Monday, July 29, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH am 300713 bersamaan 21Ramadhan1434H

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Giptis gesa kaji semula buku teks

Oleh: MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI

Tarikh: July 30, 2013

JITRA – Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis) menggesa supaya kerajaan mengkaji semula sejarah Islam yang terdapat dalam buku teks Pendidikan Islam rendah dan menengah yang didakwa mempunyai kecenderungan ke arah fahaman Syiah.

 Pengerusinya, Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi berkata, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana ada silibus pengajian yang menggambarkan seolah-olah para sahabat nabi terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman.

"Pada saya, mata pelajaran Pendidikan Islam ini perlu disemak dan ditulis semula. Terutamanya berkaitan sejarah Islam semasa zaman Saidina Uthman dan para sahabat nabi.

 "Saya khuatir perkara ini boleh merosakkan akidah pelajar. Sebabnya, sahabat nabi tidak seorang pun yang terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman. Malah, mereka murka terhadap pembunuhan yang dilakukan itu," katanya pada sidang media di Hotel Darulaman, di sini semalam.

Tambahnya, pelajar di peringkat universiti juga tidak ketinggalan perlu diperjelaskan mengenai perihal Sunni dan Syiah.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat segelintir pemimpin sebuah parti politik terlibat dengan fahaman Syiah, beliau berkata, perkara itu terpulang kepada individu berkenaan untuk mengaku atau sebaliknya.

"Kita bercakap dalam bentuk umum dan tidak menunjukkan kepada sesiapa. Sebenarnya, ia perlu ditanya kepada diri masing-masing. Sepanjang pengalaman saya di Kuala Lumpur, nampaknya pemuda-pemuda Islam lebih mudah terpengaruh dengan fahaman Syiah.

"Jadi sudah tentu ada yang terlibat. Cuma kalau ada pun mereka cuba menyembunyikan diri. Kita harap mereka yang berkenaan itu bertaubatlah sebelum mati. Balik semula ke pangkal jalan," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

'Cikgu, jangan marah saya'

Oleh: NORHASPIDA YATIM

Tarikh: July 30, 2013

KUALA TERENGGANU – "Cikgu, jangan marah saya, nama saya Noraini..kaki saya macam ni.." kata Siti Nooraini Abdullah, 5, sambil menunjukkan kedua-dua belah kakinya yang cacat itu apabila dimarahi gurunya jika tidak menyiapkan kerja sekolah.

Menurut gurunya, Haidatul Azila Johar, Siti Nooraini, tidak pernah kering gusi bercerita apabila diajukan soalan, dia antara kanak-kanak yang ceria di dalam kelas dan amat cerdas, walaupun dirinya dilahirkan serba kekurangan.

Kaki kirinya mengerekot, sebelah lagi mereput dan kudung sejak lahir manakala, lima jari tangan kanannya turut kudung sejak kecil.

"Walaupun tidak boleh berjalan, dia tak susahkanguru apabila hendak ke tandas, dia pandai urus diri sendiri, termasuk apabila buang air.

"Alhamdulillah, Nooraini budak pintar dan kita harap dia akan terus membesar dengan baik sehingga mencecah alam remaja dan dewasa nanti," katanya ketika ditemui di Mydin Mall pada program membawa anak-anak yatim
dan kurang berkemampuan membeli persiapan Hari raya Aidilfitri.

Program itu dianjurkan warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun.

Nooraini juga tidak putus-putus menceritakan mengenai baju rayanya itu dan memilih warna hitam sebagai warna yang diminatinya.

Dia kelihatan cukup teruja apabila dibawa bersama 38 kanak-kanak lain dari Pra Sekolah Pendidikan Khas, Pendidikan Khas dan Sekolah Kebangsaan Sultan Omar membeli belah di Mydin Mall.

"Memandangkan keluarganya juga kurang berkemampuan, kadang-kadang apabila balik sekolah, saya sengaja bawa dia balik ke rumah memandangkan saya juga ada anak sebaya Siti Nooraini, tetapi hari Khamis dan Jumaat
saya biarkan dia pulang ke rumah neneknya," katanya.

Ditanya mengenai keadaannya yang tidak seperti kanak-kanak lain dan terdapat kanak-kanak nakal sebayanya yang mengganggu dan mengejek dirinya, Nooraini yang kelihatan masih belum mengerti mengenai apa yang
dialaminya itu hanya mengangguk dan mengiakan sahaja.

"Fadhil, Haikal, Muiz..semua kawan baik Nooraini. Ada juga yang ejek, tetapi ramai kawan layan Nooraini dengan baik.

"Nooraini tinggal dengan tok dan Ummi, Ummi baik..," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Mangsa rogol kerat zakar

Oleh:

Tarikh: July 30, 2013

KANPUR - INDIA. Gara-gara tidak sanggup menjadi mangsa nafsu serakah majikannya, seorang wanita nekad mengelar leher dan memotong zakar doktor yang telah memperkosanya sejak 13 tahun lalu.

Menurut laporan DailyMail, Doktor Satish Chandra ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di rumah tetamu kerajaan di Govindagar di Kanpur pada 21 Julai lalu.

Sehari selepas itu, anggota polis terkejut menerima bungkusan mengandungi zakar yang turut membawa kepada penahanan Preeti Balmiki,25.

Preeti mengaku melakukan perbuatan tersebut selepas mendakwa doktor itu melakukan penderaan seksual sejak dia mula bekerja di klinik terbabit pada 2003.

"Pada mulanya, saya mahu menghantar bungkusan itu kepada isterinya sebagai bukti kerana wanita tidak percaya suaminya curang," jelasnya. 

Dalam satu kenyataan lain, pegawai polis Yashasvi Yadav memberitahu, Preeti telah melakukan pembunuhan kejam tetapi ia mungkin didorong oleh masalah gangguan mental yang dialaminya.

"Kami akan mengemukakan rayuan untuk mengatur sesi pemeriksaan perubatan," katanya lagi.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Ditemui mati atas katil

Oleh: Nik Muhd. Rafiq Abd. Ghani

Tarikh: July 30, 2013

DUNGUN – "Setelah dia tidak bangun, saya cuba kejutkan dengan memanggil namanya beberapa kali, namun panggilan saya tidak disahut, tangannya pula longlai, rupa-rupanya dia sudah tiada."

Demikian cerita Naraziah Ariffin, 50, yang masih trauma setelah anak perempuannya, Helmiah Annuar, 30, ditemui mati di atas katil ketika tidur di rumahnya, dekat sini, petang kelmarin.

Menurut Naraziah, anak perempuannya itu dilaporkan sering kurang sihat kerana mengalami masalah sakit jantung berlubang dan baru keluar wad, Rabu lalu.

Menurut Naraziah, dia cuba mengejutkan anak sulung daripada enam beradik apabila dia tidak bangun sejak tidur jam 12 tengah hari sehinggalah jam 3 petang.

"Saya rasa pelik sebab dia tidak bangun-bangun dan tidak bergerak langsung.

"Jadi saya cuba mengejutkannya, namun dia tidak memberi sebarang tindak balas, keadaan tubuhnya kaku lalu saya syak ada sesuatu berlaku padanya," katanya.

Naraziah kemudiannya memanggil pegawai perubatan, namun anak sulungnya itu disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut laporan mati mengejut.

Jenazah arwah yang ketika hayatnya pernah membantu ibunya berniaga putu di Pasar Minggu Alor Tembesu kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Syed Yahaya Ahmad, Jalan Nibong.

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Bilal masjid rugi RM25,000, rumah tinggal rangka

Oleh: Nik Muhd. Rafiq Abd. Ghani

Tarikh: July 30, 2013

DUNGUN – Ramadan kali ini menjadi ujian paling getir buat seorang bilal masjid apabila dia tinggal sehelai sepinggang setelah kediamannya musnah dalam kebakaran, dekat sini, petang kelmarin.

Kebakaran kira-kira jam 2 petang itu dipercayai berlaku ketika Mohd Suhaimi Jusoh, 32, bilal Masjid Tebing Tembah tiada di rumah kerana membawa isteri, Norzaila Othman, 26 dan anak lelakinya, Atikullah keluar membeli keperluan hari raya.

Suhaimi berkata, dia keluar rumah selepas solat Zohor untuk ke bandar Dungun bagi membeli baju raya anak lelakinya.

Ketika kebakaran itu berlaku, bapa Suhaimi, Mat Sidek Donik, 54, ibu mertua, Ropiah Mat, 54 serta adik iparnya, Muztaqim, 21, yang tinggal serumah dengannya berada di rumah bersebelahan.

Mereka dikatakan gagal menyelamatkan rumah pusaka itu kerana api marak dengan cepat.

Suhaimi berkata, dia tidak tahu mengenai kejadian itu sehinggalah dia pulang semula ke rumah kira-kira jam 5 petang lalu melihat rumahnya sudah tinggal rangka.

"Saya tertinggal telefon bimbit, jadi tak tahu rumah saya terbakar.

"Sebaik pulang, saya nampak ada jentera bomba sedang padam api, semua pakaian dan peralatan rumah musnah," katanya.

Kerugian dianggarkan RM25,000 dan pihak bomba masih menjalankan siasatan berhubung punca tragedi.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

RB beli Boeing 787 Dreamliner

Oleh: CONNIE S MONICAL
FOTO: ZULFADHLI ZAKI

Tarikh: July 30, 2013

SYARIKAT penerbangan milik Brunei Darussalam, Royal Brunei Airlines (RB) bakal memulakan penerbangan baru menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner, sekali gus menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia Tenggara yang menggunakan pesawat jenis itu setakat ini.

Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran Semenanjung Malaysia, Noor Azmi Jamaludin berkata, penyerahan empat pesawat baru pertama itu akan diterima selewat-lewatnya Oktober atau November tahun ini secara berperingkat.

"Pesawat Boeing 787 adalah pesawat komersial cekap bahan api dan boleh meningkatkan kecekapan operasi secara teknologi dalam kelasnya.

"Pembaharuan dalam pencahayaan, tingkap yang lebih besar, altitud kabin yang lebih rendah dan udara kabin yang lebih bersih akan menawarkan pengalaman penerbangan yang hebat kepada penumpang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di ibu pejabat RB di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, pesawat 787 adalah pesawat bersaiz sederhana pertama yang mampu terbang dalam laluan jarak jauh, ekonomi bahan api dan kos operasi yang rendah.

Katanya, pesawat yang mempunyai 254 kapasiti tempat duduk itu nanti akan digunakan untuk penerbangan jarak jauh dan sederhana.

Mengulas berhubung pengurangan harga tambang berikutan penggunaan pesawat yang cekap bahan api, Noor Azmi berkata, apabila kos operasi yang digunakan untuk penerbangan lebih rendah, syarikatnya tidak menolak kemungkinan tambang akan dikurangkan, sekali gus memberikan penjimatan kepada penumpang.

Tambah laluan KL ke Brunei

 Pertengahan Mei lalu, RB turut menambah laluan dua kali sehari berbanding sekali sehari bagi destinasi Kuala Lumpur ke Brunei berikutan permintaan yang tinggi daripada penumpang tempatan dan Brunei.

"Penambahan kekerapan penerbangan itu meningkat kepada 14 kali seminggu, sekali gus meningkatkan jumlah penumpang bagi laluan kedua-dua negara.

"Tambahan laluan itu juga didorong dengan peningkatan jumlah penumpang mencecah sehingga 80 peratus bagi setiap penerbangan," katanya.

Menurutnya, ia juga memberi kemudahan kepada penumpang dengan pelbagai pilihan untuk berhubung dengan destinasi lain seperti Manila, Melbourne, Dubai dan London.

Selain Kuala Lumpur, RB turut menawarkan perkhidmatan ke-13 destinasi lain seperti Manila, Bangkok, Melbourne, Indonesia (Jakarta dan Surabaya), Hong Kong, Shanghai, Timur Tengah (Dubai dan Jeddah), London, Singapura dan Kota Kinabalu.
 
Penjenamaan semula RB

 Menurutnya, RB turut menjalankan penjenamaan semula dari aspek penerbangan, logo, transformasi kualiti penerbangan, identiti korporat secara berperingkat-peringkat sehingga akhir tahun ini.

"Tujuan penjenamaan semula itu adalah bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada penumpang," katanya.

Buat masa ini, RB menggunakan tiga pesawat iaitu Airbus 319 dan Airbus 320 untuk perjalanan jarak dekat. Manakala bagi penerbangan jarak jauh RB menggunakan pesawat Boeing 772 siri 200 dengan kapasiti penumpang 285.

Kesemua pesawat milik RB turut menawarkan dua kelas penerbangan iaitu kelas ekonomi dan perniagaan.

Katanya, penumpang RB juga diberi keistimewaan dengan menawarkan program Royal Skies iaitu program royalti menerusi pungutan mata perjalanan untuk digunakan kelak.
 
Tambah baik kemudahan sedia ada

Bagi memberikan kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada penumpang, RB menyasarkan untuk menawarkan pelbagai pilihan filem dan program televisyen kepada penumpang kelas perniagaan.

Buat masa ini, pesawat Airbus RB mempunyai filem yang terhad iaitu tiga pilihan filem dan dua rangkaian televisyen dan 12 penyiaran audio.

"Langkah itu juga adalah sebahagian daripada penjenamaan semula syarikat selaras dengan objektif RB untuk menawarkan pengalaman hiburan terbaik dalam penerbangan," katanya.
Selain itu, RB bakal melaksanakan penggunaan iPad mini bagi penumpang kelas perniagaan untuk laluan Bangkok, Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong dan Shanghai, sekali gus menjadi syarikat penerbangan pertama menggunakan peranti itu dalam penerbangan.

"Ipad mini akan menawarkan lapan pilihan filem, empat rangkaian televisyen, 30 album audio cakera padat, 20 permainan dan majalah eMuhibah," katanya.

RB turut menerima pengiktirafan terbaru menerusi dua anugerah sebagai syarikat penerbangan kelas ekonomi terbaik 2012 ketika Anugerah Pelancongan Destinasi Perniagaan 2012 dan Penerbangan Asing Terbaik 2011 oleh Anugerah Pelancongan Sabah.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan boleh layari laman sesawang RB di www.flyroyalbrunei.com.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

13 kenderaan awam dibom

Oleh:

Tarikh: July 30, 2013

BAGHDAD - IRAQ. Satu siri letupan bom membabitkan 13 kereta tercetus di sekitar Iraq dan mengorbankan lebih 33 orang dan lebih 150 cedera.

Pegawai perubatan berkata, serangan dipercayai turut menyasarkan pasar di tengah selatan bandar Basra dan mengorbankan tiga orang.

Menurut laporan Al-Jazeera, kematian akibat letupan dua bom kereta berlaku di terminal teksi dalam bandar Kut, 150 kilometer di tenggara ibu negara dan membunuh lima orang serta 38 cedera.

"Selain itu, empat orang maut apabila penyerang meletupkan bom di tengah bandar Mahmoudiya, 30 kilometer di selatan Baghdad," katanya.

Letupan selebihnya dilaporkan berlaku di beberapa kawasan sekitar Baghdad, bandar Sadr, Habibiya, Hurriya, Bayaa, Ur, Shurta, Kadhimiya, Tobji, Shua'ala dan di kejiranan Risala.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Tuak tetap jadi pilihan

Oleh: SITI FATIHAH AWANG

Tarikh: July 30, 2013

TIADA siapa menyedari di sebalik keenakan air tuak atau nira kelapa yang menjadi kegemaran ramai pada bulan puasa mempunyai pantang larang tersendiri dalam penghasilannya.

Air tuak yang boleh diperoleh melalui mayang kelapa yang dicantas hujungnya itu merupakan salah satu minuman yang mendapat permintaan tinggi walaupun harganya sedikit mahal.

Bekas untuk mengisi tuak pada mayang kelapa atau dipanggil tukir tidak boleh disangkut sewenang-wenangnya, ada petua yang perlu diamalkan dalam mengikatnya pada mayang.

Itulah yang dipraktikkan Pengusaha Tuak di Padang Pak Omar, Selising, Mohd Sahir Mohamed, 38, yang mewarisi pekerjaan itu daripada bapanya.

Beliau mengakui, petua itu tidak boleh ditinggalkan walaupun kadangkala agak susah untuk mengikat dengan cara tersebut.

"Bila kita ikat tukir yang hendak digantung pada mayang pokok itu, kita kena ikat sehingga habis pusingan demi pusingan, jangan selit di mana-mana bahagian semata-mata untuk mempercepatkan proses ikatan, itu satu pantang larang, harus diikuti," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sahir yang telah menceburi bidang tersebut sejak 20 tahun lalu bersyukur kerana ia membantu menjana pendapatan keluarga.

Beliau yang mempunyai lebih 60 pokok kelapa di sekitar rumahnya dari jenis gading dan mawar atau lebih dikenali sebagai 'nyior ringan' itu menguruskan perniagaan tersebut dengan dibantu isterinya, Maswani Abdullah, 25.

Dengan rutin cantasan dua kali sehari iaitu jam 7 pagi dan 5 petang, Sahir boleh menghasilkan lebih 40 bungkus atau bersamaan dengan lebih 20 liter setiap hari.

Tuak yang diperoleh daripada mayang itu mempunyai kemanisan semula jadi tanpa perlu menambah bahan pemanis.

"Apa yang penting, dalam setiap tukir yang kita gunakan itu mesti dimasukkan 'laghu' iaitu cebisan kayu pokok cengal yang mempunyai bahan awet semula jadi yang melindungi terasnya untuk membantu air tuak lebih tahan lama.

"Jika kita masukkan 'laghu', tuak boleh bertahan sehingga lebih 13 jam, bagaimanapun selepas ditapis, tuak mesti disimpan di dalam peti sejuk kerana ketika itu 'laghu' sudah diasingkan.

Katanya, stok kayu cengal perlu sentiasa mencukupi kerana ia merupakan bahan penting dan bagi Sahir, itu bukan satu masalah besar kerana beliau telah lama berurusan dengan penjual bahan tersebut.

Ketika ditanya mengenai proses mendapatkan air tuak itu, Sahir berkata, ianya hanya memerlukan tiga langkah sahaja serta tidak memerlukan kepakaran yang tinggi.

"Langkah pertama kita kena pastikan mayang mana yang sesuai untuk ditoreh dan panjat pokok kelapa tersebut manakala langkah kedua, ikat tukir yang hendak diisi air tuak nanti berserta 'laghu' dan yang ketiga cantas atau toreh hujung mayang tersebut, itu sahaja, kemudian tunggu hasilnya," katanya.

Walaupun proses tersebut kelihatan mudah namun ia memerlukan stamina yang tinggi terutamanya untuk memanjat pokok demi pokok.

"Nampak mudah, tetapi jika cuai atau tidak kena caranya, kemungkinan besar air tuak yang memenuhi tukir itu boleh tertumpah dan kita tidak dapat hasilnya, tambahan pula kalau terpaksa memanjat pokok kelapa yang tinggi," katanya.

Tuak akan dibeli terus sebagai minuman sepanjang bulan Ramadhan namun dan mendapat permintaan pada bulan biasa kerana air itu dijadikan bahan utama untuk menghasilkan manisan.

Rumah Sahir bukan sahaja menjadi tumpuan pembeli setempat malah turut dikunjungi penjual tuak yang tidak mahu menghampakan pelanggan masing-masing.

Mohd Faizul Yaacob, peniaga Pasar harian di Melor mengakui, dia sanggup masuk ke kawasan pedalaman untuk mendapatkan minuman tersebut terus dari pengusaha.

"Saya dah dua tahun berniaga di Pasar Melor, saya sanggup masuk ke kampung ini untuk dapatkan air tuak Sahir kerana permintaan yang tinggi di pasaran terutamanya di bulan puasa.

"Kemanisan yang semula jadi pada air tuak itu membuatkan ramai pembeli tidak berganjak untuk mendapatkannya dengan harga yang tinggi iaitu sekitar RM3 hingga RM4 sebungkus," katanya.

Daripada pemerhatiannya, tuak yang dijualnya bukan sahaja digemari warga Melor malah turut menarik perhatian penggemar dari kawasan lain seperti Ketereh, Kok Lanas, Peringat dan Gunong.
 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Wanita Singapura dera amah

Oleh:

Tarikh: July 30, 2013

SINGAPURA - Seorang wanita tempatan didapati bersalah melakukan penderaan terhadap pembantu rumahnya.

Dipetik daripada laporan AFP, Chan Huey Fern, 32, dibicarakan atas lima daripada 12 pertuduhan kerana menyebabkan kecederaan terhadap Juwarti, 25, di rumah pangsa di Buangkok Link antara pertengahan dan akhir Disember 2010.

Menurut mangsa, Chan menumbuk mata, menendang tubuh dan kemaluannya. 

Bagaimanapun, tertuduh menafikan dakwaan itu dan memberitahu bahawa kecederaan dialami pembantu rumah tersebut mungkin berlaku secara tidak sengaja.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Redah api selamatkan adik

Oleh: Norhasram Mohamad

Tarikh: July 30, 2013

PASIR PUTEH - Tindakan berani seorang kakak yang meredah api bagi menyelamatkan adik bongsunya yang sedang nyenyak tidur dalam kebakaran rumah di Kampung Pantai Dalam Rhu, Semerak dekat sini, petang kelmarin wajar dipuji.

Dalam kebakaran jam 3.30 petang itu, Nurul Wani Salleh, 20, nekad meredah api tanpa memikirkan risiko bahaya menanti demi kasih kepada adiknya, Mohd Idham Iskandar, 3.

Bapa mereka, Salleh Awang Hitam, 42, berkata, kejadian itu berlaku ketika lima anaknya termasuk Nurul Fatihah, 12, Mohd Asrol, 13, dan Mohd Asraf, 7, berada di dalam rumah papan tersebut.

"Saya menyedari kebakaran berlaku ketika balik ke rumah apabila melihat api marak dan membakar separuh daripada rumah saya.

"Saya bimbang keselamatan anak-anak saya, alhamdulillah semuanya selamat termasuk anak bongsu yang dikatakan sedang tidur ketika kejadian itu berlaku," katanya.

Salleh berkata, tragedi lebih buruk pasti menimpa keluarganya sekiranya tiada siapa yang berani meredah api.

Bapa tunggal miskin tegar itu sedih apabila kesemua pakaian raya anak-anak yang dibeli hasil tabungan wang upah bekerja sebagai buruh kasar di kedai pembekal bahan binaan berdekatan rumahnya turut hangus.

Katanya, antara barang berharga lain yang turut musnah adalah dokumen penting, buku teks dan pakaian sekolah anak-anak nya.

Salleh berkata, belas ihsan jiran membolehkan dia sekeluarga berbuka puasa di rumah mereka sementara mendapat bantuan untuk membina semula rumah bagi menggantikan rumah papan yang hanya berukuran 10 meter persegi itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Wan Baijuri Wan Hassan ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, bomba dengan kekuatan 14 anggota dari Besut, Terengganu dan Pasir Puteh dengan dua jentera berkejar ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Beliau berkata, rumah mangsa di tepi pantai dan terdedah angin kencang itu menyebabkan api marak dengan pantas.

"Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke rumah berdekatan sementara punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Adun Semerak, Zawawi Othman yang melawat tempat kejadian berkata, bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 dihulurkan bagi meringankan beban mangsa, sekurang-kurangnya dapat menjalani baki ibadat puasa dengan baik.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan bapa tunggal miskin yang sudah didaftarkan dalam e-Kasih mendapat gantian rumah baharu dalam masa terdekat.

"Kami akan usahakan supaya keluarga ini mendapat rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membolehkan mereka anak beranak berhari raya dalam keadaan yang selesa," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Dua anak lumpuh

Oleh: Rohana Ismail

Tarikh: July 30, 2013

TUMPAT – Perumpamaan 'berat mata memandang, berat lagi bahu memikul' sesuai untuk menceritakan pengorbanan sepasang suami isteri menjaga dua anak lumpuh di Kampung Ketil, di sini.

Wan Jamiliah Wan Yusof, 44 dan suami, Sukeri Dollah, 46, bergilir-gilir menjaga Mohd Rizuan, 22, dan Muhamad Shahrizi Azraf, 21, yang lumpuh fizikal selain tidak boleh bercakap.

Wan Jamiliah berkata, kedua-dua anaknya seperti bayi walau pun usia sudah menjangkau 20 an apabila bergantung hidup dengan meminum susu yang perlu diberi minum empat jam sekali.

"Saya salurkan melalui tiub empat jam sekali, tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini, kedua-dua anak saya itu boleh disuapkan susu dengan sudu.

"Sekarang ini juga, kedua-dua anak saya sudah boleh diberi bubur nasi," katanya.

Menceritakan kisah sedihnya, Wan Jamiliah berkata, anak keduanya, Mohd Shahrizi Azraf  lumpuh apabila dia terlibat kemalangan ketika berusia 8 tahun.

"Anak saya dilanggar kereta ketika melintas jalan, daripada seorang anak yang aktif dalam sekelip mata dia menjadi insan kurang upaya serta tidak boleh bercakap.

"Masa depannya gelap apabila terpaksa melupakan alam persekolahan apabila disahkan lumpuh," katanya.

Wan Jamiliah berkata, berbeza dengan nasib anak sulungnya itu, Mohd Rizuan lumpuh sejak lahir dan walau pun sudah berusia 22 tahun, dia juga tidak boleh bercakap.

"Jika dulu hidup saya ditemani air mata mengenangkan nasib dua anak saya itu, akhirnya saya bangkit,  saya reda dengan ketentuan Ilahi.

"Dua anak saya itu adalah anugerah yang berharga dari Allah, mereka adalah kekuatan saya menjadikan saya seorang ibu yang tabah," katanya yang mempunyai tiga anak.

Menurutnya, dia perlu membelanjakan RM1500 sebulan untuk lampin pakai buang, susu dan ubat-ubatan dua anaknya yang lumpuh itu.

"Dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM600 sebulan ,sedikit sebanyak meringankan bebanan suami saya yang bekerja sendiri dan pendapatannya tidak menentu," katanya.

Mohd Shahrizi Azraf dan Mohd Rizuan juga masih belum mempunyai Mykad kerana Wan Jamilah menghadapi kesukaran untuk membawa anaknya ke Jabatan Pendaftaran Negara.

Penderitaan Wan Jamilah mendapat perhatian Adun Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar apabila menyumbangkan sebuah kerusi roda untuk memudahkan Mohd Shahrizi Azraf dan Mohd Rizuan bergerak.
 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Dua premis jual makanan disita

Oleh: Alaudin MA

Tarikh: July 30, 2013

GUA MUSANG - Sebanyak dua premis menjual makanan disita dalam operasi bersih sekitar bandar ini, pagi semalam berikutan mengabaikan aspek kebersihan.

Operasi yang diadakan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan itu membabitkan dua premis di Jalan Pulai dan Kampung Baru.

Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran MDGM, Mohd Hisham Hassan berkata, operasi selama tiga jam berakhir 1 petang itu membabitkan semua premis menjual makanan.

Beliau berkata, sebanyak 16 premis menjalankan perniagaan kedai makan itu diperiksa dan mendapati hanya dua premis tidak menjaga kebersihan hingga terpaksa disita untuk sementara waktu.

"Pihak kita memberi tempoh dua hari kepada pemilik premis terbabit membersihkan semua kawasan perniagaan mereka, sebelum dibenarkan beroperasi semula selepas pihak kami berpuas hati dengan tahap kebersihan premis tersebut.

"Kita bahagikan operasi itu dalam tiga kumpulan untuk mempercepatkan pemeriksaan kawasan perniagaan termasuk restoran," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Hisham berkata, tindakan itu diambil mengikut Undang-undang Kecil Penyeliaan, Pengawalan Establishmen Makanan MDGM 2001 yang boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM500.

Beliau bimbang jika tiada sebarang tindakan, peniaga akan terus mengabaikan kebersihan yang boleh menjejaskan kesihatan pelanggan.

"Kita akan menjalankan operasi itu setiap masa  untuk memberi nasihat kepada peniaga supaya menitik beratkan penjagaan kebersihan premis masing-masing," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada peniaga premis terbabit dan akur dengan tindakan untuk menyita sementara sebelum kedai mereka boleh beroperasi semula.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

'Saya bukan ibu tunggal!'

Oleh: NUREZZATUL AQMAR MUSTAZA

Tarikh: July 30, 2013

BAGI sesetengah wanita, status ibu tunggal bukanlah satu status yang mudah dipikul. Apatah lagi apabila terpaksa membesarkan anak-anak yang masih kecil sendirian.

Namun bagi pelakon dan penyampai radio terkenal, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al Yahya atau Leya, sejak bercerai dengan Muhammad Ashraf Aasimudin tahun lalu, dia tidak merasakan dirinya adalah ibu tunggal.

"Saya masih ada ibu dan ayah, serta adik-beradik dan kawan-kawan yang sentiasa bersama-sama saya membesarkan anak saya dan saya tidak rasa kesusahannya.

"Harus akui, saya antara wanita yang bertuah berbanding kebanyakan ibu tunggal lain kerana masih mempunyai hubungan yang baik dengan bekas suami. Anak-anak juga tidak pernah kekurangan kasih sayang kerana bapa mereka sentiasa di samping bahkan disayangi setiap orang di sekeliling kami," ujar Aleya ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa anjuran TV9 baru-baru ini.

Anak-anak bukan bebanan

Berbicara mengenai anak kembarnya itu, Aza Ameena dan Asha Ameena, 4 tahun, dia tidak pernah merasakan membesarkan anaknya itu sebagai satu bebanan.

"Anak-anak adalah sebahagian daripada diri saya dan menjadi rutin saya untuk menjaga mereka.

"Lagipun, saya perlu ingat ada orang yang lebih susah dan besar cabarannya dalam membesarkan anak-anak," katanya.

Berkongsi pengalaman membesarkan anak kembar, Leya berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu membezakan anak-anaknya termasuklah dari segi pemakaian.

"Kalau berbeza pun cuma corak saja kerana saya tidak mahu dipersoalkan bila mereka besar nanti.

"Contohnya jika mereka lihat gambar masa kecil, salah seorang pasti akan terasa hati jika salah seorang daripada mereka bajunya lebih glamor berlabuci dan seorang lagi tidak. Jadi, saya pastikan layanan untuk anak sama rata, tiada lebih dan tiada kurang," katanya.

Ingin berkahwin lagi

Terlanjur berbicara tentang kehidupan peribadi, Leya tidak terlepas daripada ditanya mengenai teman pengganti untuk menjadi ayah kepada anak-anaknya.

"Anak-anak saya tetap mendapat kasih-sayang seorang ayah, walaupun kami telah berpisah. Ashraf sering datang melawat dan menghabiskan masa dengan anak-anak.

"Buat masa ini saya tidak dapat berkongsi cerita tentang jejaka yang berada di dalam hati ini. Cukuplah saya katakan, keluarga dan kawan-kawan sudah maklum tentang kami. Sebagai seorang wanita, tidak mungkin saya tidak ingin berkahwin dan dapatkan anak lagi," jelasnya.

Sempena Aidilfitri nanti, wajah Leya juga boleh disaksikan menerusi program Akustika Raya Datuk Siti Nurhaliza siaran Hot TV.

"Setiap kali dapat menemu bual Datuk Siti, ia satu pengalaman yang menyeronokkan. Saya selalu buat cerita sedih tidak pernah dapat menemu bualnya walaupun sebenarnya sudah selalu juga," katanya yang mengajukan soalan mengenai ponteng puasa kepada Siti.
 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Bebas tuduhan curi

Oleh: ADILA SHARINNI WAHID

Tarikh: July 30, 2013

KOTA BHARU - Seorang pegawai khidmat pelanggan sebuah institusi kerajaan bernasib baik apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, daripada tuduhan mencuri coli serta seluar dalam, Mei lalu.

Sabariah Mohd Noor, 57, bagaimanapun dikenakan bon jaminan RM500 supaya berkelakuan baik dalam tempoh dua tahun.

Dia mengaku mencuri dua coli, tiga seluar dalam dan barangan lain iaitu kasut kanak-kanak perempuan, sekotak minyak wangi dan pencuci muka yang keseluruhannya bernilai RM108.30 milik pasar raya Tesco antara 11 pagi dan 1 petang, 10 Mei lalu.

Ketika kejadian, seorang kakitangan pasar raya itu menyedari kehadiran tertuduh bersama seorang lagi rakannya dalam keadaan mencurigakan. Pengadu nampak tertuduh menoleh ke kiri dan kanan sebelum memasukkan sejumlah barang ke dalam beg tangan yang dibawa.

Pada prosiding semalam, Majistret, Nik Habri Muhamad, bagaimanapun membebaskan tertuduh selepas Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad bersetuju untuk membuat rundingan akuan dan menimbangkan tertuduh yang akan bersara tahun hadapan.

Terdahulu,Peguam Yayasan Khidmat Bantuan Guaman merayu hukuman ringan dikenakan kepada tertuduh mengambil kira tempoh 22 tahun perkhidmatan tertuduh kepada institusi itu.

"Tertuduh berpendapatan RM2,400 sebulan dan masih menanggung adik dan anak saudaranya yang sakit. Tertuduh juga pernah menerima anugerah khidmat cemerlang pada tahun 2004," katanya.

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Ada pihak ambil kesempatan: PDAM

Oleh: NORUTUL ILHAM MAD JARI

Tarikh: July 30, 2013

SHAH ALAM - Bekalan diesel yang terputus semenjak tiga hari lalu bukan berpunca daripada kehabisan bahan bakar tersebut, sebaliknya wujud pihak tertentu yang mengambil kesempatan membeli diesel dengan harga subsidi melebihi kuota dibenarkan.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kuota penjualan diesel di stesen minyak penuh sehingga stok jualannya habis.

"Setiap stesen minyak diberikan kuota jualan minyak setiap bulan, tapi jika stesen minyak tersebut sudah mencapai kuota jualan bulan itu, mereka terpaksa menghentikan jualan.

"Jika stesen minyak itu terus menjual, mereka tidak akan dibayar kerajaan dengan harga subsidi. Ini yang berlaku apabila ada pihak membeli dengan kuantiti banyak untuk mengaut keuntungan kerana harga diesel subsidi hanya layak dinikmati pengguna biasa, bukannya pengilang atau syarikat kontraktor," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, antara faktor menyebabkan wujudnya pihak yang mengambil kesempatan ke atas harga subsidi adalah jurang harga jualannya terlalu tinggi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kawalan daripada kerajaan perlu diperketat supaya kejadian seumpama itu dapat dibendung.

"Kita hanya kawal dari segi penjualan dan nasihat kepada pengusaha supaya mengikut peraturan sedia ada. Tetapi dari segi pemantauan dan tangkapan itu di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)," katanya.

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Sindiket beli minyak diesel berulang kali

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 30, 2013

HULU KELANG -  Terdapat sindiket atau pihak yang sama membeli diesel secara berulang kali di stesen minyak sekitar Lembah Klang.

Pekerja Stesen Minyak Petronas Ulu Kelang 2 yang dikenali sebagai Kamalia berkata, ada sebuah syarikat yang sama mengisi minyak berulang kali dengan nombor pendaftaran lori yang berbeza-beza sebelum ini.

Menurutnya, pada mulanya, pihaknya tidak sedar dengan aktiviti tersebut sehinggalah menyedari terdapat lori dari syarikat sama mengisi minyak diesel sehingga tiga kali sehari.

"Sejak itu, syarikat saya hanya membenarkan syarikat tersebut mengisi minyak diesel sebanyak sekali sehari," katanya.

Kamalia berkata, pihaknya juga pernah mengekori lori syarikat terbabit dan mendapati mereka akan mengisi minyak diesel di stesen minyak yang lain pula.

Berhubung kekurangan bekalan minyak diesel sekarang, syarikatnya hanya membenarkan pelanggan mengisi minyak dengan pembelian sebanyak RM50 sahaja kecuali di atas sebab-sebab tertentu.

Katanya, syarikatnya juga seperti stesen minyak yang lain turut kehabisan bekalan minyak pada tiga hari yang lalu tetapi telah pulih mendapat bekalan namun terpaksa mengawal penjualannya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Lewat hantar punca gangguan diesel

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 30, 2013

IPOH – Kelewatan penghantaran diesel kepada stesen oleh syarikat minyak dikesan antara faktor utama berlakunya kekurangan bekalan bahan bakar itu di negeri ini.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK)Perak, Mohd Hilmi Mohd Noor berkata, perkara itu dikesan berlaku sejak seminggu lalu, situasi sama seperti itu dialami beberapa negeri lain.

Menurutnya, PPDNKK telah pun meluluskan kuota diesel seperti yang ditetapkan kementerian.

"Cuma penghantaran ke stesen minyak yang mengambil masa, bagaimanapun kita sudah mendesak syarikat minyak agar menyelesaikan kes ini secepat mungkin," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehingga jam 3 petang, semalam sebanyak 17 stesen minyak di seluruh negeri ini dilaporkan mengalami kehabisan bekalan minyak diesel.

Daripada jumlah itu, tiga di Parit Buntar; Taiping (4); Kuala kangsar (3); Ipoh (3); Tapah (1); masing-masing satu di Teluk Intan dan Bagan Datoh.

Ia membabitkan stesen minyak Chevron; Shell; Petronas; BHP; Petron dan stesen minyak Petro teguh di Bagan Datoh.

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Bekalan diesel di Bera habis

Oleh: Azizah Shafiei

Tarikh: July 30, 2013

BERA - Bekalan minyak diesel didakwa kehabisan di beberapa stesen minyak utama di sini menyebabkan pengguna sukar untuk mendapatkan bekalan itu sejak semalam.

Seorang pengguna, Tan Yan Keh berkata, beberapa hari sebelum ini, pengguna merungut kerana minyak diesel itu sukar diperoleh sehingga memaksa mereka ke daerah lain.

Menurutnya, kali terakhir dia mengisi minyak diesel pada minggu lalu tetapi ketika itu berada di Seremban.

"Hari ini (semalam), saya ke beberapa stesen minyak tetapi bekalan semuanya habis.

"Kalau keadaan ini berterusan, ia akan menyusahkan pengguna apabila terpaksa ke tempat lain dengan menggunakan kenderaan lain kerana diesel dalam kenderaan sendiri sudah habis," katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, terdapat juga rungutan daripada pengguna di daerah lain yang mengalami masalah sama turut datang ke daerah ini semata-mata mencari bekalan minyak diesel.

Yan Keh berkata, pihak berkenaan perlu serius menangani perkara ini dan sepatutnya tidak membenarkan insiden kehabisan diesel ini berlaku.

"Tidak lama lagi hari raya, dan lebih banyak diesel diperlukan pengguna.

"Kalau keadaan ini berlaku lagi, bukan sahaja pengguna beragama Islam menghadapi kesukaran menziarahi saudara tetapi pengguna lain turut berasa bebannya," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Nelayan diberi 7.7b liter diesel subsidi

Oleh:

Tarikh: July 30, 2013

KUALA LUMPUR - Setakat Mac lalu, kerajaan telah mengagihkan 7.7 bilion liter diesel kepada nelayan dan pemilik bot membabitkan subsidi bernilai RM11.1 bilion.

Jumlah itu melibatkan 34,000 nelayan dan 6,800 pemilik bot, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman pada persidangan Dewan Negara di sini, semalam.

Beliau yang menjawab soalan Senator Mariany Mohammad Yit itu juga berkata, kerajaan menggunakan GPS (Sistem Penentu Kedudukan Global) bagi mencegah nelayan menjual tangkapan kepada pihak lain di laut tanpa mendaratkannya di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam jumlah ditetapkan.

"Selain itu, kita juga memberi insentif sebanyak 10 sen bagi setiap kilo ikan yang didaratkan di jeti LKIM bagi mengelak subsidi yang diberi disalah guna," katanya.

Mengulas mengenai pendaratan ikan di seluruh negara, Tajuddin berkata, pada 2010 sebanyak 1.3 juta tan metrik ikan dengan nilai RM6.65 juta didaratkan, manakala pada 2011 sebanyak 1.37 juta tan metrik (RM6.69 juta) dan pada 2012, 1.47 juta tan metrik dengan nilai RM7.78 juta.

Dalam usaha mengawal harga pasaran ikan, Tajuddin berkata, LKIM telah mewujudkan pembinaan pasar nelayan bagi membolehkan nelayan menjual terus kepada pengguna.

Katanya, setakat ini 75 pasar nelayan telah diwujudkan dan 100 buah lagi disasarkan bagi tempoh 2013 hingga 2015.

"Bagi program Ikan Rakyat iaitu pemasaran tujuh jenis ikan secara sejuk beku, sebanyak 35 buah kedai Ikan Rakyat telah wujud dan 100 lagi akan diwujudkan menjelang 2015," katanya.

Selain itu, kementerian juga menjalankan promosi ikan air tawar dan mengusahakan beberapa langkah untuk meningkatkan pengeluaran ikan terbabit bagi menyeimbangkan pengeluarannya dengan ikan marin. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Pengasas Arab Malaysian Bank mati ditembak

Oleh: WAN NASRAH ABDUL RAHIM

Tarikh: July 30, 2013

SHAH ALAM - Pengasas Arab Malaysian Bank Berhad, Hussain Ahmad Najadi, 75, terbunuh, manakala isterinya, 49, cedera apabila ditembak di kawasan parkir di kuil Cina Ceylon Kuan Yin Temple, Kuala Lumpur, semalam.

Hussain meninggal di tempat kejadian, manakala isterinya cedera akibat terkena tembakan rambang. 

Mereka sedang duduk di situ apabila seorang lelaki menghampiri mereka dan melepaskan beberapa das tembakan. Penembak itu melarikan diri dengan teksi bersama dua lain.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa terkena dua das tembakan di dada dan rusuk kiri, manakala isterinya terkena satu das di pergelangan tangan kiri dan paha kanan.

"Kejadian itu mungkin ada kaitan dengan urusan perniagaan," katanya. 

Katanya, mayat Hussain dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, manakala isterinya dihantar ke hospital yang sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Anak terkejut pengasas bank dibunuh

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

KUALA LUMPUR - Anak lelaki pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian Hussain Ahmad Najadi terkejut dengan pembunuhan bapanya di sini hari ini.
   
"Saya terkejut apabila mendengar tentang kejadian bunuh itu, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan pada waktu siang di Kuala Lumpur," Pascal Najadi kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi telefon dari Eropah.
   
Sehubungan itu, Pascal, 45, pemegang kerakyatan dua negara iaitu Switzerland dan British, menggesa pihak berkuasa Malaysia mengambil tindakan sewajarnya bagi menahan individu yang terlibat dalam pembunuhan bapanya serta mengheret mereka ke muka pengadilan.
   
Pascal, yang turut menceburi bidang perbankan, berkata ironinya adalah Hussain Ahmad dibunuh di Malaysia, negara yang amat disayanginya dan dianggap sebagai tanah tumpah darah beliau selama lebih empat dekad.
   
Hussain Ahmad, 75, maut manakala isterinya yang berusia 49 tahun cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon pada 2 petang.

Mangsa terkena dua das tembakan di bahagian dada dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya cedera di pergelangan tangan kiri serta peha kanan.
   
Siasatan awal polis mendapati seorang lelaki bersenjata merupakan antara tiga individu yang menunggu Hussain Ahmad di luar tokong berkenaan, yang dikatakan ke situ untuk bertemu rakannya bagi membincangkan urusan jual beli saham. 
   
Pascal berkata beliau mengetahui tragedi yang menimpa bapanya beberapa jam selepas kejadian selain menerima panggilan daripada polis Malaysia berhubung pembunuhan itu.
   
Hussain Ahmad mengasaskan Kumpulan Perbankan Arab Malaysian pada 1975 sebelum ia bertukar tangan pada 1982 dan dikenali sebagai Arab Malaysian Bank atau Ambank. - Bernama

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

TPM bimbang trend hubungan antara kaum

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

IPOH - Trend mutakhir dalam masyarakat hari ini semakin membimbangkan terutama dalam konteks hubungan antara kaum sehingga menimbulkan isu polarisasi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 
   
Beliau berkata masyarakat hari ini dilihat mudah sensitif sehingga usaha baik yang dirancang oleh kerajaan dianggap negatif dan dijadikan isu yang menyentuh perkauman seperti apa yang berlaku terhadap Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP).
   
"Saya dimaklumkan perhimpunan konvensyen yang dibuat oleh Dong Zhong semalam membuat resolusi untuk menghalang apa yang kita buat dalam PIPP, yang dibentuk untuk memajukan sektor pendidikan.
   
"Ia (PIPP) dirancang dengan niat yang baik, bagaimanapun ia dilihat berbaur perkauman...13 tahun (pelaksanaan PIPP) dilihat sebagai usaha menghapuskan bahasa ibunda mereka," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir di sini, malam ini.
   
Beliau berkata Dong Zhong melihat niat baik kerajaan itu sebagai perkara perkauman walaupun kerajaan mengambil masa hampir dua tahun untuk mengumpul input PIPP, supaya sejajar dengan Akta Pendidikan serta Falsafah Pendidkan Negara.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata trend itu tidak membantu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan semua kaum.
   
Dalam pada itu, beliau meminta umat Islam mementingkan perpaduan, hubungan mesra serta persefahaman berikutan sentiasa berdepan cabaran hebat.
   
"Dalam suasana begini, masyarakat Islam perlu kukuhkan jemaah...kerana adanya anggapan bahawa masyarakat Islam tidak kukuh berikutan pelbagai puak Melayu, ramai yang lantang sehingga berani mempersoalkan hak-hak dalam Perlembagaan, agama dan raja," katanya.
   
Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan berupa kurma, air zam-zam, kain pelikat dan jubah kepada pengerusi dan anggota jawatankuasa masjid daerah dari seluruh negeri.
   
Selepas berbuka puasa, beliau dan Zambry, Pengerusi Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, exco kerajaan negeri serta umat Islam menunaikan solat Maghrib, Isyak serta tarawih berjemaah yang diimamkan guru Al-Quran Masjidil Haram, Makkah, Sheikh Osama Mohammad Iqbal. – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Tiada laporan penuntut asing sebar Syiah

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

KUALA LUMPUR - Tidak ada laporan atau kes penyebaran fahaman Syiah oleh penuntut asing yang dikesan di institusi pengajian tinggi di negara ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan.
   
Beliau berkata Kementerian Pendidikan menjalin kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam memantau penyebaran ajaran Syiah di institusi pendidikan negara.
   
"Orang ramai yang mengetahui mengenai aktiviti penyebaran ajaran Syiah di mana-mana pusat pengajian dicadangkan memberi maklumat secara terperinci," katanya ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
   
Kamalanathan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan jika ada laporan dibuat berhubung isu itu.
   
"Kalau ada laporan, kita akan buat siasatan...masalahnya sekarang tidak ada laporan," katanya.

Sehingga Disember 2012, terdapat 26,239 penuntut asing dari 139 negara menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi Malaysia.
    
"Bagi membendung sebarang gejala negatif oleh pelajar asing, Kementerian Pendidikan juga menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa," kata Kamalanathan.
   
Mengenai sekolah aliran agama, beliau berkata terdapat 198 sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah agama negeri dan sekolah agama rakyat di seluruh negara.
   
Sekolah agama swasta bukan di bawah Kementerian Pendidikan, katanya. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Pengerusi MyWatch dipindah ke Hospital Serdang

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

SEREMBAN - Pengerusi badan pemantau jenayah MyWatch, R. Sri Sanjeevan yang cedera ditembak Sabtu lalu di Bahau, dekat sini, hari ini dipindahkan ke Hospital Serdang, Selangor.
   
Bapanya R. Ramakrishnan berkata beliau dimaklumkan anaknya dipindahkan kerana tiada pakar yang boleh melakukan pembedahan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) bagi mengeluarkan peluru yang tertanam di bahagian rusuk anaknya.
   
Sebelum ini, Sri Sanjeevan, 29, menerima rawatan di Hospital Jempol sejurus terkena tembakan itu sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Pilah dan HTJ di sini pada hari yang sama.
   
Ramakrishnan, 64, berkata doktor yang merawat anaknya di HTJ memaklumkan hati dan paru-paru Sri Sanjeevan terjejas akibat kecederaan tembakan itu.
   
"Kami cuba berbisik di telinganya namun dia tidak memberikan sebarang respons dan masih tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui di HTJ, di sini hari ini.

Sementara itu, abang mangsa R. Sri Mohanadass berkata mengikut perancangan adiknya sepatutnya berlepas ke Brunei semalam atas urusan peribadi dan dijangka pulang ke Malaysia beberapa hari selepas itu.
   
"Biasanya sebelum berangkat ke luar negara dia akan pulang menemui keluarga di Kampung Taman Jaya, Bahau. Sabtu lalu lebih kurang pukul 7 pagi dia baru sahaja tiba di rumah keluarga. Malah dia yang menetap di Kuala Lumpur sempat makan tengah hari bersama keluarga dekat sini," katanya.
   
Katanya selepas makan tengah hari adiknya keluar dari rumah dan memberitahu dia mahu menemui rakannya sebelum mereka menerima panggilan telefon yang memaklumkan Sri Sanjeevan ditembak di Taman Cempaka, Bahau.
   
Dalam kejadian Sabtu lepas kira-kira 4.30 petang, Sri Sanjeevan yang memandu kereta jenis BMW bersama seorang rakannya untuk pergi minum ditembak dua lelaki menaiki motosikal ketika berhenti di lampu isyarat berhampiran Taman Cempaka, Bahau. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Peneroka Felda Gua Musang dapat duit raya

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

GUA MUSANG - Seramai 3,114 peneroka di 11 tanah rancangan Felda Wilayah Gua Musang menerima bayaran insentif Aidilfitri sebanyak RM300 seorang, membabitkan perbelanjaan hampir RM1 juta.
   
Anggota Dewan Undangan Negeri Paloh Datuk Nozula Mat Diah berkata daripada jumlah itu, seramai 1,906 peneroka adalah dari tiga gugusan Felda sekitar Gua Musang manakala selebihnya iaitu 1,208 peneroka, dari gugusan Kemahang, Tanah Merah.
   
Peneroka yang tidak terbabit dengan tanam semula bersama Felda pula menerima insentif sebanyak RM150 seorang, katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Aidilfitri di Masjid Tanah Rancangan Felda Chiku 1 di sini, hari ini.
   
Turut hadir Timbalan Pengurus Besar Felda Wilayah Gua Musang Hasrin Ismail dan Penolong Pengurus Besar Komuniti Felda Wilayah Gua Musang Kamasri Mamat.

Nozula yang juga Naib Ketua Umno bahagian Gua Musang berkata peneroka di semua tanah rancangan Felda di seluruh negara amat bertuah kerana mereka bukan sahaja mendapat insentif raya setiap tahun, malah banyak lagi insentif lain.
   
Ini termasuk bayaran dividen pegangan saham Felda Global Ventures Sdn Bhd (FGVH) dan dividen Koperasi Peneroka Felda (KPF), katanya.
   
"Sebelum ini ,setiap keluarga peneroka Felda turut menerima durian runtuh sebanyak RM15,000 dan dianggap paling besar habuan diberikan agensi kerajaan pusat itu supaya mereka hidup lebih selesa," tambahnya.
   
Sehubungan itu, beliau berharap peneroka tidak terpedaya dengan dakyah pelbagai pihak tertentu yang cuba mencemarkan imej Felda. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Lelaki parah ditembak di Bukit Mertajam

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

NIBONG TEBAL - Seorang lelaki cedera parah di paha kanan selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat simpang empat Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam di sini hari ini.
   
Lelaki berusia 30-an berasal dari Kulim itu kini dirawat di Hospital Kulim, Kedah.
   
"Siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai beberapa rekod jenayah," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah di sini hari ini.
   
Beliau berkata ketika kejadian pada pukul 8.30 malam itu, lelaki berkenaan bersama rakannya dipercayai dari Jalan Mengkuang menghala ke Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) untuk ke Kulim.
   
"Ketika kereta mereka berhenti di lampu isyarat simpang empat di situ, sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki menghampiri kenderaan yang dinaiki mereka dan seorang daripada lelaki itu melepaskan tembakan," katanya.
   
Mazlan ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), di sini.
   
Mazlan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengetahui motif kejadian. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Peniaga di Labuan raih keuntungan berganda

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

LABUAN - Pemilik kedai di sini berkata sambutan keseluruhan daripada pembeli dalam dua minggu pertama bulan Ramadan sungguh "hebat" dan yang paling mendapat sambutan ialah  kain, lampu hiasan dan barangan elektrik.

Seorang pengurus jualan Your Outfit Shop dalam Kompleks Taman Kewangan, Susan Chee, berkata jualan semakin meningkat.

"Banyak keluarga sekarang membeli pakaian dengan warna tema, jadi kami menarik pelanggan dengan menjual produk dalam pelbagai warna. Jualan kami telah meningkat dalam beberapa hari lepas.

"Kami menjual beberapa jenis kain eksklusif seperti fabrik dari China, India dan Indonesia. Kebanyakan baju kurung dan lampu hiasan adalah dari China dan Taiwan, dan semuanya berkualiti tinggi," katanya.

Jualan mungkin meningkat empat kali ganda dalam tempoh Ramadan dan Hari Raya dengan diskaun sebanyak 30 hingga 70 peratus bagi kebanyakan item, kata beliau.

Pembeli, Nurizatie Jane Abdullah, 25, yang membeli dua pasang pakaian, berkata tidak mengapa berbelanja lebih sedikit setahun sekali.

Peti televisyen, peti sejuk, peti sejuk beku dan periuk nasi elektrik begitu laris.

Pengurus jualan Kehearson Electronics, yang hanya mahu dikenali sebagai Singh, berkata: "Dapur elektrik, peti sejuk, periuk masak perlahan dan bekas pemanas makanan bagi jamuan bufet adalah barangan yang mula-mula dijual dalam tempoh ini. Saban tahun kami mendapat sambutan yang baik bagi Ramadan dan Hari Raya, dan ia meningkat sepanjang Ramadan."

Trend jualan peti televisyen beralih ke arah TV pintar LED terbaru dan TV 3D, dan syarikat itu menawarkan lebih banyak produk-produk berkenaan tahun ini, kerana beberapa jenis peti TV dan peti sejuk beku habis dijual tahun lepas berikutan permintaan yang tinggi.

Kedai kain, Labuan Textile, yang memulakan jualan promosi sejurus sebelum Ramadan, juga melaporkan jualan yang laris. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

3 lelaki diberkas cuba samun kedai gambar

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

KUANTAN - Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam cubaan samun sebuah kedai gambar di Balok di sini awal hari ini.
   
Tiga lelaki terbabit ditahan dalam sekatan jalan raya di Km 12 berhampiran Jalan By-Pass menghala ke Kuantan pada pukul 2.10 pagi, kira-kira dua jam selepas cubaan samun itu dilaporkan.
   
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata polis menemui sebilah parang, sebatang kayu dan dua helai t-shirt di dalam kereta yang dinaiki ketiga-tiga lelaki berusia 22, 23 dan 35 tahun itu.
   
"Dalam kejadian cubaan samun itu, dua daripada lelaki itu dilapor memasuki premis berkenaan dan mengacukan parang ke arah dua pelanggan yang berada di dalam kedai itu.
   
"Pemilik kedai yang berusia 30-an berjaya lari keluar dari premis itu dan menghubungi polis," katanya di sini hari ini dan memberitahu suspek yang panik melarikan diri dengan sebuah kereta.
   
Beliau berkata kesemua mereka yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah dan seorang daripada mereka bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Aidilfitri: Tarikh lihat anak bulan Ogos depan

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

KUALA LUMPUR - Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menetapkan tarikh Hari Raya Puasa ialah pada petang Rabu, 7 Ogos bersamaan 29 Ramadan ini.
   
Menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja hari ini, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
   
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan melalui radio dan televisyen, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja di sini.
   
Jawatankuasa berkenaan akan melihat anak bulan Syawal di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak A-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
   
Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu di Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu di Kelantan.
   
Tempat lain pula ialah di Tanjung Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

TH sasar agihan zakat meningkat

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

MUAR - Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan jumlah agihan zakat di bawah Projek Ehsan sempena bulan Ramadan pada tahun depan ditingkatkan kepada RM3 juta berbanding RM1.6 juta, tahun ini.
   
Pengerusinya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata melalui penambahan itu, lebih ramai golongan asnaf termasuk ibu tunggal, fakir miskin, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) akan menerima bantuan daripada TH berbanding 3,000 orang, pada masa kini.
   
"Sebelum ini, kita menyalur bantuan zakat menerusi Pusat Pungutan Zakat dan majlis agama Islam di setiap negeri, namun menerusi program ini kita dapat terus berjumpa rakyat.
   
"Program bersifat serampang dua mata, iaitu membantu golongan asnaf dan menjadi platfom kepada TH untuk mengeratkan silaturrahim serta memahami permasalahan komuniti setempat," katanya.
   
Abdul Azeez berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan zakat Program Ehsan TH berjumlah RM160,000 sempena Ramadan peringkat negeri Johor kepada 320 penerima di sini hari ini.

Johor merupakan lokasi ke-10 dalam siri Jelajah Projek Ehsan ke seluruh negara dengan setiap penerima mendapat bantuan wang tunai RM500.
   
Beliau berkata, TH akan terus memastikan kerja amal terhadap masyarakat Islam di negara ini diteruskan, tanpa mengira fahaman politik.
   
"Kita mahu TH bukan sahaja memberikan faedah kepada pendeposit-pendeposit tetapi dalam masa sama membantu rakyat yang memerlukan, tidak kira di mana mereka berada," katanya
   
Selain program berkenaan, Abdul Azeez berkata TH turut melaksanakan Program Iqraq yang memberi sumbangan keperluan sekolah sebagai motivasi kepada pelajar miskin dan anak yatim yang akan menduduki peperiksaan penting.
   
Dalam perkembangan lain, Abdul Azeez berkata ekoran langkah kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota haji sebanyak 20 peratus, TH akan memastikan hanya jemaah yang benar-benar sihat, dibenar menunaikan ibadah haji tahun ini.
   
"Mereka yang menghidap penyakit kronik seperti yang memerlukan rawatan dialisis kita akan tangguhkan dulu pemergian mereka untuk mengerjakan haji.
 
"Apa jua keputusan, termaktub kepada ujian pemeriksaan dan jika pakar perubatan TH meluluskannya, TH tidak ada masalah untuk melepaskan mereka untuk menjadi tetamu Allah," katanya. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

AirAsia tawar 12,000 tempat duduk

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

AIRASIA, syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia, menawarkan 12,000 tempat duduk untuk penerbangan domestik.
   
Tempat duduk itu boleh ditempah secara dalam talian di
www.airasia.com mulai sekarang hingga 4 Ogos untuk perjalanan dari 20 Ogos hingga 31 Okt.
   
AirAsia berkata penumpang hanya perlu membayar cukai dan RM26 untuk perjalanan ke Alor Setar, Kota Bahru, Johor Baharu, Kuala Terengganu, Langkawi dan Pulau Pinang.
   
Syarikat penerbangan itu juga menjalankan satu lagi promosi, tambang promosi termasuk semua untuk tempoh perjalanan akhir tahun iaitu dari 1 Nov hingga 23 Jan, daripada serendah RM39 sehala untuk destinasi domestik dan antarabangsa seperti  Bangkok, Singapura, Guilin, Surabaya, Vientiane dan banyak lagi.
   
Tambang ini ditawarkan untuk penerbangan yang berlepas dari hab AirAsia di Malaysia seperti Pulau Pinang, Johor Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
   
Pengguna digalakkan membuat tempahan awal untuk pemeriksaan masuk bagasi secara dalam talian bersama tempahan penerbangan bagi membolehkan mereka memperoleh penjimatan sehingga 66 peratus berbanding pemeriksaan masuk beg di lapangan tebang, kata AirAsia. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Berlian 200 tahun di Tokong Kuan Yin hilang

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

GEORGETOWN - Berlian berusia 200 tahun di Tokong Kuan Yin, Jalan Masjid Kapitan Keling di sini dilapor hilang hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari itu, penjaga tokong berkenaan memberkas seorang lelaki yang sedang memecahkan almari kaca yang menempatkan patung Kuan Yin untuk mencuri berlian itu.

"Lelaki berusia 35 tahun itu dipukul sebelum diserah kepada polis," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata bagaimanapun berlian berusia 200 tahun itu tidak ditemui bersama suspek.

Polis sedang mengambil keterangan daripada penjaga tokong yang melaporkan kehilangan berlian itu untuk siasatan lanjut, katanya. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Tukang urut OKU lakukan kelucahan melampau

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

MELAKA - Seorang tukang urut orang kelainan upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau ke atas dua pelajar lelaki berumur 14 tahun dan seorang pelajar lelaki berumur 13 tahun.
   
Basri Hashim, 51, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Sungai Udang di sini, masing-masing pada 9 pagi, 9.10 pagi dan 9.30 pagi, 23 Julai lepas.
   
Dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
   
Majistret Syajaratudur Abd Rahman membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
   
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Pendedahan arkitek bukti mainan politik Suaram

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

PUTRAJAYA - Pendedahan arkitek yang terlibat secara terus dalam pembelian kapal selam Scorpene jelas memperlihatkan apa yang didakwa  pihak Suaram selama ini merupakan satu mainan politik.
   
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kementeriannya tidak dapat mengambil tindakan terhadap Suaram yang menimbulkan isu itu kerana ia didaftarkan sebagai sebuah syarikat.
   
"Kita merasakan jika ada pihak yang buat laporan  polis terhadap tuduhan dan fitnah oleh Suaram, pihak  polis akan ambil tindakan kerana ia telah mencalar imej negara dan pemimpin negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Beliau berkata meskipun permasalahan itu hanya dapat dirungkaikan setelah sekian lama, tetapi masih belum terlambat untuk kerajaan mengambil sebarang tindakan menerusi pendaftar syarikat atau pihak polis berdasarkan undang-undang sedia ada.
   
Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pendedahan arkitek urus janji kapal selam Scorpene, Jasbir Singh Chahl yang antara lain mengatakan model Mongolia Altantuya Shaariibuu yang dibunuh tidak pernah menjadi sebahagian daripada pasukan rundingan itu.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat di sini Lee McClenny di pejabatnya di  sini.
   
Mengenai dakwaan isteri peguam P. Uthaya Kumar yang suaminya tidak diberikan layanan sewajarnya di penjara, Ahmad Zahid berkata:
   
"Saya telah bertanya dengan Ketua Pengarah Jabatan Penjara, semua banduan tanpa mengira siapa diberikan  layanan sama, janganlah nak minta layanan terlalu istimewa (VIP) pula".
   
Uthaya Kumar dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jun lalu selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan menulis  sepucuk surat berbaur hasutan kepada bekas Perdana Menteri Britain Gordon Brown enam tahun lepas. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Lelaki acu pistol ketika sebuan diberkas

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

KOTA BAHRU - Polis menahan tiga lelaki dan merampas dua pistol serta senjata tajam dalam tiga serbuan di sini dan Pasir Mas.
   
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam serbuan pertama pada 11 malam tadi seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Baung, Pengkalan Chepa di sini.
   
"Lelaki itu yang berasal dari Kampung Paya Bemban, Jalan Hospital di sini, berada dalam keadaan mencurigakan dan ditahan ketika sedang masuk ke dalam sebuah kereta jenis Proton Waja.
   
"Siasatan menemui sebilah pedang samurai, dua bilah parang dan satu pisau lipat yang disembunyikan dalam beg raket yang diletakkan di tempat letak kaki penumpang di bahagian belakang kereta itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
   
Mazlan berkata hasil semakan terhadap kereta itu mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang pada 19 Julai lepas di Kota Bahru dan suspek turut positif dadah jenis Metaphetamine.

"Hasil soal siasat ke atas lelaki berkenaan membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 21 tahun yang menetap di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, di sini pada 12.30 pagi tadi.
   
"Suspek itu bertindak mengeluarkan sepucuk pistol ketika dihampiri sepasukan anggota polis. Berlaku pergelutan antara polis dan suspek, bagaimanapun suspek berjaya ditahan," katanya.
   
Hasil pemeriksaan menemui dua butir peluru dalam kocek kiri baju suspek, sepucuk pistol jenis Col .38 termasuk lima butir peluru dalam kelongsong pistol, sebilah parang dan pisau serta wang tunai berjumlah RM261.
   
Dalam kes berasingan di Pasir Mas, Mazlan berkata pihaknya menahan seorang lelaki berusia 49 tahun ketika sedang makan seorang diri di sebuah gerai di kampung Chicha Tinggi, di sini, pada 2.45 pagi ini.
   
"Hasil pemeriksaan turut menemui sepucuk pistol tiruan yang diselit di bahagian pinggang suspek dan satu 'magazine' peluru yang kosong, selain suspek turut positif ujian air kencing," katanya.
   
Ketiga-tiga suspek ditahan reman antara empat hingga tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

2 gerai kotor diarah tutup

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

GEORGETOWN - Dua gerai di bazar Ramadan di sini diarah tutup kerana gagal mematuhi kebersihan penyediaan makanan dalam 'Ops Ramadan' yang dilancarkan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, sejak 10 Julai lalu.
   
Timbalan Pengarah Kesihatan (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Ku Nafisah Ku Ariffin berkata dalam operasi yang dijalankan, sejak 20 hari lepas, sebanyak 2,895 bazar Ramadan diperiksa.
   
"Sebanyak 112 sampel makanan turut diambil dan empat sampel dikesan tidak mematuhi piawaian mikrobiologi. Kita nampak tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya. PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) juga ambil tindakan awal memberi suntikan," katanya kepada pemberita selepas operasi pemeriksaan dan penutupan premis makanan fasa ketiga, di sini hari ini.
   
Beliau berkata pemantauan dan pemeriksaan berterusan akan dijalankan di setiap bazar Ramadan di negeri ini bagi memastikan setiap makanan dan minuman yang dijual menepati piawaian kebersihan.
   
Mengulas mengenai operasi berkenaan Ku Nafisah berkata daripada 29 premis yang diperiksa, sebanyak 24 premis makanan melibatkan gerai dan restoran diarah tutup kerana didapati kotor.
 
Operasi bersepadu itu melibatkan seramai 98 anggota dan pegawai dari Jabatan Kesihatan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
   
"Antara yang diarah tutup ialah sebuah kilang memproses cincau di Seberang Perai Tengah kerana keadaan kebersihannya tidak memuaskan. Pemilik menggunakan rumahnya untuk memproses cincau. Serbuk teh tidak berlabel turut dirampas," katanya.
   
Ku Nafisah berkata setakat ini sebanyak 3,380 premis makanan telah diperiksa dengan 120 daripadanya diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
   
Beliau berkata operasi bersepadu seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kesedaran pengusaha makanan dan pengguna berhubung kebersihan dan pengendalian makanan yang selamat.
   
Katanya, pengguna boleh menyalurkan aduan dan maklumat melalui talian 04-2017277/04-2017278. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Gangguan sistem komputer dijangka berakhir esok

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

JOHOR BAHRU - Masalah gangguan sistem komputer yang menjejaskan perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara dijangka pulih esok.
    
Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad berkata masalah itu berpunca daripada peralihan sistem sokongan utama JPJ iaitu SIKAP kepada mySIKAP bermula Khamis lepas.
    
"Dalam tempoh peralihan sistem baharu ini sejak Khamis lalu, jabatan mendapati berlaku beberapa gangguan sistem yang menyebabkan kelewatan di kaunter urusan JPJ di kebanyakan tempat di seluruh negara.
    
"Bagaimanapun, JPJ sedang menjalankan usaha membaik pulih masalah gangguan sistem yang berlaku dan sistem mySIKAP ini dijangka kembali pulih esok," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ negeri di Taman Daya di sini hari ini.
    
mySIKAP menggantikan sistem perkomputeran SIKAP yang telah 20 tahun digunakan bagi memberi perkhidmatan secara dalam talian kepada pelanggan JPJ.
   
Transformasi itu membolehkan penyampaian perkhidmatan JPJ dilaksanakan pada kadar tepat masa dalam talian melalui penaiktarafan infrastruktur ICT yang lebih stabil, mapan dan selamat.
    
mySIKAP merangkumi empat aplikasi perkhidmatan teras dan 18 aplikasi sokongan yang dihasilkan untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti penyampaian perkhidmatan JPJ.
    
Ia menyediakan maklumat berpusat jabatan yang memantapkan lagi analisis, pemantauan, perancangan masa depan, perkongsian maklumat dan pengurusan dalam membuat keputusan penting yang lebih bersepadu dan tepat.
    
Ismail berkata JPJ menyasarkan penggunaan sistem mySIKAP mampu mencapai 85 peratus urusan dalam talian menjelang 2015.
    
Katanya pada masa ini hanya 28 peratus penggunaan urusan secara dalam talian dan selebihnya urusan dilakukan di kaunter. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Pemain bola keranjang kebangsaan meninggal dunia

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

KUALA LUMPUR - Pemain bola keranjang kebangsaan, Jacky Ng Kiat Kee meninggal dunia dipercayai akibat sakit jantung ketika menyertai satu kejohanan jemputan di China, semalam.
    
Ng berusia 25 tahun.
    
Setiausaha Agung Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (Maba) Chey Tat Woon, yang mengesahkan perkara itu, berkata mendiang dilaporkan pengsan ketika berada di bangku pemain simpanan pada kira-kira 4.30 petang waktu tempatan di Jinjiang (4.30 petang waktu Malaysia) sebelum disahkan meninggal dunia pada kira-kira 7 malam ketika mendapat rawatan di sebuah hospital di sana.
    
"Seorang kakitangan kita serta ibu bapa mendiang telah berada di China untuk menguruskan penghantaran balik mayat mendiang ke sini.
    
"Pemergian Jacky merupakan satu kehilangan buat warga bola keranjang kebangsaan kerana mendiang merupakan nadi penting kepada pasukan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
    
Chey berkata selepas kejohanan di China itu, skuad kebangsaan dijadual beraksi pada Kejohanan Bola Keranjang Asia Fiba di Manila, Filipina, bulan depan sebagai persiapan awal menghadapi temasya Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.
    
Ng yang berketinggian 1.96m menyertai skuad kebangsaan tahun lepas selepas bakatnya dikesan pada Kejohanan Bola Keranjang Piala Agung selain turut mewakili kelab Sarawak Firehorse dalam Kejohanan Liga Bola Keranjang Kebangsaan (MNBL). - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

Wanita maut, dua parah nahas di Bentong

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

KUANTAN - Seorang wanita maut manakala kakaknya dan seorang lelaki parah, selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabit dalam nahas jalan raya di Km4.6 Jalan Bentong-Karak dekat Bentong semalam.
    
Sariza Abu Samah, 46, penumpang hadapan kereta itu, mati di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan badan, manakala kakaknya pemandu kenderaan itu, Sahridah Abu Samah, 53, seorang guru, cedera parah dan anak Sariza, Muhammad Danish Ilman Saperi, 14, cedera ringan.
    
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata pemandu trak pikap Mitsubishi Storm, S. Nanthakumaran, 36, turut cedera parah.
    
"Dalam nahas 1 pagi semalam, mangsa dalam perjalanan dari Karak menuju ke Bentong. Sampai di tempat kejadian, dipercayai kereta yang dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan trak pikap itu," katanya di sini hari ini.
    
Sementara itu dalam nahas berasingan, seorang warga emas lelaki, Neo Ah Kok, 79, maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Triang-Bahau dekat Pekan Mengkuang, Bera.
    
Dalam kejadian 7.38 malam tadi, mangsa yang menunggang sendirian secara tiba-tiba terbabas dan jatuh di atas jalan raya.
    
Mangsa disahkan mati pukul 8.15 malam ketika dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Laman Web

R&R Sungai Perak ditutup Selasa, Rabu

Oleh:

Tarikh: July 29, 2013

KUALA LUMPUR - Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak Lebuhraya Utara-Selatan di KM249.3 akan ditutup sementara di kedua-dua arah, mulai esok bagi membolehkan kerja penyelenggaran.
   
Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (Plus) dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan R&R Sungai Perak arah utara ditutup pada Selasa (30 Julai) manakala R&R arah selatan ditutup pada Rabu (31 Julai).
   
Penutupan adalah dari 8 pagi hingga 5 petang.
   
Berikutan penutupan itu, semua kemudahan di R&R berkenaan termasuk gerai makanan akan ditutup kecuali stesen minyak, menurut kenyataan itu.
   
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Plus di talian 1800-88-0000. - Bernama

 

 

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment