Mereka yang berada di bandar Temerloh sempena hari penamaan calon pilihan raya kecil DUN Kerdau hari ini tidak melepas peluang untuk menikmati ikan patin masak tempoyak yang terkenal di situ.
Pekan Kerdau terletak kira-kira 23 kilometer dari bandar Temerloh.
"Masam, pedas, sedap dan segar," kata pengunjung di sebuah gerai di tapak Pekan Sehari.
"Di sini, mereka bela ikan dalam sangkar. Itu yang sedap. Kalau dalam kolam rasanya berbeza dan agak hanyir. Cara memasak di Temerloh juga berbeza dari tempat lain sebab itu orang lain kena cuba," kata Baharuddin Isa, 42, dari Kuantan.
"Ikan patin masak tempoyak di sini yang masam dan pedas memikat hati saya untuk menikmatinya dan saya ketagih untuk terus menikmatinya lagi," kata Insp Johari Ahmad dari Shah Alam, Selangor yang merancang untuk menikmati ikan patin tersebut sebelum beliau sampai ke Temerloh lagi.
Oleh kerana sambutan yang luar biasa, ada gerai yang terpaksa menambah masakan mereka yang habis dalam sekejap masa.
"Saya juga terpaksa menambah dua lagi pekerja kerana tak menang tangan. Pengunjung datang dari satu Malaysia nak makan masak tempoyak ikan patin," kata Shamsuddin Joned, pemilik gerai Singgah Sokmo. Amron Ambut berkata beliau juga terpaksa menambah tempahan ikan patin untuk dimasak, dari penternak ikan patin di Sungai Pahang kerana masakan ikan patinnya sudah kehabisan.
"Saya terpaksa masak kuahnya dahulu dan tunggu ikan datang kerana stok yang ada habis dengan cepat kerana ramai yang datang sempena penamaan calon hari ini," katanya yang sedang menunggu ikan patin segar yang ditempahnya.
Penternak patin Shaari Othman berkata harga sekilogram patin "liar" yang terdapat di dalam sungai boleh mencecah RM80 sekilogram tetapi sukar didapati kerana ia perlu dipancing.
"Kalau ikan yang diternak di sangkar di Sungai Pahang, ia dijual antara RM12 hingga RM14 sekilogram sahaja," katanya.
Patin turut dijual di pasar minggu di Temerloh setiap Ahad.
Mungkin semasa hari mengundi di Kerdau 6 Mac ini iaitu pada hari Ahad, pengunjung boleh membeli ikan patin dan pekena patin masak tempoyak Temerloh sekali lagi.
- Bernama
Forum : respeksFacebook : respeksWeblog : respeks_groupWeblog higoat : Mr_higoatDaftar Ahli Online : Daftar Online
Senarai ahli seluruh dunia : Senarai ahli
No comments:
Post a Comment