Monday, April 2, 2012

RG2011... Cerpen :Dewa Jib di Gua Batu

 

Oleh RAZALI ENDUN

RAMAI orang mengenali dia sebagai seorang dukun. Dukun Jib. Orang kampungnya tidak ramai yang tahu dia seorang dukun. Akan tetapi dalam kalangan orang politik dan pak-pak menteri dia memang sangat dikenali. Dia dikenali sebagai dukun penenung nasib.

Seorang dukun yang pakar dalam menentukan nasib politik orang-orang politik. Mereka gelar dia 'Dukun Politik'.



Dia menjadi dukun pun secara kebetulan saja. Dia tidak pernah belajar ilmu pendukunan. Sebelum ini dia tidak kenalpun ilmu mistik, apa lagi mempercayainya. Dia tak pernah pun belajar ilmu ghaib itu. Menghafal mantera atau serapah jampi, tidak pernah dipelajarinya.

Dia menjadi dukun kerana dipaksa oleh isterinya yang berbadan gempal, berlengan belantan, berkaki gajah, berpunggung badak tanpa pinggang, berpipi tembam dan berambut sarang tebuan. Orang kampung panggil isterinya 'Mak Tembam'.

Selepas pencen dia tidak berbuat apa-apa, asyik membuta pagi dan petang sehingga badannya menjadi sembap.

Isterinya menjadi runsing kerana kesembapan itu membikin badannya membesar seakanakan mahu mengatasi fizikal isterinya. Isterinya tidak mahu dia menjadi sepertinya. Isterinya mahu mengekalkan tubuhnya seperti sekarang, kurus lampai dan tidak gemuk sepertinya.

Kalau kedua-dua gedempong, lebih hodoh nampaknya.

Suatu hari ada orang berkeliaran di kampungnya mencari dukun. Isterinya terdengar khabar itu lalu memberitahu bahawa suaminya juga seorang dukun. Isterinya mahu supaya suaminya berbuat sesuatu yang mendatangkan hasil, tidak hanya bergantung pada pencen. Isterinya bertanya sakit apakah yang dihidapi oleh si penanya itu. Kata orang itu tiada siapa yang sakit, tetapi tuannya mahu melihat nasib sama ada dia akan terpilih lagi dalam pemilihan parti dan pilihan raya nanti. Tuannya seorang Timbalan Menteri.

"Timbalan Menteri! Wah! Ini peluang keemasan!" jerit suara hati Mak Tembam. Dia mahu jadikan suaminya seorang dukun untuk menenung nasib Timbalan Menteri itu. Kalau tenungan suaminya tepat, sudah pasti habuannya bukan kecil, tentu lumayan. Apabila berjaya tenungannya, tentu nama suaminya menjadi terkenal di kalangan orang politik dan korporat untuk datang menenung nasib.

Entah nasibnya yang cerah atau nasib Timbalan Menteri itu yang bersinar, dia sendiri tidak dapat pastikan. Yang dia tahu tenungannya menjadi. Dalam ramalannya dia memberitahu Timbalan Menteri itu, bahawa dia akan dinaikkan sebagai menteri penuh tidak lama lagi.

Dan dia akan dipilih dalam pemilihan parti untuk mengetuai Bahagiannya.Pembohongannya tepat seperti ramalannya.

Sebelum itu isterinya mengingatkannya, dalam ilmu tenung-menenung, mesti dimaklumkan yang baik-baik dan yang positif saja. Semua yang diharapkan akan menjadi kenyataan, walaupun di luar kemampuan. Tiada siapa yang suka diberitahu hal-hal negatif yang menghampakan harapan.

Sama ada harapan mereka tercapai atau tidak, itu persoalan lain. Yang penting 'duit pengeras' mesti lumayan dan dibayar tunai.

Semenjak itu namanya tibatiba dikenali ramai, terutama mereka dalam bidang politik dan korporat. Malah dalam kalangan artis juga namanya amat masyhur sekali. Hampir semua ramalannya menepati tekaannya.

Dia hanya memberanikan diri meramalkan perkara yang baikbaik saja, walaupun dia tahu itu hanya pembohongan. Yang peliknya pembohongannya itu bukan satu pendustaan, tetapi menjadi kenyataan pula. Justeru kerana itu dia menjadi tumpuan, dipuja dan dipuji, malah ada yang menganggapnya sebagai keramat hidup. Sesetengah yang fanatik menganggapnya sebagai dewa pula.

Kuasa keramat

Dukun Jib semakin hilang pertimbangan apabila ramai orang mendewa-dewakan dia. Dia yakin tarafnya sudah mengatasi kuasa keramat, malah sudah mencapai tahap dewa. Sebagai syarat mujarab pengubatannya, dia memaksa mereka yang datang mendapatkan rawatan daripadanya supaya menyembahnya macam menyembah dewa. Mahu tak mahu, mereka yang datang terpaksa juga menyembahnya.

Oleh kerana terlalu dipuja oleh orang ramai, Dukun Jib merasakan dirinya memiliki kuasa dewa yang tidak dimiliki oleh dukun-dukun yang lain. Dia merasakan manusia kini bergantung kepada kuasa ghaibnya. Tiada siapa yang boleh menentukan nasib seseorang kecuali dia. Sebagai dewa dia bisa terbang di awang-awangan memerhati gelagat manusia yang dianggapnya sebagai berstatus pariah.

Dia terbang bebas di angkasa macam burung menguasai angkasa raya. Semua pelosok dijelajahinya sehingga pada satu sudut matanya tertancap kepada sebuah berhala besar setinggi rumah flat 7 tingkat berwarna keemasan. Di sekeliling berhala itu orang ramai berkerumun merayakan hari perarakan kavadi. Baru dia sedar, rupanya dia berada di angkasa gua batu, tempat penganut Hindu merayakan Thaipusam.

Dia teringin mahu turut sama dalam perayaan itu. Dia mahu duduk seiring dengan berhala gergasi itu agar dia juga disembah oleh orang ramai di situ. Apabila ramai orang menyembahnya, tentu sekali kuasa ghaibnya akan bertambah. Tentu ramai akan percaya akankekuasaannya. Tentu lebih murah rezekinya.

Berguni-guni duit pengeras akan dikutipnya.Soal akidah bukan halangan padanya, kerana akidah hanya kepercayaan. Akidah tidak bolehmemberi kuasa dan rezeki kepadanya. Lalu dia terbang turun dan mendarat di sebelah berhala gergasi itu.

Dia terkesima apabila berduyun-duyun orang datang menyembahnya. Terasa seolaholah dia bukan saja menjadi dewa tetapi sudah menjadi Tuhan yang berkuasa. Kekadang terbit juga rasa bersalah dalam hatinya. Ada bisikan di telinga kanannya memberitahu bahawa perbuatannya itu menyalahi hukum Islam yang dianutinya.

Dia akan menjadi syirik, bukan saja kerana menyekutukan Allah, tetapi dia seolah-olah mahu menyaingi kuasa Allah. Tergiang nasihat seorang mufti yang melarangnya menghadiri acara keagamaan seperti itu kerana dikhuatiri akan menggugat akidahnya. Akan jatuh syrik dengan persekongkolannya itu.

Tak semena-mena tubuhnya tiba-tiba berpeluh. Mukanya mengalir peluh bagaikan aliran air anak sungai. Bajunya lecun, kuyup bagaikan dimandikan hujan. Bibirnya bergetar.

Badannya menggigil seperti orang kena demam kepialu. Biji matanya tertancap ke wajah berhala gergasi yang berwarna keemasan itu.

Tiba-tiba angin kencang bertiup dengan deras. Segala yang berada di situ ranap ditiup angin taufan. Manusia terpelanting bagaikan helaian kertas-kertas terkeroyok melayang-layang. Berhala di sebelahnya kelihatan bergoyang.

Semakin kuat angin bertiup semakin kuat goncangan patung berhala itu. Patung itu menjadi miring. Lalu rebah menghempap tubuh kerdil dukun Jib. Dukun Jib terjerit kuat. Suaranya bagaikan halilintar membelah bumi. Dia lemas di bawah patung besar yang gemuk gedempong itu. Dia termengah-mengah. Nafasnya semput. Dia menahan beban berat patung besar itu.

Dia cuba sedaya kudratnya menolak bebanan patung yang menghempap tubuh kerdilnya.

Dia membuka kelopak matanya untuk melihat patung besar itu. Alangkah terperanjatnya, bukan patung berhala yang menghempapnya, tetapi tubuh gempal Mak Tembam, isterinya.

Dia menyumpah-nyumpah. Mak Tembam ketawa terbahakbahak.

Kata isterinya dia bermimpi terjatuh daripada bangunan KLCC. Mendengar itu dukun Jib turut ketawa.

Geli hatinya tidak terkira. Dia juga bermimpi patung berhala menghempapnya. Rupa-rupanya isterinya yang gemuk gedempol itu yang menghempapnya, bukan berhala di gua batu.

Ketawa Dukun Jib semakin galak, bukan kerana geli hatinya lagi, tetapi bagi menahan sakit dadanya dihempap Mak Tembam. Dan ketawa mereka semakin nyaring di malam sunyi sepi yang hening.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment