Monday, March 26, 2012

RG2011... Melawat Melayu di Bali

 

Zulhabri Supian suka berjalan dan bercita-cita untuk menghayati semangat anak muda walau nanti akan tua secara biologi. Zulhabri juga aktif di Komuniti Frinjan (http://frinjan.blogspot.com), Alternative Tourism (http://www.facebook.com/altourism.asia) dan menulis di blog (http://habri.blogspot.com).

20 MAC —  "…orang Bugis/Makassar tersebut pertama kali memperkenalkan ajaran-ajaran agama Islam kepada masyarakat Jembrana yang beragama Hindu Bali. Seiring dengan waktu, maka semakin kuat persatuan di antara kedua belah pihak, Muslim dan warga asli Bali yang beragama Hindu bahkan tercatat ada juga seorang anggota keluarga I Gusti Ngurah Pancoran yang memasuki agama Islam. Menyusul kemudian beerapa penduduk dan wanita…."

Kutipan di atas terkandung di dalam buku karya I Wayan Reken yang bertajuk "Sejarah Perkembangan Islam di Bali khususnya di Kabupaten Jembrana" yang menggambarkan proses kemasukan Islam ke Pulau Bali khususnya di Jembrana.

Bertolak dari pembacaan buku tersebut, saya menjadi teruja untuk melawat salah satu perkampungan di Jembrana dan akhirnya, baru-baru ini saya dan beberapa teman berkesempatan mengunjungi masyarakat Melayu Muslim Bali atau lebih tepat lagi Melayu Loloan yang bermukim di Kampung Loloan Timur yang letaknya tidak jauh dari kota Negara di Bali Barat. Perjalanan ke Loloan Timur dari Denpasar mengambil masa hampir 3 jam melalui pemandangan sawah dan pantai yang indah.

Pementasan opera Melayu.
Rombongan kami disambut seorang pemuda bernama Fawaid yang sebelumnya saya sudah berhubung melalui emel dan kemudiannya disertai dua lagi pemuda kampung, Thaidin dan Rahil. Menurut Thaidin, jumlah penduduk Melayu Muslim di Loloan, yang terdiri dari dua mukim iaitu Loloan Timur dan Loloan Barat pada waktu ini sekitar 15,000 orang, dari sekitar 42,000 Muslim yang tinggal di daerah Jembrana. Menurut beliau lagi, orang Melayu di Loloan berasal dari beberapa kawasan iaitu Bugis, Kalimantan dan Terengganu dan yang terbesar berasal dari Bugis.

Seterusnya kami ditemukan dengan sesepuh (ketua) Loloan Timur, Ustaz Husien Jabar yang berusia sekitar 80 tahun. Menurut beliau, Islam masuk ke Bali pada tahun 1667 setelah kerajaan Wajo di Makassar jatuh ke tangan Belanda dan akibat diancam untuk dihabisi, Sultan Wajo bersama-sama askar beliau yang dipimpin Daeng Nahkoda melarikan diri dari Sulawesi Selatan sehingga akhirnya berlabuh di suatu tempat yang kemudiannya dikenal sebagai Kampung Bajo. Atas izin I Gusti Ngurah Pancoran yang berkuasa di Jembrana, pelabuhan tempat mereka berlabuh diberi nama Bandar Pancoran, bekas pelabuhan lama tersebut terletak di Loloan Barat. Sejak itu, orang-orang Bugis berbondong-bondong ke Jembrana menggunakan perahu Pinisi dan Lambo.

Tambah beliau, selain dari Bugis, dua ratus tahun kemudian datang pula rombongan orang Melayu Pontianak yang dipimpin oleh Syarif Abdullah bin Yahya Al-Qadry. Rombongan ini turut diikuti seorang Melayu dari Terengganu yang bernama Encik Ya`qub, yang kemudiannya berkahwin dengan penduduk Melayu tempatan. Encik Ya`qub inilah yang dinyatakan di dalam Prasasti (surat) Melayu atau dikenal dengan Prasasti Loloan yang tercatat tahun tertulisnya pada 1883 dan masih disimpan di Masjid Agung Baitul Qadim. Makam Encik Ya'qub juga berada di perkarangan masjid ini. Dalam prasasti tersebut tertulis:

"Satu Dzulqa`dah 1268 H, hari Itsnin. Encik Ya`qub orang Terengganu mewaqafkan akan barang istrinya serta mewaqafkan dengan segala warisnya yaitu al-Qur`an da ban sawah satu tebih (petak) di Mertosari. Perolehannya 40 siba` (ikat) dalam Masjid Jembrana di Kampung Loloan ketika Pak Mahbubah menjadi penghulu dan Pak Mustika menjadi Perbekel. Saksi: Syarif Abdullah bin Yahya al-Qadri dan Khatib Abdul Hamid."

Audien di majlis pernikahan.
Saya turut dimaklumkan oleh Fawaid bahawa pada tahun 1997 kerajaan negeri Terengganu telah membuat lawatan ke Loloan Timur secara spesifik untuk melihat Prasasti Loloan tersebut dan kemudiannya ada usaha untuk membawa pulang Al-Quran tertua di Bali yang ditulis tangan oleh Encik Ya'qub pada tahun 1591 dan mujur tidak dipersetujui ketua dan penduduk kampung.

Selain itu, seorang tokoh agama bernama Buyut Lebai dari Sarawak Melayu juga berdatangan ke Loloan Timur mengajarkan ilmu Islam. Beliau meninggal dunia pada tahun 1835 dan makamnya terletak di Kampung Loloan Timur.

Ustaz Husien Jabar yang fasih akan cerita awal mula menambah bahawa orang-orang Melayu Muslim diterima di Bali kerena mereka bersedia membantu Kerajaan Jembrana yang pada ketika itu sedang diserang kerajaan lainnya. Sebagai habuan, mereka diberi ganjaran sebidang tanah untuk tempat tinggal.

Satu fakta yang menarik tentang Ustaz Husien Jabar adalah beliau telah menulis dengan lengkap sejarah tentang Loloan menerusi tulisan tangan dan tatkala ini sedang dalam proses dibukukan oleh pemuda-pemudi Loloan dan dan dijangka terbit sekitar tahun ini jika tiada aral melintang.

Sanggar Pilot (Pemuda Islam Loloan Timur)

Pada sebelah malamnya kami telah dijemput Fawaid yang bergabung di dalam Sanggar Pilot untuk menyaksikan pementasan opera Melayu berjudul "Amat Palsu" yang akan dipersembahkan mereka sempena suatu majlis pernikahan. Ketika kami sampai majlis makan-makan yang berlangsung dari awal pagi hampir ke penghujungnya dan warga sudah mulai tidak sabar untuk menonton sebuah persembahan pentas yang akan disajikan.

Menurut Thaidin, Sanggar Pilot merupakan perkumpulan anak muda yang aktif dan pada setiap sambutan Isra' Mi'raj, para pemuda-pemudi Loloan akan mengadakan kegiatan festival tradisi Loloan, di antaranya festival permainan tradisional Loloan, pelancongan makanan Loloan, pementasan seni Loloan, tayangan filem dokumentari tentang Loloan dari semua sudut pandang, pengajian besar-besaran dan banyak lagi.

Rumah beliau yang dijadikan tempat berkumpul dan berlatih dan dioperasikan selama 24 jam merupakan rumah panggung ala Melayu yang dibina sekitar tahun 1700-an dan masih utuh sehingga kini. Rumah-rumah panggung berbahan kayu merupakan ciri khas Melayu di Loloan walaupun keberadaannya semakin lama semakin berkurang akibat semakin mahalnya biaya menyelenggara rumah seperti ini.

Bahasa Melayu Loloan

Satu hal yang menarik dari dampak masuknya pelbagai bahasa mulai dari Bugis, Melayu dan bahasa Bali sendiri kemudiannya menciptakan suatu bahasa khas Loloan yang disebut Bahasa Melayu Loloan. Meskipun begitu tidak dapat dinafikan pengaruh Bahasa Melayu lebih kuat walaupun orang Melayu di Bali umumnya berbahasa Bugis kerana bahasa dakwah pada waktu itu menggunakan bahasa Melayu yang secara perlahan-lahan menghilangkan bahasa Bugis.

Al-Quran tulisan tangan Ya'qub.
Beberapa kata seperti ya yang disebut ye, dia disebut die, mana disebut mane seperti lazimnya di Malaysia membuatkan terasa seperti bukan di Indonesia, namun jangan berharap bahasa yang ditutur mereka persis seperti di Malaysia kerana banyak kata-kata lain dipengaruhi oleh bahasa Indonesia dan tentunya bahasa Bali juga.

Keesokan harinya kami mengunjungi Masjid Baitul Qodim yang sedang dalam proses renovasi dan di sinilah kami ditunjukkan Al-Quran tertua di Bali dan Prasasti Loloan. Melihat dari kurang terawatnya dua khazanah berharga ini yang barangkali disebabkan masalah dana, adalah sangat membantu jika pihak-pihak yang peduli di Malaysia khasnya sudi membantu mereka dalam upaya memelihara khazanah yang amat bernilai itu.

Kunjungan pertama ini telah membuka banyak pintu untuk pelbagai usaha bersama di masa hadapan. Melihat Melayu sebagai minoriti di pulau yang bermajoritikan Hindu tetapi mempunyai raut muka hampir sama merupakan suatu hal yang jarang diperolehi di Semenanjung Malaysia yang masih kental dengan identiti raut Melayu mesti Islam, raut India mesti Hindu dan raut Cina mesti Buddha. 

Semoga kehidupan beragama harmonis yang terjalin ratusan tahun di antara masyarakat Melayu Islam dan Hindu Bali di Jembrana ini dapat menjadi contoh kepada kita semua untuk terus mengamalkan budaya toleransi dan respek dulu, kini dan selamanya.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment