Wednesday, August 1, 2012

RG2011... Puasa-Raya di kampung

 


 

Masa kecil di kampung, punyalah susah nak bangun sahur. Pukul 3 pagi dah kena kejut. Nak makan pun tak berselera, hendaknya pula yang ada depan mata cuma nasi berlaukkan suun dengan tahu kering atau lobak asin dan ikan 'garinting' goreng.

 

Waktu buka kena tunggu paluan tabuh di masjid yang kadangkala bisu. Bila paluan tak kedengaran, nenek beri petua…keluar rumah, angkat lengan setentang mata dan tengok bulu roma, kalau masih kelihatan, maknanya belum sampai waktu berbuka.

 

Tak ada radio atau jam di rumah ke?

 

Tahun 50an, radio tak pernah termimpi. Jam gantung pun selalu mati. Kalau pun tak mati, waktunya selalu sasau. 

 

Pernah kami sekeluarga berpuasa pada hari pertama dan berbuka sebelum tengah hari kerana Ramadan belum bermula. Patutlah tak kedengaran teriakan anggota tentera dari kereta 'GMC' "Esok Puasa, esok puasa…"

 

Tersebut berpuasa sehari lebih awal teringat sambutan Hari Raya yang berbeza. Negeri Johor dan Perak pernah melihat anak bulan Syawal muncul sehari lebih awal dari negeri-negeri lain di Semenanjung. Pelik tapi benar.

 

Zaman kanak-kanak, anggota tentera dalam kereta GMC dari kem tentera Kluang akan lalu sepanjang jalan raya di kampung mengejutkan kami untuk bersahur "Bangun sahur, bangun sahur". Begitu juga menjelang Raya…Selepas Isya, mereka akan menyanyi sambil melaungkan "Esok raya, esok Raya".

 

Apa bendanya kereta GMC? Yang aku masih ingat ianya lebih besar dari kereta kebal dan lebih laju.

 

Bila hampir Hari Raya, bingat sekampung dengan dentuman meriam buluh. Aku dan sepupu cuba juga nak buat tapi bunyi yang keluar macam kentut aje. Ialah, kami masih sekolah dan hanya menggunakan minyak pelita sebagai bahan letupan sedangkan kawan-kawan yang tak sekolah sudah ada pendapatan sendiri untuk membeli carbide.

 

Yang lebih terror sanggup tebang pokok pinang, belah dua dan buang isi. Lepas tu simpai (ikat) dengan dawai. Fuh bunyinya…dua batu boleh dengar. Kalau nak lebih kuat dan selamat, tanamkan batang pinang dalam tanah.

 

Lewat petang, ibu selalu minta kami hantar kuih kepada jiran dan jiran membalas dengan kuih juga. Kekadang berselisih tengah jalan, main tukar2 pinggan saja. Bukannya kuih apa pun, sekali sekala adalah kuih talam, kuih lapis, seri muka, pengat dan entah apa namanya aku pun tak ingat. Mihun, Mi goring? Oh that was a luxury that we could hardly afford.

 

Sesekali bila teringin minum air batu, pukul 5 aku sudah mengayuh 'basikal tua' pergi ke kedai Ah Sau yang terletak lebih dua batu dari rumah.

 

Sejak bermula darurat, Ah Sau dan kaum Cina lain di kampung kami dikumpul dalam sebuah perkampungan berpagar cukup dengan bekalan elektrik. Kiranya perkampungan Cina ini lebih maju dari kampung kami.

 

Ah Sau ada sebuah pondok yang penuh dengan air batu dalam acuan zink, panjang sekitar 15 inci dan lebar/ketinggian 6 inci. Harga sebuku 20sen tapi kerana bajet hanya ada 10 sen, maka Ah Sau kena potong dengan gergaji sebelum dibelah dengan parang kontot. Setelah dibungkus dengan abuk kayu, dibalut kertas dan diikat dengan tali purun (sejenis tali dari tumbuhan di paya), aku pun ikat diancak (carrier) basikal dan sambil bersiul senang hati balik ke rumah dengan penuh angan-angan…nak minum sebanyak mungkin air sejuk.

 

Sebelum tiba bulan puasa kami pergi ke pekan beli capal atau kasut untuk Hari Raya. Boleh katakan saban hari asyik buka kotak kasut, belek dan cium bau kasut baru. Rasa lama sangat menunggu Raya kerana maklumlah hanya sekali dalam setahun dapat pakai kasut baru.

 

Ibu pula sibuk menjahit baju raya. Ada sekali aku minta ibu buat leher baju cekak musang tapi dia sudah buat collar di atas kecil dan yang menurun kebawah dua kali ganda lebih besar. Pagi Raya tahun itu aku tak mau pakai baju warna scarlet yang ibu sediakan. Apa lagi, terimalah habuan – 'panyunduk lawang' hinggap di belakang. Aku minggat belakang rumah, panjat pokok getah dan duduk di celah dahan sampai petang…tak makan tak minum. Berulang kali kakak datang memujuk sebelum aku turun.

 

Ibu kata kalau puasa kepala tak boleh tenggelam dalam air. Bermakna sepanjang bulan tak boleh berkubang di swimming pool zaman dulu…takungan air sungai di culvert tepi jalan. Minggu pertama masih akur dengan perintah tapi bila dengar cerita kawan, mana boleh tahan. Suatu hari, oleh kerana tersangat lama berkubang, tekak rasa haus, apa lagi sambil menyelam minum air. Hee, air keladak campur air kencing, tapi peliknya perut tak meragam. Waktu buka petang tu, aku selamba aje duduk macam orang puasa.

 

Beberapa hari sebelum raya, pergi kedai Ah Song gunting rambut…40 sen aje. Lama aku admire style rambut seorang pemuda kampung yang hampir 5 tahun lebih tua. "Ah Song, saya mau gunting macam dia." Bila siap, aku tengok tak sama pun. Mana nak sama kerana rambut aku lain DNA, panjang sikit dah berombak sedangkan abang tu rambutnya jenis lurus.

 

Dah besar sikit, bila hari Raya tumpuan utama panggung wayang 'Coronation' tepi sungai dan 'Metro' depan stesen bas. Masa inilah nak tengok pemuda Melayu tunjuk kuat, berasak-asak ambil tiket. Yang gatal merenyam, ambil kesempatan mengorat anak dara pingitan yang sekali sekala terlepas keluar dari kampung dan estet berhampiran.

 

Walaupun hanya ada dua ringgit, tapi wallet kami (sepupu dan aku) tetap kelihatan tebal, macam orang loaded. Kami isi wallet dengan duit pokok pisang tapi bila nak keluarkan note sebenar, terpaksa sorok-sorok takut orang lain nampak.

 

Seharian di pekan tak habis dua ringgit…tambang bas pergi balik 30 sen (guna pas sekolah), tiket 3rd class 50 sen, rojak sepiring tanpa telur 20 sen, cendol semangkuk 10 sen, kuaci 10 sen…wow ada baki lagi.

 

Hari ini apa yang boleh dibeli dengan dua ringgit?


12 Responses to Puasa-Raya di kampung

  1. Joewings says:

    Dua ringgit?

    Teh tarik ngan roti kosong dua je….

    teringat cerita abah yang membuat meriam buluh dengan menngunakan minyak tanah yang dipanaskan……dah tembak tu, kena pam meriamnya buangkan asap…..pakai pam besikal….

    zaman kawan pulak, kawan2 sanggup potong besi papan tanda (malam2) atau pakai batang paip besi…memang gilalah bunyinya, pastu dah 6 das, terpaksa campak dalam parit sebab takut berkecai…

    Coronation dan Metro, nak2 Metro kat stesen bas lama (sekarang ialah parking kereta)…ada satu stall jual sate, sate usus dia yang sedap…..

    Baik2 Tuan Admin, kalau buat macam tu sekarang (isik duit dengan duit daun pisang, untuk nampak tebal) dan tentu kena pow….

  2. xcman says:

    Bro

    Di Lembah Kelang tak lepas teh tari nag roti canai kosong dengan 2 inggit !

    Tak caya tanya Tuan Admin.

  3. admin says:

    Boleh dapat 2 keping rotcai tapi kena bungkus bawa balik. Setengah tempat tak dapat…rotcai sekeping 1.20.

    Betul tu Joe, kena buang asap, tapi kami tiup dengan mulut. Pernah juga terjadi tengah tiup meriam buluh berbunyi, terperanjat abis kerana tak sangka ada delaying action.

  4. Joewings says:

    maaf Tuan xcman…kat tempat kawan, koman2 boleh minum lagikla…teh kosong ngan rotcai yang dikecikkan saiznya…..itulah untungnya bertugas di luar bandar…huhuhuhu….

    Lokasinya terletak di Kampung Parit sempadan Laut (sebelah kubur)….

    bersyukurlah kerana bertugas di kawasan kampung kerana segalanya masih murah lagik…..

    Tuan admin…kat kampung isteri, ada budak yang dipanggil KOBONG (bahasa Jawa bagi hitam/hangus terbakar) kerana delaying action tersebut, ada ke dia boleh jengah kat mulut meriam tu, maka hitam sebelah mukanya….

  5. moonflower says:

    sahur dengan lobak masin + bwg putih grg — mmg best. tu dah cukup. tak yah nak makan benda2 yg tak sedap yg buat tekak pagi2 buta kembang.

    tuan admin hari ni berbuka masak apa?

  6. xcman says:

    tuan admin hari ni berbuka masak apa?

    tak sangka ye, selain hebat menulis, hebat memasak ye…….

  7. admin says:

    Ikan cencaru bakar dalam daun pisang style Banjar…campur tumbukan serai, halia, kunyit, lengkuas, bawang putih dan garam secukupnya.

    Kuihnya pula 'wadai kiping' atau puteri mandi dalam BM.

    Sebenarnya admin tak pandai masak, main hentam keromo saja…macam buat mi bandung. Tersebut mi bandung, teringat anak saudara di Keluang tanya "Apasal Lun buat mi Bandung rasa macam mi rebus?". Udang cipit mana nak rasa kuahnya.

  8. Joewings says:

    Mee bandung yang killernya sekiranya banyak kacang dan udangnya….baru pekat terangkat………

  9. moonflower says:

    xcman ~

    kalau nak tau, admin bukan saja full time blogger tp full time househusband yg memang terror masak. :)

  10. xperak says:

    budaya tukar menukar kuih muih sudah pupus agaknya kerana sikap masyarakat hari ini sudah jauh berubah…kau kau aku aku.

  11. KR says:

    "Tersebut berpuasa sehari lebih awal teringat sambutan Hari Raya yang berbeza. Negeri Johor dan Perak pernah melihat anak bulan Syawal muncul sehari lebih awal dari negeri-negeri lain di Semenanjung. Pelik tapi benar."

    Tahun 1982. Memang patut pun Raya. On that day, masa sunset, anak bulan dah besar. Maknanya, hari masa tengok anak bulan sehari sebelum ini, anak bulan tu memang patut nampak. Tapi cuaca kat Malaysia, selalu berawan tebal.

    Sekarang lebih praktikal. Kita guna dua-dua kaedah. Kaedah pertama, tengok anak bulan (ruqyah). Kaedah kedua, hisab (pengiraan ahli falak berdasarkan kalendar Hijrah).

    Kaedah pertama, selalunya, untuk kawasan Malaysia dan Asia Tenggara yang beriklim tropika khatulistiwa, chances dapat tengok anak bulan memang tipis. Cuaca sini selalu berawan tebal.

    And now, dalam kebanyakan kes, permulaan puasa kita, atau raya kita, dah ditentukan berdasarkan kiraan Hisab. Kiraan Hisab ni ada piawainya. Kalau tak silap, ufuk anak bulan tersebut, mestilah tidak kurang dari 15 darjah.

  12. Joewings says:

    Tuan xperak….

    Kalau di kampung isteri, benda ni masih ada lagik (ngunjung)……dan kawan ni pun dah diserapi dengan 'budaya Jawa'…pun ikut jugek….

    Kalau kat Qtrs kawan, masih ada lagik, walaupun certain orang2 tertentu jek (Jawa pun dah pandai lu lu, wa wa)……

    Kalau bandar besar, kawan tak tahu, dari cerita2 orang, macam yang Tuan beritahulah tu…..

    KAdang2 saja masak lebih dalam bulan puasa nih, kadang2 buat bubur lambok…..kadang2 mee goreng dsb…..ngunjung….

Leave a Reply

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment