Wednesday, September 26, 2012

RG2011... Pesan Saya Padanya..

 

Petang itu hujan agak lebat ketika dalam perjalanan pulang dari kuliah. Saya memberhentikan kereta, singgah disebuah kedai buku. Melihat keadaan hujan yang semakin lebat menjadikan saya begitu leka membaca. Tertarik pada tajuk sebuah artikel dalam majalah yang sedang saya belek.

"Berilah maaf...".

*****

Teringat saya pada seorang sahabat. Dia meluahkan rasa hatinya, yang begitu berat untuk memaafkan. Seperti biasa, saya tersenyum memandang wajahnya. Namun, wajahnya sedikit mencuka. Mungkin merasa tidak selesa dengan senyuman yang diberikan padanya.

Dia menjeling sinis.

"Orang cakap betul-betul, dia senyum." Itu yang terlahir dari bibirnya.

Saya masih juga senyum.

"Marah?" Hanya sepotong pertanyaan yang saya ungkapkan padanya.

Fikirannya yang serabut kini terpamer pada wajah. Saya merenung wajah sahabat ini. Memang benar, wajahnya sarat menahan diri untuk tidak memberi maaf.

"Bahagia dengan apa yang awak rasa sekarang?" Saya cuba menjeratnya dengan apa yang cuba dipertahankan.

Termanggu dia memandang saya. Seperti ada kekeliruan menjelma. Atau mungkin juga mula mencari dimana punca pada rasa serabut yang ada.

"Kenapa saya selalu lihat awak bahagia?" Itu yang terpacul dari mulutnya.

"Mungkin kerana saat saya duka awak tidak bersama..." Spontan saya berbahasa bersama sisa senyum yang masih ada.

Kali ini, dia merenung saya dalam-dalam. Bersama dua tangan yang erat digenggam. Pandangan kami saling menyapa, menjadikan hati sedikit hiba. Dikelopak matanya ada genangan yang hampir gugur.

Mungkin saat ini, apa yang dipertahankan tidak lagi akur. Dengan nada kasih sayang yang lahir dari hati saya, saya berpesan padanya...

"Inilah sebenarnya bahagia. Saat kita memberi maaf pada si pendosa. Tidak ke mana keegoan yang kita pertahankan. Semuanya hanya mengundang kebencian, malah ianya mengundang kemurkaan Tuhan."

 

Perlahan-lahan saya cuba menyapu titis jernih yang mengalir dipipinya. Untuk seketika saya biarkan dia menangis. Menangislah untuk belajar bahagia.

Menangislah bersama tangisan seorang hamba. Sesungguhnya kita juga selalu berdosa, berdosa pada Sang Pencipta.

Sedang Dia sentiasa memberi ampun pada hamba-hambaNya, mengapa kita tidak mahu memberi maaf pada yang lainnya?

Astaghfirullah... mata saya juga turut berkaca.

"Berilah maaf..." mengiringi perjalanan pulang saya pada petang itu.

Moga dia kini bahagia. Bahagia bersama pesan saya padanya. Bahagia yang diizinkan Pencipta buat hamba-hambaNya yang selalu berdosa.

Astaghfirullah.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment