Monday, November 28, 2011

RG2011... Anggota panel: Interlok ‘wajah baru tapi belum cukup murni’

 


KUALA LUMPUR, 29 Nov — Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, yang berhadapan dengan polemik sebagai novel sastera tingkatan lima masih belum 'murni' meskipun telah disunting dan dibetulkan ekoran bantahan banyak pihak awal tahun ini, kata Presiden Kavyan Uthaya Sankar SB hari ini.

"Berdasarkan penelitian terperinci ke atas Interlok kulit biru (edisi 2011) dan membandingkannya dengan Interlok kulit merah (edisi 2010) dan senarai 106 saranan pindaan yang diperakukan pada Mac 2011, Kavyan memutuskan bahawa kerja-kerja pemurnian yang dipersetujui oleh Menteri Pelajaran pada 23 Mac 2011 dan diumumkan oleh beliau di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011 belum dilaksanakan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Uthaya Sankar SB yang turut dilantik menganggotai panel bebas mengkaji novel itu berkata pihaknya tidak pernah memperakukan atau bersetuju membenarkan novel Interlok kulit biru dicetak dalam bentuk yang ada sekarang, di mana masih ada banyak "pemurnian (pindaan) belum dilakukan."

Katanya, Kavyan memutuskan bahawa Interlok kulit biru adalah edisi yang lebih baik daripada Interlok kulit merah tetapi bukan edisi yang dijanjikan oleh Menteri Pelajaran pada Mac lalu.

Panel khas itu mengemukakan sebanyak 106 saranan pindaan yang dipersetujui.

"Pada dasarnya, Kavyan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Kementerian Pelajaran kerana memandang serius bantahan yang dikemukakan masyarakat India terhadap beberapa perkara dalam novel Interlok kulit merah yang menyentuh sensitiviti kaum serta mengandungi kesalahan fakta yang juga membawa kepada aspek sensitiviti kaum," katanya lagi.

Ia sebahagian daripada hampir 20 perkara yang ditimbulkan oleh badan penulis itu hari ini.

Uthaya Sankar berkata Kavyan berasa bangga kerana berjaya memperjuangkan maruah dan hak Abdullah apabila nama beliau dicetak pada kulit hadapan Interlok edisi baru berbanding edisi sebelum ini yang dipertahankan pihak tertentu tidak mencatatkan nama pengarang pada kulit hadapan.

"Adalah menjadi suatu bonus apabila gelaran Sasterawan Negara turut dicetak pada bahagian tulang novel Interlok kulit biru berbanding hanya nama pengarang pada Interlok kulit merah.

"Perlu dinyatakan bahawa perkara pertama yang dituntut dan diperjuangkan tanpa henti oleh Kavyan sejak Januari 2011 adalah supaya nama Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dicetak pada kulit depan novel," kata Uthaya Sankar.

Pun begitu kata Uthaya Sankar, Kavyan merakamkan bantahan dan kenyataan tidak bersetuju dengan apa yang dicetak di halaman hak cipta pada novel Interlok kulit biru.

"Frasa 'Cetakan Pertama 2010' sahaja tidak memadai. Sebaliknya perlu ditambah dengan frasa yang menunjukkan dengan jelas bahawa Interlok kulit biru dicetak pada tahun 2011," kata beliau lagi.

Katanya, Kavyan turut membantah sekeras-kerasnya dan merakamkan kenyataan tidak bersetuju dengan tindakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak mengembalikan Hak Cipta karya kepada Abdullah.

"Tidak ada sebarang alasan untuk DBP 'merampas' hak cipta yang dipegang oleh pengarang sejak 1971. Malah, Interlok Edisi Pelajar (2005) yang menjadi asas bagi Interlok kulit merah (2010) masih mengiktiraf Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain sebagai pemegang hak cipta karya," katanya lagi.

Kata Uthaya Sankar, adalah amat menghairankan apabila DBP dan Kementerian Pelajaran yang sepatutnya mempertahankan dan memperjuangkan maruah dan hak Abdullah, secara terang-terangan menafikan dan memperlekeh soal hak cipta pengarang.

Interlok memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Mengarang Novel Sempena 10 Tahun Merdeka pada tahun 1967 dan dijadikan sebagai teks sukatan sastera tingkatan lima.

Uthaya Sankar menambah, ayat "varuntinal varataku illai' pada halaman 209 Interlok kulit biru yang kononnya adalah pepatah Tamil masih menimbulkan bantahan kerana ayat itu tidak membawa makna yang wajar.

"Perkara ini sudah dinyatakan dengan jelas dalam senarai 106 saranan pindaan yang diperakukan panel bebas tetapi tidak dibetulkan dalam Interlok kulit biru.

"Hal ini boleh dilihat sebagai sikap tidak prihatin pihak berkenaan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan," tegas beliau.

Kavyan bagaimanapun gembira kerana beberapa cadangan pemurnian yang diluluskan secara konsensus oleh panel bebas dan diperakukan Menteri Pelajaran sudah dilaksanakan dalam Interlok kulit biru.

"Bagaimanapun, penari Kathakali masih digambarkan 'memakai topeng' biarpun diterangkan pada glosari Interlok kulit biru bahawa 'penarinya memakai solekan menyerupai topeng'.

"Editor di DBP telah melakukan kerja yang baik dalam menyunting bahagian-bahagian tertentu pada manuskrip semasa menerbitkan Interlok Edisi Pelajar (2005) dan Interlok kulit merah (2010). Misalnya, banyak perkara yang menyentuh sensitiviti agama Islam dan kaum Melayu sudah dimurnikan," katanya.

Bagaimanapun, kata Uthaya Sankar, walaupun sudah disarankan dalam panel bebas serta diperakukan secara konsensus pada 4 Mac lalu dan dipersetujui Menteri Pelajaran pada 23 Mac ada beberapa fakta dan perkara berkaitan budaya India yang tidak pula dimurnikan dalam Interlok kulit biru.

"Misalnya, kenyataan bahawa 'orang dari Kerala hampir sama banyak dengan orang India dari daerah lain' merupakan kesalahan fakta yang sudah diterangkan dan dibuktikan. Sepatutnya kerja-kerja pemurnian seperti yang disarankan dilakukan dengan teliti sebelum novel edisi murid dicetak semula.

"Begitu juga gambaran minum tuak yang sudah disarankan kepada Panel Bebas dan dipersetujui secara konsensus supaya dimurnikan agar sesuai dengan pembaca sasaran (pelajar)," katanya lagi.

Malah kata Uthaya Sankar, Kavyan juga kecewa kerana dialog 'saya mahu mati' dikekalkan walaupun sudah dihujahkan bahawa dialog itu memaparkan unsur negatif yang tidak sesuai bagi pelajar, serta tidak patuh pada syarat pemilihan buku teks seperti ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Katanya, saranan pemurnian yang dikemukakan dan diperakukan termasuk juga aspek bahasa dan ia amat wajar kerana Interlok Edisi Murid digunakan sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia, bukannya teks mata pelajaran Sastera Melayu.

"Kavyan merakamkan terima kasih atas kesediaan DBP menerima teguran dan seterusnya membetulkan beberapa kesalahan bahasa yang ketara; termasuk tanda baca. Antaranya adalah 'Entah bagaimana Maniam jadi marah betul?' dibetulkan dengan membuang tanda soal.

"Dialog 'Jaga kebun, orang Sikh' turut dibetulkan dengan memasukkan tanda koma yang sangat penting dalam menentukan maksud ayat," kata beliau sambil menambah, Kavyan kecewa kerana beberapa lagi saranan pembetulan melibatkan aspek bahasa, tanda baca dan pemerengganan berdasarkan Tatabahasa Dewan tidak dilaksanakan sebelum mencetak buku baru.

"Misalnya, kesalahan pada halaman 221, 222, 226, 229, 237, 239, 240 dan 280 masih ada dalam Interlok kulit biru," katanya.

Kata beliau, Kavyan juga amat kecewa dengan sikap pihak terbabit yang tidak melaksanakan kerja-kerja pemurnian melibatkan budaya kaum India; walaupun sudah dijanjikan oleh Menteri Pelajaran di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011.

"Misalnya, konsep 'meminang' di mana dalam budaya India, tidak ada amalan meminang lelaki. Saranan pindaan sudah dikemukakan.

"Begitu juga, upacara perkahwinan dalam agama Hindu digambarkan sebagai 'upacara yang meletihkan'. Saranan pindaan sudah diberikan dan diperakukan, tetapi tidak pula dilaksanakan.

"Watak Malini dalam Interlok Kulit Biru masih memanggil suaminya 'Maniam' sedangkan perkara ini sudah dibahas dan diputuskan untuk digantikan dengan 'attan'," katanya lagi.

Tambah Uthaya Sankar, perkara sama berlaku apabila Malini memanggil bapanya sebagai "papa" sedangkan sudah dijelaskan bahawa gelaran "papa" mustahil digunakan oleh kaum India pada sekitar tahun 1910-an.

"Saranan gantian 'appa' juga sudah dikemukakan dan dipersetujui pada Mac 2011.

"Kavyan turut kecewa dengan sikap tidak perhatin terhadap aspek budaya kaum India kerana pindaan yang disarankan di halaman 234 langsung tidak dilakukan pada Interlok kulit biru," katanya lagi.


Interlok baru lebih baik, tapi...
Uthaya Sankar SB
1:00PM Nov 29, 2011
Sila maklum bahawa kenyataan ini dibuat berpandukan senarai 106 saranan pindaan yang sudah diluluskan dan tidak melibatkan sebarang "permintaan" atau "tuntutan" tambahan.

Pada dasarnya, Kavyan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia kerana memandang serius bantahan yang dikemukakan masyarakat India terhadap beberapa perkara dalam novel Interlok kulit merah yang menyentuh sensitiviti kaum serta mengandungi kesalahan fakta yang juga membawa kepada aspek sensitiviti kaum.

Kavyan berasa bangga kerana berjaya memperjuangkan maruah dan hak Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain apabila nama beliau dicetak pada kulit hadapan Interlok kulit biru; sementara Interlok kulit merah yang dipertahankan pihak tertentu tidak mencatatkan nama pengarang pada kulit hadapan.

Adalah menjadi suatu bonus apabila gelaran "Sasterawan Negara" turut dicetak pada bahagian tulang (spine) novel Interlok kulit biru berbanding hanya nama pengarang pada Interlok kulit merah.

Perlu dinyatakan bahawa perkara pertama yang dituntut dan diperjuangkan tanpa henti oleh Kavyan sejak Januari 2011 adalah supaya nama Abdullah dicetak pada kulit depan novel.

Bagaimanapun, Kavyan merakamkan bantahan dan kenyataan tidak bersetuju dengan apa yang dicetak di halaman hak cipta pada novel Interlok kulit biru.

Frasa "Cetakan Pertama 2010" sahaja tidak memadai. Sebaliknya perlu ditambah dengan frasa yang menunjukkan dengan jelas bahawa Interlok kulit biru dicetak pada tahun 2011.

Novel Interlok kulit merah dicetak pada 2010 oleh Percetakan Warni Sdn Bhd yang beralamat di Batu Caves, Selangor manakala Interlok kulit biru dicetak pada 2011 oleh Percetakan Info Meditasi Sdn Bhd yang beralamat di Balakong, Selangor.

Kavyan turut membantah sekeras-kerasnya dan merakamkan kenyataan tidak bersetuju dengan tindakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak mengembalikan hak cipta karya kepada Abdullah.

Tidak ada sebarang alasan untuk DBP "merampas" hak cipta yang dipegang oleh pengarang sejak 1971. Malah, Interlok edisi pelajar (2005) yang menjadi asas bagi Interlok kulit merah (2010) masih mengiktiraf Abdullah sebagai pemegang hak cipta karya.

Adalah amat menghairankan apabila DBP dan Kementerian Pelajaran Malaysia yang sepatutnya mempertahankan dan memperjuangkan maruah dan hak Abdullah, secara terang-terangan menafikan dan memperlekeh soal hak cipta pengarang.

Kavyan bagaimanapun gembira dan puas hati kerana maklumat "novel ini telah memenangi hadiah sagu hati dalam peraduan mengarang novel sempena 10 tahun merdeka pada tahun 1967 dan telah dipermudahkan daripada edisi pelajar untuk dijadikan edisi Murid" dicetak pada kulit belakang (blurb).

Tuntutan perkara itu juga telah dibuat oleh Kavyan sebagai usaha memperakukan bahawa novel ini bukan karya yang baru ditulis; sebaliknya novel lama yang disunting untuk dijadikan teks di sekolah.

Ayat "Varuntinal varataku illai" pada halaman 209 Interlok Kulit Biru yang kononnya adalah pepatah Tamil masih menimbulkan bantahan kerana ayat itu tidak membawa makna yang wajar.

Perkara ini sudah dinyatakan dengan jelas dalam senarai 106 saranan pindaan yang diperakukan panel bebas tetapi tidak dibetulkan dalam Interlok kulit biru. Hal ini boleh dilihat sebagai sikap tidak prihatin pihak berkenaan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Kavyan bagaimanapun gembira kerana beberapa cadangan pemurnian yang diluluskan secara konsensus oleh panel bebas dan diperakukan menteri pelajaran sudah dilaksanakan dalam Interlok kulit biru.

Antaranya adalah ejaan "Negapatam" (210), ejaan "Kathakali" (211), membuang frasa perbandingan "seperti kambing" (211), membuang frasa perbandingan "seperti lembu atau kambing memamah biak" (224) serta membuang frasa "yang ada hubungannya dengan kaman, dewa cinta" (227).

Kavyan juga amat berpuas hati dengan aspek pemurnian melibatkan pembuangan frasa "untuk dewa Palikai" (227), pembuangan bahagian "diikuti dengan upacara nalanku ... perkataan nalam itu sendiri" (228) serta pembuangan ayat "Menurut kepercayaan, tiap-tiap langkah ... dan kesetiaan" (228).

Kavyan yang amat prihatin terhadap aspek bahasa, sastera, seni dan budaya juga merakamkan rasa gembira kerana perkataan "tali" dalam Interlok kulit merah dibetulkan kepada "taali" (228) dalam Interlok kulit biru. Perkara ini penting kerana terdapat perbezaan amat besar antara "tali" (string) dan "taali" (mangala sutra) dalam budaya India/Hindu.

Walau bagaimanapun, penari Kathakali masih digambarkan "memakai topeng" (211) biarpun diterangkan pada glosari Interlok kulit biru bahawa "penarinya memakai solekan menyerupai topeng" (420).

Editor di DBP telah melakukan kerja yang baik dalam menyunting bahagian-bahagian tertentu pada manuskrip semasa menerbitkan Interlok edisi pelajar (2005) dan Interlok kulit merah (2010). Misalnya, banyak perkara yang menyentuh sensitiviti agama Islam dan kaum Melayu sudah dimurnikan.

Bagaimanapun, walaupun sudah disarankan dalam panel bebas serta diperakukan secara konsensus pada 4 Mac lalu dan dipersetujui Menteri Pelajaran pada 23 Mac lalu, ada beberapa fakta dan perkara berkaitan budaya India yang tidak pula dimurnikan dalam Interlok kulit biru.

Misalnya, kenyataan bahawa "orang dari Kerala hampir sama banyak dengan orang India dari daerah lain" (216) merupakan kesalahan fakta yang sudah diterangkan dan dibuktikan. Sepatutnya kerja-kerja pemurnian seperti yang disarankan dilakukan dengan teliti sebelum novel edisi murid dicetak semula.

Begitu juga gambaran minum tuak (218) yang sudah disarankan kepada panel bebas dan dipersetujui secara konsensus supaya dimurnikan agar sesuai dengan pembaca sasaran (pelajar).

Kavyan juga kecewa kerana dialog "Saya mahu mati" (248) dikekalkan walaupun sudah dihujahkan bahawa dialog itu memaparkan unsur negatif yang tidak sesuai bagi pembaca sasaran (pelajar), serta tidak patuh pada syarat pemilihan buku teks seperti ditetapkan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Saranan pemurnian yang dikemukakan dan diperakukan termasuk juga aspek bahasa. Hal ini amat wajar kerana Interlok Edisi Murid digunakan sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia; bukannya teks mata pelajaran Sastera Melayu.

Kavyan merakamkan terima kasih atas kesediaan DBP menerima teguran dan seterusnya membetulkan beberapa kesalahan bahasa yang ketara; termasuk tanda baca.

Antaranya adalah "Entah bagaimana Maniam jadi marah betul?" (255) dibetulkan dengan membuang tanda soal.

Dialog "Jaga kebun, orang Sikh" turut dibetulkan dengan memasukkan tanda koma yang sangat penting dalam menentukan maksud ayat.

Bagaimanapun, Kavyan kecewa kerana beberapa lagi saranan pembetulan melibatkan aspek bahasa, tanda baca dan pemerengganan berdasarkan tatabahasa Dewan tidak dilaksanakan sebelum mencetak buku baru.

Misalnya, kesalahan pada halaman 221, 222, 226, 229, 237, 239, 240 dan 280 masih ada dalam Interlok kulit biru.

Kavyan juga amat kecewa dengan sikap pihak terbabit yang tidak melaksanakan kerja-kerja pemurnian melibatkan budaya kaum India; walaupun sudah dijanjikan oleh menteri pelajaran di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011.

Misalnya, konsep "meminang" (226) di mana dalam budaya India, tidak ada amalan meminang lelaki. Saranan pindaan sudah dikemukakan.

Begitu juga, upacara perkahwinan dalam agama Hindu digambarkan sebagai "upacara yang meletihkan" (228). Saranan pindaan sudah diberikan dan diperakukan, tetapi tidak pula dilaksanakan.

Watak Malini dalam Interlok Kulit Biru masih memanggil suaminya "Maniam" (232, 235) sedangkan perkara ini sudah dibahas dan diputuskan untuk digantikan dengan "attan".

Perkara sama berlaku apabila Malini memanggil bapanya sebagai "papa" (236, 248, 260, 261, 280, 283) sedangkan sudah dijelaskan bahawa gelaran "papa" mustahil digunakan oleh kaum India pada sekitar tahun 1910-an. Saranan gantian ("appa") juga sudah dikemukakan dan dipersetujui pada Mac 2011.

Kavyan turut kecewa dengan sikap tidak perhatin terhadap aspek budaya kaum India kerana pindaan yang disarankan di halaman 234 langsung tidak dilakukan pada Interlok Kulit Biru.

Sudah dijelaskan kesalahan cara makan yang digambarkan serta diberikan juga saranan pindaan berhubung "saambar", "rasam" dan "papadam" (234). Malangnya, tugas pemurnian yang diamanahkan gagal dilaksanakan pihak terbabit.

Begitu juga apabila watak Mariama yang kematian suami digambarkan sebagai "membujang" (236) dan "janda" (257) sedangkan istilah yang tepat adalah "balu".

Dialog "Kami mahu mereka tetap jadi orang India dan satu hari nanti mereka pulang ke India" (278) memberi gambaran tidak tepat mengenai tujuan pembinaan sekolah Tamil; serta tidak membantu menanam semangat patriotik dalam kalangan pembaca sasaran.

Kavyan merakamkan rasa gembira kerana kulit belakang novel Interlok kulit biru menepati kriteria "blurb yang bermaruah dan bukan secara terang-terangan menjadi agen propaganda politik" seperti ditegaskan dalam 106 saranan pindaan.

Daripada sebahagian contoh di atas, amat jelas bahawa kerja-kerja pemurnian (penyuntingan, pembetulan, pengguguran) seperti yang diperakukan secara konsensus oleh panel bebas dan dijanjikan oleh Menteri Pelajaran pada Mac 2011 tidak dilakukan sepenuhnya pada Interlok kulit biru.

Uthaya Sankar SB yang turut dilantik menganggotai panel bebas tidak pernah memperakukan atau bersetuju membenarkan novel Interlok kulit biru dicetak dalam bentuk yang ada sekarang, di mana masih ada banyak pemurnian (pindaan) belum dilakukan.

Berdasarkan penelitian terperinci ke atas Interlok kulit biru (2011) serta membandingkannya dengan Interlok kulit merah (2010) dan senarai 106 saranan pindaan yang diperakukan pada Mac 2011, Kavyan memutuskan bahawa kerja-kerja pemurnian yang dipersetujui oleh menteri pelajaran di menara parlimen pada 23 Mac lalu serta diumumkan oleh beliau di Dewan Rakyat pada 24 Mac lalu belum dilaksanakan sepenuhnya.

Kavyan memutuskan bahawa Interlok kulit biru (2011) adalah edisi yang lebih baik daripada Interlok kulit merah (2010) tetapi bukan edisi yang dijanjikan oleh menteri pelajaran pada Mac 2011.


Penulis merupakan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan dan anggota penal bebas mengkaji pindaan Interlok. Tulisan ini merupakan pandangan Kavyan dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

MARKETPLACE

Stay on top of your group activity without leaving the page you're on - Get the Yahoo! Toolbar now.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment