Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarokatuh
Bila ada manusia mengajak kepada kebaikan, kadangkala dia akan berhadapan dengan sindiran dan caci maki orang ramai. Tambah memburukkan, sindiran dan caci maki itu melemahkan kekuatan hati untuk terus menyebarkan kebaikan.
Antara kata-kata yang biasa kita dengar adalah:
“Ala, belajar pun tak habis lagi nak dakwah-dakwah”
“Diri pun tak berapa betul, nak ajak orang pada kebaikan”
“Ni dah hafal Al-Quran sepenuhnya ke, nak ajak-ajak orang buat baik ni?”
“Kau dah sempurna sangat ke?”
Dan begitulah antara ayat yang keluar, melemahkan semangat mereka yang ingin mengajak kepada Allah SWT. Kadangkala, alasan-alasan seperti itu, yakni alasan tak sempurna, belum cukup bersedia, ilmu masih tak banyak, dosa masih ada yang tak boleh tinggal, digunakan oleh kita sendiri sebagai jalan keluar untuk tidak bergerak menyebarkan kebaikan.
Adakah benar, hendak mengajak kepada kebaikan, diri kita perlu sempurna dahulu?
Kami penumpang bahtera keimanan, yang ingin menuju kepada Allah SWT, redhaNya dan syurgaNya, bukan sesekali sedemikian rupa.
Kisah Abu Bakr RA
Dari kalangan lelaki dewasa, Abu Bakr RA adalah yang pertama beriman dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Jika kita memerhatikan Sirah Nabawiyah, selepas keimanannya, Abu Bakr mengajak ramai manusia untuk mengikuti jalan kepada Allah SWT ini. Antara yang diajaknya adalah:
Uthman bin Affan RA – satu dari 10 yang dijamin syurga.
Sa’ad ibn Abi Waqqas RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga.
Talhah ibn Ubaidillah RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga.
Abdurrahman ibn Auf RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga.
Zubair Al-Awwam RA
Abu Ubaidah Al-Jarrah RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga
Ini adalah antara yang diseru oleh Abu Bakr RA, sebaik sahaja Abu Bakr beriman kepada Allah SWT. Kalau diperhatikan, mereka yang didakwah oleh Abu Bakr RA pada awal keimanannya ini, kebanyakannya adalah sahabat yang dijamin syurga.
Kita teliti, Abu Bakr RA ketika itu baru sahaja beriman kepada Allah SWT. Adakah Al-Quran ketika itu sudah sempurna sehingga ada ayat-ayat yang boleh menguatkan seruan Abu Bakr? Adakah Rasulullah SAW ketika itu sudah menyempurnakan dakwahnya sampai pada Abu Bakr ada pelbagai teknik yang boleh dia gunakan? Adakah ketika itu orang Islam sudah ramai sampai Abu Bakr boleh menunjukkan si fulan itu, si fulan ini gembira mengikuti Islam?
Kita perhatikan, dalam keadaan serba kekurangan, Abu Bakr RA bergerak juga menyebarkan kefahaman Islam, mengajak kepada kebaikan. Sedangkan ketika itu baru awal waktu seruan Rasulullah SAW. Ayat Al-Quran pun hanya ada beberapa sahaja. Orang Islam hanya ada dia, dan keluarga Rasulullah SAW sahaja.
Jadi kenapa Abu Bakr RA ini mampu bergerak, berani menyeru manusia kepada Islam dalam keadaan kekurangan demikian?
Kerana dia beriman, yakin dengan apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Kerana dia melihat Islam itulah penyelesai kepada masalah insan, dan dia hendakkan Islam itu berada dalam jiwa-jiwa masyarakatnya.
Maka dia bergerak tanpa menanti sempurna. Tidak berlengahan. Tidak memberi alasan itu, alasan ini. Tidak juga jatuh dengan seksaan dan hinaan.
Perbaiki diri, dan ajak orang lain
Allahyarham Sheikh Mustapaha Masyur ada berkata:
“Islah nafsak, wad’u ghairak”
Ramai orang salah faham kata-kata ini dengan menafsirkan seperti berikut:
“Perbaiki diri dulu, baru ajak orang lain”
Kalau benar itu maknanya, maka Sheikh Mustaphaa Masyur akan berkata begini:
“Islah nafsak, summa, ud’u ghairak” Perkataan summa di sini membawa maksud kemudian.
Kenapa dia menggunakan ‘dan’, bukannya ‘kemudian’? Hal ini kerana, ‘dan’ menunjukkan kebersamaan, pada waktu yang sama. Manakala ‘kemudian’ menunjukkan kelewatan, bukan pada waktu yang sama. Maka, makna pada kata-kata “Islah nafsak, wad’u ghairak” hakikatnya adalah:
“Perbaiki diri kamu, dan(pada masa yang sama) ajak orang lain(memperbaiki diri macam kamu juga)”
Kenapa dia menyeru demikian? Kenapa Sheikh Mustapha Masyur tidak suruh kita ajak orang lain lepas diri kita dah sempurna? Kenapa masa tengah perbaiki diri kita sudah perlu ajak orang lain? Kenapa?
Hal ini kerana, manusia memang tidak akan mencapai kesempurnaan. Jadi, jika hendak tunggu sempurna, sampai kiamat pun tidak akan bermulanya seruan kepada kebaikan. Justeru, manusia perlu menyeru dengan apa yang sudah ada di tangannya. Dia ada sikit, dia bagi sikit. Dia ada banyak, dia bagi banyak. Pokoknya, dia memberi, berkongsi, menyeru ke arah kebaikan, mengajak manusia kembali kepada Allah SWT. Sebab itu, Rasulullah SAW bersabda:
“Sampaikan daripada aku, walaupun sepotong ayat” Hadith riwayat Bukhari.
Dan dengan kita bergerak mengajak manusia lain ke arah kebaikan, insyaAllah diri kita akan mempunyai satu rasa sensitif untuk menjalankan peningkatan. Hal ini kerana, kita akan merasakan satu tolakan untuk lebih memperkemaskan diri apabila kita mula menyeru manusia ke arah kebaikan. Ini juga satu booster untuk peningkatan diri.
Kebaikan, jangan dilewat-lewatkan
Allah SWT berfirman:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;” Ali-Imran ayat 133.
Allah SWT juga mengingatkan kita berkenaan tindakan seorang lelaki yang apabila mendengar ummatnya menolak penyampaian rasul-rasul Allah SWT. Allah menceritakan bahawa lelaki itu berlari dengan pantas di dalam ayat berikut:
“Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dalam keadaan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu” Surah Yaasin ayat 20.
Apa persamaan dua ayat ini?
Menyegerakan kebaikan.
Hal ini kerana, kalau kita tidak menyegerakan kebaikan, maka hakikatnya kita telah terjerumus dalam kerugian. Mari kita lihat ayat Al-‘Asr yang popular:
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Surah Al-‘Asr ayat 1-3.
Ya, perhatikan ayat-ayat itu. Siapakah yang tidak rugi? Yang tidak rugi dalam hidup ini hanyalah mereka yang melakukan amal kebaikan, dan menyebarkannya pula.
Anda, nak untung atau hendak rugi?
Kami para penumpang bahtera, jelas bukan orang-orang yang mahukan kerugian.
Penutup: Sebarkanlah kebaikan, sebarkanlah kebenaran
Jadi jangan lengah lagi. Jangan takut untuk buat baik. Jangan takut untuk sebarkan kebaikan. Bila bersembang dengan kawan, selitkan peringatan-peringatan. Bila menghadiri satu majlis, jangan lupa ambil peluang menyebarkan kebenaran. Bila mengetuai satu program, jangan lupa adunkan program itu dengan hubungan kepada Allah SWT.
Sebarkanlah kebaikan, sebarkanlah kebenaran. Gunakan segala ruang, peluang dan cara yang ada untuk menyebarkan kebaikan dan kebenaran.
Jangan lengah, jangan lewat-lewat.
Bergeraklah.
Bersegeralah.
Tidak perlu menanti sempurna.
Inilah salah satu jalan untuk berusaha menyempurnakan diri kita.
Mari. Bersama kami menaiki bahtera keyakinan ini.
Menuju kepada Allah SWT, redhaNya, dan syurgaNya.
Irkam Ma’ana!
http://ustaznaim.blogspot.com/
IMPORTANT NOTICE:
The information in this email (and any attachments) is confidential. If you are not the intended recipient, you must not use or disseminate the information. If you have received this email in error, please immediately notify me by "Reply" command and permanently delete the original and any copies or printouts thereof. This email and any attachments are believed to be free from any virus or defects. Syarikat Takaful Malaysia Berhad or its subsidiaries or affiliates shall not be liable jointly or severally for any loss or damage arising in any way from its use by the recipient.
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment