Saturday, April 21, 2012

RG2011... Jalan sukar melawan pembodohan

 

Zulhabri Supian suka berjalan dan bercita-cita untuk menghayati semangat anak muda walau nanti akan tua secara biologi. Zulhabri juga aktif di Komuniti Frinjan (http://frinjan.blogspot.com), Alternative Tourism (http://www.facebook.com/altourism.asia) dan menulis di blog (http://habri.blogspot.com).

22 APRIL — Sabtu lepas, 14 April di ibu negara ratusan mahasiswa Malaysia yang tergabung di dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah melakukan aksi demonstrasi di sejumlah tempat menuntut menuntut pinjaman pelajar melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan dan menuntut pendidikan percuma dari kerajaan. 

Seperti lazimnya, aksi demonstrasi dari pihak mana pun pasti akan ditanggapi pro dan kontra pelbagai kalangan. Ini sangat mudah dimengerti kerana memang sifatnya manusia itu ada yang bersetuju atau tidak bersetuju, juga ada yang suka menunggu untuk memberikan posisinya. 

Sewaktu Indonesia dilanda demonstrasi besar tidak lama dahulu dan berlangsung beberapa hari di pelbagai kota terkait isu rencana kenaikan harga minyak, hal yang sama turut berlaku. Aksi yang diterajui mahasiswa, buruh dan rakyat massa ini di beberapa tempat cenderung megambil jalan keras dengan melakukan pelbagai kerosakan seperti membakar kenderaan dan saling melempar batu, lantas tindakan ini mendapat banyak kecaman dari masyarakat. 

Meskipun begitu dinamikanya berbeza kerana dengan keterbukaan media di sana yang bebas berpihak kepada siapa jua, kecaman yang datang dari pelbagai kelompok ini tidak mengurangkan penentangan mereka terhadap rencana kenaikan harga minyak tersebut. 

Beberapa media yang menuduh aksi demonstran itu sebagai anarkis dijawab secara langsung oleh tertuduh di media yang menuduh (mereka diundang ke acara diskusi) bahawa anarkis itu adalah perjuangan yang datang dengan tujuan tertentu bukan sekadar suka-suka melakukan kekerasan. Mendengar itu beberapa media terkesima dan kemudian membuat pendefinisian semula makna anarkis. Nah itu dia praktik yang berlaku di negara yang medianya bebas dan masing-masing saling membetulkan apa yang salah. Bagaimana dengan Malaysia? 

Beberapa teman di Indonesia yang saya temui turut mengkritik tindakan kekerasan tersebut walaupun beberapa teman membela aksi tersebut dengan beberapa pembenaran yang jika dilihat dalam konteks Indonesia ada juga separuh benarnya. Meskipun begitu mereka tidak pernah lari dari isu pokoknya iaitu menentang kenaikan harga minyak, pembaziran dan korupsi yang berleluasa di pemerintah. 

Terbalik dengan apa yang berlaku di Indonesia, aksi mahasiswa di Malaysia memicu perdebatan hangat bukan kerana meriahnya saling hujah menghujah pendapat yang bernas dan rasional, tetapi kerana aksi simbolik mengalung bunga di potret Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin serta pilihan mereka untuk menduduki & berkhemah di Dataran Merdeka sehingga aksi duduk bantah Bersih 3.0 pada 28 April nanti. Secara peribadi saya turut tidak bersetuju dengan aksi mengalung bunga tersebut dan bersetuju dengan aksi berkhemah. 

Ramai dari kalangan yang menghentam aksi mahasiswa melalui status Facebook dan kicauan di Twitter pada pandangan saya gagal mengikuti apa yang dilakukan banyak kalangan di Indonesia — iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. 

Gara-gara aksi yang dinilai negatif itu mereka dengan bangganya mengkritik tuntutan mahasiswa tersebut dan malangnya banyak sandaran kritiknya terasa lucu dan kurang analisa. Malah ada yang ekstrem dan emosional mengutuk tindakan mereka dengan menulis "BODOH AZALI BEBAL TULI BANGANG SAMPAI KE MATI", "tak sedar dek untung...memalukan bangsa...jadilah barua sampai tua" dan ada yang sinikal menulis "Layan kpop lg best aa dr melayan cite nk mansuh ptptn ni". Untuk pengetahuan kelompok ini cukup banyak dan siginifikan, maka kerana itu saya menulis tentang ini. Sama ada mereka akan mengundi atau tidak itu hal lain kerana soal pemikiran lebih jauh pentingnya dari soal siapa yang berkuasa. 

Mereka berhak berpendapat dan itu juga yang diperjuangkan saya, kebebasan untuk mengungkap. Namun ada beza besar di antara mereka yang berfikir sebelum berpendapat dan sekadar berpendapat akibat emosional terhadap pihak lawannya. Lucunya kelompok ini adalah mereka malas untuk membicarakan tentang apa yang dituntut segolongan mahasiswa tersebut, sebaliknya lebih sibuk mengutuk aksi mereka dan sedihnya mereka mencari pembenaran untuk merasionalkan kenapa pendidikan percuma itu tidak wajar. Saya kurang tahu adakah itu memang benar-benar dari hati nurani mereka atau memang mereka menyampah dengan segala tuntutan yang dibawa oleh pihak yang boleh menggugat pandangan politik mereka iaitu Umno, Islam, Melayu dan Raja. 

Kelompok ini jika dilihat kecenderungannya memang punya semangat bangkit melawan yang luar biasa terhadap segala tuntutan yang murni niatnya seperti penghapusan tol, penurunan harga minyak dan banyak lagi. Hanya saja mereka tidak akan bangkit melawan jika isunya seperti skandal Port Klang Free Zone (PKFZ), skandal National Feedlot Corporation (NFC), pelupusan hutang Tajuddin Ramli dan banyak lagi kebejatan lainnya. Rasuah? Ini isu yang pantang untuk mereka lawan kerana rasuahlah yang terus mepertahankan Umno, Ketuanan Melayu dan Islam Melayu Rajanya. Jadi untuk saya persetankan sahaja dan usah dibuang masa melayani kerenah mereka. Namun ada pengecualian iaitu sekiranya mereka mulai berhujah dengan rasional dan pintar, kala itu mereka wajib kita dekati kerana bak kata Imam al-Ghazali, "Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu". 

Meskipun begitu itu tidak bermakna setiap yang dilakukan kelompok mahasiswa tersebut dan simpatisan mereka segalanya benar. Kritik dan saran tetap wajib dilakukan ke atas mereka untuk saling perbaiki. Persoalan pokok secara umum tidak menjadi permasalahan walau ada debat yang cukup hangat terhadap sesuatu isu dan inilah beza besar di antara kelompok ini dengan kelompok anti pro-rakyat. Hanya saja terpulang kepada kita memilih jalan lembut, tengah atau keras. 

Kita tidak usah membuang masa bertikai tentang jalan yang harus dipilih kerana jika garisnya sudah di landasan iaitu menentang pembodohan, korupsi dan kezaliman, hanya ada satu kata, lawan! seperti yang dibilang Wiji Thukul. 

Barangkali kata-kata dari seorang Goenawan ini boleh menjadi inspirasi kepada kita, "Di hari-hari penuh fitnah ini, membela yang benar tak cukup hanya disimpan di dalam hati" — Goenawan Muhammad. Ayuh lawan tetap lawan!

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment