Monday, April 23, 2012

RG2011... Maghi Melawat Kelate

 

Oleh Uthaya Sankar SB

Semasa kunjungan ke Kota Baru pada 11-14 Mac 2012, saya sempat berbual-bual bersama-sama Haslini Hussain, Penghulu Wanita Parlimen Kota Baru; Yatie Ahamd, Pegawai Pembangunan Armalah DUN Tanjong Mas; dan Mahani Ali, tenaga pengajar kelas menjahit di Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) DUN Tanjong Mas.



Turut terlibat dalam perbualan kami ialah Nur Hidayah dari Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (Yaatim). Beliau juga menjadi pengurus aktiviti bagi saya, Rohani Deraman dari Johor Baru, Zainab Ngah (Kuala Terengganu) serta pasangan suami-isteri Zamri Mohd Daud dan Roshidayu Che Mat (Shah Alam).

Saya antara lain mendapat maklumat mengenai Takaful Armalah yang ditubuhkan khas untuk membantu golongan ibu tunggal (armalah) dan anak-anak mereka yang mengalami kemalangan, kematian atau kecacatan kekal.

Antara bangunan yang menjadi bukti pembangunan fizikal di Kelantan.
Dasar Wanita Negeri digubal bagi membina kemuliaan wanita melalui pengukuhan akhlak dan moral. Hal ini pasti sahaja selaras dengan ajaran agama dan seharusnya disokong penuh oleh semua.

Melalui dasar ini, golongan wanita digalakkan terlibat sama dalam pembangunan negeri dengan cara mengintegrasikan tenaga wanita secara adil dan bersesuaian mengikut batas syarak dalam semua sektor, selain meningkatkan suara wanita dalam masyarakat.

Golongan wanita yang berkelayakan juga dilantik sebagai penghulu bagi memudahkan penyaluran maklumat dan menangani urusan melibatkan golongan itu. Secara tidak langsung, langkah ini memberi peranan dan tanggungjawab penting secara menyeluruh kepada kaum wanita dalam pelbagai urusan demi kepentingan masyarakat secara amnya.

Skim bantuan bagi pesakit kronik dan golongan kurang upaya (OKU) juga disediakan. Bagi OKU, bantuan diberi untuk membolehkan mereka berdikari dan berkerjaya mengikut kemampuan dan kelayakan yang dimiliki.

Kita tentu sudah biasa dengan Sistem Ar-Rahn iaitu pajak gadai Islam yang tidak melibatkan riba. Rupa-rupanya, sistem berkenaan mula-mula diperkenalkan di negeri Kelantan sebelum mula digunapakai di seluruh negara.

Sejak Oktober 1990, semua akaun kerajaan negeri dipindahkan ke bank yang beroperasi menurut syariat Islam dan tidak mengenakan riba. Tentu sahaja kini sistem perbankan Islam sudah terkenal dan diterima semua lapisan masyarakat di seluruh negara.

Kelantan sudah mendahului usaha bersungguh-sungguh dan menyeluruh memartabatkan tulisan Jawi.
Arak tidak dibenarkan dijual di kedai makan, restoran, hotel dan tempat awam sejak 1993. Perkara ini juga sering diungkit-ungkitkan pihak tertentu untuk mempengaruhi masyarakat Bukan Islam. Apa yang lupa dinyatakan "penyebar berita" adalah bahawa masyarakat Bukan Islam masih berhak minum arak di rumah sendiri atau di tempat-tempat yang tidak diwartakan sebagai tempat awam.

Premis-premis perjudian sudah ditutup sejak 1990. Kerajaan negeri yang ditadbir ulama juga tidak mengeluarkan lesen bagi pusat hiburan seperti disko dan kelab malam.

Rata-rata orang ramai yang saya temui tidak pula merungut atau merasakan tindakan tegas itu sebagai membebankan atau mendatangkan kerugian. Sebaliknya, mereka menyokong usaha positif yang sebenarnya membantu membendung pelbagai masalah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Kedai gunting uniseks tidak kelihatan di Kelantan. Pada semua majlis, tempat duduk diasingkan antara lelaki dan wanita. Perkara ini, pada saya tidaklah membebankan atau mendatangkan kerugian kepada sesiapa. Cuma pihak yang mahu membuat onar akan sengaja mencari alasan untuk mengkritik peraturan ini.

Terdapat banyak pasar raya di Kelantan dan beberapa lagi akan dibuka dalam masa terdekat. Suatu perkara yang menarik perhatian saya adalah wujudnya kaunter berasingan bagi pelanggan lelaki dan wanita. Bagi mereka yang datang bersama anak-anak, ada pula kaunter keluarga.

Haslini Hussain, Yatie Ahamd dan Mahani Ali berkongsi pelbagai maklumat berguna.
Urusniaga juga dihentikan di semua kaunter semasa azan berkumandang. Langkah ini amat baik kerana secara langsung mendidik orang ramai (tanpa mengira agama) menghormati azan. Malah, bukankah "menghormati azan" memang perkara baik dan sedia membudaya dalam kalangan rakyat Malaysia?

Urusan perniagaan turut dihentikan pada waktu solat Maghrib. Pertama, waktu solat Maghrib singkat waktunya sebelum masuk waktu solat Isyak. Kedua, waktu Maghrib tidak sesuai untuk urusan jual-beli.

Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya adalah usaha berterusan dan serius dalam memartabatkan tulisan Jawi pada semua papan tanda perniagaan dan papan iklan di Kelantan. Sementara kempen seumpama itu kurang diberi komitmen penuh dan berterusan di tempat-tempat lain, Kelantan mampu melaksanakannya dengan penuh jaya.

Pelantikan wakil kaum Cina, India dan Siam juga dilakukan untuk memegang jawatan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan. Mereka berpeluang bersuara mewakili kelompok masing-masing bagi memastikan kepentingan semua kaum tidak dilupakan dalam segala keputusan peringkat majlis daerah dan perbandaran.

Penghulu tanpa mukim juga dilantik daripada kalangan kaum Cina, India, Siam dan Orang Asli. Langkah ini bagi meningkatkan kerjasama dan perpaduan antara kaum. Selain itu, langkah bijak berkenaan turut memudahkan kelompok minoriti menyalurkan maklumat dan aduan kepada kerajaan negeri.

Suatu lagi perkara yang menarik adalah penyertaan golongan Bukan Islam untuk sama-sama terlibat dalam majlis kebesaran Islam dan program rasmi kerajaan negeri. Realiti ini membuktikan perpaduan, persefahaman dan kerjasama sejati dalam kalangan masyarakat sambil masing-masing mengekalkan jatidiri dan budaya yang menjadi pegangan sejak turun-temurun.

Zainab dan Rohani tidak melepaskan peluang bergambar di sisi papan tanda Jalan Maju.
Prasert Chaipradit yang berasal dari Tumpat mengakui bahawa mana-mana kaum dan agama di Kelantan tidak pernah disekat atau dihalang daripada mengekalkan adat dan budaya masing-masing.

"Masyarakat keturunan Siam Kelantan tidak pernah mengalami masalah untuk hidup bersama masyarakat Melayu-Islam. Kami bebas mengamalkan agama kami tanpa sebarang gangguan. Perayaan agama dan pesta adat budaya dapat diadakan tanpa halangan.

"Hari Wesak, Pesta Loy Krathong dan Pesta Songkran disambut secara besar-besaran setiap tahun. Malah, kerajaan negeri turut memberikan bantuan kewangan bagi mengendalikan kelas bahasa ibunda yang diadakan di wat Siam," kata Prasert yang kini tinggal di Ampang.

Semangat bertolak-ansur dan saling menghormati juga jelas terpancar di Medan Ilmu, Jalan Dato' Pati yang menjadi lokasi Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) menyampaikan kuliah pada setiap Jumaat.

Jalan Dato' Pati bersimpang dengan Jalan Suara Muda di mana terdapat Pasar Pokok Pinang yang menjadi lokasi perniagaan kaum Cina sejak puluhan tahun dahulu. Selain menjual ikan, sayur-sayuran dan barangan dapur, peniaga di situ juga menjual daging babi.

Masyarakat Melayu-Islam tidak membantah jualan itu; sebaliknya menghormati budaya dan keperluan kaum Cina. Lebih menarik adalah bahawa stesen kereta sewa terletak tidak jauh dari pasar berkenaan dan menjadi tumpuan masyarakat pelbagai kaum dan agama saban hari.

Kalau mahu dijadikan isu, pasti boleh. Kalau mahu dipolitikkan pun tentu boleh. Malah, boleh juga dijadikan bahan untuk mencetuskan api perkauman serta merenggangkan hubungan antara agama. Namun, sebaliknya yang berlaku di Kelantan. Perbezaan dijadikan "modal" dan "komoditi" untuk meningkatkan persefahaman, perpaduan dan semangat saling menghormati.

Ringkasnya, ada pelbagai kehebatan di Kelantan yang wajar dipelajari dan dicontohi oleh negeri-negeri lain di Malaysia; termasuk oleh Putrajaya. Buatlah rombongan sambil belajar ke sana sempena "Tahun Melawat Kelantan 2012".

Maghi Melawat Kelate! Janganlah semata-mata kerana perbezaan fahaman politik dan ego yang melangit, maka perkara-perkara baik yang ada pada "lawan" tidak mahu diperakukan. Akhirnya kita sendiri yang rugi dan menyesal tak sudah di kemudian hari.

* Uthaya Sankar SB akan berada di Tawau, Sabah pada 24-27 April 2012 untuk mengendalikan bengkel penulisan cerpen serta mengumpul bahan bagi penulisan makalah.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment