Sunday, September 1, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH am 020913 bersamaan 26 Syawal 1434H

 

 

Jala ikan 'makan' tuan

Oleh: NURULATIQ AHMAD BANDI

Tarikh: September 2, 2013

PORT DICKSON – Mayat seorang pengawal keselamatanditemui di pantai berhampiran Hotel Admiral Cove, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, lelaki berkenaan, P Segaran, 53, ditemui pengunjung pantai dalam keadaan kakinya tersangkut pada jala ikan yang dipasang di kawasan berkenaan sekitar jam 4.30 petang.

"Siasatan awal polis mendapati, pada hari kejadian mangsa yang tinggal di Bandar Sunggala keluar rumah lebih kurang jam 2.30 petang untuk menjala ikan di kawasan Pantai Batu 5.

"Namun ketika mangsa memasang jala, kakinya tersangkut pada jala dan usaha menyelamatkan diri gagal," katanya ketika ditemui semalam.

Abd Wahab berkata, hasil bedah siasat polis mendapati, mangsa mati akibat lemas dan tiada unsur jenayah.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson dan dituntut ahli keluarga," katanya.

Sementara itu, anak lelaki mangsa, S Sethu, 26, berkata, bapanya bekerja sebagai pengawal keselamatan menjadikan aktiviti menjala ikan sebagai hobinya dan apabila ada masa lapang memang akan ke persisiran pantai untuk menjala ikan.

Sethu yang juga anak sulung daripada tiga beradik berkata, pada hari kejadian bapanya keluar dari rumah jam 2.30 petang untuk menjala dan kebiasaannya bapanya akan memancing selepas siap memasang jala.

"Namun sekitar jam 4.30 petang, seorang rakan yang bekerja di Hotel Admiral Cove menghubungi keluarga saya dan memaklumkan mengenai penemuan mayat bapa di pantai.

"Setahu saya bapa tidak tahu berenang," katanya.

 

 

Ramai kena sihir

Oleh: HABSAH ISMAIL

Tarikh: September 2, 2013

KOTA BHARU - Darussyifa' Kelantan mengakui ramai kalangan masyarakat di negeri ini mengalami sihir dan saka berdasarkan rekod perubatan dan perawatan yang dijalankan sejak penubuhannya pada 2009 lalu.

Pengerusinya, Zaki Ya berkata, selain itu, ramai pesakitnya juga didapati menghadapi penyakit-penyakit lain termasuk barah, migrain, gaut, darah tinggi, kencing manis dan jantung.

"Sekarang kesedaran mendapatkan rawatan alternatif iaitu perubatan secara Islam sudah ada dalam kalangan masyarakyat kita.

"Berbanding dahulu, ramai yang mengalami kesakitan ini, namun mereka menahannya kerana tidak tahu cara untuk merawatnya dan hanya bergantung kepada perubatan tradisional (bomoh) semata-mata, namun dengan adanya Darussyifa', pelbagai penyakit Insya-ALLAH dapat disembuhkan," katanya kepada Sinar Harian semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kali Ketiga di Pasir Tumboh, semalam.

Beliau berkata, perkara tersebut dikenal pasti apabila boleh dikatakan setiap hari ada pesakit baru yang menghubunginya untuk mengetahui lokasi klinik-kilnik Darussyifa' di negeri ini.

Kata Zaki lagi, atas permintaan tersebut, pihaknya kini merancang untuk menambah masa rawatan yang mana sebelum ini beroperasi dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, 5 petang hingga 7 petang dan akan ditambah kepada masa 2 petang hingga 4 petang, selain pada sebelah waktu malam.

"Perancangan ini akan dilaksanakan selepas 160 perawat baru mendapatkan sijil (konvokesyen) pada Disember ini dan sekarang ini, kita mempunyai 75 perawat aktif daripada jumlah 282 perawat di seluruh Kelantan,"katanya.

Lori melekat pada treler

Oleh: NOOR HAYATI MAMAT

Tarikh: September 2, 2013

SETIU - Seorang pemandu lori satu tan membawa muatan durian maut setelah kenderaan dipandunya bertembung sebuah treler pengangkut kenderaan di Kilometer 37.5 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Sungai Tong), di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa, Sukiman Abdullah, 40, berasal dari Paka, Dungun, bukan sahaja cedera parah di bahagian kepala tetapi turut tersepit di tempat duduk sebelum dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila treler pengangkut kenderaan dipandu Zulkeflly Abd Latib, 44, berasal dari Pulau Pinang, hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Treler tersebut dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu dan sebaik tiba di lokasi kejadian, dipercayai pemandu hilang kawalan akibat jalan licin. Kenderaan ini kemudiannya merempuh pengadang jalan di sebelah kiri sebelum masuk ke laluan
bertentangan.

"Akibatnya treler ini bertembung lori dipandu mangsa. Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala serta tersepit di tempat duduknya," katanya.

Sementara itu Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd Izani Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.27 petang dan bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera bersama kekuatan enam anggota.

"Tiba di lokasi, didapati treler terbabit seolah-olah melekat dengan bahagian hadapan lori satu tan dinaiki mangsa serta melintang jalan hingga tidak boleh dilalui kenderaan. Masa diambil untuk keluarkan mangsa dari kenderaan dipandunya yang remuk ialah kira-kira 20 minit," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, lalu lintas turut sesak sejauh beberapa kilometer di kedua-dua arah hingga menyebabkan pemandu keluar dari kenderaan untuk berehat di kaki lima jalan susulan perjalanan tidak dapat diteruskan.

Selain itu ratusan durian juga bertaburan.

 

Misteri kubur berlubang

Oleh: M FEISAL NORAWI

Tarikh: September 2, 2013

TEMERLOH – Penduduk sekitar Kampung Kuala Sanggang, gempar apabila lima kubur di tanah perkuburan Kampung Belanka digali pihak tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Sanggang, Maazi Rahmat Maharam Abdullah berkata, dua kali kejadian sama berlaku iaitu pada malam Jumaat seminggu sebelum Aidilfitri dan malam Jumaat minggu lepas.

Menurutnya, dalam kejadian pertama, sebanyak lima kubur digali sedalam kira-kira satu meter di bahagian kepala dan di kiri kanan membabitkan kubur empat perempuan dan satu lelaki.

"Kejadian berlaku pada malam Nuzul Quran dan disedari waris mangsa keesokan paginya manakala kejadian kedua pula pada malam Jumaat minggu lepas apabila tiga daripada lima kubur terbabit digali lagi dan dikambus semula," katanya.

Katanya, penduduk bimbang berlaku kegiatan khurafat di kawasan kubur terbabit memandangkan cara gali adalah sama iaitu di bahagian kepala dan kiri serta kanan kubur.

"Kami tidak tahu si pelaku menjuruskan kepada kubur siapa, apa yang kami bimbang si pelaku melakukan perkara khurafat," katanya.

Maazi berkata, dalam kejadian pertama dan kedua, pihak berkuasa agama menghantar beberapa pegawai ke lokasi kejadian untuk siasatan.

"Diharap mereka meneliti tujuan sebenar si pelaku berbuat demikian sama ada dia mengambil atau meninggalkan sesuatu di kubur terbabit," katanya.

Dalam pada itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan komen daripada waris mangsa kejadian tidak berhasil berikutan kesemua mereka enggan mendedahkan identiti keluarga.

Bagaimanapun, seorang daripada ahli keluarga terbabit mahu pihak berkuasa agama menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti si pelaku dan tujuan dia berbuat demikian sekali gus mengelak kejadian daripada berulang.

Kadi Temerloh, Badarudin Ahmad Bustami ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian berdasarkan laporan pegawainya dan penduduk kampung.

"Kes gali kubur ini jarang berlaku, bagaimanapun dipercayai si pelaku dalam kejadian itu mengamalkan ajaran sesat.

"Kami akan siasat perkara ini hingga ke akar umbi," katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kantoi khalwat malam merdeka

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 2, 2013

SUNGAI PETANI - Seorang pelajar berusia 14 tahun antara yang ditahan bersama pasangan masing-masing ketika serbuan dijalankan anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dalam Ops Merdeka kelmarin.

Pelajar tersebut yang dikenali Shahirah (bukan nama sebenar) berpakaian baju kurung merah ditahan pada jam 1 pagi bersama pasangannya yang memakai pakaian sedondon dalam sebuah bilik di hotel sekitar bandar ini.

Lebih berani, perbuatan terkutuk itu dilakukan pasangan terbabit yang hanya berjarak kira-kira tiga kilometer dari rumah Shahirah.

Pegawai Penguatkuasa Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, ketika pintu diketuk, pasangan itu mengambil masa 20 minit sebelum membuka pintu.
"Pintu hanya dibuka setelah anggota penguatkuasa beri amaran untuk pecahkan pintu," katanya.

Menurutnya, setelah disoal siasat mendapati, remaja perempuan masih di bawah umur dan bersekolah di tingkatan dua manakala remaja lelaki berusia 21 tahun.

Zaiferi berkata, hasil pemeriksaan turut menemui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar ibu Shahirah meminta remaja itu pulang ke rumah, bagaimanapun permintaan itu tidak diendahkan sebaliknya anak perempuan itu bertindak mematikan talian telefon.

Anggota penguatkuasa kemudian menghubungi kedua-dua ahli keluarga terbabit untuk tindakan selanjutnya.

Beri pelbagai alasan

Sementara itu, pemeriksaan seterusnya menemui sepasang remaja yang bersekedudukan dalam bilik berasingan di mana operasi dilakukan secara serentak.

Walaupun pasangan kekasih berusia 22 dan 20 tahun dari Padang Serai itu mengakui berhasrat mahu menamatkan zaman bujang tahun depan, alasan berkenaan bagaimanapun tidak menghalang anggota penguatkuasa menahan mereka atas alasan bersekedudukan tanpa ikatan yang sah.

Menurut Zaiferi, pihaknya turut menahan sepasang kekasih masing-masing merupakan penjawat awam berusia 24 tahun yang turut menjadikan hotel bajet sebagai lokasi melakukan maksiat.

Amran (bukan nama sebenar) dimaklumkan menetap di Pengkalan Hulu, Perak memberi alasan mahu pulang ke kampung tetapi kenderaannya mengalami kerosakan sebelum mahu membuat pemeriksaan di sebuah bengkel di bandar ini.

"Saya memang nak balik tetapi kereta saya rosak terpaksa baiki di Sungai Petani," katanya.

Sementara, pasangannya, Riani (bukan nama sebenar) yang menutup kepala menggunakan tuala dikatakan tinggal bersama nenek di Kuala Nerang sebelum mahu pulang ke kampung halaman berdekatan rumah Amran di Pengkalan Hulu.

Difahamkan, pasangan kekasih tersebut sudah lapan tahun menjalinkan hubungan cinta sejak di  bangku sekolah selain mengaku sudah beberapa kali melakukan hubungan intim.

Lebih memalukan, hasil soal selidik pada hari kejadian mendapati, Amran sudah bersedia mahu menghantar rombongan ahli keluarganya ke rumah Riani kerana berhasrat mahu bertunang pada hari yang sama.

Serbuan turut menemui seorang pekerja kilang berusia 22 tahun bersama pemandu van kilangnya yang bukan beragama Islam.

Apabila ditanya, pemandu van berusia 32 tahun itu memberitahu, kedatangannya ke bilik yang disewa Haslinda (bukan nama sebenar) adalah untuk menghantar makanan walaupun jam sudah menunjukkan jam 1.20 pagi.

Rumah sewa turut diserbu

Operasi turut dijalankan di sebuah rumah sewa milik pasangan kekasih di mana masing-masing bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat swasta dan kerani di sebuah kedai motosikal di Sungai Lalang.

Menurut Zaiferi, hasil dari maklumat awam, sepasang kekasih berusia 21 dan 26 tahun dicekup berdua-duaan dalam rumah berkenaan.

Berdasarkan pemeriksaan, Zaimi dan Nadia (bukan nama sebenar) dipercayai baru pulang dari makan malam.

Zaimi berkata, mereka merancang mahu ke rumah keluarga angkat tetapi setelah beberapa kali menghubungi tiada jawapan diterima.

Zaimi dengan alasan letih tidak menghantar Nadia pulang sebaliknya menghabiskan masa di rumah sewanya bersama kekasihnya itu.

Difahamkan, kedua-dua pasangan ini mengakui mahu berkahwin tetapi hasrat mereka ditentang keluarga.

Zaiferi berkata, seramai 10 individu disiasat termasuk seorang lelaki bukan Islam yang berada bersama pasangan beragama Islam dalam pemeriksaan yang dijalankan sekitar daerah termasuk di Taman Jubli Perak, Pantai Merdeka, Titi Semeling dan beberapa buah hotel bajet yang menjadi tumpuan.

Seramai 10 anggota bertugas dalam operasi yang bermula jam 6 petang sebelum berakhir jam 5 pagi.

Katanya, sembilan individu ditahan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya meminta masyarakat prihatin terhadap aktiviti maksiat yang berlaku dengan memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak jawatankuasa masjid, pejabat agama atau agensi berkaitan bagi membanteras gejala itu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hujan lebat: Trafik perlahan di Lembah Klang


Oleh:
Tarikh: September 1, 2013
KUALA LUMPUR - Trafik dilapor bergerak perlahan di beberapa lebuh raya sekitar Lembah Klang petang ini berikutan hujan lebat dan banjir kilat di beberapa kawasan.    

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memberitahu Bernama, setakat 5 petang, trafik perlahan di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dari PJS2 menuju Maju Jaya serta di persimpangan lampu isyarat Taman Medan kerana banjir kilat. 

"Trafik juga dilaporkan bergerak perlahan di Lebuhraya Kesas dari Sri Petaling menuju ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) disebabkan hujan lebat dan faktor cuti hujung minggu.

"Keadaan sama berlaku selepas Plaza Tol Grand Saga menuju ke Plaza Phoenix serta dari Plaza Tol Sunway menuju ke Lebuhraya Persekutuan," kata jurucakap itu.

Sementara itu, Jurucakap Bomba Kuala Lumpur berkata pihaknya menerima laporan banjir kilat di Jalan Klang Lama kira-kira 4.50 petang dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil telah dikerahkan ke lokasi berkenaan.

Jurucakap itu berkata pihaknya menerima beberapa laporan kenaikan paras air di beberapa kawasan di ibu negara akibat hujan lebat, namun telah surut selepas hujan reda.

Dalam pada itu, jurucakap Bomba Selangor berkata pihaknya menerima laporan kejadian pokok tumbang kira-kira 4 petang di beberapa kawasan di sekitar bandar Klang dan Pekan Meru dipercayai berpunca daripada angin kencang serta hujan lebat.

Beberapa jentera dari balai bomba berhampiran telah dikerahkan bagi mengalihkan pokok-pokok berkenaan, katanya. – Bernama

 

Pelajar dikhuatiri lemas dihanyut arus sungai


Oleh:
Tarikh: September 1, 2013
KUALA LUMPUR - Seorang pelajar berusia 16 tahun dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke dalam sungai di Batu 8 1/4, Jalan Klang Lama di sini hari ini ketika hujan lebat.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata dalam kejadian 5.15 petang itu, Mohamad Zakier Rafi Mohamad Yusof yang tinggal di apartmen Desa Mentari 2, Petaling Jaya dikatakan sedang bermain di kawasan tersebut sebelum dilihat terjatuh ke dalam sungai itu. 

Mohd Sani berkata orang awam menghubungi pihaknya memaklumkan kejadian itu dan sekumpulan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala, Petaling Jaya diarah ke tempat kejadian untuk mencari dan menyelamat mangsa.

"Sehingga 9 malam ini, pasukan bomba berkenaan gagal menemui pelajar itu.

Mangsa mungkin dihanyutkan arus deras sungai itu," katanya.

Beliau berkata operasi mencari masih diteruskan sehingga lewat malam ini.

Mangsa dikatakan tinggal di apartmen itu bersama saudaranya.

Keluarganya yang tinggal di Johor telah dimaklumkan mengenai kejadian itu, katanya. - Bernama

 

Malam merdeka tercemar



Oleh: NIK MOHD RAFFIQ
Tarikh: September 1, 2013
DUNGUN – Keriangan warga komuniti menyambut ambang merdeka di bandar Dungun, malam kelmarin sedikit tercemar dengan kehadiran sekumpulan mat rempit yang mempamerkan pelbagai aksi jalanan kurang sopan.

Bagaimanapun, tindakan tidak bertanggungjawab remaja berkenaan membawa padah apabila dicekup pihak berkuasa yang mengadakan operasi sempena sambutan berunsurkan patriotik itu.

Dalam Ops Ambang Merdeka bermula detik 12 malam yang melibatkan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta lain-lain agensi membawa penahanan lebih 43 remaja berusia antara 15 hingga 20an.

Sembilan daripadanya merupakan pelajar sekolah termasuk tiga masih belajar di tingkatan tiga serta tidak memiliki lesen memandu.

Lebih mendukacitakan, selepas ujian saringan air kencing dilakukan, enam daripada remaja terbabit dipercayai positif dadah methapethamine (pil kuda).

Kebanyakan daripada motosikal berkenaan adalah milik ibu bapa atau adik beradik dan mereka dikatakan keluar rumah tanpa kebenaran.

Sementara itu, sambutan kemerdekaan di Bukit Besi meriah apabila lebih 5,000 menghadiri program malam ambang merdeka yang diadakan di Tasek Puteri, malam kelmarin.

Sambutan julung kali diadakan di kawasan bersejarah itu diwarnai persembahan artis jemputan, bacaan sajak serta pertunjukan bunga api.

Adun Bukit Besi, Roslee Daud dalam amanat ringkasnya berkata, kehadiran ribuan warga komuniti pada sambutan tersebut menggambarkan bahawa keamanan negara yang dikecap selepas merdeka itu merupakan sesuatu tidak bernilai sehingga membolehkan masyarakat berkumpul untuk meraikan majlis seperti itu.

Dalam kejadian berasingan lewat tengah malam kelmarin, seorang pemandu lori tangki terpaksa bertarung nyawa apabila lori dipandu hilang kawalan sebelum terhumban dalam gaung di laluan Jerangau-Jabor berdekatan persimpangan masuk ke bandar Bukit Besi.

 

 

OKU ditahan dalam operasi lumba haram, rempit


Oleh:
Tarikh: September 1, 2013
KUANTAN - Sebanyak 257 lelaki berusia 16 hingga 30 tahun termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) ditahan dalam operasi membanteras kegiatan lumba haram dan merempit di Jalan Kuantan-Gambang, di sini.
   
Semua yang ditahan dalam operasi bermula 12 malam tadi hingga 6 pagi ini dipercayai sering berkumpul di situ pada setiap malam minggu sebelum mengadakan lumba haram dan merempit.
   
Dalam 'Ops Rempit' selama enam jam itu, terdapat beberapa penunggang motosikal bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal masing-masing bagi mengelak daripada ditahan polis.
   
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam/Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, ASP Ahmad Nazri Zainal yang mengetuai operasi itu berkata dua daripada yang ditahan itu berusia 16 dan 21 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine dan pil kuda.
   
"Sementara seorang OKU, 23, turut ditahan kerana tidak memiliki lesen selain turut merempit," katanya di sini hari ini.
   
Menurutnya, sebanyak 109 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dan 31 motosikal disita.  – Bernama

 

4 penunggang motosikal ditahan di Tawau


Oleh:
Tarikh: September 1, 2013
TAWAU - Empat penunggang motosikal ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau selepas didapati tidak memiliki insuran dan lesen memandu dalam Operasi Cegah Lumba Haram di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah berkata dalam operasi lima jam itu bermula jam 9.00 di Jalan Pesisiran dan Jalan Kuhara, polis turut mengeluarkan 13 saman kepada pengguna lain jalan raya atas pelbagai kesalahan.

"Saya minta pengguna jalan raya jangan mengamalkan budaya samseng di jalan raya kerana perbuatan seperti itu boleh menjejaskan keselamatan pengguna lain, malah kepada diri mereka sendiri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Awang Besar berkata kesalahan terlibat dalam lumba haram boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda sehingga RM15,000 bagi kesalahan pertama dan penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya. – Bernama



 

Kibar Sang Saka Malaya tindakan biadap


Oleh: RAZIATUL HANUM A. RAJAK
Tarikh: September 1, 2013
SHAH ALAM – Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah meyifatkan tindakan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya pada malam ambang merdeka kelmarin sebagai  perbuatan menghina kedaulatan negara dan tidak seharusnya dibiarkan terus berlaku.

"Saya rasa ini adalah provokasi yang cuba dilakukan Hishamuddin Rais. Ia juga satu cubaan untuk menimbulkan ketegangan.

"Terutama sekali untuk mempengaruhi anak muda tentang kebencian terhadap semangat kemerdekaan, bendera Malaysia dan kerajaan Malaysia sedia ada," katanya kepada Sinar Harian Online.

Semalam tersebar dua video yang menunjukkan aktivis politik, Hishamuddin Rais menyatakan bahawa bendera Sang Saka Malaya adalah bendera sebenar Malaysia dan bukannya Jalur Gemilang.

Sebuah lagi video menunjukkan seorang lelaki merampas bendera Sang Saka Malaya yang sedang dikibarkan ketika Sasterawan Datuk A Samad Said berucap.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian itu serta motif tindakan individu tersebut.

Mengulas lanjut, Azwanddin berpandangan, "tujuan (kibar bendera Sang Saka) untuk menanam semangat kebencian ini sudah lama kita tahu. Jadi, ia seolah-olah cuba mencabar Perlembagaan negara kita. Bagi saya, ini sikap yang cukup biadab."

Beliau berpendapat, pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam menangani tindakan tersebut.

"Sepatutnya kita berlaku lebih tegas. Pihak-pihak tertentu perlu mengambil kejadian ini sebagai perkara serius kerana ia tak boleh dibiarkan terus berlaku.

"Jika perkara ini masih berterusan, pihak berkuasa wajib mengambil tindakan segera terhadap mereka. Terutama ambil tindakan undang-undang ke atas mereka," katanya.

 

3 rumah, 4 kereta musnah dalam kebakaran


Oleh:
Tarikh: September 1, 2013
BESUT - Dua buah rumah kedai dan empat buah kereta musnah dalam kebakaran di Kampung Pak Wong, Jerteh petang semalam.

Sementara sebuah lagi rumah rosak sebahagiannya dalam kejadian kira-kira pukul 5.22 petang itu.

Ketika kejadian dua penghuni rumah kedai itu tiada di rumah sementara   penghuni rumah berkenaan yang menyewa rumah itu sempat menyelamatkan diri.

Seorang pemilik rumah kedai itu yang juga dijadikan bengkel membaiki kereta, Azmi Alias, 32, berkata semasa kejadian, beliau bersama isterinya Rosliza Mahmud, 33, dan tiga anaknya yang berumur antara 4 hingga 8 tahun sedang berada di Kota Bharu.

"Kami sekeluarga pergi ke Kota Baharu untuk majlis meminang dan terkejut apabila mendapat panggilan daripada seorang jiran tentang kebakaran ini," katanya yang menerima berita kebakaran ketika dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu.

Seorang lagi penghuni rumah kedai, Azhar Mohamad, 30, berkata ketika kejadian, beliau dan isteri termasuk dua anak mereka sedang melawat keluarganya di sebuah kampung lain.

Beliau yang bekerja kampung terkejut apabila pulang ke rumah dan mendapati anggota bomba dan orang ramai berada di rumah yang baharu disewanya selama empat bulan itu.

Komander Operasi Bomba Besut, Pegawai Penguasa Bomba Hasmadi Jusoh berkata pihaknya menganggarkan kerugian awal sebanyak RM340,000 tidak termasuk kemusnahan empat buah kereta yang sedang dibaiki di bengkel tersebut.

"Kami sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kebakaran yang dilaporkan bermula dari rumah kedai yang dijadikan bengkel itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Jabi, Mohd Iskandar Jaafar ketika melawat tempat kejadian berkata pihaknya akan cuba membantu mangsa kebakaran.

"Saya akan cuba mengusahakan agar mangsa mendapat kemudahan pinjaman tanpa faedah supaya  mangsa dapat meneruskan akiviti masing-masing untuk menyara keluarga mereka," katanya. – Bernama

 

Pesara TUDM maut ditembak


Oleh: NOOR 'AINOON MOHAMED YUSOF
Tarikh: September 1, 2013
IPOH - Seorang pesara TUDM maut ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Taman Rishah, di sini awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 pagi ketika mangsa, S Jambu Keshan, 39,  sedang mengangkat barang dari keretanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketika kejadian, suspek menaiki kereta Toyota Vios berada di lokasi berkenaan sebelum menghampiri mangsa.

"Salah seorang suspek keluar dari kenderaan itu dengan memakai helmet menutupi muka lalu lepaskan tembakan.

"Mangsa di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun oleh ahli keluarganya tetapi meninggal dunia sebelum tiba di hospital," katanya yang akan siasat ikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

Terkejut diserang ular sawa

Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: September 1, 2013
IPOH - Seorang pekerja tapak binaan terkejut apabila seekor ular sawa batik cuba menyerangnya bersama rakan yang sedang bekerja dalam kejadian di Jalan Yang Kalsom, di sini.

Pada kejadian jam 12 tengah hari itu, sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) terpaksa mendapatkan bantuan jentera berat jengkaut bagi menangkap ular sawa seberat 15 kilogram dan sepanjang tiga meter keluar dari kawasan tapak binaan berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kinta, Muhammed Ameen Salleh berkat,a pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkannya kerana reptilia itu bersembunyi di bawah timbunan bahan binaan.

"Tujuh anggota kami berusaha menangkap ular itu yang kemudiannya dipindahkan ke Pejabat JPAM Daerah Kinta untuk sementara sebelum dilepaskan ke hutan berhampiran," katanya.

Dalam satu kejadian berasingan, anggota JPAM menerima panggilan berhubung kemunculan seekor ular spesies rusuk kerbau menceroboh masuk rumah seorang wanita di Buntong, di sini, jam 2 petang hari yang sama.

Muhammed Ameen berkata, sepasukan empat anggota JPAM bergegas ke rumah mangsa sebelum berjaya menangkap ular berwarna kuning yang bersembunyi di bumbung rumah.

"Reptilia itu sangat agresif dan bahaya kerana mempunyai bisa. Saya yakin kemunculan banyak ular kebelakangan ini ada kaitan dengan perubahan cuaca di Ipoh," katanya.

 

Tetap diburu walau didakwa dapat perlindungan

Oleh:
Tarikh: September 1, 2013
KUCHING - Walaupun kumpulan kongsi gelap didakwa mendapat sokongan atau pelindungan segelintir ahli politik atau orang kenamaan (VIP), pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan jenayah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sehubungan itu kumpulan kongsi gelap tidak perlu menganggap diri mereka kebal daripada tindakan undang-undang.

"Kita sudah lihat bagaimana ada orang politik menyuarakan sokongan terhadap penjenayah dan menghentam tindakan polis, namun mereka (penjenayah) ini tidak juga kebal kerana kita tetap teruskan (tangkapan), malah ramai juga yang ditangkap," katanya.

Menurut beliau, kuasa polis tidak akan dapat diatasi walaupun penjenayah mendapat sokongan daripada mana-mana orang politik, penguatkuasaan undang-undang tetap akan dilaksanakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Hari Raya Cats FM.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Muhammad Sabtu Osman dan Pengarah Eksekutif Radio Cats FM, Datin Hanifah Taib-Alsree. 

Sementara itu Wan Junaidi berkata terdapat kira-kira 40,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang masih ditempatkan di depoh tahanan di negara ini berikutan tidak diterima oleh pihak berkuasa di negara asal mereka kerana mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kita jangkakan jumlah Pati di depoh akan bertambah, tambahan pula operasi 6P bermula hari ini. Jika ada keperluan, kita mungkin akan membuka pusat tahanan sementara untuk menempatkan mereka," katanya. - Bernama

Kesal kanak-kanak ditinggal di pejabat JKM

Oleh:
Tarikh: September 1, 2013
KUCHING - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kesal dengan tindakan seorang lelaki yang meninggalkan seorang kanak-kanak di kaunter Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kinta, Perak Khamis lepas.

Menterinya Datuk Rohani Abdul Karim berkata pihaknya terkilan dengan tindakan lelaki berkenaan yang dipercayai bapa atau penjaga kepada kanak-kanak lelaki berumur empat tahun itu.

"Kita terkejut dengan tindakan lelaki yang dipercayai bapa kanak-kanak berkenaan. Nasib baik kebanyakan Pejabat JKM mempunyai rakaman kamera litar tertutup (untuk mengesan kes seumpama itu).

"Bagaimanapun kita bersyukur kerana sekurang-kurangnya lelaki itu masih mempunyai pertimbangan dengan menghantar kanak-kanak itu ke tempat yang betul, bukan membuangnya," katanya kepada pemberita di Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri dan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Borneo Convention Centre Kuching di sini.

Dilaporkan, melalui rakaman CCTV di Pejabat JKM Daerah Kinta itu, seorang lelaki kelihatan meninggalkan seorang kanak-kanak kira-kira 9.02 pagi, untuk menjawab panggilan telefon dan tidak muncul-muncul selepas itu.

Kanak-kanak itu yang membahaskan dirinya sebagai Abang Saiful kini ditempatkan di institusi perlindungan kanak-kanak di Kuala Kangsar untuk perlindungan sementara sebelum warisnya ditemui. – Bernama

 

Gangguan air: Jangan beri alasan ambil masa

Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: September 1, 2013
SHAH ALAM – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) diingatkan supaya tidak menggunakan alasan gangguan bekalan air mengambil jangka masa yang lama untuk dipulihkan sedangkan masalah pencemaran ini telah pun berjaya dikawal semalam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Loji Sungai Selangor (SSP) SSP1, 2 dan 3 kembali beroperasi semula bermula awal semalam selepas ditutup sementara sejak kelmarin disebabkan pencemaran air akibat tumpahan diesel.

Menurutnya, bermula 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi semalam, SSP1 dan SSP3 kembali beroperasi secara berperingkat setelah pencemaran berjaya dikawal selepas kakitangan serta pegawai yang bertugas mengenal pasti tiada lagi kesan pencemaran.

"Pada jam 4 hingga 6 pagi semalam, pengeluaran air di SSP1 dan SPP3 telah meningkatkan tahap rizab air mentah sebanyak lima meter.

"Kita menjangkakan bekalan air bersih kepada pengguna akan pulih secara berperingkat selepas tengah hari semalam," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pegawai dari Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri yang telah bekerjasama dengan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) bagi memastikan loji terbabit beroperasi semula.

"JAS, Luas dan Splash telah menjejaki punca pencemaran ke sebuah pusat selenggaraan lori sampah di Rawang yang mana siasatan awal menunjukkan minyak diesel terpakai dibuang ke longkang dan dibiarkan mengalir ke sungai.

Tambahnya, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah pun menyita premis berkenaan dan perintah menghentikan operasi telah pun dikeluarkan.

 

JAS lengkap kertas siasatan buang enjin diesel

Oleh:
Tarikh: September 1, 2013
KUALA SELANGOR - Jabatan Alam Sekitar sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden pembuangan minyak enjin terpakai oleh sebuah bengkel penyelenggaraan lori di Jalan Batu Arang, Rawang ke dalam Sungai Gong.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel berkata kertas siasatan itu akan disiapkan secepat mungkin sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tujuan pendakwaan.

Beliau berkata pengusaha bengkel itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM500,000.

"Kami memandang serius insiden ini. Bengkel itu sepatutnya menghantar minyak enjin terpakai ke fasiliti kitar semula, dan bukannya melepaskan ke dalam sungai," katanya kepada pemberita selepas melawat Loji Pembersihan Air Sungai Selangor Fasa 1 di sini hari ini.

Beliau berkata mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar, semua sisa berjadual perlu dikitar semula atau dilupuskan di fasiliti berlesen agar pencemaran tidak berlaku.

Palanivel berkata ini merupakan kali pertama masalah pencemaran dari bengkel itu dikesan JAS.

Mengenai kawalan dan pembersihan kesan buangan minyak itu, beliau berkata muka sauk empat Loji Rawatan Air (LRA) yang operasinya ditutup sementara semalam, telah dibuka semula.

LRA berkenaan ialah di Rantau Panjang manakala tiga buah lagi di Kampung Bukit Badong iaitu SSP1 (SPLASH), SSP2 (Puncak Niaga) dan SSP3 (SPLASH).

"Kerja-kerja mengumpul dan membersihkan buangan minyak oleh pihak premis selesai sekitar 5 petang (semalam) dan loji-loji dibuka semula pada 11 malam (semalam) dan buangan minyak yang dikumpul dianggarkan sebanyak 4,000 liter, distorkan di dalam premis," katanya.

Palanivel berkata bekalan air dijangka pulih dalam tempoh tujuh hari secara berperingkat.

Insiden itu menjejaskan kira-kira satu juta penduduk di sekitar Lembah Klang.

Di SHAH ALAM, Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) menggesa kerajaan supaya menggunakan undang-undang keselamatan yang berkaitan terhadap kilang yang bertanggungjawab dalam kes tumpahan minyak diesel di Sungai Gong.

Presidennya Datuk Dr Jacob George berkata undang-undang alam sekitar sedia ada tidak cukup tegas untuk menyelesaikan masalah itu dan menambah hanya undang-undang keselamatan dapat menghalang pemilik kilang  daripada melakukan kesalahan itu.

"Saya anggapkan masalah ini sebagai serangan yang dirancang terlebih dahulu terhadap ketenteraman awam kerana menyebabkan bekalan air kepada lebih satu juta pengguna di Lembah Klang menjadi kelam-kabut selain kepada syarikat yang terpaksa menanggung kerugian teruk.

"Oleh itu, menggunakan undang-undang keselamatan adalah perlu dalam isu ini kerana membabitkan hak dan kepentingan pengguna," katanya kepada Bernama hari ini.

Jacob turut mendakwa Cassa menerima laporan berhubung banyak pemilik kilang tidak bertanggungjawab yang membuang bahan berbahaya ke dalam sungai dan beliau meminta agensi berkaitan supaya menyiasat perkara itu. 
- Bernama



Ahli kongsi gelap sanggup tuntut ilmu kebal

Oleh: SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
Tarikh: September 1, 2013
SHAH ALAM – [Dikemaskini] Demi pengaruh dan kuasa, ada segelintir ahli kongsi gelap yang sanggup menuntut ilmu kebal di negara jiran, Indonesia dan Thailand.

Mendedahkan perkara itu, pendakwah bebas, Datuk Shamsuri Shafie berkata, ia diakui sendiri oleh bekas ahli kongsi gelap yang sudah kembali ke pangkal jalan.

"Menjadi ahli kongsi gelap ini memerlukan keberanian kerana mereka akan terlibat dalam aktiviti jenayah. Sebab itu, ada yang sanggup menuntut ilmu kebal yang dilarang dalam agama.

"Dengan memiliki ilmu ini, mereka jadi lebih berani dan tidak takut untuk bertindak di luar batasan. Semua ini disebabkan mereka terlalu taksub untuk berkuasa di dalam kawasan masing-masing," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas lanjut mengenai ilmu kebal yang diamalkan, Shamsuri yang juga pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi berkata, terdapat pelbagai jenis seperti susuk, mantera dan cincin permata khas dipakai oleh pengamal ilmu hitam berkenaan.

"Ada seorang bekas ahli kongsi gelap ini memakai susuk kebal di segenap sendinya. Dengan susuk ini, tiada senjata yang lut dan boleh menembusinya.

"Namun, ada pantang larang yang perlu dipatuhi bagi memastikan ilmu terus kekal seperti tidak boleh memakan pisang emas dan lalu di bawah ampaian. Bekas ahli kongsi gelap itu akhirnya insaf dan meminta bantuan saya untuk membuang 10 susuk yang dipakainya," katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat enam orang ahli kongsi gelap yang telah insaf mendapatkan rawatan dengannya.

"Ada yang sudah berkecimpung sejak remaja tetapi akhirnya mendapat hidayah untuk berubah di usia 60 tahun. Mereka melarikan diri dari kumpulan lama dan mahu membersihkan diri," katanya.

Katanya, orang Islam yang terjebak dengan kongsi gelap ini perlu segera kembali ke pangkal jalan.

"Antara faktor mereka mudah terpengaruh dengan kongsi gelap ialah tiada pegangan agama. Dari awal lagi, niat itu sudah tidak betul apabila sanggup melakukan apa saja untuk mendapat pekerjaan termasuk menyertai kongsi gelap.

"Sekali sudah terjebak, mungkin hati mereka sudah mati yang menjadikan mereka tidak takut untuk melawan undang-undang. Namun, mereka perlu ingat kuasa dan kedudukan yang dimiliki tidak akan berkekalan," katanya.

 

 

 

Ops Bersepadu: 414 warga asing ditahan

Oleh:
Tarikh: September 1, 2013
MELAKA - Sebanyak 414 warga asing dan seorang rakyat tempatan ditahan dalam Ops Bersepadu 6P yang dijalankan lebih enam jam bermula 12 tengah malam tadi di Melaka.

Pengarah Jabatan Imigresen Melaka Kamalludin Ismail berkata dalam operasi itu yang membabitkan 40 anggota Imigresen dan 50 anggota pelbagai agensi, 11 wanita warganegara China dipercayai pelayan pelanggan (GRO) ditahan di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya di sini.

Empat daripada wanita berkenaan ditahan ketika cuba melarikan diri melalui laluan rahsia di sebuah daripada 12 bilik karaoke di tingkat dua premis itu.

"Dinding di sebuah daripada 12 bilik karaoke di tingkat dua premis ditebuk bagi membolehkan GRO melarikan diri melalui tangga ke tingkat satu dengan pintu laluan terletak di bawah tempat sembahyang," katanya kepada pemberita di sini.

Sebanyak 403 lagi warga asing berusia lingkungan sebulan hingga 50-an ditahan di kawasan rumah pangsa di Bachang di sini atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk masuk ke negara ini tanpa dokumen sah dan tinggal melebihi tempoh.

Kamalludin berkata pendatang asing yang ditahan itu membabitkan 203 orang warganegara Indonesia, Myanmar (100), Nepal (63), Bangladesh (21), India (10) dan Vietnam (6).

Seorang lelaki tempatan berusia 40-an turut ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) akta berkenaan kerana menjadi pelindung kepada pendatang tanpa izin.

Di SUNGAI PETANI, Jabatan Imigresen Kedah menahan 130 pendatang tanpa izin termasuk 10 wanita dalam serbuan di dua lokasi dalam Ops Selera di sini awal hari ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah Nar Azaman Ibrahim berkata pendatang asing berumur antara 14 dan 50 tahun itu didapati melanggar Akta Imigresen termasuk tidak memiliki dokumen sah serta tinggal melebihi tempoh.

Mereka ialah 53 lelaki Myanmar, 40 lelaki Indonesia, 16 lelaki Bangladesh, enam lelaki Nepal, empat lelaki Pakistan, seorang lelaki India, dan 10 wanita masing-masing lima dari Myanmar dan lima Indonesia.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini sejumlah 192 warga asing diperiksa dalam operasi itu, yang tertumpu kepada rumah kongsi tapak pembinaan Puteri Jaya Hill Park dan Lot 88 Sungai Petani.

Katanya operasi itu yang dijalankan dari 12 tengah malam tadi hingga 6 pagi ini disertai 137 pengawai dan anggota Imigresen dengan dibantu anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Di    KAMPAR, Jabatan Imigresen Perak menahan 12 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam 'Ops Bersepadu 6P' di rumah kongsi kawasan pembinaan Bandar Baru Kampar di sini, awal hari ini.

Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Perak Wan Mahmud Zuhdi Wan Hassan berkata mereka ialah 11 lelaki dan seorang wanita terdiri daripada warganegara Indonesia, Bangladesh dan Pakistan berusia antara 20-an dan 40-an.

"Mereka ditahan kerana tinggal lebih tempoh, mempunyai pas lawatan kerja sementara palsu dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu di kawasan itu.

Operasi itu, hasil risikan sejak dua minggu lepas, telah memeriksa 114 orang iaitu 95 lelaki dan 19 wanita termasuk dua kanak-kanak. Mereka kemudian dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Langkap.

Di JOHOR BAHRU, sejumlah 101 pendatang tanpa izin ditahan dalam Ops Bersepadu 6P di Perkampungan Taman Muhibbah, Ulu Tiram di sini malam tadi. 

Pendatang asing terbabit, termasuk 23 kanak-kanak, terdiri daripada 72 warganegara Kemboja, 22 warganegara Vietnam, empat warganegara Myanmar dan tiga warganegara Indonesia berusia lingkungan dua hingga 58 tahun.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor Masri Adul berkata pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tinggal melebihi tempoh.

"Dalam tangkapan ini ada pemegang pas lawatan kerja sementara telah berkahwin atau membawa anak mereka. Mengikut polisi mereka tak boleh kahwin, kita akan ambil tindakan dan kalau ada keperluan, usir dan pas lawatan kerja mereka kita batalkan," katanya ketika  dihubungi hari ini.

Kesemua mereka dihantar ke Depot Imigresen Pekan Nanas untuk tindakan selanjutnya.

Dalam operasi sama, tujuh rakyat tempatan ditahan kerana positif dadah.

Di SEREMBAN, seramai 621 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Ops Bersepadu 6P oleh Jabatan Imigresen Negeri dengan kerjasama beberapa agensi lain.

Pengarah Imigresen Negeri Faizal Fazri Othman berkata, mereka melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selain menyalahgunakan pas lawatan.

"Operasi hari ini turut melibatkan agensi lain seperti Polis, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara, Ikatan Sukarelawan Rakyat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Penjara.

"Operasi ditumpukan ke kawasan tapak pembinaan, kawasan perniagaan dan kompleks beli belah, rumah kedai serta kawasan perhentian pengangkutan awam," katanya dalam satu sidang media.

Katanya, daripada jumlah yang ditahan seramai 55 orang adalah wanita termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

Faizal Fazri berkata, kebanyakan yang ditahan adalah warga Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan Vietnam dan berusia antara enam hingga 60 tahun.

Katanya, operasi yang bermula tengah malam dan tamat pada pukul 5 petang tadi dijalankan di setiap daerah dengan daerah Nilai mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai 250 lelaki dan 12 wanita.

"Kebanyakan kesalahan yang dilakukan adalah tidak memiliki dokumen atau gagal mempamerkan pengenalan diri selain menyalahgunakan pas lawatan atau pas lawatan telah tamat tempoh," katanya.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, untuk tindakan lanjut. 

Di SEPANG, seramai 73 warga asing ditahan Jabatan Imigresen kerana disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan, tinggal melebihi masa yang ditetapkan dan memiliki dokumen palsu.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen Putrajaya K. Saravanan berkata mereka adalah sebahagian daripada 160 warga asing yang diperiksa dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Sepang dan Shah Alam, Selangor, awal pagi ini.

Pada operasi di Sepang, seramai 50 warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah berkenaan, seramai 21 warga asing ditahan untuk siasatan manakala pada operasi di Cahaya Alam U12, Shah Alam, Selangor pula pihak Imigresen telah menahan 52 daripada 110 warga asing yang diperiksa di sebuah rumah kongsi.  

"Sehubungan itu, Jabatan Imigresen menasihati majikan supaya tidak mengambil pendatang asing tanpa izin untuk bekerja dengan mereka dan perlu mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan," katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi bersepadu di sekitar kawasan Sepang awal pagi ini.

Saravanan berkata pihaknya akan terus mencari majikan yang mengambil pendatang asing tanpa izin dan memastikan mereka (majikan) tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan sewajarnya.

Operasi berkenaan membabitkan kira-kira 100 anggota penguatkuasa daripada Jabatan Imigresen, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela).   

Daripada jumlah keseluruhan warga asing yang ditahan di sekitar Sepang dan Shah Alam, 62 adalah lelaki dan selebihnya wanita.

"50  daripada jumlah keseluruhan yang ditahan itu adalah dari Indonesia (membabitkan sejumlah 39 lelaki dan 11 wanita), 18 lelaki merupakan warga Bangladesh, dua lelaki warga Nepal manakala tiga lelaki warga Myanmar.

"Semua warga asing yang ditahan ini telah dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya untuk disiasat dan seterusnya mereka akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Langkap, Perak," katanya.

Di KUCHING, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia, Kuching menahan 90 orang pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Ops Bersepadu 6P sejak 12 tengah malam tadi.

Pengarah Imigresen Sarawak, Datuk Robert Lian berkata tangkapan itu hasil pemeriksaan oleh 60 anggota penguatkuasa terhadap 415 orang di lima lokasi di sekitar Kuching, Balai Ringin dan Serian.

"Pendatang asing yang ditahan itu ialah 80 lelaki dan 10 wanita terdiri daripada 69 warga Indonesia, 10 Bangladesh, lapan India dan masing seorang warganegara Myanmar, Vietnam dan Pakistan," katanya kepada pemberita selepas operasi di kawasan pasar Demak Laut.  

Lian berkata daripada jumlah tangkapan tersebut, 32 PATI bekerja dalam sektor perladangan, 31 sektor perkhidmatan, dan 27 orang bekerja di sektor perkilangan.

Menurutnya semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Simuja, Serian.

Dalam pada itu, Lian berkata Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Miri, turut membuat 15 tangkapan dalam operasi 6P sejak malam tadi.

Di BUTTERWORTH, Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 56 pendatang tanpa izin dari pelbagai negara di Perhentian Bus Butterworth dan Jeti Sultan Abdul Halim.

Operasi bermula 5 petang tadi melibatkan 60 anggota dari pelbagai agensi - Imigresen, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang Basri Othman berkata pihaknya telah membuat pemantauan secara terperinci sejak beberapa hari lalu sebelum melakukan Operasi Sepadu Program 6P.

"Kami telah membuat pemeriksaan ke atas 644 orang pendatang  di dua kawasan tumpuan warga asing.

"Hasil pemeriksaan, kami telah berjaya menahan 22 warga India, 21 warga Myanmar, tujuh orang warga Bangladesh dan masing-masing dua orang warga Nepal, Vietnam dan Sri Lanka," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini hari ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan termasuklah tidak mempunyai passport, menyalah gunakan permit pekerjaan, melanggar syarat pas pekerja dan pas tamat tempoh. – Bernama

 

DBKL buat kerja baik pulih jalan, bukan roboh kuil

Oleh:
Tarikh: September 1, 2013
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak merobohkan kuil di Jalan P. Ramlee di sini sebaliknya mereka cuba mengalihkan beberapa patung di dalam kuil itu ke kawasan sementara bagi membolehkan kerja membaik pulih jalan di kawasan kuil itu dilakukan.

Justeru, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad menafikan laporan sebuah portal yang melaporkan DBKL cuba merobohkan kuil berusia 101 tahun itu.

"DBKL cuma nak alihkan patung di kuil itu, bukan nak robohkan.

Kalau dah siap (kerja membaik pulih), patung itu akan diletak semula di tempatnya," katanya dalam satu kenyataan.

Zainuddin mengulas penahanan lapan lelaki termasuk Ketua Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan T.Mohan kira-kira 11 pagi tadi kerana dipercayai cuba menghalang kerja-kerja DBKL itu.

Kesemua mereka diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan petang tadi.

"Kita percaya ini adalah salah faham antara kumpulan lelaki itu dan DBKL. Mereka mungkin menyangka DBKL hendak merobohkan kuil tersebut," jelasnya.

Sementara itu Mohan ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mendakwa DBKL tidak memberi sebarang notis kepada pihak pengurusan kuil untuk mengalihkan tiga patung di kuil itu.

"Jika DBKL hendak mengalihkan patung-patung tersebut, mereka perlu beri notis. Tapi tiada sebarang notis diberikan. Saya amat kesal kerana DBKL tidak sensitif dengan isu ini," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan segelintir anggota DBKL yang didakwanya tidak menghormati kesucian kuil itu ketika memasuki premis berkenaan.

Mohan menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya campur tangan dalam isu itu kerana katanya Kabinet telah bersetuju untuk tidak merobohkan kuil tersebut. - Bernama

 

Gempa bumi kuat landa laut Banda di Indonesia

Oleh:
Tarikh: September 1, 2013
KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter melanda laut Banda di Indonesia pada jam 7.52 malam ini.   

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata pusat gempa terletak di 456 kilometer di tenggara Ambon, Indonesia dan 1,738 km di tenggara Semporna, Sabah.

Tiada ancaman tsunami dilaporkan. – Bernama

 

Putera Saudi dalang sebenar?

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

PENDUDUK di kawasan Ghouta, pinggir Damsyik, mendakwa Putera Arab Saudi, Bandar Sultan Al Saud adalah dalang utama membekalkan senjata kimia kepada al-Qaeda sebelum insiden serangan roket bergas.

Menerusi laporan veteran antarabangsa AP, berdasarkan temu bual bersama sekumpulan doktor, penduduk, FSA dan ahli keluarga mangsa di Ghouta, kumpulan militan pernah menerima bekalan senjata kimia menerusi ketua perisik Arab Saudi iaitu Putera Bandar.

Laporan itu menyebut, seorang bapa kepada ahli militan mengaku anak lelakinya bersama 12 rakan yang lain telah dibunuh di dalam terowong yang digunakan sebagai gudang menyimpan senjata yang dibekalkan pemimpin militan Arab Saudi, Abu Ayesha.

"Struktur senjata itu kelihatan seperti mesin tiub dan mempunyai balang gas yang besar," katanya.

Sementara itu, anggota FSA pula berkata, mereka langsung tidak dimaklumkan mengenai kewujudan senjata kimia itu, malahan tidak tahu cara menggunakannya.

Satu lagi militan menuduh militan Takfiri yang bercabang dengan al-Qaeda dan Barisan al-Nusra mengetahui perkara sebenar membabitkan isu serangan itu.

Wartawan itu juga memaklumkan, kumpulan doktor yang ditemu bualnya turut mempersoalkan identiti dalang pembekal senjata kimia di Damsyik.

Malah, lebih mengejutkan apabila puluhan anggota militan mengaku bahawa mereka telah dibiayai oleh kerajaan Arab Saudi di mana Putera Bandar sebagai pengantaranya.

Bagaimanapun, agensi Independent pernah melaporkan, jabatan risikan Putera Bandar pernah menuduh kerajaan Syria sebagai dalang menggunakan gas sarin dalam usaha menggulingkan Presiden Bashar al-Assad dalam Februari lalu.

The Wall Street Journal pula melaporkan, ketua perisik Arab yang digelar oleh Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) sebagai sekutu diplomatik veteran Washington dan negara Arab, mampu menjadi pengantara menghantar sumber kewangan dan senjata secara rahsia.

Perang AS, Syria demi Israel

Komander Pasukan Keselamatan Sukarela Basij di Iran, mendedahkan tindakan melulu AS untuk menyerang Syria adalah sebagai salah satu usaha Washington memanjang tempoh dasar melindungi rejim Israel.

"Benar atau tidak, secara kasarnya AS memang mahu menentang pengganas atau mencari dalang si pengebom kimia itu, tetapi jika dilihat dari maksud tersirat, misi mereka adalah untuk mempertahankan rejim Zionis," kata Brigedier Jeneral Mohammad Reza Naqdi, di Tehran, kelmarin.

Menurut Naqdi, AS juga pernah mengetuai peperangan di Afghanistan yang dimulakan pada 2001 atas alasan untuk menghapuskan kuasa Taliban dan mampu menggugat negara Barat.

Naqdi turut mengutuk pencerobohan AS ke atas Iraq pada 2003 dengan dakwaan negara itu memiliki senjata pemusnah terbesar di bawah kuasa rejim Iraq, Saddam Hussein.

"Tetapi, sehingga kini mereka masih belum menjumpai mana-mana senjata pemusnah yang didakwa mampu menggugat negara mereka," kata Naqdi.

Lebih sejuta rakyat di negara-negara Arab dilaporkan menjadi mangsa pembunuhan peperangan yang diketuai AS.

 

 

6 korban protes guling Mursi

Oleh:
Tarikh: September 1, 2013
KAHERAH - MESIR . Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan lebih 50 cedera dalam satu pertempuran antara pasukan keselamatan dengan penyokong Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi di Kaherah, kelmarin.

Jurucakap pegawai berkata, puluhan ribu aktivis parti Ikhwanul Muslimin bersama penyokong melakukan protes secara aman menentang tindakan kejam kerajaan sementara dan tentera sejak bulan lalu.

"Pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan selain menahan lebih 20 peserta," katanya dipetik dari PressTV.

Selain melaungkan slogan menentang ketua tentera Jeneral Abdel Fattah al-Sisi, penunjuk perasaan turut menggesa kerajaan sementara memulangkan kuasa pemerintahan ke tangan Mursi dan membebaskan rakan mereka.

Setakat ini, kerajaan di bawah pengaruh tentera juga mendakwa Presiden sementara, Adly Mansour yang meletakkan jawatan sebagai dalang pergolakan.

Lebih 2,000 ahli Ikhwanul Muslimin turut ditahan termasuk pemimpinnya, Mohamed Badie sejak 20 Ogos ini.

Kira-kira 1,000 orang dilaporkan terbunuh sepanjang seminggu pergolakan berikutan selepas pihak berkuasa bertindak merobohkan kem protes di Kaherah pada 14 Ogos sekali gus mencetuskan kemarahan antarabangsa. 

 

AS tangguh serangan

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, kelmarin menangguhkan tindakan untuk melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Syria kononnya untuk mendapatkan lebih banyak sokongan negara antarabangsa.

Menurut Obama, operasi tersebut akan ditunda sehingga selewat-lewatnya awal bulan depan iaitu selepas Kongres meluluskan rancangan terbabit.

Bagaimanapun, pemimpin itu dengan angkuh menyatakan beliau mempunyai hak untuk menyerang Syria pada bila-bila masa tanpa mengambil kira keputusan Kongres.

Beberapa pemerhati berpendapat bahawa beliau akan menerima nasib sama seperti Perdana Menteri Britain, David Cameron yang tidak mendapat sokongan kerajaan untuk campur tangan di Syria.  

Susulan daripada keputusan itu, Timbalan Perdana Menteri Syria, Qadri Jamil memberitahu tentera rejim Bashar sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kami telah mengambil segala langkah untuk berhadapan dengan pencerobohan AS dan sekutunya," katanya dalam laporan AFP.

Dalam perkembangan lain, kumpulan pemeriksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditugaskan untuk mengambil sampel bukti berhubung penggunaan senjata kimia di Syria memaklumkan keputusan siasatan tersebut hanya boleh diketahui selepas tiga minggu.

Ketua pemeriksa, Dr Ake Sellstrom memberitahu, semua sampel tersebut akan dianalisis secara berperingkat  dan keputusannya akan diserahkan kepada PBB sebelum didedahkan kepada umum.

Nyawa rakyat Syria jadi taruhan

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

TANGGAL 21 Ogos lalu, dunia sekali lagi dikejutkan dengan berita menggemparkan apabila seramai 1,429 penduduk di pinggir Damsyik, Syria, terkorban akibat serangan roket gas beracun.

Serangan sebelum subuh itu turut mencederakan lebih 3,000 orang di pinggir Ain Tarma, Zamalka dan Jobar. Susulan tindakan pembunuhan senyap itu, aktivis Syria meletakkan sepenuhnya kesalahan di atas kepala Presiden Bashar al-Assad sebagai dalang serangan gas saraf termasuk pergolakan menggulingkan beliau di dalam kerajaan.

Pada hari yang sama, Kesatuan Eropah (EU), mengutuk penggunaan senjata kimia berkenaan tidak menolak kedua-dua pihak iaitu FSA dan rejim Bashar yang bertanggungjawab berikutan mempunyai sejarah menggunakannya di masa lampau.

Bagaimanapun, Ketua Hal Ehwal EU, Catherina Ashton berkata, serangan kimia itu harus disiasat agar tidak timbul isu tersalah menghukum.

"EU menegaskan, apa-apa sahaja penggunaan senjata kimia oleh mana-mana pihak di Syria adalah tidak boleh diterima," katanya.

Roket berisi gas beracun dipercayai sejenis neurotoksin yang menyerang sistem saraf sekali gus dapat membunuh mangsa hanya beberapa jam sahaja jika tidak diberikan penawar dengan segera.

Satu rakaman video Al-Jazeera membuktikan, mangsa yang majoritinya  kanak-kanak diberi rawatan kecemasan di kawasan padang hospital berikutan lambakan pesakit membanjiri unit kecemasan pusat perubatan Damsyik.

"Kami menerima laporan bahawa doktor di hospital berkenaan tidak memiliki ubat yang mencukupi untuk merawat kes berkenaan dan terpaksa menggunakan cuka serta air sebagai alternatif," kata pengantara Al-Jazeera.

Siasatan PBB dan campur tangan AS

Awal minggu lalu, sepasukan pemeriksa khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diketuai Ake Sellstrom dan Angela Kane tiba di Damsyik bagi menjalankan siasatan terhadap punca serangan gas beracun itu.

Kehadiran konvoi seramai 20 anggota pada Rabu lalu, diserang ketika melalui zon pemisah antara FSA dan kawasan tentera kerajaan berdekatan Damsyik untuk ke lokasi kejadian di Mouadamiya dan Ghouta.

Kumpulan pemeriksa itu dilapor mengumpul bukti teknikal dan sampel darah serta tanah. Mereka juga dikhabarkan menemu ramah beberapa saksi dan mangsa serangan.

"Mereka akan mengkaji sampel yang telah dikumpulkan itu dan jawapannya akan diketahui dalam beberapa hari lagi," kata jurucakap PBB, Martin Nesirky yang mengesahkan pasukan itu telah pun keluar dari Syria sejak Sabtu lalu.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, tetap berdegil mahu campur tangan sekali gus menghantar bala tenteranya ke Syria dengan alasan bimbang ia bakal menjejaskan Washington.

Obama berkata demikian, selepas mendapat maklumat daripada komuniti risikan bahawa penggunaan senjata kimia di Damsyik didalangi militan disokong pihak luar.

"Namun, Washington perlu mendapat persetujuan dari Kongres," katanya selepas menghadiri satu mesyuarat di Rose Garden, AS, semalam.

Dakwa Obama, sekiranya kerajaan Syria terbukti menggunakan senjata kimia ke atas rakyatnya, Washington berhak untuk campur tangan dan menghantar bantuan ketenteraan.

 

 

Korea Selatan pertahan Piala Asia 2013

Oleh:
Tarikh: September 1, 2013
KOREA Selatan berjaya mempertahankan kejuaraan hoki Piala Asia 2013 dengan kemenangan tipis 4-3 ke atas India pada final di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh malam ini.

Selaku juara benua, Korea Selatan secara merit layak ke Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda.

Sebelum perlawanan ini, Korea Selatan sudah pun mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2014 sebagai status pasukan simpanan pertama.

Korea Selatan dan India masing-masing menduduki tempat keempat dan keenam pada separuh akhir Kejohanan Liga Dunia tahun ini.

India pula menjadi pasukan simpanan keempat selepas Sepanyol di tangga kedua dan Malaysia di tangga ketiga dalam senarai simpanan.

Mengikut peraturan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), pasukan yang sudah pun tersenarai dalam Piala Dunia 2014 tetapi memenangi kejohanan benua, maka slot tersebut akan diisi oleh pasukan simpanan.

Maka India, selaku pasukan simpanan keempat, sudah pasti beraksi pada Piala Dunia 2014 dari 31 Mei hingga 15 Jun tahun depan.

Pada pertemuan sengit itu, Kang Moon Kweon menafikan India laluan automatik ke Piala Dunia 2014 apabila menjaringkan gol kemenangan Korea Selatan pada minit ke-68.

Biarpun sudah mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2014 sebelum turun ke final, namun Korea Selatan enggan memberi peluang sebaliknya menampilkan gerakan rancak untuk mendahului 2-0 pada separuh masa.

Jang Jong Hyun membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-28 dan seminit kemudian You Hyo Sik menambah jaringan menerusi gol padang.

India, yang terdesak untuk merangkul kejuaraan, bangkit pada babak kedua perlawanan dengan Rupinder Pal Singh merapatkan jurang jaringan pada minit ke-48 menerusi pukulan sudut penalti.

India kemudianya berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi gol padang yang dijaringan oleh Nikkin Thimmaiah pada minit ke-55.

Selang dua minit kemudian, Nam Hyun Woo menjaringkan gol ketiga Korea Selatan menerusi pukulan penalti.

India kembali berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang yang dihasilkan oleh Mandeep Singh pada minit ke-65.

Kegembiraan India tidak kekal lama apabila Moon Kweon menjaringkan gol kemenangan untuk Korea Selatan mempertahankan kejuaraan. – Bernama

 

HOKI PIALA ASIA:PAKISTAN TEWASKAN MALAYSIA 4 -1


Malaysia kalah 1-4 kepada Pakistan pada perlawanan kedua, Kumpulan A di Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di sini malam ini.

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Gol-gol Pakistan dijaringkan oleh Muhammad Zubair pada minit ke-32, Muhammad Dilber (minit ke-46), Muhammad Waqas (minit ke-60) dan Shafaq Rasool pada minit ke-67.

Gol tunggal skuad negara disumbangkan oleh Muhammad Razie Abdul Rahim seawal minit ke-26.

 

BERITA EPL
LIGA PERDANA INGGERIS



Keputusan
Keputusan Terkini EPL @ Liga Perdana Inggeris 2013 / 2014

Keputusan Penuh EPL 2013 / 2014
Date Home Away Results
September 1, 2013 Arsenal Tottenham 1 - 0
September 1, 2013 West Bromwich Swansea City 0 - 2
September 1, 2013 Liverpool Manchester United 1 - 0
September 1, 2013 Crystal Palace Sunderland 3 - 1
August 31, 2013 Norwich City Southampton 1 - 0
August 31, 2013 West Ham United Stoke City 0 - 1
August 31, 2013 Newcastle Fulham 1 - 0
August 31, 2013 Cardiff City Everton 0 - 0
August 31, 2013 Manchester City Hull City 2 - 0
August 27, 2013 Manchester United Chelsea 0 - 0
August 25, 2013 Tottenham Swansea City 1 - 0
August 25, 2013 Cardiff City Manchester City 3 - 2
August 25, 2013 Aston Villa Liverpool 0 - 1
August 24, 2013 Newcastle West Ham United 0 - 0
August 24, 2013 Everton West Bromwich 0 - 0
August 24, 2013 Southampton Sunderland 1 - 1
August 24, 2013 Stoke City Crystal Palace 2 - 1
August 24, 2013 Hull City Norwich City 1 - 0
August 24, 2013 Fulham Arsenal 1 - 3
August 22, 2013 Chelsea Aston Villa 2 - 1
August 20, 2013 Manchester City Newcastle 4 - 0
August 18, 2013 Chelsea Hull City 2 - 0
August 18, 2013 Crystal Palace Tottenham 0 - 1
August 18, 2013 Swansea City Manchester United 1 - 4
August 17, 2013 West Bromwich Southampton 0 - 1
August 17, 2013 Sunderland Fulham 0 - 1
August 17, 2013 Norwich City Everton 2 - 2
August 17, 2013 Arsenal Aston Villa 1 - 3
August 17, 2013 West Ham United Cardiff City 2 - 0
August 17, 2013 Liverpool Stoke City 1 – 0

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment