Friday, May 18, 2012

RG2011... Media Baru sebagai ruang awam

 

Fenomena BERSIH 2.0 dan 3.0
 
15 tahun selepas melangkah masuk ke abad ke-21 ala Malaysia, kita sekali lagi menyaksikan betapa signifikannya peranan teknologi maklumat dan media baharu sebelum, semasa dan selepas perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 dan BERSIH 3.0 pada 28 April 2012.  Kemuncak gelombang kedua fenomena media baharu begitu terserlah berikutan fenomena BERSIH 2.0 dan 3.0 yang menyaksikan kelahiran generasi baru yang hebat yang diberikan gelaran Generasi BERSIH.
 
Kehebatan Generasi BERSIH bukan sahaja kelihatan dalam dunia siber di mana sebahagian besar Facebook diselubungi gelombang kuning.  Yang paling menguja semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia ialah keberanian yang ditonjolkan oleh para demonstran BERSIH 2.0 dalam dunia nyata biarpun BERSIH diisytiharkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai pertubuhan haram, polis melakukan "penangkapan bersifat penangkalan" (preemptive arrest) ala McCarthyisme, dan suasana tertekan atau "keganasan putih" (white terror) ditonjolkan oleh akhbar arus perdana dan media elektronik menjelang hari perhimpunan BERSIH 2.0.
 
McCarthyisme merujuk kepada taktik era perang dingin yang dipelopori Senator Amerika Syarikat Joseph McCarthy dari parti Republikan sekitar tahun 1950-an di mana tuduhan melampau seperti subversif dilontarkan terhadap sasaran tertentu khususnya sasaran politik tanpa bukti yang menyakinkan.  Kedua-dua tahanan tanpa bicara dan penangkapan bersifat penangkalan menonjolkan ciri-ciri selaras dengan fahaman McCarthyisme.
 
Apabila menelusuri dialektikal struktur penindasan rejim pemerintah dan kebangkitan sebahagian besar rakyat, keberanian dan keseronokan yang ditonjolkan oleh Generasi BERSIH biarpun terpaksa berdepan dengan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang dilengkapi gas pemedih mata dan meriam air, rejim pemerintah yang memain-
mainkan "politik ketakutan" (politics of fear), serta sekatan jalan yang dilakukan oleh pihak polis, adalah suatu fenomena perubahan sosio-politik yang mempunyai makna mendalam.
 
Gerakan BERSIH 2.0 dan 3.0 bukan sahaja menyaksikan puluhan ribu dan seterusnya ratusan ribu rakyat jelata khususnya Generasi Facebook dengan latar belakang yang pelbagai membanjiri beberapa lokasi sekitar ibu kota negara, kota-kota lain di Malaysia dan puluhan lokasi kota-kota besar di luar negara, bahkan selepas perhimpunan BERSIH 2.0, dunia siber diselubungi suasana "tak kenal BERSIH 2.0 maka dikira ketinggalan zaman".  Daripada murid sekolah hingga golongan profesional, ikon BERSIH 2.0 seperti Auntie Annie atau makcik Annie Ooi yang berusia 65 tahun dan sasterawan negara A. Samad Said yang berusia 76 tahun menjadi topik perbualan hangat.  Banyak halaman Facebook masih diselaputi gelombang kuning beberapa minggu selepas perhimpunan BERSIH 2.0 dan 3.0.
 
Media Baharu sebagai Ruang Awam
 
Tanggal 7 Julai 2011, dua hari sebelum Generasi Facebook menggegarkan rejim pemerintah yang mendakwa gerakan BERSIH 2.0 bakal mengambil bentuk demonstrasi ala-Mesir yang mampu menggulingkan rejim represif, majalah antarabangsa berpengaruh The Economist dalam siri laporan khasnya telah mengupas perubahan landskap media dan kedinamikan ruang awam (public sphere) berikutan populariti dan perkembangan media baharu.
 
Dalam artikel The Economist berjudul "Masa depan berita: Kembali kepada kafe" (The future of news: Back to the coffee house), perenggan pertamanya menyebut: "THREE hundred years ago news travelled by word of mouth or letter, and circulated in taverns and coffee houses in the form of pamphlets, newsletters and broadsides."
 
Terjemahannya berbunyi, Tiga ratus tahun dahulu, berita dikhabarkan melalui perbualan atau persuratan, dan diedarkan di warung dan kafe dalam bentuk risalah, surat berita dan selebaran.
 
Apa yang cuba dilakarkan oleh The Economist dalam laporannya adalah, Internet kini membawa dunia kehidupan dan pemberitaan kembali kepada suatu budaya siber bersifat perbualan sebelum kemunculan era media massa khususnya surat khabar. Kalau sebelum itu orang ramai bertukar-tukar berita di warung dan kafe, kini orang ramai bertukar-tukar berita melalui jaringan media sosial khususnya Facebook dan Twitter.
 
Tekanan diberikan kepada sifat kafe yang sesuai untuk perbualan secara bebas. Apabila diteliti sejarah Eropah, kafe yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan sekitar tahun 1650-an menyediakan suasana yang sesuai untuk mengikuti perkembangan terkini komuniti peniaga, ahli politik mahupun cendekiawan awam dengan harga secawan kopi.
 
Contohnya di Perancis, meskipun kafe terkenal sebagai tempat himpunan para pengkritik kerajaan dan tempat pewujudan gelombang subterranean atau bawah tanah, namun pemerintah Perancis tidak menekan aktiviti kafe dan menganggapnya sebagai tempat untuk menjejaki pandangan umum.
 
Sesungguhnya, lakaran dunia siber oleh The Economist yang menggunakan perbandingan corak kafe di Eropah adalah sejajar dengan konsep ruang awam yang dicetuskan oleh ahli falsafah Jerman Jürgen Habermas dalam karyanya berjudul "Transformasi Struktural Ruang Awam: Sebuah Kajian tentang Kategori Masyarakat Borjuis" (The Structural Transformation of the Public Sphere: An Inquiry into a Category of Bourgeois Society).  Konsep tersebut merujuk kepada kemunculan ruang awam kelas borjuis sekitar abad ke-17 sehingga ke-18 di mana orang ramai berbicara secara bebas mengenai hal ehwal semasa di kafe dan salon.
 
Sebagai lanjutan kepada dunia kehidupan era Internet, konsep ruang awam kini dipanjangkan supaya merangkumi dunia siber di mana warga siber berbicara secara bebas mengenai hal ehwal semasa di Facebook dan Twitter.  Berlandaskan dunia kehidupan yang memberdayakan rakyat jelata dan bukan sekadar masyarakat borjuis, ruang awam dunia siber memaparkan ciri-ciri partisipasi, kepelbagaian, partisan dan kebebasan.
 
Kelangsungan Hayat Portal Berita Atas Talian
 
Kekompleksan institusi media di Malaysia dapat difahami dengan lebih menyeluruh sekiranya analisis dibuat berasaskan kerangka ekonomi-politik yang lebih luas. Apabila pendekatan ekonomi-politik diambil, tiga sifat asas harus difahami iaitu struktur, sistem dan sejarah institusi media. Setiap maklumat dikatakan berkait rapat dengan struktur institusi media.  Struktur institusi media pula diintegrasi ke dalam suatu struktur ekonomi, politik, budaya dan sosial yang lebih luas yang berteraskan sistem kapitalisme dan rejim kawalan.
 
Apabila ditinjau dari perspektif makro seperti pendekatan ekonomi-politik, wacana kebebasan kewartawanan tidak bertapak atas kekosongan, sebaliknya berdepan dengan soal realiti.  Ekonomi-politik bagi komunikasi massa bermula dengan melihat media massa sebagai suatu industri dan organisasi kemersial yang terlibat dalam pengeluaran dan pengagihan komoditi.  Menyentuh dimensi komersial yang sememangnya mengutamakan keuntungan, konteks ekonomi pada arena global dan lokal haruslah diambil kira dan perubahan pada media massa haruslah dianalisa dengan mengambil kira perubahan konteks ekonomi juga.
 
Tanggal 14 April 2000, lebih daripada tiga tahun selepas keghairahan pengumuman projek MSC dan kurang daripada enam bulan selepas gelombang pertama media baharu terasa semasa PRU Ke-10, pasaran saham antarabangsa dan serantau menyaksikan kejatuhan besar indeks saham teknologi dalam tempoh kurang daripada satu bulan, bermula dengan kejatuhan Indeks Komposit Nasdaq melebihi 40 peratus dan Indeks Dow Jones melebihi 60 peratus.  Pecahnya Gelembung Teknologi (Tech Bubble) juga membantutkan potensi pertumbuhan industri teknologi maklumat di Malaysia.
 
Dalam konteks ini, Malaysiakini yang mencatatkan pengunjung harian melebihi 100 ribu dalam tempoh sembilan bulan semenjak pelancarannya berdepan dengan cabaran penurunan nilai pengiklanan bulanan dari RM15 ribu pada tahun 2000 ke RM10 ribu pada tahun 2001, dan terpaksa mengambil langkah berani memulakan eksperimen
langganan demi kelangsungan hayatnya (survival).  Tanggal 16 Julai 2001, Malaysiakini memulakan perkhidmatan berbayar untuk seksyen baharu bergelar "Analisis Malaysia", kemudian pada tahun 2002 memulakan perkhidmatan berbayar untuk rencana (feature) dan seterusnya berita harian yang dibekalkan kepada pelanggannya.
 
Semasa pelancaran kempen Jom Baca Media Alternatif anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor pada 7 Ogos 2011, Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar mengakui bahawa media alternatif berdepan dengan masalah kewangan, di mana ramai peniaga masih tidak yakin bahawa iklan di ruang internet mampu membawa pulangan.
 
Sesungguhnya, sebahagian besar iklan di Malaysia dikaitkan dengan badan kerajaan
atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berkepentingan bersama parti pemerintah.
Menurut Nielsen, jumlah perbelanjaan pengiklanan (Adex) di negara kita sepanjang
tahun 2010 ialah RM9.6 bilion di mana syarikat-syarikat telekomunikasi merupakan pihak yang menyumbang nilai Adex tertinggi kepada industri pengiklanan iaitu sebanyak RM364 juta, diikuti dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang menyumbang nilai Adex kedua tertinggi iaitu sebanyak RM324 juta.
 
Media baharu memerlukan bukan sahaja sokongan dari segi audiens, tetapi juga sumber kewangan untuk menampung kelangsungan hayatnya.  Soal ini cukup kritikal khususnya apabila wacana kebebasan kewartawanan diketengahkan.  Hari ini, konsep portal berita berbayar tidak lagi terbatas kepada Malaysiakini.  Setelah penaja MerdekaReview berhenti untuk menyuntik dana pada pertengahan Mei 2011, MerdekaReview yang dilanda krisis kelangsungan hayat terpaksa menjalin hubungan strategik dengan edisi bahasa Cina Malaysiakini untuk memulakan perkhidmatan berbayar pada 3 Oktober 2011.  Sebelum ini, kedua-dua edisi bahasa Cina Malaysiakini dan MerdekaReview dapat diakses tanpa bayaran.
 
Sebelum menarik diri, para penaja MerdekaReview telah menyuntik dana dan menyokong kelangsungan hayatnya selama hampir enam tahun.  Kini MerdekaReview terpaksa berdepan dengan logik kapitalisme. Pada peringkat awal penubuhan, Ketua Pengarang Kumpulan merangkap pengasas bersama Malaysiakini Steven Gan juga menyatakan keazaman untuk menyampaikan berita kepada seramai audiens yang mungkin dan mengharapkan sumbangan pendapatan berbentuk pengiklanan mampu menampung keperluan kewangannya, namun satu setengah tahun kemudian, Malaysiakini juga terpaksa mencari sumber pendapatan baharu dan memulakan konsep portal berita berbayar.
 
Demi memelihara kebebasan kewartawanan, dua prinsip utama dipegang kuat oleh Malaysiakini dan seterusnya MerdekaReview semasa mereka berunding dengan pelabur ialah 51 peratus daripada kuasa kawalan harus dipunyai pasukan wartawan dan staf, dan pelabur tidak boleh campur tangan dalam polisi kewartawanan atau bilik editorial.
 
Penutup
 
Negara mempunyai kuasa legitimasi dan memiliki jentera-jentera pemerintahan yang ditadbir oleh kerajaan tetapi negara mungkin disalahgunakan untuk kepentingan ekonomi dan politik oleh golongan berpengaruh politik.  Di Malaysia, terutamanya pasca 8 Mac 2008, golongan dominan yang berpengaruh politik sering memperbesarkan malahan mempermainkan isu perkauman dan agama serta menjadikan pembangunan dan program transformasi sebagai kesamaran bagi melindungi kepentingan parti politik dan individu tertentu.  Tindak-tanduk tersebut kononnya dilakukan untuk menjaga kepentingan bangsa dan negara.
 
Bagi mengimbangi wacana pemerintah yang berkecenderungan memelihara kepentingan tertentu, pengiktirafan media sebagai institusi kuasa yang dapat memainkan peranan semak dan imbang secara berimpak, dan juga dalam membina ruang awam yang aktif menghasilkan wacana-wacana yang pelbagai, wacana kebebasan kewartawanan wajar diketengahkan sejajar dengan nilai zaman taknologi maklumat.
 
Menurut Antoni Gramsci, kelas pemerintah cenderung melaksanakan hegemoninya dengan bertopengkan kuasa letigimasi negara, terutamanya semasa kerajaan (baca: parti politik) dilanda krisis besar. Cabaran kita hari ini adalah untuk mengangkat wacana media yang dapat memelihara kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan parti politik yang memerintah. (Bahagian kedua, tamat)
 
Bahagian pertama: Gelombang internet sebelum BERSIH 2.0 dan 3.0
 
*Artikel ini merupakan kemaskini kepada sebahagian daripada penulisan Ooi Heng pada bulan September 2011 yang dimuatkan dalam buku baharu penerbitan SIRD berjudul "Membina Bangsa Malaysia" sebagai Bab 2 bertajuk 'Media, Teknologi Maklumat dan Cabaran Semasa'.
 

**Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment