Saturday, September 28, 2013

RG2011... Fw: 'Sekolah kita' selepas 56 tahun merdeka,

 



'Sekolah kita' selepas 56 tahun merdeka, apa kata Cikgu Arul?

 
KOMITMEN tinggi sebagai guru membuatkan beliau cakna dengan pelbagai permasalahan pelajar dan sistem pendidikan negara. Atas kesedaran itu, pembabitan aktif beliau bersama parti politik bukanlah satu yang mengejutkan malahan semakin ramai pendidik membabitkan diri, berjuang bersama gerakan politik dalam rangka meneruskan agenda menuju impian Malaysia. Baru-baru ini wartawan Roketkini.com, Hafiz Zainuddin menemubual Cikgu Arul, kini sudah bergelar wakil rakyat pada usia yang begitu muda iaitu 28 tahun mengenai beberapa isu seputar yang melanda negara. Foto oleh Wira Andika.

Nama: Arul Kumar a/l Jambunathan
Umur: 28 tahun
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Pengalaman kerjaya: Guru di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Kubu, Melaka selama empat tahun
Politik: Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Nilai
Penolong Setiausaha DAP Negeri Sembilan

Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Nilai, apa agenda utama yang mahu saudara bawa?

Nilai adalah satu kawasan yang berhampiran dengan Kuala Lumpur dan sedang pesat membangun. Di sini terdapat banyak universiti dan kolej, kawasan perindustrian, pusat komersil dan taman perumahan.

Saya berharap, Nilai akan jadi satu kawasan hub pendidikan yang penting di Negeri Sembilan. Buat masa ini, hanya ada satu universiti awam di Negeri Sembilan iaitu Universiti Sains Islam Malaysia. Saya percaya, dengan kos sara hidup yang berpatutan di Nilai, pertambahan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini amat berbaloi untuk semua.

Dengan peningkatan bilangan pengundi di Nilai, nampaknya DAP memperoleh majoriti yang lebih berbanding 2008 dulu.

Ya. Permulaannya bila melihat kepada peningkatan bilangan pengundi, saya berasa agak risau. Pada Pilihan Raya Umum 2008, pengundi di kalangan masyarakat Cina membentuk 52 peratus, pengundi Melayu sekitar 25 peratus dan pengundi India dalam 21 peratus. Pada 2013 pula, jumlah pengundi Melayu meningkat sehingga 30 peratus, pengundi Cina menurun kepada kira-kira 46 peratus manakala pengundi India bertambah sedikit kepada 22 peratus.

Memang mulanya saya berasa agak risau. Tetapi rupa-rupanya selepas pilihan raya, majoriti undi yang DAP peroleh di Nilai meningkat. Dulu menang 1,800 undi, sekarang lebih 4,000 undi majoriti dan yang membanggakan DAP dapat lebih 30 peratus undi daripada masyarakat Melayu sebab kalau kita tak dapat, kita tak boleh menang dengan majoriti sebegitu tinggi. Ini amat membanggakan di mana masyarakat Melayu di Nilai memilih DAP.
 

Ya. Saudara sekarang mewakili Nilai di DUN. Pada pandangan saudara, kenapa DAP pilih orang muda seperti saudara?

Kita percaya, DAP mahu membentuk lebih ramai pemimpin di masa hadapan. Masa ini, kita dapat lihat ramai golongan muda, belia mempunyai pendidikan tinggi. Kita juga tidak nafikan ramai golongan yang lebih senior dalam parti yang berpendidikan tinggi juga tetapi mereka mempunyai satu sikap keterbukaan. Mereka beri peluang kepada golongan muda walaupun mereka lebih berpengalaman. Pada masa yang sama, pengundi juga kini melihat taraf pendidikan itu penting dalam pemilihan mereka kepada calon yang bertanding selain faktor parti.

Bukan saja DAP, Pakatan Rakyat (PR) juga ramai mengetengahkan calon pemimpin muda dan kita dapat lihat golongan muda lebih cenderung kepada PR berbanding Barisan Nasional (BN).

Betul, saya sebagai contoh. Walau pun berumur 28 tahun, saya diberi kepercayaan oleh parti. Permulaan dulu, ramai yang tidak percaya saya dicalonkan untuk bertanding dan sekarang menang jadi wakil rakyat muda. DAP sendiri mampu bawa contoh terbaik bagaimana orang muda diberi ruang, peluang dan tempat dalam parti untuk bersama masyarakat. Tidak seperti BN yang masih terlalu kurang ketengahkan calon muda, seolah-olah diketepikan.
Di sini, golongan muda dapat lihat, peranan mereka dalam politik amat penting bila diberi peluang. Ini yang membuatkan mereka suka dan lebih bersemangat.

Apa beza orang lama dengan orang muda dan apa sebenarnya yang orang muda mahu sehingga membuatkan mereka cenderung kepada oposisi?

Permainan politik kotor seperti politik kaum dan agama menghantui kita semua seluruh negara hingga menyebabkan ramai yang tidak selesa. Dalam masa yang sama, Malaysia seperti di kebanyakan negara lain dilanda teknologi maklumat yang semakin berkembang.
Perkembangan aplikasi dan jaringan teknologi maklumat, ia berjaya membentuk persepsi dan gambaran yang lebih tepat mengenai situasi politik, ekonomi dan sebagainya. Maksudnya, maklumat tidak hanya berdasarkan sebelah pihak.

Atas kesedaran, pendidikan dan pendedahan yang mereka dapat, golongan muda mahu sebuah kerajaan yang bersih, amanah, tanpa rasuah dan saya percaya mereka juga suka dengan manifesto PR. Contohnya pendidikan percuma sehingga ijazah pertama di universiti.
Seperti saya sebagai bekas pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), saya sampai sekarang bayar pinjaman PTPTN sekurang-kurangnya RM200 sebulan, kalau PR menang dan membentuk kerajaan, pendidikan adalah percuma, PTPTN dihapuskan, siapa yang tidak suka? Selain itu, isu kutipan tol dan kerajaan bersih serta adil juga berjaya menarik minat golongan ini untuk memilih PR. Di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang misalnya kita (PR) sudah buktikan.
 

Saudara menyebut isu kaum dan agama antara penyebab golongan muda memilih PR.

Isu kaum dan agama bukan isu baru. Orang muda seperti kita tertanya-tanya, mengapa isu seperti ini tidak mampu diselesaikan BN sekarang sudah 56 tahun kita menyambut kemerdekaan! Kita patut berasa hairan. Di sebalik agenda 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, penyokong mereka terutamanya MCA, UMNO dan media kawalan mereka terus memainkan isu ini seolah-olah ia disengajakan.

Ini sudah jadi penyakit dalam negara kita. Komponen BN sendiri terdiri daripada parti berasaskan perkauman seperti MCA, UMNO dan MIC. Biar pun mereka kata mereka bersatu, tetapi ia berasaskan kaum yang memperjuangkan kepentingan masing-masing. Inilah warisan penjajah yang masih diamalkan. Kalau dulu penjajah Inggeris menggunakan konsep pecah dan perintah yang menyebabkan orang Melayu, Cina dan India terpisah, kini kita dapat lihat jelas pada komponen BN sendiri.

Ia sangat berbeza dengan parti dalam PR yang berjaya memecahkan taboo, sempadan bangsa ini. Samada dalam DAP, PAS atau PKR, semuanya mempunyai keanggotaan pelbagai kaum.

Sebagai guru, apa masalah utama yang dihadapi?

Saya belajar di UPM dan empat tahun sebagai guru di sekolah kerajaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kubu Melaka. Pada masa saya bekerja, kita boleh lihat luahan perasan teman sekerja saya yang juga guru kepada sistem pendidikan negara kita. Apa yang menjadi keluhan, setiap kali menteri pendidikan bertukar, sistem juga bertukar seperti PPSMI untuk apa? Sebab, ini mengakibatkan kualiti dan sistem pendidikan negara tidak menentu.

Ia termasuk bebanan tidak wajar sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menyebabkan guru terpaksa buat kerja perkeranian dan sudah tentu ia akan memakan masa dan meletihkan. Daripada situ, apa jaminan kerajaan untuk satu sistem pendidikan yang berkualiti jika guru sendiri diberi beban kerja yang tidak sepatutnya mereka buat? Guru tidak perlu diganggu dengan kerja perkeranian, biarkan guru beri fokus kepada tugas hakiki mereka untuk mengajar.

Bagaimana dengan murid pula?

Kita dapat lihat bila PPSMI dilaksanakan, sistem bertukar dan pelajar mengalami kesukaran untuk memahami terma yang digunakan. Jika sebelum ini menggunakan satu bahasa, perlulah digunakan sehingga tamat sekolah menengah sebab jika bertukar memang akan sebabkan masalah besar kepada pelajar kita sendiri. Sebab mata pelajaran sains dan matematik banyak istilah.

Khusus, masalah yang dihadapi sekolah Tamil

Seperti yang kita maklum, pendidikan adalah satu perkara yang cukup penting kepada sesebuah masyarakat dan individu. Masa sekarang, tanpa pendidikan, seseorang itu sukar untuk lebih maju dalam hidup.

Apa yang kita lihat berlaku kepada masyarakat India, setelah sekian lama kerajaan BN memerintah masih lagi ada sekolah tanpa kemudahan asas. Masih ada juga sekolah dalam kontena, ada yang seperti kandang kambing, tiada padang permainan dan sebagainya. Bila wujud sekolah yang tidak menepati ciri-ciri sekolah, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada pelajar termasuk guru sekali. Pelajar perlukan ruang yang selesa untuk belajar. Daripada situ mereka akan lebih bersemangat dan seronok untuk belajar.

Yang saya hairan, BN sudah lama mentadbir tapi masalah sebegini masih berlaku. Ini baru sekolah Tamil di semenanjung. Kita juga banyak mendengar masalah yang sama berlaku kepada sekolah aliran kebangsaan sendiri terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak.
Daripada 523 sekolah rendah Tamil, lebih 150 sekolah Tamil bantuan penuh manakala lebih 300 bantuan modal. Masalah sebegini juga masih tidak mampu diselesaikan.

Dilema pelajar India

Mengenai peluang  pelajar India di matrikulasi. Kementerian kata 1,800 tempat diberi tetapi sampai sekarang kira-kira 900 tempat sahaja diisi dan pada masa yang sama masih ramai lagi pelajar India yang berkelayakan tidak mendapat tempat. Ini boleh dikatakan menjadi sebab berlakunya keciciran.

Di IPTA pula, masyarakat India cuma ada sekitar 3.6 peratus yang mewakili 1,800 pelajar, apa salahnya jika jumlah ni dinaikkan kepada 7 peratus. Dengan itu akan ada sekitar 4,000 pelajar India di IPTA.

Kita sedia maklum, taraf hidup sebahagian besar masyarakat India adalah rendah. Banyak keluarga yang tidak mampu membiayai pendidikan anak mereka terutamanya di universiti dan kolej swasta, sebab itu adalah amat wajar kerajaan menaikkan peratus kemasukan pelajar India ke IPTA seluruh negara.

Sebab itu kita boleh lihat dan banyak kajian menunjukkan bahawa antara punca berlakunya masalah sosial dan gangsterisme di kalangan masyarakat India khususnya ialah akibat keciciran dalam pendidikan. Tanpa pendidikan, peluang untuk mendapat pekerjaan yang baik amat sukar. Mana-mana pun begitu.

Saya amat optimis, jika peluang pendidikan sama rata dan adil diwujudkan, masalah keciciran, masalah sosial akan berkurangan. Dan saya amat berharap, pihak kerajaan memandang serius perkara ini. Jangan disebabkan politik atau kaum, sesebuah komuniti itu dipinggirkan. Ini perkara asas dalam mewujudkan sebuah masyarakat dan negara yang maju, matang dan berdaya saing.-Roketkini.com

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment