Polis Thai guna meriam air, gas pemedih mata
OLEH:
Tarikh: December 1, 2013
BANGKOK - THAILAND. Percubaan beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan untuk menguasai Rumah Kerajaan di sini setakat ini berjaya dihalang polis melalui penggunaan meriam air dan gas pemedih mata.
Pada 1 tengah hari (waktu tempatan) atau kira-kira dua jam selepas percubaan pertama, para penunjuk perasaan masih cuba menghampiri Rumah Kerajaan, tetapi polis berjaya menggagalkan percubaan mereka untuk memasuki premis pejabat Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.
Kali ini, polis kelihatan begitu bersungguh-sungguh menghalang para penunjuk perasaan, berbanding beberapa hari lepas apabila mereka tidak campurtangan untuk menghalang kumpulan itu daripada menguasai kementerian dan agensi kerajaan.
Pada kira-kira 11.50 pagi, para penunjuk perasaan cuba membuang halangan di hadapan Rumah Kerajaan, tetapi sekurang-kurangnya dua tabung gas pemedih mata dilemparkan ke arah mereka.
Usaha penunjuk perasaan menguasai Rumah Kerajaan dijangka meningkatkan ketegangan dan meletakkan pasukan keselamatan dalam keadaan lebih tertekan.
Malam tadi, seorang terbunuh akibat tembakan selepas beratus-ratus orang menyerang bas dan teksi bagi menghalang mereka yang ingin menyertai Baju Merah, kumpulan penyokong kerajaan, berhimpun di Stadium Ratchmangala di sini.
Setakat ini, tiada laporan tentang sebarang rakyat Malaysia terperangkap dalam keadaan itu kerana kedutaan Malaysia di sini terlebih awal menasihati mereka menjauhi tempat tunjuk perasaan. - Bernama
Pasukan tentera ditempatkan di Bangkok
OLEH:
Tarikh: December 1, 2013
BANGKOK, THAILAND. Pasukan tentera telah ditempatkan di ibu negara Thailand, Bangkok bagi menyokong pihak polis melindungi bangunan-bangunan rasmi daripada penunjuk perasaan anti kerajaan, lapor BBC.
Menurut saksi, gas pemedih mata telah dilepaskan apabila penunjuk perasaan merempuh sekatan di luar Rumah Kerajaan.
Aktivis mengancam untuk memasuki bangunan kerajaan termasuk ibu pejabat Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra.
Hari ini merupakan hari kelapan protes berlaku yang bertujuan mengguling Yingluck.
Terbaru, dua orang dilaporkan terbunuh dan berpuluh orang cedera dalam pertempuran antara anti kerajaan dengan pro-kerajaan, semalam.
Sebelum ini, hanya seorang dilaporkan terbunuh dan tiga cedera.
Wakil BBC di Bangkok, Jonah Fisher berkata, aktivis anti-kerajaan telah memasuki beberapa stesen TV dan sedang berunding untuk mengambil alih 'programming'.
Menurutnya, situasi itu lebih ke arah cubaan rampasan kuasa.
Bangkok Post melaporkan, kumpulan penunjuk perasaan anti-kerajaan itu telah mengambil alih stesen TV Thai, PBS.
Mereka telah mengarahkan PBS untuk menyiarkan ucapan yang dibuat pemimpin protes, kata laporan itu.
Yingluck pula berkata kerajaan akan menggunakan pasukan yang paling minimum untuk mengawal protes tersebut.
Awal hari ini, penyokong pro-kerajaan memakai Baju Merah berkata mereka menamatkan himpunan di stadium Bangkok untuk memberi laluan kepada pasukan keselamatan mengawal demonstrasi pihak lawan.
Penunjuk perasaan runtuh penghadang rumah kerajaan
OLEH:
Tarikh: December 1, 2013
BANGKOK - THAILAND. Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di hadapan pintu pagar utama Rumah Kerajaan pagi ini dalam usaha mereka menduduki pejabat Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.
Pada kira-kira 11.50 pagi, mereka mula meruntuhkan penghadang di hadapan Rumah Kerajaan dan sekurang-kurangnya dua tabung gas pemedih mata dilempar ke arah penunjuk perasaan oleh pasukan keselamatan.
Tindakan kumpulan itu untuk menduduki Rumah Kerajaan dijangka menimbulkan ketegangan dan meletakkan pasukan keselamatan dalam keadaan lebih tertekan.
Malam tadi, seorang terbunuh selepas cedera akibat tembakan apabila beratus-ratus orang menyerang bas dan teksi untuk menghalang mereka yang ingin menyertai Baju Merah, kumpulan yang menyokong kerajaan, berkumpul di Stadium Ratchmangala di sini. - Bernama
Krisis Thailand: Seorang terbunuh, 3 cedera
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: December 1, 2013
BANGKOK, THAILAND. Seorang terbunuh manakala tiga lagi cedera selepas ditembak ketika berlaku pertempuran berlaku antara penunjuk perasaan di ibu negara Thailand, Bangkok.
Orang ramai menuju ke himpunan pro-kerajaan diserang oleh pelajar dan kemudiannya tembakan dilepaskan.
Semalam merupakan hari ketujuh protes yang bertujuan untuk mengguling Perdana Menterinya, Yingluck Shinawatra.
Penunjuk perasaan mendakwa, kerajaan itu dikawal abang Yingluck yang merupakan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
Semalam, demonstrasi aman bertukar ganas di luar stadium di mana penyokong pro-kerajaan berhimpun.
Sekumpulan pelajar menyerang kenderaan yang membawa penyokong kerajaan ke stadium di mana tingkap dipecahkan dan beberapa kecederaan ringan dilaporkan.
Kemudian, tembakan dilepaskan namun tidak jelas dilepaskan oleh siapa.
Polis dihantar ke kawasan itu dan jalan-jalan ditutup tetapi pertempuran antara kedua-dua pihak berterusan untuk beberapa jam.
Pihak polis telah meminta bantuan tentera untuk mengawal keselamatan di bandar.
PBB edar bahan api di Gaza
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: December 1, 2013
GENTING GAZA - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mula mengedarkan bekalan bahan api ke Genting Gaza selepas wilayah itu dilanda krisis terburuk akibat kekurangan bekalan bahan bakar tersebut sejak beberapa bulan lalu.
Kelmarin, Penyelaras Agensi Bantuan Pekerjaan bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Robert Serry berkata, bantuan tersebut diharap dapat menampung permintaan dan keperluan penduduk bagi tempoh tiga bulan akan datang.
Difahamkan, krisis bekalan bahan api tersebut semakin meruncing selepas stesen jana kuasa elektrik terpaksa menghentikan operasi sejak 1 November lalu.
Keadaan itu telah menyebabkan penduduk di Gaza terpaksa berhadapan masalah bekalan elektrik terputus sehingga 16 jam pada setiap hari, sekali gus menjejaskan urusan harian mereka, dipetik dari laporan Press TV.
Kristianisasi, ancaman baru Muslim Syria
OLEH: MUHAMAD MAT YAKIM
Tarikh: December 1, 2013
APALAH sangat yang diketahui oleh Khalid, 6, mengenai pergolakan yang sedang berlaku di negaranya, Syria. Sebahagian daripada usia kecilnya sudah dihabiskan sebagai pelarian yang hidup dalam seribu satu kepayahan.
Janganlah ditanya kepada Khalid atau sesiapa pun, bila semua itu akan berakhir. Setakat ini belum ada tanda ia akan reda malah mungkin akan lebih buruk jika senjata biologi digunakan lagi, atau apabila negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Rusia menjadikan sebahagian daripada bumi Syam itu sebagai medan beradu kekuatan.
Ya, itu cerita mengenai kekejaman dan kemusnahan yang sedang berlaku di tanah air Khalid. Di sebalik semua itu, ada yang lebih membimbangkan sebenarnya - Kristianisasi.
Gerakan Kristianisasi di kawasan pelarian Syria di Jordan kini sangat aktif, terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Tidak kiralah sama ada mereka anak mujahidin atau sesiapa sahaja, ketika ayah mereka sedang berperang menentang kekejaman tentera Bashar al- Assad, tanpa mereka sedar, akidah anak-anak mereka yang ditinggalkan di khemah pelarian, juga sedang diserang dengan taktik yang sangat licik.
Itulah yang berlaku kepada Khalid, anak seorang mujahidin Tentera Pembebasan Syria (FSA) yang berasal dari Homs, Syria dan kini ditempatkan di kem pelarian di pinggir bandar Mafraq, Jordan. Untuk menyalahkan kumpulan gerakan misioner semata-mata, rasanya agak kurang adil serta kurang bijak.
Ini kerana mereka menjalankan kerja sukarela, memberi bantuan apa yang amat diperlukan oleh pelarian dan sebagai gerakan bukan Islam, mereka menggunakan gereja sebagai pusat kebajikan mereka.
Masalahnya, pada masa yang sama, mereka turut menerapkan ajaran agama mereka kepada anak-anak Islam yang masih 'putih' ini. Itulah yang berlaku kepada Khalid.
Dalam catatan Facebooknya yang bertarikh 9 September 2013, seorang pelajar Malaysia dari Universiti Al Bayt, Mafraq, Ahmad Musa Al Nuwayri Kamaruzaman menceritakan mengenai Khalid yang ditemui ketika Musa bersama rakan-rakannya dari kumpulan sukarelawan 'Tangisan Syria Di Bumi Jordan' berhenti rehat di rumah keluarga kanak-kanak itu di pinggir Mafraq.
Menurut Musa, kehidupan keluarga itu memang sangat daif - rumah dipenuhi tilam-tilam lama, kipas dan dapur yang sepi tanpa peti sejuk!
Ayah Khalid, katanya sedang berjihad menentang tentera Bashar di tanah air mereka. Amat membimbangkan Musa apabila ibu Khalid memberitahu, anaknya terpaksa belajar di gereja berdekatan rumah mereka.
Ini kerana ibunya tidak mempunyai pilihan untuk menyekolahkan kanak-kanak itu berikutan sekolah percuma untuk anak-anak Syria yang disediakan di Jordan sudah penuh.
"Ya ALLAH! Jagalah akidah hambamu ini. Jadikan beliau permata yang akan membela agamamu kelak," demikian doa Musa dalam catatannya.
Tidak lama selepas kunjungan pertama, apa yang paling dibimbang oleh Musa akhirnya benar-benar berlaku!
Dalam catatan bertarikh 28 Oktober, ketika mengunjungi semula rumah keluarga Khalid untuk menyampaikan bantuan makanan dan peti sejuk, Musa dikejutkan dengan makluman oleh ibu Khalid bahawa anaknya itu sedang cuba dikristiankan.
"Berita yang menggetarkan jiwa-jiwa yang punya rasa dan cakna. Kata ibunya (Khalid), suatu hari, tatkala loceng gereja dibunyikan, Khalid secara automatik menggerakkan tangannya ke dahi dan bahu membentuk lambang salib!"
"Apabila ditanya mengapa (dia berbuat demikian), Khalid mengatakan, itu adalah apa yang dipelajarinya di gereja. ALLAHUAKBAR! Lihatlah bagaimana anak-anak Muslim yang jadi pelarian cuba dikristiankan secara halus. Tahukah kita, ada ribuan lagi kanak-kanak Syria yang seakan kisahnya dengan Khalid?
"Mengapa anak-anak ini bersekolah di gereja? Kerana sekolah milik orang Islam meminta yuran sebanyak RM2,000 setahun untuk anak-anak Syria yang ingin bersekolah.
Di mana wang sebanyak ini boleh dicari? Sedangkan untuk makan sahaja, mereka perlu mengais di waktu pagi. Di gereja, semuanya adalah percuma termasuk makan dan minum setiap hari!"
"Dan adakah Kristian yang akan ditanya di akhirat kelak? Tidak. Kita yang akan ditanya. Orang Islam yang akan ditanya, apa yang kau lakukan untuk membantu saudaramu yang ditindas? Sehingga mereka terpaksa menagih bantuan dari agama-agama lain. Semoga setiap dari kita sudah sedia dengan jawapan di hadapan tuhan."
Khalid akhirnya diberhentikan dari sekolah gereja itu atas inisiatif kumpulan sukarelawan Tangisan Syria Di Bumi Jordan, Khalid kemudian dibawa menyertai bengkel al-Quran yang dianjurkan kumpulan itu hasil sumbangan wang orang ramai termasuk dari Malaysia.
Menurut Musa, pihaknya juga sudah berbincang dengan Yayasan Khalid Ibn Walid untuk menganjurkan kelas yang akan mengajar tiga mata pelajaran iaitu Matematik, Bahasa Arab dan al-Quran.
"Kami akan memindahkan kesemua murid tersebut ke kelas ini yang akan diadakan secara percuma secara berperingkat."
"Kita sebagai umat Islam juga sebenarnya mampu memberi pendidikan percuma kepada anak-anak pelarian Syria ini. Anak-anak ini tidak perlu ke gereja sehingga perlu menggadai akidah untuk mendapatkan ilmu!"
Khalid sudah diselamatkan, bagaimana nasib kanak-kanak yang lain?
Untuk membaca mengenai Khalid, klik http://bit.ly/KhalidYgDpggir dan mengenai Tangisan Syria Di Bumi Jordan di https://www.facebook.com/TangisanSyriaDiBumiJordan
Bandar terapung
OLEH:
Tarikh: December 1, 2013
PERNAHKAH anda terfikir untuk mengembara di atas bandar terapung seperti yang sering dipaparkan menerusi filem sains fiksyen.
Jika anda mahu satu kelainan, Freedom Ship adalah 'pengangkutan' sesuai untuk mereka yang suka dengan pengembaraan santai.
Pengarah dan Timbalan Presiden Freedom Ship International berpusat di Florida, Roger M Gooch berkata, bandar terapung tersebut akan menjadi kapal terbesar pertama dibina di dunia.
"Ia akan dilengkapi lebih 50,000 unit bilik dan pelbagai kemudahan seperti hospital, sekolah serta pusat beli-belah. Selain itu, sebuah lapangan terbang juga akan dibina untuk melengkapkan infrastruktur Freedom Ship," jelasnya.
Menurutnya lagi, syarikat beliau kini sedang berusaha untuk mengumpulkan dana berjumlah 6 bilion pound (RM32 bilion) untuk merealisasikan bandar terapung tersebut.
Difahamkan, Freedom Ship yang berukuran empat kali ganda lebih besar daripada kapal persiaran mewah Queen Mary II tersebut akan digerakkan menggunakan panel solar dan tenaga angin.
Ia akan berlayar dari pantai timur Amerika Syarikat merentasi Lautan Atlantik menuju ke Eropah dan Asia, dipetik dari laporan DailyMail.
Wanita Malaysia tegaskan tuduhan murtad fitnah
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 30, 2013
NEW YORK – Seorang wanita Islam Malaysia menyifatkan dakwaan beliau menganut Kristian seperti terkandung dalam sebuah artikel yang tersebar luas di laman sosial sebagai fitnah.
Adila Hussin McGhee, 43, berkata: "Saya masih seorang Islam. Saya masih percaya ALLAH Tuhan yang Esa dan Nabi Muhammad SAW.
"Saya tahu apa yang baik dan buruk dalam ajaran agama. Jangan percaya fitnah orang," katanya.
Berita mengenai wanita lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari Ipoh ini, heboh dikatakan dalam internet gara-gara artikel diterbitkan oleh sebuah badan sukarela wanita yang berkait dengan kerja amal gereja di Amerika Syarikat.
Artikel itu menyebut beliau sedia berkongsi 'cerita dari hati' bagaimana beliau menganut agama Kristian semasa berada di Malaysia lagi selepas perkahwinan pertamanya gagal.
Adila, yang suka melakukan kerja amal di daerah tempat tinggalnya itu, berpindah ke Virgina selepas berkahwin untuk kali kedua dengan seorang warga Amerika, dan kini tinggal di sebuah pekan kecil di daerah Richmond.
Semasa dihubungi dari New York, bekas pelajar Kolej Islam Klang (KIK) Selangor itu menyangkal dakwaan beliau sudah murtad.
"Saya amat sedih sekali kerana nama saya diaibkan dan ini satu pembohongan tentang diri saya. Saya langsung tidak pernah bertemu atau ditemu ramah oleh penulis artikel itu.
"Semasa saya memberi penerangan mengenai Malaysia, hanya kumpulan wanita yang hadir," kata Adila yang kini menjadi tenaga pengajar Bahasa Melayu di Diplomat Pusat Bahasa di Washington DC.
Adila dicap murtad oleh segelintir rakyat Malaysia yang termakan dengan kandungan artikel berkenaan.
Adila dan suaminya F McGhee, sudah menghubungi pengurusan gereja yang menjemputnya memberi ceramah mengenai Malaysia itu, untuk berbincang tentang penulisan artikel berkenaan dan mahu pihak pengurusan berbuat sesuatu untuk membersihkan namanya.
Adila juga mendakwa gambar-gambar di laman Facebook termasuk gambar semasa beliau belajar di KIK turut dimuat turun dan disebarkan di laman sosial lain.
Katanya beliau juga diganggu dengan pelbagai tohmahan menerusi e-mel, teks dan panggilan telefon.
"Saya kesal kerana nama kawan saya semasa di KIK turut dikaitkan, sedangkan mereka tidak tahu apa-apa," ujar Adila. - Bernama
Nahas Porsche: Paul Walker penumpang
OLEH:
Tarikh: December 1, 2013
PELAKON Fast & Furious, Paul Walker yang meninggal dalam nahas kereta semalam disahkan bukan pemandu Porsche Carrera GT yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Perkara itu disahkan wakil Paul dalam satu kenyataan, lapor TMZ.
"Dia (Paul) adalah penumpang di dalam kereta milik kawannya itu di mana kedua-duanya meninggal dunia.
"Saksi di tempat kejadian menyangka kenderaan itu milik Paul namun telah disahkan ia bukan milik Paul," katanya.
Tambahnya, "Paul menghadiri majlis amal untuk organisasinya, Reach Out Worldwide".
Tengah hari semalam, kemalangan melibatkan satu kenderaan itu berlaku di Selatan California.
Pemandu hilang kawalan dan melanggar pokok kemudiannya kereta itu terbakar.
Punca utama kemalangan masih belum jelas namun pihak polis tidak menolak kelajuan menjadi punca utama.
Menurut rakaman video yang disiarkan TMZ, rakan-rakan dan pekerja-pekerja Paul cuba menyelamatkannya daripada terperangkap dalam kebakaran kereta tersebut namun gagal.
Paul turut disahkan berada di tempat duduk penumpang dan ketika mereka tiba di tempat kejadian, Paul berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Paul berusia 40 tahun dan meninggalkan anak perempuan berusia 15 tahun, Meadow.
Pelakon Fast & Furious maut dalam nahas
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: December 1, 2013
PELAKON utama filem Fast & Furious, Paul Walker dilaporkan terbunuh dalam satu kemalangan tengah hari semalam di Selatan California, lapor TMZ.
Kemalangan berlaku di Santa Clarita, apabila Porsche dinaiki Paul dan seorang lagi individu terbabas lalu melanggar pokok.
Kereta berkenaan terbakar dan meletup.
Pihak berkuasa masih menyiasat kemalangan itu tetapi TMZ melaporkan kedua-duanya terbunuh.
Ia masih belum jelas siapa yang memandu ketika itu.
Pihak berkuasa memberitahu stesen TV CBS 2 di Los Angeles bahawa kemalangan itu berlaku pada jam 3.30 petang namun identiti mangsa tidak didedahkan lagi.
Menurut sumber, Paul berada di Santa Clarita untuk majlis amal pertunjukan kereta bagi menyokong mangsa bencana alam di Filipina.
Paul membawa kawannya menaiki Porsche GT barunya dan kemalangan berlaku semasa salah satu pusingan ujian tersebut.
Ayah meninggal Misha tangguh nikah lagi
OLEH: MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
Tarikh: December 1, 2013
SHAH ALAM - Pemergian ayah tercinta, membuatkan Penyanyi Misha Omar ,31, sekali lagi terpaksa menangguhkan perkahwinannya.
Misha sebelum ini pernah menangguhkan perkahwinan pada September tahun lalu dan merancang berkahwin pada Februari tahun hadapan, namun hasrat itu terpaksa dilupakan buat seketika.
"Kami perlu masa, kehilangan adalah menyakitkan apatah lagi orang yang penting," kata Misha Omar memetik laporan Metro.
Bapa Misha, Omar Ismail,75, meninggal dunia akibat penyakit jantung dan kegagalan organ utama berfungsi pada jam 5.30 pagi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Jenazah Omar dikebumikan di Tanah Perkuburan Pantai Irama, Bachok berhampiran pusara arwah ibunya.
Sementara itu, Jumaat lalu, pelawak Shamshul Ghau Ghau juga turut kehilangan orang tercinta apabila ibunya meninggal dunia pada pukul 12:30 malam (sabtu).
Jenazah ibu Shamsul telah dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Kubu Gajah, Selama, Perak.
"Arwah sudah lama mengalami sakit tua tapi sejak dua minggu kebelakangan ini sahaja sakit dia agak teruk."
"Arwah tidak mahu makan sehingga malam tadi menghembuskan nafas terakhir di rumah kakak saya di Tanjung Malim, Perak," ujar Shamsul yang mengatakan beliau dan adik-beradik yang lain menerima pemergian tersebut dengan hati yang tenang.
Cinta tak direstui?
OLEH: AKMALIAH RAZAK
Tarikh: December 1, 2013
"SEMUA itu hanyalah salah faham. Ibu bapa saya tidak pernah melarang cinta saya!," tegas bintang Juvana mengenai hubungannya bersama pelakon kontroversi, Lana Nordin.
Menurut Johan, kata-kata yang dimuat naik bersama gambar oleh ibunya, Datin Firdaus Abdul Kadir, yang berbunyi, 'A sad face under the shades', itu tiada kena mengena dengan hubungan cintanya.
"Sebenarnya, kata-kata ibu itu adalah luahan hatinya mengenai kematian keluarga saya di Melaka.
"Ianya tidak ada kena mengena dengan hubungan kami. Lana juga ada bertanya mengenai perkara itu, adakah ia ditujukan kepadanya, namun ia tidak sama sekali.
"Kata-kata ibu saya telah dimanipulasikan dan ianya hanya kebetulan sahaja. Malah, bukan sahaja ibu, ayah saya juga tidak melarang hubungan ini," katanya yang mengakui tampil berterus terang kepada kedua ibu bapanya mengenai perkara itu.
"Ia adalah perkara normal di mana saya meluahkan rasa hati saya kepada wanita yang saya inginkan, dan dia adalah Lana.
"Ayah saya juga turut menasihati saya supaya 'kenal-kenal' terlebih dahulu sebelum ke fasa yang lebih serius.
"Jadi, kami memilih untuk berkawan dan saling mengenali antara satu sama lain terlebih dahulu. Sekiranya kami bertunang dalam tempoh terdekat, ia juga boleh diklasifikasikan sebagai proses pengenalan, sehinggalah kami berkahwin," katanya ketika ditemui di majlis berprestij, Anugerah Skrin (ASK) 2013, Jumaat lalu.
Tetap sayang Shila
Menurut Johan, selain ibu bapanya, dia turut memaklumkan mengenai perkara itu kepada ibu, Shila Amzah.
Katanya, dia berbuat demikian kerana menghormati ibu Shila yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri.
"Saya memang ada hubungi ibu Shila dan dia merestui pilihan saya. Pun begitu, saya tidak menghubungi Shila kerana dia sudah 'block' saya. Saya pun tak tahu kenapa.
"Walau apa pun yang berlaku, saya tetap anggap Shila seperti adik saya sendiri. Untuk pengetahuan semua, saya dan Shila tidak pernah bercinta dan kami kenal menerusi hubungan persahabatan ibu saya dan ibunya.
"Bagi saya, Shila masih muda dan sedang melalui fasa-fasa kematangan dan mengenali kehidupan. Dalam masa dua tiga tahun ini, dia perlu buktikan sesuatu kepada ibu bapanya dalam bidang kerjaya," katanya yang mengakui akan tetap menyayangi Shila.
"Saya sayang dia sampai bila-bila. Soal jodoh, kita sendiri tidak tahu. Saya harapkan Shila dapat jodoh yang baik," katanya lagi.
Ubah penampilan demi Johan?
Tampil di ASK 2013, bersama kekasihnya dengan penampilan yang cukup berbeza, Lana mengakui dia kini cuba untuk memperbaiki gaya berpakaian.
Jika sebelum ini, Lana lebih selesa dengan imej seksi dan sendat, kali ini Lana tampil dengan 'dress' labuh berlengan, menunjukkan perbezaan ketara buat diri pelakon filem, Chow Kit, ini.
"Perkara pertama yang saya akan ubah adalah dari segi penampilan. Jika dahulu, saya sering tampil dengan imej seksi, saya akan mengubahkan secara berperingkat.
"Namun, saya bukan berubah sepenuhnya kerana Johan. Sebelum ini, ramai orang yang tak tahu mengenai prinsip saya. Saya berharap agar dipertemukan dengan lelaki yang baik sebelum saya berubah.
"Jadi, Johan adalah lelaki itu. Sebelum ini, ramai yang tidak berani mendekati saya, hanya Johan yang betul-betuk ikhlas dan saya nampak kesungguhannya," katanya yang cuba memikat hati ibu bapa Johan.
Tambah Lana, dia akan membuktikan dan meyakinkan ibu bapa Johan dalam perubahan pada dirinya selepas ini.
"Saya akan buktikan yang saya boleh berubah dan bukan susah pun nak berubah kerana sebelum ini, di alam persekolahan, saya pernah bertudung.
"Malah, dua daripada adik beradik saya bertudung. Johan juga turut menasihati saya supaya tidak lagi memakai skirt pendek dan saya berjaya," katanya lagi.
Ditebak dakwaan 'rampas' Johan dari Shila, Lana menafikan perkara itu dan memberitahu dia telah bertanya kepada Johan berkali-kali.
"Pada saat Johan lamar saya, saya bertanya kepadanya mengenai hubungan bersama Shila. Johan menafikan perkara itu dan mengakui tiada apa-apa hubungan istimewa.
"Kalau dia memang bercinta dengan Shila, saya memang tak akan terima kerana saya faham perasaan wanita," katanya.
'Saya tahu siapa buat fitnah!'- Ozlyn
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: December 1, 2013
HUBUNGAN dingin antara duo popular, Johan dan Zizan Razak (Jozan) bukanlah isu baharu yang diperkatakan. Sejak dua tahun lalu, ada sahaja kisah tidak enak tentang mereka.
Selain tidak sehaluan, mereka juga juga dikatakan sering bermasam muka dan enggan bekerjasama.
Lebih menguatkan dakwaan apabila mereka menolak menyertai program komedi popular, Maharaja Lawak Mega, pada musim ini.
Meskipun baik Johan mahupun Zizan sudah pun menafikan dakwaan tersebut, ia bagaimanapun tidak dapat menghentikan spekulasi yang melanda hubungan mereka.
Kesal dengan situasi itu, isteri Johan yang juga merangkap pengurus peribadi pelakon komedi itu, Rozlinawaty Ismail, 31, atau lebih dikenali sebagai Ozlyn Wati, tampil bersuara dan mendedahkan bahawa hubungan suaminya dengan Zizan Razak masih seperti dulu.
"Memang ada kalanya mereka kurang sependapat, tetapi mereka tidak pernah ambil hati antara satu sama lain dan sekiranya ada masalah mereka akan selesaikan secara baik.
"Jika ada waktu terluang, mereka akan berjumpa. Susah senang tetap bersama. Tetapi sekarang ni masing-masing agak sibuk dan jarang dapat bertemu," kata Ozlyn yang sering memberikan sokongan kepada suaminya.
Jelas Ozyln, dia dan Johan ada kalanya rimas dengan gosip yang tiada kesudahan itu. Bagaimanapun, sebagai isteri, dia sentiasa memberikan sokongan kepada Johan.
"Saya tahu siapa yang buat cerita ini. Dia juga merupakan seorang dari kawan yang saya kenali. Tak perlulah dia mencanangkan lagi perkara yang tidak betul.
"Saya nasihatkan dia supaya buka hati dan bersikap lebih profesional. Jangan cakap belakang, benda tu tak bagus, hentikan tuduhan dan fitnah," tegasnya.
Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata ini turut menafikan dakwaan mengatakan dia terlalu selektif dan mengawal karier suaminya.
Menurut Ozlyn, dia punya prinsip tersendiri bagi memastikan Johan masih mengekalkan nilai eksklusifnya sebagai artis agar dapat bertahan lama dalam industri seni.
"Banyak permintaan untuk Johan, tapi saya tak 'kaut' semuanya. Saya bimbang kita tak dapat buat yang terbaik hanya untuk mengejar wang.
"Lagipun, saya dan Johan sudah bersetuju, jam 10 malam mesti berada di rumah demi meluangkan masa bersama anak-anak," katanya.
Rezeki anak ramai
OLEH: ROSHLAWATY RAIEH, SALWANI MD ZAIN & AZIMAH GHAZALI
Tarikh: December 1, 2013
"Meriahnya... lagi sekali, 14 orang, 15 orang, 16 orang, seibu sebapa? biar betul?," kata-kata seperti itu sering diulang apabila berdepan mereka yang mempunyai keluarga besar. Perkara itu menjadi biasa kalangan mereka, namun luar biasa bagi seorang yang dilahirkan sebagai anak tunggal.
Berbalik kepada masyarakat kita, Melayu amnya, kehadiran anak ramai adalah suatu rahmat kerana tidak semua wanita mempunyai keistimewaan melahirkan anak-anak yang sempurna akhlak, fizikal dan mentalnya.
Dari segi populasi pula, kehidupan di bandar yang mencabar dari segi kewangan, dan cara hidup, ada kalanya tidak mengizinkan sesebuah keluarga memiliki ramai anak. Ada yang berpendapat, lebih ramai anak, lebih besar tanggungjawab dan tanggungan.
Perjalanan hidup di bandar yang mencabar juga menyebabkan masyarakat kota memilih kaedah perancang keluarga. Lebih mencabar kos taraf hidup di bandar berkali ganda berbanding kampung terutama dalam soal menyediakan asuhan, pendidikan, bayaran perubatan, dan lain-lain keperluan terbaik untuk anak-anak.
Jadi tidak hairan, ibu bapa di kota bukan menolak kehadiran ramai anak, tetapi arus perkembangan kota kadangkala memaksa mereka berpendirian sedemikian.
Pasangan era moden juga sering kali merancang agar mahligai dibina hanya diserikan sekurang-kurangnya dua mahupun tiga anak sahaja.
Mendukacitakan juga apabila wanita zaman moden sering mengejar kerjaya, pangkat, kecantikan dan kedudukan daripada kewajipan seorang isteri dan ibu untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak.
Pengaruh gaya hidup moden juga sering menjadikan wanita seakan-akan malu melahirkan anak ramai walaupun mulia di sisi ALLAH. Ada juga berpendapat, memiliki anak ramai tidak relevan, lebih-lebih lagi pada zaman moden ini, sedangkan perspektif agama mengangkat martabat wanita subur dan beranak ramai.
Rasulullah SAW sungguh gembira umatnya mempunyai anak ramai. Ini dapat dilihat dalam satu hadis diriwayatkan Abu Daud, Baginda bersabda maksudnya: "Nikahlah wanita yang mencintaimu dan subur. Sesungguhnya aku akan berbangga atas kamu kerana umat yang paling ramai."
Sungguhpun anak ramai disebut sebagai rezeki, namun dari perspektif berbeza kedengaran suara-suara sumbang mengatakan keluarga ramai ini hidup susah! Kita selami beberapa pandangan mereka yang dilahirkan dalam keluarga besar dan semuanya mencipta kejayaan menerusi kupasan isu hangat minggu ini.
Pengakuan 1
Ibarat tanam pokok
Kita jaga anak ibarat menanam pokok, saya melihat mereka dalam konteks masa depan. Sebab itu saya tidak kisah biarpun mengandungkan 10 anak (seorang keguguran), tambahan pula saya jenis yang sukakan kanak-kanak.
Cabaran besarkan sembilan anak memang ada, terutama dari segi sosioekonomi bila tinggal di bandar seperti Shah Alam. Saya berkahwin pada 1979, semasa saya dan suami menuntut di United Kingdom.
Pada tahun 1982 kami pulang ke Malaysia dan masa itu saya tak bekerja, suami bekerja sebagai pensyarah dengan gaji hanya lebih kurang RM1,000, sewa rumah pula RM350. Bayangkan dengan gaji yang ada kami mulakan hidup.
Pada 1983 saya dapat anak kedua. Pada masa itu zaman inflasi, namun saya yakin rezeki ditentukan ALLAH dan rezeki anak juga ditentukanNya. Anak ketiga lahir pada tahun 1985; keempat, 1988; kelima, 1990; keenam, 1992; ketujuh, 1994; kelapan, 1996; dan bongsu pada 2001.
Namun terpaksa dihadapi cakap-cakap orang pertikaikan walaupun balik dari belajar di luar negara, tapi tidak bekerja. Alhamdulillah saya tidak rasa susah menjaga anak.
Mereka diajar bantu kerja rumah sejak kecil. Saya memang suka mengajar anak sendiri. Mulanya saya ajar anak-anak jiran peringkat tadika di rumah saya sebelum buka tadika sendiri.
Saya mula menulis buku kanak-kanak sekitar 1984. Kemudian cuba mencipta lagu kanak-kanak dan direkodkan.
Suami, Dr Fauzi Shaffie juga banyak membantu apa yang patut. Jadi saya tidak berasa sukar.
Anak-anak kini pun dah dewasa, yang sulung bekerja sebagai jurukamera profesional; kedua, doktor; ketiga, belajar kejuruteraan telekomunikasi; keempat, bidang geologi yang juga pereka web; kelima, masih menuntut dalam bidang perubatan; keenam, penuntut bidang kejuruteraan; ketujuh, sedang ambil diploma perakaunan; kelapan baru lepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan bongsu baru saja selesai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, syukur dia dapat 5A. Walaupun anak-anak kini sibuk dengan urusan masing-masing, tinggal agak berjauhan, media sosial seperti Facebook dan Whatsapp dapat mendekatkan kami.
Pada saya biar ramai anak dan bersusah dahulu dalam besarkan mereka. Saya sentiasa fikir ada orang lebih susah dari kami. Dari segi amalan untuk bantu kekuatan jiwa, saya amalkan pada anak saya, termasuk di tadika baca al-Fatihah, ayat Kursi dan 'tiga Qul' supaya anak-anak dilindungi atau semasa mereka buat hal.
Wan Roslina Wan Yusoff, 55, Pengasas Tadika Little Ones, Shah Alam
Pengakuan 2
Ambil upah basuh kain bantu suami
Dengan keadaan keluarga yang agak besar, niat saya bekerja hanya untuk membantu suami yang ketika itu bekerja dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Seremban.
Kami punyai anak seramai lapan orang, namun seorang meninggal ketika masih kecil kerana demam panas. Semasa anak masih kecil, saya tidak bekerja.
Namun selepas mereka sudah mula bersekolah, saya ambil upah basuh kain di rumah orang pada sebelah pagi, manakala petangnya saya menggosok baju pula. Gaji suami pun ketika itu kecil, tetapi bebanan agak kurang memandangkan kami dapat tinggal di kuarters. Selepas itu saya asuh anak orang pula.
Untuk menampung keperluan ketika itu, kami hanya beli barangan dapur yang asas dan mustahak sahaja. Bagaimanapun Alhamdulillah makan pakai kami mencukupi dan saya tidak kisah dengan anak agak ramai. Untuk jarakkan kelahiran dan berjimat, saya beri anak susu badan.
Biarpun tinggal di kawasan bandar, keadaan di Seremban ketika itu agak kurang membangun, tidak seperti hari ini.
Sekarang saya menetap di Rembau dan kehidupan juga agak lebih selesa. Syukur anak-anak dah dewasa sekarang dan berjaya dalam hidup. Malah empat anak saya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Dua antaranya bekerja sebagai guru, seorang penolong pengurus di sebuah syarikat minyak, seorang pemandu treler dan seorang bekerja di sebuah syarikat penerbitan, manakala dua lagi tidak bekerja.
Bagi saya kehidupan di bandar pada masa sekarang agak sukar kerana kos hidup semakin tinggi, jadi suami isteri perlu bekerja. Namun sibuk mana sekalipun, nasihat saya perlulah luangkan lebih banyak masa dengan anak. - Siti Ragayah Deraof, 66, Taman Sri Rembau, Negeri Sembilan
Pengakuan 3
Tidak ada pilih kasih
Teringat masa kecil dulu kalau cakap je bilangan adik-beradik ramai, ada sesetengah orang akan buat muka. Ada sesetengah pula tanya macam mana hidup kami sekeluarga, tapi ada gak yang terpegun, sambil memuji keluarga hebat! 16 orang adik-beradik, 9 lelaki, 7 perempuan. Seibu dan sebapa.
Saya ada 8 orang abang, 3 orang kakak, 3 adik perempuan dan seorang adik lelaki.
Adik-beradik kami semuanya kelulusan sekolah menengah agama. Biar pun masa sekolah rendah semua sekolah kebangsaan, sebab ayah dan che (panggilan untuk ibu) minta kami adik-beradik tak mengabaikan tanggungjawab agama biar ke mana pun kami pergi. Sekurang-kurangnya masa kecil dibekalkan ilmu fardu ain, bila dewasa ni ilmu fardu kifayah penuh di dada.
Alhamdulillah, sepanjang kami membesar tiada istilah merempat, mengais mencari simpati orang untuk membesarkan kami adik-beradik. Ayah dan che memang berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki untuk kami adik-beradik. Ayah asalnya cikgu sekolah menukar profesion berniaga kayu selain menjadi imam dan che pula buka kilang memproses keropok.
Dari segi hubungan sesama adik-beradik pula, kalau bergaduh dengan Abe E misalnya, saya masih lagi boleh berbaik-baik dengan Abang Bil.. Une.. Abe Mie.. Abe Yie.. Abe Lie.. Abe Din.. Abe Wie dan Abe Yom. Boleh pilih-pilih jadi tempat mengadu. Mungkin kadang-kadang kita rasa mak ayah pilih kasih kat adik-beradik, sebenarnya mak ayah kita sayang sama rata saja.
Masa belajar dulu abang-abang dah kerja jadi mereka selalu menjadi banker. Kini semuanya berjaya dalam bidang masing-masing sekali pun buat kerja-kerja biasa, tak ada yang merempat, tak ada yang bergaduh adik-beradik. Dan Insya-Allah berterusan begini hingga ke generasi seterusnya. - NIK NUR SYUHADA NIK ABDULLAH, KOTA BHARU, KELANTAN
Pengakuan 4
Hari-hari macam hari raya
Bila bercerita kat orang lain pasal keluarga besar, memang orang akan terkejut dan bertanya, betul ke ada 16 beradik? Dan jumpa sesiapa pun semua tanya berkali-kali.
Saya ada 16 orang adik-beradik kandung seibu dan sebapa. Orang lain kaya harta, mak, ayah saya kaya anak. Dalam family saya ni ada 7 perempuan 9 lelaki. Saya anak ke-8. Saya ada 3 kakak, tapi sekarang dah tinggal dua.
Seorang kakak yang sulung meninggal 12 tahun lalu bersama anak dia dalam kemalangan. Walaupun seorang family dah meninggal, tapi bakinya masih 15 orang dan sihat semuanya. Abang sulung berumur 36, adik paling bongsu, 12. Setakat ni 7 dah kahwin, lagi 9 bujang.
Tak dinafikan time bergaduh tu ada juga. Tapi kira logik la kan, sebab bila ramai ni kadang kala ada yang tak sependapat. Rumah kami kalau berkumpul memang meriah. Cuma sekarang bila masing-masing ada family sendiri, semuanya terikat dengan komitmen. Jadi masa berkumpul terhad.
Tapi sesekali memang kakak dan abang yang dah berumur tu akan rancang pelbagai acara. Tapi bukan sukaneka. Kami lebih kepada acara makan. Terutama jika ada sambutan hari lahir adik-adik, anak sedara atau mak ayah. Kalau semua lapang, kami selalu mandi di jeram atau ke pantai sambil berBBQ.
Ada juga jamuan makan di rumah lagipun adik-beradik jenis yang se kepala (jenis suka cakap banyak tanpa henti). Riuh-rendah rumah setiap kali anak beranak berkumpul.
Masa makan ada aturannya. Lauk-pauk diasingkan untuk lelaki dan wanita.
Bukan apa, sebab tak muat ruang, jadi kita dahulukan kaum lelaki. Bila lelaki siap, wanita menyusul dan lelaki pula menjaga anak.
Keluarga ramai ni menariknya, boleh membantu adik-adik yang ada masalah kewangan, share barang, seperti bergilir baju, mainan dan kongsi make-up juga. Riuh gurau-senda tatkala berkumpul di hujung minggu, sekali masak penuh lauk dan 2 periuk sekali tanak nasi.
Tabik spring dengan mak ayah susah payah jaga kami dari kecil sehingga hari ni, walau hanya jual sayur dan buah kami adik-beradik tidak pernah berlapar cuma ada kalanya tersasul nama bila memanggil, memang perkara biasa. Kalau raya pula, orang lain penuh dengan tetamu, tapi rumah kami, hari-hari macam hari raya. - Norhariza Abdullah, 25, Tumpat, Kelantan
Pengakuan 5
Air dicencang tidak putus
Dilahirkan dalam keluarga besar adalah sesuatu yang cukup bermakna bagi saya. Saya anak keenam daripada 12 adik-beradik, dan susunannya cukup cantik sekali, diketuai oleh Abang Long (gelaran untuk abang sulung) dan berakhir dengan adik bongsu perempuan yang kini semakin meningkat dewasa.
Kalangan kami semuanya dilahirkan sempurna daripada segi fizikal dan mental. Lima daripada kami bekerja makan gaji manakala dua lagi masih belajar dan selebihnya ada yang bergelar ahli perniagaan, suri rumah dan lain-lain.
Waktu kecil, kami nampak macam sebaya sahaja dan cukup akrab. Abang Long adalah orang yang paling bertanggungjawab dalam segala hal, lebih-lebih soal kewangan dan saat ini pun masih membantu adik-adik dari segi kewangan.
Nama pun adik-beradik, kalau bermasam muka sikit-sikit tu perkara biasa. Dipendekkan cerita, ayah meninggal lapan tahun lalu. Semua kepimpinan dalam keluarga diuruskan Abang Long sambil dibantu Abang Ngah.
Ayah tidak meninggalkan wasiat dan semua harta dibahagi mengikut hukum syarak. Dalam hal ini, keutamaan tentunya berpihak kepada lelaki. Jadi hal ini menimbulkan perasaan tidak puas hati oleh Kak Chik.
Dia menuntut hak mendapatkan sebidang tanah, katanya Allahyarham ayah sudah menyerahkan tanah itu secara lisan kepadanya tanpa sempat menukar nama. Lebih menambah kemarahan dia, Abang Long membuat keputusan untuk menjual sahaja tanah itu.
Urusan jual beli selesai. Memandangkan ahli keluarga ramai, maka agihan yang diterima tidak seberapa. Memandangkan saya juga wanita, saya tidak mahu komen panjang tentang hal ini. Lagipun tidak guna bertengkar kerana air yang dicencang tak akan putus. - Lynn, 35, Selangor
Bagaimana Lee Kuan Yew mahu mati
OLEH: ZAINUDIN MAIDIN
Tarikh: December 1, 2013
DALAM umurnya sekarang melebihi 90 tahun, Menteri Mentor Singapore Lee Kuan Yew(LKY) mengakui tidak lagi dapat mengelak diri dari memikirkan hari kematiannya. Ketika diinterbiu pada umur 89 tahun LKY berkata beliau tidak ada sebab boleh mengelak dari persoalan ini.
Dalam buku terbarunya One Man's View of The WORLD yang mungkin telah dibaca oleh ramai orang, pada bab "Personal Life",LKY yang tidak percaya kepada wujudnya tuhan dan alam akhirat menyatakan bahwa beliau seorang atheist yang tidak percaya kepada mana mana agama tetapi tidak menapikan dan tidak pula mengakui adanya Tuhan.Dia tidak percaya akan dapat menemui lagi isterinya. .
" I do not laugh at people who believe in God. But I do not necessarily believe in God-nor deny that there could be one," katanya..
Isterinya yang telah meninggal dunia juga tidak percaya kepada agama. Seorang kawan yang cukup kuat berpegang kepada agama akhirnya berpisah dengan isterinya kerana setiap kali berjumpa cuba mengkristiankannya. Isterinya meanggap ini sebagai perbuatan bodoh.
Apa yang difikirkan oleh LKY dalam munggu saat kematiannya ialah apakah dia akan mati dengan pantas kerana serangan stroke atau stroke otak yang akan menyebabkannya terbaring lama di katil dalam keadaan setengah sedar.
Antara keduanya LKY memileh untuk mati dengan pantas.Beliau telah pun memberikan" Arahan Perubatan Terdahulu" ( Advance Medical Directive- AMD) supaya sekiranya beliau terpaksa diberikan makan menerusi tube dan tidak mungkin akan puleh dan tidak boleh lagi bergerak, maka doktornya hendaklah melepaskannya pergi dengan segera( mematikannya).
Arahan ini telah ditandatangani oleh seorang peguamnya dan seorang doktor
LKY menyatakan bahawa setiap hari yang dilaluinya sekarang dirasainya semakin meletihkan dan semakin kurang aktif. Apapun yang diusahakannya dan didisplinkan dirinya tetapi keadaannya tetap merosot.
Bagi LKY kepuasan hidupnya yang paling besar ialah dapat menggunakan masa bertahun tahun mengumpul sokongan, menjadikan Singapore meritoctratic,bebas dari rasuah dan kesaksamaan antara kaum.
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment