Saturday, February 5, 2011

RG09... PRK Tenang: Satu Pandangan

PRK Tenang: Satu Pandangan
Posted on Friday, February 04 @ 07:19:42 MYT by Admin


Minda Mohd Khir Toyo 1. Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada rakan-rakan dan seluruh pembaca blog ini dari kaum Tionghua tidak kira apa pegangan agama mahu pun fahaman politik. Semoga tahun arnab dalam kalendar cina ini akan meberi lebih banyak kemakmuran dan juga mengekalkan keamanan sedia ada.

2. Pilihan raya kecil DUN Tenang menyaksikan Barisan Nasional berjaya meningkatkan majoriti sebanyak 1, 200 undi. Ini merupakan satu aliran kemenangan yang agak memberangsangkan sejak di Batu Sapi dan Galas.

3. Selain itu sokongan pengundi Melayu yang kian bertambah kepada Barisan Nasional harus menjadi isyarat kepada pemimpin Pas bahawa polisi dan perubahan gaya politik mereka yang terlalu liberal dan tunduk kepada DAP akan menjurumuskan parti tersebut kepada satu ruang politik yang terpencil. Tidak mustahil mereka hanya akan menjadi parti yang sekadar membantu kemenangan DAP dan PKR tetapi kerusi dan kuasa sendiri hilang sedikit demi sedikit.

4. Sebahagian besar masyarakat India juga tampak kembali kepada Barisan Nasional menerusi kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Saya fikir kaum India juga ramai yang mula memahami beberapa isu kontroversi mengenai mereka yang sebelum ini diputarbelitkan dan dimanipulasi oleh pemimpin politik dalam meraih sokongan menjelang pilihan raya umum lalu.

5. Namun saya melihat tidak banyak perubahan dalam sokongan kaum Cina biar pun MCA mendakwa hampir 45% kaum Cina di Labis menyokong Barisan Nasional. Asas dakwaan MCA ialah BN memenangi dua daripada tiga peti undi yang majoritinya pengundi Cina. Namun ketiga-tiga peti undi yang dimenangi oleh BN tersebut mempunyai pecahan kaum yang agak rapat biar pun ia dianggap peti undi majoriti kaum Cina. Kaum Cina hanya sekitar 52-62% sahaja.

6. Berdasarkan arus sokongan Melayu dan India di peti-peti undi lain, maka andaian paling baik ialah kemenangan tipis BN di peti undi Labis dan Labis Timur adalah kerana sokongan orang Melayu dan India. Selain itu generasi muda Cina di Labis yang bekerja di luar tidak pulang ke kampung untuk mengundi kerana tarikh mengundi hampir dengan sambutan tahun baru Cina.

7. Menurut laporan BN hanya menang tipis di peti undi Labis dan Labis Timur. Di Labis kemenangan BN mendapat 380 undi dan Pas mendapat 337 undi. Dalam pilihan raya 2008, BN mendapat 411 dan Pas mendapat 421. Kemenangan kepada BN lebih menjurus kepada faktor undi kepada Pas berkurang lebih banyak dari BN bukannya faktor BN berjaya meningkatkan sokongan.

8. Demikian juga di peti undi Labis Timor, BN berjaya mengekalkan sokongannya pada 699 undi seperti dalam pilihan raya 2008. Namun sokongan kepada Pas merosot dari 740 kepada hanya 632.

9. Keputusan kedua-dua peti undi ini jelas menunujukkan sokongan kaum Cina kepada BN tidak kembali. BN hanya menang kerana faktor pengundi Cina yang menyokong parti lawan tidak keluar membuang undi kerana berada di luar kawasan.

10. Hakikat ini disokong oleh keputusan peti undi di Labis Tengah yang mengandungi hampir 97% pengundi kaum Cina. BN hanya mendapat 380 undi berbanding Pas mendapat 851 undi. Dalam pilihan raya 2008, BN mendapat 504 undi dan Pas 1013 undi.

11. Secara kasarnya, tiada perubahan dalam pola sokongan kaum Cina kepada BN sejak 2008. Saya khuatir kenyataan-kenyataan kononnya kaum Cina kembali menyokong BN akan memakan diri dalam pilihan raya umum akan datang jika pemimpin di atas percaya kepada retorik politik pasca PRK DUN Tenang ini.

12. Berdasarkan aliran sokongan kaum Cina kepada Pakatan di bandar-bandar besar tidak mustahil jurang undi antara BN dan parti lawan akan menjadi lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang apabila ramai pengundi Cina yang bekerja di bandar-bandar besar dan Singapura pulang mengundi.

13. Biarpun kita meraikan kemenangan ini, adalah perlu difahami bahawa jalan untuk mendapat sokongan dalam pilihan raya umum lebih sukar berbanding pilihan raya kecil. Ia jauh lebih sukar apabila kita leka dibuai nyanyian-nyanyian palsu bahawa kaum Cina telah kembali menyokong BN.

14. Setakat ini ramai yang beranggapan sokongan kaum Cina terhadap BN tidak lebih daripada kata pepatah "indah khabar dari rupa." Namun ramai juga berharap mereka jujur untuk terus bersama menyokong kepimpinan Dato Sri Najib dalam melakukan transformasi negara.

15. Sekadar renungan, saya tertanya-tanya mengapa DAP dan MCA begitu bertegang leher mempertahankan siapa yang lebih banyak mendapat sokongan kaum Cina sedangkan kedua-dua mereka banyak mengkritik UMNO apabila membincangkan berasaskan kaum? Apakah laungan tiada perbezaan antara kaum dan sebagainya hanya retorik apabila ia membabitkan orang Melayu?
 
Forum : respeks
Facebook : respeks
Weblog : respeks_group
Weblog higoat : Mr_higoat
Daftar Ahli Online : Daftar Online
Senarai ahli seluruh dunia : Senarai ahli




No comments:

Post a Comment