Sunday, April 22, 2012

RG2011... Al-kisah minyak wangi...

 

Hasrizal", pensyarah menyebut nama saya. "Ya, saya!", saya menjawab. "Munawwar!", beliau terus mencatat kedatangan. "Ya, saya", balas teman saya di sebelah.

Sudah menjadi rutin, diawal kelas, Dr. Mustafa Abu Zaid akan mencatat kehadiran pelajar. Satu demi satu nama dipanggil. Inilah bagusnya sistem di Jordan, kehadiran ke kelas adalah wajib. Enam atau empat kali ponteng, akan di'haram'kan masuk ke kelas.

Malas macam mana sekali pun, sistem pengajian di Jordan akan memaksa pelajar supaya lebih berdisiplin. Mana mungkin boleh menjadi thalib al-ilm, jika proses pengajian di kelas jadi sampingan. Semester ini kami mengambil subjek Aqidah III bersama Dr. Mustafa Abu Zaid.

GANGGUAN.. Tiba-tiba, "PANGG!" Terperanjat kami sekelas dibuatnya. Dr Mustafa Abu Zaid menghempas failnya ke atas meja. "Siapa yang pakai minyak wangi tadi???", bentak beliau. Rupa-rupanya ada dua orang pelajar perempuan yang baru masuk ke kelas. Mereka memakai minyak wangi yang agak kuat baunya hingga dikesan oleh Dr. Mustafa.

"Allah! Habis la kita hari ni", saya berbisik kepada Munawwar di sebelah. Memang menjadi suatu pantang yang amat sangat bagi Dr. Mustafa Abu Zaid jika ada pelajar perempuan yang bertabarruj ke kelas. Apatah lagi minyak wangi, oleh pelajar Syariah. Beliau memetik hadith Nabi Sallallahu 'alayhi wa Sallam:

"Apabila seorang perempuan memakai minyak wangi dan kemudian melintasi sekumpulan manusia dengan maksud untuk mereka itu menghidu wangiannya, maka perempuan itu adalah penzina. Dan setiap mata itu adalah penzina jua" [Hadith riwayat al-Nasaa'ie, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban]

"Universiti adalah tempat kamu mencari ilmu, bukan mencari jantan. Kalau mahu mencari jantan, berambus kamu ke pasar", marah benar Dr. Mustafa Abu Zaid pagi itu.

Beliau amat sedih dengan gelagat pelajar di universiti. Jordan, terutamanya di kawasan pedalaman seperti di pekan Mu'tah, umumnya masih terjaga. Apatah lagi universiti kami ini terletak bersebelahan dengan Medan Mu'tah, tempat berlakunya pertempuran tentera Islam hingga menumpahkan darah syuhada' seperti Jaafar ibn Abi Thalib, Zaid ibn Harithah dan Abdullah ibn Rawahah, radhiyallahu 'anhum ajma'een. Tetapi kerenah pelajar di universiti amat menyedihkan. Pergaulan bebas dengan pakaian yang menjolok mata, amat mengganggu pemandangan.

"Kuliah Syariah pula diletakkan jauh di belakang. Untuk ke kelas, terpaksa menempuh Fakulti Undang-undang, Sains dan Kejuruteraan. Di rumah hafal satu surah, sampai fakulti, lupa sepuluh surah!", saya berbisik ke Munawwar di sebelah.

"Universiti ini amat buruk kelakuan pelajarnya. Tetapi saya tidak boleh terima jika pelajar Syariah pun sama. Tidak boleh memakai minyak wangi untuk menarik perhatian atau hingga menarik perhatian. Itu perlakuan zina. Kamu balik ke rumah dan mandi wajib…. kamu tahu Nabi Muhammad SAW pernah memberi amaran begitu?", Dr. Mustafa meneruskan tegurannya.

Sok sek sok sek! Kami mendengar bunyi tangisan seorang pelajar perempuan di bahagian belakang kelas. Tidak berani untuk menoleh ke belakang.

"Kalau takut busuk, jaga kebersihan. Bukan dengan berwangi-wangian. Sudah, hari ini tiada kelas. Kita ganti semula kemudian. Saya tidak boleh mengajar dalam keadaan seperti ini. Bersurai semua", tegas Dr. Mustafa. Aduh! Rugi satu kelas.

"Hah, apa lagi? Bangun!!!", Dr. Mustafa menyergah kami, pelajar lelaki yang masih tercegat di bangku masing-masing. Sebenarnya, kami terus duduk kerana mahu mengesan siapakah pelajar perempuan yang dimarahi tadi. Tetapi Dr. Mustafa lebih cepat mengecam 'niat jahat' kami lalu menghalau semua pelajar lelaki agar terlebih dahulu meninggalkan bilik kuliah. Kami segera bangun hingga ada yang tercicir pen di lantai.

KEBEBASAN 
Universiti adalah 'gelanggang merdeka' untuk pelajar-pelajar bebas dari peraturan. Tiada lagi ibu bapa, tiada lagi pengawas yang menjadi 'kaki repot' di sekolah. Tiada lagi warden untuk menyergah asrama. Kebebasan itulah yang menjahanamkan jati diri kebanyakan pelajar. Seperti layang-layang yang memutuskan tali. Alasannya mahu terbang tinggi, rupa-rupanya sesat dirempuh taufan sampai jatuh binasa ke bumi. Hingga ramai yang terlupa bahawa universiti tempat mencari ilmu, bukan jantan bukan betina! Al-Jaami'ah, wa maa adraaka maa al-Jaami'ah!

nukilan: ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Pssstt... Nak cakap sikit.. 
En. Reza tertarik dengan cerita di atas ni. Gaya bahasa yang santai, tetapi mampu menyentap hati sanubari mereka yang membacanya terutama kaum hawa. Gaya penulisan agak kasar tetapi 'makan dalam'. Sekadar perkongsian kerana ramai wanita diluar sana yang tidak mengetahui hukum berwangi-wangian. 

Ketahuilah, wanita tidak dibolehkan memakai minyak wangi yang boleh menarik perhatian lelaki apatah lagi memang sengaja memakainya dengan niat menarik perhatian kaum lelaki. Allah mengharamkan sesuatu ada sebabnya. Kaum lelaki amat mudah teransang kepada wangi-wangian yang dipakai oleh wanita. Justeru itulah kaum wanita tidak digalakkan memakai wangi-wangian kecuali kepada suami sendiri. Fikir-fikirkanlah...

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment