Sunday, April 1, 2012

RG2011... Membaca surat-surat Anwar Ridhwan

 

Oleh Dinsman

APABILA melihat buku "Menyurat Kepada Sahabat: Warkah-warkah Peribadi 1975- 2002" oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, saya terus terpikat dengannya. Mengapa saya terpikat? Ada beberapa sebab. Pertama, ia sesuatu yang baru. Bukan bukunya baru diterbitkan tetapi buku jenis ini, yang memuatkan kumpulan surat-surat peribadi, bukan sesuatu yang selalu kita temui.



Saya kurang pasti apakah buku sepertinya ada dalam khazanah sastera kita sebelum ini, selain Warkah Eropah (1991) dan Warkah kepada Salmi Manja (1965) oleh A Samad Said itu.

Ada sebuah oleh Mansur Ahmad Saman (saya lupa judulnya) tetapi itu seperti sebuah buku esei yang ditulis dalam gaya surat panjang kepada seorang sahabat (Baha Zain), bukannya kumpulan surat-surat.

Buku terbaru oleh Anwar Ridhwan ini adalah kumpulan surat-surat yang ditulisnya kepada beberapa orang sahabat (juga kepada anak-anaknya, bondanya dan kakaknya), sejak tahun 1975 hingga 2002. Atau sebenarnya hingga 1998 sahaja, kerana selepas itu hanya ada sepucuk sahaja yang ditulis pada tahun 2002. Tidak ada yang ditulis pada 1999-2001.

Yang paling banyak sekali ialah yang ditulisnya dari London, antara 16 Mei hingga 30 Jun 1991, iaitu sewaktu dia menyiapkan disertasi PhDnya Membaca surat-surat Anwar Ridhwan (dengan Universiti Malaya), dan dia mendapatkan bimbingan khas daripada Prof Dr E U Kratz di School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London.

Nampak seperti dia memang merancang untuk menulis surat pada setiap hari sewaktu berada di London itu, untuk merekodkan aktivitinya sepanjang berada di luar negara. Tidak banyak suratsurat itu mendedahkan cerita mengenai hubungan peribadi antara pengarang dengan sahabat-sahabatnya, yang kebanyakannya adalah namanama yang kita kenali dalam kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, seperti Rahman Shaari, Suratman Markasan, Hashim Awang, Sahlan Mohd Saman, Kemala, A Samad Said, Muhammad Hj Salleh, Hamzah Hamdani, Zainal Kling, Abdullah Tahir, Dino SS, Ladin Nuawi, Zakaria Ariffin, Farid Onn, Firdaus Abdullah, Goh Hin San, Baha Zain, Latiff Mohidin, Jamdin Buyong dan Zaini Ozea.

Barangkali ini adalah memoir dalam bentuk surat-surat kepada sahabat. Barangkali, kerana isi kandungan surat-surat itu (kebanyakannya pendekpendek, satu halaman setengah sahaja), walaupun dikatakan 'warkah peribadi', lebih bercerita mengenai hal-hal 'rasmi' dalam dunia kesusasteraan Melayu, termasuk yang berhubungan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Gapena (sewaktu beliau menjadi Setiausaha Agung Gapena).

Ada beberapa warkah itu yang mengingatkan kita kepada peristiwa penting tertentu dalam dunia kesusasteraan kita. Misalnya surat kepada S Othman Kelantan, bertarikh 11 Jun 1975, mengingatkan peristiwa Persatuan Penulis Kelantan (PPK) bertindak keluar daripada Gapena. Anwar menulis surat kepadanya seperti cuba memujuknya dengan cara yang bijaksana sebagai intelektual, mengajak berunding untuk mencari penyelesaian dan kembali ke dalam gabungan.

Manakala surat kepada A Ghani Abdullah, Setiausaha Satu PENA (7 Januari 1989) mengingatkan kita kepada peristiwa pergolakan di dalam PENA sewaktu dipimpin oleh Yahya Ismail, di mana ramai ahli termasuk ahli seumur hidup telah dipecat kerana tidak bersetuju dengan tindakan pimpinan PENA menganjurkan "Kongres Perpaduan Melayu".

Saya pun turut dipecat pada waktu itu. Tak sangka pula Anwar Ridhwan menulis surat membantah tindakan memecat keahlian itu.

Satu surat pendek yang agak menarik ialah kepada Editor majalah Dewan Sastera (18 Februari 1989). "Saya amat kecewa apabila mendapati tulisan saya 'Sastera dalam Pendidikan' turut lenyap bersama kolum 'Prisma Sastera', mulai Dewan Sastera Mac 1989, tanpa diberitahu terlebih dahulu sebab-sebabnya.

"Saya dengan ini tidak membenarkan tulisan saya 'Sastera dalam Pendidikan' disiarkan dalam Dewan Sastera yang akan datang."

Menarik bukannya kerana apa, kerana saya tak tahu yang Anwar Ridhwan pun pernah dilayan seperti itu oleh majalah Dewan Sastera. Dan menarik juga kerana ketegasan yang ditunjukkan oleh Anwar itu. Di sebalik kelembutan perwatakannya yang kita kenal itu rupa-rupanya dalam hal seperti itu dia begitu tegas sekali. Lihatlah, suratnya pun sangat ringkas.

Hanya terasa, dalam tiga contoh di atas itu, barangkali lebih baik kalau disertakan juga nota atau catatan menceritakan latar belakang peristiwaperistiwa tersebut. Misalnya kita ingin tahu kenapa sebenarnya tulisan dan kolum 'Prisma Sastera' itu diberhentikan.

Satu lagi yang menarik juga pada saya ialah surat kepada "Keluarga Drama Intan" (10 Julai 1975). Menarik, kerana saya pun terlibat sama dalam keluarga drama Intan itu. Saya yang mengarah drama yang diadaptasi dari novel karya Abdullah Hussein, yang pementasannya dianjurkan Gapena itu. Tetapi saya tidak ingat pula ada masalah 'sagu hati' seperti yang disebut dalam surat itu. Iyalah, tahun 1975, sudah lebih 36 tahun yang lalu. Tak hairanlah kalau saya tak ingat lagi peristiwa itu, 'kan!

Apa pun, buku yang diterbitkan oleh Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) ini memang memikat. Sebuah bacaan yang santai.

Boleh dihabiskan dengan sekali duduk sahaja, walaupun setebal 284 halaman. Banyak suratnya. Ditujukan kepada pelbagai orang.

Walaupun kebanyakannya kita kenal, tetapi ada juga sahabat Anwar itu yang kita tak kenal. Jadi, membacanya tidaklah diganggu rasa jemu.

Banyak juga maklumat mengenai Anwar Ridhwan yang mungkin buat pertama kalinya kita mengetahuinya melalui surat-suratnya ini. Memang tidak ada cerita yang luar biasa atau rahsia yang didedahkan melalui 'kumpulan surat-surat peribadi' ini, tetapi cukuplah apa yang ada itu.

Mungkin kebanyakan maklumat dalam buku ini bukan perkara asing bagi saya. Tetapi bagi orang lain mungkin hampir semuanya adalah pendedahan perkara baru. Jadi eloklah baca! Harganya pun RM30 saja.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment