dah letih nak layan semua perkara yang membabitkan industri kerana teguran kita akan dimanipulasikan. Bila bersuara, dikatakan lantang tanpa sebab. Suara dan ketegasan saya adalah untuk memperjuangkan industri yang semakin nazak. Namun, apa yang saya dapat ialah 'backfire'! Tidak kurang juga yang tampil memanipulasikan fakta.

Sebelum ini, saya ada mempertikaikan pengurusan Finas, namun ada di kalangan industri yang menghentam saya balik. Tapi, bila dah kena batang hidung sendiri, baru nak tengadah. Saya dah penat nak bertelagah dengan mereka-mereka yang tidak memiliki intelektualiti. Saya bukan cakap kosong kerana saya juga membuat kajian mengenai industri dalam pengajian saya. Sejujurnya, perkara ini menjadi keruh apabila tidak ramai graduan dalam generasi lama. Jadi, lebih baik saya diam daripada kenyataan saya dihuraikan dalam sudut intelektual yang tidak sampai pada tahapnya.

Adakah anda merasakan, masalah industri seni tidak pernah selesai?

Perkara ini telah saya tekankan sejak dua tahun lalu, di mana saya pernah duduk di kerusi Ahli Lembaga Finas. Jadi, saya sangat arif dengan masalah industri setelah mengkaji satu persatu. Walaupun ada di kalangan penerbit yang mengetahui masalah dan kelemahan ini, namun mereka tidak tampil bersuara. Malah, ada juga di kalangan penerbit yang selesa 'menangguk di air keruh' dan terus menerus mahukan berada di dalam industri dan pentadbiran yang lemah. Bagi saya, ramai di kalangan penggiat seni yang bermuka-muka, 'lalang' dan hanya mementingkan periuk nasi sendiri.

Melihat kepada isu Seniman baru-baru ini, adakah ia menunjukkan sikap penggiat seni yang tidak sepakat?

Ini adalah masalah pertembungan ideologi lama dan baru di mana yang lama tidak mahu melepaskan jawatan dan yang baru pula tidak pernah diberi peluang. Malah, segelintir veteran Seniman ini masih mengamalkan konsep 'sapa makan garam dulu'. Perkara ini sama sekali tidak menyumbang kepada peningkatan dalam industri, malah isu ini akan menjadi lebih besar apabila ramai yang mula memberontak. Perlu diingatkan, undang-undang adalah ciptaan manusia yang boleh dimanipulasikan. Kenapa harus gunakan jalan ini sedangkan bekas Presiden, Zed Zaidi melaksanakan tugasnya dengan baik sekali.

Apa yang saya nampak, ia lebih kepada ego di mana segelintir veteran Seniman tidak boleh menerima hakikat di mana masa mereka sudah tamat. Malah, sepanjang pimpinan mereka dahulu, tiada pembaharuan yang di buat untuk dibanggakan. Akibatnya, generasi muda menjadi mangsa. Adakah veteran Seniman itu hanya ingin mengekalkan taraf hidup veteran di masa tua seperti veteran terdahulu yang terpaksa memohon bantuan, berdepan kesempitan hidup dan tidak mempunyai kediaman sendiri? Ambillah pengalaman itu sebagai iktibar dengan 'menyediakan payung sebelum hujan'. Jangan biarkan generasi muda basah kuyup.

Gaya hidup holistik hindari strok

Oleh: Dr Bahrain Samah

Tarikh: December 2, 2013

BEBERAPA tahun lalu, seorang sahabat berusia 50an mengalami lumpuh sebelah badan akibat strok. Doktor mengesahkan strok dialami adalah jenis bekalan darah terhalang ke otak kerana arteri tersumbat.

Beberapa tahun sebelum menghidap strok prognosis atau telahan penulis berkaitan masa hadapan, masalah kesihatan dialami sahabat adalah negatif. Beliau sering mengalami tekanan darah tinggi. Jika tak mengubah gaya hidup, beliau mungkin mengalami satu atau dua keadaan iaitu serangan jantung atau strok.

Setahun lalu, seorang sahabat lain dimasukkan ke hospital setelah doktor mendapati terdapat pendarahan di otak kirinya. Doktor mendapati sahabat itu mengalami strok kecil. Strok kecil ini biasanya menyebabkan lumpuh sebelah atau seluruh tubuh.

Sebulan sebelum disahkan menghidap strok kecil, sahabat pertama sering mengalami lenguh dan kebas tangan kanan. Seminggu sebelum dimasukkan ke hospital beliau sering mengalami sakit kepala di bahagian kiri kepala.

Sebenarnya beliau telah mengalami tekanan darah tinggi selama bertahun-tahun. Setiap kali berjumpa doktor beliau pulang dengan ubat-ubatan yang dibekalkan doktor. Namun kerana bimbang ubat-ubatan tersebut akan menjejaskan kesihatan beliau langsung tidak pernah memakannya. Beliau hanya makan apabila lapar dan secara ala kadar.

Beliau kurang mengambil makanan dan minuman manis, serta sering makan ulam-ulaman. Beliau memiliki mesin pengimbas tekanan darah tinggi di rumah untuk pantau tahap tekanan darah.


Daging Kambing

Pada masa tertentu sahabat itu makan daging kambing, yang amat digemarinya. Namun setiap kali selepas makan kambing atau makanan tertentu beliau mendapati tekanan darah beliau melonjak naik.

Tangan kanan lenguh dan kebas, dipercayai oleh doktor yang menjalankan pemeriksaan, berpunca daripada strok yang berlaku pada otak kiri beliau. Doktor memberitahunya sakit kepala yang dialami berpunca daripada salur darah yang pecah atau bocor akibat tekanan darah terlalu tinggi dalam bahagian otak yang terjejas.

Kambing dan biri-biri sering dikaitkan dengan peningkatan tekanan darah sebaik-baik sahaja seseorang mengambilnya. Tekanan darah akan turun setelah beberapa jam. Namun sesetengah orang dikatakan mengalami tekanan darah tinggi secara berterusan selama berminggu-minggu. Inilah yang dialami sahabat penulis yang gemar makan daging kambing makan sekali-sekala.

Kedua-dua sahabat penulis ini mengalami dua jenis strok yang berbeza. Sahabat pertama mengalami strok jenis darah terhalang berpunca daripada arteri tersumbat. Strok jenis pertama dikatakan dialami oleh 80 peratus penghidap strok daripada semua kes strok.

Sahabat kedua pula mengalami strok jenis pendarahan yang dialami 20 peratus penghidap strok. Jenis kedua dikatakan lebih mudah menyebabkan kematian berbanding dengan yang kedua.

Strok jenis pertama berlaku apabila arteri tersumbat, lalu menyebabkan edaran darah terhalang. Arteri yang terlibat adalah sama ada di leher atau di dalam otak.

Peredaran darah terhalang berpunca daripada tiga keadaan. Pertama, trombosis iaitu berpunca daripada pembentukan darah beku dalam saluran darah dalam otak atau di leher. Kedua, embolism iaitu berpunca daripada pergerakan darah beku daripada bahagian tubuh lain. Contohnya daripada jantung kepada leher atau otak. Jenis yang ketiga ialah stenosis iaitu arteri terlalu sempit.

Strok yang kedua berlaku apabila berlaku pendarahan berpunca daripada salur darah bocor. Arteri manusia boleh membesar berpunca daripada dinding arteri yang lemah. Keadaan ini dikenali sebagai aneurysm. Lama-kelamaan pembesaran yang disertai dengan keradangan menyebabkan dinding arteri semakin lemah dan jika sistem imun (dibantu oleh beberapa faktor) tidak berupaya untuk membaik pulih maka ia berakhir dengan kebocoran.

Pada pandangan penulis sahabat pertama memang telah berusaha mengawal tekanan darah dengan mengambil ubat-ubatan moden yang dipreskripsi doktor. Namun amalan gaya hidupnya dengan merokok tidak berhenti-henti, karakter sentiasa tidak sabar dan makan makanan tinggi karbohidrat termasuk makanan/minuman tinggi gula adalah faktor kepada strok yang berlaku.

Strok jenis darah terhalang ke otak yang dialami sahabat pertama dipercayai boleh dicetuskan faktor tersebut, walaupun beliau mengambil ubat-ubatan doktor secara tetap. Elakkan beranggapan apabila kita mengamalkan pengambilan ubat-ubatan moden secara tetap kita tidak perlu mengubah gaya hidup.

Sahabat kedua yang mengalami strok jenis pendarahan juga terlalu menganggap kambing atau biri-biri tidak akan menjejaskan kesihatan beliau. Pada hal beliau memang kerap mengalami peningkatan darah sebaik sahaja makan kambing. Tekanan darah yang dialami pula berlanjutan selama beberapa hari malah kadang-kadang selama berminggu-minggu.


Amalan sihat

Apakah herba dan suplemen yang dapat membantu mencegah strok yang berpunca dari faktor stres dan tekanan darah tinggi? Ada. Magnesium sulfat (Epsom salt, beli di farmasi tertentu) membantu mengawal tekanan darah.  

Asid alfa lipoik dan pelbagai jenis bioflavonoids (jus dari ekstrak perahan buah-buahan asli seperti delima, acai atau pelbagai jenis beri) memulihara kesihatan arteri dari stres oksidatif (kerosakan berpunca serangan radikal bebas).

Buah-buahan tinggi vitamin C dan rendah gula atau suplemen vitamin C dos tinggi diambil sehingga 3,000 miligram sehari juga membantu dari segi mengawal keradangan, mengawal tekanan darah dan memulihara kesihatan areri.

Cuka epal yang diambil dengan menggabungkan minyak zaitun perahan sejuk (extra virgin) dan secawan air juga membantu mengawal tekanan darah tinggi, meredakan keradangan dan memulihara kesihatan arteri.

Co-enzyme Q10, vitamin B kompleks dan vitamin E juga penting untuk kesihatan sel-sel arteri. Multivitamin jenama terkemuka lengkap dengan pelbagai nutrien termasuk vitamin ini.

Ambil herba adaptogen seperti Ginseng Siberia, putrawali (sebutan lain: patawali, brotowali) Ruku-ruku (juga baik untuk penghadaman), Wu Wei Ze (Schisandra) atau Horny Goat Weed. Ia dipercayai membantu seseorang menghadapi stres dengan menormalkan perembesan hormon stres seperti kortisol dan adrenalina. Jika diambil secara tetap ia dikatakan dapat membantu mengawal tekanan darah tinggi.

Pada masa sama perubahan gaya hidup termasuk mengelakkan perkara yang meningkatkan risiko strok adalah penting. Kurangkan gula, berhenti merokok serta kurang/elakkan makan makanan bergoreng secara terendam lama. Masak menggunakan minyak tepu sihat seperti minyak sawit.

Jika sering stres mengadu kepada ALLAH dengan berdoa kepada-Nya. Jangan lupa bersenam sekurang-kurang berjoging selama 30 minit setiap kali, tiga kali seminggu. Untuk keterangan lanjut mengenai khasiat dan penggunaan bahan tersebut sila baca buku penulis berjudul Serangan Jantung (terbitan Alaf 21).

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment