• Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti)Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti)
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah menyenaraikan Malaysia sebagai negara ke-24 paling berdaya saing daripada 148 negara dalam Laporan Daya Saing Globalnya (GCR) 2013-2014.

Tahun lepas, Malaysia menduduki tempat ke-25 daripada 144 negara, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia kekal sebagai negara kedua paling berdaya saing dalam kalangan negara-negara anggota Asean dan meningkat ke kedudukan ketujuh daripada 25 negara Asia Pasifik.

Menurut Kementerian itu, negara-negara yang disenaraikan sebagai 10 negara paling berdaya saing mempunyai kekuatan dalam inovasi dan rangka kerja institusi yang kukuh.

GCR menggunakan 70 peratus data persepsi yang diperoleh melalui Tinjauan Pendapat Eksekutif daripada eksekutif sektor swasta peringkat tinggi dan 30 peratus data statistik.

Laporan itu terdiri daripada 114 kriteria yang disusun dalam 12 teras daya saing.

GCR juga mengkategorikan negara kepada tiga peringkat pembangunan; didorong oleh faktor, dipacu oleh kecekapan dan dirangsang oleh inovasi berdasarkan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita.

Malaysia dikategorikan sebagai sebuah negara dalam peralihan yang bergerak daripada dipacu kecekapan kepada ekonomi yang didorong oleh inovasi.

Menurut Miti, WEF menilai kelebihan yang paling ketara di Malaysia adalah dalam pasarannya yang cekap dan berdaya saing untuk barangan dan perkhidmatan (ke-10), pasaran kewangan yang berkembang dengan baik dan kukuh (keenam), dan rangka kerja institusi mesra perniagaan (ke-29).

Prestasi ini disokong oleh penunjuk yang termasuk beberapa prosedur untuk memulakan perniagaan, dengan Malaysia berada pada kedudukan ke-10 dan jumlah kadar cukai, yang bertambah baik sebanyak 30 kedudukan (ke-20).

Malaysia juga mengekalkan kedudukannya di tempat keenam dalam teras pembangunan pasaran kewangan, yang telah menjadi salah satu bidang paling kuat Malaysia dengan prestasi konsisten pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Antara kriteria yang menyumbang kepada teras ini ialah kemudahan akses kepada pinjaman (kelima) dan ketersediaan modal teroka (ketujuh).

Mengikut teras institusi, petunjuk yang menyumbang kepada peningkatan kedudukan adalah kekuatan standard laporan dan audit (ke-27, meningkat tiga kedudukan) dan tingkah laku etika firma (ke-28, naik lima kedudukan).

Bagaimanapun, Miti menyatakan bahawa WEF mengingatkan Malaysia perlu menghadapi dan menangani beberapa cabaran yang lebih penting kepada daya saing Malaysia termasuk defisit belanjawan kerajaan, kedudukan rendah yang berterusan bagi penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan kesediaan teknologi.

Menurut Miti, meskipun Malaysia naik dalam kedudukan ranking tahun ini, kerajaan menyedari bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan.

Langkah-langkah seperti rasionalisasi subsidi, cadangan untuk memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta peningkatan dalam kualiti pendidikan dan latihan penting untuk meningkatkan daya saing Malaysia.

Kerajaan juga perlu memberi keutamaan kepada langkah-langkah untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

Walaupun kerajaan akan meningkatkan usaha untuk melaksanakan Program Transformasi Ekonomi, sektor swasta juga perlu memainkan peranan untuk memastikan Malaysia terus mencapai peningkatan dalam kedudukan, demikian menurut  Miti.

Ini penting bagi Malaysia supaya negara akan terus menjadi destinasi pelaburan pilihan dan tempat yang menarik untuk menjalankan perniagaan.