Monday, August 27, 2012

RG2011... Niat Baik Yang Membinasakan

 


Biar siapa pun kita… Biar setinggi mana pun ilmu kita… Biar sekaya mana pun kita…

 
Satu hal yang pasti… kita tidak akan mampu membohongi Allah swt walau sesaat sekali pun.

Niat memainkan peranan yang penting dalam sesuatu perlakuan. Tanpa niat perlakuan tidak akan timbul. Biar apa pun perlakuan kita namun sedar atau tidak sedar ianya telah diawali dengan niat cuma mungkin kita tidak sedar akan keberadaannya. Mungkin bagi kita niat adalah satu ucapan dan mungkin ada juga yang mengatakan yang niat adalah lintasan hati atau boleh jadi apa yang dirasa dalam hati. Biar apapun keadaannya, caranya ianya tetaplah niat. Begitu jugalah niat yang baik tetapi seringkali memakan diri.

Saya pernah ditanya tentang hal ini, kata si penanya "mengapa kadangkala niat yang baik tetapi akhirnya membawa keegooan yang tinggi dalam diri seseorang?" Mungkin selama ini terlepas pandang kaitan niat dan nafsu dalam melaksanakan tindakan. Sebagai contoh, kita berniat baik untuk mengajarkan sesuatu perkara yang baik kepada seseorang tetapi kita mungkin alpa dalam menilai nafsu yang ada dalam niat baik kita.

Kita mungkin menjadi terlalu bercita-cita tinggi dalam menjadikan seseorang itu baik hinggakan perlakuan kita dipenuhi dengan ego. Kita menasihati seseorang untuk melakukan kebaikan dengan harapan mereka akan berubah ke arah lebih baik. Kita memberi nasihat bersungguh-sungguh supaya perubahan dapat berlaku namun jika sebaliknya orang yang dinasihati itu tidak mendengar nasihat yang diutarakan kita menjadi emosi. Maka di situlah letaknya ego. Kita lupa bahawa kita perlu melakukan apa sahaja untuk membawa transformasi yang baik namun jangan dilupa bahawa keputusan atau hasil itu tetap menjadi hak milik mutlak Allah swt.

Saya sendiri pernah ditanya " mengapa orang bukan Islam bersetuju dengan Islam tetapi tidak mahu masuk Islam?" Inilah titik ego yang halus yang sudah terlepas pandang. Kita menasihati seseorang kerana kemahuan kita bukan kerana kasih sayang. Kasih sayang sentiasa akan timbul dari jiwa yang tenang yang sentiasa mengingati Allah swt dengan jiwanya. Satu kisah yang sering kita dengar yang pernah dihuraikan oleh Al-Ghazali mungkin dapat memberi gambaran tentang niat yang dilihat baik tetapi sebenarnya membawa kemusnahan diri.

Pada zaman Bani Israil terdapat seorang ahli ibadah yang begitu tekun beribadah hinggakan sebahagian kehidupan hanya untuk berbakti kepada Allah swt. Sebagai seorang abid, dia begitu menjaga hubungannya dengan Allah swt dan hubungannya sesama insan. Pada suatu hari, dia mendapat tahu yang masyarakat kampungnya menyembah sepohon pokok yang dianggap keramat.

Mendengar akan perbuatan yang merosakkan aqidah itu, emosinya menjadi marah lalu dia berniat untuk menebang pokok yang menjadi punca kekufuran masyarakat sekelilingnya, lalu diambilnya kapak lantas keluarlah dia untuk menghapuskan kekufuran. Niatnya begitu baik dan begitu murni dan ini menimbulkan keresahan pada Iblis. Maka dipertengahan jalan menuju ke pokok tersebut, ahli ibadah ini bertemu dengan iblis menjelma menjadi seorang lelaki tua.
Iblis kemudiannya bertanya kepada ahli ibadah ke manakah tujuannya dengan membawa kapak. Ahli ibadah menjawab soalan iblis yang menjelma sebagai lelaki tua dengan penuh emosi "saya mahu ke sana untuk menebang pokok yang disembah oleh masyarakat setempat. Saya akan tebang pokok itu!" Iblis cuba memainkan peranan dalam membuat strategi agar niat ahli ibadah membatalkan niatnya.

Iblis pun berkata "mengapakah kamu bersusah-payah mahu menebang pokok tersebut hingga kamu sanggup meninggalkan ibadah kamu kepada Allah swt." Tanpa menghiraukan kata-kata iblis, ahli ibadah meneruskan meneruskan perjalanannya dengan tekad tidak berbelah bahagi dan dia benar-benar mahu menebang pokok kayu yang menyesatkan manusia itu.

Dek kerana kedegilan si abid ini maka berlakulah perkelahian antara keduanya namun kerana tekad yang begitu kuat untuk membawa manusia kepada Allah swt maka iblis dapat dikalahkan oleh ahli ibadah itu dengan mudah. Setelah kalah dalam berlawan secara fizikal, iblis mula menggunakan pendekatan diplomasi yang diharapkan dapat membuatkan ahli ibadah membatalkan niatnya.

Katanya "Allah swt tidak mewajibkan kamu menebang pokok tersebut dan tidak pula mewajibkan kamu untuk mencegah masyarakat menyembah pokok tersebut. Perkara ini adalah kewajipan serta tugas para Nabi dan Rasul, sedangkan kamu bukan dari golongan tersebut. Biar apapun dikatakan iblis, ahli ibadah tersebut tetap juga dengan pendiriannya untuk menebang pokok tersebut dan ini menimbulkan kemarahan yang amat sangat kepada iblis lalu dia menggunakan kekerasan untuk memastikan kegagalan misi ahli ibadah tersebut. Namun keputusan tetap juga berpihak kepada ahli ibadah tersebut.
Melihatkan kekerasan hati ahli ibadah yang benar-benar nekad itu maka iblis membuat satu tawaran. Iblis menawarkan ahli ibadah satu keberhasilan atau keuntungan yang berterusan kerana ahli ibadah adalah seorang yang miskin dan tidak berharta. Iblis memujuk ahli ibadah untuk menerima tawaran tersebut supaya ahli ibadah dapat menghabiskan waktu dalam beribadah dan tidak tidak perlu memikirkan hal-hal kewangan.

Iblis berkata "aku akan memberi kamu dua dinar setiap hari. Dengan itu kamu boleh menggunakan satu dinar bagi keperluan nafkah kamu dan satu dinar lagi bolehlahkamu sedekahkan untuk kaum fakir-miskin dan melarat. Wang sebanyak dua dinar itu akan saya letakkan di bawah bantal kamu pada setiap pagi."

Tanpa disedari oleh ahli ibadah tersebut, pujuk rayu iblis itu telah menyusup masuk ke dalam benak mindanya. Si abid telah mula terbayang wang yang bakal diperolehinya setiap pagi dan mengenangkan ianya dapat beribadat lebih tekun tanpa memikir kewangan maka dia pun memutuskan untuk tidak meneruskan niatnya lalu kembali ke rumahnya untuk kembali beribadah seperti biasa. Seperti yang dijanjikan si iblis, pada pagi hari yang pertama terdapat dua dinar di bawah bantalnya dan begitu juga pada hari kedua.

Ahli ibadah tersebut cukup berlapang dada kerana wang yang diperolehinya begitu mudah dan dia merasakan dia akan dapat melakukan ibadah dengan lebih tekun lagi. Namun hal itu tidak berlaku pada hari ketiga. Pada hari ketiga wang yang dijanjikan iblis tidak berada di bawah bantal sebagaimana dua hari yang lepas. Ahli ibadah tersebut mula berasa kecewa kerana dipermainkan. Dia merasa dimungkiri lalu dia mengambil kapaknya dan keluar untuk meneruskan niatnya yang terbantut akibat pujuk rayu iblis itu.

Dia pergi dalam keadaan yang begitu marah kepada kepada iblis kerana menipunya tentang wang dua dinar yang dijanjikan. Dalam perjalanannya untuk menebang pokok tersebut, dia bertemu kembali iblis yang menyerupai lelaki yang menahannya beberepa hari lepas. Ahli ibadah itu memarahi si iblis dan mereka bertengkar dengan hebatnya dan berlakulah pertempuran fizikal.

Anehnya, jika dahulu ahli ibadah ini dengan mudahnya mengalahkan iblis tetapi kali ini yang berlaku adalah sebaliknya. Ahli ibadah dikalahkan begitu mudah oleh si iblis tadi. Melihat ahli ibadah sudah dapat ditewaskan dengan mudah maka iblis kemudiannya memberi amaran untuk ahli ibadah itu meneruskan niat untuk menebang pokok berkenaan dan seandainya dia berdegil dan meneruskan niatnya itu maka si iblis tidak teragak-agak untuk menghapuskannya. Mereka kemudian berbalah hingga terfikir oleh ahli ibadah tersebut itu untuk bertanyakan sesuatu yang bermain di fikirannya.

Ahli ibadah tersebut bertanya kepada iblis "mengapa engkau amat mudah untuk aku kalahkan dalam dua pergaduhan yang awal tetapi kali ini aku pula yang dapatkan kau kalahkan dengan mudah?"
Iblis kemudiannya menjawab dengan mudah "apakah yang engkau hairankan? Bukankah pergaduhan pertama dan kedua itu kerana niat engkau ingin menebang pokok supaya dapat menghindarkan masyarakat dari sesat dan engkau begitu ikhlas dalam melakukannya. Namun kali ini engkau kalau kerana niat kamu bukan lagi kerana Allah swt tetapi demi memenuhi tuntutan nafsu engkau. Engkau ingin menebang pokok itu kerana kemarahan engkau apabila mendapati tiada wang yang aku janjikan. Engkau aku kalahkan kerana niat mu."

Walaupun kita sering mendengar cerita ini tetapi kita tidak perasan betapa halusnya permainan yang ada dalam episod niat itu sendiri. Kita kelihatannya mahu mengubah masyarakat agar kembali kepada kehidupan asas yakni yakin sepenuhnya kepada Allah swt namun pada masa yang sama kita tidak perasaan bahawa niat kita dikotori oleh nafsu duniawi yang halus tetapi cukup merosakkan.

Kita mungkin melakukannya kerana kita bercita-cita tinggi untuk menjadi seseorang yang dihormati atau kita melakukannya supaya kita punya gelaran tertentu. Hal itu tiada siapa yang mengetahui dan tiada siapa yang berhak menghakimi melainkan kita dan Allah swt. Saya menulisnya supaya kita sama-sama merenungi kembali niat kita yang kelihatan baik tetapi memakan diri sendiri kerana permainan nafsu diri yang dipacu oleh syaitan. Virus ini bukan sahaja boleh merosakkan kita tetapi mampu memecah belahkan umat Islam.

Kita perlu melakukan atas niat yang murni kerana Allah swt. Kita perlu sentiasa memeriksa niat kita agar kita tidak terlepas pandang kotoran yang melekat padanya. Mungkin sekarang tidak, tetapi lama kelamaan kita mungkin sahaja boleh menjadi orang ayang sombong atau berasa berilmu hingga melihat orang lain seperti tidak berada di tahap kita. Ini adalah strategi yang halus maka apa yang perlu kita lakukan adalah kembali kepada Allah swt secara total dan kasih sayang Allah swt akan menyelamatkan kita dari permainan yang cukup halus ini.

Dalam satu hadis riwayat bukhari dan muslim : "Dari Abi Bakr, bahawasanya Rasulullah berkata: Jika dua orang Muslim berkelahi memakai pedang, maka yang membunuh dan yang dibunuh masuk neraka. Saya bertanya: Ya Rasulullah! Yang membunuh sudah dimaklumi, akan tetapi mengapa pula terjadi begitu kepada yang dibunuh? Nabi berkata: kerana yang dibunuh itu pada awalnya juga bermaksud juga untuk membunuh lawannya itu."
Semoga mulai hari ini kita berjaga dengan keluhuran niat agar niat yang baik tidak memusnahkan diri. 

wallahu a'lam.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment