Merenung ke luar jendela sambil melihat kebesaran ciptaan Allah. Titisan hujan masih lagi turun membasahi bumi. Kopi 'o' panas di dalam cawan aku teguk perlahan. Akhbar di atas meja aku capai. Mula mencari berita yang boleh memberi ilham untuk aku berkarya. Mata aku tertancap pada satu berita. Berita yang sudah banyak kali terpapar di dada akhbar, television, radio, majalah dan entah apa media lagi.
Sekali lagi aku meneguk kopi 'o' yang mula sejuk. Aku pandang lagi keluar jendela. Hujan renyai masih menyimbah bumi. Kemudian, mata aku beralih lagi kepada berita tadi.
'140 bayi luar nikah berjaya diselamatkan' Aku baca lagi.
Astaghfirullah.., angka bayi luar nikah dari tahun ke tahun semakin bertambah. Itu yang berjaya diselamatkan. Bayi yang dibuang entah berapa puluh lagi di luar sana. Hati aku semakin sakit. Dari statistik, kaum Melayu yang paling ramai membuat kerja berdosa ini. Aku raup muka sejenak. Tanpa sedar, mata ku mula bergenang. Seketika, titisan jernih mula turun ke pipi. Aku mula menyeka titisan hangat itu.
Bertaubatlah wahai perempuan!
Aku sudah berjanji pada diri. Tiada lagi air mata yang perlu tumpah. Namun jiwa dan perasaan aku tidak semudah itu untuk mengatakan tidak. Setiap kali aku menatap wajah bayi yang tidak berdosa, hati aku sebak sedangkan air mata tidak mampu ku tahan. Ku biarkan ia bercucuran. Semakin sebak menyiat perasaanku, semakin juga laju aliran air mata. Oh Tuhan..
Semudah itu air mata itu tumpah dan semudah itu juga perempuan-perempuan itu menadah tubuh untuk lelaki yang bukan halal baginya. Dan semudah itu juga hasil hubungan itu dibuang, dicampak, dibunuh sesuka hati. Asal orang tidak tahu. Tapi apakah kamu sedar wahai perempuan bahawa Allah Maha Tahu?
Teringat pada satu firman Allah Ta'ala yang bermaksud;
"Dan janganlah kamu membunuh diri seorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau-lampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan."
(Surah al-Israk ayat 33)
(Surah al-Israk ayat 33)
Bertaubatlah wahai perempuan!
Kadang-kadang terfikir, begitu senang perempuan-perempuan itu mengandung dan melahirkan tanpa bantuan sesiapa. Keluar sahaja bayi, perempuan-perempuan ini sudah mula berjalan dan bekerja seperti biasa. Malah sanggup 'mengembara' demi untuk membuang bayi yang dilahirkan sejauh mungkin. Biar tidak dapat dikesan. Mudah sangatkan?
Sabda Rasulullah s.a.w
"Hindarilah zina sebab ia menimbulkan enam kesan buruk, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Yang di dunia, zina akan menghilangkan kegembiraan, menyebabkan fakir dan mengurangi umur sedangkan keburukan di akhirat nanti, zina menyebabkan pelakunya diazab, dihisab secara ketat dan kekal di neraka."
(Hadis riwayat Baihaqi)
(Hadis riwayat Baihaqi)
Sedangkan wanita yang bergelar isteri begitu payah bertarung nyawa demi melahirkan zuriat untuk suami. Sakit berjam-jam semata-mata untuk memberi laluan bayi menjenguk dunia. Itu belum lihat pada pasangan sah yang tidak dikurniakan zuriat. Berapa ramai di luar sana yang begitu berusaha dan berubat semata-mata untuk mendapatkan zuriat sendiri. Berhabis wang, tenaga dan masa untuk memiliki anak dari darah daging sendiri. Tidak pernah putus asa selagi hayat masih ada. Selagi disahkan sihat untuk memiliki zuriat sendiri.
Bertaubatlah wahai perempuan!
Aku teguk lagi kopi 'o' yang telah sejuk. Suasana dingin di luar jendela telah menyusup masuk ke bilik. Udara dari kipas turut menyejukkan lagi bilik kecil itu. Pipi ku mula kering dari air mata yang menitis tadi. Memang patut pun ia kering kerana air mata itu sudah lama aku tumpahkan suatu ketika dulu. Bertahun-tahun. Namun siapalah aku yang tidak punya hati yang tabah bila berdepan dengan berita begini.
Setiap kali bersua saudara mara, setiap kali itulah hati aku sebak. Setiap kali Syawal menjelma, setiap kali itulah aku lihat bertambahnya umat Rasulullah SAW. Aku hanya mampu tersenyum. Sering juga soalan-soalan yang menerjah telinga ku,
"Tidak berubat ke? "
"Tidak mahu anak ke?"
"Merancang ke?"
"Tidak mahu ambil anak angkat ke?"
Aku senyum lagi. Tiada lagi kata-kata yang mampu diluahkan. Dulu rajin juga mulut ini menjawab
"Belum ada rezeki lagi"
Tapi sampai bila aku harus berkata begitu sedangkan umur semakin meningkat. Sindiran demi sindiran aku terima tapi aku tidak pernah ambil hati dan aku tidak perlu menitiskan air mata lagi.
Bagiku jika aku ditakdirkan untuk tidak memiliki zuriat sendiri, aku redha. Aku bangga mempunyai encik suami yang memahami. Encik suamilah yang memujuk dan memberi semangat untuk aku tabah menghadapi semua itu. Syukur pada MU ya Allah.
Pernah juga ku usulkan agar encik suami bernikah lagi agar dia mendapat zuriat keturunan sendiri. Aku semakin sebak bila dia mula berbicara.
"Abang sayangkan awak. Jika ditakdirkan kita hanya hidup berdua, abang redha. Hanya awak isteri abang dunia akhirat"
Air mata ku tumpah tatkala mendengar bicara lembut encik suami. Namun aku tidak putus berdoa di setiap solat semoga kehidupan aku dan encik suami dikurniakan zuriat. Perkataan putus asa tidak pernah padam dalam kamus hidup ku. Aku berdoa dan terus berdoa. Keinginan untuk memiliki zuriat sendiri masih kukuh di hati.
Alhamdulillah, aku dan encik suami dipilih oleh Allah menjadi tetamuNYA di bumi barakah. Aku menangis di hadapan Kaabah sambil berdoa moga dikurniakan zuriat. Di Multazam, di Hijr Ismail, di Maqam Ibrahim, di Raudhah, di padang Arafah dan di Mudzalifah. Semoga suatu hari nanti kami juga memiliki zuriat sendiri walaupun hanya seorang.
Kopi 'o' di dalam cawan sudah tinggal suku. Aku tatap lagi berita itu. Pernah aku berkata sendiri ketika menatap berita itu, tidak adakah antara perempuan-perempuan itu meninggalkan bayi mereka di depan pintu rumah ku? Tidak adakah antara perempuan-perempuan itu sudi menghulur bayi yang tidak berdosa itu kepada ku? Kadang-kadang terbawa-bawa ke dalam mimpi. Aku bertemu dengan seorang bayi yang dibuang oleh perempuan-perempuan itu di laman rumah ku. Bangun pagi, aku segera ke laman walaupun aku tahu itu cuma mimpi. Memang aku hanya bermimpi. Hampa.
Pernah juga aku membaca satu luahan hati seorang perempuan yang telah bertaubat. Masa seronok dulu dia tidak ingat halal haram. Dia hanya tahu berseronok, seronok melakukan maksiat. Bebas katanya. Pergaulan bebas sudah menjadi amalan biasa sehinggalah dia mengandung beberapa kali. Setiap kali mengandung, dia gugurkan kandungannya di usia 2 bulan.
Suatu hari dia bermimpi dikejar bayi-bayi yang digugurkannya. Meracau-racau seorang diri selepas beberapa malam dia bermimpi ngeri. Oleh kerana tidak tahan dengan mimpi ngeri begitu, akhirnya dia bertemu seorang ustazah dan mula bertaubat. Alhamdulillah, dia bertemu jodoh dengan seorang pemuda. Namun takdir Allah siapa yang tahu. Sehingga kini dia puas berusaha untuk mendapatkan zuriat sendiri. Kini barulah dia sedar betapa selama ini dia telah banyak berbuat dosa besar. Bukan hanya berzina tetapi juga membunuh.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
"Umatku akan sentiasa baik selagi belum lahir anak zina di kalangan mereka. Jika anak zina sudah tersebar di kalangan mereka, maka aku bimbang Allah akan menimpakan azab-Nya kepada mereka."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Dan kepada perempuan-perempuan itu, bertaubatlah kamu dengan sebenar-benar taubat. Lakukanlah taubat nasuha. Allah maha Pengasih dan maha Menerima Taubat. Bertaubatlah!
Aku tutup akhbar. Kopi 'o' tadi juga sudah habis. Segera aku mengambil wudhuk sebaik azan selesai berkumandang.
"Ya Allah! Bukakannlah pintu hati perempuan-perempuan itu untuk bertaubat kepadaMU. Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku zuriat yang soleh dan solehah."
__._,_.___
" Minuman para Anbia : http://higoat-2009.blogspot.com/"
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
.
__,_._,___
No comments:
Post a Comment