Kebangkitan negara-negara Arab dan Afrika Utara menyaksikan bertapa hebatnya kuasa rakyat. Jika terdapat keinginan politik daripada rakyat, maka tiada yang mustahil, biar pun kerajaan mereka begitu opresif dan kejam terhadap rakyat mereka sendiri.
Dahulu, rakyat takut untuk meluahkan pendapat kerana bimbang akan dikenakan tindakan oleh kerajaan. Tetapi lama-kelamaan, api kemarahan rakyat makin memuncak dan akhirnya tidak dapat dibendung lagi.
Kerajaan zalim, rakyat bangkit
Rakyat di benua sana tidak berpuas hati kerana pelbagai sebab universal yang akan mengundang kemarahan mana-mana rakyat di dunia pun – kerajaan berbentuk diktator, pembendungan hak asasi, dan rasuah.
Mana-mana negara pun di dunia, rakyatnya akan marah sekiranya kerajaan mereka mempunyai cirri-ciri sedemikian.
Bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak meski pun cuba mengharamkan internet demi memadamkan api revolusi, beliau tetap digulingkan atas semangat api demokrasi.
Apa yang menariknya, walau pun secara jelas dalam pilihan raya Mesir, Hosni memperoleh lebih 70 peratus undi popular daripada rakyat, namun itu hanyalah kerana beliau menggunakan taktik taktik kotor dalam pilihan raya dan jelas sekali bahawa majoriti rakyat tidak mahukan beliau lagi.
Meski pun seorang pemimpin berjaya memenangi pilihan raya, jika ia dicemari dengan taktik kotor, ia merupakan kerajaan yang tidak sah dan seharusnya tidak boleh diterima rakyat. Jikalau demokrasi hanya pada kertas tetapi tidak menjulang prinsip-prinsip dan amalan-amalan demokrasi yang sebenarnya, maka sebuah kerajaan tersebut jelas tidak akan diterima oleh rakyat.
Banyak lagi kerajaan-kerajaan Arab dan Afrika Utara yang mengalami 'angin perubahan' yang paling besar dalam sejarah sejak terjatuhnya Tembok Berlin yang simbolik kepada kejatuhan sistem kerajaan komunis di seluruh dunia. Antaranya, Maghribi, Algeria, Libya, Syria, Yemen, Bahrain dan sebagainya.
Kerajaan-kerajaan ini mempunyai cirri-ciri yang sama – memerintah terlalu lama, rasuah, pembendungan hak asasi, dan kerajaannya berbentuk diktator walau pun atas kertas ia dikatakan demokrasi.
Tanda-tanda di Malaysia
Apakah di Malaysia kita tidak mempunyai tanda-tanda sebegini? Barisan Nasional merupakan antara kerajaan yang paling lama masih memerintah di dunia, ia membendung hak asasi, ia sudah sinonim dengan rasuah, dan ia adalah kerajaan yang zalim.
Mungkin terdapat perdebatan tentang perkataan 'zalim'. Tetapi jika mengikut pendefinisian 'zalim' di dalam Islam, ia adalah 'meletakkan sesuatu yang tidak pada tempat/haknya', dan oleh itu, kita boleh mendefinisikan ia sebagai sebuah kerajaan yang zalim.
Mana tidaknya? Hak royalti minyak Terengganu dan Kelatan yang merupakan hak rakyat negeri tersebut ditukarkan kepada 'wang ehsan'. Tatkala seorang pemimpin BN telah didakwa merogol seorang gadis bawah umur, pemimpin pembangkang pula yang dipenjarakan. Jika hendak disenaraikan beberapa bentuk kezaliman yang mereka buat melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan tindakan menekan menggunakan undang-undang zalim, sudah beratus tajuk buku boleh ditulis tentangnya.
Segala bentuk tentangan atau kritikan, pimpinan BN tidak akan malu atau teragak-agak untuk menghumban jurubicara rakyat ke dalam tahanan di bawah ISA. Rasuah tak usah diceritakan, semua rakyat tahu skandal-skandal mereka.
Golongan yang berkuasa tidak takut atau malu untuk memakai cincin RM24.4 juta, mereka tidak malu bil elektrik dan air rumah mereka mencecah RM800,000 sebulan manakala ramai lagi golongan miskin dan daif terkapa-kapa menanti bekalan elektrik dan air yang dijanjikan oleh kerajaan.
Rakyat kagum dan mempunyai harapan yang besar apabila Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dengan lantang dan berani bahawa beliau akan melakukan transformasi yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
Tetapi, transformasi ini sudah tidak mempunyai harapan lagi dan jelas ia adalah bertujuan untuk menipu dan melitupi mata mereka yang jahil.
Kerajaan Najib berjanji bahawa mereka akan 'mengkaji' Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tetapi pada masa yang sama tetap akan melawan keputusan Mahakamah Rayuan yang telah mengatakan Seksyen itu tidak sah kerana melanggar Perlembagaan.
Mereka berjanji hendak mengkaji semula undang-undang perhimpunan terutamanya Seksyen 27 Akta Polis supaya rakyat lebih bebas, tetapi mereka ganti dengan undang-undang yang dinamakan Akta Perhimpunan Aman yang lebih teruk, tidak munasabah dan mengongkong rakyat.
Tiada pilihan lagi untuk rakyat
Jelas sekali bahawa kita tidak punya pilihan lagi. Kita tidak boleh mengharapkan janji-janji BN demi memenuhi aspirasi dan keinginan rakyat. Segala janji mereka sudah tidak boleh dipercayai. Dari harga minyak, pembenterasan rasuah mahu pun reformasi undang-undang zalim, segalanya palsu.
Kita tunggu dan lihat nanti penggubalan baru undang-undang yang bakal menggantikan ISA. Trend menunjukkan bahawa selama ini penggubalan undang-undang baru hanyalah pada nama yang lebih sedap didengari tetapi menipu rakyat kerana ia lebih teruk dan zalim berbanding yang sebelumnya.
Kita amat hairan mengapa mereka sanggup berbuat demikian. Bukankah segala yang dilakukan mereka ini berbentuk 'political suicide'? Mengapa ingin terus membohongi rakyat yang semakin lama, semakin tidak berpuas hati dengan kerajaan?
Jelas dibuktikan dalam rentetan sejarah bahawa dengan kuasa rakyat, segalanya mungkin. Kita harus mempunyai iltizam yang kuat dan keberanian yang tinggi untuk berubah. Jika ia boleh dilakukan di negara-negara di mana kerajaan-kerajaannya lebih zalim dan lebih mengongkong daripada kita, mengapa kita tidak boleh?
Haruskah kita tunggu skandal atau penipuan yang lebih besar atau tidak boleh dimaafkan lagi untuk kita melakukan perubahan? Haruskah negara ini dibankrapkan oleh skandal-skandal berbilion ringgit, baru kita akan sedar? Ubah sekarang, selamatkan Malaysia.
Masyarakat Arab telah dan sedang melalui gelombang perubahan musim bunga. Apakah kita di Malaysia akan menongkah badai musim tengkujuh? Kita mulakan perubahan ini untuk menukar kerajaan yang ada melalui peti undi dalam pilihan raya umum akan datang.
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment