Monday, February 25, 2013

RG2011... Takkan Melayu hilang di Malaysia

 

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

25 FEB — Hang Tuah yang khabarnya berketurunan Bugis dipercayai pernah berkata, "Takkan Melayu hilang di dunia". 

Dalam pada akur dan percaya kepada kata-kata itu, saya sebenarnya lebih risau memikirkan kemungkinan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dimanipulasi golongan tertentu yang menjadi semacam "musuh dalam selimut" lalu "merampas" hak istimewa orang Melayu "secara sah".

Raja Nazrin bertitah pada Majlis Syarahan Perdana Budaya.Untuk rekod, analisis ini tidak bertujuan mempertikaikan hak istimewa orang Melayu serta golongan Bumiputera di Sabah dan Sabah. Sebaliknya, sebagai peringatan supaya jangan pula sampai ke tahap kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan.

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah semasa Majlis Syarahan Perdana Budaya di Petaling Jaya pada 7 November 2012 antara lain bertitah bahawa sesungguhnya wujud kebimbangan orang Melayu tentang kemasukan kaum imigran Cina dan India ke Tanah Melayu sejak kurun ke-19 hingga pertengahan kurun ke-20.

"Demi memastikan orang Melayu tidak menjadi minoriti di bumi warisan pusaka bangsanya, Raja-raja Melayu menzahirkan saranan kepada pentadbiran Inggeris (sebelum merdeka) supaya tenaga kerja asing diimbangi dengan turut mengambil tenaga kerja dalam kalangan orang-orang Jawa," titah baginda dalam teks yang turut disiarkan di majalah Dewan Masyarakat (Januari 2013).

Sejak kecil, sewaktu membesar di Taiping, Perak, saya ada rakan-rakan pelbagai kaum, agama, etnik dan latar belakang. Bagi saya, orang Melayu adalah orang yang benar-benar berdarah Melayu serta beragama Islam. 

Akan tetapi, menjelang usia remaja, saya menyedari bahawa tanggapan dan andaian saya salah; sekurang-kurangnya secara teknikal. Ada beberapa individu yang saya kenali sebenarnya kaum India dan Cina tetapi tiba-tiba menjadi "Melayu" apabila memeluk Islam.

Sesungguhnya, Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mendefinisikan "orang Melayu" sebagai individu yang menganut agama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu. Anak-anak kepada individu terbabit juga secara automatik memenuhi definisi "orang Melayu".

Tentu sahaja saya tidak sedikit pun berniat mempertikaikan apa-apa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan; khususnya Perkara 160 (definisi "orang Melayu") dan Perkara 153 (hak istimewa orang Melayu). Antara hak istimewa yang termaktub dalam Perlembagaan dan dilindungi menerusi Wasiat Raja-raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957 adalah jawatan dalam kerajaan, peruntukan biasiswa dan bantuan ekonomi bagi kaum Melayu.

Dalam konteks Malaysia, seorang Melayu secara automatik beragama Islam. Atas sebab itulah juga istilah "Melayu-Islam" digunakan. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa tidak semua orang Islam di Malaysia terdiri daripada orang Melayu; dengan erti kata orang yang berdarah Melayu tulen.

Usah terkeliru antara 'Hak Melayu' dan 'Ketuanan Melayu'.Sekadar contoh terdekat (dan paling hangat sekarang) adalah Ridhuan Tee Abdullah (nama asal: Tee Chuan Seng) yang tiba-tiba menjadi terkenal selepas menyiaran rencana bertajuk "Kesabaran umat Islam ada had" di akhbar Sinar Harian (18 Februari 2013). 

Perbuatan selaras Perkara 160

Tee yang merupakan seorang mualaf keturunan Cina sering bercakap dan menulis mengenai Agenda Islam dan Agenda Melayu — kadang-kadang secara lebih bersemangat berbanding kaum Melayu tulen dan individu yang beragama Islam sejak lahir. 

Ramai juga individu mualaf berketurunan India yang turut mempunyai semangat seperti itu. Hinggalah ke tahap mereka lebih gemar menggelarkan diri mereka sebagai "orang Melayu" berbanding sebagai "India-Muslim" atau "mamak".

Dari segi teknikal, perbuatan mereka tidak salah kerana selaras dengan peruntukan Perkara 160. Saya juga tidak berniat mahu mempersoalkan tindakan mereka kerana bimbang saya pula dilabel sebagai cuba mempersoalkan "hak orang Melayu".

Sejak beberapa tahun lalu, timbul juga perkongsian maklumat berserta bahan bukti dalam kalangan pengguna laman rangkaian sosial Facebook bahawa keluarga mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tergolong dalam kelompok "India-Muslim" dan bukannya "Melayu" (berdarah Melayu tulen). 

Isu itu juga tidak mahu saya analisis secara terperinci di sini kerana jika terbukti "tuduhan" itu benar, maknanya selama 22 tahun, Malaysia pernah ditadbir oleh seorang politikus India-Muslim dan bukannya Melayu-Islam (berdarah Melayu tulen). Dalam keadaan ramai orang mengatakan bahawa hanya seorang politikus Melayu-Islam layak menjadi Perdana Menteri (khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13), tentulah perkara itu akan memberikan suatu tamparan maha hebat; jika terbukti benar.

Berbalik pada topik perbincangan, bagi saya, seorang individu "Melayu" adalah orang yang dilahirkan "Melayu" (sekali gus beragama Islam sejak lahir). Jika seorang "Bukan Melayu" memeluk agama Islam, dia menjadi orang Islam (misalnya India-Muslim dan Cina-Muslim) tetapi bukan "Melayu-Islam". Secara logik, etnik, keturunan dan kaum seseorang tidak boleh diubah.

Malangnya, sedikit kelonggaran dan "kekaburan definisi" dalam Perkara 160 boleh sahaja melayakkan individu India-Muslim dan Cina-Muslim di Malaysia mengaku dirinya "orang Melayu". Soal berhubung "bercakap bahasa Melayu" dan "mengamalkan adat Melayu" masih kabur/longgar dari segi pelaksanaan dan pemantauan.

Sebelum sesiapa mula melenting dan melalak serta menyeru supaya saya ditahan polis kerana memperkatakan tentang "kekaburan definisi" dalam Perkara 160, biar saya tegaskan sekali lagi bahawa saya sedang cuba mempertahankan hak istimewa orang Melayu yang sepatutnya menjadi hak eksklusif kaum Melayu.

Suatu komik lama yang menyatakan bahawa Malaya adalah hak orang Melayu.Terdapat tujuh perkara dalam Wasiat Raja-Raja Melayu yang ditandatangani menjelang kemerdekaan negara. Perkara ketujuh adalah seperti berikut:

"Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan gutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain." Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan turut menjelaskan mengenai Tanah Simpanan Melayu iaitu Tanah Rizab Orang Melayu seperti berikut:

"Mana-mana tanah di sesuatu negeri yang menjadi tanah rizab Melayu sebelum hari merdeka mengikut undang-undang yang ada, maka tanah itu boleh terus-menerus menjadi tanah rizab orang Melayu mengikut undang-undang itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Badan Perundangan Negeri dengan suatu Enakmen."

Jangan sampai kampung tergadai

Dalam pada itu, seperti ditegaskan oleh Raja Nazrin (Utusan Malaysia, 8 November 2012), terdapat sepuluh perkara yang termaktub dalam Perkara 2 (b), Perkara 38 (4) dan Perkara 159 (5) tidak boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-raja. 

"Adalah amat menyimpang jika Majlis Raja-raja dianggap sekadar institusi memenuhi keperluan ceremonial," titah baginda selain menegaskan bahawa pelbagai usaha diambil untuk "memastikan orang Melayu tidak menjadi minoriti di bumi warisan pusaka bangsanya." Walau bagaimanapun, apa yang saya bimbang adalah kemungkinan tiba suatu hari bilamana segala hak istimewa orang Melayu serta perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Wasiat Raja-Raja Melayu tidak lagi menjadi hak serta dinikmati secara eksklusif oleh orang Melayu-Islam. Jangan sampai ayam menang, kampung tergadai.

Biar saya berikan suatu contoh paling mudah untuk menjelaskan kebimbangan ini. Bayangkan bahawa saya berjaya memujuk kaum-keluarga, suku-sakat, saudara-mara dan jurai keturunan saya memeluk agama Islam; tanpa perlu berkahwin dengan orang Melayu. 

Kemudian saya memujuk dan berjaya pula membawa masuk majoriti kaum India menjadi penganut Islam; juga tidak melalui perkahwinan dengan orang Melayu. (Ingat: Ini adalah contoh mudah sahaja sambil mengabaikan segala faktor sampingan lain.)

Maka, akhirnya, jumlah penganut agama Islam akan bertambah. Bayangkan jika kelompok kaum India yang memeluk Islam ini tidak sekadar mengklasifikasikan diri sebagai "Mamak Malabari" atau "India-Muslim". Sebaliknya mula menjadi "orang Melayu" mengikut definisi Perkara 160.

Bayangkan pula bahawa kaum Cina juga mula memeluk Islam secara beramai-ramai (tanpa perlu berkahwin dengan orang Melayu) serta menuntut hak untuk dikenali sebagai "orang Melayu" selaras peruntukan Perlembagaan.

Tee sering menulis mengenai Agenda Melayu dan Agenda Islam.Akhirnya, apakah hak istimewa orang Melayu (Perkara 153) yang cuba dipertahankan menerusi Wasiat Raja-raja Melayu dan pelbagai peruntukan khas dalam Perlembagaan Persekutuan akan kekal menjadi milik eksklusif "orang Melayu" dalam erti kata sebenar seperti diharapkan semasa watikah berkenaan ditandatangani dan perlembagaan negara digubal?

Apakah pula hak istimewa seperti jawatan dalam kerajaan, peruntukan biasiswa dan bantuan ekonomi bagi orang Melayu akan kekal sebagai hak eksklusif kaum Melayu atau sudah terpaksa dikongsi bersama-sama kaum-kaum lain yang tetap berhak menuntut jawatan, biasiswa dan bantuan ekonomi itu mengikut definisi dalam Perkara 160?

Tanah Simpanan Melayu diisytiharkan sehingga nisbah 50 peratus khusus untuk kaum Melayu dalam Wasiat Raja-raja Melayu. Akan tetapi, berdasarkan contoh mudah di atas, bukankah nisbah 50 peratus itu sebenarnya sudah pun terpaksa dikongsikan bersama-sama kaum-kaum lain yang bukan berdarah Melayu tulen? (Ingat bahawa dalam contoh di atas, tidak berlaku perkahwinan campur dengan orang Melayu.)

Saya tidak berniat menuntut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dipinda. Saya juga tidak menafikan bahawa "kepentingan sah kaum-kaum lain" dilindungi dalam Wasiat Raja-raja dan Perlembagaan Persekutuan. 

Sebaliknya saya sekadar meluahkan kebimbangan terhadap "nasib" hak istimewa orang Melayu yang sedang sama-sama kita pertahankan menerusi keluhuran Perlembagaan; tanpa terkeliru antara "Hak Melayu" dan "Ketuanan Melayu".

Sesungguhnya saya berharap tanggapan, contoh dan analisis di atas adalah salah dan pincang. Semoga hak istimewa orang Melayu terus kekal menjadi milik abadi dan eksklusif bagi kaum Melayu-Islam seperti dihajati menerusi Wasiat Raja-raja Melayu; dengan izin Allah.

* Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Beliau memblog di www.uthayasb.blogspot.com.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment