HANTU RAYA SAYANG PAK JEMAT
Cerpen@TH | Oleh : Miqael Arshad
Miqael Arshad mempersembahkan cerita yang agak tragis ini untuk santapan pembaca. Cerita ini adalah rekaan semata-mata, tiada kena mengena antara yang hidup atau pun yang telah meninggal dunia.
Amaran :Pembaca yang mengidap kencing manis/demam/sakit kaki/sakit mata/sakit hati dilarang membaca. Mereka yang lemah semangat adalah amat dialu-alukan
Bermula satu kisah di mana penduduk kampung tidak senang dengan kehadiran lelaki tua yang entah dari mana datangnya telah wujud di kampung mereka. Kampung yang diberi nama Pasir Secotek itu mula diburu resah.
DI warung Walid-Walid kepunyaan Deraman dikerumuni orang. Ingat ada ada mesyuarat tergempar tetapi hakikatnya ada seorang yang mengamuk tidak puas hati. Panas hatinya pada Pak Jemat yang baru berpindah ke kampung ini duduk sendiri di lereng bukit. Penghulu kampung ini murah hati bagi tanah untuk dijaga oleh Pak Jemat. Kebun pisang milik tok ketua kampung diuruskan oleh Pak Jemat. Memang Pak Jemat menjadi orang kesayangan tok ketua.
Deris memang panas hati. Semenjak Pak Jemat si tua kerepot itu masuk kampung ini, macam-macam hal berlaku. Keamanan kampung ini sudah tergugat gara-gara selalu kedengaran bunyi orang menangis dalam semak. Bunyi orang kentut berganda-ganda dalam sungai dan bermacam-macam lagi. Aneh bukan?
Kadangkala dengar orang gelak disusuli pula dengan suara orang berlari-lari tengah malam. Hinggakan budak-budak hendak pergi mengaji pun takut dan lari litang pukang macam lipas kudung terus menyorok di balik selimut. Tidak kurang hebatnya ada yang terperap bawah katil takut diganggu. Anak-anak yang soleh terus sahaja menonong masuk celah ketiak mak.
Pian dan Ropi berpandangan semasa sendiri. Lagut mendengar Deris membuat spekulasi sambil melambai-lambai bersama sebilah kapak. Kapak itu digunakan semasa memotong kayu untuk dijadikan arang. Kalau silap lambai boleh tekena kepala mereka.
mereka sibuk memperkatakan tentang kaki Pak Jemat. Orang tua itu kelihatan terhincut-hincut sahaja sejak kebelakangan ini. Pian kata, kaki Pak Jemat kena paku masa baiki rumah Pak Lebai Kumis dan Ropi pula kata Pak Jemat tersadung batu depan rumah Si Senah masa tengah syok tengok Senah bergelek sambil sidai kain di jemuran.
“Aku dah kata! toyol tu memang suka isap darah dari ibu jari kaki! kau tak nampak ibu jari kaki Pak Jemat tu? Berparut! tak perasan ke?” ujar Deris dengan bersungguh menyatakan Pak Jemat bela toyol.
“Benarkah dia bela toyol? aku rasa dia bela hantu raya..” Pian menafikannya.
Biar apa pun andai mereka, Pak Jemat memang bela semua tu. Hantu raya, toyol dan bermacam jenis hantu dia bela. Yang Musykilnya, dari mana dia dapat semua hantu itu?
“Aku kena siasat kes kehilangan barang! dan aku pun tahu macam mana rumah pak lebai yang kena ribut tu boleh diperbaiki oleh Pak Jebat dalam masa yang singkat sahaja,” Deris kekal menaruh curiga.
Lelaki yang berbaju melayu dan bersongkok ini segera bercekak pingang. Nampak gelisah sahaja. Dia memang kurang gemar kalau ada orang buat benda yang tidak elok di kampung ini. Tambah lagi Pak Jemat itu bukan penduduk asal kampung ini.
“Kalau kau nak siasat kau siasatlah, aku tak nak masuk campur,” Pian tidak mahu ikut menyiasat kerana sebelum ini dia telah diganggu kuntilanak menumpang motornya mahu balik ke kuburan.
Kebiaasaannya kalau sudah diganggu makhluk tersebut selalu sangat mahu berhenti di kubur. Tiada tempat lain hendak berhenti. Berhentilah ke Shoping complex ke atau di mana-mana tempat yang seronok.
Orang-orang Kampung Pasir Secotek mula berasa bimbang. Bimbang tatkala banyak binatang ternakan kurus kering jadinya. Seperti kejadian lepas. Lembu Kazam segar gebu malah berseri-seri lagi. Tapi dilihat pada keesokan harinya di dalam kadang, didapati semua lemak lembu habis disedut. Menatang (binatang) apalah yang meminum darah dan lemak lembu-lembunya itu.
Selain itu tanaman-tanaman Pak Murad seperti kangkung, kobis, patola dan bermacam-macam lagi lesap. Tidak lupa juga baja tahi ayam yang digunakan untuk menyuburkan tanaman turut lesap.Hairan sungguh!
“Apa yang berlaku di kampung ni memang kerja Pak Jemat tu! sah! tiada orang lain lagi!” Deris suka memaku deras apa yang muncul di benaknya.
Pian kadang-kadang jenuh dengar Deris sibuk provokasi di warung Walid-Walid ini. Dia hendak minum pun tidak senang. Sekejap lagi dia mahu balik makan tengah hari di rumah. Rindu masakan isterinya. Sungguh sedap ikan tawar dicicah dengan sambal belacan.
“Woi! kau dengar tak aku cakap dengan kau ni!” marah Deris bila tengok mulut Pian terlopong sambil meleleh air liur.
Ropi pula seperti biasa menongkat dagunya mendengar dengan penuh teliti. Bukan pada ucapan Deris tapi pada lagu yang terpasang di warung itu. Lagu Ramlah Ram katanya. Sedap sungguh dia mendengar lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu.
Masing-masing buat tidak tahu dengan ucapan Deris lagi. Bosan agaknya. Bukan mereka tidak tahu sikap Deris. Suka perbesarkan hal yang remeh. Ropi dengan semangatnya ikut-ikut nyanyi. Pakcik yang duduk sebelah Ropi pun suka lagu itu. Bergerak-gerak bibir pak cik berkopiah putih menghafal lagu itu.
Alahai kau Deris, susahnya orang hendak percayakan cakap si penipu yang pernah menipu orang. Dulu kain pelikat Pak Lebai Kumis kau curi buat pergi sembahyang Jumaat. Naif sungguh kau Deris. Tidak cukup dengan itu selepas berjanji dengan Tuhan untuk berbuat amal dengan mudah dilupakannya pula. Turun saja di kaki masjid, selipar orang lain yang dikebasnya.
************************************************
BILA hari sudah malam. Pak Jemat rasa mengantuk. Dia mahu tidur awal malam ini. Di atas tikar mengkuang dia rebahkan tubuh sambil lengan di atas dahi seperti memikirkan masa depannya. Masa depan yang entah ke mana dalam usia sudah menjangkau 70 tahun. Sungguhpun begitu nampaknya dia masih kuat dan berkudrat untuk mengangkat cangkul dan batang-batang kayu.
Bumbung zink ditatap. Terpekur dia di kala teringatkan isterinya yang ketika dulu sedang mengurut betisnya. Dia rindu pada Halimah. Halimah adalah isteri tercinta yang telah pergi meninggalkannya akbiat jatuh dalam parit tersadung kulit durian tepi jalan. Waktu itu dia sedang leka bernyanyi lagi P.Ramlee dalam filem Tiga Abdul itu. Liriknya berbunyi seperti itu,
‘Buang yang keruh ambil yang jernih baru teguh peribadi,’ lebih kurang begitulah. Dan ternyata memang keruh sungguh saat sudah terhumban ke dalam parit tersasar dari landasan jalan merah.
Halimah waktu itu baru sampai bahagian dia untuk menyanyikan lagu itu tetapi tidak sempat pula dan terpaksa menelan air parit dengan lahap sekali. Lemas begitu sahaja. Kasihan sungguh! Pak Jemat tidak terus menyelamatkan isterinya tetapi lebih sayangkan basikal tua.basikal tuanya yang cepat-cepat dibawa naik. Adoilah!
Maka Halimah pun pergi tanpa diduga. Kulit durian punya pasal Pak Jemat memaki hamun kulit durian itu. Ingatkan maki hamun kerana menyebabkan isterinya menemui ajal, tapi rupanya marah-marah sebab tiub tayar basikalnya sudah pancit. Apa punya suami!
Lamunan Pak Jemat terhenti tatkala orang suruhannya terbatuk. ‘Kena flu ya, kasihan…’ ucap Pak Jemat di dalam hati sambil memandang orang suruhannya yang letih bersandar di dinding rumah yang berlubang itu.
Mana tidak kena flu, buat kerja tengah hujan. Kasihan hantu raya Pak Jemat. Tenagannya dikerahkan begitu sahaja tanpa diberi makan minum dan pakai yang secukupnya. Dia sudah bosan berbogel. Sekali sekali mahu juga dia merasa pakai mahal-mahal sepeti Polo,
Pak Jemat malas hendak melayan karenah belaannya itu. Dibiarkan sahaja begitu. Pak Jemat tahu, esok mungkin legalah flu hantunya itu. Maklumlah di hantu raya memang pandai berlakon. Tidak demam kata demam, kenyang kata kapar. Biarlah….
Sedang Pak Jemat enak dibuai mimpi indah bermasu kasih dengan Si Senah yang selalu diintainya bermain-main di minda. Dalam mimpinya Si Senah rancak mengalun langu yang lunak merdu. Lagu yang dibawa oleh Si Senah adalah lagu Cintaku 100%. Dangdut lagi! Bangga Mas Idayu dapat protage seperti Si Senah. Bolej ajak Senah join rancangan realiti
Pak Jemat tiba-tiba tidak selesa. Dia mengiring ke kanan. Matanya dibuka perlahan-lahan.
“Bila aku tidur je kau mesti nak menyibuk! tepi! kau pergi tidur belah
Dengan hampa dan kecewanya belaan Pak Jemat mengesot badannya ke penjuru dinding membawa rajuk di hati. Kesal sungguh. Sejak dia sudah besar begini dia jarang dimanja-manja oleh Pak Jemat. Kenapakah?
‘Adakah disebabkan diriku jantan, maka dengan itu akan dituduh sukakan kaum sejenis? Oh no! aku bukan seperti itu. Aku juga mahu memiliki Si Senah itu,’ repek hantu raya.
Semakin lama semakin sendu tangis hantu raya. Sebak di dada kerana tuannya seperti sudah pinggirkan dirinya, Ini semua gara-gara Pak Jemat mula jatuh hati pada Si Senah janda anak lapan itu. Namun Senah nampak seperti anak dara.
‘Sedihnyaaaaaa,’ raungnya di hati.
************************************************
PERASAAN geram sahaja terbuku di relung hatinya. Benci! menyampah! Semua ada. Tidak cukup dengan itu dia ludah air liur ke sisi. Tidak henti-henti dia memaki hamun makhluk yang ada di depannya. Sudah pandai bergaya nampaknya. Sudahlah hanya tinggal bajunya sehelai itu sahaja untuk dipakainya esok hari pergi kenduri rumah orang kahwin. Tapi Si Jetam ni pula sudah pakai baju Melayunya. Kurang asam.
Sekiranya baju yang dipakai itu adalah untuk melepak sambil baca buku pasti Jemat tidak kisah. Yang buat Pak Jemat naik angin, baju tersebtu dipakai buat berkebun.
“Hoi Jetam!” pekik Pak Jemat.
“Opocot!” melatah pula si Jetam dan terus menoleh. Kemudian dengan selambanya menyambung kerja. Buat ‘derk’ saja.
“Kau tak habis buat perangai! apa yang kau angin sangat dengan aku ni sampai baju aku pun kau kebas?” marah Jemat sambil ekor matanya merenung tajam ke arah hantu raya belaannya yang diberi nama Jetam kerana berbulu hitam, ‘Je’ pada pangkal namanya merujuk pada dirinya sebagai pemilik yang sah pada makhluk itu.
Jetam dengan wajah tidak bersalah masih menerus aktiviti yang berfaedah itu dengan mencangkul tanah. Malas hendak melayan tuannya yang seperti mengabaikan dirinya. Apa salahnya dia pakai baju Melayu, barulah nampak kacak.
Jemat melangkah menghampiri Jetam setelah paus berkecak pinggang sambil membebel. Di tengah kebun pisang itu memerhatikan Jetam yang kononnya rajin bekerja.
Jemat berkopiah putih dan serebannya disangkut pada bahu itu lagak seperti seorang haji. Ilmu agama tidak kuat sampai sanggup bela menatang itu. Bagus sangatlah itu bela binatang yang ditegah. Tapi Jemat apa kisah asalkan kerjanya dapat dibereskan secepat mungkin.
Jetam berhempas pulas bekerja keras agar tuannya memberikannya makan secukupnya. Sudah lama dia mengidam Kentucky Frick Chicken Hot Spicy. Harap-harap dapatlah dia merasa. Selalu benar lihat iklan di Televisyen dekat warung Walid-Walid itu. Meleleh air liur dibuatnya.
Kali ini Jemat mengeluh panjang sebab melihat Jetam buat muka kasihan. Muka sponsen katanya. Namun itu tidak dapat meredakan amarahnya. Jemat mahu marah lagi. Marah sebab dia dapat tahu bahawa Jetam sudah pandai skodeng orang yang dia minat. Siapa lagi kalau bukan Si Senah janda anak lapan.
“Jetam! Kau mari sini!” panggil Jemat sambil melambai deras.
Jetam yang buat-buat sibuk terus melepaskan cangkulnya. Dengan pasrah dia melangkah.
“Apa hal kau skodeng makwe aku? Kau nampak ni?” Jemat menunjukkan buku limanya ke arah muka Jetam yang baru tiba di hadapannya.
“Salah ke?”
“Sudah tentulah salah! Dia tu bakal bini aku!” kata Jemat sambil membetulkan kain pelikatnya yang terasa sedikit terlondeh.
Hari ini dia malas buat kerja. Mahu rehat di rumah sahaja sambil kunyah kerepek pisang. Selepas itu mahu tidur puas-puas sebab malam tadi tidak lena tidurnya. Asyik mimpikan si Jetam mengorat pujaan hatinya.
Jetam tunduk-tunduk. Tidak mampu bertentang mata dengan Jemat yang sedang marah-marah. Dia tahu, kalau dia ingkar pada arahan Jemat, dirinya akan terasa terbakar sahaja. Dia tidak mahu kepanasan. Biarlah dirinya terasa dingin membeku seperti salju yang turun di Korea Selatan.
Apalah daya Jetam seekor hantu raya yang kurang diberi perhatian. Jika dulu, waktu isteri Jemat masih hidup. Dia begitu bahagia sekali. Kini Halimah sudah tidak ada. Dia mula kerinduan dan dahagakan kasih sayang.
“Apa yang kau fikirkan? Kau jangan nak buat fasal! Satu lagi aku nak ingatkan! Aku tak sukalah kau asyik menyamar jadi aku aje. Kau pun tahu aku ni tak handsome. Kau menyamarlah jadi Brad pitt ke, Aaron Aziz ke, Leonardo DeCaprio ke…
barulah ada awek syok kat kau. Kenapa muka aku jugak yang kau pilih,” gerutu Jemat hampa.
Selalu sangat Jetam menyerupai dirinya. Sudah jenuh dia nasihatkan Jetam supaya menyerupai jadi orang lain pula. Jemat pula sudah puas baca mantera meniup pada sekeping gambar Shah Rukh Khan untuk Jetam. Dia mahu Jetam tiru lagak Shah Rukh Khan sahaja. Tapi tidak menjadi.
“Bos! Aku dah tak laratlah hidup membujang. Bolehkah bos carikan aku awek? Paling tidak pun, kau tolong pinangkan aku pada Siti Nurhaliza. Aku berkenan dekat dia. Suara dia! Fulamak, menusuk kalbu,” repek Jetam.
Semakin menjadi-jadi perangai gila Jetam ini. Dulu elok sahaja. Mungkin Jemat sudah lupa, dia pernah hempap batu atas kepala Jetam suatu ketika dulu. Waktu itu Jetam masih kecil lagi tapi sudah pandai curi duit dia pergi beli nasi kerabu dan makan sendiri. Siapa tidak angin.
Pecah kepala Jetam ketika itu. Tapi mujurlah atas belas kasihan cepat-cepat Jemat rawat semula. Tidak sampai hati rasanya melihat Jetam meronta-ronta kesakitan sampai terkeluar otak. Hantu raya ada otak juga. Otak jahat.
“Kau ni memang dah gila! Mana boleh pinang dia! Dia dah hak orang lain. Kalau si debab anak Mak Leha Capik itu aku boleh pinangkan untuk kau,” ucap Jemat.
“Aku tidak mahu dia! Dia bisu! Macam mana aku hendak dengan dia menyanyi kalau sudah bisu?” Jetam jual mahal. Sudah dibagi peluang tapi ‘demand’ pula.
Jemat tiba-tiba duduk mencangkung. Tidak terlayan kerenah biol di Jetam yang semakin menjadi-jadi. Hendak hantar ke hospital bahagia si Jetam tidak layak berada di situ. Hendak hantar ke kubur dia bukan manusia. Jemat garu kepala dengan deras. Tercampak kupiahnya jatuh ke tanah.
Kemudian dia mendongak ke arah Jetam.
“Aih! Cepat benar kau tukar rupa. Tadi jadi muka aku sekarang jadi muka datuk aku pula?” soal Jemat.
“Tadi bos marah aku jadi muka bos! Biar aku jadi muka bekas majikan aku yang dulu itu. Aku bangga jadi pekerja dia sebab dia selalu beri aku minum darah. Kau ni…jangan harapkan darah,
“Macam nilah, kejap lagi aku bagi kau minum darah angsa. Tadi dapat rasakan angsa Sulaiman mampus kat tepi jalan kena langgar dengan beca. Kau tunggu kejap aku pi ambil,” Jemat memberi harapan pada Jetam.
‘Darah angsa buat apa?! Boring ar!’ rungut Jetam di hati.
Tidak berapa lama kemudian Jemat kembali membawa seokor angsa yang telah mati. Dia beri hantu raya itu minum darah dengan lahap sekalai. Kasihannya dia tengok Jetam macam tidak cukup makan. Tapi memang benar, sudah lama dan terlampau lama Jetam ikat perut. Kadang-kadang terpaksa berpuasa menahan selera.
************************************************
“HAH! Aku dah agak! Kau mesti bela benda terkutuk! Aku dengar kau cakap sorang-sorang! Wei Pak Jemat! Kau hiduplah dengan benda kau ni! untuk jadi bapak tiri aku kau jangan mimpilah! Mak aku dah tahu segala-galanya-galanya,” ucap Deris yang muncul entah dari mana.
Jemat
Jetam awal-awal lagi sudah ghaib apabila Deris muncul.
‘Kurang asam kau Jetam! Tinggalkan aku sendiri,’ keluh Jemat sendiri.
Deris terus menghunus parang yang tajam ke arah Jemat. Lelaki tua itu seakan tidak gentar dengan ugutan itu. Dia tahu Deris sudah lama membencinya. Mungkin sebab Jemat mahu mengorat ibu Deris. Itulah agenda Deris. Mahu mengusir Jemat dari kampung ini.
“Abang Deris…” tiba-tiba muncul gadis cantik di celah pohon pisang. Wajah persis aktor Bollywood, Rani Mukhreje. Cun!
Pantas Deris menoleh. Terpaut hati nampaknya. Tiba-tiba sahaja Deris tergoda. Si jejaka itu bagaikan terpukau dengan kecantikan yang luar biasa menjelang tengah hari ini.
Jemat ketawa mengekek dalam hati. Dia tahan lucu bila tengok Jetam jadi perempuan. Bahaya sungguh kali ini. Jemat fikir Jetam ada naluri keibuan kali.
Gaya Jetam berjalan persis model. Hakikatnya Jemat tengok jetam berkepala wanita tapi badan penuh bulu. Tapi sebaliknya bagi Deris. Di matanya memang seorang perempuan melirik dan mengulum senyum. Deris jadi lupa niat dia yang sebenar.
‘Ah sudah! Jetam ni gay ke? Mampuih aku kalau tidur malam-malam!’ gerutu Jemat sambil menahan lucu.
Tiba-tiba sahaja Jetam memeluk Deris. Dalam keadaan ini Jemat ketawa guling-guling sambil tepuk-tepuk tanah. Yang seronoknya Si Deris membalas pelukan itu. Jemat ketawa puas-puas tidak tertahan lagi tetapi Deris bagaikan pekak dan tidak dengar Jemat ketawa. Ekor matanya merasakan kehangatan tubuh wanita.
“Awak sungguh lawa. Kenapa saya tiba-tiba memeluk awak ya?” Deris memuji kemudian menyoal.
“Saya pun tak tahu. Mungkin saya memang lawa kot, saya pun tak sempat nak tengok cermin sama ada saya ni lawa atau pun tidak,” balas Jetam.
“Tapi memang benar. Awak lawa dan cantik. Harum pula baunya. Boleh tak awak lepaskan dakapan ini. Sesak nasaf saya ni,” pinta Deris.
Gigi taring Jetam mahu saja menggigit leher Deris tapi memikirkan Deris ini bakal anak tirinya maka dia tidak jadi berbuat demikian. Jetam masih menaruh perasaan pada ibu Si Deris ini. Teruknya. Bagaimana kalau Jemat mengamuk? Siapa mahu jawab? Jetam perlu selesaikan dengan baik-baik.
************************************************
HARI yang berlalu semakin teruk. Banyak pula ayam dan itik Hajah Siti mati diserang pengganas yang tidak bertamadun. Sungguh tragis cara ayam dan itik Hajah Siti mati. Haiwan berkenaan sensitif mudah kena serangan jantung secara mengejut kalau sudah terkejut. Ini mesti kena sergah dengan kenakalan Hantu Raya belaan Pak Jemat yang sangat comel itu.
Kebanyakan ayam dan itik itu mati tanpa kepala. Kalau doktor haiwan datang buat pemeriksaan sekalipun pasti punca kematian sebenar adalah terkena serangan jantung dan kemudian barulah dipenggal kepalanya.
Kalau dilihat dari celah reban, terdapat kesan cakaran. ‘Tak mungkin musang seganas ini,’ Hajah Siti menduga di dalam hati.
Siapa yang tidak terkejut, apabila hendak berikan makanan pada ayam dan itiknya itu, tiba-tiba sahaja tiada seekor pun bernyawa. Perkara ini benar-benar menyayat hati si isteri Pak Lebai Kumis. Hajah Siti terus merapatkan kelima-lima jari kanannya lalu dihempaskan di atas tapak tangan yang satu lagi. Mempamerkan perasaan yang sangat marah.
Kebetulan pula Si Senah melenggang membawa bakul untuk ke pasar beli ikan menapak di depan rumah Hajah Siti. Dia terlihat Hajah Siti sedang bertungkus-lumus mangkubumi jasad-jasad haiwan ternakannya bersama genangan air mata. Syahdu sungguh Hajah Siti tatkala ini.
Senah dengan lagak si dara singgah sebentar untuk bertanya khabar.
“Buat apa tu Hajah Siti oihh? Tengah masak rendang ke?” Itu dia! Mudah dan berkesan sekali pertanyaan Senah yang boleh meledakkan lava gunung berapi.
“Aku tengah gali kubur untuk kau!” balas Mak Siti geram.
Senah sudah nampak tapi masih buat tidak tahu. Si janda anak lapan ini baru sahaja mengetahui hal itu dengan mata kepalanya sendiri. Dia bertambah terkejut apabila seekor demi seekor bangkai ayam dan itik diletakkan ke dalam lubang paras lutut itu tanpa kepala dan ada pula yang terburai isi perut. Penat Mak Siti gali lubang itu sendiri. Senah tahu Mak Siti sedang hiba. Dia hendak bertanya tapi takut dimarahi pula.
“Apa yang kau tengok saja! Marilah bantu!” ucap Hajah Siti.
Mendengar sahaja Hajah Siti bersuara guruh itu. Senah mula bagi alasan yang dia sudah lambat untuk ke pasar. Cepat-cepat dia berlalu. Ngeri benar tengok keadaan haiwan ternakan yang mati itu.
************************************************
“AWAK jangan fikir yang bukan-bukan. Mungkin kerja musang kot,” duga Pak Lebai Kumis yang sungguh bersikap optimis. Tidak mudah buruk sangka biarpun bernasib
Hajah Siti mula buat muka. Agak kurang senang dengan jawapan yang diberikan oleh suaminya berkenaan hal yang berlaku pada pagi tadi. Dia sengaja membatukkan dirinya sebelum menghidangkan nasi buat santapan si suami. Tiba-tiba terdengar pula orang beri salam sambil mengetuk pintu rumahnya.
Hajah Siti baru sahaja hendak mengisi perut bersama suami tersayang yang balik dari surau. Dengan susah payah Hajah Siti bangun dari tempat duduknya terus meluru ke pintu. Pak Lebai Kumis memerhati dengan ekor matanya sambil terangkat kening.
Sebaik sahaja pintu dikuak, serta-merta Hajah Siti berjegil mata. Terkejut melihat ada seorang lagi Pak Lebai Kumis berdiri di muka pintu.
“Kau ni kenapa Siti? Terbeliak biji mata macam nampak hantu saja,” tegur Pak Lebai Kumis.
Hajah Siti kehilangan kata-kata. Nafasnya turun naik dengan tiba-tiba. Siapa pula yang duduk bersila di depannya tadi? Berani-berani sungguh hendak tumpang makan di rumah Hajah Siti. Mentang-mentang Hajah Siti masak lauk yang sedap hari ini. Masak lemak cili api.
************************************************
KELIHATAN seorang lelaki berjalan sendiri di waktu tengah malam. Wajahnya muram sekali. Mulutnya membebel sendiri. Entah apa yang mengganggu fikirannya tiada siapa yang tahu. Mungkin juga dia kesunyian agaknya.
Di atas jalan merah yang tidak berturap itu dia menapak perlahan-lahan. Dia tidak takut pada sesuatu apa pun. Sungguh beraninya dia berjalan tengah malam begini. Kabus dan asap tebal mula bertandang. Pandangan seakan terhalang. Langkahnya sampai ke kuburan. Dia berhenti sekejap melepaskan lelah setelah penat berjalan.
“Hello my friends! How are you! Long time not see,” tiba-tiba sahaja dia disapa oleh wanita cantik berbadan langsing muncul dari celah-celah batang pokok menuju ke arah lelaki yang sedang bermuram durja.
Lelaki itu duduk termangu sendiri di atas bongkah batu besar tepi kuburan lama. Kehadiran wanita cantik itu tidak diendahkan bahkan dia hanya tundukkan kepala sambil bermain dengan jari-jemarinya.
“Kau ni kenapa? Aku tegur tak jawab! Dah cukup macho sangatlah itu dengan berwajah Hrithik Roshan!” kata si wanita rupawan.
“Kau bukan tau apa-apa pun Kuna! Aku ni yang sedang bersedih! Sudahlah tak dapat makan masak lemak cili api, lepas tu pula terfikir kenapalah tuan aku seperti abaikan aku,” rungutnya.
“Cool sikit Tam! Kau bukan tak tau hidup macam kita ini. Mana boleh sedih beb. Apa kata malam ni kita berpesta… Aku dengar Kazam bela lembu yang lagi besar. Jomlah… sudah lama kau tak join aku. Aku selalu sendiri sahaja tidak berteman. Kalau kau ada best sikit.” ucap Kuntilanak atau lebih mesra dengan panggilan Kuna oleh Jetam.
Jetam menarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan-lahan. Mungkin benar ucap Kuna. Dia tidak perlu bersedih dan hanya memikirkan keseronokan sahaja. Lembu Kazam ada di kandang. Apa susah pergi melantak (makan) dagingnya.
Kuna berhajat selepas minum darah lembu dia nak cari susu kambing pula. Untuk mengekalkan kecantikan diri. Susu kambing banyak khasiatnya.
“Alamak!!
Jetam pula tidak dapat hendak ghaibkan dirinya kerana saat ini dia berasa lemah. Terpaksalah dia menyorok belakang batu nisan. Silap menyorok dia boleh dilihat di bawah sinaran bulan itu.
Kelibat seorang yang berkopiah putih dan berkain pelekat tanpa baju itu menapak di jalan merah yang tidak berturap itu. Orang itu nampak gelisah sahaja. Jetam dengar orang tua itu memanggil namanya.
“Jetam!!!” panggil Pak Jemat.
Dia risau setelah terlupa bahawa pada malam ini dia perlu bagi Jetam makan pulut kuning bersama dengan telur ayam kampung. Baru tadi sahaja dia teringat. Maka dengan itu dia mesti mencari Jetam yang sudah merajuk agaknya. Secara tidak langsung, Pak Jemat juga kelihatan lemah tidak berkuasa.
Kuna yang di atas pokok pula sibuk layan walkmen, sambil-sambil menyorot lebih baik dia dengar lagu Yuna, Dan Sebenarnya. Meletup. Sudah lama dia berhasrat untuk berduet dengan artis itu di pentas.
Tanpa disedari oleh Pak Jemat, sebuah lori angkut tanah lalu di lewat tengah malam itu. Bukan main banyak laluan, jalan ini juga pemandu lori itu pilih. Mahu cepat sampai rumah agaknya. Lori itu sungguh laju walaupun keadaan jalan berlopak-lopak. Tidak sempat tekan brek. Pak Jemat pula tidak dapat berganjak. Lori itu melanggarnya dari belakang. Jasad Pak Jemat digilis lori.
“Bos!!!” Jetam melihat keadaan itu.
Pak Jemat sudah berkecai daging. Tulangnya patah dan terputus semuanya. Bercerai nyawa dan badan. Bayangkanlah serpihan daging Pak Jemat berteraburan di situ. Cebisan-cebisan daging manusia mati digilis lori yang sungguh berat itu.
Kuna yang di atas pokok terkerdip-kerdip matanya. Ngeri dirasakan. Dia selama ini tidak pernah melihat manusia digilas lori kali ini terlihat dengan mata kepalanya. Kuna pekup mata dengan tangannya yang sudah menjelma jadi kuntilanak berambut panjang mengurai dan berkuku panjang.
Jetam yang menyorok tadi terus meluru ke arah jasad Pak Jemat yang sudah tidak seperti manusia itu. Lori yang langgar Pak Jemat terus berlalu tanpa berhenti lagi. Pemandu itu fikir benda yang dilanggarnya itu adalah hantu. Jadi dia tidak ambil peduli.
Kuna melayang turun ke bawah. Melihat Jetam meratapi pemergian Pak Jemat dalam sekelip mata itu.
“Kuna! Kau kejar lori tadi! Aku terpaksa hisap darah tuan aku demi mendapatkan kekuatan,” arah Jetam yang sudah naik marah.
Kuna bersimpati lalu dia segera terbang. Tidak sanggup melihat cebisan-cebisan itu. Dia terus terbang dan terbang mengejar lori tadi. Dia juga jadi marah kerana kawan baiknya ditimpa
Habislah pemandu lori itu. Jetam sudah mengamuk. Apakah mereka tidak tahu bahawa Jetam sayangkan Pak Jemat.
************************************************
“BETUL Pian! Aku nampak sendiri! Ayah kau mati depan
Pian terkejut besar bila dengar ayah dia mati dalam keadaan mengerikan. Dia seperti tidak percaya sahaja cakap Deris.
“Kau tipu!” balas Pian di Warung Walid-Walid.
Semasa Deris dalam perjalanan ke sini tadi. Sudah seminggu dia demam. Deman gara-gara disampuk oleh Hantu Raya Pak Jemat tempoh hari. Baru hari ini dia berasa kuat untuk melangkah ke warung Walid-Walid milik Deraman.
Kala ini sudah tepat pukul 12 malam. Warung Walid-Walid pun sudah hendak tutup tetapi ada lagi yang leka bermain dam haji, tidak pula menumpukan perhatian terhadap ucapan Deris itu tadi. Masing-masing sibuk melayan perasaan sahaja.
Deris yang tidak puas hati kerana dituduh menipu, segara dia tarik tangan si Pian sambil diperhatikan Ropi. Si Ropi hidung kemik pula beria-ia ingin tahu. Maka dia mengekori dari belakang. Cepat sungguh Deris kayuh basikal sambil dibonceng oleh Pian. Ropi tidak sempat mengejarnya.
Bagaimanalah tragisnya kematian ayah si Pian itu sampai Deris pun tidak sanggup menatapnya. Tetapi demi persahabatan dia harus memberitahu kepada Pian tentang kematian ayah si Pian itu. Walaupun Deris nampak agak berani tapi sebenarnya dia pun penakut juga.
Ropi tertinggal di belakang. Termengah-mengah dia mengayuh basikal. Maklumlah si Ropi hidung kemik ini ada asma. Silap hari bulan boleh pengsan tengah jalan.
‘Alahai korang! Tinggalkan aku kat belakang sorang-sorang,’ gerutu Ropi.
Semakin lama dia berasa kayuhannya semakin perlahan. Seperti membonceng sesuatu. Tidak lain dan tidak bukan Kuna sedang tersengih. Sudah lama Kuna tidak membonceng basikal. Seronoknya dirasakan pada malam ini di bawah terangnya sinar bulan yang mengambang penuh.
************************************************
PIAN menangis kerana meratapi pemergian ayahnya dalam keadaan yang sungguh mengerikan. Direbus dalam periuk besar bawah pokok pohon beringin tegaknya tinggi. Daunnya rendang menyapu bumi. Hidup ayahnya suka mabuk. Itulah dia si kaki botol. Hampir seperti lirik lagu dalam filem lagenda hitam putih iaitu Bawang Putih Bawang Merah pula.
Teresak-esak tangisan itu. Deris juga tidak dapat menahan sebak. Azab sungguh cara kematian itu. Siapalah punya kerja. Hingga tergamak buat ayah Pian jadi macam itu. Ropi belum lagi tiba. Ke mana pula dia pergi. Tadinya bersungguh mahu kejar. Sekarang Ropi menghilang. Bahaya sungguh!
Deris mendengar namanya diseru. Dia menoleh kiri dan kanan. Ditoleh ke atas dan ke bawah. Tercari-cari arah suara itu dari mana datangnya.
“Deris…” meleret sahaja bunyinya.
Pian tidak dengar kerana dia menumpukan sepenuh perhatian pada jasad ayahnya yang masak direbus itu. Kemungkinan ia dimasak oleh sesuatu untuk dijadikan santapan. Lori si ayahnya pula entah ke mana. Teringat fasal lori tiba lori sebuah lori muncul tanpa pemandu. Lori si ayah Pian menghala tepat ke arah pohon beringin menuju dengan deras. Lori itu mahu melanggar mereka.
“Deris!!” pekik Pian setelah matanya berbinar gara-gara pantulan lampu lori tersebut.
Belum sempat mereka dilanggar, akhirnya brek sempat ditekan. Maka keluarlah seorang pemuda kacak berhidung kemik.
“Ropi!” mereka berdua terkejut.
Ropi terjumpa lori ayah Pian tepi jalan ketika mengekori mereka berdua. Dia cuba-cuba memandu. Nampak gayanya dia tidak lepas lesen GDL. Baginya susah hendak memandu lori yang sebesar ini.
Mereka berdua bertambah terkejut lagi bila dibelakang Ropi berdirinya satu jembalang berbulu dan bermata merah seperti mahu menerkam sahabat mereka itu.
Tidak lama selepas muncul pula kuntilanak di atas kepala lori. Bertaring panjang dan rambut menggerbang dituip sang angin. Wajahnya mereka sungguh hodoh. Ropi terpinga-pinga melihat wajah Deris dan Pian berubah. Mulutnya terlompong bagaikan terkejut terlihat sesuatu.
“Kamu berdua ni kenapa? Itu siapa dalam periuk besar itu? Ayah kau ke? Kasihan! Mati rupanya. Padan muka! Siapa suruh ganggu langgar bos Jetam! Sekarang tanggung akibatnya,” tiba-tiba Ropi bersuara seperti itu.
Tersengih Ropi ketika itu. Deris dan Pian usah cakap lagi berderau darah jadinya. Tidak sangka Ropi boleh berbicara seperti itu.
“Sekarang tibalah giliran kamu berdua pula!” kata Ropi sambil menghunus sebilah parang yang diambil dari perut lori.
Deris langkah seribu melihat Ropi seperti dirasuk. Kuntilanak yang berada di atas kepala lori itu terbang mahu menyekat larian Deris. Akhirnya langkah Deris terpaku di situ. Tidak lama kemudian tetakan parang singgah di kepalanya. Maka tersembur darah. Kuntilanak itu pula mencungkil mata Deris.
Pian pula tidak lari ke mana. Dia pasrah menjadi korban. Ropi menetak tubuh Deris yang terkulai bertalu-talu. Berkecai sudah mayat Deris. Baju Ropi habis kemerahan terpercit darah.
Jetam tidak menunggu lama. Segera dia mencekik leher Pian sampai naik biru wajah lelaki muda itu. Lidahnya terjelir kerana tidak dapat bernafas. Ropi meluru ke arah Pian pula. Selepas itu disembelih lelaki itu. Darah terpacul terkena muka Jetam pula. Nampak sungguh menyelerakannya dapat menghisap darah pemudah.
Kuntilanak di atas jalan itu lahap melatah daging Deris. Hilang sudah rasa jijik kerana dirinya dipenuhi dendam. Dia gembira kerana dapat membela nasib Jetam.
Pada malam itu telah terjadinya tragedi berdarah menggemparkan penduduk Kampung Pasir Secotek. Baru sekarang mereka dengar ada kes mati ngeri begitu. Mayat Pak Jemat tidak pula kelihatan. Entah di mana kuburnya. Mayat Deris dan Pian pula sungguh menghibakan sanak saudara terdekat. Deris sudah tidak seperti manusia lagi. Dicencang lumat.
Pian yang bernasib
Penduduk Kampung Pasir Secotek masih tidak dapat memburu siapa pembunuhnya. Tok ketua pula sudah mati kutu. Masing-masing marah dengan kejadian itu. Tetapi orang yang diburu belum ditemui dan tidak akan ditemui lagi. Biarkan mereka berlalu pergi.
Di akhir kisah ini, Jetam sudah bertuan baru, Ropi namanya. Namun sayangnya Jetam pada Pak Jemat tidak berbelah bahagi. Ketulan-ketulan tulang Pak Jemat disimpan satu tempat. Hari demi hari dia menangis mengenangkan
Ropi semenjak terkena sampukan Kuntilanak dia kini seperti orang bodoh sahaja. Namun bila dia marah, Jemat akan mengotakan amarahnya dan melaksanakan dendam Ropi pada sesiapa sahaja. Kuntilanak itu pula setia berteman dengan Hantu Raya berkenaan hingga kini walau ke mana sahaja pergi. Mereka meninggalkan Kampung Pasir Secotek dan tinggal di dalam hutan.
Jetam mengerling sahaja melihat Kuna menggosok perut. Dia kehairanan melihat Kuna senyum meleret. Mesti ada sebab membuatkan Kuna nampak bahagia sahaja. Jetam
“Kau hamil ke?” soal Jetam.
“Ya, aku hamil,”
“Anak siapa?”
“Anak Ropi!” balas Kuna.
“Chait!”
Sekian sahaja -TAMAT-
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment