Wednesday, September 4, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH am 050913 bersamaan 29 Syawal 1434H

 

 

 

Pengusaha restoran parah ditembak di dada

Oleh: SITI NUR MAS ERAH AMRAN

Tarikh: September 4, 2013

NIBONG TEBAL - Seorang lelaki cedera parah akibat ditembak di bahagian dada ketika sedang memberhentikan keretanya di Kawasan Perniagaan Taman Merak hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 3.15 petang itu, mangsa yang merupakan pengusaha restoran itu terkena satu das tembakan yang dilepaskan seorang lelaki bermotosikal.

Difahamkan, mangsa yang berusia 40-an itu memberhentikan keretanya untuk ke restoran berhampiran dan bertemu rakannya sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Honda.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, salah seorang suspek dipercayai melepaskan empat das tembakan ke arah cermin depan dan sisi kereta mangsa.

"Salah satu das tembakan mengenai dada mangsa dan suspek kemudiannya melarikan diri sehingga ke Jalan Perusahaan Bukit Minyak.

"Walau bagaimanapun, motosikal terbabit mengalami kerosakan dan ditinggalkan kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

"Kedua-dua suspek meninggalkan motosikal mereka di tepi jalan sebelum dipercayai diambil oleh rakan mereka dengan menaiki sebuah kereta," katanya.

 Beliau berkata, polis turut menemui sarung pistol, dua topi keledar dan baju yang ditinggalkan suspek di kawasan itu.

 "Mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan kini dilaporkan stabil.

 "Siasatan awal mendapati motosikal dan kereta yang dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

 "Tidak mustahil kes ini mempunyai kaitan dengan kejadian tembakan rambang yang mencederakan enam pelanggan di kedai kopi milik mangsa di Taman Kasawari, Simpang Ampat pada 23 Ogos lalu," katanya.

 Mazlan memaklumkan, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan pihak polis turut akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lokasi kejadian.

Polis Kedah: Jangan terpedaya Macau Scam

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

ALOR SETAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan kad kredit melalui talian bebas tol yang dikenali sebagai Macau Scam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Deputi Superintendan Wong Ing Fong berkata, modus operandi Macau Scam ini bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mendakwa sebagai pegawai bank yang menyatakan kad kredit mangsa telah digunakan untuk sesuatu jenis transaksi.

"Mangsa akan menerima panggilan daripada nombor talian bebas 1-300-8088 yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai bank daripada sesebuah bank.

Selepas itu, mangsa akan diberitahu bahawa kad kreditnya telah digunakan untuk membeli sesuatu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya mangsa menafikan penggunaan kad kredit itu, mangsa akan menerima satu lagi panggilan dari nombor 03-27885038 yang kononnya dari Bank Negara Malaysia.

"Mangsa akan menerima panggilan yang menyatakan bahawa butiran mangsa telah disalah guna dan meminta mangsa ke mesin ATM bagi menukar nombor pengenalan peribadi (PIN).

"Mangsa dikehendaki mengikut arahan yang disediakan dengan memindahkan duit ke akaun baharu yang telah disediakan bagi mengelakkan daripada disenarai hitam," katanya.

Wong berkata sebelum ini Macau Scam hanya memfokuskan kaum Cina tetapi sejak kebelakangan ini, kaum Melayu dan India turut ditipu.  

"Sebelum ini hanya kaum Cina yang ditipu tetapi Macau Scam ini telah mengembangkan operasi mereka dengan melibatkan kaum-kaum lain. Sepanjang Januari hingga Ogos 2013, Kedah telah mencatatkan sebanyak 14 kes yang melibatkan RM200,000 telah dilaporkan kepada pihak PDRM," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang pertukaran nombor PIN atau memindahkan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM) sekiranya menerima sebarang panggilan yang mencurigakan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk pergi ke bank terdekat untuk membuat pertanyaan sekiranya menerima panggilan yang menyatakan bahawa kad kredit telah disalah guna dan diminta untuk membuat laporan polis," katanya.

Suspek yang terbabit dalam Macau Scam ini boleh dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - Bernama

Dua beradik didakwa perdagang 31 wanita Indonesia

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

KUALA LUMPUR - Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan memperdagangkan 31 wanita warga Indonesia untuk diekspolitasi melakukan kerja secara paksa sebagai pembantu rumah, empat tahun lepas.

Sim Whye Hong, 32, dan kakaknya Sim Yee Sie, 34, masing-masing pemilik dan penyelia sebuah syarikat agensi pekerja asing, didakwa secara bersama-sama memperdagangkan kesemua wanita berumur antara 21 dan 59 tahun itu bagi maksud
eksploitasi kerja paksa.    

Mereka didakwa melakukan 31 pertuduhan itu di lima lokasi berbeza di sini termasuk 15 di sebuah pusat kecantikan di Kuchai Entrepreneurs Park off Jalan Kuchai Lama, Brickfields, antara Ogos 2009 hingga 19 Ogos lepas.

Tujuh pertuduhan didakwa dilakukan di satu alamat di Jalan 4/36, Bukit Sri Bintang, Kepong manakala tujuh lagi di sebuah spa di Desa Aman Puri, Kepong.

Sementara itu, dua lagi pertuduhan didakwa dilakukan masing-masing di Pejabat Kedutaan Besar Republik Indonesia, Jalan Tun Razak, dan di Taman Seri Gombak.

Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suzanne Tiyon Bimen memohon mahkamah mengenakan jaminan yang tinggi berserta syarat tambahan terhadap kedua-dua tertuduh.

Peguam Goh Kim Lian, yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin kerana Whye Hong menanggung ibu yang tua serta seorang anak lelaki berusia 16 tahun manakala Yee Sie, seorang ibu tunggal, menanggung anak lelaki berusia 13 tahun.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM310,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan mereka melapor diri di balai polis berhampiran pada minggu pertama setiap bulan dan menetapkan 2 Okt untuk sebutan. - Bernama

Pelajar buat senapang dicekup

Oleh: NOOR FAIZAL GHAZALI

Tarikh: September 4, 2013

ALOR SETAR - Seorang pelajar kolej swasta bidang farmasi yang membuat senapang angin dengan merujuk internet ditahan polis bersama ayahnya di dua tempat berasingan.

Hasil pemantauan selama dua minggu dalam Ops Cantas Khas, polis berjaya menahan kedua-duanya atas maklumat dan risikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, polis memeriksa sebuah premis tidak bernombor di Kampung Tanjung Pari, Baling kira-kira jam 3.45 petang kelmarin.

Hasil pemeriksaan itu, polis menahan seorang lelaki berusia lewat 50-an bersama lima laras senapang angin buatan sendiri tanpa permit.

"Susulan itu, kita menahan seorang lagi suspek berusia awal 20-an iaitu anaknya pada jam 11 pagi semalam kerana disyaki terbabit dalam kerja membuat senapang.  

"Suspek kedua yang masih belajar di kolej swasta di Pulau Pinang dipercayai membuat senapang berpandukan rujukan dalam internet sebagai sumber utama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, semalam.

Nashir berkata, polis turut merampas sebuah komputer riba milik suspek kedua untuk siasatan lanjut.

"Motif pembuatan senapang itu belum dapat dikenal pasti dan polis masih menyiasat tujuan serta kegunaannya.

"Kemungkinan senjata ini dibuat untuk dijual kepada pihak lain. Polis tidak menolak kemungkinan senjata ini digunakan untuk melakukan perbuatan jenayah," katanya.

Nashir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

 

 

KL Gangster 2: Polis serah kepada SKMM, KPDNKK

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

KUALA LUMPUR - Polis menyerahkan kes mensabotaj filem KL Gangster 2, yang dimuat naik di laman video perkongsian YouTube sebelum tarikh penayangan, kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, polis menerima laporan berhubung kes filem arahan pengarah terkenal, Syamsul Yusof, itu pada 4 petang Isnin lepas yang dibuat bapanya Datuk Yusof Haslam.

Beliau berkata, polis sudah meneliti laporan itu dan mendapati ia lebih menjurus kepada skop siasatan SKMM dan KPDNKK.

"Kita dapati ia lebih mirip kepada dua agensi terbabit dan sudah serah kepada mereka kelmarin untuk tindakan selanjutnya.

"Walaupun siasatan sudah dirujuk kepada dua agensi berkenaan, kita masih membantu mereka untuk mengenal pasti individu yang terlibat dalam memuat naik filem itu di YouTube," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Syed Ismail berkata dalam laporan sama, Yusof turut mendakwa filem itu juga sudah dibuat dalam bentuk video cakera padat (VCD) dan dijual di pasar malam.

"Kita sudah arahkan anggota kita untuk buat pemeriksaan di kawasan pasar malam bagi menyiasat dakwaan itu," katanya, sambil menambah setakat ini tiada tangkapan dibuat kerana siasatan masih di peringkat awal.

Filem itu dijangka ditayangkan di pawagam pada 3 Oktober.

Syamsul menerusi akaun Facebook miliknya sebelum ini memberitahu Skop Production dan Grand Brilliance akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit memuat naik dan mengedarkan filem itu di mana-mana media. – Bernama

Pelakon fail notis terhadap bapa

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 4, 2013

SHAH ALAM - Pelakon terkenal, Wan Nor Azlin Wan Mohd Hussin memfailkan notis tunjuk sebab terhadap bapanya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, supaya memberi alasan mengapa tidak boleh dipenjarakan berhubung isu penjualan rumah di Taman Keramat.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Mohamed Fouzi Mokhtar, peguam, Mahyuddin Md Zahari yang mewakili Wan Nor Azlin, 45, memaklumkan pihaknya telah menyerahkan notis kepada defendan, Wan Mohd Hussin Wan Ibrahim pada Ahad lalu.

Peguam Roshdan Sujak Rafie yang mewakili Wan Mohd Hussin, 76, kemudian mengesahkan kata-kata Mahyuddin.

Beliau bagaimanapun memohon satu tempoh masa untuk meneliti kes tersebut kerana baru dilantik.

Sehubungan itu, Mohamed Fouzi berkata, bagi melancarkan perjalanan kes, beliau mengarahkan defendan untuk membuat afidavit pembelaan sebelum kes disebut semula pada 11 September depan.

Wan Nor Azlin ketika ditemui media sejurus prosiding enggan melayani pertanyaan lanjut berhubung notis yang difailkan.

Sementara itu Roshdan pula berkata, perintah komital yang difailkan plaintif adalah berhubung isu penjualan rumah milik defendan di Taman Keramat.

Pada 31 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan permohonan Wan Nor Azlin untuk mengetepikan saman bapanya yang mahu mendapatkan perintah supaya pelakon itu keluar dari rumah berkenaan.

Wan Mohd Hussin dalam writ saman yang difailkan pada 5 Februari lalu mendakwa, dia ingin menjual rumah yang mereka duduki bersama di Taman Keramat dan mahu defendan keluar dari rumah.

Namun defendan enggan berbuat demikian kerana ada kepentingan selepas memasang kabinet dapur dan almari pakaian walaupun ia dibuat atas kehendak defendan sendiri.

Zaman Khan: Bekas ketua kongsi gelap masuk politik

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan mendedahkan seorang bekas banduan, yang juga bekas ketua kumpulan kongsi gelap, kini menjadi pemimpin peringkat bawahan dalam sebuah parti politik di Pulau Pinang.

Katanya, beliau yang ketika itu masih dalam perkhidmatan polis, telah menangkap lelaki berkenaan di Thailand sebelum didakwa dan dijatuhkan hukuman penjara di negara ini.

Menurutnya, bekas banduan itu pernah menjadi ketua kongsi gelap di negara ini dan aktifnya dalam politik sehingga memegang jawatan penting dalam parti adalah satu perkembangan yang tidak sihat kepada politik negara.

Beliau yang ditemui Bernama di sini, bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pemimpin itu tetapi berkata, individu berkenaan kini merupakan ketua di peringkat bawahan sebuah parti politik di negeri itu.

Zaman Khan menggesa pihak polis menyiasat perkara itu kerana ia boleh menimbulkan pelbagai spekulasi oleh orang ramai terhadap penglibatan ahli politik dalam dunia kongsi gelap.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya sedia menyiasat dakwaan pembabitan anggota kongsi gelap dalam arena politik mahupun memegang jawatan penting dalam sesebuah parti politik di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menerima apa-apa laporan mahupun maklumat untuk mengaitkan pembabitan anggota kongsi gelap dalam parti politik mahupun banduan yang telah dibebaskan.

"Anggota kongsi gelap jadi ketua bahagian parti politik tidak ada lagi. Kalau benar ada dakwaan seperti itu kita sedia menyiasat," katanya.

Minggu lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan sebanyak 49 kongsi gelap dikesan menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, membunuh, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

Dalam Ops Cantas Khas yang bermula 17 Ogos lepas bagi membanteras kongsi gelap dan individu terbabit jenayah berat di seluruh negara, polis menangkap 4,777 orang dan merampas 136 kenderaan curi, lapan senjata api, satu bom tangan, 54 peluru dan 133 senjata berbahaya. 

Operasi itu dilancarkan setelah jenayah keganasan melibatkan pembunuhan, rompakan, rogol dan pergaduhan dilaporkan meningkat termasuk pembunuhan dan cubaan bunuh golongan berprofil tinggi.

Antara kes itu termasuk pada 29 Julai lepas, Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi dibunuh manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di sini.

Dua hari sebelum itu, aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan jalan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Selain Sanjeevan, seorang lagi mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April lepas.   

Bernama sebelum ini melaporkan kumpulan kongsi gelap ini bergantung kepada aktiviti pengedaran dadah selain aktiviti pinjaman wang haram ah long dan aktiviti maksiat termasuk perjudian dan pelacuran.

Dalam pada itu, penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata, penglibatan anggota kongsi gelap mahupun bekas banduan di dalam sesebuah parti politik di negara ini merupakan satu perkembangan yang tidak baik.

Beliau berkata, sebagai sebuah parti yang berdaftar, jawatankuasa parti itu perlu menyiasat latar belakang setiap anggota mereka sebelum mereka dibenarkan bertanding di peringkat bahagian seterusnya memegang jawatan penting di dalam parti.

"Jika dibiarkan ia akan menjadi satu ancaman, kerana anggota kongsi gelap ini akan menyalahgunakan kedudukan mereka untuk melakukan aktiviti haram," katanya. - Bernama

 

 

PDRM sedia hadapi kemungkinan percerobohan Sabah

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

GEORGETOWN - Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga, jika berlaku lagi ancaman pencerobohan di pantai timur Sabah, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini yang mendakwa terdapat 13 orang Sulu lengkap bersenjata telah tiba di Kampung Belacan, Tawau, Sabah untuk menawan daerah itu.

"Ini bukan kali pertama kita terima maklumat sebegini, bagaimanapun kita periksa dengan teliti kerana tidak mahu perkara ini terlepas daripada pandangan kita.

"Buat masa ini, saya tidak mahu membuat pengesahan atau penafian berhubung perkara itu," katanya sempena lawatan kerja selama tiga hari di Pulau Pinang hari ini.

Khalid berkata, pihaknya mempunyai barisan pertahanan yang kuat seperti pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Marin yang sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau turut memberi amaran terhadap individu yang sengaja menyebarkan maklumat palsu bertujuan menakutkan orang awam terutama masyarakat pantai timur Sabah.

Pada masa sama, Khalid meminta penduduk timur Sabah agar tidak terpengaruh dengan dakyah golongan tidak bertanggungjawab yang sentiasa ingin menimbulkan suasana tidak aman di negeri itu.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, polis akan memanggil seorang pelakon kelahiran Singapura bagi membantu siasatan berhubung tindakan artis itu yang didakwa menganggu isteri seorang ahli perniagaan di Johor Bharu dengan menghantar SMS dan gambar lucah, sejak akhir Julai hingga Ogos lepas.

Ahli perniagaan yang berumur 56 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Skudai di Johor Bahru hari ini, selepas mendapati dua telefon bimbit milik isterinya mengandungi kata-kata dan gambar lucah daripada artis berkenaan.

Khalid berkata, telefon bimbit berkenaan telah dirampas dan akan dihantar ke Makmal Forensik PDRM untuk dianalisis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mengenai pembebasan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, Khalid berkata, ia dilakukan kerana polis menimbang faktor usia beliau dan berharap A Samad tidak mengulangi perbuatannya.

"Tindakan yang dilakukan dilihat tidak sepadan dengan statusnya sebagai Sasterawan Negara dan memalukan," katanya. - Bernama

SPAD kaji kadar tambang pengangkutan darat

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang mengkaji kadar tambang industri pengangkutan darat secara menyeluruh ekoran kenaikan harga petrol dan diesel, semalam.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya peka dengan kenaikan itu dan kini sedang meneliti kesan langsung dan tidak langsung terhadap kenaikan itu.

"Kajian ini akan mengambil kira komponen kos operasi seperti bahan api, upah, kos penyelengaraan dan insurans," katanya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa SPAD akan memastikan hasil kajian itu tidak membebankan rakyat atau pengendali pengangkutan awam.

Syed Hamid juga memaklumkan bahawa SPAD tidak mempunyai sebarang halangan jika pengendali industri pengangkutan awam memohon agar tambang dinaikkan mengikut perkembangan terkini.

"Namun, keputusan untuk menaikkan kadar tambang hanya boleh dibuat selepas SPAD selesai mengkaji kadar tambang tersebut secara menyeluruh dan holistik untuk kerajaan membuat keputusan yang sewajarnya," katanya. – Bernama

3 kenderaan SPAD dikepung 30 lori

Oleh: AMIRULMU'MIN NIK MIN

Tarikh: September 5, 2013

KUANTAN - Penggunaan kenderaan tanpa logo oleh anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam operasi membabitkan kenderaan berat terus dipersoal pemilik dan pemandu lori.

Berikutan rasa tidak puas hati dengan tindakan anggota SPAD itu, kira-kira 100 pemandu mengadakan bantahan secara aman di hadapan sebuah stesen minyak bersama lebih 30 lori dikumpulkan di Gebeng dekat sini, semalam.

Mereka juga turut mengepung tiga kenderaan SPAD yang terlibat dalam operasi sebelum kepungan itu disuraikan dengan bantuan anggota polis.

Sementara itu, Adun Teruntum, Sim Chon Siang ketika ditemui di lokasi bantahan berkata, pemilik  dan pemandu lori tidak puas hati dengan tindakan agensi itu apabila menggunakan kenderaan tanpa logo dalam operasi mereka.

Menurutnya, pemandu lori keliru dengan tindakan itu menyebabkan mereka enggan berhenti ketika ditahan untuk pemeriksaan.

"Mereka ada alasan untuk tidak berhenti kerana bimbang kereta tersebut digunakan penjenayah untuk menyamun kenderaan berat.

"Perkara ini sudah dikemukakan kepada SPAD namun penggunaan kenderaan tanpa logo terus digunakan dalam operasi," katanya.

Chon Siang berkata, bantahan berpunca daripada tindakan pegawai SPAD cuba menahan sebuah lori dalam satu operasi di sini.

"Lori itu enggan berhenti memaksa pegawai SPAD mengejarnya bagaimanapun pemandu tersebut kemudian mengalah selepas muncul dua kenderaan dari arah belakangnya yang tertera logo agensi itu.

"Tidak puas hati dengan tindakan itu, pemandu terbabit menghubungi rakan dan berkumpul di hadapan sebuah stesen minyak dan mengepung tiga kenderaan SPAD terlibat," katanya.

Menurutnya, hasil campur tangan polis, kenderaan SPAD berjaya keluar manakala pemandu lori terus berkumpul di sini sehingga jam 2.30 petang.

"Susulan kejadian, kedua-dua pihak tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, petang semalam," katanya.

Tinjauan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam mendapati keadaan lalu lintas sesak selepas puluhan lori diletakkan di kawasan itu sementara pemilik dan pemandu membuat laporan polis.

'Port' urutan batin diserbu

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

SUBANG JAYA – Asyik melakukan seks oral, seorang pelanggan dan tukang urut dicekup dalam keadaan berbogel di sebuah rumah urut di Puchong, lewat malam kelmarin.

Lelaki berusia 50-an itu dikatakan menikmati layanan tukang urut warga asing dalam keadaan menjijikkan di salah satu ruang yang dipisahkan menjadi bilik-bilik kecil di premis terbabit.

Hasil serbuan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di tiga premis termasuk di Subang Jaya dan Seri Kembangan, 10 tukang urut wanita warga Vietnam ditahan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, hasil maklumat dan risikan sepasukan anggotanya menyerbu masuk premis menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah daripada pihak majlis.

Menurutnya, tukang urut yang diberkas gagal mengemukakan pengenalan diri masing-masing dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, serbuan ke premis kedua di USJ 21, Subang Jaya mendapati premis dijalankan dengan kebenaran namun menyalahgunakan lesen dikeluarkan majlis.

Pengusaha didapati tidak menawarkan urutan biasa kepada pelanggan tetapi terus mempelawa golongan itu untuk mendapatkan urutan batin dan khidmat seks.

Tambah teruk lagi, pengusaha turut menyediakan kondom kepada pelanggan yang memerlukannya.

"Ketika serbuan beberapa kondom baru dan terpakai ditemui dalam tong sampah," katanya.

Kesemua pengusaha premis berdepan tindakan di bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan Dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007 yang membawa hukuman denda RM1,000. Barang peralatan urut dirampas dan premis ditutup.

Banduan cabut lari selepas ke tandas

Oleh: ROSDALILAH ZAHARI

Tarikh: September 5, 2013

IPOH - Konon mahu ke tandas, tetapi sebenarnya seorang banduan hanya menipu sebelum bolos daripada kawalan polis dalam kejadian di Hentian Rehat dan Rawat Gunung Semanggol, Lebuhraya Utara- Selatan (arah Selatan) petang, kelmarin.

Cukup mudah taktik yang digunakan apabila banduan dikenali Panner Selvam Heng Jeng Kee, 42, meminta dibawa ke tandas tetapi kemudian menolak polis pengiring selepas keluar lalu terus melarikan diri bersama seorang penunggang motosikal lain.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek dibawa dari Penjara Alor Setar itu dalam perjalanan bagi menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret Sungai Siput atas dakwaan menipu urusan jual beli kenderaan terpakai.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba dia meminta anggota polis pengiring berhenti di kawasan hentian tersebut dengan mengatakan tidak tahan hendak buang air kecil.

"Mereka berhenti di kawasan rehat sebelah restoran. Kemudian gari suspek diubah ke hadapan bagi memudahkan dia bergerak.

"Tetapi, selepas keluar dari tandas, suspek tolak anggota polis dan terus naik motosikal seorang lelaki dipercayai rakannya yang sudah pun menunggu di situ.

"Kemudian mereka lari menghala ke persimpangan Bukit Merah," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.

Acryl Sani berkata, sehubungan itu, dua pasukan khas ditubuhkan cawangan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput untuk mencari banduan itu.

Katanya, banduan tersebut sedang menghadapi pertuduhan dan dalam proses perbicaraan di mahkamah sesyen dan majistret sekitar Kedah dan Kuala Kangsar, Perak.

Katanya, lelaki yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu, menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 420 dan 385/397 Kanun Keseksaan selain mempunyai rekod jenayah lampau pada 1990.

Acryl Sani berkata, kes terkini itu disiasat di bawah Seksyen 233 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam dengan cuainya membiarkan seseorang lari dari pengurungan atau Seksyen 224 kanun sama iaitu tentangan oleh seseorang terhadap penangkapan
sah di sisi undang-undang atas dirinya.

Beliau berkata, sementara itu dua anggota polis pengiring dari IPD Sungai Siput kini ditugaskan di bahagian pejabat sehingga siasatan selesai.

Nyaris maut kereta dihempap balak

Oleh: ASYRAF MUHAMMAD

Tarikh: September 4, 2013

GOMBAK - Seorang pemandu nyaris maut selepas kereta Proton Gen 2 yang dinaikinya terhempap muatan kayu balak di Jalan Lama Batu 10, kira-kira jam 7.45 pagi.

Mangsa, Nordin Abdul Shukor, 54, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Subang menuju ke tempat kerjanya yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Menurutnya, secara tiba-tiba lori muatan batu yang berada di hadapan keretanya cuba memintas sebuah motosikal di hadapan lori berkenaan namun gagal lalu bergesel dengan lori yang membawa muatan kayu balak dari arah bertentangan.

"Lori yang bawa batu itu terus merempuh penunggang motosikal manakala lori kayu balak hilang kawalan sehingga menyebabkan muatannya jatuh menghempap kereta saya.

"Saya hanya mampu menjerit Allahuakbar ketika kejadian itu berlaku. Saya hanya berserah pada ALLAH," katanya.

Nordin berkata, akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan dibawa ke Hospital Orang Asli Gombak untuk menerima rawatan.

"Penunggang motosikal itu patah kaki kanan dan di hantar ke Hospital Selayang manakala pemandu lori muatan batu itu terus menghilangkan diri selepas kejadian itu," katanya.

Menurutnya, dia bagaimanapun bersyukur kerana terselamat dalam kejadian ngeri itu.

"Saya akan buat laporan polis selepas ini bagi membolehkan siasatan dijalankan," katanya.

Dalam pada itu, pemandu lori balak yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian itu berlaku, dia sedang dalam perjalanan menghantar kayu balak ke Ulu Yam.

"Saya terkejut dan gagal kawal lori selepas lihat lori di laluan bertentangan masuk secara tiba-tiba ke laluan saya.

"Saya tak sempat elak menyebabkan lori saya terbabas dan muatan dibawa menghempap kereta Gen 2 itu," katanya.

 

Kerajaan Selangor beku aktiviti di rizab sungai

Oleh: NIZAM ZAIN

Tarikh: September 4, 2013

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menggesa kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menguatkuasakan prinsip pencemar membayar dalam Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 supaya mana-mana kos kerosakan dan membaikinya akibat pencemaran itu ditanggung sepenuhnya oleh individu atau syarikat terbabit.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penguatkuasaan undang-undang itu perlu dipertingkatkan di seluruh negara bagi mengelakkan kes pencemaran akibat kecuaian berulang pada masa akan datang.

"Kerajaan negeri bersama agensi kerajaan seperti Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Alam Sekitar serta semua PBT (pihak berkuasa tempatan) di Selangor akan terus bekerjasama untuk memantau dari semasa ke semasa.

"Langkah ini bagi memastikan kes-kes pencemaran sungai dapat dielakkan agar tidak berlaku gangguan bekalan air yang menyusahkan rakyat," katanya yang dipetik daripada kenyataan medianya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut insiden tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu Sungai Selangor berdekatan kawasan Rawang pada 30 Ogos lalu hingga memaksa empat loji rawatan air (LRA) yang diuruskan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dihentikan sementara operasinya.

Penutupan sementara operasi di LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang itu menjejaskan bekalan air kepada hampir sejuta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tambah Abdul Khalid, bagi mengelakkan insiden sama berulang, kerajaan negeri telah mengarahkan semua PBT negeri itu membekukan semua permohonan menjalankan sebarang bentuk aktiviti di sepanjang rezab sungai berkuat kuasa serta-merta.

"Kerajaan negeri memandang serius kejadian pencemaran itu yang telah menyusahkan rakyat terutama mereka yang berkeluarga apabila bekalan air terputus di beberapa daerah di Selangor.

"Semua PBT juga diarahkan menjalankan kerja-kerja pemantauan semua aktiviti di kawasan rezab sungai terutama aktiviti tidak berlesen," katanya lagi.

 

 

Tun M: Amerika tak mungkin serang Syria

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

PUTRAJAYA - Amerika Syarikat tidak mungkin menyerang Syria selepas kegagalan membawa keamanan di Iraq yang diserangnya dengan bantuan negara-negara sekutunya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, bekas Presiden Amerika George W Bush ketika melancarkan serangan terhadap Iraq pada tahun 2003 dengan mendakwa Iraq kononnya membangunkan senjata pemusnah besar-besaran ternyata satu kesilapan besar kerana sehingga kini Iraq masih tidak aman serta senjata pemusnah itu tidak ditemui.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media Cabaran Mountain Bike Antarabangsa Langkawi anjuran Human Voyage (M) Sdn Bhd (Human Voyage) di sini yang akan berlangsung pada 30 September sehingga 5 Oktober depan di Langkawi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Datuk Malik Mydin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Tan Sri Khalid Ramli.    

Dr Mahathir mengulas mengenai perkembangan terbaharu di Syria yang menurut laporan berita Amerika kini bersiap sedia untuk melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syria.

"Saya tak fikir mereka (Amerika) boleh berjaya jika mereka menyerang Syria.

Presidennya Barack Obama perlu mendapat sokongan anggota Parlimen (anggota Kongres) terlebih dahulu," katanya.

Mengenai keputusan kerajaan menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter baru-baru ini, Dr Mahathir berkata, ia dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan kerana bantuan subsidi di Malaysia agak tinggi.

Mengenai Cabaran Mountain Bike Antarabangsa Langkawi Dr Mahathir berkata, ia merupakan satu promosi terbaik untuk sektor pelancongan Langkawi dan Malaysia kerana apabila kejohanan basikal itu disiarkan di televisyen di seluruh dunia ia dapat menarik kira-kira sejuta penonton.

"Kos untuk mempromosikan Malaysia menerusi pengiklanan televisyen adalah mahal maka kejohanan basikal ini secara langsung dapat mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa, penganjuran kejohanan ini bukannya satu pembaziran wang.

"Berdasarkan kepada pengalaman saya bertemu pelbagai orang di seluruh dunia, masih ramai yang tidak mengetahui di mana letaknya Malaysia dan saya akan menerangkannya secara lengkap kepada mereka," katanya.

Malaysia bakal mengaut keuntungan untuk jangka panjang menerusi kejohanan basikal itu kerana ia akan disertai peserta dari luar negara termasuk media antarabangsa yang akan memberi publisiti meluas sekaligus menarik lebih ramai pelancong melawat Langkawi dan Malaysia, katanya.

Sementara itu, Malik berkata, kejohanan basikal itu menawarkan hadiah wang tunai AS$125,000 (RM410,625) dengan pusingan kelayakan UCI Mountain Bike dan Trials World Championships (UCI MTB Marathon Series), pembuka tirai kejohanan basikal di Langkawi itu, yang akan berlangsung pada 28 September ini.

Malik berkata, mereka yang berminat menyertai UCI MTB Marathon Series dan Cabaran Mountain Bike Antarabangsa Langkawi boleh melayari laman web di http://wwwmtbmalaysia.com. Tarikh tutup ialah pada 15 September ini. – Bernama

Anifah: Malaysia bantah serangan ke atas Syria

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

PUTRAJAYA - Malaysia mengambil pendirian menentang sebarang kuasa luar melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Syria, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, campur tangan ketenteraan bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan konflik dalaman di Syria malah akan mengorbankan penduduk yang tidak berdosa dan kemusnahan harta benda di negara itu.

"Penyelesaian politik adalah yang terbaik. Kami tidak pernah percaya campur tangan ketenteraan akan menyelesaikan masalah... seperti dilihat di Libya, Iraq dan Afghanistan.

"Pendirian kami jelas iaitu kita perlu beri peluang kepada pihak yang bertelingkah supaya duduk semeja untuk berdialog dan berunding serta mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada negara terbabit," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Anifah berkata demikian bagi mengulas rancangan Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas Syaria, yang didakwa menggunakkan senjata kimia terhadap penentang rejim pimpinan Presiden Bashar al-Assad.

Mengulas peranan Liga Arab untuk membantu Syria menyelesaikan masalah dalaman negara itu, Anifah berkata, cara terbaik ialah melalui rundingan dan perbincangan politik.

"Kami amat berharap Liga Arab akan menemukan penyelesaian bagi masalah ini kerana mereka merupakan negara yang mempunyai kaitan di rantau itu dan merekalah yang sepatutnya memutuskan cara terbaik yang patut digunakan Syria dan rantau itu agar kestabilan dan keselamatan terus terjamin," katanya.

Terdahulu, Anifah menyerahkan cek US$200,000 (RM657,233) kepada Duta Sudan di Malaysia, Khalid Abdelgadir Shukri untuk membantu rakyat negara itu yang menderita akibat banjir sejak awal Ogos.

Dalam ucapannya Anifah berkata, sumbangan itu dikumpul daripada orang ramai melalui tabung bencana yang ditubuhkan kementerian berkenaan pada 2006 bagi meringankan bebanan penduduk di luar Malaysia yang dilanda bencana. – Bernama

KKMM tolak permohonan konsert 'Lamb Of God'

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menolak permohonan penganjuran konsert kumpulan heavy metal 'Lamb of God' yang dijadual berlangsung pada 28 September ini.
    
Menurut kenyataan KKMM hari ini, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal), semalam
    
"Keputusan penolakan ini dibuat secara sebulat suara setelah mendapati persembahan kumpulan ini menyentuh sensitiviti agama serta nilai-nilai budaya masyarakat Malaysia," menurut kenyataan itu.
    
Kumpulan dari Amerika Syarikat itu dijadual membuat persembahan di Jalan Sultan Ismail di sini.
    
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini turut membantah kehadiran kumpulan itu di negara ini.
    
Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata bantahan itu berikutan genre muzik kumpulan berkenaan yang pernah membuat persembahan dengan mencampuradukkan lagu metal dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.
    
Bantahan itu juga, katanya selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-72 bahawa amalan dan perbuatan kumpulan heavy metal adalah sesat serta bercanggah dengan ajaran Islam. – Bernama

Pengarah syarikat didakwa mengikut Akta Syarikat

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat kejuruteraan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen mengikut pertuduhan Akta Syarikat berhubung pembayaran pembinaan projek perumahan, empat tahun lepas.

Leong Kin Ho, 48, yang merupakan pengarah syarikat Ascendex Sdn Bhd, didakwa mengarahkan syarikat Sime Darby Property Berhad membuat bayaran berkaitan projek "Cadangan Pengukuhan Cerun dan Laporan Kerja Apartmen Lafite di Subang Jaya" kepada syarikat miliknya iaitu Xcendex Sdn Bhd tanpa pengetahuan ahli lembaga pengarah syarikat Ascendex.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 132 (1) Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda RM30,000.

Leong turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan alternatif iaitu tanpa kebenaran mesyuarat agung menggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat, dengan mengarahkan Sime Darby Property membuat bayaran mengenai projek itu kepada syarikatnya Xcendex bagi faedah diri sendiri.

Dia didakwa mengikut Seksyen 132(2)(c) akta sama yang membawa hukuman sama.

Leong didakwa melakukan kesalahan itu di alamat 108A, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail di antara 6 Mac 2009 dan 23 April 2009.

Pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Yap Pooi Fah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin atas alasan jaminan harus lebih tinggi dalam mana-mana pertuduhan yang tidak boleh dijamin.

Peguam K Ganesan yang mewakili tertuduh, merayu jaminan itu dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai dua anak dan merupakan penanggung tunggal.

Hakim Azwarnida Ariffin membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Okt ini untuk sebutan semula. - Bernama

3 rumah di Kuala Nerang rosak dipukul ribut

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

KUALA NERANG - Tiga buah rumah di Kampung Pong Selatan, Naka dekat sini rosak teruk apabila bumbung rumah mereka diterbangkan angin kencang, petang semalam.

Kejadian kira-kira 6.30 petang itu mengakibatkan kerugian hampir RM10,000 dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Mangsa Mohd Zere Ayob, 41, berkata ketika kejadian dia keluar untuk mengambil anaknya yang mengikuti kelas Al-Quran tidak jauh dari rumahnya dan apabila sampai di rumah dia mendapati bumbung rumahnya diterbangkan angin kira-kira 10 meter ke belakang rumah.

"Saya lihat bumbung rumah di bahagian ruang tamu dan bilik belakang sudah diterbangkan ribut. Isteri dan anak sulung, Nurul Najihah, 16, sempat menyelamatkan diri dengan berlindung di rumah jiran.

Saya bersyukur anak perempuan dan isteri saya terselamat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Isteri Mohd Zere, Zarashita Wahab, 35, berkata dia amat takut melihat angin kencang datang secara tiba-tiba dan dengan sekelip mata menerbangkan bumbung rumahnya itu.

Dia berkata ini merupakan kali pertama perkara itu berlaku sejak mereka tinggal di situ 15 tahun lalu.

Sementara itu tinjauan di dua rumah lain hanya mengalami kerosakan kecil membabitkan bahagian bumbung sahaja dan tidak menjejaskan peralatan dalam rumah. - Bernama

2 anggota 08 ditahan di Selangor

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

KUALA LUMPUR - Polis Selangor pada Jumaat lalu menahan dua lelaki dipercayai anggota Geng 08 di Pusat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Besraya atau Lebuhraya Sungai Besi yang mereka aktif dalam pengedaran dadah dan senjata api.
    
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, dalam penahanan 10.30 malam itu, pihaknya juga merampas 22 butir peluru jenis 9mm  yang disyaki diperoleh dari negara jiran dan syabu seberat 30.2 gram.
    
Menurut beliau, kedua-dua suspek pada mula dipercayai merancang untuk singgah makan di R&R itu namun dikesan pihak polis.
    
"Mereka masing-masing berusia 23 dan 28 tahun dan mempunyai rekod jenayah serta positif ujian dadah.
    
"Kami juga percaya mereka aktif dalam pengedaran dadah di sekitar Serdang dan Seri Kembangan (Selangor) sejak enam bulan lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Serdang dekat sini.
     
Thaiveegan berkata, siasatan dan pemeriksaan lanjut menunjukkan mereka turut memperoleh bekalan dadah dari sekitar Lembah Klang.
    
Mereka mempunyai tatu kumpulan di beberapa bahagian badan.
    
"Sekarang kita tengah berusaha untuk mengesan di mana letaknya senjata api yang digunakan dalam kegiatan mereka," katanya dan menambah mereka direman enam hari sehingga 5 Sept ini untuk bantu siasatan.
    
Kes tersebut disiasat di bawah tiga kesalahan iaitu Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
    
Dalam kes berlainan, Thaiveegan berkata pihak polis berjaya melumpuhkan kegiatan pecah kedai telefon dan kedai runcit di sekitar Salak Tinggi dan Serdang dengan tertangkapnya empat individu di Serdang Perdana, Seri Kembangan  Ahad lalu.
    
Beliau berkata, mereka ditangkap beserta barangan rampasan bernilai RM65,000 yang antaranya berupa 120 telefon bimbit pelbagai jenama dan dua komputer riba.
     
Sebelum menangkap tiga daripada mereka, katanya polis terlebih dahulu menahan seorang individu di tepi kedai di Serdang Perdana kira-kira 6.30 pagi sebelum suspek membawa polis ke sebuah rumah yang menjadi tempat persembunyian tiga rakannya itu.
    
"Pemeriksaan lanjut mendapati mereka yang berumur antara 25 hingga 34 tahun itu positif dadah dan kini ditahan sehingga 5 Sept untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," tambahnya. - Bernama

Cedera bergelut dengan 5 penyamun

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

ROMPIN - Seorang pemilik rumah cedera ditetak akibat bergelut dengan lima penyamun yang bersenjatakan parang di Felda Keratong, Muadzam Shah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Supt Johari Yahaya berkata dalam kejadian jam 3 pagi itu mangsa yang berumur 27 tahun, bersama ibunya, 57, dan adik perempuannya, 23, sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan lima lelaki yang dipercayai warga Indonesia.

"Mangsa yang panik melihat suspek di dalam rumahnya bertindak melawan dan bergelut dengan suspek. Mangsa juga mendakwa sempat memukul salah seorang suspek dengan besi pasu bunga sebelum ditetak di tangan kanan, jari kiri, belakang badan dan bahagian tepi pinggangnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata selepas pergelutan itu suspek bertindak menggeledah rumah mangsa dan mengambil barangan berharga sebelum melarikan diri.

Ibu dan adik mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sementara mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu Johari berkata dua lelaki yang berumur sekitar 30-an cedera akibat dipukul dengan kayu selepas bergelut dengan empat lelaki di rumah mereka di Felda Chanis Keratong di sini kira-kira 3.30 pagi tadi.

Katanya dalam kejadian itu mangsa sedang tidur sebelum terkejut dengan kehadiran empat lelaki bersenjatakan kayu di dalam rumah mereka.

"Suspek melarikan barang kemas, lima buah telefon bimbit dan wang tunai RM1,300," katanya.

Kedua-dua mangsa terbabit turut dirawat di Hospital Muadzam Shah.

Beliau berkata polis sedang memburu penyamun terbabit dan siasatan dilakukan bagi memastikan sama ada kedua-dua kejadian didalangi kumpulan yang sama. - Bernama

4 lelaki kurung wanita dalam hotel dicekup

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

KUALA LUMPUR - Empat lelaki yang terbabit mengurung seorang wanita di sebuah hotel di Brickfields, di sini, antara 262 orang yang ditahan dalam Ops Cantas Khas Polis Kuala Lumpur sejak 17 Ogos lepas.
   
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata tangkapan itu dibuat setelah mangsa, 19, yang dikurung di bilik hotel berkenaan selama beberapa hari dapat meloloskan diri dan membuat laporan polis minggu lepas.
   
"Daripada laporan itu, polis menahan empat lelaki terbabit dan didapati tiga daripada mereka adalah anggota kumpulan kongsi gelap," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur.
   
Datuk Dr Chai Khin Chung, yang bertukar ke negeri asalnya di Sarawak sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Polis Sarawak, menyerahkan tugasnya kepada Datuk Aidi Ismail, yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Logistik II Bukit Aman.
   
Mohmad berkata 262 orang yang ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah, ditangkap di sekitar Brickfields, Cheras, Sentul dan Dang Wangi serta kesemua mereka berumur antara 20 hingga 30 tahun.
   
Mohmad berkata daripada jumlah itu, 14 orang adalah ketua dan anggota kumpulan kongsi gelap 08, 36 dan 77, iaitu antara 49 pertubuhan diharamkan kerajaan pada 29 Ogos lalu mengikut Akta Pertubuhan 1966.
   
Daripada 262 itu juga, 163 orang masih ditahan, 47 individu dibawa ke mahkamah, 25 orang dibebaskan dengan jaminan polis dan 27 dibebaskan tanpa syarat kerana tiada kesalahan.
   

Daripada tangkapan itu, polis turut merampas sembilan bilah parang, tiga bilah pisau, sebilah sabit, dua batang besi panjang, sembilan jam tangan, tiga topi keledar, lima kamera, dua buku bank, dua plat nombor kenderaan dan dua pasport.
   
Beliau berkata pihaknya turut mendapati satu daripada pasport Malaysia yang dipercayai dipalsukan apabila menggunakan gambar lelaki berbangsa India tetapi namanya adalah berbangsa Cina yang dikenali sebagai Yap Kian Lee.
   
Dalam Ops Cantas Khas yang bermula tiga minggu lalu di seluruh negara, PDRM menangkap 4,777 orang dan merampas 136 kenderaan curi, lapan senjata api, sebutir bom tangan, 54 peluru dan 133 senjata berbahaya. - Bernama

Saniah ditinggal tanpa nafkah

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

SABAK BERNAM - Dengan hasil jualan nasi lemak itulah akak sara tujuh anak sampai ada yang sudah berumah tangga, belajar universiti termasuk tiga lagi yang masih di sekolah menengah," kata ibu tunggal, Saniah Che Mat, 50, menceritakan kepayahannya menyara anak-anak setelah diceraikan suami lebih 12 tahun lalu.

Anak peneroka tanah rancangan Felda Sungai Tengi ini berkata, dia bercerai dengan bekas suami ketika anak bongsunya berusia 5 tahun yang berada di Tingkatan 4.

Katanya, diceraikan tanpa sebarang nafkah memaksanya mencari sumber pendapatan sendiri bagi menyara keperluan anak-anak walaupun sekadar menjual nasi lemak.

Menurutnya, hanya pekerjaan itu yang mampu dilakukan. Namun, dia bersyukur berkat kegigihan membesarkan anak-anak, empat daripada mereka berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

"Ketujuh-tujuh anak bersekolah, daripada tadika sampai universiti semua akak tanggung hasil jual nasi lemak. Pengalaman daftar salah seorang ke universiti dengan duit di tangan RM100 sayu kalau dikenang. Ketika itu tiada sebarang bantuan akak dapat," katanya sebak.

Katanya, setiap hari bangun seawal 3 pagi menyiapkan nasi lemak kerana jika lewat urusan persekolahan anak-anak akan terganggu.

"Semua dah biasa bagi akak, bangun awal pagi siapkan keperluan berniaga," katanya.

Katanya, sesekali dia dibantu anak menyediakan keperluan berniaga termasuk membuat kuih-muih sebagai tambahan hasil jualan.

Menurutnya, semua anak membantunya termasuk yang belajar di universiti. Apabila cuti semester mereka pulang dan membantunya berniaga.

"Cuti semester mereka balik. Ada berkerja sambilan di restoran dekat Tanjung Malim. Alhamdulillah, mereka kalau nak belajar tahu berdikari," katanya.

Saniah ahli Kelab Ibu Tunggal Muda (KITM) Gugusan Sungai Dusun ditemui pada majlis Jamuan Merdeka Raya anjuran persatuan tersebut malam kelmarin.

Ditanya pengalaman bersama KITM, Saniah berkata, nasibnya terbela sejak menyertai persatuan tiga bulan lalu.

"Ada juga ibu-ibu tunggal muda bertanyakan macam mana akak boleh jaga dan didik anak-anak seorang diri sampai berjaya.
Kuncinya kita kena sabar dan beri anak-anak ayat dan doa yang baik.

"Akak kongsi dengan anak-anak  pendapatan dan ajak mereka bincang macam mana nak atur perbelanjaan keluarga.
Alhamdulillah semua anak akak faham," katanya.

Pengesahan Adun 'tak laku'

Oleh: KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB

Tarikh: September 5, 2013

SEREMBAN - Keengganan Yayasan Negeri Sembilan menerima lima permohonan bantuan ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang mendapat pengesahan daripada Adun Pakatan Rakyat (PR), baru-baru ini amat dikesali.

Adun Temiang, Ng Chin Tsai berkata, pemohon dimaklumkan oleh pegawai bertugas kononnya permohonan mereka tidak boleh diproses berikutan tandatangan dan cop pengesahan beliau tidak sah.

"Ibu bapa terbabit juga mendakwa, mereka diminta mengemukakan permohonan baru kepada yayasan yang hanya disahkan oleh Adun atau wakil daripada BN.

"Bagi kita, perkara ini amat mengecewakan kerana pihak yayasan seolah-olah cuba menidakkan mandat yang telah diberikan rakyat kepada parti menerusi PRU13 lalu," katanya kepada pemberita pada satu sidang media di pejabatnya, dekat sini, kelmarin.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya sudah merujuk perkara berkenaan kepada Yayasan Negeri Sembilan untuk mendapatkan penjelasanmemandangkan situasi sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Kita amat berterima kasih atas kesudian yayasan mendengar dan memberikan perhatian terhadap masalah dikemukakan. Mereka turut berjanji kejadian seperti ini tidak akan berulang pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Negeri Sembilan, Jamaludin Abu Bakar ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya akan menyiasat perkara tersebut secara terperinci.

"Tuduhan kononnya kita bersikap berat sebelah adalah tidak benar. Jika dilihat sebelum ini, kita tidak pernah menolak mana-mana permohonan lengkap yang disahkan oleh wakil PR.

"Dalam hal ini, kita tidak menolak kemungkinan berlakunya kesilapan teknikal.

Barangkali petugas terbabit mendapat informasi yang kurang tepat sehingga menimbulkan masalah kepada pemohon," katanya.

82 pelajar muntah, sakit selepas makan

Oleh: NORAZURA ABDUL RAHMAN

Tarikh: September 5, 2013

KANGAR - Seramai 82 pelajar asrama Kolej Vokasional Arau (KVA) dipercayai mengalami keracunan makanan setelah makan di dewan makan asrama tengah hari atau petang kelmarin.

Mereka dipercayai mula mengadu sakit perut dan muntah pada jam 3 petang selepas makan pada jam 1 tengah hari kelmarin.

Pelajar, Mohd Mohd Shazwan Alif Mohd Yusof, 16, berkata, dia bersama rakan makan tengah hari dengan menu nasi berlauk ayam goreng rempah, kuah dalca dan kacang panjang di dewan makan tersebut.

"Semasa dalam kelas pada jam 3 petang, saya mula sakit perut dan muntah-muntah, ia berpanjangan sehingga Maghrib sebelum saya mengadu kepada warden asrama.

"Rakan turut mengalami nasib sama dan selepas itu kami dibawa cikgu ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) ini untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di hospital tersebut.

Pengarah Pelajaran Negeri, Dun Kasa turut hadir ke HTF untuk meninjau perkembangan pelajar terbabit, malam kelmarin.

Semasa malam kelmarin, seramai 52 pelajar KVA menerima rawatan pesakit luar, dipercayai mengalami keracunan makanan.

Manakala pada pagi semalam, seramai 30 lagi pelajar dibawa ke hospital tersebut setelah mengalami simptom sama dan turut dirawat sebagai pesakit luar.

Sementara Nor Amirah Che Hassan, 16, berkata, dia hanya mengalami sakit perut dan muntah selepas pukul 9 malam kelmarin, namun keadaannya bertambah teruk pagi semalam.

"Saya makan nasi pada sebelah petang sahaja di dewan makan asrama iaitu pada jam 6.30 petang dan selepas itulah saya baru rasa sakit perut dan muntah.

"Pada mulanya saya tak syak apa-apa walaupun ada kawan dah pergi ke HTF pada jam 7 malam, tapi tak sangka pula saya sendiri turut mengalami nasib sama seperti mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Dun berkata, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan telah ke KVA untuk menyiasat punca sebenar kejadian tersebut.

"Kita serahkan perkara ini kepada Jabatan Kesihatan untuk membuat siasatan lanjut dan pihak kami akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat sekiranya punca kejadian ini dikenal pasti," katanya.

Angkut anak ke pusat judi

Oleh: Mohamad Norzaharuddin Kasimon

Tarikh: September 4, 2013

SEGAMAT - Seorang pengusaha pusat perjudian berkomputer terpaksa menanggung risiko kerugian ratusan ribu ringgit buat kali kedua apabila premisnya diserbu polis, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan M Anuar Ismail berkata, premis terbabit merupakan satu daripada dua pusat perjudian di daerah Segamat yang diserbu pihaknya  hasil aduan orang ramai. "Pusat perjudian di Terminal Bas dan
Teksi Segamat diserbu kali kedua hasil maklumat orang awam dan risikan anggota saya pada jam 12.30 malam kelmarin.

"Kami menyita lapan mesin judi berkomputer dianggar bernilai RM160,000, kerana masih berdegil walau telah dikenakan tindakan sama kira-kira sebulan lalu.

"Dalam operasi sama, kami juga menyerbu sebuah lagi pusat perjudian berkomputer sekitar Taman Yayasan serta merampas tujuh mesin judi serupa dianggar bernilai RM140,000," katanya.

M Anuar berkata, seramai 32 pengunjung termasuk lapan kakitangan operator pengendali berusia antara 20 sehingga 50an ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,900 dipercayai wang pertaruhan di dua pusat perjudian itu.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut mengesan pelbagai cara dilakukan pengusaha judi berkomputer bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Antara tindakan dilakukan adalah menutup suis utama bekalan elektrik dengan alasan tidak lagi beroperasi kerana tiada bekalan elektrik serta menyembunyikan kasut dan selipar pengunjung di rak khusus.

"Pemilik premis juga mengarahkan kenderaan pengunjung diletak secara bersepah di lokasi yang agak jauh dari pusat perjudian itu bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

"Ada antara tahi judi yang telah berkeluarga membawa anak kecil mereka bersama serta meninggalkan anak itu bermain permainan video kanak-kanak sementara mereka mencuba nasib di mesin judi berkomputer terletak berhampiran lokasi," katanya.

Kesemua mereka yang ditahan diambil keterangan untuk membantu siasatan sebelum dilepaskan dan jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Ibu tunggal kesal edar dadah

Oleh: ROSALWANI CHE SOH

Tarikh: September 4, 2013

KOTA BHARU - "Saya menyesal terjebak dalam kancah dadah, kini barulah saya mengerti jalan yang singkat untuk mendapatkan wang dengan mudah, bukan penentu kebahagiaan, " kata Juliana 38.

Menceritakan pengalamannya, Juliana mula terpengaruh dengan rakan-rakanya itu untuk menjalankan kegiatan mengedar dadah, selepas bercerai dengan bekas suami beberapa tahun lalu.

Juliana yang merupakan ibu tunggal kepada tiga anak berkata, memandangkan bekalan mudah diperolehi, dia mula terjebak dalam kancah terbabit akibat desakan hidup ekoran pendapatannya tidak seberapa sebagai peniaga runcit, lagipun dia tidak
mempunyai pekerjaan yang tetap.

"Bagi menyara keluarga dan tiga anak yang berusia antara 15, 11 dan 7 tahun, saya terjebak dan terus mengedar dadah dan hasil wang yang saya perolehi dengan mudah itu saya gunakan untuk menyara keluarga.

"Namun nasib tidak menyebelahi saya, apabila kegiatan yang dijalankan itu berjaya dihidu dan akhirnya saya ditahan polis dan kini ditempatkan di penjara Pengkalan Chepa sejak 2011 atas kesalahan itu dan dijangka bebas pada 2017," katanya.

Juliana merupakan antara 21 penghuni penjara Pengkalan Chepa yang diraikan dalam majlis jalinan kasih Aidilfitri semalam. Dalam program itu, semua banduan dipilih berdasarkan kelakuan baik dan prestasi mereka semasa menjalani tahanan di tembok besi itu.

Turut hadir, Pengarah Penjara, Zawari  Abd Rashid.

Salah seorang lagi banduan yang ditemui, yang hanya mahu dikenali sebagai Lan, 25, ditahan atas kesalahan memiliki senjata tajam dan melakukan samun berkata, semenjak ditempatkan di penjara itu sejak enam bulan lalu, dia banyak mempelajari ilmu
kerohanian dan lebih dekat dengan ajaran agama Islam.

"Mungkin jika masih bebas, saya masih lagi berada di takuk lama dan terus terjebak dalam kegiatan seumpama ini. Saya amat bersyukur dan mengharapkan selepas dibebaskan pada 2022 nanti saya dapat jalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

"Inilah janji saya dan nasihat saya supaya remaja jangan mudah terpengaruh dengan rakan dan jangan tersalah pilih kerana buruk padahnya," katanya.

Segelintir pensyarah ikut fahaman Syiah

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 4, 2013

KUALA TERENGGANU – Segelintir pensyarah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Terengganu dikenal pasti mengikut fahaman Syiah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah berkata, setakat ini pihak penguat kuasa  mengenal pasti segelintir pensyarah terbabit dan menjalankan pemantauan kerana bimbang ia disebarkan kepada penuntut universiti di negeri ini.

"Individu yang kita kenal pasti ialah pensyarah tempatan. Bilangannya agak kecil dan kini kita sedang memerhatikan mereka.

"Apa yang sukar bagi pihak penguat kuasa ialah untuk mendapatkan bukti bahawa individu terbabit terlibat dalam fahaman dan ajaran Syiah ini. Jadi, ia akan mengambil sedikit masa untuk mereka lakukan siasatan," katanya pada sidang media selepas Seminar Eksekutif Talk: Ancaman Gerakan Syiah di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam.

Mazlan berkata, IPTA yang terlibat ada yang berlatarbelakangkan pengajian Islam dan ada juga yang tidak berlatarbelakangkan pengajian Islam.

"Kita kenal pasti individu terbabit sejak berleluasanya penularan gerakan ini di Malaysia, namun, bilangan sebenar yang terlibat kita masih tiada lagi.

"Gerakan fahaman Syiah secara terbuka di Terengganu sehingga kini masih tiada. Sebab itulah kita ambil langkah berjaga-jaga supaya tiada yang terjebak dengan fahaman ini kerana khuatir sekiranya mereka gagal menembusi negeri lain, mereka akan menyasarkan Terengganu," katanya.

Seminar yang berlangsung empat jam bermula jam 9 pagi hingga 1.30 tengah hari itu disertai hampir 1,000 peserta.

Mazlan berkata,  seminar itu pertama kali diadakan dan merupakan inisiatif pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu untuk mengekang fahaman Syiah.

"Gerakan dan fahaman Syiah perlu dikenali oleh masyarakat Terengganu, mereka perlu didedahkan dengan pelbagai maklumat mengenai gerakan dan fahaman ini oleh individu yang arif," katanya.

Mazlan berkata, seminar begini dijangka diteruskan dan diadakan di seluruh IPTA di negeri ini pada hujung September atau awal Oktober.

Masih enggan kebumi anak

Oleh: NOOR'AINON MOHAMED YUSOF

Tarikh: September 4, 2013

IPOH – Bapa Sherul Aizam, 27, yang mati tersepit di tingkap di Taman Saz, Silibin, di sini pada 20 Julai lalu masih enggan mengebumikan jenazah pemuda itu dan mahu menunggu proses menuntut keadilan bagi kematian anaknya itu selesai.

Mohd Damanhuri Mohd Fuat, 50, berkata, tindakan itu disifatkannya satu tanggungjawabnya sebagai bapa yang mahukan kebenaran terhadap kematian anaknya.

"Walaupun orang luar mencemuh tindakan tidak menyegerakan urusan pengebumian jenazah tetapi sebagai bapa, saya rasa bertanggungjawab terhadap kematiannya yang dipercayai ada unsur jenayah dengan kesan lebam di seluruh badan yang bagai dihempap bangunan," katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Mohd Damanhuri berkata, dia sekeluarga menerima nasihat dari Imam Besar Masjid Negeri berhubung jenazah anaknya yang disimpan lama di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Kami menerima kehadiran Imam Besar Masjid Negeri bersama tiga lelaki lain Ahad lalu. Saya telah menyerahkan gambar kecederaan anak saya dan nilaikan sendiri (kecederaan dan laporan bedan siasat sebelum ini).

"Itu sebab saya bertindak sebegini dan bukan sengaja melambat-lambatkan pengebumian. Saya berhak menuntut kebenaran dan keadilan dan apa yang saya buat adalah betul," katanya.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Adzam Abd Ghani menetapkan 11 September ini bagi mendengar jawapan afidavit balasan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amri Johari yang difailkan Mohd Damanhuri.

Proses berkenaan adalah untuk mendapatkan perintah bedah siasat kedua terhadap jenazah Sherul Aizam Mohd Damanhuri diwakili peguamnya, Mohd Fitri Asmuni.

Zainal Adzam turut menegur Mohd Damanhuri untuk hadir ke mahkamah tepat pada masa ditetapkan.
Laporan sebelum ini menyiarkan bahawa Sherul Aizam ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur ketika didakwa cuba menceroboh rumah jirannya di Taman Saz, Silibin, kira-kira jam 12.15 tengah malam.

Mangsa dipercayai masuk dengan membuka tingkap di bahagian sinki dapur kediaman teres setingkat itu.

Bedah siasat HRPB sebelum ini memutuskan anaknya meninggal dunia disebabkan postural asphyxia iaitu sesak nafas kerana tersepit.

Sehingga hari ini, sudah 46 hari jenazah Sherul Aizam tersimpan di bilik mayat hospital terbabit.

Kereta terhumban dalam tali air

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 4, 2013

KUALA KURAU - Gara-gara terlelap ketika memandu, seorang nelayan nyaris lemas apabila kereta dipandunya terhumban ke dalam tali air dalam satu kejadian di Jalan Baharu, di sini, kelmarin.

Tindakan pantas mangsa, Ong Bee Chiang, 53, memecahkan cermin tingkap bahagian pemandu menyelamatkannya daripada tenggelam bersama kereta jenis Toyota Camry miliknya.

Bee Chiang berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, dia dalam perjalanan pulang dari Tanjung Piandang ke rumahnya di Kuala Kurau.

Katanya, dia gagal mengawal kereta dipandunya ketika tiba di sebuah kawasan selekoh sebelum kenderaan itu terbabas dan terhumban ke dalam tali air.

"Selepas lima minit kejadian itu berlaku, saya berusaha untuk keluar segera dari kereta dengan memecahkan cermin tingkap bahagian pemandu menggunakan tangan.

"Mujurlah setelah beberapa kali mencuba, akhirnya cermin tingkap itu pecah dan saya segera berenang keluar untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Bee Chiang berkata, sebaik berjaya keluar dari tali air tersebut, dia segera meminjam telefon bimbit dari sseorang penduduk yang datang ke lokasi kejadian dan menelefon anak lelakinya untuk memaklumkan insiden tersebut.

"Kejadian berkenaan benar-benar memberi pengajaran kepada saya agar lebih berhati-hati ketika memandu.

"Saya bersyukur kerana nyawa saya masih dipanjangkan tuhan dan peristiwa berkenaan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila," katanya.

Insiden mati lemas pertama

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 4, 2013

KUALA KANGSAR - Kejadian dua remaja mati lemas ketika mandi di Sungai Perak, Kampung Mandah di sini, baru-baru ini, adalah kes pertama dilaporkan berlaku di kawasan terbabit.

Ketua Kampung berkenaan, Mootridy Mohd Shah berkata, kawasan terbabit sering menjadi lokasi anak kampung mandi sebelum ini, namun tiada insiden buruk berlaku sehinggalah kejadian mati lemas berkenaan.

Menurutnya, anak kampung sudah biasa dengan keadaan sungai itu dan masing-masing pandai berenang.

"Kalau ikutkan, memang ramai anak kampung mandi di kawasan berhampiran jeti itu, namun tidak pernah pula saya dengar ada kes lemas.

"Insiden lemas ini kes pertama dan mangsa yang meninggal dunia juga bukan anak tempatan," katanya.

Difahamkan, sebelum kejadian, Mootridy berpesan berkali-kali kepada bapa mangsa supaya berhati-hati ketika mereka mandi-manda di sungai berkenaan.

Menurutnya, dia bimbang kerana mereka bukan anak tempatan dan difahamkan ada antara mereka tidak pandai berenang.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan remaja terbabit dilepaskan untuk mandi di kawasan berkenaan kerana ada pengawasan daripada ibu bapa mereka.

"Sebelum mereka pergi mandi, berkali-kali juga saya ingatkan kepada bapa mangsa supaya jaga anak dan berhati-hati di sungai.

"Tapi, tidak sampai 20 minit, penduduk datang ke rumah memberitahu ada mangsa lemas di kawasan berhampiran jeti," katanya.

Mootridy berkata, dia bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan berita itu dan melihat menantunya yang turut lemas namun terselamat diangkat penduduk kampung.

"Saya bersyukur kerana anak dan menantu saya tidak menjadi korban dalam kejadian itu. Namun saya terkilan kerana ada mangsa lemas meninggal dunia.

"Lebih terkilan rasanya kerana saya sudah melarang mereka untuk mandi di sungai sebelum itu," jelasnya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan mayat Muhammad Fasi Norisham, 14, berjaya ditemui anggota penyelamat kira-kira jam 6.10 petang, kelmarin.

Manakala, mayat Muhamad Badrul Amin Muhamad Nazri, 17, dijumpai penduduk kira-kira jam 4.01 petang, Ahad lalu.

Warga emas maut nahas

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 4, 2013

SIMPANG – Seorang warga emas maut di tempat kejadian apabila motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat dekat Simpang, Taiping, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa, Mohamed Haniff Nordin, 67, dari Kampung Paduka Setia, dalam perjalanan dari Kuala Sepetang ke Taiping.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa bergesel dengan lori dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang yang menuju ke arah sama.

"Akibat pergeselan itu, penunggang motosikal terjatuh dan maut di tempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Yusuf berkata, sehingga kini siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian terbabit.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat," katanya.

Syria diancam serangan baru?

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

ISTANBUL - TURKEY. Pembangkang Syria menyuarakan kebimbangan jika rejim Presiden Bashar Al-Assad melancarkan gelombang kedua serangan kimia selepas tiga konvoi dikenal pasti membawa senjata itu.

Jurucakap Majlis Kebangsaan Syria (SNC), Khaled Saleh memaklumkan, dua daripada konvoi tersebut tiba di Ezra'a berhampiran bandar selatan Daraa dan Lapangan Terbang Tentera Dommair di pinggir Damsyik, minggu lalu.

"SNC melihat ia sebagai satu ancaman serius kerana maklumat ini diperoleh daripada sumber tentera rejim Bashar," katanya ketika sidang media di Istanbul.

Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) menuduh rejim Bashar sebagai dalang serangan gas beracun di pinggir Damsyik yang telah meragut lebih 1,400 nyawa, 21 Ogos lalu, namun kerajaan menafikan dakwaan itu.  

Selain itu, SNC juga mendakwa tentera kerajaan telah memindahkan pelancar roket dan peluru berpandu serta senjata lain ke kawasan kejiranan di beberapa bandar di seluruh negara.

Menurut Khaled, tiga penduduk di ibu negara telah mengesahkan tindakan tentera Bashar tersebut.

"Seorang lelaki mendedahkan dua anggota Pengawal Republikan memecah masuk rumah kosong miliknya dan menunjukkan dokumen rasmi yang memberi kebenaran kepada mereka untuk berbuat demikian kerana Syria kini diambang perang," jelas Khaled lagi.  

Dalam perkembangan lain, dua pemimpin Jawatankuasa Senat AS dilaporkan mencapai persetujuan berhubung draf bagi membenarkan operasi ketenteraan di Syria.

Draf resolusi itu turut menetapkan had tindakan tersebut juga hanya boleh dilakukan dalam tempoh 60 hari selain tidak membenarkan pasukan tentera melancarkan serangan darat di negara bergolak terbabit.

Difahamkan, jika ia diluluskan jawatankuasa tersebut, ia akan dikemukakan kepada Senat pada 9 September depan. - AFP

Penyokong Mursi dihukum penjara

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

KAHERAH - MESIR. Mahkamah tentera di Mesir menjatuhkan hukuman penjara kepada penyokong Presidennya, Mohamed Mursi selepas mendapati mereka bersalah menyerang tentera.

Seorang dipenjara seumur hidup, tiga yang lain dipenjara 15 tahun dan 45 lagi lima tahun penjara, kata kenyataan yang dikeluarkan tentera.

Defendan dituduh memulakan tembakan kepada tentera ketika rusuhan yang berlaku di bandar pelabuhan Suez, bulan lalu.

Sebelum ini, Mursi dikatakan bakal dibicarakan sejak penahanannya, Julai lalu.

Sehingga kini, lokasi Mursi berada tidak diketahui.

Tentera lancar serangan terbesar di Sinai

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

KAHERAH - MESIR . Tentera Mesir, semalam melancarkan serangan udara terbesar di Semenanjung Sinai yang didakwa menjadi markas kumpulan militan di negara itu iaitu sejak penggulingan bekas Presiden Mohammed Mursi, 3 Julai lalu.          

Saksi mendakwa, beberapa helikopter Apache bertindak mengebom sebahagian kampung di selatan Rafah yang terletak di sempadan Genting Gaza dan puluhan dilaporkan terkorban.

Operasi di kawasan itu dipertingkatkan selepas 25 anggota keselamatan dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas dua bas pada 19 Ogos lalu menurut sumber AFP.

Dalam perkembangan lain, sebuah badan penasihat undang-undang di Mesir menggesa kerajaan sementara untuk membubarkan Ikhwanul Muslimin dan turut mencadangkan penutupan ibu pejabat gerakan itu di Kaherah.

Minggu lalu, Perdana Menteri sementara, Hazem el-Beblawi menyatakan Ikhwanul Muslimin tidak sepatutnya diharamkan atau dikecualikan daripada proses politik.

Difahamkan, gerakan Ikhwanul Muslimin yang diasaskan pada 1928 pernah dibubarkan oleh pemerintah tentera pada 1954 dan diharamkan ketika era pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak.

Rusia kesan dua peluru berpandu

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

MOSCOW - RUSIA . Rusia, semalam mengumumkan sistem amaran awal mereka telah mengesan dua peluru berpandu balistik dilancarkan dari bahagian tengah Laut Mediterranean.

Kementerian Pertahanan memberitahu radar amaran Armavir tersebut mendapati peluru berpandu tersebut disasarkan ke bahagian timur Laut Mediterranean.

Susulan daripada insiden itu, Menteri Pertahanan Sergei Shoigu bertindak segera dengan melaporkan perkara itu kepada Presiden Vladimir Putin.

Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan berhubung perkara tersebut, menurut laporan AFP

 

Pelarian Syria cecah dua juta

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

GENEVA - SWITZERLAND . Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan angka pelarian Syria kini mencecah dua juta orang dan sebahagian daripada jumlah itu terdiri daripada kanak-kanak serta remaja berumur di bawah 17 tahun.

Ketua Pejabat UNHCR, Antonio Guterres memaklumkan secara purata kira-kira 5,000 penduduk negara bergolak itu merentasi sempadan pada setiap hari.

"Selain itu, hampir 1.8 juta terpaksa mencari perlindungan di negara jiran sejak 12 bulan lalu. Syria telah menjadi bencana kemanusiaan," katanya.

Agensi di bawah PBB itu turut mendedahkan seramai 4.25 juta penduduk Syria kehilangan tempat tinggal akibat konflik yang berlarutan sejak lebih dua tahun lalu.

Sementara itu, Pengurus Bencana Palang Merah Britain, Pete Garratt mendakwa jumlah sebenar pelarian Syria mungkin lebih tinggi kerana ramai tidak berdaftar.

"Sebagai contoh, sebanyak 70 peratus pelarian Syria di Jordan tidak tinggal di kem penempatan sementara dan perkara itu menyukarkan kaki tangan agensi bantuan untuk memberi pertolongan kepada mereka," jelasnya dipetik dari laporan CNN.

Sebelum ini, PBB mendakwa lebih 100,000 orang terkorban sejak perang saudara tercetus di Syria pada 2011. 

Penunjuk perasaan maut ditembak

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

BANGKOK - THAILAND. Seorang penunjuk perasaan maut ditembak manakala seorang lagi cedera dalam insiden serangan di wilayah Nakhon Si Thammarat, kelmarin.

Gabenor Viroj Jiravarungsan memberitahu, polis gagal memasuki lokasi kejadian kerana dihalang kira-kira 300 penunjuk perasaan yang nekad melakukan protes kerana membantah keengganan kerajaan menaikkan harga getah sejak 23 Ogos lalu.

"Insiden serangan tersebut seperti sengaja mahu meningkatkan ketegangan kerana sebelum ini, kerajaan telah memberi arahan jelas bahawa tiada tindakan kekerasan akan digunakan terhadap kumpulan terbabit.

Namun, kumpulan penunjuk perasaan itu terus berdegil," jelasnya.

Difahamkan, golongan petani tersebut menggesa tunjuk perasaan diadakan di Bangkok pada hari ini selepas kerajaan menolak tuntutan untuk menaikkan harga getah kepada 120 baht (RM12) sekilogram. - AFP

 

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment