Tuesday, February 8, 2011

RG09... INFO :PM lancar Teraju, kukuhkan agenda pembangunan bumiputera

 

Teraju pacu modal bumiputera


Najib Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Unit Peneraju Agenda Bumiputera di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 8 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan lima lagi syarikat bumiputera dijangka disenaraikan di Bursa Malaysia tahun ini dengan nilai keseluruhan modal pasaran diyakini meningkat melebihi paras RM1 bilion.

Perdana Menteri berkata, beliau berharap nilai itu dapat digandakan kepada RM2 bilion pada pertengahan tahun depan menerusi penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang dilancarkan hari ini.

Menurutnya, Teraju yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Husni Salleh akan menerajui, menyelaras serta memacu penyertaan bumiputera melalui pelbagai inisiatif baru dan sedia ada.

Kata beliau, Teraju juga akan memastikan keberhasilannya dalam jangka masa pantas meliputi tindakan efektif yang boleh meraih kejayaan.

Ini termasuk mengkaji sama ada terdapat pertindihan dengan pelbagai badan dan institusi masa kini serta melihat keberkesanan program yang sedang dilaksanakan.

"Husni yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Modal Teroka Malaysia (MAVCAP) mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pelaburan serta Modal Teroka.

"Dalam aspek ini, Teraju dikehendaki melakukan kerjasama seerat mungkin dengan stakeholder termasuk dewan perniagaan dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya program pelaksanaannya mirip Program Transformasi GLC yang diperkenalkan kerajaan (pada 2004).

"Dengan ini maka usaha-usaha kita untuk menyenaraikan lebih banyak syarikat bumiputera akan dapat diselaraskan menerusi sekretariat yang diletakkan di bawah Teraju dan Teraju akan melaporkan kepada jawatankuasa pelaksanaannya di bawah Datuk Dr. Awang Adek (Timbalan Menteri Kewangan) yang turut mempengerusikan Jawatankuasa Kerja Urusetia Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB)," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap melancarkan Teraju yang merupakan salah satu agenda Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di Bangunan Perdana Putra di sini.

Majlis turut dihadiri Awang Adek dan Husni.

SJJB adalah program yang diilhamkan pada 2007 bertujuan meningkatkan kemampuan usahawan Melayu dalam bidang ekonomi khususnya dalam pemilikan ekuiti.

Menurut Perdana Menteri, organisasi Teraju kelak akan hanya beroperasi dalam bajet yang kecil dengan pelantikan beberapa pegawai.

Ia akan memberi tumpuan kepada lima perkara iaitu keusahawanan dan penciptaan kekayaan, pembiayaan, pendidikan dan penggajian, penilaian institusi dan instrumen polisi serta pengurusan stakeholder.

Dalam pada itu, Awang Adek ketika ditemui memberitahu, setakat ini lima buah syarikat bumiputera telah disenaraikan di Bursa Malaysia dengan modal pasaran mencecah RM700 juta.

"Sasaran RM1 bilion (yang disebut Perdana Menteri) itu boleh dicapai dengan penambahan lima lagi syarikat bumiputera yang akan disenaraikan kelak.

"Antara sektor syarikat bumiputera yang terlibat ialah teknologi maklumat, bioteknologi, perkhidmatan dan perkilangan," katanya.

Husni pula memberitahu, sebuah makmal Teraju akan beroperasi akhir bulan ini dan akan mengambil masa enam minggu untuk menyediakan cadangan-cadangan tentang peluang ekonomi baru yang boleh disertai bumiputera dalam RMK-10.

"Sama ada ia akan menggunakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sedia ada ada atau kita wujudkan yang baru, ia akan dibincangkan di dalam makmal ini.

"Langkah seterusnya ialah kita akan bawa laporan Teraju ini ke MTAB sebelum sebarang pelaksanaan dibuat," kata beliau.



__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"



Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment