Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan satu set langkah yang berkuatkuasa serta merta untuk mengelakkan hutang isi rumah berlebihan dan memperkukuh amalan
pemberian pinjaman bertanggungjawab oleh pemberi kredit utama.
Gabenor, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata langkah itu mengehadkan tempoh maksimum pinjaman peribadi kepada 10 tahun dan pembiayaan pembelian hartanah
kediaman kepada 35 tahun dan melarang penawaran produk pembiayaan peribadi yang diluluskan terlebih dahulu.
Turut termasuk ialah penetapan nisbah khidmat
bayaran hutang yang membolehkan isi rumah mempunyai penampan kewangan mencukupi untuk melindungi mereka daripada kenaikan kos dan kejadian yang tidak dijangka.
Dr Zeti berkata, pada Mac tahun ini, nisbah hutang isi rumah berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) di Malaysia berkembang sebanyak 13 peratus kepada
83 peratus daripada 70 peratus pada 2009, paras tertinggi bagi negara membangun di Asia.
"Memandangkan ekonomi kini berkembang pada jajaran empat hingga enam peratus, kami percaya tahap hutang ini tidak berkekalan dan itu sebabnya mengapa kami
memperkenalkan langkah ini," katanya pada taklimat media di sini, semalam.
Beliau berkata, membandingkan hutang isi rumah berbanding KDNK di negara membangun lain Asia, Thailand berada pada 30 peratus; Indonesia (15.8 peratus);
Hong Kong (58 peratus); Taiwan (82 peratus); Jepun (75 peratus) dan Singapura (67 peratus).
Negara yang mempunyai hutang isi rumah tinggi berbanding KDNK ialah Amerika Syarikat pada 91.7 peratus; Australia (113 peratus); New Zealand (91 peratus);
United Kindom (114 peratus) dan Korea Selatan (91 peratus).
"Kami memutuskan untuk menumpukan kepada sektor isi rumah bagi langkah ini supaya tidak akan ada kekeliruan dalam hasil yang ingin dicapai iaitu kemapanan
sektor isi rumah kerana ia pemacu penting kepada ekonomi kita," katanya.
Dr Zeti berkata, satu daripada faktor hutang isi rumah yang tinggi ialah peningkatan aliran pinjaman peribadi meningkat pada kadar purata tahunan 20 peratus.
"Peningkatan peranan institusi kewangan bukan bank yang membekalkan hampir 60 peratus daripada pembiayaan peribadi kepada isi rumah juga faktor penyumbang.
Daripada jumlah pembiayaan, 16.9 peratus adalah pembiayaan peribadi. Daripada segi kadar pertumbuhan pembiayaan peribadi institusi kewangan bukan bank,
tahun lalu ia meningkat 29 peratus berbanding bank yang berkembang 9.1 peratus. Persaingan agresif dalam pasaran pembiayaan peribadi juga menyumbang kepada
kadar pembiayaan rendah yang tidak mencerminkan risiko berkaitan," katanya.
Mengenai tempoh pinjaman yang panjang, beliau berkata, meskipun tempoh lebih panjang mungkin mengurangkan pembayaran semula bulanan, bagi tempoh jangka
panjang ia akan meningkatkan keseluruhan beban hutang isi rumah.
Dr Zeti berkata, BNM menggesa institusi kewangan memberikan penekanan kepada penilaian kemampuan berbanding sejarah pembayaran semula dan cagaran yang
biasanya mempengaruhi keputusan berian pinjaman walaupun penilaian kemampuan menunjukkan potensi kelemahan di masa depan.
Langkah baharu itu yang melengkapkan garis panduan berian pinjaman bertanggungjawab dikeluarkan tahun lalu, terpakai kepada semua institusi kewangan yang
dikawal selia BNM; koperasi kredit dikawal selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia; Malaysia Building Society Bhd dan Aeon Credit Services (M) Bhd. Manakala
had bagi tempoh pembiayaan ini tidak akan membabitkan permohonan yang dibuat sebelum semalam. - Bernama,
No comments:
Post a Comment