Wednesday, September 18, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 190913 bersamaan 13 Zulkaedah 1434H

 

 

 

Guru disiplin disyaki cabul pelajar ditahan

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang guru disiplin sebuah sekolah rendah di ibu negara ditahan Sabtu lepas kerana dipercayai mencabul bekas pelajarnya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairy Ahrasa berkata, guru lelaki berumur 35 tahun itu ditahan di rumahnya, di Bandar Baru Sentul berikutan laporan polis yang buat oleh pelajar berumur 13 tahun itu Jumaat lepas.

Pelajar berkenaan mendakwa bapa kepada dua orang anak itu telah mencabul kehormatannya sejak tahun lepas, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini semalam.

Kejadian terbaharu berlaku Jumaat lepas apabila pelajar itu dipanggil oleh guru berkenaan supaya membantunya. Pelajar itu lari ke balai polis berhampiran untuk membuat aduan.

Khairy berkata, guru itu kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan. - Bernama

Suhaimi nafi kereta mewah dirampas SPRM miliknya

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KUALA LUMPUR - Bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kabinet, Datuk Suhaimi Ibrahim hari ini menafikan laporan akhbar semalam bahawa sejumlah kereta mewah yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah milik beliau.

"Tidak satu pun kereta saya ditahan oleh SPRM," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Suhaimi juga mendakwa bukan beliau seorang sahaja yang dipanggil oleh SPRM berhubung siasatan berkaitan satu projek kerajaan, tetapi juga beberapa individu lain.

SPRM baru-baru ini mengesahkan suruhanjaya itu sedang menjalankan siasatan mengenai perkara tersebut dan telah memanggil seorang bekas setiausaha politik untuk membantu siasatan. - Bernama

Dadah: 10 pengedar berdepan hukuman mati

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KOTA BHARU - Seramai 10 daripada 68 pengedar dadah yang ditahan dalam Ops Cantas yang dilaksanakan di Kelantan sejak 18 Ogos lepas, bakal berdepan hukuman mati mandatori.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata 10 pengedar dadah itu bakal dibicarakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, seramai 17 pengedar dadah bakal dibicarakan di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952, sementara 41 pengedar lagi akan dibicara mengikut Seksyen 39A(1)ADB 1952.

"Jumlah keseluruhan yang ditangkap berkaitan dadah adalah seramai 1,394 orang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Bengkel Kesedaran dan Pencegahan Jenayah di Mes Pegawai Kanan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA)
Pengkalan Chepa, semalam.

Beliau berkata pihaknya juga merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM433,780.51 dan menyita lima kereta serta enam motosikal bernilai RM141,200 sepanjang ops berkenaan.

Selain kesalahan dadah, Jalaluddin berkata seramai 1,326 orang ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah iaitu enam mengikut Akta Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985 dan tiga lelaki disyaki anggota kumpulan kongsi gelap.

Beliau berkata bagi memperhebatkan Ops Cantas, polis mengetatkan kawalan di sempadan dengan kerjasama beberapa agensi keselamatan lain.

Mengulas mengenai aktiviti jenayah yang dilakukan remaja bawah umur, beliau berkata seramai 102 orang ditahan sejak Januari hingga Ogos lepas berbanding 62 orang sepanjang tahun lalu.

Dalam kes berasingan, beliau berkata seorang lelaki yang disyaki terlibat sebagai perancang pembunuhan seorang lelaki berusia 50an ketika sedang bersarapan bersama keluarganya di sebuah warung di Kampung Kemasin, Bachok, pada Februari lepas, telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kota Bharu, semalam.

"Suspek menyerah diri selepas membaca laporan surat khabar mengenai dirinya dan ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam," katanya. - Bernama

Anwar mohon buang satu perenggan dalam penghakiman

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

PUTRAJAYA - Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mengeluarkan satu perenggan dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat pertama dihadapinya yang menyatakan beliau mempunyai kecenderungan homoseksual.
   
Anwar telah memfailkan permohonan itu pada Mei tahun ini, sembilan tahun selepas beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan atas dakwaan meliwat pemandu keluarganya Azizan Abu Bakar.
   
Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan semakannya itu pada 13 November, dalam usaha untuk memadamkan perenggan itu.
   
Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004, dalam keputusan majoriti 2-1, daripada pertuduhan meliwat Azizan.
   
Mahkamah Persekutuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas Anwar.
  
Panel Mahkamah Persekutuan yang sama turut membatalkan sabitan dan hukuman penjara enam tahun ke atas adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang dibicarakan bersama-sama Anwar  atas dakwaan meliwat Azizan di Tivoli Villa di Kuala Lumpur pada 1994.
   
Hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim Negara, menulis majoriti penghakiman itu.
   
Dalam penghakiman itu, beliau (Abdul Hamid) berkata:  "kami mendapati wujud keterangan yang mengesahkan perayu (Anwar dan Sukma Darmawan ) terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami cenderung untuk percaya bahawa insiden yang didakwa berlaku di Tivoli Villa itu benar-benar berlaku, kadang kala ....".
   
Peguam yang mewakili Anwar, Latheefa Koya berkata, Anwar memfailkan permohonan itu bagi membersihkan namanya, kerana orang menggunakan penghakiman itu untuk mewajarkan fitnah terhadapnya, dan menurutnya apabila Anwar mahu menyaman mereka bagi memfitnah, mereka akan bergantung pada penghakiman itu.
   
"Ia perlu dinyatakan bahawa kenyataan itu dimasukkan dalam penghakiman bagi pembebasan Anwar daripada pertuduhan liwat," katanya.  - Bernama

Miliki dadah di kawasan kubur

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 19, 2013

KOTA BHARU - Seorang pendawai elektrik dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku salah pada tiga tuduhan memiliki dadah, Jun lalu.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap Mohd Akram Abdullah, 34, dari Jalan Langgar di sini.

Tertuduh didakwa pada tuduhan pindaan pertama memiliki 0.3 gram heroin di kawasan kubur, Maras di sini, pada jam 10.15 pagi, 28 Jun.

Manakala, pada tuduhan kedua dia didakwa memiliki 0.169 gram dan 0.285 gram kanabis pada tuduhan ketiga di lokasi sama.

Pada prosiding semalam, tertuduh merayu hukumannya diringankan berikutan dia insaf dengan kesilapannya itu.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Liyana Md Zukri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira dadah yang menjadi musuh utama negara.

Majistret kemudian memutuskan hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan. Penjara berkuat kuasa serentak daripada tarikh tertuduh ditahan.

'Tunjuk jalan' bawa padah

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 19, 2013

KOTA BHARU - Tindakan pura-pura tiga lelaki menunjukkan jalan kepada seorang penunggang, tahun lalu, membawa padah apabila mereka dihukum Mahkamah Sesyen, semalam selepas mengaku salah memeras ugut.

Tertuduh pertama, Wan Mohamad Ikhwan Wan Omar, 24, didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan. Rakannya, Mohamad Azizi Ab Rashid, 24, dan Norhafizi Nordin, 21, masing-masing dihukum penjara 24 dan 18 bulan.

Mereka dituduh melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Mohd Elias Mat Isa, 25, sehingga mendorong mangsa menyerahkan sebuah motosikal di tepi Jalan SMK Bandar Kuala Krai, Kuala
Krai pada jam 11.30 malam, 4 Disember 2012. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin.
 
Sebelum itu, mangsa yang berada di lampu isyarat kawasan Guchil, Kuala Krai bertanya kepada empat lelaki tidak dikenali berkenaan jalan menuju Kampung Padang Sembilan, Kuala Krai.

Mereka kemudian menunjukkan jalan itu sebelum tertuduh pertama meminta menunggang motosikal mangsa dan mangsa membonceng tertuduh. Sementara tiga yang lain mengekori dari belakang.

Mangsa dibawa ke kawasan gelap sebelum diacukan pisau ke leher oleh Wan Mohamad Ikhwan. Takut dengan ancaman itu, mangsa serahkan motosikal sebelum dilarikan penjenayah berkenaan.

3 cedera, kereta rempuh treler

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 19, 2013

PASIR PUTEH - Tiga sekeluarga cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh belakang treler yang diparkir di bahu jalan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Gaal dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, kereta jenis Proton Iswara milik mangsa dari arah Jerteh dikatakan mengelak lembu yang dilanggar kereta lain.

Pemandu kereta, Aminuddin Ismail, 47, cedera di muka dan kaki, manakala isterinya, Tuan Rabiah Raja Awang, 44, patah kaki kanan dan cedera di muka.

Mentuanya, Ramlah Tubin, 68, hanya cedera ringan di muka. Bagaimanapun anak Aminuddin, Nik Istihad Baihaki, 6, bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan.

Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan lanjut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharudin Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai pada jam 11.50 malam.

Menurutnya, ketika bomba tiba di tempat kejadian, Aminuddin dan isterinya tersepit di tempat duduk hadapan kerana kereta terperosok di bawah treler.

"Kita menggunakan peralatan Power Unit untuk memotong bahagian kereta bagi memudahkan kerja-kerja mengeluarkan mangsa. Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa tersepit.

"Manakala, Ramlah dan Nik Istihad berada di luar kereta dan ditenangkan orang ramai," katanya yang ke lokasi kejadian bersama empat lagi anggota.

Saksi kejadian, Mohd Shahrul Nizam Mohd Shahadan, 46, berkata, dia sempat melihat kereta jenis Proton Waja melanggar lembu yang melintas jalan ketika dia berada pada jarak 30 meter dari tempat kejadian.

"Saya memandu menghala ke Jerteh, tiba-tiba saya ternampak sebuah kereta terhuyung-hayang, lembu yang dilanggar mati dan berada di tengah jalan menyebabkan beberapa kereta dari Jerteh cuba mengelaknya.

"Dalam kekalutan itu, saya terdengar dentuman kuat. Saya dapati sebuah kereta remuk teruk kerana melanggar belakang treler," katanya sambil memberitahu dia bersama beberapa penduduk cuba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit tetapi gagal.

Katanya, dia sering menggunakan laluan berkenaan dan sudah beberapa kali terpaksa brek mengejut gara-gara lembu berkeliaran melintas jalan.

Mohd Shahrul Nizam berkata, dia diberitahu rakan mengenai kemalangan lain di mana sebuah lori kecil melanggar lembu berhampiran jambatan di Kampung Tok Nik yang mana jaraknya hanya dua kilometer dari lokasi pertama dan hanya berlaku kira-kira 25 minit selepas kemalangan itu.

"Kawasan ini terlalu banyak lembu berkeliaran. Saya kesal dengan pemilik haiwan yang membiarkan sahaja lembu berkeliaran sehingga mengancam nyawa pengguna jalan raya," katanya.

Bayi menderita sukar tidur

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 19, 2013

GUAL PERIOK - Kepanasan menyebabkan seorang bayi berusia sembilan bulan dari Kampung Tersang tidak dapat melelapkan mata, sejak tiga bulan dilahirkan.

Pengamal Pusat Perubatan Islam at-Tobibi, Datuk Ustaz Shamsuri Shafie berkata, orang lain mungkin berasa sejuk setiap kali menyentuh kulit pesakit tetapi sebaliknya pesakit pula berasa kulitnya panas.

"Kita percaya adik Lia Nur Zahirah Osman diganggu oleh saka keluarga atau makhluk halus (iblis).

"Ia menyebabkan bayi malang ini mengalami rasa penat melampau dan hilang selera makan, seterusnya kurang zat makanan. Sebab itulah tubuh badan adik Lia Nur Zahirah hanya tinggal kulit dan tulang," katanya, semalam.

Dalam pada itu, Shamsuri turut menasihati ibu bapa supaya tidak mengamalkan teknik perubatan menjurus ke arah tahyul dan syirik, sebaliknya kembali kepada perubatan Islam.

Menurutnya, jika usaha dilakukan berjaya mengubati penyakit bayi tersebut, ia adalah satu rahmat kepada  keluarga berkenaan.

Sementara itu, ibu bayi tersebut, Marlina Ab Rahman, 33, berkata, sebelum ini dia mendapatkan tangkal daripada seorang bomoh dari Thailand.

Sejurus selepas itu katanya, anak bongsunya sukar tidur, menangis tanpa henti dan sering mendongak ke atas seakan-akan melihat sesuatu.

"Bayi seusianya sepatutnya tidur 15 hingga 20 jam sehari, namun kekurangan tidur menyebabkan badannya kepenatan seterusnya menjurus kepada masalah lain.

"Selepas mendapatkan rawatan secara Islam, saya amat gembira kerana Lia Nur Zahirah dapat tidur dengan lebih nyenyak dan kurang menangis," katanya selepas menerima sumbangan hamper makanan dan wang tunai daripada Sinar Harian dengan kerjasama beras Era Bayam Kota, Kumpulan Perumahan Rakyat Kelantan (KPRK) Berhad, Pusat Perubatan Islam al-Tobibi dan Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK).

Dua beradik tinggal sehelai sepinggang

Oleh: Mohd Rizal Abdullah

Tarikh: September 18, 2013

BALING - Dua beradik tinggal sehelai sepinggang setelah kediaman mereka di Kampung Bakar Bata, Bongor hangus dalam kebakaran kira-kira jam 12.15 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku kerana mereka tidak berada di rumah ketika kejadian.

Mohd Tarmizi Harun, 29, ketika kejadian sedang bekerja di bengkel besi di Pulai manakala abangnya berada di luar kawasan.

Dia hanya mengetahui kejadian itu setelah mendapat panggilan dari jiran dan rakannya.

"Saya terus bergegas pulang ke rumah tetapi tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk dokumen penting. Dua motosikal yang berada dalam ruang dapur rumah turut terbakar," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Tarmizi dan abangnya tinggal bersama di rumah berkenaan setelah ibu bapa mereka meninggal dunia setahun lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Baling, Abdul Kudus Abdul Malik berkata punca kebakaran masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling menyalurkan bantuan segera berupa barangan makanan dan kemudahan lain seperti tikar, selimut dan kain kepada mangsa.

 

 

Jenayah pecah rumah di Selangor meningkat

Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: September 18, 2013

SUBANG JAYA - Jenayah pecah rumah di Selangor dilaporkan meningkat 16 peratus dalam tempoh sama berbanding tahun lalu,"kata Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Katanya, antara kawasan panas direkod mengalami pertambahan kes termasuk Klang, Kajang, Petaling Jaya dan beberapa kawasan lain yang mengalami banyak pembangunan.

Mohd Shukri berkata, selain itu, kecurian motosikal dan kereta juga direkod mencatat peningkatan kes berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beliau berkata, polis akan melakukan penambahbaikan dari masa ke semasa dan mengkaji kelemahan yang wujud sehingga menyebabkan kes-kes terbabit bertambah.

"Kejadian pecah rumah di Selangor agak tinggi khusus di beberapa daerah dan pihak polis mendapati kebanyakan lakukannya adalah warga asing, penagih dadah serta mereka yang mengambil peluang melakukannya.

"Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), polis dikehendaki menurunkan kadar kes pecah rumah sebanyak 10 peratus setiap tahun.

"Kami akan mencari langkah bagi meengekang kejadian jenayah ini dari terus berlaku,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pusat Kepolisan Masyarakat (CP) Subang Jaya di pangsapuri Angsana USJ 1, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Persatuan CP Malaysia, Kuan Chee Heng.

Ejen rumah LPPB diburu bantu siasatan

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

KOTA KINABALU - Polis sedang memburu seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pembelian rumah Lembaga Perumahan dan Perancangan Bandar (LPPB).
      
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Supt Saiman Kasran berkata wanita itu dikenali sebagai Kee Noorayudah Mohd Ayub, 25, beralamat terakhir di JKR 3007 Jalan OKK Abu Bakar, Tawau.
  
"Suspek mendakwa dia adalah ejen yang menawarkan pembelian rumah LPPB yang menghendaki mangsa membayar wang pendahuluan dan sebagai cagaran mangsa akan diberikan salinan kad pengenalan milik wanita itu (suspek)," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
   
Saiman berkata wanita itu disyaki telah menipu wang pendahuluan untuk urusan pembelian tanah bernilai RM1,000 hingga RM52,000 dan sehingga kini polis menerima 19 laporan mengenai penipuan itu.
   
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita itu atau kes berkenaan diminta menghubungi Bilik Gerakan IPK Sabah di talian 088-318555 atau bali polis berhampiran bagi membantu siasatan.  - Bernama

Lelaki ditahan miliki senapang buatan sendiri

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

IPOH - Polis menahan seorang lelaki dan merampas dua laras senapang angin buatan sendiri di Kampung Pahat Dalam, Gerik semalam.
   
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam berkata lelaki berusia 56 tahun itu ditahan di rumahnya kira-kira pukul 1.30 pagi.
   
"Polis menjumpai dua laras senapang angin yang disembunyikan di belakang tandas di tepi rumah itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.
   
Paramasivam berkata lelaki itu direman lima hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.   - Bernama

Tahanan mati dalam lokap di Hilir Perak

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

IPOH - Seorang tahanan lelaki ditemui mati dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak semalam.

Hassan Salip, 46, ditemui tidak sedarkan diri pada pukul 3.45 petang oleh anggota polis yang ditugas membawa tahanan itu ke Penjara Tapah selepas dia didapati bersalah oleh mahkamah kerana tidak mempunyai pengenalan diri dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam berkata melihat keadaan tahanan itu, pihak Hospital Teluk Intan (HTI) telah dihubungi dan hasil pemeriksaan doktor yang merawatnya di lokap mendapati tahanan itu telah meninggal dunia.

"Tahanan itu adalah seorang daripada 11 suspek yang ditahan di Hutan Melintang, Bagan Datoh kerana disyaki penagih dadah dan tidak memiliki kad pengenalan diri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, hari ini.

Beliau berkata lelaki yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor itu ditahan di lokap polis sejak 3 Sept lepas.

Kematian itu diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat lelaki terbabit dibawa ke HTI untuk bedah siasat, katanya. - Bernama

Jeritan selamatkan dari digigit anjing liar

Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: September 18, 2013

PUCHONG – Jeritan kuat seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berjaya menyelamatkan dirinya daripada terus diserang seekor anjing liar, pagi semalam.

Ketika kejadian, kanak-kanak berkenaan sedang berjalan kaki bersama ibu dan adiknya yang berusia setahun berhampiran Uptown Bazar Puchong Permai.

Mangsa, Mohd Asri Meskat cedera di bahagian kaki kanan akibat digigit anjing liar terbabit.

Ibu mangsa, Timani Mohd Nor, 35, berkata, kejadian berlaku ketika dia, Asri dan seorang anak perempuannya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang di pasar berhampiran.

Katanya, sebaik tiba di kawasan kilang, tiba-tiba muncul seekor anjing berwarna hitam dari celah tepi kenderaan dan terus menyerang anaknya menyebabkan mangsa menjerit sekuat hati.

"Anjing itu menyerang kerana lapar. Kebetulan Asri ketika itu sedang memegang satu bungkusan makanan.

"Binatang liar terbabit bagaimanapun melepaskan gigitannya apabila anak saya menjerit sekuat hati, orang ramai yang berada berhampiran terus bergegas ke tempat kejadian untuk memberi bantuan,"katanya.

Mohd Asri yang cedera diserang anjing liar terbabit kemudian dibawa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan.

Tiga ditahan kes cubaan rompak kedai emas

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki yang disyaki cuba merompak kedai emas Abdul Razak Jewellers di Jalan Lebuh Ampang di sini awal bulan ini, ditahan dalam Ops Cantas Khas di Sungai Petani, Kedah minggu lepas.
   
Lelaki berusia antara 21 hingga 25 tahun itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur untuk direman, kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur ACP Khairy Ahrasa.
   
"Kami percaya tiga lelaki yang ditahan itu merupakan suspek yang terlibat dalam kes cubaan merompak di Lebuh Ampang. Kami akan ambil mereka di Kedah untuk direman bagi membolehkan soal siasat dijalankan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Kejadian pada 3 September lepas itu turut menyebabkan pemilik kedai emas berkenaan Abdul Rasul Abdul Razak, 58, cedera di perut dan bahu kanan akibat terkena dua das tembakan ketika cuba menghalang empat penjenayah terbabit.
   
Khairy berkata kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971.  - Bernama

Anggota tentera didakwa rogol kekasih bawah umur

Oleh: SITI AZIELAH WAHI

Tarikh: September 18, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan merogol kekasihnya yang masih di bawah umur, dua minggu lalu.

Mohd Fahmi Sharifudin, 25, yang bertugas di Kem Sungai Besi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Fahmi yang masih bujang itu didakwa merogol teman wanita berusia 14 tahun 11 bulan, di sebuah bilik di pusat karaoke, Medan Niaga Tasik Damai Sungai Besi, sekitar jam 4.30 petang, 2 September lalu .

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (2) (d) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya hakim, Mohd Fahmi menjelaskan, dia mengenali tertuduh melalui aplikasi sosial mudah alih (we chat) hampir sebulan sebelum menemuinya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurmadiana Mamat memaklumkan jaminan tidak ditawarkan kepada tertuduh kerana kes itu tertakluk di bawah kes yang tidak dibenarkan diikat jamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang belum melantik peguam memohon agar dirinya diberikan jaminan kerana mahu meneruskan tugas, di samping mahu menemui ahli keluarganya.

Hakim, tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh sehingga mangsa selesai memberi kenyataan kepada mahkamah.

Emelia turut memberikan sebab jaminan tidak diberikan kepadanya kerana tertuduh tidak mengemukakan alasan kukuh kepada mahkamah, selain tertuduh masih boleh berhubung dengan mangsa melalui media elektronik dan internet.

Mahkamah turut meletakkan syarat agar keluarga tertuduh tidak dibenarkan berhubung dengan mangsa dan saksi-saksi lain.

Mahkamah menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan kes itu.

Dadah: Wanita Afrika Selatan ditahan

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

JOHOR BAHRU - Alasan yang diberi seorang wanita Afrika Selatan ketika ditahan di Lapangan Terbang Senai di sini ialah ingin mencari destinasi berbulan madu, tetapi barang yang dibawa ialah dadah jenis methamphetamine bernilai hampir RM1 juta.
    
Wanita berusia 22 tahun itu ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor pada 11.10 malam Khamis lepas setelah imbasan terhadap sebuah beg troli yang dibawanya menunjukkan objek meragukan.
    
Wanita itu tiba di sini dengan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ini merupakan kali pertama dia memasuki negara ini," kata Timbalan Pengarah Kastam Johor Abdullah Sidik.
    
Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap beg bercorak kotak-kotak berwarna coklat yang dibawa wanita itu, pihaknya menemui dua bungkusan dibalut kertas timah dan dibungkus dengan plastik berwarna coklat yang disorok di bahagian kiri dan kanan beg.
    
"Kedua-dua bungkusan itu mengandungi ketulan-ketulan kristal dipercayai methamphetamine dengan anggaran berat kasar 4.9 kilogram dan ditaksir bernilai RM931,000," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
   
Abdullah berkata siasatan mendapati wanita itu memulakan perjalanan sejak seminggu lepas dari Johannesburg ke Bangkok, New Delhi dan Chennai sebelum tiba di KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
    
"Wanita yang tiba berseorangan itu memberikan alasan kepada pihak berkuasa bahawa dia datang ke negeri ini untuk mencari destinasi bulan madu," katanya.
    
Wanita itu direman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori. - Bernama

Jenazah Sherul Aizam akhirnya dikebumi

Oleh: NOOR 'AINON MOHAMED YUSOF

Tarikh: September 18, 2013

IPOH - Selepas genap 60 hari, jenazah pemuda mati tersepit ditingkap akhirnya dituntut bapanya, Mohd Damanhuri Mohd Fuat, 50, di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pagi tadi.

Jenazah Sherul Aizam, 27, dituntut kira-kira jam 11 pagi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar selepas solat Zohor.

Mohd Damanhuri menegaskan bahawa tuntutan jenazah terbabit bukan desakan dari mana-mana pihak.

Sebelum ini, mayat Sherul Aizam enggan dikebumikan bapanya kerana mahukan bedah siasat kedua dijalankan ke atas anaknya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat pertama.

Kris Strike Exercise: Kukuh kerjasama 2 negara

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 18, 2013

SUNGAI PETANI - Latihan bersama tentera darat Malaysia-Amerika dikenali sebagai 17/2013 Kris Strike Exercise, bermula di Rejimen Ke-52 Artileri Diraja, Kem Sungai Petani semalam.

Latihan 10 hari itu, yang membabitkan hampir 100 anggota Divisyen Ke-25 Infantri Tentera Darat Amerika, termasuk 10 wanita, dirasmikan pegawai pemerintah Divisyen Kedua Infantri Malaysia Mej Jen Datuk Mohd Shukuri Ahmad.

Brigedier Jeneral John P.Johnson dari Markas Pasifik Tentera Darat Amerika (USARPAC) berpangkalan di Hawaii mengetuai kontinjen Amerika dalam latihan tahunan dua hala itu.

Mohd Shukuri berkata latihan itu mencerminkan hubungan dan kerjasama erat ketenteraan yang wujud antara kedua-dua negara.

"Ia menjadi medan untuk meningkatkan hubungan baik yang terjalin antara tentera darat Amerika dan tentera darat Malaysia melalui latihan serupa sejak beberapa tahun lepas.

"Di samping mencapai objektif Kris Strike Exercise, latihan ini juga menjadi lambang kejayaan besar hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata latihan itu juga bertujuan meningkatkan keberkesanan operasi peserta kedua-dua pihak dalam menangani sengketa di Asia.

Latihan berkenaan memberi fokus terhadap Operasi Penguatkuasaan Keamanan Pertubuhan Bangsa Bersatu dan memberi penekanan tentang pengetahuan taktikal serta prosedur staf operasi, prosedur pos perintah latihan dan eksesais bagi pemerintah dan staf dalam latihan bersama dan pertukaran pengetahuan serta pengalaman dalam operasi penguatkuasaan keamanan antara tentera darat Malaysia dan tentera darat Amerika.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Brigedier Jeneral Johnson berkata tentera darat Amerika bersedia berkongsi pengetahuan dan pengalamannya dengan tentera darat Malaysia melalui latihan bersama itu.-Bernama

Perkeso Sabah kompaun 149 majikan

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

KOTA KINABALU - Sebanyak 149 majikan di Sabah dikompaun melibatkan jumlah kompaun RM102,000 atas kesalahan gagal mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri Anthony Arul Dass berkata tindakan itu diambil menerusi Ops Kesan yang dijalankan Perkeso.

Sebanyak 114 notis dikeluarkan bagi majikan yang gagal mendaftarkan perusahaan melibatkan jumlah kompaun RM91,000, manakala 17 notis dikeluarkan bagi kesalahan gagal mendaftarkan pekerja melibatkan jumlah kompaun RM11,000.

"Setakat hari ini, Perkeso negeri telah melawat 1,356 majikan bagi menjejak majikan yang ingkar tempoh ihsan bagi mendaftarkan perusahaan dan pekerja masing-masing dengan Perkeso yang berakhir pada 31 Ogos," katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu di sini hari ini.

Dass turut meminta pekerja yang majikan tidak mencarum untuk mereka, supaya tampil membuat aduan di mana-mana pejabat Perkeso.

Permintaan Perkeso itu berikutan kekurangan pegawai untuk memeriksa semua majikan di seluruh negeri, katanya.

Beliau turut menggalakkan pekerja berumur 40 tahun ke atas supaya mengambil peluang program pemeriksaan kesihatan percuma di semua panel klinik Perkeso.

Baucer pemeriksaan kesihatan itu diedarkan kepada semua majikan. - Bernama

Penantian berbaloi

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 18, 2013

TAPAH – Keinginan seorang warga emas untuk tinggal di kediaman yang selesa tercapai setelah  menerima sebuah rumah satu bilik sumbangan kerajaan negeri Perak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernilai RM 18,000, di Kampung  Sungai Kurung Simpang 4, di sini.

Juariah Chik, 77, berkata, dia yang sebelum ini tinggal berseorangan di rumah  pusakanya yang usang  gembira dan bersyukur dengan sumbangan berkenaan.

"Beberapa bulan lalu saya diberitahu layak menerima sebuah rumah menggantikan rumah pusaka yang usang.

"Memang tak sangka saya dapat rumah ini dan amat menghargainya memandangkan rumah pusaka yang didiami reput dan usang," katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT di Kampung Sungai Kurung Simpang 4, di sini.

Hadir menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah berkenaan, Exco kerajaan negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan. Turut sama, Pegawai Daerah  Tapah, Razali Bakar.

Juariah  yang juga anak bongsu daripada tiga beradik berkata, rumah baru itu lengkap dengan perabot dan barangan elektrik yang sudah disediakan bagi kegunaannya.

"Penantian saya selama empat bulan berbaloi kerana ramai yang datang membantu memastikan saya selesa duduk di rumah ini," katanya.

Sementara itu, Samsudin yang juga Adun Ayer Kuning berkata,  rumah yang dibina itu adalah sebahagiannya pemberian kerajaan negeri dan beberapa NGO.

Menurutnya, keprihatinan beberapa NGO seperti Kelab Sukan Komuniti Ayer Kuning terhadap masalah dihadapi masyarakat setempat amat dihargai.

"Ini bukti NGO sentiasa ada  bersama-sama masyarakat dalam membantu golongan miskin menjalani kehidupan yang lebih baik.

"Saya harap lebih banyak NGO tampil membantu golongan memerlukan pada masa depan," katanya.

Dilema belum berakhir

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 18, 2013

TANJONG KARANG - Dilema 29 keluarga yang mendiami Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Bakti, Sungai Karang di sini masih belum berakhir berikutan bimbang tanah yang dipindah milik kepada institusi tertentu itu akan dimajukan untuk pembangunan.

Ketua Umno Cawangan Desa Bakti, Nor Azizah Ahmad menjelaskan, 29 keluarga yang ketika itu adalah golongan asnaf ditempatkan di tanah rizab kerajaan ketika pentadbiran di bawah Barisan Nasional (BN) selepas tanah diteroka untuk penempatan pada 1996.

Menurutnya, selepas dimaklumkan tanah terbabit dipindah milik kepada institusi tertentu menyebabkan sembilan keluarga yang masih asnaf di bawah kendalian Lembaga Zakat Selangor (LZS) diminta dipindahkan ke PPRT Sabak Bernam untuk penempatan baru.

"Isu timbul apabila keluarga asnaf tersebut menyatakan pendirian tidak mahu pindah kerana akan berdepan pelbagai masalah termasuk sumber pendapatan yang berpusat di Desa Bakti, Sungai Kajang di sini akan terjejas manakala anak terpaksa dipindahkan ke sekolah baru.

"Saya difahamkan, hasrat tidak mahu berpindah mendapat perhatian LZS, bagaimanapun, difahamkan LZS tidak memaksa sekiranya sembilan keluarga itu enggan berpindah. Tetapi agensi itu tidak akan bertanggungjawab seandainya tanah itu dimajukan sehingga menyebabkan mereka hilang penempatan," katanya.

Nor Azizah berkata, keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan penduduk kerana mereka tidak mempunyai tanah lain untuk didiami bahkan usaha kerajaan terdahulu yang mahu membantu keluarga asnaf berdikari dan keluar dari kepompong kemiskinan akan musnah.

"Jika dahulu, 29 keluarga asnaf mendiami kawasan itu, kini hanya tinggal sembilan keluarga sahaja. Sementara yang lain berjaya keluar dari kemiskinan dan mempunyai sumber pendapatan tetap melalui perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS).

"Ini adalah bukti kejayaan kerajaan terdahulu membawa 20 keluarga keluar daripada golongan asnaf dan jika masalah pemilikan tanah ini terus berlarutan tanpa noktah, tidak mustahil keluarga yang mampu berdikari terpaksa mulakan hidup baru di tempat
baru," katanya yang berharap masalah itu dapat perhatian ramai.

Sebelum ini, Penghulu Mukim Tanjong Karang Satu, Jumasri Jumin menjelaskan, pihaknya juga tidak bersetuju sekiranya benar sembilan keluarga asnaf terbabit perlu dipindahkan ke luar daerah seperti yang didakwa kerana ia jelas bertentangan dengan pendirian kerajaan negeri yang mahu membantu rakyat.

"Sebelum ini, banyak program dan sesi dialog diadakan bersama penduduk bersama LZS berkaitan isu rumah yang perlu diberikan pembelaan. Ketika itu, tidak timbul langsung isu tanah yang dibuka untuk penempatan pada 1996 dipindah milik kepada institusi berkenaan.

"Bagi saya, bukankah Baitulmal dan LZS di bawah satu kapal yang sama dan sepatutnya isu pemindahan sembilan keluarga ini tak perlu timbul kerana mereka boleh bekerjasama untuk mengekalkan keluarga itu.

"Saya akan menyelidik perkara ini terlebih dahulu. Jika benar, saya tidak menyokongnya bahkan pihak berkenaan perlu beri pembelaan kemudahan rumah kepada penduduk yang dilihat agak uzur dan perlu di baik pulih," katanya.

Cermin bas retak bahayakan penumpang

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 18, 2013

MUADZAM SHAH – Sebuah bas ekspres yang membawa penumpang dari Johor Bahru menuju ke Kuantan ditahan dalam sebuah Ops Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Pahang Tenggara yang diadakan di kilometer 100 jalan Kuantan – Segamat.

Bas ekspres tersebut ditahan atas kesalahan teknikal iaitu cermin hadapan yang retak yang merbahayakan.

Pengarah JPJ Pahang, Datuk Zakaria Man, berkata, pemilik bas telah diberi notis atas kesalahan tersebut.

"Keadaan cermin hadapan yang retak di kedua belah kiri dan kanan merupakan kesalahan teknikal yang tidak sepatutnya dibiarkan.

"Pemilik kenderaan diberikan notis dan mempunyai tempoh selama 14 hari untuk membaiki kerosakan yang dikesan dikesan dan kemudian membawa bas ke mana-mana pejabat JPJ berhampiran untuk disahkan telah dibaiki," katanya ketika ditemui di lokasi Operasi Ops Pengarah.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 210 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.

Menurutnya, pemilik kenderaan awam perlu menjaga keselamatan dan sentiasa memastikan semuanya dalam keadaan sempurna serta selamat.

"Pemandu bas juga gagal mempamerkan lesen pembawa (permit). Ini merupakan sesuatu yang penting kerana ketiadaannya, sesebuah bas tidak boleh beroperasi.

Operasi yang melibatkan 43 anggota itu bermula  jam 8.00 malam dan berakhir sekitar jam 12.00 tengah malam.

Buruh didakwa miliki heroin

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 18, 2013

KOTA BHARU - Seorang buruh mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan miliki dadah jenis heroin di tepi sebuah kandang lembu di Salor, 9 September lalu.

Hukuman bagaimanapun ditangguhkan berikutan masih menunggu laporan kimia bagi mendapatkan berat sebenar dadah berkenaan.

Kamaruzaman Elias @ Ramli, 40, didakwa bersama seorang masih bebas, memiliki 4.8 gram heroin di Kampung Seberang Pasir Mas, Salor di sini, pada jam 2.45 pagi, 9 September lalu.

Pada prosiding semalam, Majistret Nik Habri Muhamad menetapkan sebutan semula pada 20 Oktober depan. Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Dalam perkembangan sama, tertuduh mengaku tidak bersalah dituduh pecah rumah di Kampung Betong, Salor dan mengambil sebentuk cincin emas tanpa izin Rohayu Ariffin, 40, pada jam 12 tengah hari, 8 September.

Majistret menetapkan sebutan semula pada tarikh sama dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Liyana Md Zukri.

 

Padah simpan barang curi

Oleh: RUBIAH OMAR

Tarikh: September 18, 2013

KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang buruh yang masih mahu menyimpan barang curi iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ, menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Muhammad Jusoh, 36, dari Kampung Wakaf Gomok, Tepoh, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah menyimpan barang curi iaitu sebuah motosikal milik seorang anggota bomba, Mohd Khairul Abdul Wahab, 29.

Dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di belakang sebuah rumah di Kampung Padang Hangus, Tepoh, di sini, pada 12 September 2012, kira-kira jam  7 petang.

Dengan itu, dia mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan
kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim, manakala Muhammad pula tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, mangsa meletakkan motosikal miliknya dalam keadaan berkunci di hadapan rumahnya di Kampung Maras, Batu Rakit, di sini, pada 10 September 2012, kira-kira jam 8 malam.

Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari motosikal miliknya hilang pada keesokan harinya iaitu kira-kira jam 5 pagi, selepas diberitahu ayahnya yang ingin ke masjid sebelum membuat laporan polis.

Doktor rugi RM300,000

Oleh: Mohd Izzatul Izuan

Tarikh: September 18, 2013

SUNGAI BESAR – Seorang doktor sebuah klinik swasta di sini, mengalami kerugian kira-kira RM300,000 apabila rumah teres dua tingkat miliknya dekat Sungai Besar, di sini, di pecah masuk, kelmarin.

Ketua Polis  Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa tiada di rumah selama dua hari dan hanya disedari ketika mangsa pulang semula ke rumah berkenaan.

Menurutnya, mangsa bersama keluarga yang tiba di rumah kira-kira jam 3.45 petang Isnin lalu, terkejut apabila mendapati beberapa barangan berharga yang ditinggalkan dalam rumah telah hilang dikebas perompak.

"Mangsa yang masuk ke dalam rumah terkejut apabila mendapati jongkong emas seberat satu kilogram dan barang kemas perhiasan yang diletakkan dalam peti besi hilang dilarikan perompak," katanya.

Selain itu, katanya, antara barangan lain yang turut dirompak adalah wang tunai; pasport mangsa, isteri dan anak; komputer riba jenis Asus; tujuh jam tangan pelbagai jenama; dan empat buku akaun bank.

Noor Mushar berkata, suspek dipercayai masuk ke rumah mangsa dengan memanjat pintu pagar elektrik hadapan dan kemudiannya bertindak mengopak pintu kayu rumah sebelum masuk masuk ke dalam rumah.

"Rumah mangsa tidak dilengkapi pagar besi memudahkan suspek memecah masuk. Dipercayai suspek membawa barangan yang telah dicuri dan melarikan diri melalui pintu belakang rumah terbabit," katanya.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat perkara itu dan meminta mana-mana pihak yang mendapat maklumat mengenai kejadian terbabit tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 03-3224 2222.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Operasi sah atau haram?

Oleh: NORAFIZA JAAFAR

Tarikh: September 18, 2013

SELAYANG BHARU - Lambakan pusat pengumpulan barang lusuh di sini didakwa mampu menyumbang kepada masalah jenayah, vandalisme dan kecurian harta benda awam.

Kewujudan pusat itu menyebabkan berlakunya banyak kes kehilangan besi penutup longkang dan kecurian bahan binaan serta kabel.

Lokasinya yang terlalu hampir dengan kawasan perumahan juga dibimbangi boleh menyumbang kepada masalah kesihatan termasuk pembiakan nyamuk aedes dan tikus.

Terdapat salah sebuah pusat pengumpulan barangan lusuh pula didakwa beroperasi melebihi waktu ditetapkan iaitu pada waktu malam.

Tindakan pemilik itu menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat tambahan pula pusat itu sentiasa ditutup dengan pagar zink.

Seorang penduduk, Mohd Fairus Rahman berkata, aktiviti itu dilihat seperti tidak terkawal walaupun difahamkan permitnya sebelum ini telah dibekukan.

Menurutnya, ia turut menggalakkan pihak tidak bertanggungjawab memperoleh pendapatan mudah dengan mengutip besi longkang sekitar kawasan ini.

"Ia mengundang masalah sosial di sini dan tidak pasti sama ada beroperasi secara sah atau haram.

"Aktiviti keseluruhannya juga tidak dapat dipastikan kerana dibimbangi turut menerima barangan curi," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berharap jika pusat barangan lusuh itu tidak mempunyai permit sah, mereka patut dikenakan tindakan tegas termasuk arahan tutup.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Uncle Lim mempersoalkan lokasi perniagaan yang terletak berhampiran kawasan perumahan penduduk.

Katanya, selain bunyi bising masalah nyamuk turut dihadapi kebanyakan penduduk di situ.

"Kawasan perniagaan mereka terlalu besar dan barangan mereka terlalu banyak. Saya percaya ia menyebabkan sukar dikawal dari segi kawalan penyakit berjangkit.

"Saya cadangkan supaya lokasi perniagaan diubah ke tempat bersesuaian seperti kawasan lapang yang jauh dari rumah penduduk kerana mengganggu keharmonian kejiranan," katanya.

Sampai bila mahu tunggu?

Oleh: AMRAN ALI

Tarikh: September 18, 2013

AYER MOLEK - Hasrat seorang penduduk di Kampung Bukit Lintang, dekat sini untuk menduduki rumah sendiri menerusi projek perumahan mesra rakyat masih belum menjadi kenyataan apabila rumah yang mula dibina hampir dua tahun lalu terbengkalai sehingga kini.

Rosaiful Fauzi Abd Rahman, 32, berkata, projek itu bermula pada awal tahun lalu, namun kerja-kerja pembinaan dilaksanakan selama dua bulan sahaja dan hanya siap kira-kira 20 peratus.

Menurutnya, turut menerima nasib sama, adiknya, Rosazaliah Abd Rahman, 28, yang mendirikan rumah di tapak bersebelahan.

"Rumah ini dibina dengan menggunakan sistem bangunan berindustri atau industrial building system (IBS) dan sepatutnya mengambil tempoh dua bulan sahaja tetapi dua hampir dua tahun ia tidak siap-siap.

"Selepas saya mengadukan masalah ini ke pihak bertanggungjawab, mereka telah mengambil langkah menggunakan khidmat kontraktor lain pula. Tetapi hasilnya tetap sama," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Rosaiful Fauzi berkata, selain dirinya, dia juga difahamkan terdapat juga beberapa pemohon lain yang menerima nasib serupa dalam kawasan Ayer Molek.

"Saya cuba membawa masalah ini ke pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) namun sehingga kini tiada sebarang jawapan positif diberi.

"Cuma mereka hanya meminta saya bersabar, itu sahaja," katanya.

Sementara itu, Adun Ayer Molek, Datuk Md Yunos Husin ketika dihubungi menjelaskan pihaknya hanya menguruskan permohonan serta memberikan sokongan dan segala proses pembinaan diuruskan SPNB.

"Saya menyedari masalah ini dan pernah beberapa kali mengadakan lawatan ke rumah-rumah yang mengalami masalah sedemikian.

"Buat masa ini, kita akan mengaturkan pertemuan di antara wakil SPNB, kontraktor terbabit dan pemilik rumah bagi mencari jalan penyelesaian," katanya.

Rempuh belakang lori berhenti

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 18, 2013

NILAI – Seorang pelajar sebuah kolej maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di Kilometer 287.0 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur masuk Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Nilai, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa, Yap Tet Shen, 18, maut serta merta di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan badan.

Sementara rakannya cedera ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini, untuk rawatan.

Jurucakap polis berkata, mangsa bersama rakannya itu menaiki kereta jenis Proton Waja dipercayai dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke kolejnya di Nilai.

"Bagaimanapun, sejurus tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kiri.

"Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah akibat tersepit di bahagian duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Jurucakap berkata, pemandu lori dan kelindan masing-masing berusia 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Hasil siasatan awal pihaknya mendapati lori terbabit yang membawa muatan ikan dalam perjalanan ke Seremban bagi menghantar muatan tersebut.

"Namun, pemandunya tiba-tiba memilih untuk berhenti di lorong kiri berhampiran susur masuk R&R Nilai disebabkan kenderaannya mengalami kerosakan," katanya.

Kata Jurucakap, mayat mangsa dihantar ke HTJ untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superitendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Benteras kekang jenayah melalui agama

Oleh: Siti Zubaidah Zakaraya

Tarikh: September 18, 2013

SUNGAI PETANI – Badan Bertindak Banteras Jenayah (Benteras) akan menggunakan pendekatan agama iaitu penyerapan syariah selain bekerjasama dengan polis untuk membanteras jenayah.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya bakal menjelajah surau, masjid, serta beberapa lokasi strategik bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya, sebagai langkah pertama, Benteras bercadang mengadakan dialog bersama Ketua Polis Kedah dalam masa terdekat sebelum beberapa perancangan lain turut dilaksanakan.

"Pergerakan ini juga merupakan khidmat sosial Benteras yang dibarisi 15 badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

"Kita juga menggalakkan beberapa NGO bukan Melayu supaya turut serta," katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, antara NGO yang terlibat ialah Pertubuhan Belia Sejahtera Sungai Petani, Pertubuhan Belia Sejahtera Sik, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, Teras Pengupayaan Melayu dan lain-lain.

"Kami mengambil keputusan menubuhkan jaringan Benteras dalam rangka menggembleng peranan masyarakat untuk turut membantu pasukan keselamatan membendung jenayah terancang dan jenayah bersindiket.

"Tujuan utama jaringan 15 NGO ini ialah untuk menjalankan gerak kerja mendidik masyarakat bagaimana membendung gejala jenayah," katanya.

Beliau berkata, Benteras akan menggerakkan lebih kurang 20,000 keanggotaan dalam menjayakan usaha tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Sekolah Agama (Hesa), Mohammad Ismail berpendapat, sistem pendidikan harus dikaji semula agar pengisian lengkap boleh dilakukan mana-mana pihak agar remaja atau belia boleh memaksimumkan masa termasuk hari cuti persekolahan dengan baik.

"Sekiranya pelajar mempunyai program masa cuti atau hujung minggu tanpa ada ruang terlibat aktiviti tidak sihat, ia sekali gus mampu mengelakkan golongan itu terjebak dengan gengsterisme dan perbuatan jenayah," katanya.

Menurutnya, aspek pendidikan yang gagal membentuk diri dengan pengisian kerohanian perlu diperbaiki supaya pendekatan melalui agama mampu mengekang mereka dari terjebak dengan perbuatan tidak sihat.

"Antara aktiviti yang bakal dilaksanakan termasuk mengadakan majlis penerangan dan pameran bergerak di sebanyak mungkin institusi masyarakat termasuk masjid dan surau.

"Kita juga akan mengemas kini tren jenayah yang berlaku dalam masyarakat, mengadakan dialog komuniti antara polis dan orang ramai berdasarkan tema Peduli Masyarakat Perangi Jenayah," katanya.

Banglo punca tanah runtuh?

Oleh: Siti Nadiah

Tarikh: September 18, 2013

BATU FERINGGHI - Pembinaan rumah mewah di atas bukit didakwa mungkin antara penyebab kejadian tanah runtuh di sini semakin kerap berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Batu Feringghi, Jamaluddin Hashim berkata, pihaknya bimbang sekiranya ada agensi yang bertanggungjawab terlepas pandang berkaitan perkara berkenaan.

Menurutnya, JKKK juga tertanya-tanya bagaimana sistem saliran air dilakukan bagi rumah yang terletak di bahagian atas bukit ini kerana pihaknya bimbang sekiranya pengaliran air tidak sempurna akan menjadi penyumbang hakisan lereng bukit.

"Sejak saya memegang kepimpinan JKKK Batu Feringghi pada 2008, kami lihat pembangunan di atas bukit semakin rancak dan kemudiannya kejadian hakisan tanah sehingga adanya tanah runtuh di lereng bukit semakin banyak.

"Sebelum ini ia tidak terlalu ketara namun kini sekiranya kejadian hujan lebat dalam tempoh beberapa jam sahaja sudah ada tanah runtuh kecil yang berlaku, pada kami ia agak membimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Sinar Harian pada 14 September lalu mengenai tanah runtuh yang berlaku lereng bukit sepanjang Jalan Batu Feringghi di sini.

Disebabkan keadaan cuaca dengan hujan berterusan menyebabkan beberapa runtuhan kecil tanah berlaku di sekitar lereng bukit.

Pengguna jalan raya juga menyatakan kebimbangan mereka berikutan sering kali berulang alik dari Batu Feringghi ke Georgetown.

Jamaluddin berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengadakan lawatan ke tapak berkenaan dan mengambil inisiatif untuk membina benteng tepi bukit dan juga pantai untuk mengelakkan tanah runtuh.

Katanya, tindakan berkenaan masih belum mencukupi kerana pihaknya melihat keadaan tanah runtuh dengan skala yang kecil semakin kerap berlaku.

"Saya sendiri juga mengambil inisiatif memantau lereng bukit ini kerana memang situasi ini agak membahayakan, sekarang kita lihat walaupun ribut biasa banyak pokok yang tumbang, malah sehingga kini ada yang tidak diselenggarakan dengan baik.

"Kami minta pihak terlibat ambil tindakan yang sewajarnya, jangan tunggu perkara yang lebih teruk berlaku, baru tindakan lebih agresif diambil," katanya.

Tinjauan Sinar Harian sebelum ini mendapati runtuhan tanah berlaku dalam tempoh seminggu dan masih belum dibersihkan pihak yang bertanggungjawab.

Kira-kira tiga runtuhan kecil dapat dikesan di jalan sepanjang kira-kira tujuh kilometer itu.

Sebelum ini, beberapa runtuhan bukit dengan kesan yang lebih besar berlaku awal tahun ini sehingga mengakibatkan kesesakan jalan yang teruk.

Awal Julai lalu sebuah bas awam hampir dihempap sebatang pokok besar gara-gara kejadian tanah runtuh di persimpangan jalan sebuah hotel.

Walaupun masih boleh menggunakan laluan alternatif dengan melalui Jalan Teluk Bahang, namun jaraknya lebih jauh.

Kutip derma sambung belajar

Oleh: Siti Nur Mas Erah

Tarikh: September 18, 2013

PERAI - Impian seorang pekerja restoran yang ingin melanjutkan pengajian ke Taiwan tercapai apabila kutipan derma yang dijalankan Ahad lalu mencecah RM30,000.

Chin Chi Shuan, 20, berkata, seorang dermawan misteri turut memasukkan wang sebanyak RM18,000 ke akaunnya setelah mengetahui akan program kutipan derma bagi membantunya melanjutkan pengajian berlangsung Ahad lalu.

"Saya tidak tahu siapa dan dia hanya menghubungi saya meminta nombor akaun bank untuk menderma.

"Jumlah itu amat besar dan saya menghargai segala sumbangan yang diberikan orang ramai," katanya ketika ditemui di Taman Chai Leng semalam.

Dia yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan bertolak ke Universiti Perubatan Chung San, Taiwan pada hari ini (semalam).

Chi Shuan berkata, kecekalan dan usaha tanpa henti membuatkan dia lebih berjaya.

"Di sekolah, saya sentiasa bertanyakan berkali-kali sehingga guru-guru adakala muak mendengar soalan yang sama.

"Saya tidak malu dan terus menyoal sekiranya ada subjek yang saya tidak fahami dan berjaya mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.75 di dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)," katanya yang bersekolah di SMK Permatang Rawa, Bukit Mertajam.

Pemilik restoran, Tong Kok Hwa, 41, turut mengumpul derma melalui hasil keuntungan perniagaannya pada Ahad lalu sebelum diserahkan kepada Chi Shuan.

"Dia meminta untuk bekerja di gerai saya seawal usia 12 tahun dan saya katakan padanya yang dia perlu menyambung persekolahan terlebih dahulu.

"Datang dari keluarga yang porak-peranda, dia berhadapan dengan pelbagai cabaran hidup namun tetap bersama saya sehingga saya mampu membuka sebuah restoran.

"Saya berharap dia dapat mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang doktor," katanya.

Padah leka tunggang motosikal

Oleh: Khairil Anwar Mohd Amin

Tarikh: September 18, 2013

KERIAN- Kelekaan seorang lelaki menunggang motosikal membawa padah apabila dia parah dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Pantai Kuala Kurau, kelmarin.

Mangsa Puah Wooi Khim,36, dipercayai terleka dan melanggar sebuah kereta dari arah bertentangan sebelum melambung dan tercampak.

Saksi kejadian dikenali sebagai Irfan, 22, berkata, mangsa terbabas dengan sendiri setelah motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan merempuh sebuah kereta Proton Saga BLM dipandu seorang lelaki dari arah Kuala Krau menghala Parit Buntar.

Menurutnya, motosikal ditunggang mangsa masuk ke laluan bertentangan sebelum disedari pemandu kereta terbabit yang kemudiannya memperlahankan kenderaan dan membunyikan hon berulang kali.

"Namun, jarak yang terlalu hampir menyebabkan kereta dan motosikal itu bertembung.

"Pertembungan itu menyebabkan penunggang motosikal melambung dan jatuh atas cermin hadapan kereta terbabit sebelum tercampak kira-kira 10 meter," katanya.

Dalam pada itu, pemandu kereta terbabit, Abu Zar, 25, berkata, dia tergamam melihat tubuh mangsa melambung dan jatuh atas keretanya sebelum tercampak.

Menurutnya, kejadian itu berlaku terlalu pantas dengan jarak antara kereta dipandunya dengan penunggang motosikal itu terlalu hampir.

"Saya cuba elak daripada merempuh mangsa namun gagal.

"Saya turut difahamkan, mangsa patah tangan dan kaki kanannya selain cedera parah di kepala disebabkan pertembungan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan menegaskan kes masih dalam siasatan.

Kilang basikal dipecah masuk

Oleh: Nurul Mazwana Hamdan

Tarikh: September 18, 2013

TAIPING – Polis memburu sekumpulan penjenayah yang terbabit dalam kegiatan pecah kilang basikal di Taman Perusahaan, Pengkalan, Pokok Assam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, pemilik kilang dikenali sebagai Chia, 40-an mengalami kerugian lebih RM4,000 apabila penjenayah terbabit melarikan wang tunai berkenaan yang disimpan dalam peti besi.

Chia berkata, dia menyedari kejadian itu apabila alat penggera keselamatan yang disambungkan menerusi telefon bimbitnya berbunyi.

"Saya terbangun apabila alat penggera berbunyi dan melalui CCTV, saya lihat empat lelaki ada dalam kilang dan saya terus menghubungi polis," katanya.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, menerima panggilan kecemasan dari pemilik kilang yang memaklumkan ada empat lelaki tidak dikenali dalam pejabatnya selepas alat penggera keselamatan berbunyi.

"Bagaimanapun, semua suspek sempat meloloskan diri ke dalam semak berhampiran kilang terbabit sebaik anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Balai Pokok Assam yang tiba ke lokasi kejadian.

"Kita mendapati suspek memecah masuk dengan memotong pagar dan mengumpil tingkap kilang terbabit," katanya.

Menurutnya, dua motosikal dipercayai ditinggalkan suspek ditemui dalam semak berhampiran kilang terbabit dan usaha mengesan suspek dilakukan menerusi rakaman kamera litar tertutup  (CCTV).

Katanya, hasil siasatan polis berjaya menyerbu sebuah rumah di Taman Tupai Mas, kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian dan menahan seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan terbabit, manakala tiga suspek lagi sempat melarikan diri.

"Lelaki berusia 22 tahun itu ditahan bersama sebuah beg berisi pelbagai peralatan seperti pemutar skru, playar dan batang besi dipercayai digunakan dalam kegiatan pecah masuk.

"Kita terus menggandakan usaha menjejaki tiga lagi suspek setelah identiti mereka dikenal pasti," katanya.

Suspek yang ditahan akan direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

584 murid ponteng sifar

Oleh: SHAHIZATUL FARHA S ROSLI

Tarikh: September 18, 2013

JOHOR BAHRU – Seramai 584 murid Sekolah Kebangsaan Seri Kenanga menerima Anugerah Ponteng Sifar Ramadan selepas berjaya mengekalkan kehadiran cemerlang ke sekolah., semalam selepas berjaya mengekalkan kehadiran cemerlang ke sekolah.

Guru Besarnya, Zamani Ahmad berkata, kehadiran cemerlang di kalangan murid sekolah itu semakin meningkat kepada 95 peratus berbanding 90 peratus tahun lalu sejak anugerah berkenaan diperkenalkan tahun lalu.

"Kira-kira 70 peratus daripada penerima anugerah hari ini berjaya mengekalkan kehadiran 100 peratus ke sekolah, manakala selebihnya mendapat rekod kehadiran cemerlang.

"Program ini bertujuan mengelakkan gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid agar mereka tidak tercicir dalam pelajaran dan terjebak dengan gejala sosial," katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Ponteng Sifar Ramadhan, di sini semalam.

Zamani berkata, program berkenaan diambil kira berdasarkan kehadiran sepanjang tahun, namun tumpuan utama diberikan ketika bulan Ramadan kerana rekod ketidakhadiran murid amat tinggi pada bulan berkenaan.

"Program ini sebagai pendorong dan galakan kepada murid-murid agar mereka bersemangat untuk hadir ke sekolah.

"Sebelum ini pihak sekolah turut mengambil inisiatif memberi sagu hati berupa alat tulis kepada 100 murid yang berjaya datang awal ke sekolah," katanya.

Beliau berkata, program itu turut mendapat kerjasama Malaysia Buliding Society Berhad (MBSB) yang membantu menyalurkan dana kepada pihak sekolah menjalankan pelbagai aktiviti untuk membangunkan sahsiah murid.

Sementara itu, murid darjah satu, Dayang Nur Uzma Umairah Abang Alias, 7, berasa amat teruja menerima anugerah berkenaan dan semakin bersemangat untuk hadir ke sekolah.

"Saya tidak pernah ponteng sekolah dan berjanji untuk belajar dengan tekun dan rajin supaya dapat jadi insan berguna.

 "Saya harap rakan-rakan lain juga rajin ke sekolah setiap hari," katanya.

Berbasikal sambil imbau sejarah

Oleh: Mohamad Norzaharuddin Kasimon

Tarikh: September 18, 2013

LABIS – Berkayuh sejauh 40 kilometer melalui jalan bukit dan hutan bukan perkara mudah.

Namun itu kelainan dilakukan 44 peminat basikal lasak dari Labis Cycling Club bagi meraikan Hari Malaysia, kelmarin.

Pengerusi Labis Cycling Club, Mohd Zainudin Adam berkata, program itu diharap memberi kesedaran kepada peserta terhadap kesukaran generasi terdahulu membebaskan negara dari cengkaman penjajah.

"Generasi terdahulu rata-rata menggunakan basikal dan terpaksa melalui jalan tidak sempurna dalam setiap urusan termasuk sewaktu berjuang menentang penjajah dan ancaman komunis.

"Program hari ini membawa kembali ingatan tersebut kepada peserta yang berpeluang merasai sendiri kesusahan generasi terdahulu mempertahankan negara serta mewariskan keamanan kepada kita," katanya.

Mohd Zainudin berkata, laluan dari Kampung Kudung, Bekok ke Taman Negara Selai, yang berbukit dan dikelilingi hutan dipilih bagi menyerupai suasana zaman sebelum merdeka sekali gus mengimbau kembali kejadian terdahulu.

Peserta, Saridah Ehsan, 51, berharap, program itu memberi dirinya peluang merasai apa yang dilalui golongan terdahulu di samping menyemai semangat kerjasama antara satu sama lain.

"Walaupun peserta terdiri dari pelbagai peringkat umur dan kaum, kerjasama ditunjukkan semua peserta amat baik dan diharap hubungan ini akan diteruskan.

"Cabaran berkayuh ini tidak seberapa jika dibandingkan pengorbanan mereka dulu," katanya.

Bagi Amli Ishak, 69, usia tidak menghalangnya walaupun menyedari banyak cabaran dan terpaksa bersaing dengan peserta lebih muda.

"Mungkin kudrat saya tidak mampu menandingi peserta lebih muda, tetapi saya tidak mahu mengalah.

"Saya mahu mereka sentiasa bersedia mempertahankan kemerdekaan dan nikmat keamanan ini," katanya.

Asap hitam jadi petanda

Oleh: Shaiful Azhar Ahmad Ali

Tarikh: September 18, 2013

KULIM - Kegiatan membakar kabel yang dipercayai dicuri mengundang padah apabila enam lelaki berusia 20 hingga 60 tahun ditahan di sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Bukit Besar kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam apabila mereka ternampak kepulan asap hitam di sekitar kawasan terlibat.

Menurutnya, curiga dengan kejadian itu, mereka kemudiannya memaklumkan kepada polis untuk membuat siasatan.

"Dua lelaki memperkenalkan diri mereka sebagai Ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat (PPKM) dan memaklumkan kepada polis terdapat beberapa lelaki di luar kawasan rumah terlibat.

"Seorang anggota polis kemudiannya masuk ke lokasi kejadian bersama dua ahli PPKM dan mendapati enam lelaki berada di luar rumah dalam keadaan gelap sebelum meminta bantuan anggota lain," katanya.

Ghuzlan berkata, pihaknya daripada Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, bertindak mengepung kawasan itu.

"Salah seorang suspek yang menyedari keadaan ini cuba melarikan diri, bagaimanapun berjaya ditahan di bahagian atas rumah terlibat.

"Hasil pemeriksaan menemui lori tiga tan disembunyikan kira-kira 100 meter dari lokasi enam lelaki tadi ditahan. Kami turut menemui kabel yang sudah dibakar dalam lori itu dan ia dipercayai dicuri," katanya.

Katanya, kesemua suspek terlibat kemudiannya di bawa balik ke IPD sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

"Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati tiga daripada enam suspek positif dadah.

"Kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya.

Pasangan kekasih leka pecah rumah diberkas

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 18, 2013

IPOH – Dua penjenayah dipercayai sepasang kekasih tidak sedar gerak geri mereka diperhatikan polis ketika sedang menggeledah sebuah rumah dalam satu kejadian di Taman Chemor Sinaran, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu disedari oleh tuan rumah yang baru pulang bekerja berasa curiga selepas melihat sebuah motosikal berada di belakang rumahnya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa yang melakukan pemeriksaan mendapati pintu belakang rumahnya dipecah masuk bertindak meminta bantuan jirannya untuk menghubungi polis.

"Pasukan peronda tiba di tempat kejadian mendapati kedua-dua suspek berusia 28 tahun sedang leka menggeledah rumah mangsa sebelum polis menahan mereka," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui sebilah pisau terselit di pinggang suspek lelaki.

"Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan dadah. Mereka direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, Chang Keong berkata, polis berjaya menahan dua suspek berusia 42 dan 33 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian curi besi di beberapa kawasan pembinaan dan perindustrian Zon Bebas Kinta di sini,
kelmarin.

Katanya, anggota polis menahan suspek berusia 42 dan 33 tahun yang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan di laluan Klebang Jaya, Chemor kira-kira jam 10.30 malam.

"Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kepingan besi dijumpai dicuri di kawasan perindustrian Zon Bebas Kinta, Jalan Kuala Kangsar.

"Suspek kini ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Maut digilis bas ekspres

Oleh: Zairul Afiza Hamzah

Tarikh: September 18, 2013

JERANTUT- Seorang wanita maut apabila di gilis sebuah bas ekspres ketika mangsa dalam perjalanan untuk menoreh getah di Kilometer 7 Jalan Jerantut-Temerloh, dekat Kampung Paya Rajin, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Azid Ismail berkata, mangsa, K. Saraswahty, 56, dari Kampung Mat Kilau 2, maut di tempat kejadian ekoran kecederaan parah akibat di gilis bas ekspres itu di bahagian kepala.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai telah dilanggar oleh bas ekspres tersebut yang berada di belakang mangsa yang kedua-duanya dari arah jalan Jerantut-Temerloh.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu bas tersebut tidak berhenti dan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Azid berkata, pemandu bas itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut selepas menyerah diri petang kelmarin.

"Sehubungan ini, pihak polis minta penumpang  yang menaiki bas tersebut dari Jerantut menuju ke Kuala Lumpur pada jam 7 pagi pada  16 September lalu atau mana-mana saksi untuk tampil ke IPD Jerantut.

"Mereka boleh menghubungi  IPD Jerantut di talian 09-2662222 atau 09-2666889," katanya.

Puchong mengaku salah jerut leher peniaga

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 18, 2013

KUALA TERENGGANU- Akibat terdesak mendapatkan wang untuk membeli dadah, seorang penganggur mengaku menjerut leher seorang peniaga menggunakan tali kasut di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Shafiq Afendi Ahmad Zamri, 25, atau lebih dikenal panggilan Puchong mengaku bersalah dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas mangsa, Mala Abdullah, 60, menggunakan tali kasut berwarna hitam.

Dia mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu di kedai runcit milik mangsa di Kampung Sungai Ikan, Tepoh, di sini, pada 9 September lalu, jam lebih kurang 4.25 petang.

Dengan itu, Puchong mengaku bersalah melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga boleh sampai tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, sejurus pengakuan bersalahnya direkodkan, Majistret Abdul Hayyi Salim menetapkan 10 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukum dan turut membenarkan Puchong dibebaskan dengan jaminan RM2,800.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Puchong tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, mangsa seorang peniaga berada di kedai runcit miliknya berseorangan sebelum didatangi seorang lelaki dikenali iaitu Puchong yang berpura-pura kononnya ingin membeli kertas pasir.

Semasa mangsa pergi mengambil kertas pasir yang diminta, Puchong telah mengekorinya dari belakang dan menjerut leher mangsa dengan tali kasut berwarna hitam.

Mangsa cuba melawan dan berlaku pergelutan di antara mereka sehingga Puchong terpaksa mengalah dengan melepaskan jerutan itu kerana mangsa didapati masih tidak mati dan tindakan berani mangsa yang menjerit meminta tolong.

Pada awalnya, Puchong cuba bertindak masuk ke dalam kedai untuk mencuri wang, bagaimanapun terpaksa melarikan diri selepas terdengar mangsa menjerit meminta tolong.

Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan seorang ibu kepada sembilan anak merasakan dirinya ibarat mati hidup semula kerana semasa leher dijerut dengan tali kasut oleh penjenayah yang cuba menyamunnya, dia memang langsung tidak boleh
bernafas dan 'mati' seketika.

Hobi jadi punca rezeki

Oleh: NURUL HUDA HUSAIN

Tarikh: September 18, 2013

KUALA NERUS – Siapa sangka daripada hobi memelihara arnab, akhirnya membuka pintu rezeki buat Jefri Abdullah, 40, untuk menceburi secara langsung dalam bidang perniagaan membabitkan haiwan jinak itu.

Malah, Jefri turut mengakui, kerana minat mendalam terhadap arnab, dia semakin yakin bahawa keputusan diambilnya untuk meninggalkan bidang insurans yang diceburi sekian lama, satu langkah yang tepat.

Dia yang menguruskan sendiri ladang arnab termasuk menyediakan makanan dan memeriksa kesihatan haiwan itu, tidak pernah berhadapan dengan sebarang masalah memandangkan haiwan jinak tersebut mudah untuk diuruskan.

Bermula dengan hanya lima arnab tiga tahun lalu, kini ladang mini diberi nama JJ Rabitry yang terletak berdekatan kediamannya di Kampung Banggol Tok Jiring itu sudah mempunyai lebih 100 arnab baka induk yang terdiri daripada pelbagai jenis termasuk kacukan dari luar negara.

Pasar di facebook

"Alhamdulillah, pada awalnya saya membela arnab ini sekadar suka-suka memandangkan saya dan keluarga amat meminati arnab yang jinak itu. Namun dari masa ke masa, bilangannya semakin bertambah kerana arnab terkenal sebagai haiwan yang cepat membiak.

"Jadi bermula dengan itulah, saya mengambil keputusan untuk berkongsi minat ini bersama penggemar lain dengan menyediakan pelbagai jenis arnab untuk peliharaan," katanya.

Jefri berkata, dia bukan hanya menjual arnab, tetapi turut membekalkan makanan dan sangkar yang pelbagai bentuk.

"Kebanyakan pelanggan yang berkunjung ke ladang arnab ini terdiri daripada rakan terdekat, selain kenalan melalui laman sosial facebook.

"Bagi mengembangkan pasaran saya turut mempromosikan arnab dari JJ Rabitry melalui laman sosial facebook," katanya.

Ramai peminat arnab di Terengganu

Jefri berkata, dia beruntung apabila mendapati ramai peminat arnab di negeri ini.

Katanya, permintaan penduduk setempat mahupun luar juga semakin memberangsangkan yang maahu mendapatkan haiwan itu sama ada untuk dijadikan haiwan peliharaan ataupun makanan.

"Sejak saya mempromosikan di facebook, ramai juga pelanggan dari luar negeri yang membeli arnab daripada ladang saya," katanya.

Jefri bagaimanapun tidak menunggu pelanggan mencarinya, sebaliknya turut menjalankan perniagaan di Pasar Tani Jalan Hiliran pada setiap Sabtu.

Katanya, sepasang arnab dijual pada harga RM400, namun harga mengikut jenis dan baka.

Hasrat pasar daging berempah

Jefri berkata, meskipun berdepan dengan cabaran untuk mencari pelanggan pada awal pembukaan ladang arnabnya itu, namun situasi tersebut tidak sesekali mematahkan semangatnya.

Katanya, keadaan itu menambahkan lagi keazamannya untuk meneruskan perniagaan tersebut.

Sebagai perancangan masa depan, Jefri berhasrat juga untuk memasarkan daging arnab berempah dan sejuk beku.

"Walaupun keperluan terhadap daging arnab dalam kalangan masyarakat di negeri ini masih rendah, namun permintaan makin meningkat dari masa ke masa.

"Mungkin hasrat saya untuk memasarkan daging arnab berempah akan menarik lebih ramai penggemar daging haiwan berbulu ini untuk dijadikan hidangan keluarga," katanya.

Menurutnya, buat masa ini, dia menjual daging arnab siap dibersihkan pada harga RM30 hingga RM50 sekilogram.

Sindiket curi motosikal tumpas

Oleh: Nik Muhd. Rafiq Abd. Ghani

Tarikh: September 18, 2013

DUNGUN - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi motosikal didalangi pelajar sekolah menengah berikutan tertangkapnya empat pelajar dipercayai terbabit dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Semua suspek masing-masing berusia 13 dan 14 itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di kampung Sura Jetty, Taman Rakyat Jaya, Kampung Batu 48 dan Pak Sabah Dungun.

Operasi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Balai Polis Dungun dari jam 1 hingga 3 pagi itu dilakukan berdasarkan maklumat risikan diperoleh selepas penahanan beberapa rakan mereka sebelum ini.

Menurut risikan daripada ahli yang ditahan, polis dimaklumkan ada lagi  ahli kumpulan rakan sekolah mereka yang dipercayai terlibat dengan kes curi motosikal.

Siasatan awal polis mendapati, pelajari tingkatan dua dan tiga itu melakukan aktiviti jenayah curi motosikal secara terancang.

Sasaran utama mereka adalah di tempat awam seperti kawasan masjid dan kediaman penduduk.

Motosikal dicuri pula dileraikan untuk mendapatkan komponennya sebelum dijual di pusat barang lusuh, selain sebahagian lain diambil untuk kegunaan sendiri.

Motosikal yang sudah dileraikan komponennya pula dibuang dalam semak berhampiran untuk mengelak daripada dihidu polis.

Semua pelajar yang bersekolah di sebuah sekolah menengah di Dungun itu, kini terpaksa ditahan reman untuk siasatan lanjut sebelum mereka dihadapkan ke mahkamah setelah kertas siasatan dilengkapkan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaakub mengesahkan mengenai kes tersebut.

Peroleh RM1,000 seminggu

Oleh: Hazelen Liana Kamaruddin

Tarikh: September 18, 2013

PASIR MAS - Setiap graduan yang tamat pengajian pasti mengimpikan untuk bekerja dengan sesebuah organisasi dan mendapat upah setimpal dengan usaha selama ini.

Namun tidak bagi anak jati Kampung Jintan, Chetok, iaitu Azeman Jaya, 22, atau lebih dikenali sebagai Tok Cik apabila dia memilih untuk mengusahakan ternakan lebah kelulut bagi mencari rezeki yang halal.

Walaupun pada peringkat awal pilihannya itu sering diragui namun, berkat usaha dan keyakinan diri, Azeman mengorak langkah cuba membuktikan kelainan yang dilakukannya itu.

Cabar diri sendiri

Berbekalkan pengalaman yang diperoleh sepanjang pengajian di Institusi Vaterina, Kluang, Johor, Azeman mencabar dirinya dengan memulakan ternakan lebah kelulut secara kecil-kecilan.

"Ramai graduan sekarang yang memasang angan-angan untuk makan gaji tetapi tidak bagi saya kerana dengan bekerja sendiri juga kita mampu berjaya dalam hidup.

"Bermula dengan modal RM10,000 hasil bantuan adik-beradik, saya hanya menggunakan kawasan halaman rumah untuk ternakan ini," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, yang juga anak bongsu daripada lapan beradik itu, halaman rumah yang dipenuhi dengan pokok buah-buahan memberi kelebihan kepada usahanya itu kerana ia dapat menarik minat lebah kelulut.

Katanya, selepas enam bulan bersusah payah berusaha akhirnya dia berjaya menghasilkan 350 koloni kelulut yang diletakkan di sekitar kawasan rumahnya.

"Daripada jumlah itu, 30 koloni sudah berjaya menghasilkan madu," katanya.
 
Pendapatan lumayan

Azeman berkata, madu yang dikumpulkan dijual dengan harga serendah RM50 bagi 200 gram, manakala RM140 untuk sekilogram.

"Oleh kerana madu lebah kelulut mempunyai banyak khasiat, terutama sebagai penawar penyakit kencing manis, darah tinggi, asma dan sebagainya, ia sering mendapat permintaan yang tinggi daripada pembeli.

"Kadang-kadang permintaan yang diterima lebih tinggi daripada hasil pengeluaran," katanya yang memperoleh pendapatan RM1,000 seminggu hasil ternakan itu.

Azeman berkata, melihat kepada sambutan yang diterima, dia bercadang untuk membuka sebuah ladang kelulut di tanah peninggalan keluarga untuk mendapatkan bekalan madu yang lebih banyak pada masa akan datang.

"Ia masih lagi di peringkat perancangan dan saya berharap dengan sokongan ramai impian ini akan menjadi kenyataan," katanya.

Galak anak muda

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Datuk Ahmad Ishak berkata, beliau menggalakkan petani atau pengusaha muda yang ingin berkecimpung dalam bidang ternakan lebah kelulut tersebut.

"Kami bersedia untuk membantu dari segi mempromosikan madu ini kerana dengan adanya penghasilan madu lebah kelulut ia dapat menambahkan koleksi madu yang ada di Fama, selain madu lebah dan tualang," katanya semasa mengadakan lawatan
khas ke ladang ternakan kelulut Sungai Lombong Agro Farm milik Azeman, di sini.

Hadir sama, Pengarah Fama Wilayah Timur 1, Mohd Ariffin Awang.

Menurutnya, usaha yang dipraktikkan Azeman cukup kreatif terutama penggunaan sumbar asli dalam menghasilkan madu tersebut.

Beliau berharap Azeman dapat melakukan lebih banyak pengeluaran madu agar ia dapat dipasarkan dengan lebih meluas lagi.

Dua lemas di perkelahan Sungai Sedim

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

KULIM - Orang ramai yang berkunjung ke kawasan perkelahan di Sungai Sedim dekat sini diminta berwaspada susulan dua kejadian lemas yang mengorbankan seorang wanita dan pelajar perempuan pada Sabtu lepas dan semalam.
   
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, dalam kes pertama seorang wanita Hasmira Rosli, 26, dari Jalan Hutan Kampung, Alor Setar lemas dibawa arus deras pada 12.30 tengah hari 14 September lepas.
   
Ketika kejadian mangsa yang dikatakan bekerja di Sungai Petani mengunjungi kawasan perkelahan itu bersama beberapa temannya dengan bermotosikal.
   
"Ketika mandi-manda di aliran Sungai Sedim berhampiran Jeram Raja dia telah hanyut dibawa arus dan mayatnya ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi itu, 30 minit kemudian iaitu jam 1 petang," katanya ketika dihubungi hari ini.
   
Dalam kes kedua, iaitu selang sehari selepas insiden itu, seorang pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Besar di sini, Farah Izwani Zainuddin, 13, lemas dibawa arus ketika hendak membasuh tangan di tebing sungai itu pukul 11.30 pagi sewaktu berkelah dengan keluarganya.
  
Ghuzlan berkata, mayat mangsa yang tinggal di Taman Makmur, Lunas dekat sini ditemui 15 minit kemudian di lokasi Lubuk Lebai Awang iaitu satu kilometer dari tempat mangsa dihanyutkan.
   
Beliau menasihatkan orang ramai yang mengunjungi kawasan rekreasi itu supaya lebih berwaspada ketika berkelah di Sungai Sedim terutama ketika musim hujan sekarang.
   
"Ini berikutan 'kepala air' akan berlaku pada bila-bila masa yang akan menyebabkan aliran air sungai datang dari hulu dengan deras dan kuat, akan membahayakan mereka yang mandi-manda di aliran berkenaan," katanya.
   
Sementara itu, Adun Kulim, Chuah Teng Ghee yang melawat kawasan perkelahan itu hari ini berharap Jabatan Perhutanan Daerah Kedah Selatan dapat menyediakan lebih banyak tanda amaran lokasi berbahaya kepada
pengunjung.
   
"Kalau boleh beberapa hari selepas hujan lebat turun di hulu sungai ini jangan benarkan pengunjung untuk mandi-manda di kawasan yang dikatakan berbahaya," katanya.
   
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Seri Reuna, Hashim Md Noor berkata sejak lima tahun lepas, sering berlaku kejadian lemas sekitar kawasan perkelahan itu.
   
"Kami amat bimbang tragedi ini berulang. Pihak kami juga menyediakan dua atau tiga sukarelawan kampung membantu memberi amaran kepada pengunjung tentang bahaya mandi di sini selepas hujan turun," katanya.
   
Katanya pihaknya juga berharap mendapat kerjasama Rela membantu penduduk kampung pada setiap hujung minggu atau cuti awam untuk sama-sama mengawasi keadaan supaya tragedi itu tidak berulang. - Bernama

 

 

Harga minyak naik: Restoran tak naik harga

Oleh: SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Tarikh: September 18, 2013

BATU FERINGGHI - Dakwaan ada restoran dan kedai makan menaikkan harga makanan tidak benar berdasarkan tinjauan yang dilakukan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Pulau Pinang, hari ini.

Pengarahnya, Mohd Salleh Ma'amor berkata, laporan beberapa akhbar sebelum ini mengenai adanya pengusaha restoran dan kedai makan di negeri ini yang menaikkan harga berikutan kenaikan harga minyak petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen adalah tidak benar.

"Setakat ini, tiada sebarang aduan diterima mengenai kenaikan harga barang di negeri ini sejak kenaikan harga bahan api itu diumumkan kerajaan baru-baru ini.

"Bagaimanapun, kita akan terus memantau harga barang di negeri ini bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga sesuka hati sekaligus membebankan rakyat," katanya kepada media selepas pelancaran kempen keselamatan di stesen minyak peringkat negeri 2013 di sini, hari ini.

Menurutnya, pengguna harus peka perkara itu dan memastikan harga yang dibayar adalah sama dengan jumlah yang dipamerkan di premis perniagaan.

"Pengguna wajar menyemak harga pada resit bayaran bagi memastikan jumlahnya sama dengan harga yang dipamerkan pada papan harga," ujar beliau lagi.

Kajian: 53% pekerja kerja jauh dari pejabat

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

KUALA LUMPUR - Pekerja Malaysia mengetuai senarai teratas yang bekerja jauh dari pejabat, dengan 53 peratus eksekutif tempatan bekerja secara fleksibel bagi tempoh sekurang-kurangnya separuh minggu berbanding 48 peratus purata global, demikian menurut 'Petunjuk ekonomi Global Regus 2013'.

Kajian oleh penyedia pekerjaan global, Regus Research, yang membabitkan lebih 26,000 pengurus perniagaan di 90 negara, merumuskan bahawa profesional yang 'terikat' bekerja di pejabat, akan menjadi minoriti tidak lama lagi.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark Dixon berkata berdasarkan separuh daripada tenaga kerja dunia kini menikmati suasana kerja fleksibel, beberapa ketua eksekutif mungkin bimbang terhadap aspek pengurusan dan memberi motivasi dari jauh.

Kajian itu juga menunjukkan 63 peratus ketua eksekutif di Malaysia percaya pekerja jarak jauh boleh diurus dengan berkesan berbanding 55 peratus di peringkat global, dan sebilangan perniagaan kini mendapati semakin sukar mengurus pekerja jarak jauh mereka.

Beliau berkata pengalaman kerja fleksibel memberi nilai khusus kepada pekerja muda yang mampu mencorakkan interaksi baharu antara pengurus  dan anggota pasukan.

Tiga puluh sembilan peratus pengurus Malaysia berpendapat pekerja jarak jauh menggalakkan pekerja muda lebih bertanggungjawab manakala 61 peratus (berbanding 37 peratus di dunia) menggunakan pemantauan khusus yang cekap. - Bernama

Inflasi: Subsidi bahan api beri impak minimum

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

KUALA LUMPUR - Pengurangan subsidi bahan api oleh kerajaan, yang menyebabkan kenaikan harga bahan api, hanya memberi impak minimum ke atas inflasi negara, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
   
Beliau berkata perkiraan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan ke atas impak kenaikan bahan api menunjukkan pergerakan minimum 0.2 peratus ke atas kadar inflasi kepada kira-kira 1.9 peratus berbanding 1.7 peratus pada masa ini.
   
"Kita tidak berada dalam kelembapan, negara (ekonomi) masih berkembang, penggunaan juga akan terus meningkat," katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena pelancaran media Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global 2013, di sini hari ini.
   
Mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu lepas mengenai agenda meningkatkan pegangan hartanah dan ekuiti oleh Bumiputera, Irwan berkata segmen penduduk ini menyumbang lebih 67 peratus daripada penduduk negara, namun pemilikan hartanah dan ekuiti masih kecil.
   
"Kita harus membuat sesuatu program dan merangka strategi melalui inisiatif yang telah diumumkan untuk meningkatkan pemegangan ekuiti dan hartanah dalam kalangan Bumiputera," katanya.
   
Sidang Kemuncak itu yang dianjurkan oleh The Grameen Creative Lab, Pusat Yunus dan Yayasan Amanah Belia (myHarapan), berlangsung dari 7 hingga 9 November, dan dijangka menarik kira-kira 700 peserta.
   
Dalam ucapannya, Irwan berkata sidang kemuncak itu adalah yang pertama di luar Eropah, selepas dua kali dijayakan di Jerman dan dua kali di Austria.
   
Pemimpin utama yang dijadual berucap pada forum itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Pemenang Hadiah Nobel Keamanan Profesor Muhammad Yunus dan pengasas bersama The Grameen Creative Lab, Hans Reitz.  - Bernama

Graduan kursus profesional perlu ditingkat

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

KUALA LUMPUR - Universiti Teknologi Mara (UiTM) diharap dapat meningkatkan jumlah pelajar dan graduan bagi kursus profesional selain kursus-kursus baharu dan berkualiti, selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan bilangan penuntut universiti itu.

Setiausaha Agung Persatuan Alumni UiTM Malaysia Shukri Ishak berkata langkah itu memungkinkan graduan bekerja sendiri selepas tamat pengajian, sekali gus menjurus kepada pembentukan usahawan Bumiputera.

Persatuan itu menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai peningkatan bilangan kemasukan penuntut UiTM kepada 250,000 orang menjelang 2020 berbanding 180,000 sedia ada.

"Ini membuktikan kemampuan yang dimiliki institusi itu untuk mengeluarkan jumlah graduan terbesar di rantau ini," katanya.

Pengumuman perdana menteri pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diadakan di UiTM Sabtu lepas merupakan antara usaha kerajaan melahirkan modal insan Bumiputera berkualiti tinggi ke arah memperkasa ekonomi masyarakat itu.

Shukri berkata langkah lain yang boleh diambil bagi melahirkan graduan berkualiti termasuk memperkenalkan pusat-pusat kecemerlangan dalam pelbagai bidang seperti perakaunan dan lain-lain yang dapat melakukan penyelidikan bagi menaikkan nama dan taraf UiTM.

Beliau berkata satu cabaran yang perlu dihadapi UiTM ialah kemampuan melahirkan intelektual Bumiputera secara berterusan.

"Ini bagi memastikan keseimbangan kepada permintaan tenaga guna kerja selaras dengan pembangunan negara yang begitu pesat kini," katanya.

Persatuan itu juga berpendapat peningkatan jumlah graduan boleh melahirkan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan Bumiputera, sekali gus mewujudkan kepekaan terhadap apa jua masalah melibatkan golongan itu secara kolektif.

Selain itu, pihak UiTM diharap dapat memberi tumpuan kepada Kursus Persedian Bahasa Inggeris kepada semua siswazah bagi mendapatkan graduan yang benar-benar kompetitif apabila bersaing di dunia luar.

"UiTM perlu mengambil saranan perdana menteri ini sebagai satu cabaran kerana untuk menguruskan 250,000 pelajar pada satu masa memerlukan kemudahan infrastrukur dan prasarana kampus yang cukup.

"Ini bagi memastikan keselesaan pelajar dalam pembelajaran dan dapat mengawal permasalahan sosial dan aktiviti negatif dalam kalangan mereka," katanya. - Bernama

Tren laju: Keputusan tepat

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

SINGAPURA - Alstom, pemimpin global dalam penjanaan kuasa, penghantaran kuasa dan infrastruktur rel, melihat cadangan Kereta Api Berkelajuan Tinggi yang menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur, sebagai keputusan yang tepat oleh kedua-dua negara.
    
Dianggap oleh banyak pihak sebagai pembangunan strategik dalam hubungan dua hala antara kedua-dua jiran yang rapat, cadangan kereta api berkelajuan tinggi itu diumumkan pada Februari lepas oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong
    
Projek itu yang jangka siap pada 2020, mampu memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua ibu negara kepada hanya 90 minit.
    
Dengan anggaran kos sebanyak US$12 bilion (RM40 bilion), kereta api berkelajuan 330km itu ternyata menarik minat pelbagai syarikat antarabangsa, termasuk dari China, Jepun, Perancis dan Sepanyol.
    
Projek ini juga menarik perhatian Wouter Van Wersch, Naib Presiden Kanan (Asia Timur dan Pasifik) Alstom, yang mengatakan jarak antara kedua-dua negara sangat sesuai untuk kereta api tersebut.
    
"Seperti yang ada ketahui, Alstom menduduki tempat nombor satu di dunia bagi kereta api berkelajuan tinggi. Oleh itu, ia merupakan peluang utama bagi kami.
    
"Kami sangat gembira kedua-dua kerajaan bersetuju meneruskan projek ini. Sebagai sebuah industri, sudah pasti kami bersedia untuk menyokongnya. Kami menunggu pengumuman lanjut mengenai projek itu bagi mengetahui apa yang dapat
kami tawarkan," katanya.     

Beliau percaya Alstom merupakan rakan kongsi yang sesuai untuk projek kereta api ini berdasarkan pengalamannya dalam melaksanakan projek kereta api laju Seoul-Busan di Korea Selatan.
   
Alstom ialah perintis kereta api berkelajuan tinggi yang telah menetapkan rekod kelajuan dunia pada 574.8km/j pada tahun 2007.
    
"Ini merupakan peluang penting untuk kami. Sebagai rakan kongsi industri utama, kami berminat untuk menyokong projek ini. Kami gembira kerana kedua-dua kerajaan bersetuju untuk meneruskannya," kata Van Wersch kepada Bernama.
    
Walaupun perbincangan antara kedua-dua kerajaan masih berjalan, Van Versch berkata pengalaman Alstom di kedua-dua negara memberikan kelebihan besar kepadanya, dan yakin keupayaan Alstom menjayakan projek itu dengan berkesan.
    
"Saya biasa dengan pihak berkuasa kedua-dua negara memandangkan Alstom sudah bekerja beberapa kali dalam pelbagai sektor berbeza. Ya, mereka sangat mementingkan kualiti, dan ia baik untuk Alstom," katanya.
    
Beliau berkata Alstom berada dalam kedudukan yang baik untuk menjayakan projek yang menguntungkan dari segi kos, tanpa menjejaskan kualiti, dan keselamatan merupakan keutamaan kami.
     
Walaupun butiran projek ini belum diumumkan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia baru-baru ini berkata Malaysia akan memulakan rundingan dengan Singapura pada minggu-minggu akan datang, yang menjurus kepada proses mengeluarkan tender pada separuh kedua tahun depan.
    
Ditanya sama ada Alstom sudah mengemukakan cadangan untuk projek itu, Van Wersch berkata: "Perbincangan projek baharu itu membabitkan proses yang panjang. Kami tidak terlibat dalam proses itu. Ia dilakukan oleh pihak berkuasa di KL."
    
"Kami sedang menunggu projek itu. Selepas keputusan dibuat, Alstom akan masuk," katanya dan menambah  projek kereta api berkelajuan tinggi itu merupakan produk utama Alstom.
    
"Kami telah membangunkan, kami mempunyai kepakaran, kami sudah pun berada di peringkat generasi ketiga kereta api laju. Kami sudah menjual banyak menjualnya ke Eropah. Kami juga mengeksportnya ke Korea Selatan. Kami mempunyai kepakaran.
    
"Dan saya melihat hubungan antara Kuala Lumpur dan Singapura sangat jelas. Kami akan berusaha keras untuk projek ini dan ia bukan sahaja untuk Alstom. Kami bekerja bersama syarikat-syarikat tempatan, membangunkan usaha sama dengan syarikat Malaysia, Singapura untuk menjayakannya," katanya.
    
"Sebagai contoh, bagi projek MRT, kami menyediakan pusingan stok. Kami menyediakan sistem isyarat dan kawalan. Ada pusat kawalan yang besar untuk memastikan semua kereta api berjalan lancar," katanya.
    
Kami juga mempunyai kumpulan pakar pembinaan trek, perkhidmatan. Kami menyelenggara rangkaian rel dan memastikan peningkatan berterusan," katanya.     

Dalam sektor kereta api, Alstom telah menyediakan peralatan utama pengangkutan rel dan perkhidmatan kepada pengendali kereta api utama di Semenanjung Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Bhd dan rangkaian Rapid KL Light Rail Transit (LRT) Star dan Putra. – Bernama

Presiden Singapura tiba untuk lawatan rasmi

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

SEPANG - Presiden Singapura Dr Tony Tan Keng Yam tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL hari ini untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari di Malaysia.
    
Ketibaan beliau disambut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.
    
Tan yang mengangkat sumpah sebagai presiden Singapura ketujuh pada 1 Sept 2011, diiringi isterinya Mary Tan dan beberapa anggota rombongan.
    
Menurut kenyataan Kementerian Luar, lawatan Tan di Malaysia ialah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
    
Tan akan menghadiri upacara sambutan negara di perkarangan Parlimen pada pukul 3 petang sebelum menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Datuk seri Najib Tun Razak.
   
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong dan menghadiri jamuan negara yang diraikan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah di Istana Negara malam ini.
    
Semasa lawatannya, presiden Singapura itu dan isteri dijadual mengunjungi Universiti Malaya, Pusat Anak Permata Negara di Putrajaya, Muzium Kesenian Islam dan Melaka.
    
Lawatan negara ini bertujuan meningkatkan hubungan dua hala antara dua negara berjiran.
    
Sejak beberapa tahun lepas, perkongsian kerjasama Malaysia-Singapura telah berkembang dengan ketara bagi manfaat bersama kedua-dua negara. - Bernama

279 jemaah berlepas ke Tanah Suci

Oleh: SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Tarikh: September 18, 2013

BAYAN LEPAS - Seramai 279 jemaah haji kumpulan pertama berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) bagi mengerjakan haji musim ini.

Timbalan Pengarah Lembaga Tabung Haji Pulau Pinang, Amat Kassim Pait berkata, bagi  musim ini sebanyak lima penerbangan diperuntukkan bagi membolehkan 830 jemaah menunaikan haji di Makkah.

"Pada kali ini, ia terbahagi kepada lima sesi iaitu yang pertama adalah pada hari ini (semalam) dengan jumlah 279 jemaah manakala esok (hari ini) juga akan menerbangkan jumlah jemaah yang sama. Pada 19 September ini pula, sesi ketiga akan berlepas sementara sesi keempat pula pada 27 September dan yang terakhir pada 1 Oktober depan.

"Penerbangan yang disediakan akan berlepas terus dari Pulau Pinang ke Madinah. Kumpulan pertama ini dijangka pulang ke tanah air pada 1 November depan.

"Untuk kumpulan pertama ini, jumlah jemaah dari Pulau Pinang ialah 96, Kedah (76), Perlis (5), Perak (97), Kuala Lumpur (2), Selangor (1) dan Kelantan (2)," katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan Jemaah Haji 1434 Hijrah di Kompleks Tabung Haji Pulau Pinang, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas yang ditemani isteri, Toh Puan Majimor Shariff serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus.

Abdul Rahman dan Majimor sempat bersalaman dan mengucapkan selamat jalan kepada kesemua jemaah haji kumpulan pertama berkenaan.

Sementara itu, warga emas, Zaliha Sulaiman, 67, yang berasal dari Parit Buntar, Perak berasa teruja apabila hasrat menunaikan haji pada musim ini tercapai walaupun mengalami sakit urat di sebelah kiri kaki.

Menurutnya, hasil kesabarannya mengumpul wang sejak lapan tahun lalu dengan dibantu anak-anak, dia berjaya menunaikan haji pada kali ini.

"Saya gembira dan teruja melihat sendiri Kaabah di depan mata serta menjejakkan kaki ke Makkah. Selama ini hanya dengar orang bercerita, tapi Alhamdulillah kali ini saya bernasib baik, dapat juga ke sana," katanya.

Pembantu tadbir, Syajaratun Naim Abdullah, 33, yang berasal dari Guar Chempedak pula tidak dapat menggambarkan perasaannya kerana impiannya menunaikan haji bersama suami tersayang, Mohd Ridhuwan Abdul Rahim, 32, akhirnya tercapai.

"Sangat teruja dan bersyukur kerana akhirnya ALLAH makbulkan doa kami. Dalam masa sama, tidak dinafikan agak sayu meninggalkan dua anak kami kepada mertua selama kami berada di sana.

Sanjung Chin Peng: Kenyataan bersifat politik

Oleh: MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON

Tarikh: September 18, 2013

SEGAMAT - Tindakan segelintir pemimpin pembangkang mengeluarkan kenyataan seakan menyanjung bekas pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dibuat demi kepentingan politik.

Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, pembangkang menterbalikkan sejarah meskipun sejarah sudah menceritakan segala-galanya.

Menurutnya, berbeza dengan generasi masa kini yang lupa sejarah dan peristiwa menentang komunis, pejuang negara tidak sesekali akan melupuskan kejadian terbabit.

"Kita kena tengok bagaimana ia bermula dan saya secara peribadinya tidak bersetuju jika petualang negara yang banyak menumpahkan darah di negara ini disanjung sebagai pejuang negara.

 "Dari sudut apa mereka melabel Chin Peng sebagai pejuang negara pun saya tidak nampak dengan jelas. Mereka yang menyanjung Chin Peng adalah mereka yang kurang waras.

"Sudahlah tidak waras malah buta sejarah pula. Mereka tidak melihat penderitaan orang yang telah dianiaya oleh komunis dan Chin Peng. Jika mereka ada pada zaman tersebut, mungkin mereka akan berkata yang sebaliknya," katanya pada pertandingan bulan kemerdekaan, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan segelintir pihak yang menyanjung kematian Chin Peng dan yang mempersoalkan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

Ayub yang juga Adun Kemelah berkata, masyarakat Melayu seharusnya sedar bahawa perjuangan membela bangsa dan agama merupakan satu perkara perlu dilakukan demi menjaga keamanan.

"Tetapi keadaan sudah terbalik sekarang. Mereka cuba menafikan kemenangan dan kemerdekaan negara dan lebih gemar mempercayai fitnah.

"Orang yang mempertahankan negara dan maruah bangsa pula yang dikatakan pengkhianat. Mereka yang secara terang-terangan melakukan silap seperti komunis disanjung pula sebagai pemimpin dan pejuang.

"Ini semua sandiwara politik apabila ada pihak yang cuba menafikan sejarah. Komunis itu sudah terang lagi jelas sebagai pengkhianat negara tetapi apabila matinya dianggap perwira," katanya.

Beliau berkata, generasi muda pada hari ini diseru memperluaskan pemahaman dan pengertian perjuangan ke atas negara.

Rumah asal Chin Peng sudah lama kosong

Oleh: SITI SAFA MOHD NOR

Tarikh: September 18, 2013

SITIAWAN –  Kediaman keluarga Ching Peng di sebuah rumah kedai di Jalan Kampung Koh, Sitiawan, di sini, kosong.

Tinjauan Sinar Harian, semalam mendapati, rumah kedai yang terletak berhampiran Wisma Ganda, Sitiawan yang dikatakan menjadi tempat kelahiran Chin Peng masih lagi kekal utuh walaupun kemungkinan usianya sudah menjangkau seratus tahun.

Rumah kedai berkenaan kini terbiar kosong dan dibuka untuk disewa kepada sesiapa sahaja yang berminat memandangkan kawasan itu telah membangun dan mempunyai banyak bangunan baru lain.

Usaha menjejaki ahli keluarganya gagal kerana dikatakan kebanyakan ahli keluarga termasuk anak-anaknya tinggal di luar negara.

Seorang peniaga kedai runcit yang hanya mahu dikenali sebagai Liew, 69, berkata, dia mengenali Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu sejak berpindah ke kawasan itu, 50 tahun dahulu.

"Ketika berpindah ke sini saya masih kecil dan mengenali Chin Peng secara biasa sahaja kerana kedai kami berhampiran.

"Ketika itu ayahnya membuka kedai basikal, manakala ayah saya membuka kedai runcit," katanya.

Katanya, perkenalan mereka hanya setakat itu sahaja kerana selepas itu Chin Peng telah keluar dari kawasan itu dan mereka tidak mendapat sebarang khabar berita.

"Saya juga tidak mengetahui tentang ahli keluarga mereka yang lain kerana dikatakan mereka juga turut berhijrah dari sini," katanya.

Seorang penduduk Sitiawan, yang dikenali sebagai Steven, 49, berkata, golongan muda kebanyakan hanya mendengar cerita daripada orang lebih tua dan juga maklumat dari media masa mengenai Chin Peng.

"Kami juga mengetahui tentang Chin Peng melalui cerita-cerita orang lama serta maklumat dari media masa memandangkan peristiwa itu berlaku berpuluh tahun dahulu," katanya.

'Felo Fatwa' jawab isu semasa di media baharu

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menubuhkan sebuah unit dikenali sebagai 'Felo Fatwa' yang dianggotai ulama-ulama yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang bagi menjawab dan menjelaskan isu- semasa berkaitan Islam menerusi media baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, anggota 'Felo Fatwa' itu akan dilantik oleh Jakim dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Unit itu akan dianggotai beberapa pakar teknologi maklumat bagi menguruskan media baharu itu," katanya.

Jamil Khir bagaimanapun berkata tarikh penubuhannya belum ditetapkan. 

"Platform yang akan digunakan oleh Felo Fatwa ialah laman web rasmi Jakim, Facebook, Twitter, Blog dan pelbagai medium lain," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) kali kedua di Bangi, semalam. 

Seramai 146 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing pada majlis itu - 91 bagi kursus Diploma Pengurusan Islam (DPI) Siri I, II dan III, 16 (kursus Sijil Tinggi Muamalat); 26 (Kursus Sijil Tinggi Pengurusan Sains Dakwah); dan 13 (Sijil Tafaqquh Fi ad-Din). 

Kursus DPI merupakan kursus mandatori jangka panjang selama enam bulan yang dirangka khusus untuk memberi penekanan dalam pembentukan sahsiah, sikap serta semangat berpasukan dalam kalangan Pegawai Hal Ehwal Islam.

Ia wajib diikuti semua pegawai Gred S41 Jakim yang baru dilantik. - Bernama

 

 

Angkasawan Negara kedua menjelang 2016

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

MELAKA - Malaysia dijangka menghantar kumpulan kedua angkasawan negara bagi melakukan pelbagai penyelidikan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menjelang tahun 2016, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.
    
Beliau berkata agensi di bawah kementerian itu seperti Agensi Angkasa Negara dan Yayasan Angkasawan Malaysia sedang giat bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara bagi menentukan misi dan tujuan utama penghantaran angkasawan kedua negara itu.
    
"Kita (kementerian) pada masa ini masih dalam fasa perancangan dan pelbagai perkara sedang dikaji termasuk menghantar dua angkasawan ke ISS dalam program itu, selain melihat kepada penyelidikan yang memberi keuntungan kepada negara untuk dijalankan di ISS.
    
"Semuanya perlu dilihat dengan teliti kerana (program ini) melibatkan peruntukan yang banyak dan bukan program melancong ke angkasa...selesai semua ini kami akan bawa kertas cadangan ke kabinet," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Science4u di Ayer Keroh di sini hari ini.
    
Karnival sehari yang diadakan untuk menarik minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi itu merupakan antara 103 program yang dilaksanakan kementerian itu di sekolah-sekolah seluruh negara.
   
Malaysia buat julung kalinya menghantar angkasawan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke ISS dengan roket Soyuz TMA-11 pada 10 Okt 2007 hasil kerjasama dengan Rusia dan beliau telah menjalankan pelbagai penyelidikan antaranya melibatkan sel kanser dan leukemia di stesen angkasa itu.
    
Abu Bakar berkata Malaysia juga sedang merancang untuk meneruskan kerjasama dengan Rusia bagi melaksanakan program angkasawan negara kedua, selain merancang kerjasama dengan negara seperti Amerika Syarikat dan Perancis dalam pelbagai aspek program itu.
    
"Kita lihat pada program di ISS melibatkan kerjasama banyak negara dari segi penghantaran angkasawan kepada pengurusan bahan buangan, semuanya ada kerjasama antara negara, begitulah yang kita mahu lihat pada program angkasawan kita, perlu ada kerjasama dengan banyak negara bagi kita belajar daripada semua orang," katanya.
    
Beliau berkata selain program angkasawan, Malaysia juga sedang giat melaksanakan program penghantaran satelit dan akan menghantar mikrosatelit TiungSAT bagi pemantauan muka bumi awal tahun depan.
   
"Program satelit terbesar kita adalah pada tahun 2015 apabila kita menghantar RazakSAT-2 yang akan membantu dalam proses pemetaan muka bumi dan pemantauan cuaca lebih berkesan.
    
"Pada tahun 2018 pula kita akan lancarkan RazakSAT-3 dan kedua-dua satelit ini mempunyai jangka hayat selama tujuh tahun," katanya. - Bernama

Bekas polis puji ketegasan kerajaan Malaysia

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 18, 2013

PADANG BESAR - Bekas pejuang kemerdekaan, Osman Teh yang dikenali Pak Man Komunis, 84, menganggap keputusan kerajaan tidak membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke negara ini amat wajar.

Pak Man berkata, tindakan membawa pulang sama ada mayat atau abu mayat mendiang bekas Setiausaha Agung PKM itu hanya akan mengundang kemarahan rakyat Malaysia.

"Secara peribadi saya tidak suka mayat atau abu mayat Chin Peng disemadikan di negara ini kerana saya sendiri lama menderita oleh cengkaman komunis ketika sama-sama berjuang mendapatkan kemerdekaan negara," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersusun dekat sini, semalam.

Pak Man berkata, dia tiada hak mempertikaikan keputusan Perdana Menteri kerana 23 tahun yang lalu dirinya juga cukup menderita apabila bersama PKM di dalam hutan.

Katanya, dia pernah menjadi pengawal Chin Peng selama tiga tahun mulai 1956 ketika menyertai Rejimen Ke-8 bersama beberapa anggota Melayu yang lain.

"Saya bersyukur berpeluang kembali ke pangkuan masyarakat di negara kelahiran apabila berlaku perjanjian damai antara PKM dan kerajaan Malaysia di bandaraya Haadyai, selatan Thailand pada 1997 di mana anggota PKM diberi dua pilihan sama ada terus menetap di Thailand atau pulang ke Malaysia dan saya memilih kembali ke negara kelahiran saya," katanya.

IPP, syarikat minyak tak terima subsidi

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

KUALA LUMPUR - Pengeluar tenaga bebas (IPP) dan syarikat-syarikat minyak tidak mendapat subsidi daripada kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berkata subsidi gas disalurkan kepada pengguna tenaga elektrik, bukannya IPP.

"Dalam konteks peningkatan harga diesel dan petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter baru-baru ini, dakwaan bahawa peningkatan itu boleh dielakkan jika subsidi kepada IPP dan syarikat minyak ditarik semula memang tidak berasas.

"Hakikat atau kebenaran paling nyata ialah kerajaan langsung tidak membiayai sebarang subsidi kepada IPP atau syarikat minyak ini, satu sen pun tidak," kata beliau dalam blognya yang bertajuk "The Truth about Subsidies".

Katanya, tanggapan subsidi bagi rakyat boleh diteruskan sekiranya subsidi kepada syarikat terbabit ditarik semula bukan hanya memintas penjelasan sebenar berhubung rasionalisasi subsidi, malah, ianya tidak benar sama sekali.

"Kerajaan, menerusi syarikat milik penuhnya Petronas, subsidi sebanyak  RM8 bilion hingga RM12 bilion setahun ke atas harga gas diberikan kepada semua penjana elektrik - Tenaga Nasional Bhd dan IPP.
IPP pula mengenakan kos harga gas ke atas TNB," kata beliau.

Idris berkata penjimatan daripada subsidi gas ini dinikmati pengguna isi rumah dan industri menerusi kadar tarif lebih rendah dan tarif elektrik di dalam negara adalah paling rendah di dunia.- Bernama

CCTV dipasang di Arafah, Mina

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

MAKKAH - Kerajaan Arab Saudi menerusi Muassasah Asia Tenggara akan memantau pergerakan jemaah haji di kawasan Arafah dan Mina menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mulai musim haji ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pemasangan CCTV itu adalah langkah pembaharuan yang dilakukan Muassasah Asia Tenggara bagi meningkatkan perkhidmatan dan pengurusan haji di kawasan Arafah dan Mina.

Katanya CCTV itu dipasang di kawasan perkhemahan jemaah haji dan ia dipantau oleh pejabat Muasassah Asia Tenggara berhampiran.

"Saya telah dimaklumkan oleh pengurusan Muassasah Asia Tenggara bahawa CCTV itu bertujuan untuk mengatasi masalah atau memberi bantuan segera dan pertolongan kecemasan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Arafah terletak kira-kira 20 kilometer di sebelah timur Makkah ialah daerah terbuka dan luas tempat berkumpulnya jemaah haji menunaikan wukuf, satu daripada rukun haji manakala Mina ialah tempat jemaah haji bermalam semasa hari-hari tasyrik untuk melontar jamrah.

Syed Saleh berkata Tabung Haji (TH) juga mengambil langkah mempertingkat perkhidmatan penyediaan makanan bagi jemaah haji ketika mereka berada di Arafah dan Mina kelak.

Setakat ini lebih 8,000 jemaah haji Malaysia menerusi 25 penerbangan telah berada di Madinah dan Makkah. Jemaah haji yang sampai awal di Madinah kini memasuki Makkah secara berperingkat dan mulai 22 Sept, penerbangan jemaah haji Malaysia akan terus ke Makkah.

Mulai tahun ini juga, semua jemaah haji ke Madinah diterbangkan terus tanpa perlu mendarat di Jeddah berbanding sebelum ini ada penerbangan yang masih ke Jeddah.

"Menerusi penerbangan terus Malaysia-Madinah, kita telah mengatasi masalah kepenatan jemaah yang sebelum ini terpaksa melalui perjalanan darat selama lapan jam dari Lapangan Terbang Jeddah," kata beliau.

Sebanyak 22,320 umat Islam dari Malaysia akan menunaikan fardu haji untuk musim ini dan jumlah itu berkurangan sebanyak 20 peratus berbanding sebelumnya ekoran pengurangan kuota oleh kerajaan Arab Saudi. - Bernama

Iran mahu hantar kucing ke angkasa lepas

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

TEHERAN - IRAN. Iran mendakwa kucing Parsi adalah sebagai 'calon' terbaik untuk menjayakan misi negara itu ke angkasa lepas menjelang 2020, menurut media tempatan, kelmarin.

Difahamkan, kucing tersebut bakal mengikut jejak langkah beberapa haiwan yang pernah dihantar untuk program angkasa lepas pada tahun 1960-an.

Jurucakap program tersebut, Mohammad Ebrahimi berkata, haiwan terbabit akan dihantar bersama roket pengangkut satelit Kavoshgar pada Mac depan, laporan dipetik dari AFP.

Bandar didiami penyokong Mursi diserbu

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

KAHERAH - MESIR. Seramai 56 ditahan dalam serbuan di bandar Dalga, wilayah Minya yang dihuni penyokong bekas Presiden digulingkan, Mohammd Mursi, menurut media tempatan, kelmarin.

Saksi mendakwa, pihak berkuasa turut menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang melancarkan serangan balas dalam insiden tersebut.

Aktivis Ikhwanul Muslimin, Yehya Shaker berkata, susulan daripada kejadian itu, kesemua 32 laluan masuk ke bandar tersebut telah ditutup dan pihak berkuasa turut mengenakan perintah berkurung.

Sejak lebih sebulan lalu, menurut laporan dipetik dari Al-Jazeera bandar tersebut yang didiami lebih 120,000 penduduk didakwa telah dikawal sepenuhnya oleh kumpulan penyokong Mursi.

PBB: Gas sarin diguna dalam serangan di Syria

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

NEW YORK - UNITED STATES. Kumpulan pemeriksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB), kelmarin mengesahkan bahawa mereka telah menemui bukti yang jelas dan meyakinkan bahawa gas sarin telah digunakan dalam serangan senjata kimia di pinggir Damsyik, 21 Ogos lalu.

Pendedahan laporan itu dibuat berdasarkan sampel diambil pada serpihan roket yang menunjukkan gas beracun tersebut telah dilancarkan di Ein Tarma, Moadamiyah, Zamalka di kawasan Ghouta.

Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan dalang yang bertanggungjawab melancarkan serangan senjata kimia tersebut kerana ia berada di luar bidang kuasa kumpulan tersebut.

Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) pernah menuduh tentera rejim Presiden Bashar al-Assad mendalangi serangan terbabit yang telah meragut lebih 1,400 nyawa.

Awal bulan lalu, perisikan Perancis juga mendakwa kerajaan Syria mempunyai dua model roket yang boleh diisi dengan gas beracun dan dilancarkan pada sasaran dalam lingkungan jarak 50 kilometer.

Sementara itu laporan dipetik dari Al-Jazeera, Rusia tetap mempertahankan pendirian mereka bahawa serangan senjata kimia tersebut sebenarnya didalangi oleh Tentera Pembebasan Syria (FSA).

"Kami percaya segala dakwaan ke atas rejim Bashar adalah satu tindakan provokasi yang bertujuan untuk menarik campur tangan asing di Syria," kata Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov.

Pelajar Gaza adakan protes

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

GENTING GAZA - PALESTIN. Puluhan pelajar di Genting Gaza, kelmarin mengadakan bantahan di luar pagar sempadan Rafah untuk menggesa pihak berkuasa membuka semula laluan itu yang ditutup sejak 11 September lalu.

Difahamkan, pihak berkuasa Mesir menutup semula laluan utama tersebut susulan daripada insiden pengeboman di ibu pejabat pasukan keselamatan di utara Semenanjung Sinai yang telah meragut 11 nyawa.

Ahad lalu, Duta Palestin ke Mesir, Barakat al-Farra memberitahu bahawa kerajaan sementara Mesir memberi jaminan bahawa laluan itu akan dibuka semula, namun beberapa sekatan akan  dikenakan sehingga konflik di kawasan tersebut reda.

Sementara itu, menurut laporan dipetik Press TV seramai 15 bekas pegawai tinggi Kesatuan Eropah (EU) menggesa kesatuan tersebut supaya tidak tunduk dengan tuntutan Israel dan Amerika Syarikat (AS) untuk mengubah peraturan baru bagi pembiayaan projek penempatan haram Yahudi.

Gesaan itu dibuat selepas AS dan Israel menggesa EU supaya membatalkan atau menangguhkan garis panduan baru tersebut yang melarang 28 negara anggotanya menggunakan dana EU untuk membiayai projek penempatan haram terbabit.

Insiden amuk di AS, 13 maut

Oleh:

Tarikh: September 18, 2013

WASHINGTON - UNITED STATES. Seramai 12 maut manakala lapan cedera kelmarin selepas seorang bekas Tentera Laut  Amerika Syarikat (AS) melepaskan tembakan ketika mengamuk di pangkalan tentera di Washington sebelum bertindak menembak mati dirinya sendiri.

Lelaki dikenal pasti sebagai Aaron Alexis, 34, dari Forth Worth, Texas itu pernah berkhidmat dengan tentera selama empat tahun sebelum bertukar kerjaya sebagai sub kontraktor pertahanan untuk syarikat komputer gergasi, Hewlett-Packard pada 2011.

Susulan daripada kejadian menggemparkan itu, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menggesa orang ramai untuk memberi maklumat mengenai Alexis yang dikatakan mempunyai beberapa rekod buruk termasuk masalah disiplin sebelum ini.

Difahamkan, lelaki bersenjata itu bertindak sendirian ketika kejadian dan motif sebenar serangan tersebut masih disiasat.

Menurut laporan dipetik dari AFP, dalam insiden berasingan, seorang lelaki ditahan kerana didakwa membaling mercun ke arah pagar Rumah Putih beberapa jam selepas kejadian tersebut.

Empat warga Malaysia ditahan di Australia

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

MELBOURNE - AUSTRALIA. Empat lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa imigresen kerana tinggal di Australia melebihi tempoh visa selepas seorang daripada mereka cedera parah dalam kemalangan kereta di pedalaman Australia Barat pada pagi Isnin.
   
Australian Associated Press melaporkan polis yang bergegas ke tempat kejadian menemukan seorang rakyat Malaysia yang mengalami cedera parah di kepala.
   
Ketika lelaki itu dirawat, polis mengesan kehadiran tiga rakyat Malaysia di dalam sebuah kereta yang berkelakuan meragukan dan menahan mereka.
   
Jabatan Imigresen dan Kerakyatan mengesahkan tiga lelaki itu tinggal melebihi tempoh visa dan kini ditahan pihak imigresen.
   
Lelaki yang cedera dan diterbangkan ke Perth untuk mendapatkan rawatan itu juga didapati tinggal melebihi tempoh visa.
   
Jabatan itu berkata lelaki berkenaan akan ditahan pihak imigresen setelah selesai menjalani rawatan. - Bernama

 

Terbuka Jepun: LCW mara ke pusingan kedua

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak menghadapi masalah besar untuk melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun.

Pada saingan pusingan pertama di Tokyo Metropolitan Gymnasium hari ini, pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia yang merupakan pilihan utama kejohanan itu mudah menundukkan wakil Taiwan, Jen Hao Hsu 21-15 dan 21-9.

Menanti beliau pada pusingan kedua esok ialah pemain pusingan kelayakan dari India, Anand Pawar yang mengejutkan pemain veteran Indonesia, Sony Dwi Kuncoro dalam aksi tiga set, 21-17, 7-21 dan 21-18.
   
Turut mara ke pusingan kedua ialah pasangan adik-beradik, Ng Hui Lin dan Ng Hui Ern yang mengalahkan beregu Korea Selatan, Cho Hee Kim dan So Young Park dengan 21-17, 21-17 dalam acara beregu wanita.
   
Mereka dijadual menentang pilihan kedua kejohanan, Misaki Matsutomo dan Ayaka Takahashi yang mendapat 'bye' pada pusingan pertama.
 
Beregu campuran kelima dunia, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying turut menempah slot ke pusingan kedua selepas menumpaskan beregu dari Thailand, Pakkawat Vilailak dan Kunchala Voravichitchaikul dengan 21-18 dan 21-17.
   
Menanti mereka pada pusingan kedua ialah pasangan dari China, Cheng Liu dan Bao Yixin yang menewaskan beregu tuan rumah, Katsunori Ito dan Yui Miyauchi, 21-10 dan 21-16.
   
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menghantar wakil dalam acara beregu lelaki serta perseorangan dan beregu wanita pada kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah US$200,000 (RM646,754). - Bernama
 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment