Sunday, December 1, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 021213 bersamaan 28 Muharram 1435H

 

 

81 kumpulan ajaran sesat dikesan

Oleh: ERMA YUSNIDA JUSOH

Tarikh: December 2, 2013

KUANTAN  -  Sebanyak 81 kumpulan ajaran sesat dikesan di seluruh negara manakala lima dikenal pasti bergerak secara aktif, kata Pengerusi Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia, Abu Syafiq Mohd Rasyiq Mohd Alwi.

Beliau berkata,  beberapa kumpulan dikenal pasti aktif dan mereka termasuk al-Arqam.

Menurutnya, kesemua kumpulan itu aktif di beberapa negeri seperti Kedah, Perlis, Johor, Perak dan Selangor.

"Penyebaran ajaran sesat ini sukar dikenal pasti melalui peribadi, namun kita boleh tahu berdasarkan tingkah laku dan amalan yang dilakukan.

"Malah kini penyebaran ajaran tersebut semakin menular melalui media sosial seperti blog dan laman web yang sering menjadi tumpuan golongan muda terutama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya selepas Program Ceramah Kelebihan Ahli Sunnah Wal Jamaah anjuran Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) daerah Kuantan, di sini, semalam.

Abu Syafiq berkata, pihak berkuasa perlu meletakkan beberapa garis panduan terutama membabitkan penceramah yang dipilih memberikan ceramah.

"Sekarang banyak majlis ilmu menjelaskan bahaya Syiah, namun kebanyakan penceramah terdiri daripada mereka yang mengikuti fahaman tertentu," katanya.

Selain itu katanya, Pahang perlu mengikuti tindakan Johor dan Pulau Pinang yang melarang perbuatan membidaah amalan umat Islam yang mempunyai dalil.

Pada majlis itu, LKPIM Kuantan menggariskan lima resolusi pemurnian akidah iaitu mahu pihak berkuasa agama menyediakan modul kitab pengajian akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di masjid dan surau bagi menangani bahaya dan ancaman ajaran sesat.

Selain itu, resolusi itu juga mahu fatwa jelas berkaitan fahaman yang semakin menular terutama dalam isu bidaah.

"Kita juga mahu pihak berkuasa memantau penularan ajaran sesat di IPT di samping memperbanyakkan program memantapkan akidah umat Islam.

"Kita juga harap pendakwah ajaran melampau dihalang menyampaikan ajaran mereka sebaliknya memperbanyakkan tokoh ilmuwan terdiri daripada ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Terkejut lihat suami tergantung di pokok

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 2, 2013

REMBAU – Seorang wanita di sini tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya selepas menemui suaminya mati dalam keadaan tergantung di sebatang pokok getah dekat sebuah kebun di Kampung Mampong, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, K Selvi, 41, menemui mayat suaminya, K Selvam, 42, tergantung menggunakan kain kelambu.

K Selvi, 41, berkata, dia keluar mencari suaminya ke kawasan kebun tidak jauh dari rumahnya selepas suaminya tidak pulang.

Menurutnya, malam sebelum kejadian, suaminya yang pulang dalam keadaan mabuk sekitar jam 9 malam ada bertengkar dengannya untuk meminta duit bagi membeli minuman keras.

"Saya kata tiada duit dan suami menyatakan akan membunuh diri sekiranya saya tidak memberinya duit.  Pada mulanya dia mahu minum cuka getah tapi saya sempat halang sebelum suami keluar dari rumah menuju ke ladang getah.

"Kebiasaannya sekiranya suami keluar rumah dia akan pulang awal pagi, namun pada pagi ini dia tidak pulang," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tampin, semalam.

Selvi berkata, sepanjang 14 tahun dia berkahwin dengan suaminya itu, suaminya sememangnya seorang yang sangat baik sekiranya tidak mengambil minuman keras.

Mayat mendiang Selvam akan disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Koperasi KSNS Chembong.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dua Hasmah maut kemalangan

Oleh: NORHASRAM MOHAMAD

Tarikh: December 2, 2013

PASIR PUTEH - Dua wanita yang secara kebetulan mempunyai nama sama, maut dalam kemalangan berasingan iaitu Kampung Kandis dan Padang Pak Amat, di sini, kelmarin.

Hasmah Ab Rahman, 71, dari Kampung Sega, Machang dan Hasmah Taib, 58, dari Kampung Seligi di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi di Kilometer 10.5 Jalan Pasir Puteh-Machang-Jeli di Kampung Kandis, Hasmah Ab Rahman meninggal dunia selepas kereta Perodua Myvi yang dipandu anaknya dikatakan terbabas sebelum merempuh pokok.

Hasmah bersama dua anaknya, Siti Mariam Ismail, 31, (pemandu) dan Norbadira, 27, dalam perjalanan dari Machang ke rumah seorang lagi anaknya, Normaizi, 45, di Bukit Tok Beng, Terengganu.


Mahu jalani rawatan tradisional

Normaizi ketika ditemui berkata, ibu dan dua adiknya itu berhasrat datang ke rumahnya kerana ingin menjalani rawatan tradisional bagi mengubati penyakit Hasmah dan juga Norbadira.

Katanya, ketika menunggu kehadiran mereka, dia menerima panggilan memaklumkan kereta mereka terbabit dalam nahas di Pasir Puteh.

"Emak seperti tahu ajalnya hampir tiba apabila dia menamakan saya sebagai penama (pewaris) akaun simpanannya di bank, Khamis lalu.

"Saya terkilan kerana tidak sempat memenuhi hasrat ibu bagi mengubati penyakitnya," katanya.


Minta izin suami untuk ke bandar

Sementara itu, dalam satu lagi kemalangan kira-kira jam 12 tengah hari di Kilometer 34.5 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Padang Pak Amat, seorang wanita warga emas meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan lori.

Mangsa, Hasmah Taib cedera parah di kepala dalam nahas yang berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai membeli barangan runcit di bandar Pasir Puteh.

Suaminya, Mamat Yaakob, 66, berkata, dia yang mengetahui tragedi itu melalui seorang jiran bergegas ke tempat kejadian sebelum ke Hospital Tengku Anis.

"Dia (arwah) sempat meminta izin daripada saya untuk ke bandar Pasir Puteh bagi membeli stok kad prabayar dan juga beberapa barangan runcit yang semakin berkurangan di kedai kami.

"Arwah juga seorang isteri yang cekal dan kuat semangat, dia sentiasa ambil berat perihal kehidupan empat anak kami yang berusia 23 hingga 38 tahun," katanya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal mengesahkan kejadian itu dan pihaknya meminta saksi tampil membantu siasatan polis berhubung kedua-dua kemalangan tersebut.

 

Datuk Fauzi Shaari meninggal dunia

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: December 1, 2013

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Fauzi Shaari meninggal dunia akibat jangkitan pada hati dan buah pinggang di Hospital Selayang di sini, malam ini.

Mohd Fauzi, 63, yang dimasukkan ke hospital itu sejak Rabu lepas, meninggal dunia pada pukul 8.17 malam di Unit Rawatan Rapi hospital berkennaan, menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman Facebooknya.

Jenazah Mohd Fauzi akan dibawa ke rumahnya di No.7, Jalan 10/15, Seksyen 10, Shah Alam, Selangor dan akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam.

Allahyarham yang berasal dari Larut Matang, Perak meninggalkan isteri Datin Fauziah Ngah Nordin serta empat anak lelaki.

Mohd Fauzi menyertai PDRM pada 30 April 1975 sebelum dilantik menjadi Ketua Polis Selangor pada 2003 dan kemudian dilantik sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman pada 2005, sebelum bersara setahun selepas itu. - Bernama

 

 

Ibu 6 anak mengaku tidak salah kematian pembantu

OLEH:

Tarikh: December 1, 2013

ALOR SETAR - Seorang ibu kepada enam anak hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pekerjanya yang merupakan mualaf antara awal Oktober hingga awal November lepas.

Sharom Bee Ismail, 43, peniaga kedai makan di Langkawi membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku faham dengan pertuduhan apabila ditanya oleh jurubahasa mahkamah selepas dibacakan kepadanya dan meminta dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Sharom Bee dituduh melakukan perbuatan itu ke atas Nai Ah Nung @ Nur Salina Abdullah, 18, di nombor 270, Kampung Belanga Pecah, Langkawi pada awal Oktober hingga awal November lepas.

Mahkamah menetapkan 29 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes berikutan permohonan Pendakwa Raya Mohd Rizal Fadzil untuk mendapatkan laporan bedah siasat mangsa.
 
Suami tertuduh berumur 36 tahun ditahan reman oleh polis pada 18 Nov lepas bagi membantu siasatan dan akan dikemukakan sebagai saksi perbicaraan manakala tertuduh ditahan sehari sebelum itu.

Gadis mualaf tersebut meninggal dunia semasa dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Langkawi pada 8.40 malam 18 Nov lepas. - Bernama

Kakak dibunuh, dua adik ditemui mati

OLEH:

Tarikh: December 1, 2013

ALOR SETAR - [KEMASKINI] Mayat seorang remaja perempuan yang dipercayai dirogol dan dibunuh ditemui di kawasan bendang di Alor Senibong dekat sini semalam manakala dua adiknya dilaporkan hilang disahkan mati selepas mayat mereka ditemui di Sungai Pekan Langgar petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, mayat remaja berusia 14 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan separuh bogel kira-kira jam 3.45 petang.   

"Polis belum mendapat petunjuk tentang dua adik mangsa yang dilapor hilang sebelum ini. Operasi mencari mereka sedang dijalankan dengan bantuan unit anjing pengesan,"katanya kepada  pemberita di tempat kejadian hari ini.

Remaja tersebut bersama dua adiknya yang berumur tiga dan 12 tahun dilapor keluar dari rumah mereka di Jalan Datuk Kumbar dengan motosikal kira-kira 7.30 malam untuk ke rumah rakan mangsa di Kampung Gelam yang berdekatan bagi mengambil gajinya yang bekerja membotol bahan pencuci.

Mohd Nashir berkata, setelah ketiga-tiga anaknya tidak pulang dan gagal ditemui setelah puas dicari, ibu mereka Siti Aishah Arifin, 40, membuat laporan polis di di Balai Polis Langgar kira-kira jam 2 pagi.

Sementara itu bapa mangsa Rosdi Rani, 38, berkata, anaknya itu yang hanya bersekolah setakat darjah enam berpendapatan RM15 sehari. Beliau yang bekerja sebagai tukang cuci turut hairan kerana motosikal yang dinaiki anak-anaknya ditemui di Sekolah Kebangsaan Gelam dalam keadaan baik tetapi mayat anaknya ditemui di Alor Senibong yang jauh dari tempat rumah rakannya itu.

"Kami merancang untuk pulang ke Besut, Terengganu selepas dua tahun kami menetap di sini. Saya harap sangat dua lagi anak saya itu dapat ditemui dengan selamat," katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat sementara jenazahnya dikebumi di tanah perkuburan Jalan Datuk Kumbar, Alor Semela selepas solat Zohor tadi. – Bernama

Polis: Kematian 3 beradik bukan tragedi biasa

Oleh: NOR FAIZAL GHAZALI

Tarikh: December 1, 2013

ALOR SETAR - Misteri kehilangan tiga beradik sejak Jumaat lalu, terjawab apabila kesemua mereka ditemui meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati di dua lokasi berasingan.

Noor Syafikah Nadia, 14, ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan separuh bogel kira-kira jam 3.45 petang berhampiran kawasan bendang di Kampung Alor Senibong, Langgar, semalam.

Manakala dua adiknya Nur Izzati Husna, 12, dan Putri Nurul Akmal, 3, ditemui kira-kira jam 3 petang, hari ini dalam keadaan terapung dalam tali air Terusan Mada Kampung Padang Petani, dekat sini.

Dalam kejadian berkenaan, Noor Syafikah, anak sulung kepada pasangan Rusdi Rani, 38, dan Siti Aishah Ariffin, 40, keluar rumah bersama dua adiknya di Jalan Datuk Kumbar, di sini, kira-kira jam 7.30 malam, Jumaat lalu.

Tiga beradik itu ke rumah seorang kawannya yang terletak di Kampung Gelam kira-kira 15 minit dari rumah mereka.

Bagaimanapun mereka tidak pulang ke rumah walaupun sudah lewat malam membuatkan pasangan berkenaan membuat laporan polis berhubung kehilangan anak mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam 2 pagi, Sabtu.

Pencarian mereka membawa kepada penemuan motosikal yang dinaiki ketiga-tiga mangsa berada dalam keadaan baik di pondok menunggu bas dalam keadaan berkunci.

Penemuan mayat Noor Syafikah terus menimbulkan keresahan keluarga kerana dua adiknya lagi masih gagal dikesan.

Bagaimanapun selepas kira-kira sejam selepas jenazah Noor Syafikah dikebumikan, hari ini, keluarga terbabit dikejutkan dengan penemuan mayat dua lagi anak mereka yang merungkai kehilangan tiga beradik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim menyifatkan kejadian berkenaan bukanlah tragedi biasa.

Menurut beliau, selepas penemuan mangsa pertama, bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan lemas dan pihaknya tidak menemui kesan-kesan lain pada badan mangsa.

"Kita juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan seksual termasuk rogol melainkan kesan calar pada bahagian belakang mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Manakala dua mayat yang baru ditemui akan dibedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mereka," katanya ketika ditemui media di lokasi kedua penemuan mayat di Terusan Mada Kampung Padang Petani, hari ini.

Tambah beliau, polis turut menemui sehelai seluar berhampiran mangsa kedua tetapi masih belum dapat dikenal pasti sama ada seluar itu kepunyaan mangsa pertama atau sebaliknya.

"Kita akan minta mak dan ayah mangsa untuk buat pengecaman seluar yang ditemui dan akan meminta pihak hospital membuat bedah siasat secepat mungkin.

"Saya ingat ini bukan kejadian biasa disebabkan ketiga-tiga mangsa ditemui di lokasi berasingan," katanya.

Ahmad berkata, pihaknya akan memberi keutamaan untuk menyiasat kes terbabit.

 

 

Jeff Ooi akui kesalahan, minta maaf

OLEH: SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Tarikh: December 1, 2013

GEORGETOWN - Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi membuat kejutan naik ke pentas utama tanpa dijemput dan mengemukakan permohonan maaf kepada kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPP) kerana menggelar mereka kucing kurap.

Pada mulanya beliau dilihat mendiamkan diri ketika ucapan Karpal yang menegurnya berhubung isu itu.

Jeff Ooi kemudiannya mengumumkan beliau memohon maaf kepada semua kakitangan MPPP setelah diminta Karpal ketika Kovensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2013, hari ini.

Menurutnya, beliau hanya mengikut nasihat Pengerusi DAP Kebangsaan dan bukan orang lain.

Karpal: Jeff Ooi perlu minta maaf

OLEH: SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Tarikh: December 1, 2013

GEORGETOWN - Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh meminta Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi supaya meminta maaf kepada semua kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berikutan ketelanjurannya menggelar kakitangan pihak berkuasa tempatan itu kucing kurap.

Karpal berkata, semua kakitangan dan pegawai MPPP sama ada berpangkat rendah atau tinggi perlu dihormati.

Menurutnya, tindakan Jeff Ooi itu keterlaluan dan menghina penjawat awam.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Kovensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2013, hari ini

Kakak: Siti Aishah janji pulang dalam 9 bulan

OLEH:

Tarikh: December 1, 2013

SEPANG -  Siti Aishah Abdul Wahab yang dikatakan dijadikan hamba selama 30 tahun di London berjanji akan pulang ke Malaysia selepas sembilan bulan, kata kakaknya, Kamar Mahtum.
   
Kamar Mahtum, 79, yang ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari London berkata semasa pertemuan beliau dengan Siti Aishah di satu lokasi rahsia di sana Khamis lepas, adik bongsunya itu berjanji akan balik secepat mungkin selepas kerjanya di sana selesai.
   
"Dia banyak aktiviti di sana, di sana dia buat kerja-kerja sukarelawan membantu orang tapi saya sudah pujuk dia supaya pulang ," katanya yang tiba di KLIA bersama-sama aktivis politik Hishamuddin Rais kira-kira 7.40 pagi ini.
   
Katanya beliau lega apabila melihat adiknya sihat dan gembira berada di sana kerana menurut laporan akhbar seolah-olah Siti Aishah tidak sihat.
   
"Dia sihat fizikal dan lebih gemuk dari saya, dia juga merindui keluarga di Malaysia namun katanya keringatnya untuk membantu orang susah di sana masih diperlukan," katanya.
  
Sabtu lepas, media melaporkan wanita berusia 69 tahun itu antara tiga wanita yang dibebaskan daripada perhambaan pada 25 Okt lepas di selatan London, selepas seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan. Dua wanita lain ialah warga Ireland dan Britain.
   
Siti Aishah berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dan meninggalkan negara pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School Economics di United Kingdom.
   
Namun ketika berada di sana, dia dikatakan terpengaruh dengan pergerakan Maoist iaitu politik melampau sehingga mengabaikan pelajarannya.
   
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai status agama Siti Aishah, Kamar Mahtum berkata: "Dengan saya dia sudah bagi tahu tapi antara dia dengan Allah hanya dia sahaja yang tahu".  - Bernama

Paling berisiko jenayah siber

OLEH: AHMAD ISMADI ISMAIL

Tarikh: December 1, 2013

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan sentiasa mengkaji akta sedia ada agar bersesuaian dan relevan untuk menangani perkembangan jenayah komersial yang membabitkan kerugian mencecah RM 1.6 bilion antara Januari dan Oktober tahun ini.

Ia juga berikutan laporan Ancaman Keselamatan Sopshos 2013 oleh firma SOPHOS, Amerika Syarikat yang mendakwa kedudukan Malaysia di tangga ke enam dunia berisiko tinggi terdedah ancaman jenayah siber.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, kerjasama itu juga membabitkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia.

"Kita lihat sama ada perlu kukuhkan lagi undang-undang sedia ada dengan meminda akta tersebut dari semasa ke semasa.

"Kita juga akan sentiasa meneliti akta berhubung jenayah siber bagi mengenal pasti kelemahan untuk tindakan penambahbaikan," katanya pada sidang media majlis pelancaran kempen pencegahan jenayah komersial, di sini, semalam.

Sementara itu, seramai 735 orang ditahan dalam 434 operasi khas yang dilaksanakan bagi jenayah komersil dari 25 hingga 29 November lalu di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Syed Ismail Syed Azizan  berkata, pembelian barangan menerusi atas talian, pembungkusan dan taktik penyamaran untuk menipu mangsa paling banyak dilakukan dalam jenayah siber di negara ini.

"Kerugian tertinggi yang pernah dicatatkan adalah pada 2011 berjumlah lebih RM34 juta melalui sindiket penipuan bungkusan.

"Kita mahu orang ramai lebih berwaspada. Kita giat meningkatkan kesedaran awam tentang ancaman jenayah siber menerusi kempen Be Smart Jangan Jadi Mangsa Jenayah Siber," katanya.

Kes pukul hingga mati: Empat lelaki direman

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: December 1, 2013

SHAH ALAM - Empat lelaki direman tiga hari bagi membantu siasatan kes pukul hingga mati seorang lelaki di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Khamis lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, mereka berusia antara 22 dan 37 tahun itu direman bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kita juga sudah kenal pasti identiti rakan si mati yang melarikan diri sewaktu kejadian dan percaya akan dapat buat tangkapan dalam tempoh terdekat.

"Siasatan berhubung kes dijalankan menjurus kepada pelbagai aspek, termasuk kemungkinan si mati terlibat dalam mencuri kereta jenis Honda Civic yang dinaiki pada hari kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Dalam insiden Khamis lalu, seorang lelaki berusia 32 tahun dipukul orang awam kerana didakwa membawa kereta curi yang dilaporkan hilang sehari sebelum itu, di Taman Putra Perdana, Puchong.

Ketika kejadian seorang anggota polis cuba meleraikan kekecohan dan menghalang orang awam daripada terus memukul lelaki terbabit, namun tidak dihiraukan.

Anggota polis itu kemudiannya mendapatkan bantuan polis lain, sebelum lelaki terbabit dibawa ke Balai Polis Sentul.

Khairi berkata, sebaik tiba di pekarangan balai, lelaki itu tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah di kepala.
 Menurutnya, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila seorang daripada rakan kepada pemilik kereta yang dilaporkan hilang itu, mendapat maklumat berhubung kenderaan terbabit yang dilihat berada di Lebuh Raya DUKE menghala ke Jalan Duta.

Katanya, rakan-rakan pemilik kereta itu yang bermotosikal, berjaya mengesan kenderaan berkenaan ketika ia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Seorang daripada mereka melarikan diri, manakala seorang lagi ditangkap dan dipukul orang ramai.

Pegawai polis cedera dilibas parang

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: December 1, 2013

KLANG - Seorang inspektor polis cedera di lengan selepas terkena libasan parang ketika membuat serbuan Ops Cantas Khas Narkotik di sebuah rumah di Jalan Telok Gong, Kampung Nelayan, di sini, malam kelmarin.

Menurut sumber, mangsa dan sepasukan anggotanya, tiba di depan rumah terbabit kira-kira jam 11.50 malam apabila seorang lelaki keluar dalam keadaan mencurigakan.

Mangsa berusia 28 tahun terus keluar dari kenderaan untuk membuat pemeriksaan, sebelum dia tiba-tiba diserang oleh seorang lelaki.

"Lelaki itu melibas objek dipercayai senjata tajam ke arah mangsa menyebabkan siku kanan mangsa cedera.

"Lelaki berusia 20-an itu kemudian melarikan diri dan belum dapat dikesan," katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa cedera ringan dan menerima tujuh jahitan di siku kanan.

Sumber itu berkata, berikutan kejadian itu, polis menyerbu rumah tersebut dan menahan seorang wanita warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun.

"Satu paket dadah dipercayai heroin, ditemui dalam bilik rumah itu," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Pengawal keselamatan terlepas tembakan ditahan

OLEH:

Tarikh: December 1, 2013

GEORGETOWN - Seorang pengawal keselamatan yang dilapor melepaskan tembakan secara cuai dalam sebuah kedai emas di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di Jalan Magazine di sini hari ini telah ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, SAC Mazlan Kesah berkata pada kejadian pukul 11.15 pagi itu, pengawal yang berusia 45 tahun terbabit secara tidak sengaja telah terlepas sedas tembakan daripada senjata pump gun.

Beliau berkata tembakan itu mengenai bahagian bawah meja kabinet kaca yang mempamer barangan kemas dan perhiasan.

Hanya terdapat tujuh orang pekerja di dalam premis itu ketika kejadian. Mazlan berkata polis telah merampas senjata berkenaan.    

Pengawal itu telah tiga tahun berkhidmat sebagai  pengawal keselamatan dan tiga mempunyai sebarang rekod jenayah, katanya. - Bernama

Tiga nelayan Kampung Merchong dikhuatiri hilang

OLEH:

Tarikh: December 1, 2013

PEKAN - Tiga nelayan dari Kampung Merchong, Nenasi di sini dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap ikan di laut pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata ketiga-tiga nelayan itu ialah Mohamad Sharil Zulkifli, 28, Mohamad Isa Awang Ngah, 48, dan anaknya Mohamad Asri, 17.

Katanya laporan polis dibuat isteri Mohamad Sharil, Norhafizah Abu Bakar pada pukul 8.33 malam tadi apabila suaminya bersama dua yang lain tidak pulang ke rumah setelah keluar menangkap ikan pada 5.30 pagi semalam.

Pengadu mendakwa ketiga-tiga mangsa keluar menangkap ikan menggunakan sebuah bot fiber yang merupakan bot nelayan dari jeti Sungai Merchong.

"Kebiasaannya, nelayan-nelayan sekitar Nenasi akan keluar awal pagi dan dijangka pulang lingkungan pukul 12 tengah hari dan bila mangsa tidak pulang, pengadu membuat laporan kerana bimbangkan keselamatan mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yahaya berkata insiden itu telah dimaklumkan kepada Pasukan Gerakan Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk tindakan mencari mencari dan menyelamat. - Bernama

Penunggang motosikal maut terbabas

OLEH:

Tarikh: December 1, 2013

KUANTAN - Seorang pemuda maut apabila motosikal ditungganginya terbabas dan terbakar selepas merempuh bahagian tepi sebuah kereta di Jalan Semambu, di sini semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, Mohd Afiq Ikhwan Kamaruzaman, 24, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Penguatkuasa Trafik dan Pentadbiran, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, ASP Zainalabidin Othman berkata akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting dan terjatuh di atas permukaan jalan sebelum motosikalnya terbakar.

Pemandu kereta berkenaan yang tidak mengalami sebarang kecederaan sudah membuat laporan di Balai Polis Trafik, katanya ketika dihubungi hari ini. - Bernama

Smart Solat berkesan

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: December 1, 2013

KEDAH - Seramai 25 kanak kanak-kanak berusia 10 sehingga 12 tahun menyertai program Smart Solat anjuran Masjid Kampung Pantai Cicar.

Program julung kali itu dikendalikan Imam Muda Zakri Ghazali dan berlangsung di masjid berkenaan.

Adun Kuala Ketil, Md Zuki Yusof berkata, program seumpama itu dapat meningkatkan pemahaman kanak-kanak dalam soal agama.

Menurutnya, program Smart Solat terbukti memberikan kebaikan bukan sahaja kepada pemahaman tetapi dari segi rohani peserta.

"Alhamdulillah, ibu bapa semakin prihatin dengan memastikan anak-anak mereka menyertai program seumpama ini sempena cuti persekolahan," katanya.

Katanya, inisiatif pihak masjid menganjurkan program seumpama itu seharusnya dijadikan contoh.

Katanya, ibu bapa harus mengambil peluang memastikan anak-anak mereka menyertai sekurang-kurangnya sekali setahun, kerana ia ternyata memberikan kesan yang positif.

"Daripada anak-anak menghabiskan masa dengan perkara tidak berfaedah, lebih baik mereka menyertai program seperti ini," katanya.

Pulau Pinang kenakan caj levi

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: December 1, 2013

GEORGETOWN - Mulai Mac tahun depan, kerajaan negeri cadang untuk mengenakan caj  levi bagi setiap bilik penginapan hotel disewa pelanggan mengikut taraf bintang hotel berkenaan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata demikian dalam ucapan pembentangan Rang Undang-undang Pembekalan Tahun 2014, pada Sidang Dun kelmarin.

Menurutnya, tujuan kutipan levi itu  akan digunakan sebagai dana untuk mempromosikan aktiviti kebudayaan dan pelancongan Pulau Pinang.

"Satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada sektor hotel dan penginapan bersama dengan kerajaan negeri akan mendapat input untuk berbincang tentang jenis perbelanjaan ke atas kutipan levi ini. Levi ini dicadang dikenakan mulai bulan Mac 2014," katanya.

Beliau berkata, cadang untuk mengenakan levi RM2 bagi setiap malam di bilik penginapan di hotel yang bertaraf satu hingga tiga bintang, manakala levi RM5 akan dikenakan bagi bilik penginapan di hotel yang bertaraf empat bintang dan ke atas.

"Demi memastikan  produk pelancongan bertaraf antarabangsa dalam acara Tahun Melawat Pulau Pinang pada tahun 2015 hingga 2017, kerajaan negeri perlu membuat perancangan teratur dan pelaburan besar dalam infrastruktur asas untuk mewujudkan produk baru. Oleh itu, cadangan, kutipan levi akan dilaksanakan untuk menampung kos berkenaan," katanya.

Pada tahun lalu, Pulau Pinang merekodkan lebih kurang lima juta bilik penginapan hotel disewa pelanggan tempatan dan luar negara.

Rela tinggal dalam reban ayam

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: December 1, 2013

KOTA TINGGI - Seorang ibu tunggal di Kampung Mad Jambi, di sini, rela menetap di sebuah rumah yang pada asalnya reban ayam kerana tidak mampu menyewa dan membina kediaman baharu.

Rosliza Yunos, 48, yang menghidap penyakit buah pinggang kini hanya bergantung hidup dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, perbelanjaan harian keluarga pula ditanggung seorang anaknya yang bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan RM900 sebulan.

"Dulu, rumah yang kami diami ini asalnya reban ayam. Kerana terlalu terdesak, saya meminta izin ayah untuk menjadikannya sebagai rumah buat kami anak beranak berteduh.

"Salah seorang anak saya adalah orang kurang upaya (OKU). Dua anak saya sepatutnya masih bersekolah, tetapi kerana tidak mampu, seorang daripada mereka terpaksa berhenti," katanya ketika menerima lawatan  rombongan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim, di sini, semalam.

Hadir sama, Adun Sedili, Rasman Ithnain; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd Noorazam Osman; Kadi daerah Kota Tinggi, Mohd Taufik Samsudin dan Pemangku Mukim Hulu Sedili Besar, Mohd Aidil Masih.

Rosliza berkata, dia juga perlu mendapatkan rawatan hemodialisis setiap minggu, namun gagal berbuat sedemikian sejak sekian  lama kerana kos rawatan terdahulu yang masih tertunggak.

Sementara itu, Rasman memberitahu, kerajaan negeri bersetuju untuk membina kediaman baru untuk keluarga berkenaan selain membayarkan separuh wang premium berjumlah RM3,000.

Menurutnya, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) juga bersetuju membantu membayarkan kos tertunggak untuk membolehkan Rosliza terus mendapatkan rawatan hemodialisis.

"Hasil lawatan tersebut, sebanyak tiga rumah penduduk yang uzur di Kampung Mad Jambi akan dibina baru. Pihak Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM40,000 untuk setiap kos pembinaan rumah tersebut," katanya.

Pada lawatan itu,  Rosliza turut menerima sumbangan wang fidyah dan barangan makanan daripada MAIJ yang disampaikan Abd Mutalip.

Kanak-kanak Cina berkhatan

OLEH: MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON

Tarikh: December 1, 2013

SEGAMAT - Seorang kanak-kanak Cina menarik perhatian ramai apabila turut dikhatankan bersama 87 peserta Islam lain pada program Khatan Perdana anjuran Umno Bahagian Sekijang di Klinik Kesihatan Bandar Putra, di sini semalam.

Pang Ka Yong, 11, kelihatan begitu teruja apabila dapat bersama dengan kanak-kanak lain berkhatan dan merasai sendiri pengalaman diarak dengan paluan  kompang selain disiram air menggunakan hos bomba.

"Dalam teruja saya juga sedikit berdebar apabila mendengar jeritan dan tangisan peserta lain yang sedang dikhatankan. Saya satu-satunya kanak-kanak bukan Islam yang hadir pada hari ini (semalam).

"Memang takut sebab tanya rakan di sekolah pun tiada yang berkhatan. Jadi dalam kalangan rakan sebangsa, saya yang pertama berkhatan," katanya kepada  Sinar Harian, semalam.

Ka Yong dari Bukit Siput ditemani ibunya, Cheng Yin Mei, 36.

Yin Mei berkata, hampir dua minggu dia memujuk anak sulungnya itu supaya turut sama berkhatan pada program itu malah meyakinkan proses berkenaan  tidak menyakitkan.

Jelasnya, antara sebab dia menyarankan anaknya berkhatan kerana Ka Yong sering mendapat alahan selain mengetahui ia cara terbaik bagi memastikan  kebersihan diri lelaki.

"Selepas mendapat tahu program ini daripada rakan saya yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Daerah Segamat (HDS), saya terus mendaftarkan anak saya walaupun pada mulanya dia enggan untuk dikhatankan.

"Selepas ini, adik lelakinya pula akan menyusul bila dia besar sedikit," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sekijang, Datuk Baharum Mohamed berkata, program itu bukan sekadar menyahut amalan berkhatan yang dituntut Islam malah merapatkan hubungan persaudaraan dan perpaduan masyarakat.

Menurutnya, kebiasaan, kos berkhatan sekitar RM250 hingga RM280, tetapi hari ini (semalam) semua peserta dikhatankan secara percuma.

"Program ini bukan saja murah, malah lebih selamat berikutan dilakukan pegawai perubatan bertauliah selain dengan kerjasama Pemuda Umno Sekijang kerana kami hendak mereka lebih dekat  dengan kanak-kanak ini.

"Selain itu, kita mendapat kerjasama daripada Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr Mokhtar Ahmad dan Balai Bomba Bandar Putra pada majlis hari ini (semalam)," katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sekijang yang juga Naib Ketua Umno Sekijang, Anuar Abdul Manap; Ketua Pemuda Umno Sekijang, Salleheen Mohamad dan Timbalan Ketua Umno Sekijang, Alus Kassim.

Tenggelam selepas jatuh jeti

OLEH: NOR AZURA MD AMIN

Tarikh: December 1, 2013

PONTIAN - Seorang pemilik sangkar ikan dikhuatiri mati lemas selepas dipercayai tergelincir dari jeti ketika hendak menaiki bot di Kukup Laut, di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam, ketika Yeo Kim Soon, 76, turun ke laut untuk melihat sangkar ikan ternakan yang diusahakan tidak jauh dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dimulakan selepas keluarganya membuat laporan polis berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.30 malam.

"Usaha mencari mangsa tidak berjaya, dan disambung semula pagi ini (semalam) melibatkan pasukan penyelam Bomba dan Penyelamat dari Johor Bahru dan Pontian, polis, Maritim Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Pasukan Gerakan Marin Tampoi, dijangka tiba bagi membantu mencari mangsa dengan kawasan pencarian yang akan diperluaskan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, nelayan, Syawal Abdul Gani, 35, berkata, penduduk kampung turut membantu mencari Kim Soon sebaik dimaklumkan insiden berkenaan oleh keluarga mangsa.

Jelasnya, dia bersama rakan lain segera ke lokasi kejadian dan cuba menyelam untuk mencari mangsa.

"Namun, keadaan air laut pasang dan hujan renyai selain suasana gelap menyukarkan penduduk  mencari mangsa," katanya.

Pemuda maut kereta dipandu rempuh lori

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: December 1, 2013

BATU PAHAT - Seorang pemuda maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah lori di Kilometer 1, Jalan Kolam Air, Parit Sulong, di sini, kelmarin.

Dalam insiden jam 5.20 petang itu, mangsa, Mohd Fazlan Mohd Idris, 25, yang memandu kereta jenis Perodua Kancil meninggal dunia di  lokasi kejadian.

Saksi, Rafiq Rashid, 38, memberitahu, kejadian tersebut disedarinya selepas dia terdengar dentuman kuat.

Menurutnya, ketika kemalangan itu, dia berada di kebun berhampiran dan segera bergegas ke lokasi kejadian bagi meninjau punca dentuman berkenaan.

"Saya terus berlari ke arah jalan raya dan mendapati satu kemalangan telah berlaku serta diberitahu penduduk kampung ia membabitkan sebuah kereta dengan sebuah lori yang bertembung.

"Penduduk kampung juga cuba menyelamatkan pemandu kereta yang tersepit," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementera itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kemalangan berlaku selepas kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas dan  masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh  sebuah lori.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, pemandu kereta berkenaan tersepit dan disahkan meninggal di  tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk tindakan lanjut sebelum dituntut ahli keluarganya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Gunung Keriang kian sepi

OLEH: NURUL HIDAYAH HAMID - 019 574 4022 / 019 474 7065

Tarikh: December 1, 2013

ALOR SETAR - Apabila disebut nama Gunung Keriang, di sini, pastinya orang awam khususnya masyarakat setempat dan pelancong tempatan terkenang keunikan batu kristal semula jadinya.

Apatah lagi, apabila mereka memperoleh kesempatan menerokai Gua Gunung Keriang, pastinya pengalaman melalui selok-belok laluan gua yang mencabar menjadi memori tidak dilupakan.

Walaupun memiliki keindahan alam semula jadi tersendiri, entah di mana silapnya apabila bilangan pelancong didakwa kian berkurangan dari semasa ke semasa.

Tinjauan Sinar Harian mendapati Taman Rekreasi Gunung Keriang bukan sahaja kurang penyelenggaraan, malah ketiadaan kemudahan awam tertentu kemungkinan menjadi antara penyumbang keadaan ini.

Keadaan bangku rehat didapati kian usang, kerosakan beberapa alatan permainan turut kelihatan, sementara kemudahan tandas awam mahupun surau juga didakwa rosak serta seakan tiada untuk kegunaan pelancong.

Pelancong kian berkurangan

Peniaga, Tijah Yaacob, 64, berkata, perniagaan batu kristal mereka yang rancak pada awalnya, kian lembap sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan pelancong tak kira sama ada tempatan mahupun antarabangsa kian berkurangan.

"Kini, hanya pelancong tempatan yang datang, manakala dari luar negara seolah-olah sudah tidak ada lagi. Sekiranya, saya boleh menjana pendapatan kira-kira RM300 sehari dahulu, namun kini tidak lagi.

"Sekarang, nak dapat RM100 pun semakin susah. Pernah juga hasil jualan yang diperoleh hanya RM20 sehari," katanya.

Tandas rosak

Tijah berkata, keadaan persekitaran dan kemudahan infrastrukturnya yang agak terhad akibat kerosakan, mungkin telah menimbulkan ketidakselesaan pada pelancong yang mengunjungi kawasan ini.

"Bagaimana, mereka mahu melawat kawasan ini, sekiranya kemudahan awam seperti tandas rosak teruk. Jadi, mereka tidak dapat berjalan-jalan dengan selesa," katanya.

Difahamkan, keadaan tandas tidak terurus ini didakwa sudah berlarutan sejak enam tahun lalu, malah peniaga sendiri didakwa perlu pulang ke kediaman masing-masing untuk ke tandas.

Gerai kayu perlu diganti

Malah, keadaan kira-kira 11 gerai kayu milik penduduk tempatan termasuk Tijah dipercayai kian rosak, namun masih tidak dibaiki, sedangkan mereka menjual aneka cenderahati kepada pelancong.

Tijah berkata, sebahagian gerai tidak berbumbung zink, manakala kebanyakannya berada dalam keadaan kurang baik.

Katanya, gerai miliknya sudah beberapa kali di pecah masuk pencuri, namun sekiranya pihak berkenaan membantu mengubahsuainya pastinya insiden terbabit tidak akan berulang kembali.
Taman permainan uzur

Bagi Nur Marsya Amran, 12, kerosakan beberapa alatan permainan di Taman Rekreasi Gunung Keriang menimbulkan kesulitan kepada mereka untuk bermain-main di kawasan tersebut.

Bukan setakat mengalami kerosakan, namun katanya lebih menyedihkan apabila beberapa batang besi buaian didakwa hilang disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab individu tertentu.

"Kini, kami hanya boleh bermain papan gelongsor sahaja ekoran beberapa alatan permainan sudah uzur, manakala sebahagiannya pula hilang. Jadi, kanak-kanak yang menemani ibu bapa tidak dapat bermain semasa mengunjungi kawasan ini," katanya.

Berita baik dari MBAS

Sekiranya, keadaan sedemikian dibiarkan berterusan tanpa sebarang tindakan dikhuatiri, akhirnya produk pelancongan ini tidak lagi dikunjungi, malah kian dilupakan orang ramai.

Justeru, masyarakat tempatan khususnya peniaga merayu supaya kemudahan awam terbabit dapat diselenggarakan mahupun dinaik taraf segera demi menarik perhatian pelancong semula.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad, berkata, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bukan sahaja sedia maklum, sebaliknya turut prihatin mengenai keadaan kemudahan awam di Gunung Keriang, dekat sini.

Katanya, pihaknya tidak lepas pandang mengenai perkara terbabit, sebaliknya telah merancang penambahbaikan seperti menaik taraf medan selera dan membina gerai baru untuk penjual kristal.

"Kami sudah dapat 'lampu hijau'. Malah, pelan juga sudah ada. Cumanya, bukan sekarang, tapi tahun depan. Insya-ALLAH, sebaik menerima peruntukan, maka kerja-kerja akan dilakukan segera," katanya.

6 individu dikehendaki dicekup

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: December 1, 2013

TAIPING – Polis berjaya menahan enam suspek dikehendaki dalam satu Op Cantas di sekitar kawasan Taiping, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, keenam-enam suspek berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu dipercayai terlibat kes mencederakan orang, rogol dan juga curi.

Menurutnya, operasi terbabit melibatkan 97 anggota dan 26 pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dan Ibu Pejabat Polis Kawasan (IPK).

"Selain itu, operasi yang bermula jam 9 malam hingga 5 pagi itu dibahagikan kepada 16 kumpulan dan setiap kumpulan diberikan empat sasaran (target person)," katanya kepada Sinar Harian, selepas sesi taklimat Ops Cantas, di IPD Taiping, di sini malam semalam.

Menurutnya,  operasi tersebut dilaksanakan bagi mengesan penjenayah-penjenayah yang kita kehendaki," katanya.

Menurutnya, semua anggota terlibat melaksanakan semakan di beberapa tempat dan jika ada individu yang mencurigakan, mereka akan dibawa balik ke IPD Taiping.

"Tindakan ini memberikan satu rasa selamat dalam kalangan masyarakat dan meningkatkan keyakinan terhadap polis," katanya.

Dalam masa sama,  polis turut melaksanakan tujuh sekatan jalan raya di beberapa kawasan sekitar Taiping.

"Kita harap melalui operasi ini, polis berjaya mengesan penjenayah yang dikehendaki," katanya.

Akhirnya masuk perangkap polis

OLEH: NOOR'AINON MOHAMED YUSOF

Tarikh: December 1, 2013

BATU GAJAH – Seorang wanita penjaga kolam ikan berjaya ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Tronoh, pagi semalam berikutan keengganan dia hadir perbicaraan ke mahkamah walaupun mempunyai lapan waran tangkap.

Wanita berusia 32 tahun ditahan dalam satu sekatan jalan raya yang dijalankan dalam Op Cantas Khas Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah yang disertai 20 pegawai dan 83 anggota polis.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, wanita terbabit dikesan kerap menunggang motosikal dengan laju selain tidak mempunyai lesen kenderaan serta cukai jalan.

"Wanita terbabit gagal mengelakkan diri dari sekatan jalan raya kemudiannya ditahan sebelum dibawa ke pejabat Polis Trafik IPD untuk soal siasat sebelum bakal didakwa di Mahkamah Majistret dalam masa terdekat.

"Wanita itu adalah salah seorang daripada 92 pengguna jalan raya yang berjaya ditahan pihak polis dan sebanyak 160 waran tangkap berjaya disempurnakan sehingga kini," katanya di sini.

Menurutnya, operasi selama empat jam membabitkan Jalan Tanjung Tualang, Kilometer 24 Jalan Ipoh-Lumut, Jalan Changkat Larang dan Tronoh.

"Operasi kali ini, kita telah mengeluarkan 20 saman trafik atas pelbagai kesalahan antaranya kenderaan diubahsuai, nombor pendaftaran kenderaan serta tidak mempunyai lesen memandu.

"Sebanyak 13 notis peringatan diserahkan kepada pesalah trafik di sekatan Jalan Raya di Jalan Papan dan 98 kenderaan diperiksa membabitkan 106 pemandu, penumpang kereta dan penunggang motosikal," katanya.

Maut motosikal bergesel treler

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: December 1, 2013

PERAK – Seorang wanita maut apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah treler bermuatan tepung ketika membelok masuk kawasan Perindustrian IGB di Jalan Kuala Kangsar di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang, mangsa, Lee Poh Lan, 54, yang berasal dari Taman Tasek Mewah di sini, maut di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman.

Pegawai Turus Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, siasatan awal mendapati treler dari arah itu Ipoh membelok kanan, sebelum motosikal yang ditunggang mangsa melanggar bahagian tangki minyak menyebabkan motosikal terjatuhnya.

"Bagaimanapun, pegawai perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sejurus tiba di lokasi kejadian," katanya.

Katanya, pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan telah membuat laporan polis di balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HRPB," katanya.

Empat beranak nyaris rentung

OLEH: SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN

Tarikh: December 1, 2013

JASIN - Tindakan pantas seorang ibu membawa dua anaknya dan emaknya keluar dari rumahnya yang terbakar berjaya menyelamatkan mereka daripada rentung dalam satu kejadian di Taman Merlimau Utama di sini, kelmarin.

Ketika kejadian jam 3.45 petang itu, dia bersama emaknya dan anaknya yang berusia dua bulan serta setahun setengah berada di ruang tamu.

Kebakaran itu disedari, A Yogeswary, 28 dan ibunya, S Selvam, 56, selepas terhidu bau hangit dari dalam bilik utama rumah teres setingkat milik ibu bapanya itu.

Yogeswary berkata, sebelum kejadian, dia yang baharu dua bulan melahirkan anak kedua sedang menonton televisyen sementara ibu menidurkan anaknya di dalam buaian di ruang tamu.

"Ibu menidurkan anak saya di dalam buaian dan seorang lagi di atas sofa. Apabila terbau hangit, kami memeriksa seluruh rumah sebelum ibu ternampak asap di bahagian siling dari arah bilik utama.

"Apabila membuka pintu bilik tersebut, api besar menghalang kami untuk ke pintu hadapan dan kami bertindak menyelamatkan diri dengan berlari keluar mengikut pintu belakang," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Yogeswary yang tinggal di Klang, Selangor balik ke kampung sebelum melahirkan anak bersyukur kerana mereka berempat selamat.

Katanya, ketika kejadian, ayah dan adik lelakinya keluar bekerja.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.56 petang dan bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera dan tujuh anggota.

"Sebaik sahaja sampai lima minit kemudian, kami dapati api marak di bahagian ruang tamu dan bilik utama malah bumbung di bilik tersebut juga juga sudah runtuh.

"Bagaimanapun kebakaran dipadamkan sepenuhnya jam 4.29 petang," katanya.

Katanya, mangsa dipercayai mengalami kerugian kira-kira RM120,000 selepas rumah itu terbakar 80 peratus, namun punca kejadian masih dalam siasatan pihaknya.

Teksi terbakar, gitar selamat

OLEH: M. JEFFRI RAZALI - 019-6205516, SARINAH MAT KASIM - 019-6202383

Tarikh: December 1, 2013

BANDA HILIR - Seorang pemandu teksi nyaris tidak dapat membuat persembahan pada Karnival Satu Daerah Satu Industri (SDSI) kerana beberapa gitar miliknya hampir musnah apabila kenderaan itu terbakar, kelmarin.

Bapa kepada dua anak, Rahmat Yusof, 54, bagaimanapun sempat menyelamatkan semua gitar tersebut sebaik sahaja menyedari teksinya yang diparkir di tempat letak keretanya dijilat api dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang.
Menurut Rahmat, dia dimaklumkan mengenai kejadian oleh seorang kakitangan pangsapuri sebelum bergegas turun dan mendapati api marak memusnahkan teksi jenis Proton Waja itu.

"Ketika kejadian saya baru selesai membuat persembahan kira-kira jam 5.30 petang bersama beberapa ahli kumpulan lain dan berehat di tingkat atas hotel berkenaan sebelum terkejut apabila diberitahu mengenai kebakaran itu.

"Selepas turun ke bawah untuk dapatkan kepastian saya lihat api sudah marak serta tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya menunggu bomba mengawal kebakaran, sebelum dapat mengambil beberapa gitar yang kelihatan masih baik, namun tidak pasti boleh digunakan lagi atau tidak," katanya.

Rahmat berkata, meskipun kebakaran itu memusnahkan kereta dan pakaiannya, namun dia bersyukur kerana terselamat dan tidak berada di dalam kereta ketika kejadian, malah tong Gas Asli Kenderaan (NGV) turut berada di but belakang teksi itu tetapi ia tidak meletup.

"Ini kejadian pertama sejak saya memandu teksi lebih lima tahun lalu dan saya dijadualkan melakukan persembahan bersempena SDSI di MITC, Ayer Keroh selama tiga hari bermula kelmarin, namun  tak pasti boleh melakukannya atau tidak," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Pegawai Bomba Kanan II, Low Liang Siong berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian apabila menerima panggilan pada jam 5.49 petang.

 "Api berjaya dikawal satu minit kemudian oleh lima anggota sebelum padam sepenuhnya dalam tempoh 15 minit. Bagaimanapun, pihak kami sedang menyiasat punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian dialami mangsa," katanya.

Pemilik rumah kedai curi air

OLEH: M. JEFFRI RAZALI - 019-6205516, SARINAH MAT KASIM - 019-6202383

Tarikh: December 1, 2013

PORT DICKSON - Sebuah rumah kedai dua tingkat diserbu sepasukan penguatkuasa Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) selepas dipercayai terlibat kegiatan mencuri air.

Pengurus Besar Sains, Zulkifli Ibrahim berkata, ketika serbuan, penghuni premis didapati melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip jenis mudah lentur bersaiz 16 milimeter.

"Siasatan yang dijalankan mendapati bekalan air daripada penyambungan tersebut digunakan untuk kegunaan kegunaan harian penghuni premis tersebut.

"Pegawai penguatkuasa Sains menjalankan ujian klorin di lokasi berkenaan dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains," katanya.

Zulkifli berkata, Span menyita paip mudah lentur tersebut sebagai bahan bukti pendakwaan di mahkamah.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 yang memperuntukkan denda sebanyak RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Operasi tamat pada jam 2 petang iaitu kira-kira selepas dua jam dilakukan. Operasi diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan Span, Mohadir Hid," katanya.

Beliau berkata, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan ke atas kegiatan curi air di seluruh negeri ini.

"Tindakan tegas ini adalah salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air," katanya.

Katanya, pengguna yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982 dengan pemberi maklumat dirahsiakan.

Dapatkan tiket Wet World percuma

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: December 1, 2013

SHAH ALAM - Pembaca Sinar Harian yang tidak berkesempatan mendapatkan tiket masuk percuma ke Taman Tema Air Wet World Shah Alam semalam masih lagi berpeluang menebusnya pada hari terakhir, hari ini mulai dari jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari.

Bagi menghargai sokongan dan kesetiaan pembaca, Sinar Harian berkolaborasi dengan Wet World Shah Alam sempena Karnival Sinar Harian Wet World yang menawarkan sebanyak 3,000 tiket masuk percuma ke taman tema itu.
Tiket boleh ditebus di kaunter yang dibuka di Lobi Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 selama dua hari iaitu semalam dan hari ini.

Lebih menarik, tawaran tiket percuma ini diberi pada musim cuti persekolahan bagi memberi peluang pembaca Sinar Harian meluangkan masa bermandi-manda bersama keluarga di Wet World Shah Alam.
Setiap tiket yang ditebus boleh digunakan sepanjang Disember ini.

Wakil Wet World Shah Alam, Ryna Mazrina Hasan berkata, sambutan pembaca Sinar Harian yang hadir menebus tiket percuma semalam menggalakkan dan dijangkakan lebih ramai akan hadir hari ini.

"Mudah saja untuk mendapatkan tiket ini dengan memotong satu keratan promo Karnival Sinar Harian Wet World yang bertarikh 25 hingga 29 November 2013 dan kepilkan bersama lima kepala akhbar Sinar Harian," katanya.

Polis diacu pistol

OLEH: HASNIZA HUSSAIN

Tarikh: December 1, 2013

KLANG - Polis merampas sepucuk pistol .38 dalam serbuan Ops Cantas Khas Narkotik Selangor yang dijalankan di Persiaran Raja Muda Musa dan Teluk Gadong, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, dalam serbuan kira-kira jam 10.45 malam itu, polis membuat pemeriksaan di sebuah bilik hotel di Persiaran Raja Muda Musa, di sini.

Menurutnya, ketika bilik diketuk, seorang wanita membuka pintu dan di belakangnya terdapat seorang lelaki.

Katanya, lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan sepucuk pistol daripada beg di pinggangnya dan terus mengacukan senjata tersebut ke arah polis.

"Berlaku pergelutan antara mereka, namun lelaki berusia 33 tahun itu berjaya meloloskan diri melalui belakang hotel.

"Siasatan kemudian dapat mengesan kedudukan suspek, sebelum polis menahannya di sebuah rumah di Teluk Gadong, di sini," katanya, semalam.

Sumber berkata, turut dirampas sepucuk pistol bersama tiga biji peluru.

Beliau berkata, semakan menunjukkan suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Dalam perkembangan lain, 57 individu ditahan dalam operasi sama yang ditumpukan di sekitar Klang Selatan dan Pelabuhan Klang bermula jam 10 pagi kelmarin dan berakhir kira-kira jam 7 pagi semalam.

Menurut satu kenyataan dipetik daripada Facebook Polis Selangor bertarikh semalam, operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor dan dibantu oleh Pasukan Gerakan Am dan Unit Anjing Pengesan polis (K9) itu difokuskan kepada pemeriksaan di hotel bajet, rumah-rumah dijadikan sarang penagih serta pusat hiburan sekitar kawasan terbabit.

Motor tinggal rangka

OLEH: HIDAYAH HAIROM

Tarikh: December 1, 2013

KUALA LUMPUR - Kesesakan tempat meletak kenderaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatik menyebabkan sebuah motosikal yang terbakar gagal diselamatkan pihak bomba meskipun jarak balai bomba berhampiran hanya beberapa meter dari kawasan perumahan itu.

Dalam kejadian pada awal pagi kelmarin, sebuah motosikal musnah keseluruhannya setelah terbakar dipercayai perbuatan khianat.

Pemilik motosikal itu, Hasmizi Abu Hashim, 50, berkata, kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berlaku ketika dia berada di rumah setelah pulang kira-kira sejam sebelum itu.

Menurutnya, dia terdengar bunyi letupan dan dapat melihat motosikalnya sedang terbakar dari balkoni rumahnya di tingkat 10.

"Bantuan cuba diberikan pihak bomba namun kesesakan tahap kritikal kenderaan penduduk yang diparkir dalam kawasan itu menyebabkan jentera bomba gagal melepasinya.

"Alat pemadam kebakaran di flat juga tidak dapat digunakan walaupun baru diselenggara.

"Akhirnya seorang penduduk yang bekerja di syarikat alat pemadam api bertindak memadam kebakaran dengan peralatannya namun ketika itu motosikal saya sudah musnah 100 peratus," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dia terkilan dengan kejadian itu yang menyebabkannya kerugian kira-kira RM5,000.

Bagaimanapun, dia redha dan menganggap ia ujian daripada ALLAH SWT.

"Nasib baik hanya motosikal yang terbakar, bayangkan jika membabitkan kebakaran unit dan melibatkan nyawa penghuni.

"Jadi perkara ini perlu diberi perhatian agar tidak berulang dan masalah kesesakan kenderaan dapat diatasi," katanya.

Pekida mahu dedah ahlinya terlibat ajaran Syiah

OLEH: KUANTAN

Tarikh: December 1, 2013

KUANTAN – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Malaysia akan mempertimbang untuk mendedahkan mana-mana ahlinya yang dipercayai terlibat dengan ajaran Syiah ataupun ajaran lain bertentangan dengan fahaman ahlil sunnah wal jamaah.

Perkara itu dilaksanakan sempena program pemutihan berterusan pertubuhan tersebut bertujuan membersihkan nama Pekida daripada dilabel sebagai negatif masyarakat sekeliling.

Presidennya, Jamaludin Yusof berkata, sehingga kini, Pekida belum mengenal pasti ahli yang terlibat, namun percaya kesemua ahli masih berada di landasan ajaran 'Amar Maakruf Nahi Mungkar' sepertimana cogan kata pertubuhan ini.

"Jika ada yang terlibat dengan fahaman lain, mereka akan disiasat dalam Majlis Timbang Tara seterusnya jawatankuasa akan memutuskan kedudukan ahli tersebut sama ada masih kekal ataupun disingkirkan.

"Melalui program pemutihan ini, saya berharap ahli yang ada ini terus mengekalkan prestasi positif mereka agar tiada pihak yang berasa sangsi dengan pertubuhan ini," katanya kepada media sempena Perhimpunan Agung Pekida Malaysia Kali Ke-19 di sini semalam.

Jamaluddin berkata, melalui perhimpunan yang diadakan itu, satu perubahan drastik harus  dilaksanakan oleh ahli agar peranan Pekida ini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, antara perkara positif yang perlu diberi perhatian adalah jihad ekonomi dan penubuhan koperasi Pekida.

"Sebelum ini, kami hanya melaksanakan tanggungjawab pada peringkat bawahan di mana hanya golongan masyarakat tertentu mengetahui peranan Pekida.

"Oleh itu, pada masa akan datang, kami mahu lebih menyerlah dalam usaha mengembalikan martabat Pekida untuk dihormati dan bukan digeruni," katanya.

 Sehingga kini seramai 235,000 ahli Pekida didaftarkan di seluruh negara. Seramai 330 perwakilan menghadiri Perhimpunan Agung dan Pemilihan Pekida yang berlangsung semalam.

Hujan setiap hari selama seminggu

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: December 1, 2013

KUANTAN - Jabatan Meteorologi melalui laman webnya meramalkan beberapa daerah di negeri ini menerima hujan setiap hari pada waktu pagi, petang dan malam sepanjang tempoh tujuh hari bermula semalam.
Ramalan berkenaan juga membabitkan kawasan perairan.

Melalui ramalan dalam tempoh itu daerah Kuantan dijangka mengalami hujan sepanjang hari manakala daerah lain dijangka hujan petang dan malam.

Keadaan di kawasan pelancongan termasuk Cameron Highlands diramalkan hujan pada waktu malam dan petang manakala Cherating pula hujan sepanjang hari dan Bukit Tinggi serta Genting Highlands diramalkan hujan sepanjang hari, hujan malam dan hujan petang.

Tinjauan Sinar Harian di Pantai Balok dan  Pantai Batu Hitam  mendapati  bendera merah sudah dinaikkan bagi memberi amaran kepada penduduk setempat dan pelancong supaya tidak mandi-manda bagi mengelakkan bencana.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan berdekatan seolah-olah tidak mempedulikan amaran pihak berkuasa kerana masih  berani mandi laut dan melakukan aktiviti di tepi pantai.

Tinjauan di Teluk Chempedak pula mendapati bendera putih masih lagi digantung sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mandi dan berkelah.

Melalui laman web berkenaan, sehingga jam 11.25 semalam,  beberapa daerah di negeri ini termasuk  Cameron Highlands, Temerloh, Maran, Pekan, Kuantan dan Jerantut dijangka ribut petir dan hujan lebat berterusan sehingga petang.

Timbalan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (Jpam), Mohd Nazri Mes Kam semalam menasihatkan orang ramai tidak mandi manda jika bendera merah dinaikkan di kawasan pantai berikutan ombak besar.
Katanya, anggota Jpam akan bertugas setiap hari bermula 9 pagi hingga 7 malam memantau kawasan pantai.

Seramai 1,000 anggota Jpam kini bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir dan air pasang besar  yang dijangka berlaku dalam tempoh 3 Disember hingga 8 Disember depan.

Dilanda banjir kilat kali ketiga

OLEH: MOHD RIDZUAN ABU HASSAN

Tarikh: December 1, 2013

MARAN - Pekan Sri Jaya dekat sini dilanda banjir kilat selama dua jam ekoran hujan tidak berhenti seawal jam 6 pagi semalam sehingga menyebabkan hampir kesemua premis perniagaan tidak dapat beroperasi.

Paras sungai berhampiran yang melepasi tebing dengan sistem perparitan tidak sempurna memburukkan keadaan apabila jalan utama di pekan tersebut turut dinaiki air dalam kejadian jam 12 tengah hari itu.

Peniaga, Yik Siong Hong, 45, berkata, kejadian itu merupakan kali ketiga berlaku sepanjang tahun ini selepas Februari dan September.

Menurutnya, walaupun hampir 20 tahun mengusahakan premis makanan di pekan itu, namun kejadian banjir kilat hanya berlaku sejak tiga tahun lalu.

"Jika dahulu tidak teruk kerana air yang memasuki kawasan kedai datang dari arah bahagian belakang iaitu air sungai.

"Tetapi sekarang air turut datang dari arah hadapan kerana longkang tersumbat dengan masalah perparitan sehingga tidak dapat menampung hujan lebat.

"Jadi keadaan bertambah teruk apabila aliran air banjir kilat ini datang dari kedua-dua arah membawa sampah dan lumpur," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara, Nga Hoo, 61, berkata, paras air yang memasuki kawasan premis perniagaan dan jalan utama itu berubah-ubah dalam tempoh dua jam berikutan kadar hujan tidak menentu.

Menurutnya, peniaga terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda dan barang keperluan niaga sehingga menjejaskan aktiviti harian mereka.

"Air kadang-kadang besar, kadang-kadang kecil maka kami perlu bersedia sekiranya hujan tidak henti untuk beberapa jam lagi.

"Ini bukan kejadian pertama dan sepatutnya pihak berkenaan telah melakukan sesuatu untuk mengurangkan risiko banjir kilat dengan memberi memperbaiki sistem perparitan," katanya.

Ombak kuat resahkan penduduk

OLEH: MOHD TAHA YAACOB

Tarikh: December 1, 2013

KUALA BESUT - Sebanyak 46 keluarga yang tinggal di perumahan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pangkalan Atap, di sini, hidup dalam kebimbangan berikutan ombak besar dan angin kuat melanda sejak malam kelmarin.

Seorang penduduk, Jusoh Mat Ismail, 73, berkata, dia dan penduduk lain resah dengan kemungkinan berlakunya angin lebih kuat dan ombak lebih besar, sekali gus menyebabkan kawasan perumahan itu dilanda banjir.

Bagaimanapun katanya, mereka bernasib baik kerana pembinaan benteng batu pemecah ombak sepanjang kawasan perumahan itu berjaya mengelak ombak menghempas dinding rumah penduduk yang berada paling hampir dengan pantai.

"Tapi kalau hujan lebat dan berterusan di sebelah Hulu Besut, manakala air laut dijangka pasang bermula semalam, kami bimbang ombak akan lebih mengganas seterusnya melepasi tembok tersebut," katanya.

Sehubungan itu, Jusoh berkata, dia membuat persiapan untuk berpindah ke pusat pemindahan sekiranya ombak melepasi batu tersebut, malah boleh dikatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk di situ berpindah setiap musim tengkujuh.

"Masalah ini bagaimanapun akan selesai selepas kami semua berpindah ke rumah pangsa diberikan kerajaan negeri di Kampung Lay Out Tok Saboh, kira-kira empat kilometer dari sini," katanya.

Selepas mendengar keluh-kesah penduduk di sini, Sinar Harian meninjau perjalanan projek pembinaan Pangsapuri Mampu Milik 4 Tingkat di Lay Out Tok Saboh seperti dijanjikan kerajaan negeri untuk dijadikan penempatan baharu penduduk PPRT Pangkalan Atap.

Turut sama, Pengerusi JKKK Pangkalan Atap, Mohd Aziz Mahmud dan Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Siap sedia untuk pindah

Sementara itu, Mohd Aziz berkata, penduduk diminta bersiap sedia termasuk untuk dipindahkan pada bila-bila masa sekiranya berlakunya ombak lebih besar dan kawasan rumah dilimpahi air.

Menurutnya, agensi kerajaan seperti Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKKK serta agensi lain sentiasa membuat pemantauan terutama di Kampung Pangkalan Atap.

Dalam pada itu, Tengku Zaihan turut mendengar taklimat ringkas disampaikan penyelia projek dan berharap kontraktor dapat menambah bilangan pekerja agar projek boleh disiapkan mengikut jadual ditetapkan pada April 2015 atau lebih awal daripada itu.

Dalam perbincangan tersebut, penyelia berkenaan memaklumkan, majikannya kini dalam usaha menambah pekerja bagi memastikan kerja bermula sejak April lalu itu, berjalan lancar.

"Rumah tersebut akan diberi secara percuma kepada 46 keluarga dari perumahan Pangkalan Atap, manakala selebihnya pula dijual kepada pemohon berkelayakan.

"Saya amat berharap projek ini akan berjalan lancar agar penduduk Pangkalan Atap tidak perlu lagi berdepan kesulitan setiap kali musim tengkujuh," katanya.

Hasil tinjauan juga mendapati, kerja pembinaan dilaksanakan kontraktor dilantik untuk membina 72 rumah bernilai RM10.35 juta.

Ditikam ketika lawan peragut

OLEH: RUBIAH OMAR

Tarikh: December 1, 2013

KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang lelaki warga Bangladesh melawan dua peragut yang cuba meragut beg duit miliknya menerima padah apabila dia ditikam di bahagian kepala.

Kejadian berlaku di tepi jalan berhampiran klinik 1 Malaysia Kubang Parit, di sini, kira-kira jam 6.30 petang, Rabu lalu.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa, 30-an bersama seorang rakan senegaranya dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi mereka di tapak projek Taman KP Perdana Kubang Parit, di sini, selepas membeli barang di sebuah kedai runcit berhampiran.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba dua sahabat itu telah dihampiri dua lelaki tempatan yang menunggang sebuah motosikal sebelum bertindak menahan mereka sambil berlagak seperti pihak berkuasa dengan meminta pasport.

"Disebabkan ketakutan, mangsa dan rakannya itu telah menyerahkan pasport kepada salah seorang suspek," katanya.

Bagaimanapun, semasa hendak mengeluarkan pasport, seorang lagi suspek telah merampas beg duit di tangan mangsa.

"Terkejut dengan tindakan pantas itu, mangsa bertindak melawan bagi menyelamatkan beg duitnya, namun dalam pergelutan itu, mangsa ditikam sebanyak tiga kali di bahagian kepala dengan pisau sebelum ditolak sehingga jatuh.

"Mangsa yang dalam kesakitan ditinggalkan begitu sahaja oleh suspek yang melarikan diri selepas berjaya merampas beg duit milik mangsa," katanya.

Susulan kejadian, mangsa bukan sahaja terpaksa menanggung kesakitan akibat cedera di bahagian kepala dan tangan, malah dia turut menanggung kerugian wang tunai kira-kira RM230.

Mangsa pada mulanya telah dihantar mendapatkan rawatan di Klinik 1 Malaysia Kubang Parit, tetapi disebabkan keadaan lukanya yang agak parah, dia dihantar menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan kes sedang dalam siasatan.

Kecewa barang dihantar hilang

OLEH: ZUMURNI HAMZAH - 019-9821360 / 019-9391077, AZMAN CHE MAN - 019-9391035 / 019-9391077

Tarikh: December 1, 2013

MACHANG - Seorang pelanggan sebuah syarikat penghantaran cepat terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM2,000 apabila barang yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier hilang, dua bulan lalu.

Mohamad Nabil Wan Ahmad berkata, dia menghantar alat ganti basikal ke Selangor menggunakan perkhidmatan itu namun sehingga kini penerimanya belum menerima barang tersebut.

Katanya, selepas menghubungi syarikat terbabit, alat ganti itu disahkan hilang dan pihak syarikat itu berjanji akan melakukan sesuatu mengenainya.

"Malangnya sehingga kelmarin tiada ganti rugi diterima. Saya sudah bagi masa sehingga 28 November lalu untuk mereka beri kata putus berkenaan ganti rugi tersebut namun tiada tindak balas diberikan.

"Syarikat ini pernah meminta untuk membayar secara ansuran, namun saya menolak memandangkan saya perlu duit untuk membayar alat ganti yang terpaksa saya beli sekali lagi," jelasnya.

Mohamad Nabil berkata, pegawai bertanggungjawab juga cuba mengelak serta tidak menjawab panggilan telefon dan hanya membalas khidmat pesanan ringkas (sms) yang dihantarnya.

Kecewa dengan tindakan tersebut, Mohamad Nabil memaklumkan telah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, di sini, kelmarin.

"Sebagai sebuah syarikat besar yang menyediakan perkhidmatan di seluruh dunia, perkara ini tidak sewajarnya menjadi masalah untuk mereka selesaikan.

"Saya guna perkhidmatan syarikat tersebut memandangkan cawangannya terletak berdekatan kediaman saya di sini. Malangnya masalah sebegini pula berlaku," katanya.

Tambah Mohamad Nabil, dia berharap syarikat berkenaan menyelesaikan masalah itu dengan baik bagi memastikan pelanggan tidak mudah hilang kepercayaan kepada perkhidmatan yang mereka sediakan.

"Sebagai sebuah syarikat besar, mereka mesti ada insurans dan sebagainya untuk menjaga keselamatan barang-barang yang dihantar. Pastinya tidak susah bagi mereka menyelesaikan masalah seumpaman ini.

"Saya sudah tunggu dua bulan untuk masalah ini diselesaikan dengan baik. Malangnya tidak sekali pun syarikat berkenaan mengakui barang itu hilang ketika mereka keluar menghantar barangan," katanya.

Gejala penagihan pil kuda serius

OLEH: ROSALWANI CHE SOH

Tarikh: December 1, 2013

KOTA BHARU - Polis Kelantan menyifatkan gejala penagihan pil kuda amat serius di negeri ini dengan beberapa siri tangkapan yang dilakukan dari 150 individu yang diperiksa 50 hingga 60 orang dikesan mengambil pil terbabit.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, penyalahgunaan dadah jenis itu adalah salah satu daripada tiga jenayah yang kerap berlaku di negeri ini, iaitu curi kenderaan dan rogol.

Beliau berkata, kegiatan terbabit dikesan, kebanyakannya dilakukan golongan remaja dan belia.

"Di Kelantan ini kita menangkap tidak kurang 60 orang sehari (positif pil kuda) sejak hampir dua tahun dan enam bulan lalu. Cuba bayangkan kalau kita tangkap 150 atau 100 orang sebanyak 50 peratus tangkapan positif pil kuda.

"Ini bermakna sehari 60 orang, sebulan 2,000, setahun dah berapa," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian  Karnival Bersatu Menentang Jenayah di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Bandar Baru Tunjung, di sini, semalam.

Jalaluddin berkata, pil kuda mendapat permintaan tinggi di Kelantan, selain Terengganu.
"Di negeri lain di Semenanjung, penagih lebih tertumpu kepada pil ecstasy dan ini menyebabkan pengedar dari negara jiran iaitu Thailand lebih tertumpu kepada penagih di negeri ini selain negeri jiran, Terengganu," katanya.

Jalaluddin berkata, masyarakat terutama ibu bapa perlu melaporkan kepada polis jika anak mereka terbabit dengan penagihan pil kuda sebelum perkara terbabit menjadi semakin parah.

"Penagihan pil itu turut mendorong kepada perlakuan jenayah seperti rogol dan ia turut membabitkan pelajar berusia antara 14 hingga 15 tahun," katanya.

Mudahkah Malaysia bankrap?

OLEH: FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN

Tarikh: December 1, 2013

MEMBACA kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang negara akan bankrap jika cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan menimbulkan banyak persoalan, terutama apabila GST bukanlah satu-satunya sumber pendapatan negara.

Pendekatan mudah (simplistik) digunakan Najib mungkin boleh mencetuskan panik dalam negara, sekali gus memberi kesan lebih buruk kepada ekonomi jika kenyataan beliau tidak difahami secara mendalam oleh rakyat.

Najib berkata, jika Malaysia tidak melaksanakan GST untuk mendapatkan pendapatan tambahan, kerajaan akan terpaksa meminjam lebih banyak wang dari luar sehingga akhirnya tidak mampu membayar hutang.

Menurut Ketua Penyelidikan, Perundingan Kluster Ekonomi dan Kewangan, Majlis Profesor Negara Prof Dr Shazali Abu Mansor, apabila GST dilaksanakan, pendapatan negara mungkin akan meningkat lebih kurang RM20 bilion hingga RM30 bilion.

Adakah RM20 bilion hingga RM30 bilion dapat menyelamatkan negara daripada bankrap, sedangkan perbelanjaan tahunan kerajaan mencecah ratusan bilion ringgit setahun, seperti yang dapat dilihat dalam pembentangan bajet setiap tahun?

Shazali juga berkata pelaksanaan GST tiada kaitan dengan bankrap kerana ia perkara yang berbeza.

Pada pendapat beliau, GST akan lebih memantapkan ekonomi memandangkan cukai itu akan diperoleh secara berterusan jika dibandingkan dengan pendapatan kerajaan yang diperoleh melalui penjualan minyak dan kelapa sawit.


Rasuah penyebab Greece bankrap?

Jika dilihat kes-kes negara yang pernah bankrap sebelum ini, tidak ada yang dikaitkan dengan masalah cukai tetapi masalah utama adalah hutang terlalu tinggi kerana kelemahan pengurusan kewangan.

Contoh paling mudah dan paling terkini adalah Greece, negara yang turut melaksanakan sistem cukai serupa seperti GST atau dikenali cukai nilai tambah (VAT) pada kadar antara 4.5 peratus dan 23 peratus.

Menurut seorang penulis dari fakulti ekonomi di Universiti Glasgow, Scotland, iaitu antara universiti terkemuka dalam bidang ekonomi, masalah utama menyebabkan Greece diisytiharkan bankrap pada 2011 adalah rasuah.

"Wang yang begitu banyak telah disalah guna atau masuk ke poket yang salah. Kos pembangunan infrastruktur dilaporkan tiga, empat malah enam kali lebih mahal berbanding kos sama di negara Eropah lain.

"(Kos ini tinggi) adakah kerana Greece negara yang mahal? Tidak. Tetapi untuk mendapat projek besar, anda perlu memberi bayaran istimewa," menurut penulis itu dalam satu majalah terbitan universiti tersebut.

Pandangan peribadi penulis itu disokong Indeks Persepsi Rasuah 2012 keluaran Transparency International di mana Greece adalah negara paling korup antara 27 negara Kesatuan Eropah.


GST bukan satu-satunya faktor bankrap

Pendapat Shazali bahawa rasuah dan pembaziran perlu dihapuskan seiring dengan pengenalan sistem cukai yang lebih cekap seperti GST membuktikan ada banyak dimensi lain dalam isu ini berbanding hanya mengharapkan GST menjadi penyelamat negara.

Pihak pembangkang mahukan kerajaan menyelesaikan masalah rasuah, pemborosan, pembaziran dan ketirisan yang dianggap sebagai penyebab utama sesebuah negara bankrap.

"Sekiranya isu ini tidak diselesaikan, isu bankrap akan terus menjadi risiko kepada negara dengan pelaksanaan GST ataupun tidak," menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua seperti dilaporkan media.

Jika ditolak keluar politik daripada persamaan matematik ini sekali pun, terbukti pengurusan kewangan yang lemah adalah penyebab utama kemerosotan keyakinan pelabur luar yang boleh membawa kepada bankrapsi.

Buktinya, firma penarafan antarabangsa Fitch Ratings tetap mengekalkan pandangan negatif terhadap Malaysia sementara menunggu pengurusan bajet yang baik selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan GST pada pembentangan Bajet 2014, bulan lalu.

Firma itu mengakui GST adalah perubahan penting yang boleh mengukuhkan taraf kredit Malaysia dengan memperluas perolehan kerajaan dan mengurangkan kebergantungan terhadap hasil petroleum.

"Namun kami akan lihat rekod pelaksanaan untuk mencapai sasaran mengurangkan hutang jadi taraf (Malaysia) kekal negatif," menurut firma itu dalam satu nota, bulan lalu.

 

Pesalah trafik miliki waran tangkap diberi peluang

OLEH:

Tarikh: November 30, 2013

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan menangkap pesalah trafik yang telah dikeluarkan waran tangkap serta mereka yang mempunyai saman tertunggak bagi memberikan mereka peluang menjelaskannya sebelum penguatkuasaan menyeluruh dilakukan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata peluang itu diberikan sebelum Ops Warta dilancarkan tidak lama lagi.

"Tempoh peluang ini kita tidak akan dedahkan. Bila kita telah laksanakan penguatkuasaan menyeluruh nanti, mereka yang ada waran dan saman tertunggak kita akan terus bawa mereka ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen pencegahan jenayah komersial di sini, hari ini.

Mengenai Ops Cantas Khas Sempadan, beliau berkata tumpuan akan diberi kepada pintu masuk sempadan negara bagi mengintip dan bertindak terhadap penyeludupan senjata api.

"Kita juga perlukan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada polis (mengenai penyeludupan senjata api)," katanya mengulas laporan akhbar tempatan hari ini mengenai senjata api yang mudah lolos masuk di sempadan negara. - Bernama

KPN: Wanita Taiwan diculik dalam keadaan selamat

OLEH:

Tarikh: November 30, 2013

KOTA KINABALU - Polis memberi jaminan keselamatan wanita warga Taiwan yang diculik di Pulau Pom-Pom, Semporna pada 15 November lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kes sedang diuruskan oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan Filipina.

"Kami beri jaminan yang mangsa berada dalam keadaan selamat. Kami juga membantu keluarganya tatkala kami berusaha membebaskannya dengan kerjasama pihak berkuasa negara jiran," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam di sini hari ini.

Menurut Khalid, pasukan keselamatan dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sedang mengkaji semula langkah-langkah keselamatan susulan insiden itu yang turut meragut nyawa seorang lagi pelancong warga Taiwan.

Beliau berkata, polis juga meningkatkan aktiviti kepolisian komuniti di pulau-pulau dan telah meminta pengusaha resort di pulau-pulau memberikan kerjasama penuh kepada anggota keselamatan.

Dalam kejadian pukul 1 pagi 15 November lepas, pelancong lelaki warga Taiwan berusia 57 tahun ditemui mati dengan kesan tembakan pada badan, sementara rakan wanitanya yang berusia 58 tahun diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata. - Bernama

Balu wira Lahad Datu terima ijazah suami

OLEH:

Tarikh: November 30, 2013

SINTOK - Balu kepada Allahyarham Asisten Supritenden Zulkifli Mamat tidak menyangka kata-kata suaminya sebelum ini supaya beliau yang pergi mengambil ijazah bagi pihak dirinya, betul-betul menjadi kenyataan.
    
"Beliau pernah berkata ayang (sayang) dengan mak (mertua) sajalah yang pergi ambil ijazah. Tak sangka pula kata-kata arwah itu menjadi kenyataan," kata Nor Aziah Noor yang hari ini menerima ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) bagi pihak suaminya pada majlis konvokesyen ke-26 Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.
    
Allahyarham Zulkifli, 29, terkorban ketika mempertahankan negara daripada ancaman pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah pada Mac lalu.
    
Nor Aziah, 28, yang mengajar di Sekolah Menengah Syed Putra, Kangar ditemui selepas menerima ijazah itu daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Canselor UUM.
    
Seramai 7,445 orang graduan termasuk 420 graduan antarabangsa dari 22 buah negara menerima ijazah masing-masing pada istiadat konvokesyen UUM kali ini yang akan berakhir Selasa ini.
    
Nor Aziah datang ke UUM dengan ditemani kakak iparnya Aishah Mamat, 32, beserta ketiga-tiga anak lelakinya yang berumur antara 54 hari hingga lima tahun.
    
Semasa menyampaikan ijazah tersebut kepada Nor Aziah, Sultan Abdul Halim turut menyerahkan pemulangan yuran pengajian Allahyarham Zulkifli yang bernilai RM13,000 serta sumbangan daripada kakitangan UUM bernilai RM20,739.
    
Nor Aziah berkata Seri Paduka Baginda secara peibadi turut mengucapkan takziah kepadanya di samping bertanyakan tentang dirinya dan anak-anaknya.
    
"Tuanku berharap saya lebih tabah menghadapi ujian Allah dengan kejadian yang menimpa saya. Baginda turut memberi kata-kata perangsang dan semangat. Saya amat terharu dengan keprihatinan baginda," katanya.
    
Beliau berkata beliau akan menyimpan ijazah tersebut untuk tatapan anak-anaknya supaya apabila besar kelak, mereka turut berazam kuat untuk menimba ilmu.
    
Mengenai pengajian yang diikuti Allahyarham suaminya itu, beliau berkata "cita-cita suami saya mahu menyambung pengajian secara jarak jauh setelah menangguhkannya pada 2006 untuk menyertai pasukan polis, tercapai apabila berjaya menamatkan pengajiannya pada 15 Februari lepas".
    
Nor Aziah juga berkahwin dengan Zulkifli pada 2007 setelah berkenalan semasa mereka sama-sama belajar di UUM pada 2004.- Bernama

Loke kena bayar RM70,000

OLEH: SYAMILAH ZULKIFLI

Tarikh: November 30, 2013

SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak dengan kos saman fitnah RM5 juta oleh Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke terhadap dua pemimpin MCA negeri atas dakwaan fitnah, Februari tahun lalu.

Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof memerintahkan Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban membayar RM35,000 kepada kedua-dua defendan iaitu Setiausaha MCA negeri, Datuk Lim Fui Ming dan Timbalannya, Jason Lee Kee Chong.

Terdahulu, Loke selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan kerana didakwa memfitnah beliau dalam satu artikel yang disiarkan dalam akhbar Guang Ming pada 24 Februari tahun lalu.

Beliau mendakwa kedua-dua defendan memfitnah dirinya dengan menuduh plaintif tidak berhati perut dan mementingkan diri sendiri kerana tidak membantu abangnya yang dibebani hutang.

Berikutan itu, Loke menuntut RM3 juta sebagai ganti rugi am, RM2 juta untuk ganti rugi teladan dan satu perintah menghalang defendan mengulangi dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, Zabariah berkata, walaupun kandungan artikel berkenaan adalah fitnah kepada Loke, namun plaintif gagal membuktikan bahawa kenyataan tersebut telah dibuat kedua-dua defendan.

Mahkamah juga menolak dakwaan plaintif yang mendakwa defendan berkomplot untuk memfitnahnya, sedangkan mereka tidak mempunyai pengetahuan berhubung artikel berkenaan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan Loke membayar kos keseluruhan sebanyak RM70,000  kepada kedua-dua defendan.

Geng curi dalam hotel diberkas

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 30, 2013

KUALA LUMPUR - Taktik licik sekumpulan penjenayah tempatan memecah serta mencuri barang dalam bilik hotel di sekitar ibu negara terbongkar, selepas polis menahan empat suspek termasuk dua wanita dalam dua serbuan berasingan Isnin lalu.

Kumpulan penjenayah ini menggunakan modus operandi dengan memujuk mana-mana individu yang baru dikenali untuk membuat tempahan bilik hotel dengan menggunakan kad pengenalan atau kad kredit mereka.

Selepas tempahan dibuat, suspek akan mencuri barang-barang elektrik yang berharga seperti televisyen, kabel televisyen, pengering rambut, lampu suluh dan lampu meja.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, keempat-empat ahli kumpulan tersebut ditahan selepas polis menerima aduan daripada seorang pengurus hotel mendakwa bilik di premis perniagaannya dipecah serta kehilangan beberapa barangan elektrik dalam bilik itu bernilai kira-kira RM10,000.

Katanya, siasatan dijalankan berjaya menahan dua suspek, masing-masing seorang lelaki dan wanita dalam sebuah bilik hotel terbabit kira-kira jam 2.45 petang hari yang sama.

"Kita kemudian menyerbu sebuah rumah di Jinjang Baru dan menahan dua lagi suspek, masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an.

"Dua daripada mereka dikesan mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Kes bunuh ustaz: 13 lagi ditahan

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 30, 2013

SHAH ALAM - 13 lagi pengikut Ajaran Harun ditahan petang semalam yang disifatkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai kejayaan merungkai kes bunuh Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Raffli Abd Malek 10 November lalu.

Dalam twitternya malam tadi, Khalid mengucapkan syabas kepada Team Cantas Bukit Aman kerana berjaya merungkai kes bunuh pegawai penguatkuasa jabatan agama itu selain memaklumkan kejayaan polis menahan kesemua individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes itu.

Sebelum ini, ketua ajaran itu, Harun Mat Saad, 47, seorang daripada isterinya dan pemandu mereka ditahan di Tangkak, Johor.

"Tangkap 13 orang dan pistol dirampas. Angkara kumpulan Ajaran Harun@PDRMsia," demikian tulis Khalid dalam akaun twitternya.

Dalam tweet susulan, Khalid sekali lagi mengucapkan tahniah kepada pasukan berkenaan dengan kenyataan, "kejayaan membanggakan oleh STAFOC (Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang), PDRM. Tahniah sekali lagi."

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa antara 13 yang ditahan, dua adalah wanita daripada kumpulan ajaran sesat Harun.

Difahamkan, senjata api yang dijumpai bersama kumpulan itu adalah bukti utama kes pembunuhan Ahmad Raffli.

Pada 10 November lalu, Ahmad Raffli maut ditembak oleh seorang lelaki di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, dekat Kuantan, Pahang jam 1.55 petang menyebabkan mangsa yang berumur 49 tahun mati di tempat kejadian akibat terkena dua das tembakan di bahagian dada.

Difahamkan, semua suspek yang berusia antara 24 hingga 49 tahun di tahan di empat lokasi berlainan sekitar ibu negara yang menjadi tempat persembunyian mereka.

Isma dakwa Syiah di IPT membimbangkan

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 30, 2013

BANGI - Penyebaran  ajaran Syiah dalam kalangan penuntut universiti tempatan kini berada di tahap membimbangkan.

Ketua Unit Kajian Isu Syiah Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Mohamad Ismail berkata, siasatan mendapati fahaman itu disebarkan oleh pelajar dari Iran yang kini berjumlah sekitar 17,000 orang.

"Sebilangan daripada mereka masuk belajar di negara ini dengan muslihat untuk menyebarkan ajaran Syiah. Ini termasuk menggunakan sijil kelayakan palsu," katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Ancaman Serangan Akidah - Bahaya Syiah & Liberalisme anjuran Isma Daerah Hulu Langat.

Mohamad berkata, sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas membendung gejala ini yang boleh mencetuskan pelbagai masalah sosial termasuk pertembungan akidah pada masa akan datang.

"Isu Syiah adalah isu serius, boleh memecahbelahkan masyarakat yang berpunca daripada pertentangan akidah," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa terutama supaya berhati-hati apabila dimaklumkan ada tawaran untuk pelajar negara ini melanjutkan pengajian ke negara Syiah itu dengan pelbagai bantuan dan kemudahan.

"(Ibu-bapa) kena ambil tahu juga pasal Syiah ini.Jangan asal ingat negara Islam, kita fikir semua sama dengan kita. Pada 2011, saya pernah dipanggil untuk berceramah kepada pelajar sebuah IPTA yang akan menyambung pengajian ke Iran.

"Apabila saya tanya mengapa Iran, mereka beritahu rupa-rupanya ada bantuan ditawarkan kerajaan negara itu untuk pelajar Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, semua individu Islam perlu bersedia dengan maklumat yang tepat dan mencukupi mengenai Syiah serta memberi pendedahan mengenai ajaran itu kepada anak-anak supaya mereka tidak mudah dipengaruhi.

Penjenayah ditembak mati, rakan cedera

OLEH:

Tarikh: December 1, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang perompak terbunuh manakala seorang rakannya cedera ditembak polis dalam kejadian rompakan di sebuah rumah di Jalan Persiaran Syed Putra, Brickfields di sini, awal hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata dalam kejadian 4.30 pagi di kediaman seorang pengurus syarikat swasta berusia 60 tahun itu, seorang daripada tiga penjenayah tersebut, berjaya meloloskan diri.

Menurut Khairi, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu, memecah masuk rumah berkenaan ketika mangsa, isteri dan anak perempuannya berada di tingkat bawah manakala seorang anak lelaki pasangan itu berada di tingkat atas kediaman berkenaan.

"Kehadiran remaja lelaki berusia 20 tahun itu tidak disedari kumpulan penjenayah terbabit dan beliau mengambil kesempatan menghubungi polis. Empat anggota polis peronda yang  kebetulan melalui kawasan berkenaan, tiba tidak lama kemudian sebelum memerhati gerak-geri suspek," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Khairi berkata seorang daripada suspek bertindak mengacukan pistol ke arah seorang mangsa ketika membawanya ke luar rumah bagi membuka pagar automatik untuk melarikan diri, sebelum kumpulan penjenayah itu menyedari kehadiran polis dan melepaskan tembakan.

Polis membalas tembakan sebelum dua daripada tiga penjenayah itu rebah manakala seorang lagi meloloskan diri dengan sejumlah wang tunai dan barang kemas milik keluarga itu.

"Penjenayah berusia 20 tahun itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala rakannya yang berusia 33 tahun yang cedera di dada dilaporkan kritikal," katanya.

Menurutnya, suspek yang cedera memiliki tujuh rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah, mencuri dan pecah rumah dan polis sedang memburu rakan penjenayah yang melarikan diri itu.    

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya mengucapkan tahniah kepada anggota polis terbabit atas kejayaan mereka memerangi jenayah. - Bernama

Janda 13 tahun dinasihat lapor polis

OLEH: NINA FARZUIN MD SHAROM

Tarikh: November 30, 2013

SHAH ALAM –  Janda berusia 13 tahun, yang dicerai talak tiga 11 November lalu dinasihat membuat laporan polis berhubung dakwaan dirinya dianiaya dalam perkahwinan.

Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, berdasarkan laporan media termasuk dakwaan remaja itu dirogol empat bulan sebelum perkahwinannya tahun lalu, ada kemungkinan berlaku penganiayaan dan dia berhak mendapat pembelaan.

"Kami melihat kes ini sebagai satu diskriminasi hak kemanusiaan di mana daripada cerita dilaporkan media, ada pihak mengambil kesempatan atas sikap tolak ansur pihak perempuan yang pada awalnya sanggup menggugurkan laporan dakwaan rogol sebelum dia dikahwinkan bertujuan untuk menutup aib.

"Namun setelah hampir setahun berkahwin, remaja perempuan itu dikatakan tidak mendapat layanan sewajarnya," katanya.

Menurutnya, jika laporan itu benar, pembelaan seharusnya diberikan.

"Kalau benar perkara ini berlaku, kami anggap ia sebagai tragedi kepada remaja perempuan tersebut dan dia perlu diberi pembelaan apatah lagi melibatkan kes rogol secara berkumpulan," katanya.

Dalam pada itu, SukaGuam turut menawarkan khidmat sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kes ini.

"Walaupun ia dianggap sebagai satu perkara serius, namun tidak wajar perkara ini diperbalahkan secara terbuka kerana ia mengaibkan tambahan pula ia melibatkan keluarga Islam," katanya.

Kurang seminggu sebelum sempat menyambut ulang tahun pertama perkahwinan pasangan tersebut disahkan bercerai talak tiga pada 11 November lalu di Mahkamah Syariah Kulim.

Akhbar The Star dalam laporan eksklusifnya semalam menyiarkan kenyataan bapa remaja perempuan tersebut mendakwa anaknya itu telah membuat laporan polis pada 15 Julai 2012 mengadu dia telah dirogol oleh tiga lelaki.

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment