Sunday, July 14, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH am 150713 6 Ramadhan 1434

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Projek pembesaran Masjidil Haram

Oleh: LIZA HASAN

Tarikh: July 15, 2013

PROJEK  memperluas ruang sembahyang di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Madinah menelan belanja lebih RM63 bilion manakala enam pembinaan projek hartanah juga kini dilaksanakan di sekitar Masjidil Haram dianggar lebih RM46 bilion.

Selepas segala projek itu selepas kawasan ibadat Masjidil Haram dijangka mencecah lebih 300,000 meter persegi dan mampu menampung sekurang-kurangnya 700,000 jemaah pada satu masa.

Demi melaksanakan projek itu, 1,000 hartanah di kawasan Al-Shamiya dimusnahkan dan kira-kira RM5.5 bilion diperuntukkan sebagai pampasan kepada pemilik hartanah yang diambil alih untuk digunakan sebagai kawasan ibadat baru Masjidil Haram.

Proses menebus tanah itu bagaimanapun tidak lari daripada kontroversi apabila pemilik hartanah Al-Shamiya menolak pampasan RM13,000 hingga RM17,500 semeter persegi yang dianggap terlalu rendah.

Projek lain
-Jabal Khandama di timur Masjidil Haram membabitkan pembinaan beberapa menara hotel.
-Jabal Omar di barat daya Masjidil Haram dibangunkan dengan membina kediaman baru yang boleh menampung 100,000 penduduk dengan kawasan ibadat berhawa dingin manakala tanpa   hawa dingin 120,000 jemaah.
-Kawasan di tenggara Masjidil Haram membabitkan sekitar Hospital Ajyad dengan rancangan membina hospital berteknologi tinggi dan pusat perubatan tambahan.
-Lebuh raya Raja Abdul Aziz di timur masjid akan menjadi pusat kemudahan pengangkutan jemaah dan penduduk ke kawasan masjid.
-Projek di selatan Masjidil Haram pula akan meningkatkan ruang ibadat daripada 1,170 kepada 30,000 meter persegi dan menyediakan ruang yang mampu menampung 1,000 kereta pada satu masa.
- Menara Abraj Al Bait yang mengandungi tujuh menara terletak di kawasan selatan Masjidil Haram diubahsuai dengan ketinggian 595 meter dan lantai seluas 15.6 juta kaki persegi, ia bakal menjadi bangunan terbesar dunia apabila siap tahun depan.
-Selain itu kawasan Abraj Al Bait juga akan dibangunkan dengan kediaman yang mampu menampung 65,000 penduduk, memiliki pusat persidangan dan empat menara jam tertinggi setinggi 380 meter dan menjadikan ia jam tertinggi di dunia.



 

 

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Arab Saudi potong kuota haji

Oleh: LIZA HASAN

Tarikh: July 15, 2013

TINDAKAN Kerajaan Arab Saudi memotong kuota jemaah haji 20 peratus pada musim ini memberi tamparan kepada negara dunia. Selain Malaysia, negara paling menerima kesannya adalah
Indonesia, Pakistan dan Nigeria.

Langkah pemotongan itu dilakukan susulan terbatasnya ruang ibadah berikutan projek mega perluasan Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Namun, tindakan Saudi melakukan pengumuman tiga bulan sebelum musim haji menimbulkan kemarahan kepada Kumpulan Pertubuhan Haji (HGO) dan Operator Pelancongan Swasta (PTO) apabila mendakwa, Saudi sengaja melewatkan pengumuman itu bagi melindungi pengendali haji di Saudi yang terlebih dahulu mengetahui tentang perkara tersebut.

Selain pengurangan jemaah haji, aktiviti umrah juga turut mendapat tempias apabila banyak pakej umrah terpaksa dibatalkan.

Berikutan arahan pemotongan kuota itu, HGP dan PTO dilihat paling mendapat kesan apabila mereka terpaksa berhadapan tuntutan ganti rugi sekali gus melenyapkan impian dan jemaah haji itu.

Media Saudi melaporkan, kerajaan telah mengarahkan semua negara supaya meminta rakyat mereka menangguhkan urusan haji pada musim ini.

Menteri Hal Ehwal Haji Saudi Dr Bandar Bin Muhammad al-Hajjar menjelaskan, kapasiti maksimum Masjidil Haram sebelum pengubahsuaian adalah 48,000 jemaah, tetapi sebaik projek pembesaran bermula jumlah jemaah di masjid tersebut hanya boleh menampung  20,000 orang sahaja.

"Kami memotong 20 peratus jemaah dari luar dan 50 peratus jemaah domestik. Mengikut rekod tahun lalu seramai, 3.161 juta jemaah berdaftar menunaikan ibadah itu namun kami percayai jumlah itu mencecah 4 juta di mana selebihnya adalah jemaah tidak berdaftar," katanya.

Indonesia

Duta Besar Saudi ke Indonesia Mustafa Ibrahim Al Mubarak berkata, pengurangan kuota haji tahun ini terpaksa dilakukan.

"Langkah pemotongan kuota haji adalah untuk kebaikan semua pihak bagi memastikan jemaah dari seluruh dunia dapat beribadat dengan selesa," katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat memastikan sampai bila kuota itu kekal kerana projek pembesaran kedua-dua masjid itu yang bermula tahun lalu mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

Bagaimanapun, Menteri Agama, Suryadharma Ali berkata, pihaknya akan berusaha melobi Saudi untuk mengekalkan kuota haji dari Indonesia seperti biasa.

"Kami akan suarakan masalah ini di Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk mengekalkan kuota ini kerana ia bersifat tuntutan dan bukan berasaskan kepada bilangan penduduk negara," katanya.

Beliau berkata, kuota pemotongan itu sepatutnya tidak boleh diselaraskan kerana negara itu mempunyai populasi penduduk Islam terbesar dunia dengan lebih 240 juta dan antara negara paling ramai menunaikan haji berbanding negara lain.

"Tahun lalu kira-kira 1.9 juta orang berada dalam senarai menunggu. Sekiranya Saudi hanya membenarkan kuota 211,000 maka mereka perlu menunggu  sembilan tahun untuk menunaikan haji.

Suryadharma berkata, sehingga 12 Jun, seramai 167,500 bakal jemaah telah pun mendaftar dan segala kos haji telah dibayar.

Nigeria

Sumber pengusaha pelancongan Nigeria mendakwa, pengurangan jemaah ke Tanah Suci bermula Ramadan ini turut membabitkan mereka yang menunaikan umrah apabila gagal mendapatkan visa.

Akhbar Daily Trust melaporkan, kos mendapatkan visa ke Arab Saudi lebih mahal iaitu N300,000 (RM5,900) berbanding N85,000 (RM1,672) bagi tahun sebelumnya.

"Harga ini menyebabkan ramai membatalkan hasrat mereka menunaikan umrah kerana terlalu mahal", kata sumber itu.

Jurucakap Suruhanjaya Haji Kebangsaan Nigeria (NAHCON) mengesahkan, sehingga kini pihak berkuasa Saudi tidak memberi alasan mengapa kos visa dinaikkan.

Kami yakin kenaikan kos ini menyebabkan HGO dan PTO terpaksa menaikkan kos tersebut atas faktor permintaan," katanya.

Beliau berkata, visa umrah tahun ini hanya sah 15 hari berbanding 30 hari sebelum ini.

Bagaimanapun, Dr Bandar Al-Hajjar, menafikan kuota visa yang diberikan kepada HGO dan PTO dikurangkan kerana slot umrah itu diberikan sama seperti sebelum ini.

"Di bawah perjanjian baru, kuota visa diberikan setiap bulan dan ianya sah untuk tempoh 30 hari. Jika visa tidak digunakan pada bulan sama, visa tersebut dianggap batal," katanya.

Menurutnya, terdapat syarikat pengendali umrah menyimpan visa yang diberikan untuk Rejab dan Sha'aban tetapi mereka menggunakannya bagi Ramadan.

"Perkara ini mengganggu rancangan kementerian dan sistem pengeluaran visa yang terikat dengan peruntukan perkhidmatan penginapan, pengangkutan dan lain-lain," katanya.

Alasan Saudi

Selain kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram dan Nabawi, kerajaan Saudi memberi alasan pengurangan jemaah bagi membendung wabak jangkitan pernafasan Korona MERS yang kian menular.

Menteri Kesihatan berkata, setakat ini 62 kes disahkan mengidap MERS dan 34 pesakit meninggal dunia.

Pada mesyuarat kesihatan di Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Kaherah melaporkan, wabak MERS telah dimasukkan ke dalam pelan tindakan kecemasan kerana mudah berjangkit melalui udara.

Sementara itu, tindakan kerajaan melakukan pengubahsuaian kedua-dua masjid itu mendapat kritikan daripada kumpulan aktivis di Saudi apabila mendakwa pengubahsuaian itu melenyapkan sejarah ketika zaman Nabi Muhammad SAW.

"Kami tidak setuju dengan pengubah suaian itu kerana ia menghilangkan keaslian masjid yang pernah digunakan ketika zaman Rasullah," kata ahli kumpulan itu.

 

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Pengendali Haji, Umrah protes

Oleh: LIZA HASAN

Tarikh: July 15, 2013

PEMOTONGAN kuota Haji menyebabkan banyak agensi operator Haji swasta terpaksa menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit.

Kumpulan Pengendali Haji (HGO) Pakistan mendakwa, kerugian dapat dielakkan sekiranya kerajaan Saudi memaklumkan perkara pemotongan kuota lebih awal bagi membolehkan mereka tidak menerima tempahan.

Pemilik agensi PTO,  Ahmed Maulud berkata, pembatalan tempahan menyebabkan syarikatnya kerugian hampir RM 3 juta apabila terpaksa membatalkan lebih 600 tempahan.

"Kami menyokong pembangunan di Makkah dan Madinah tetapi perkara itu perlu dimaklumkan awal kepada semua pihak terlibat. Kerajaan Saudi sepatutnya memanggil Menteri Luar seluruh negara untuk membincangkan perkara ini atau menghantarkan surat kepada mereka lebih awal dan bukannya pada saat akhir menjelang musim haji.

"Kini, kami terpaksa membayar balik semula wang mereka termasuk ganti rugi. Reputasi kami terjejas kerana pelanggan mula kurang percaya kepada perkhidmatan kami," katanya.

Menurutnya, mengikut perjanjian asal pada tahun ini, Pakistan dijadualkan menghantar 179,210 jemaah dari jumlah itu 50 peratus dikendalikan oleh kerajaan dan 50 peratus lagi dikendalikan oleh operator swasta.

"Kini kami hanya mendapat 71,684 jemaah sahaja dengan purata 200 bagi setiap syarikat pengendali haji,' katanya.

Menteri Hal Ehwal Agama Pakistan, Sardar Muhammad Yousaf berkata, tindakan agensi melakukan protes adalah tidak munasabah.

"Krisis itu dialami semua negara di dunia dan bukan hanya berlaku di Pakistan. Apa boleh kerajaan lakukan?. Kami juga terpaksa mengalami kerugian dan terpaksa  membayar semula wang tempahan kepada bakal jemaah," katanya.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa membayar semula lebih RM 15 bilion kepada bakal jemaah setakat ini.

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Virus korona, Saudi beri amaran

Oleh:

Tarikh: July 15, 2013

RIYADH - ARAB SAUDI. Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengeluarkan amaran meminta jemaah Haji untuk memakai topeng mulut ketika berada di tempat sesak sebagai langkah untuk menghentikan penyebaran virus berbahaya, Mers-CoV di negara itu.

Selain itu, kerajaan Saudi turut menasihatkan mana-mana warga emas yang menghidapi penyakit kronik menangguhkan niat mereka untuk menunaikan haji pada musim ini.

Dipetik Press TV, para jemaah haji juga diminta untuk menjaga kebersihan peribadi dan awam seperti menggunakan tisu apabila bersin atau batuk serta mengambil vaksin yang diperlukan.

Virus pembawa maut seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars) tersebut pertama kali dikesan di Timur Tengah pada September lalu dan ia dilaporkan telah tersebar ke beberapa negara lain termasuk Britain.

Pegawai kesihatan kini sedang berusaha untuk mengenal pasti bagaimana ia boleh menjangkiti manusia selain mencari penawar terbaik untuk penyakit itu.

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Padah akibat curi selimut

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 15, 2013

KOTA BHARU - Angkara curi selimut Toto di sebuah pasar di sini, bulan lalu, seorang tukang rumah warga Thailand dihukum penjara 20 hari oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman itu diputuskan Majistret Nik Habri Muhamad selepas tertuduh, Mr Yahya Vatae, 28, mengaku bersalah.

Dia didakwa mencuri barangan bernilai RM325 di tingkat dua Pasar Siti Khadijah di sini, pada jam 1.50 petang, 21 Jun.

Pada prosiding semalam, Nik Habri turut mengenakan denda RM500 terhadap tertuduh atas kesalahan itu dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama dua bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda itu.

Dalam kejadian itu, rakan pengadu yang melihat perlakuan tertuduh segera menghubungi pengadu sebelum mereka mencari tertuduh dan berjumpa dengan lelaki itu ketika sedang membawa lima selimut Toto milik pengadu.

Tertuduh kemudian berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Liyana Mad Zukri.

 


 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Isu Klang: Polis kesan penyebar info palsu

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 15, 2013

KLANG - Polis sedang menjejaki individu yang menyebarkan maklumat palsu kononnya berlaku rusuhan kaum di kawasan Klang Utara, susulan tiga insiden pergaduhan sejak Rabu lalu termasuk dua kejadian di Flat Rebana, Bandar Baru Bukit Raja serta serangan di Sungai Pinang, di sini, awal pagi, semalam.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, penyebaran khabar angin itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) serta beberapa laman sosial termasuk Facebook adalah tidak berasas dan boleh menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat.

Katanya, ketiga-tiga kejadian berlaku pada Rabu, Khamis serta semalam adalah tiga kejadian berasingan dan tiada kaitan antara satu sama lain.

"Perbuatan ini (sebar) adalah tindakan tidak bertanggungjawab, kerana ketiga-tiga kejadian itu adalah kejadian berlainan.

"Tiada rusuhan kaum seperti didakwa kerana daerah ini aman serta berada dalam keadaan baik. Kita bagi amaran kepada mereka terlibat untuk hentikan segera perbuatan itu," katanya pada sidang akhbar, semalam.

Menurutnya, polis sedang mengenal pasti individu terlibat dan jika ditahan boleh dikenakan tindakan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, sesiapa mempunyai maklumat atau ada sebarang kemusykilan diminta segera berhubung dengan polis dan jangan bertindak sendiri.

"Beri kerjasama kepada polis kerana kita memandang serius perkara ini dan berusaha untuk mengawal situasi yang berlaku," katanya.

Kelmarin, maklumat tersebar mendakwa kononnya kaum India beramai-ramai berkumpul di satu lokasi untuk menyerang kaum Melayu dan serangan dikatakan bermula dari Jalan Haji Manan, Kapar, di sini, sehingga ke kawasan berhampiran.

Mengulas berhubung pergaduhan antara dua kumpulan di Flat Rebana pada malam Khamis lalu, Thaiveegan berkata, insiden itu sebenarnya berpunca daripada salah faham ekoran satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta pada hari sebelumnya di Jalan Sungai Keramat.

Katanya, berlaku perang mulut sebelum kumpulan lelaki yang menaiki kereta memukul seorang daripada mangsa yang menunggang motosikal.

Menurutnya, mangsa yang tidak berpuas hati memanggil rakan-rakannya sebelum menyerang kumpulan lelaki yang memukulnya di kawasan flat terbabit.

 Katanya, polis bagaimanapun sudah menahan tiga suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.

Thaiveegan berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 24 dan 32 tahun di sekitar Sungai Pinang, di sini, kira-kira jam 4.30 pagi, semalam, selepas mereka bersama lapan lagi rakan dikenal pasti menyerang tiga lelaki berusia 20-an menggunakan parang dan kayu besbol di kawasan sama dua jam sebelum itu.

Menurutnya, kes itu juga bukan bermotifkan perkauman tetapi berkaitan dendam lama kerana kumpulan menyerang mencari suspek yang membakar motosikal milik rakan mereka pada Februari lalu.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Bufet Ramadan hanya membazir

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 15, 2013

KETIBAAN Ramadan disambut meriah saban tahun, tidak kurang juga kemunculan pelbagai tawaran dan pakej untuk merancakkan lagi kedatangan bulan mulia ini.

Namun, tinjauan Sinar Harian mendapati reaksi orang ramai kurang berpuas hati dengan bufet Ramadan yang disajikan di kebanyakan restoran dan hotel kerana disifatkan mahal serta mengundang pembaziran.

Seorang penjawat awam, Nurdin Farhan, 29, berkata, bagi sesetengah orang berbuka puasa di hotel dan restoran mewah kebelakangan ini sudah  menjadi budaya di bulan Ramadan yang kononnya adalah satu gaya hidup berprestij dan satu kemegahan.

"Harga yang perlu dibayar untuk berbuka di tempat seperti ini memang mahal. Kalau tengok iklan bufet Ramadan harga paling murah ialah RM40 seorang, malah sesetengah hotel mengenakan RM120 seorang.

"Jangan terlalu gembira dan mudah terpengaruh untuk berbuka puasa di hotel atau di restoran besar. Sebagai orang Islam yang prihatin, kita  perlu bertanya kepada penganjur atau orang yang mengundang adakah hotel berkenan mempunyai sijil halal yang disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)?," katanya.

Dalam pada itu, Norkhairunnisa Din, 27, berkata, walau ada beratus juadah, saiz perut kita tetap sama. Biasanya setelah minum segelas air dan makan dua tiga keping kuih, tidak banyak lagi yang boleh kita makan. Paling-paling pun hanya sepinggan nasi, sepotong kambing panggang, seekor dua udang goreng.

"Kalau dinilai makanan yang kita ambil lebih-lebih pun RM20 seorang. Kalau dibeli di gerai biasa mungkin tidak sampai RM10. Tidakkah satu pembaziran membayar RM100 hanya untuk sepinggan nasi dan sepotong daging? Tidakkah membazir itu sahabat iblis?," katanya.

Seorang pekerja swasta Fauzi Ahmad, 25, berkata, biasanya pelawaan bufet Ramadan datangnya daripada rakan tempat bekerja untuk berbuka bersama.

"Bagaimanapun, ia lebih kepada pembaziran berbanding kebaikan.

"Tawaran pakej yang tinggi seolah-olah mendidik kita menjadi pelahap sedangkan selepas azan berkumandang makan sebiji kurma, sepinggan nasi berlauk dan segelas air sudah cukup mengenyangkan dan harganya biasanya tidak sampai RM5," katanya.

Sementara itu, seorang usahawan, Zulfadli Faiz, 28 pula berkata, tawaran pakej Bufet Ramadan hanya menguntungkan pihak hotel dan restoran sahaja dan merugikan pelanggan.

"Kebanyakan pelanggan hanya memenuhkan pinggan supaya berbaloi dengan harga yang dibayar bagaimanapun  tidak termakan makanan yang di ambil dan terbiar begitu sahaja.

"Itu sebab pihak hotel atau restoran sanggup buat bufet Ramadan ini kerana tahu mereka tidak akan rugi," katanya.

Seorang anggota keselamatan, Azlan Mohd Noor, 27, pula berkata, tiada manusia pun yang mampu untuk menghabiskan semua makanan yang dihidangkan dalam tempoh dua jam dan ini menjadi punca utama pembaziran.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Ma'amor Osman mencadangkan agar pengusaha restoran dan hotel lebih menyantuni golongan anak yatim, orang tua dan kanak-kanak kurang bernasib baik bukan hanya sekadar mengaut untung semata-mata.

"Tidak dapat dinafikan harga pakej yang ditawarkan Bufet Ramadan sangat tinggi, itu ialah sikap peniaga yang mahu mengaut keuntungan dan memanfaatkan peluang sedia ada. Pengguna harus bijak memilih tawaran," katanya.

Ma'amor berkata, sepanjang Bufet Ramadan banyak menu enak dihidangkan oleh yang demikian, pengusaha sewajarnya menyajikan nilai tambah kepada setiap pelanggan yang mengunjungi premis mereka dengan mempamerkan jumlah kalori pada setiap makanan agar pemilihan makanan dapat dilakukan bagi mengelak penyakit.

"Selain itu, diharapkan pengusaha supaya menyediakan panduan amalan pemakanan yang sihat dan betul kepada pelanggan," katanya.

Dari sisi positif pula, Malaysia sebagai destinasi kunjungan pelancong perlu memberi gambaran sebenar rakyat Malaysia sama ada Islam atau bukan Islam meraikan Ramadan dengan penuh kemeriahan.

"Ini akan membawa budaya positif kepada pelancong luar di samping berpeluang menikmati makanan popular Malaysia yang sukar didapati melainkan pada bulan puasa dan musim perayaan. "Dalam pada itu, bagi syarikat-syarikat besar inilah kesempatan mereka untuk berkongsi rezeki dengan meraikan pekerja, pelanggan dan juga  anak yatim," katanya.

Sementara itu, pengguna seharusnya bertanggungjawab atas perbelanjaan sendiri dan tidak boleh mengharapkan pihak lain dengan mendakwa pengusaha restoran dan hotel cekik darah sedangkan pilihan itu ada di tangan mereka.

"Hotel hanya menjalankan pakej berdasarkan tingkah laku konsumer bagaimanapun, perlu menitik beratkan penghayatan Ramadan dengan menghormati bulan mulia ini dengan memastikan taraf halal yang disahkan daripada Jakim, pakaian pengendali makanan tidak terlalu terdedah dan muzik yang bersesuaian dengan majlis.

"Kepada pengguna adalah lebih baik berbuka puasa di rumah tetapi tidak ada salahnya untuk memilih berbuka puasa di restoran mewah ataupun hotel bersama keluarga sekali sekala janganlah selalu tanpa mengabaikan waktu solat," katanya.

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Perang bufet sepanjang puasa

Oleh: RUWAIDA MD ZAIN, NURUL FATIHA MUAH, , SITI AISAH HABIRIN & JANATUL FIRDAUS YAACOB

Tarikh: July 15, 2013

TIGA biji kurma, segelas sirap bandung, sepinggan spageti, semangkuk soto ayam, kailan ikan masin, kari kepala ikan, sepiring puteri mandi, sepinggan Nasi Arab, ketam goreng bercili, ayam golek istimewa, sup gearbox, jus buah-buahan, koktel, kek coklat, kambing salai, tepung pelita, tomyam campur.

Jika juadah di atas terhidang di meja anda, sudah pasti anda berpuas hati dan rasa berbaloi mengeluarkan tunai atau kad kredit semasa membuat tempahan beberapa hari sebelumnya.

Mungkin itu baru sebahagian dari pakej bufet Ramadan anda hari ini, namun mampu juadah tersebut dinikmati satu persatu tanpa sebarang pembaziran.

Kebelakangan ini, budaya bufet Ramadan cukup popular di Malaysia, sama ada berbuka puasa bersama keluarga sanak saudara, sahabat handai, rakan sekerja mahupun rakan perniagaan.

Sebulan sebelum tiba 1 Ramadan, promosi bufet Ramadan tersiar di sana sini baik melalui media cetak, media elektronik juga Internet, tidak kurang juga risalah, pamflet serta banner yang dinaikkan di sekitar hotel lima bintang, restoran terkemuka dan sebagainya.

Perang harga makanan juga cukup hebat, ada pakej serendah RM20+ untuk seorang, ada juga mencecah RM150+ berserta cabutan bertuah yang lumayan.

Namun sama ada berbaloi atau membazir, masing-masing mempunyai pendapat sendiri memandangkan pilihan terlalu banyak, siapa yang bijak sudah pasti poket selamat.

Sinar Harian membawa pembaca kali ini melihat pro dan kontra di sebalik bufet Ramadan  yang mempersembahkan warna-warni juadah dari seluruh negara termasuk makanan Barat, Timur Tengah, masakan Cina dan juga Thai.

Cipta kelainan tersendiri

Bufet Ramadan cukup sinonim dengan hotel bertaraf lima bintang sehingga hotel tiada bintang, termasuk restoran dan premis makanan yang menyajikan 1001 menu dari timur dan barat.

Masing-masing berlumba-lumba menampilkan keistimewaan tersendiri dengan mengekalkan prestasi makanan, keenakan rasa, harga berpatutan, layanan bertaraf A, tempat makan yang selesa serta menyediakan kemudahan beribadat.

Bagi Hotel Seri Pasific Kuala Lumpur, harga makanan dikekalkan agar pelanggan tetap menjadi hotel tersebut destinasi berbuka puasa pilihan di samping menarik lebih ramai pelanggan baru.

Malah Pengurus Komunikasi Pemasarannya, Zarina Jaafar berkata, hotel berkenaan sentiasa berusaha mengekalkan rasa di mana sukatan ramuan serta bahan mentah yang lengkap dan mencukupi.

Bagaimanapun katanya, sasaran mereka minggu kedua memandangkan pada minggu pertama Ramadan, kebanyakan orang ramai mengambil peluang berbuka puasa di rumah bersama keluarga atau pulang ke kampung halaman.

"Lebih 100 juadah ada di Seri Pasific Hotel, dari pembuka selera sehingga pencuci mulut, Sup Gear Box menjadi tarikan di sini. Apa yang penting, harga murah, makanan sedap dan portion yang bersesuaian. Sudah pasti ada diskaun kepada pelanggan kita," katanya.

Hotel Grand Bluewave Shah Alam juga mengekalkan harga makanan tetapi memvariasikan pakej di mana terdapat pakej awal Ramadan, pakej hujung minggu, pakej keluarga dan sebagainya.

Pengurus Perhubungan Awam, Achiek Sidek berkata, di samping itu, hotel tersebut tetap mengutamakan makanan halal, bersih dan suci dengan menjadinya sebagai pusat sehenti untuk makanan halal dari seluruh pelosok dunia.

Katanya, tempahan setakat ini juga amat memberangsang memandangkan promosi dilakukan sebulan sebelum Ramadan.

"Kita mengutamakan makanan halal, tidak kira makanan tradisional, Barat, India dan China.
Pakej harga pula tiada beza cuma persembahan makanan lebih menarik berbanding tahun lalu.

"Sasaran kami semua lapisan masyarakat, keluarga, individu, korporat dengan diskaun kepada warga emas dan kanak-kanak," katanya.

Hotel Concorde Shah Alam pula tidak kurang hebatnya kerana menyediakan cabutan bertuah termasuk penginapan  kepada pengunjung selain hidangan lazat berbuka puasa.

Pengarah Urusannya, Karl Muir berkata, Concorde menawarkan harga istimewa pada RM69.00 + + setiap orang tiga hari pertama dan tiga hari terakhir bulan Ramadan.

Bagaimanapun katanya, terdapat sedikit perbezaan harga di mana Concorde menaikkan sebanyak RM3 berbanding RM86 tahun lalu.

"Tahun ini harga buffet Ramadan RM89.00++/ dewasa dan RM44.50++ /kanak-kanak. Manakala pengunjung ke 11 setiap kumpulan yang hadir adalah percuma," katanya.

 Mengulas mengenai sambutan pula katanya, masih awal untuk membuat penilaian memandangkan Ramadan baru masuk hari kelima.

"Bagi kami, ini satu permulaan positif, biasanya kemuncaknya sambutan pengunjung pada minggu kedua bulan Ramadan.

 "Sasaran berbuka puasa di hotel kami adalah keluarga, rakan, korporat, majlis keraian dan sambutan dan tempahan katering di luar," katanya.

Sementara itu, Segi Seri Sdn Bhd menyediakan juadah yang lebih menguntungkan pengunjung berbanding tahun lalu di mana pelanggan mempunyai pilihan sebanyak 201 juadah.

Pegawai Pemasarannya, Farah Amira Ahmad Fozee berkata, harga pula ditentukan berdasarkan kepada kepelbagaian makanan yang merangkumi 201 juadah secara bufet dan gerai.

"Setakat ini, tempahan yang diterima sangat memberangsangkan. Selain itu, tempahan walk-in juga diterima.

"Tahun ini, kami lebih fokus untuk menarik pelanggan dalam kalangan individu, berkeluarga, agensi kerajaan dan korporat," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Nasib Mursi di tangan rakyat

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 15, 2013

PENGGULINGAN Presiden Mesir, Dr Mohamed Mursi oleh tentera yang didalangi Amerika Syarikat, awal Julai lalu, telah menggemparkan seluruh masyarakat dunia, termasuk di Malaysia. Ramai melihat penggulingan sebagai kejam dan tidak adil kepada Mursi yang baru mentadbir selama setahun bermula pada 2012. Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Haslina Kamaludin dan Norutul Ilham Md Jari bersama Penganalisis Politik Asia Barat dan Afrika, DR MASZLEE MALIK, untuk mengulas mengenai isu sebenar di sebalik penggulingan ini.

Apakah punca kebangkitan Mesir?

Peristiwa hari ini adalah apa yang berlaku pada revolusi 25 Januari 2011 di Mesir. Ia menandakan permulaan era baru bagi Mesir selepas beberapa dekad diperintah diktator dan mantan tentera bermula 1952 oleh Jeneral Gamal Abdel Nasser diikuti Anwar Sadat dan Hosni Mubarak. Mubarak paling lama memerintah, digulingkan pada Januari 2011 oleh kebangkitan rakyat yang bersatu ketika itu.

Selepas Mubarak dijatuhkan, tentera mengambil alih untuk proses sementara, berlaku pilihan raya dan transisi demokrasi. Rakyat bangkit tolak tentera agar melepaskan kuasa. Pilihan raya dijalankan tiga kali pusingan yang berakhir Disember 2011. Akhirnya terbentuk kerajaan didominasi Ikhwanul Muslimin yang mendapat 50 peratus. Ikhwanul Muslimin adalah pertubuhan gerakan hampir 90 tahun, paling tersusun, teratur dan berpengaruh dalam rakyat Mesir.

Siapa sebenarnya Ikhwanul Muslimin?

Selama ini mereka tidak bangkit sebagai kuasa politik. Pertubuhan itu diharamkan pada zaman pemerintahan Anwar Sadat dan Hosni Mubarak, jadi mereka bergerak sebagai gerakan bawah tanah. Namun kumpulan ini mempunyai kekuatan dari segi melakukan kerja kebajikan masyarakat. Ahli Ikhwanul Muslimin daripada kalangan ahli kesatuan sekerja, persatuan profesional dan pelajar universiti. Tetapi untuk bergelar sebagai ahli politik, Ikhwanul Muslimin tidak dibenarkan kerana Perlembagaan Mesir melarang parti politik berteraskan agama ini bertanding, ia berlaku sebelum Mubarak. Selepas Mubarak jatuh, demokrasi dijanjikan dan mereka menubuhkan parti politik, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang memenangi 50 peratus.

Siapakah menggulingkan perjuangan Ikhwanul Muslimin?

Pada waktu Mursi naik, mula berlaku krisis di Mesir apabila ada golongan tidak suka dengan Ikhwanul Muslimin, sama ada saki baki rejim, Mubarak ataupun golongan sekular, liberal dan berhaluan kiri. Mereka tidak suka isu ideologi ataupun pergolakan kuasa. Sejak awal lagi sudah menyatakan tidak setuju (dengan Mursi) dan termasuk golongan Kristian Koptik.

Tidak dinafikan golongan Kristian Koptik paranoia terhadap gerakan Ikhwanul Muslimin. Mereka memainkan peranan besar kerana banyak duit dan antara dalang utama yang menjatuhkan kerajaan Ikhwanul Muslimin. Mereka memiliki media yang  digunakan untuk serang Ikhwanul Muslimin dan seakan ada unsur Islam fobia. Mereka sebahagian daripada pemberontak.

Bagaimana reaksi golongan sekular?

Dengan golongan sekular, walaupun mereka mendapat kerajaan, tetapi birokrasi kerajaan masih lagi di bawah pengaruh rejim lama, iaitu dikenali sebagai Fuloul yang menguasai birokrasi. Walaupun kerajaan baru sudah dapat Parlimen, tapi birokrasi masih kepada Mubarak lagi. Polis masih lagi berpihak kepada rejim lama. Apabila polis tidak bekerjasama, keadaan kucar-kacir. Jadi kerajaan baru dan ada kuasa, tapi mereka tidak kuasai perkara ini, itu yang mereka hadapi. Media juga memainkan peranan. Bayangkan kita ada media milik kerajaan tapi tidak menyebelahi kerajaan.

Apakah faktor penggulingan Mursi?

Keadaan ekonomi dan keselamatan di Mesir dijadikan faktor Mursi dan Ikhwanul Muslimin dipersalahkan. Ditambah pula media setiap hari memperlekeh, menghina dan menfitnah sehingga bertambah setiap hari siri-siri demokrasi. Kemuncaknya pada 30 Jun lalu mereka menyambut setahun Mursi naik jadi Presiden. Apa yang berlaku adalah kebangkitan rakyat dan kumpulan Tamarud (pemberontak). Mereka adalah gabungan sekular, saki-baki rejim, dan golongan berhaluan kiri.

Apabila Ikhwanul Muslimin dan Mursi menang, mereka mula berbaik dengan Barat untuk tarik pelabur. Kebanyakan golongan keliling Mursi adalah peniaga yang perlu untuk bangunkan ekonomi Mesir. Namun, ada parti sosialis menggunakan hujah bahawa Ikhwan ini ejen Amerika dan  liberalis baru. Jadi, mereka turut serta dalam menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Kumpulan lain iaitu golongan saki-baki Ikhwan yang tidak setuju pencalonan Mursi dan Ikhwan hantar wakil untuk jadi presiden, diketuai mantan orang kuat Ikhwanul Muslimin yang terlibat dalam pemberontakan ini.

Turut terlibat, pemuda revolusi pada 25 Januari 2011dengan harapan untuk dapatkan negara lebih terbuka dan bebas. Mereka pernah jatuhkan Mubarak, maka tak susah untuk jatuhkan Mursi. Kumpulan ini bercampur dengan golongan Salafi, yang asalnya bersama dengan Ikhwan untuk bentuk Perlembagaan. Malah presiden mereka dipilih untuk jadi sebahagian daripada Majlis Presiden. Golongan ini menegaskan mereka menentang Ikhwan bukan kerana mahu lawan Islam, tetapi ada kelemahan yang wujud dalam Ikhwan yang mereka nampak.

Adakah rakyat tidak faham demokrasi?

Bagi rakyat, mereka tak perlu cerita apa, cuma bagilah peluang sekurang-kurangnya empat tahun, dia (Mursi) dipilih, diberi mandat sebagai Presiden empat tahun.Untuk berlaku adil kepada Mursi, mereka (rakyat) perlu lakukan banyak perkara, dalam tangan yang terikat, dalam keadaan pihak birokrasi tidak bekerjasama, dalam keadaan peniaga tidak memberikan kerjasama, media hentam kerajaan setiap hari dan polis yang tidak beri kerjasama.

Dalam keadaan itu pun, Mursi buat banyak perubahan, bawa masuk pelabur, ekonomi pun secara relatifnya pun meningkat berbanding 2011. Pada 2012 ada peningkatan dan pembukaan kilang baru. Mursi mempunyai projek dinamakan Kebangkitan, mereka panggil (bekas Perdana Menteri Malaysia) Tun Dr Mahathir Mohamed untuk bincang kerana mahu ambil pengalaman Malaysia. Mereka pergi ke Amerika Syarikat, Singapura dan negara barat untuk dapatkan pengalaman untuk meningkatkan hubungan dagang.

Ini berlaku, bukan bermaksud Mursi tidak tahu, lagi pun mereka baru setahun dan tidak banyak usaha dapat dilakukan. Sepatutnya puak pemberontak lebih membantu bukannya meruntuhkan. Dalam keadaan terpaksa berhadapan dengan orang berdemonstrasi setiap hari, rakyat tidak mempunyai banyak pilihan lagi.

Apakah kelemahan Ikhwanul Muslimin?

Mereka terlalu percaya tentera untuk mempertahankan mereka. Mursi pandang rendah keupayaan golongan pemberontak ini dan  ucapannya seakan mahu berlawan sahaja dengan mereka. Ini nampak kekurangan Mursi dalam kebijakan berpolitik. Ikhwanul Muslimin juga hidup dalam paranoia, 80 tahun bawah tanah dan hidup dalam penjara. Jadi apabila berada di atas, dia tidak boleh jika ada orang nak menentang, orang cakap ada orang nak kenakan dia dan tidak nampak peluang melalui ruang yang boleh terokai.

Contoh yang sama turut berlaku di Turki. Namun, kenapa Turki boleh kawal perkara itu malah boleh bertahan sehingga 10 tahun. Bukan tidak ada usaha untuk menggulingkan pemimpin, beberapa kali tentera mahu menggulingkan Recep Tayyip Erdogan (Perdana Menteri Turki). Di Turki bukan kali pertama kes apabila parti Islam naik terus mahu digulingkan berlaku, yang paling kemuncak adalah di zaman pemerintahan (Prof Dr Necmettin) Erbakan.

Saya masih ingat lagi 2011, Erdogan datang ke Mesir dan dalam ucapannya dia kata Mesir kena jadi negara sekular untuk Islam naik. Tetapi Ikhwanul Muslimin tidak setuju, Turki tidak sama dengan Mesir, rakyat Mesir mahukan Islam, itu Erdogan tidak nafikan.

Komen Dr mengenai penggulingan Mursi?

Bagi pendapat saya sebagai pemerhati politik, pemimpin perlu bijak berhadapan dengan kuasa besar dan pihak yang tidak suka kepadanya. Mungkin dari segi ini, Ikhwanul Muslimin mempunyai strategi sendiri, ternyata strategi yang mereka buat mungkin tidak sesuai dan kelihatan seperti mereka mahu cepat dan gopoh sangat. Ini harga yang mereka terpaksa bayar.

Sungguhpun demikian tidak boleh beri justifikasi penggulingan kuasa Ikhwanul Muslimin oleh pihak tentera kerana pihak tentera yang sekarang dilantik Mursi.

Mursi sendiri telah guling jeneral lama dan menggantikan jawatan jeneral daripada kalangan rakannya. Jadi orang akan lihat, berlakunya politik dalaman dan penggulingan kuasa ini berlaku kerana Ikhwanul Muslimin masih belum mahir dengan selok-belok politik lagi.

Apakah hala tuju gerakan Ikhwanul Muslimin untuk mengembalikan kuasa Mursi?

Apa yang kita pasti bagi pihak Ikhwanul Muslimin, mereka akan keluar berdemonstrasi secara aman, sehingga kuasa dikembalikan kepada Mursi, kerana Mursi telah dilantik rakyat melalui suara majoriti melalui pilihan raya yang sah dan diiktiraf oleh antarabangsa.

Mengikut sistem demokrasi, jika yang tidak setuju atau tidak sependapat mekanisme pilihan raya akan digunakan. Kalau tidak setuju, tunggu empat tahun, beri peluang projek yang ingin dibuat.
Apa yang berlaku di Mesir sekarang adalah pencabulan terhadap demokrasi, perlembagaan dan pengkhianatan kepada revolusi pada 25 Januari 2011.

Bagi penyokong Ikhwanul Muslimin, mereka akan tetap berdemo dan berkumpul di beberapa tempat, untuk menuntut supaya tentera kembalikan kuasa dan saya yakin anggota Ikhwanul Muslimin yang berdisiplin ini akan mengikut cakap Mursyidul Amnya untuk kekal sehingga perkara itu berlaku.

Apakah risiko yang mungkin berlaku?

Cuma apa yang dirisaukan adalah, kalangan penyokong Mursi daripada Ikhwanul Muslimin adalah kumpulan radikal, iaitu kumpulan yang boleh lakukan pengeboman dan sebagainya.

 Apabila berlaku revolusi mereka sudah bertaubat dan meninggalkan keganasan dan ingin berpolitik, kita lihat mereka antara pendukung Mursi.

Bagaimanapun ada antara mereka berkata, "Lihatlah, demokrasi telah pun khianati kita dan demokrasi bukan caranya, jadi kita kembalikan ke zaman dulu dan angkat senjata kembali melakukan perlawanan dengan pihak tentera."

Ini bakal mengulangi kejadian berlaku di Algeria 1991, ketika parti Islam menang dan ambil alih kuasa yang pada masa itu, muncul pula kumpulan radikal yang angkat senjata untuk lawan tentera yang akhirnya berlaku perang saudara, ini yang kita takuti jika dibiarkan dan kalau tentera masih lagi degil, masalah ini jadi lebih radikal lagi.

Adakah kumpulan pemberontak dan pembangkang boleh mentadbir Mesir?

Walaupun mereka nampak bersama tapi sebenarnya mereka tidak bersatu, mereka hanya boleh bersatu untuk jatuhkan Mursi. Tetapi untuk bersama memerintah, tidak mungkin kerana kita lihat dua tiga hari ini mereka gagal lantik Perdana Menteri daripada kalangan mereka sendiri.

Presiden telah dilantik oleh jeneral, tapi nak lantik Perdana Menteri bagi kerajaan sementara yang dicadangkan adalah Elbaradei. Beliau adalah bekas pakar nuklear, beliau tokoh dalam kumpulan pembangkang yang memainkan peranan penting, tetapi kumpulan Salafi berjaya halang. Sekarang, tentera menjanjikan bahawa selepas ini akan ada pilihan presiden dan umum, saya yakin seperti mana pilihan raya umum lalu, golongan liberal ini sekular tidak boleh bersatu, apatah lagi untuk membentuk kumpulan pembangkang, jadi mereka tidak akan ke mana-mana.
Kalau mereka tidak boleh bersatu, bermakna Ikhwanul Muslimin akan menang lagi. Walaupun pihak tentera sendiri nak jalankan pilihan raya dan sebagainya, saya pasti yang Ikhwanul Muslimin masih tetap akan menang.
Ikhwan adalah organisasi yang paling tersusun, namun persoalannya adakah mereka akan benarkan Ikhwan bertanding, nanti.

Apakah nasib Ikhwanul Muslimin apabila diadakan pilihan raya?

Jadi saya jangkakan parti Ikhwanul Muslimin akan diharamkan, perlembagaan sekarang tergantung jadi kalau nak jalankan pilihan raya, mereka akan adakan peraturan dan undang-undang baru yang pastinya tidak memihak kepada Ikhwan. Ikhwan mungkin akan ditutup dan pimpinan mereka yang berpotensi dalam pilihan raya akan ditangkap. Tidak pasti sama ada pilihan raya itu nanti akan diadakan secara bersih atau tidak. Ini yang diperkatakan oleh penganalisis sebab mereka tahu Ihkwanul Muslimin akan menang, kerana peluangnya besar.

Bagaimana pandangan negara luar terhadap penggulingan Mursi?

Agak menarik kerana ada beberapa negara yang pro demokrasi dan Mursi menolak segala pemberontakan yang dilakukan tentera, Turki, yang menyatakan bantahan yang jelas sebagai contoh.

Iran walaupun agak tidak bersetuju dengan Mursi dan Syria, tapi nampaknya mereka tidak setuju tentera ambil alih kuasa. United Kingdom juga kita tengok nyatakan bantahan mengenai rampasan kuasa. Amerika Syarikat (AS) pula, kita tidak tahu apa-apa pendirian negara itu, malah Presiden AS, Barack Obama sendiri keluarkan kenyataan tidak menyokong mana-mana parti dalam tempoh peralihan. Namun, mereka bersikap hipokrit kenapa tidak kutuk yang ekstrem kerana melanggar undang-undang.

Ada juga negara yang anti Ikhwan, menyokong rampasan kuasa dan pemerintahan tentera, seperti Saudi, Kuwait, Maghribi dan Emirates (Emiriah Arab Bersatu), Emirates sememangnya anti Mesir dan  baru-baru ini mereka menangkap aktivis Ikhwanul Muslimin kerana tidak mahu Arab spring singgah di negara mereka. Malaysia pula masih tidak jelas dengan pendirian, kalau nak ikutkan Malaysia menyokong Ikhwan atau tidak menyokong kepada pemberontakan, sebenarnya faedahnya tinggi.

Bilakah pilihan raya akan diadakan?

Jangkaan pilihan raya pula terpulang kepada tentera walaupun ada yang kata dalam masa terdekat.  Mungkin ada undang-undang pilihan raya baru dibuat untuk kekalkan kemenangan mereka atau mungkin mereka tidak akan benarkan parti berteraskan agama dan parti terlibat dengan subversif. Ini kerana mereka kini mungkin akan dikenakan tindakan berdasarkan ucapan pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin yang disalahertikan, jadi mereka akan buat tangkapan.

Contohnya baru-baru ini, orang penting dalam Ikhwanul Muslimin ditangkap kerana membuat kenyataan yang boleh membuatkan peperangan saudara.

Mursi akan dikenakan perkara sama termasuk Mursyidul Am akan dikenakan perkara sama kerana menyatakan mereka akan mempertahankan hak rakyat dengan nyawa dan darah sekalipun. Mungkin mereka akan ditafsirkan berperang, sedangkan mereka mahu bertahan dan ada pihak akan kata ia menggalakkan pertempuran.

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Mesir mahu siasat Mursi

Oleh:

Tarikh: July 15, 2013

KAHERAH - MESIR. Presiden Mesir, Mohammed Mursi bakal berhadapan tuntutan siasatan jenayah selepas dituduh melakukan pengintipan, menghasut keganasan dan gagal menangani masalah ekonomi di negara itu.

Dipetik Press TV, tuduhan terbabit dibuat bagi membolehkan pendakwa raya membuka kertas siasatan bagi mendakwa Mursi.

Menurut Pejabat Pendakwa Raya, segala tuduhan itu dibuat selepas mendapat aduan daripada individu yang dirahsiakan.

"Selain Mursi, lapan lagi nama turut tersenarai termasuk Musyidul Am Ikhwanul  Muslimin Mohamed Badie," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri sementara, Hazem El-Beblawi mengumumkan barisan Kabinet selepas rampasan kuasa dua minggu lalu.

Hazem berkata, seramai 30 anggota dipilih bagi mengisi jawatan dalam pentadbiran baru Mesir.

Dalam perkembangan berkaitan, gerakan Ikhwanul Muslimin meneruskan demonstrasi aman bagi menuntut Mursi dibebaskan segera.

Pemimpin Kanan Ikhwanul Muslim Essam El-Erian berkata, seorang anggota mereka ditahan Isnin lalu selepas bertempur dengan anggota keselamatan hingga menyebabkan 90 terbunuh sehingga kelmarin.

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Perintah berkurung, tentera diarah siap sedia

Oleh:

Tarikh: July 15, 2013

NEW DELHI - INDIA. Semua premis perniagaan dan sekolah diarahkan tutup susulan rancangan kumpulan pro-kebebasan merancang mengadakan perarakan sempena ulang tahun peringatan ke-82 pemberontakan di rantau Himalaya.

Media tempatan India Times melaporkan polis dan askar separa tentera dikerahkan ke jalan-jalan utama di Srinagar, wilayah Kashmir, utara New Delhi untuk melakukan kawalan keselamatan.

"Sekatan jalan raya dibuat bagi menghalang kumpulan itu memasuki bandar," kata pegawai kanan polis.

Jumaat lalu, ketua pro-kebebasan Syed Ali Geelani dan timbalannya Mirwaiz Umar Farooq diletakkan di bawah tahanan rumah untuk menghalang mereka daripada berarak ke Mazar e-Shohada.

Dalam kejadian itu, enam pengikut mereka cedera selepas pertempuran tercetus dengan pasukan keselamatan.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Jais ambil tindakan pihak hina Islam

Oleh: NIZAM ZAIN

Tarikh: July 15, 2013

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkemungkinan akan mengambil tindakan terhadap pasangan yang mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar kontroversi sehingga menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, di laman Facebook mereka.

Pengarah Jais, Datuk Marzuki Husin berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pasangan kontroversi, Tan Jye Yee (Alvin), 25 dan Vivian Lee, 24, kerana memuat naik gambar sedang menikmati hidangan tidak halal dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh...wangi enak dan menyelerakan' berserta logo halal.

Tegasnya, tindakan pasangan terbabit boleh disabit salah sama seperti penganjur program di Damansara Utama Methodist Church yang dipercayai cuba mengkristiankan umat Islam pada bulan puasa tidak lama dahulu.

"Jais berpendirian tidak sepatutnya perkara itu dibiarkan berlaku.

"Sebagai rakyat Malaysia berbilang kaum, sepatutnya mereka menghormati keharmonian antara kaum dan agama yang dipupuk sejak 50 tahun lalu.

"Seperti isu-isu lain, kalau terbukti mereka menghina dan persendakan Islam, kita akan ambil tindakan seperti kes gereja tidak lama dahulu," katanya kepada Sinar Harian Online selepas merasmikan Program Berbuka Puasa dan Tazkirah Santai Ramadan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas perbuatan tidak bertanggungjawab dua remaja terbabit yang telah mencetuskan kemarahan umat Islam apabila memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh tersebut, Jumaat lalu.

Pasangan itu memaparkan gambar di laman Facebook kononnya mereka sedang menikmati makanan yang tidak halal.

Dalam pada itu, Marzuki menegaskan sepatutnya bulan puasa dimanfaatkan untuk memperbaiki iman dan ketaqwaan kepada ALLAH, bukannya menimbulkan kebencian sesama insan.

Menerusi Program Berbuka Puasa dan Tazkirah Santai Ramadan anjuran Bahagian Dakwah Jais dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu tegasnya, sekaligus dapat membendung budaya negatif yang kerap kali dimanipulasikan sesetengah pihak di media sosial.

"Kita harap program berbentuk Islamik ini dapat menyuburkan keimanan dan mempertingkatkan jati diri khususnya masyarakat," tegasnya.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi, dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memanggil pasangan itu yang juga bekas penuntut National University of Singapore untuk memberi keterangan hari ini.   

Pengerusinya, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi mengesahkan bahawa kedua-dua individu, Alvin Tan dan Vivian Lee, telah dipanggil untuk merakamkan kenyataan mereka dan membantu siasatan.

"Kami telah memanggil pasangan tersebut. Mereka dijangka hadir di pejabat penguatkuasaan SKMM esok (hari ini)," katanya.

Sementara itu, Marzuki turut menegaskan, sepatutnya bulan Ramadan sepatutnya dimanfaatkan untuk memperbaiki iman dan ketaqwaan kepada ALLAH, bukannya menimbulkan kebencian sesama insan.

Menerusi Program Berbuka Puasa dan Tazkirah Santai Ramadan anjuran Bahagian Dakwah Jais dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu tegasnya, sekaligus dapat membendung budaya negatif yang kerap kali dimanipulasikan sesetengah pihak di media sosial.

"Kita harap program berbentuk Islamik ini dapat menyuburkan keimanan dan mempertingkatkan jati diri khususnya masyarakat," tegasnya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Indonesia larang setiausaha wanita

Oleh:

Tarikh: July 15, 2013

JAKARTA - INDONESIA. Susulan peningkatan kejadian hamil di luar nikah, Gabenor di wilayah Sulawesi, Indonesia mengarahkan pegawai atasan untuk segera menggantikan setiausaha wanita kepada lelaki atau wanita berusia.

Gabenor wilayah Gorontalo di utara Sulawesi Rusli Habibie berkata, beliau banyak menerima aduan berhubung masalah itu sejak akhir-akhir ini.

"Perkara ini terjadi disebabkan setiausaha wanita jauh lebih muda dan bergaya menyebabkan ketua mereka terpikat dan kerap dibawa ke luar daerah kerana layanan yang jauh lebih bagus dari isteri mereka," katanya kepada AFP.

Menurutnya, arahan penukaran setiausaha itu dikuatkuasakan serta-merta.

"Pegawai atasan boleh mengambil setiausaha yang sama jantina atau wanita berusia," katanya. 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Masuk hospital terlebih makan

Oleh:

Tarikh: July 15, 2013

DOHA - QATAR. Puluhan penduduk di Qatar dimasukkan ke hospital akibat mengalami saki perut gara-gara terlebih makan.

Seorang kakitangan hospital berkata, kebanyakan kes kecemasan adalah berkaitan gastritis.

"Kami menerima 10 hingga 15 kes terlebih makan sejak hari pertama Ramadan, "katanya dalam laporan media Gulf News.

Menurutnya, tahun lalu Hospital Doha diisytiharkan darurat apabila lebih 100 orang mengalami sakit perut pada Ramadan pertama.

"Selain sakit perut kebanyakan mereka mengalami dehidrasi dan masalah buah pinggang," katanya.

Pada 2011, Pusat Perubatan Hamad mencatatkan 7,700 kes berkaitan penyakit itu.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Ikut Islam semua selamat

Oleh: RIDHUAN TEE ABDULLAH

Tarikh: July 15, 2013

KEBELAKANGAN ini saya begitu teruja dengan pandangan beberapa pemimpin bukan Islam Pakatan Rakyat Selangor (Exco dan bekas Exco). Pertama, Exco yang baru dilantik jawatan kerajaan tempatan, melahirkan kebimbangan bercambahnya kegiatan maksiat di negeri itu. Beliau mahu mengetatkan undang-undang dengan menetapkan pengurut lelaki untuk pelanggan lelaki dan sebaliknya, boleh membendung kejadian pelacuran. Tiada wanita dibenarkan, walaupun tukang cuci.

Kedua, cadangan seorang bekas Exco, agar kerajaan Selangor memperkenalkan satu undang-undang baru bagi melarang perbuatan meminum minuman keras di tempat awam. Menurutnya, enakmen itu bertujuan memberi kuasa undang-undang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis untuk menguatkuasakan larangan tersebut di tempat berkenaan.

Katanya, undang-undang seperti itu dikuatkuasakan di beberapa negara seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat yang menghalang perbuatan membawa dan meminum bahan tersebut di kawasan awam. Selain itu, beliau juga menuntut agar kerajaan mengharamkan penjualan arak murah bagi membendung gejala sosial yang semakin serius.

Syabas! atas 'kesedaran' ini. Saya harap negeri-negeri lain turut melihat perkara ini dengan serius. Ikutlah Islam, nescaya kamu akan selamat. Sebab itulah, Islam awal-awal lagi mengatakan jangan kamu hampiri zina dan arak, serta apa jua perkara yang boleh menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan. Mencegah lebih baik daripada merawat.

Selain dua isu ini, ada beberapa lagi isu seperti judi, pusat hiburan, pergaulan bebas melampau dan sebagainya. Semua perkara ini bertali-temali. Jangan kita sangka selesaikan satu masalah, semua masalah akan selesai. Selesaikan kesemuanya. InsyaAllah, banyak kesannya. Saya harap Adun bukan Islam itu faham.

Dalam Islam, apa yang diharamkan, jangan lihat dari sudut negatif semata-mata, seperti menyekat hak asasi manusia. Larangan atau pengharaman tersebut, perlu dilihat dari sudut positif. Ada sebab musabab kenapa arak, judi, zina dan bunga-bunga ke arah itu diharamkan.

Isu ini bukan isu kaum, tetapi merentasi sempadan dan batasan agama. Kegiatan pelacuran, judi dan arak bukan suatu perkara yang baharu. Bisnes ini mendatangkan keuntungan yang besar. Justeru saya amat mengharapkan PBT berhati-hati apabila meluluskan bisnes seperti ini. Bukan apa, takut yang menjadi mangsa adalah orang kita.

Kita perlu belajar daripada ketegasan Ed Husic, anggota Parlimen Chifley (Australia) yang beragama Islam. Ed Husic mempertahankan tindakannya mengangkat sumpah jawatan Kabinet Australia dengan menjunjung al-Quran, sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Parlimen Kementerian Jalur Lebar di hadapan Ketua Gabenor, Quentin Bryce pada Isnin lalu.

Ed daripada Parti Buruh merupakan wakil rakyat pertama beragama Islam dikritik hebat oleh rakyat Australia dalam media-media sosial kerana tindakannya itu. Beliau anak kepada migran Bosnia yang menetap di Australia berkata, faham kebimbangan dilahirkan beberapa pihak, namun keputusannya jelas dan mudah iaitu berdasarkan agama dianutinya. Ketegasan beliau amat mengagumkan.

Kata beliau: "Saya tidak mahu mengangkat sumpah jawatan tanpa berasaskan agama dan dengan menjunjung al-Quran, mengukuhkan komitmen saya kepada negara dan rakyat. Tidak mungkin saya mengangkat sumpah jawatan menggunakan kitab Injil dan saya tidak mahu mengucapkan ikrar".

Selepas majlis tersebut, akaun Ed di laman web Facebook dipenuhi pos-pos yang marah dengan tindakannya menjunjung al-Quran ketika majlis angkat sumpah jawatan tersebut. Pemimpin parti pembangkang, Tony Abbott berkata, rakyat perlu menghormati pilihan Ed. "Saya menghormati keputusannya. Rakyat Australia juga perlu berbuat demikian".

Tindakan ini amat profesional. Saya amat mengharapkan pemimpin negara kita akan mencontohi sikap beliau. Tidak ada kompromi dalam perkara berkaitan dengan prinsip.

Amat malang sama sekali jika kita tunduk kepada tekanan ultra kiasu. Misalnya, isu menghapuskan Akta Hasutan 1948. Pandangan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad amat tepat. Undang-undang termasuk akta hasutan tidak boleh dimansuhkan semata-mata kerana desakan ultra kiasu. Jika kerajaan mahu memansuhkan dan menggubal undang-undang baru menggantikannya, kajian dan pandangan umum mesti diambil kira, selain membandingkan dengan keadaan negara lain.

Banyak kesilapan yang telah kita lakukan termasuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tanpa mengambil kira keadaan dalam negara. Hari ini, kenapa begitu ramai yang begitu kurang ajar dan begitu berani mencabar isu-isu sensitif. Jawapannya mudah, ISA sudah tidak ada. Bayangkan selepas ini jika akta hasutan dihapuskan. Apa yang boleh kita lakukan apabila Islam dihina, jika bukan sekadar mengeluh…

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Ribut Soulik landa China

Oleh:

Tarikh: July 15, 2013

BEIJING - Puting beliung kuat melanda tenggara China semalam menyebabkan ratusan ribu penduduk di wilayah pesisir pantai dikerah berpindah sehari selepas membadai utara Taiwan menyebabkan sekurang-kurangnya dua maut dan lebih 100 mangsa cedera.

Dipetik AP, puting beliung Soulik yang membawa banjir setinggi 18 sentimeter itu menyebabkan sistem pengangkutan terjejas dan perniagaan lumpuh di seluruh Taiwan.

Sehingga kini, anggota kecemasan di Taiwan masih bertungkus-lumus mengembalikan semula tenaga elektrik dan mengalihkan ratusan pokok tumbang di jalan raya.

Pusat Meteorologi Kebangsaan melaporkan, taufan melanda wilayah China di Fujian petang kelmarin membawa kelajuan angin mencecah 119 kilometer sejam.

Media tempatan pula melaporkan, kira-kira 300,000 penduduk di Fujian terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka selepas terputus bekalan elektrik sejak 24 jam lalu.

Di Fujian dan Zhejiang, satu lagi wilayah pesisir pantai, perkhidmatan kereta api digantung sementara manakala penerbangan dibatalkan dengan bot nelayan diarah kembali ke pelabuhan.

Perkhidmatan kaji cuaca China memberi amaran tanah runtuh dan banjir akan berlaku sekiranya ribut berterusan sehingga minggu ini.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Kami 'berpuasa' setiap hari

Oleh: KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

Tarikh: July 15, 2013

BAGAN SERAI - Kesempitan hidup sebuah keluarga yang sekadar bergantung kepada wang bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaksa lima beranak hidup dengan mengikat perut setiap hari.

Lebih memilukan, kehadiran bulan Ramadan tidak memberi sebarang makna buat mereka sekeluarga kerana kehidupan mereka diibaratkan seperti setiap hari 'berpuasa'.

Ketua keluarga, Muhamad Shad Ali, 54, yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) memberitahu kemiskinan menjadi penyebab mereka sekeluarga terpaksa hidup 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' bagi memenuhi keperluan isteri dan tiga anaknya.

Menurutnya, wang bantuan JKM bernilai RM300 dan upah isterinya mengasuh anak jiran berjumlah RM200 sebulan diharapkan keluarganya untuk menampung keperluan hidup mereka termasuk belanja persekolahan tiga anak.

"Sebab itulah, kami hanya makan sekali sehari dan hanya berlaukkan telur dan kicap hampir setiap hari.

"Dengan keadaan saya yang tidak mampu berjalan dan bekerja, mana mungkin duit yang sebanyak itu mencukupi untuk membesarkan anak-anak dan isteri," katanya pada media di rumahnya di Kampung Matang Buluh, di sini.

Muhamad Shad berkata, duit bantuan JKM diterimanya terpaksa digunakan untuk membayar sewa rumah berjumlah RM300 sebulan dan dia mendedahkan pernah dihalau keluar dari rumah sewa sebelum ini kerana gagal menyelesaikan hutang sewa tertunggak.

Menurutnya, beberapa bulan lalu mereka sekeluarga terpaksa keluar dari rumah sewa di Taman Serai Wangi di sini kerana gagal membayar tunggakan sewa berjumlah RM6,000.

"Kini saya terpaksa menebalkan muka untuk merayu orang ramai dan pihak berwajib membantu meringankan beban saya sekeluarga," katanya.

Sementara itu isterinya, Zaharah Awang, 54, berkata, suaminya kini perlu dipapah kerana terlantar dan tidak mampu berjalan lagi.

"Saya terpaksa menggagahkan diri dengan bantuan anak-anak untuk mandikan suami dan membawanya ke tandas," katanya.

Zaharah berkata, upah mengasuh anak jiran berjumlah RM200 yang diterimanya setiap bulan digunakan untuk membiayai yuran persekolahan tiga anaknya di samping membiayai kos rawatan suami.

"Jika ada rezeki lebih, dapatlah anak-anak saya menikmati juadah biskut kering dengan air teh sebelum ke sekolah.

"Jika tidak, mereka terpaksa minum air masak dan menahan lapar sehingga tamat waktu persekolahan," katanya.

Zaharah turut memberitahu bulan Ramadan seakan tidak memberi erti kepada mereka sekeluarga kerana keadaan hidup mereka diibaratkan 'berpuasa' setiap hari.

"Air mata saya menitis kerana memikirkan nasib keluarga kami yang malang sehinggakan terpaksa membiarkan anak-anak menahan lapar saban hari.

"Apa pun jua ketentuan ditetapkan ALLAH SWT, kami reda," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Ibu selamatkan bayi tidur

Oleh: NOR JULIANA YAACOB

Tarikh: July 15, 2013

TELOI TUA (SIK) - Bayi berusia lapan bulan yang sedang nyenyak tidur berjaya diselamatkan ibunya setelah rumah keluarganya terbakar tengah hari semalam.

Norina Md Isa, 30, berkata ketika kejadian, beliau menonton televisyen manakala anaknya, Mohd Asraf Syahrul Amir sedang tidur di dalam bilik.

Beliau menyedari kebakaran apabila ternampak asap dari siling dan hanya sempat mengambil beg tangan dan menyelamatkan Mohd Asraf.

"Saya tidak sempat menyelamatkan barangan lain. Tetapi saya tetap bersyukur semua ahli keluarga terselamat.

"Namun saya sedih sebab rumah milik ibu baru sahaja diubahsuai," katanya ketika ditemui.

Norina tinggal di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan hanya pulang ke kampung pada hujung minggu untuk melihat keadaan rumah berkenaan bersama ibunya, Awizah Yahya, 55.  

"Ibu tinggal bersama saya di sana dan rumah ini tiada penghuni. Kami hanya pulang ke kampung pada hari cuti atau hujung minggu," katanya sambil menganggap kepulangan kali ini memberi pengalaman pahit akibat kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Sik, Mohd Faizol Izwan bin Hang Tuah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.58 tengah hari dan mengambil masa selama 12 minit untuk sampai ke lokasi kejadian kerana jaraknya yang agak jauh.

Beliau berkata, anggotanya mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan api yang sedang marak.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana empat orang yang menghuni rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri.

"Kami mendapat bekalan air dari pili bomba yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran itu.

Mohd Faizol berkata, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran itu.  

Skuad Kesukarelawan Daerah Sik yang diketuai Zulnaidi Abd Razak turut membantu anggota bomba memadamkan kebakaran sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.  

"Kedatangan kami adalah sekadar membantu mengawal lalu lintas dan meringankan tugas anggota bomba," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Seorang maut, 3 cedera parah

Oleh: ZUMURNI HAMZAH

Tarikh: July 15, 2013

MACHANG - Seorang maut dan tiga yang lain cedera parah setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Machang -Pasir Puteh, di sini  pada jam 11.30 pagi kelmarin.

Mangsa maut, Anis Syafiqah Harun, 14,  meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia pada jam 11 malam, kelmarin selepas hampir 12 jam mendapatkan rawatan.

Tiga mangsa yang cedera turut mendapatkan rawatan di hospital yang sama manakala pemandu lori yang mengalami kecederaan ringan dirawat di Hospital Machang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, Anis Syafiqah  yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya, kemalangan di Kilometer 4.7 Jalan Machang- Pasir Puteh itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori yang dipandu seorang pemuda.

Menurutnya, MPV yang dipandu wanita itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Kedah sebelum bertembung dengan sebuah lori berdekatan Sekolah Menengah  Kebangsaan Hamzah 2, dekat sini.

"Rempuhan kuat tersebut menyebabkan MPV tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian pemandu dan mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Machang.

"Lori  yang dalam perjalanan dari arah Machang Pasir Puteh itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV  itu.  Kes disiasat  di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Unit Tempur serbu pusat hiburan 'Bollywood'

Oleh: MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN

Tarikh: July 14, 2013

KUALA LUMPUR - Sepasukan polis dari Unit Tempur D9, lengkap bersenjata dan jaket kalis peluru menyerbu dua premis hiburan berisiko awal pagi tadi.

Serbuan dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur ekoran pelbagai kejadian jenayah membabitkan senjata senjata api hingga menyebabkan kematian di beberapa pusat hiburan kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairy Ahrasa berkata, cara itu dilakukan bagi membolehkan pasukan polis bertindak terhadap individu atau kumpulan berbahaya yang dikehendaki polis.

Katanya, polis tidak kompromi dalam soal keselamatan dan ketenteraman awam.

"Pasukan Unit Tempur ini akan menyerbu mana-mana lokasi yang disyaki menjadi tempat persembunyian ataupun kediaman penjenayah bersenjata dan berbahaya.

"Dalam melakukan tugas, polis turut menitikberatkan soal keselamatan setiap pegawai dan anggota Unit Tempur ini termasuk menyediakan pakaian keselamatan khas yang akan digunakan secara berperingkat oleh setiap pasukan D9 di kontinjen seluruh negara," katanya.

Jelasnya, serbuan dilakukan pasukan terbabit dibuat selepas menerima maklumat tentang kejadian pemilikan senjata api dan pergaduhan yang sering berlaku antara pelanggan pusat hiburan berkonsepkan 'Bollywood' yang terletak di Jalan Dang Wangi.

"Pemeriksaan dijalankan untuk mencegah kejadian jenayah terutamanya jenayah berat.

"Hasil pemeriksaan, pihak polis telah menahan 20 pekerja warga asing termasuk sembilan wanita yang didapati menyalahgunakan permit kerja dan berkhidmat sebagai pelayan serta penari di premis itu.

"Malah, pemilik premis hiburan itu turut melakukan kesalahan menjalankan operasi menjual minuman keras tanpa memiliki sebarang lesen yang sah," katanya.

Tambahnya, sasaran utama polis membabitkan premis hiburan disko dan karaoke sekitar ibu negara kerana laporan yang diterima penjenayah terbabit sering keluar berhibur sama ada berseorangan atau berkumpulan.

Pemeriksaan mengejut seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di seluruh ibu negara sebagai usaha mengesan penjenayah berbahaya termasuk pembunuh upahan.
 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Sebahagian jalan Ulu Langat ditutup sementara

Oleh:

Tarikh: July 14, 2013

KUALA LUMPUR - Sebahagian lorong berhampiran persimpangan Jalan Ulu Langat yang bersambung dengan Lebuhraya Cheras Kajang (Grand Saga) (Exit 703) akan ditutup sementara pada sebelah malam dari 16 Julai hingga 16 Oktober.

Menurut kenyataan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), penutupan bermula 9 malam hingga 4 pagi itu akan dilaksana secara berperingkat membabitkan satu lorong pada setiap masa bagi memudahkan kerja persediaan bagi pembinaan tiang MRT.

"Satu pelan pengurusan trafik yang komprehensif telah dikaji oleh Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi memastikan gangguan minimun terhadap lalu lintas.

"Penutupan itu adalah sebahagian penting amalan keselamatan kami di semua tapak pembinaan MRT  dan akan memastikan bahawa sebarang risiko kecederaan terhadap orang awam dapat diminimumkan," katanya.

Oleh itu, MRT Corp menasihatkan pengguna agar memandu dengan berhati-hati berhampiran tapak pembinaan MRT dan mematuhi tanda arah.

Kenyataan itu menyebut halangan keselamatan, dinding adang dan kon trafik akan dipasang di tapak pembinaan bagi memastikan pengguna dan pejalan kaki menyedari kerja yang sedang dijalankan.

Selain itu, MRT Ronda akan bertugas 24 jam di sepanjang laluan bagi membantu sebarang kecemasan.

Terdapat 31 stesen di Laluan Sungai Buloh-Kajang yang akan memberi perkhidmatan pengangkutan kepada 1.2 juta pengguna.

Ia juga akan berintegrasi secara strategik dengan rangkaian pengangkutan tren sedia ada seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan KTM Komuter selain laluan bas bandar serta antara bandar.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang MRT www.mrt.com.my atau www.mymrt-underground.com.my, Twitter @MRTMalaysia atau Twitter @MyMRT Underground atau hubungi talian 1-800-82-6868. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Pelakon Glee, Cory Monteith meninggal

Oleh: RAZIATUL HANUM A.RAJAK

Tarikh: July 14, 2013

PELAKON drama bersiri Glee yang memegang watak sebagai Finn Hudson, Cory Monteith ditemui mati di Pacific Rim Hotel, Vancouver, Kanada, semalam.

Dipetik BBC, punca kematian pelakon berusia 31 tahun itu masih belum diketahui.

Monteith pernah terlibat dalam masalah penagihan dadah dan menerima rawatan pada April lalu.

Mayatnya ditemui oleh pekerja hotel tersebut selepas Monteith terlewat untuk mendaftar keluar pada tengah hari, semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Vancouver, Doug Lepard, Monteith telah mati beberapa jam sebelum ditemui.

Pelakon itu dikatakan telah kembali ke bilik hotelnya seorang diri pada awal pagi Sabtu.

Ketika ditanya sama ada Monteith mati kerana pengambilan dadah berlebihan, beliau menjawab bahawa dia tidak dapat membincangkan apa-apa saja yang mungkin ditemui dalam bilik hotel itu, pada masa ini.

Koroner, Lisa Lapointe berkata, "kami tidak mempunyai maklumat tentang punca kematian." Pembedahan dijangka dijalankan esok.

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment