Wednesday, July 24, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH am 250713 bersamaan 16 Ramadhan 1434H

 

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Tawaran 100,000 telefon percuma

Oleh: NORHANA FARIZA HARUN

Tarikh: July 25, 2013

CLIXSTER Mobile Sdn Bhd kini menawarkan 100,000 unit telefon pintar secara percuma sehingga bulan depan menerusi rebat RM200 Pakej Komunikasi Belia (PKB).

Promosi yang telah dimulakan sejak minggu lalu bertujuan menarik generasi muda yang layak memohon pakej itu untuk menebus telefon pintar memandangkan masih terdapat 500,000 unit telefon daripada jumlah keseluruhan 1.5 juta belum ditebus.

Promosi itu terbuka kepada semua belia di seluruh Malaysia dan telefon pintar boleh ditebus di promosi bergerak Clixster atau mana-mana kedai seluruh negara yang mempunyai banner tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Azlan Khamis berkata, dengan hanya membeli kad sim dan tambah nilai Clixster, pelanggan akan mendapat telefon pintar terpilih secara percuma.

"Selain promosi ini, Clixster juga menyediakan promosi lain di mana bagi mereka yang melanggan dengan kami, data bulanan hanya bernilai RM27 1G dan tanpa had.

"Selain itu, pelanggan turut berpeluang membuat panggilan percuma antara pengguna Clixster dengan setiap tambah nilai yang dilakukan," katanya kepada media, di Serdang, semalam.

Menurut Noor Azlan, selain rebat RM200, Clixster juga ada menyediakan peluang pertukaran telefon lama kepada telefon pintar, sekali gus membantu sasaran kerajaan untuk menghapuskan telefon 2G dan beralih kepada telefon 3G.

Sementara itu, Clixster telah mencatatkan 12,000 pelanggan baru dalam tempoh kurang sembilan hari sejak promosi mula dijalankan minggu lalu, dan yakin mencapai sasaran 500,000 pelanggan menjelang Oktober ini.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Kate-William enggan jual gambar anak

Oleh:

Tarikh: July 25, 2013

UMUM mengetahui, pasangan diraja, Kate Middleton dan Putera William baru sahaja menyambut kelahiran bayi pertama mereka, 22 Julai lalu.

Pun begitu, sehingga kini, nama bayi mereka masih tidak didedahkan secara umum.

Namun, menurut sebuah laporan antarabangsa, Putera William tidak akan menjual gambar bayi mereka kepada mana-mana pihak.

Menurut juru cakap mereka, Putera William mendapat panggilan beberapa jurugambar untuk mendapatkan hak eksklusif gambar bayinya.

"Namun, Putera William menolak dan hanya jurugambar rasmi istana sahaja yang dibenarkan mengambil gambar bayi itu," kata sumber itu.

Pun begitu, semalam, pasangan ini tampil berkongsi gambar putera kesayangan mereka secara umum.

Cahaya mata Putera William dan Kate akan menjadi waris ketiga takhta kerajaan Britain selepas Putera Charles serta Putera William.

Tempah buaian khas?

Sempena kelahiran putera sulung mereka, pasangan ini dikatakan telah menempah buaian khas dari tukang kayu terkenal, Dariusz Bergier, Bagaimanapun, menurut Bergier, buaian itu sememangnya ingin dihadiahkan kepada pasangan diraja itu.  

"Masih ada bahagian yang belum disempurnakan dan saya berharap ia dapat disiapkan segera untuk putera baru itu," katanya.

Jelas Bergier, buaian itu diperbuat daripada kayu oak dan diinspirasikan daripada reka bentuk gereja Gothic kurun ke-15.

"Saya pasti reka bentuknya akan disukai Kate dan William," katanya yang pernah menghasilkan perabot untuk sebuah hotel yang didiami oleh keluarga Kate.

Kate dan William berkahwin pada 29 April 2011 di gereja Westminder Abbey, di London.

Majlis perkahwinan mereka merupakan upacara perkahwinan terbesar di Britain sejak perkahwinan 30 tahun lalu, sekali gus memberi peluang kepada keluarga diraja Britain memulihkan imejnya selepas perceraian penuh trauma Charles-Diana sebelum kematian tragik Diana di Paris.

Pasangan itu turut dikenali sebagai Duke dan Duchess of Cambridge, selepas Ratu Elizabeth II, nenek William, menganugerahkan gelaran itu pada sebelah pagi hari perkahwinan mereka.


Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Bot pemohon suaka Indonesia karam

Oleh:

Tarikh: July 25, 2013

SYDNEY - AUSTRALIA, Puluhan pemohon suaka Indonesia dikhuatiri maut selepas bot dinaiki karam di luar perairan Pulau Jawa, selatan Indonesia semalam.

Media tempatan melaporkan, bot membawa 250 penumpang itu disyaki dalam perjalanan ke Pulau Krismas, Australia untuk memohon perlindungan.

Pegawai Australia berkata, mangsa awal yang maut adalah seorang wanita dan dua kanak-kanak.

"Seramai 157 orang diselamatkan setakat ini, manakala puluhan yang lain masih hilang.

Kejadian berlaku berpunca daripada kegagalan bot menampung jumlah penumpang yang ramai sehingga mencecah 200 orang," katanya.

Menurutnya kepada Antara, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim kini sedang giat melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Minggu lalu, kejadian sama turut berlaku menyebabkan 100 pemohon suaka dari Iran dan Sri Lanka dilaporkan maut selepas bot dinaiki karam di perairan yang sama.

Australia kini menjadi tumpuan pemohon suaka selepas Perdana Menteri Australia Kevin Rudd menandatangani perjanjian dengan Papua New Guinea untuk menghantar semua pencari suaka yang tiba dengan bot ke negara berkenaan.

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Kereta terbang rempuh rumah

Oleh: RAIHAM MOHD SANUSI

Tarikh: July 25, 2013

KEMAMAN – "Semasa kereta terbang, saya peluk dua anak erat-erat," kata seorang guru, Junainah Yusof, 43, yang melalui detik mendebarkan apabila kereta yang dipandunya terbang dan merempuh sebuah rumah ketika pulang dari sekolah petang kelmarin.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang melalui selekoh di laluan berbukit dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang di Felda Neram 1 untuk pulang ke rumah mereka.

Bagaimanapun, nasib menyebelahi mangsa tiga beranak kerana mereka tidak mengalami kecederaan parah meskipun kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki terbalik dan remuk teruk.

Junainah berkata, ketika menaiki bukit dan mahu membelok di selekoh terdapat sebuah motosikal di hadapannya membuatkannya cuba mengelak daripada terlanggar motosikal terbabit hingga kenderaan itu hilang kawalan lalu meluncur laju dan terbang merempuh sebuah rumah berdekatan.

"Saya waktu itu hanya fikirkan anak-anak sebab itu saya peluk anak sambil berdoa agar kami selamat. Kami keluar dengan merangkak ikut cermin kerana kereta terbalik.

"Syukur kepada ALLAH SWT kerana kami semua masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan," katanya kepada Sinar Harian.

Gara-gara kejadian itu, Junainah yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Felda Neram 1 ini mengalami lebam di beberapa bahagian serta mengalami sakit-sakit badan sementara dua anaknya, Mohd Faris Nabil Sadri, 9, dan Nur Alya Fakihah, 7, mengalami lebam di lengan.

Katanya, sehari sebelum kejadian berlaku, kereta yang dinaikinya itu baru sahaja selesai diservis (selenggara).

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Pengikut Syiah semakin berani

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 25, 2013

SHAH ALAM – Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996 telah menarik balik kebenaran mengamalkan mazhab Syiah aliran Al–Zaidiyah dan Jaafariah di Malaysia, menjadikan semua amalan Syiah tidak diterima di negara ini.

Fatwa itu menetapkan umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.

Penyebaran apa-apa ajaran selain daripada pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang. Penerbitan, penyiaran dan penyebaran sebarang buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.

Walaupun penegasan itu telah dibuat dan terdapat beberapa negeri sudah mewartakan bahawa ajaran Syiah haram, tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat banyak laman-laman web dan sosial mengenai ajaran itu disebarkan secara terang-terangan.

Beberapa laman sosial dengan berani mengakui diri mereka pengikut ajaran Syiah dan memburuk-burukkan mazhab lain.

Sebagai contoh, sebuah laman sosial yang menggelarkan diri mereka 'I'm Proud To Be Syiah' mendakwa laman sosial itu milik mazhab Syiah Imamiyah di Malaysia.

Penubuhan laman sosial itu bertujuan menjawab persoalan yang dibangkitkan pengikut Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Tidak kurang juga beberapa laman web khas untuk pengikut Syiah ditubuhkan kononnya untuk menjawab segala kemusykilan berhubung fahaman itu.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

BN pertahan kerusi Dun Kuala Besut

Oleh: JAMILAH HAMZAH

Tarikh: July 24, 2013

BESUT - [Dikemaskini] Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut yang berlangsung di sembilan pusat mengundi dimenangi oleh calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan 2, 592 undi.

Beliau mengalahkan calon Pas, Azlan@Endut Yusof, seorang ahli perniagaan dan calon tempatan yang dikenali ramai sebagai Che Long.

Pengarah Pilihan Raya, A Rahim Jusoh mengumumkan kemenangan calon BN itu kira-kira jam 10 malam di Dewan Majlis Daerah Besut, di sini.

"Tengku Zaihan telah memperolehi 8, 288 dan Che Long 5, 696," katanya.

Sebelum ini calon BN, Dr A Rahman Mokhtar memenangi kerusi itu dengan majoriti 2, 434 undi mengalahkan calon Pas, Napisah Ismail pada PRU13.

Dalam pada itu, Pengarah PRK Dun Kuala Besut, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan, Datuk Ahmad Maslan, ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Timbalan Pengarah PRK, Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim turut hadir ke pusat pengiraan undi jam 9.58 malam.

Bagaimanapun calon Pas, Che Long tidak kelihatan pada sesi itu.

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Tengku Zaihan fokus isu pendidikan, infrastruktur

Oleh:

Tarikh: July 25, 2013

KUALA BESUT - Adun Kuala Besut yang baru, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman meletakkan isu pendidikan dan menaiktaraf infrastruktur sebagai perkara awal yang akan dilaksanakan selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) itu malam tadi.

"Kita menjangka membina sebuah lagi sekolah menengah di Alor Peroi untuk tingkatkan taraf pelajaran penduduk memandangkan dua sekolah sebelum ini tidak mencukupi bagi menampung keperluan pelajar.

"Selain itu, ada beberapa infrastruktur yang telah dikenal pasti akan dibina dan ditambah baik bagi menaikkan taraf sosioekonomi mereka," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai Adun Kuala Besut di Dewan Majlis Daerah Besut di Jerteh, dekat sini.

Beliau yang menewaskan calon Pas, Endot@Azlan Jusoh, 48 dengan majoriti 2,592 undi itu juga melahirkan iltizam tinggi untuk menunaikan tanggungjawab yang diberi dengan sebaik mungkin dan membalas kepercayaan pengundi Kuala Besut.

Tengku Zaihan juga berjanji akan membawa lebih banyak lagi kemajuan di kawasan Dun berkenaan termasuk berusaha meningkatkan taraf hidup golongan nelayan.

Katanya penghargaan seharusnya diberikan kepada semua pihak dalam membantu menjayakan kempennya termasuk dari keluarga, jentera BN dan pengundi amnya.

Turut diberi penghargaan oleh Tengku Zaihan, golongan wartawan yang sentiasa melaporkan perkembangan terkini kempennya kepada orang ramai sama ada menerusi akhbar mahupun televisyen serta media sosial.

Dalam pada itu, keluarganya mempunyai jentera sendiri untuk berkempen dan mengesan susur galur lebih 3,000 penduduk di kawasan Besut yang mempunyai talian persaudaraan dengan mereka.

Bapanya, Che Ku Abd Rahman Che Ku Abdullah, 74, atau lebih dikenali sebagai Ayah Man aktif dalam hal ehwal kemasyarakatan dan politik.

Sewaktu muda, Ayah Man pernah bergiat aktif dalam politik Umno, bekas pengerusi persatuan nelayan, guru agama dan pengamal perubatan Islam yang aktif di sekitar Kuala Besut.

Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi dan kekosongan Dun Kuala Besut berlaku berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Pada PRU13, Allahyarham mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut apabila mengalahkan calon Pas Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Bapa yakin Tengku Zaihan mampu galas tanggungjawab

Oleh:

Tarikh: July 25, 2013

KUALA BESUT - Che Ku Abd Rahman Che Ku Abdullah, 74, yakin anaknya, Tengku Zaihan, mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang diamanah pengundi di Kuala Besut.

Beliau berkata Tengku Zaihan mempunyai ketokohan sebagai seorang pemimpin, bukan sahaja dalam keluarga, malah kepada masyarakat setempat.

"Dalam keluarga, dia suka membantu dan saya yakin dia dapat membela rakyat di Kuala Besut ini," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas kemenangan anaknya pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut malam tadi.

Keputusan rasmi pilihan raya itu diumum Pegawai Pengurus PRK berkenaan A. Rahim Jusoh di Dewan Majlis Daerah Besut di Jerteh dekat sini.

Che Ku Abd Rahman berkata sebaik mengetahui anaknya menjadi calon, beliau bersama isteri memberi restu dan yakin Tengku Zaihan mampu memperoleh kemenangan cemerlang pada PRK itu.

BN kekal mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut apabila Tengku Zaihan, mengalahkan calon Pas Endot@Azlan Yusof dengan majoriti 2,592 undi.

Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi manakala Azlan meraih 5,696 undi.

Seramai 14,108 atau 80 peratus daripada 17,683 pengundi berdaftar keluar mengundi manakala undi rosak ialah 125.

Dengan kemenangan itu, BN mengukuhkan kembali kedudukannya di Terengganu dengan majoriti mudah 17-15 sebagaimana yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas.

Tengku Zaihan merupakan jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya dan sebelum itu, beliau pernah berkhidmat selama lima tahun di JPS Daerah Besut.

Anak kelahiran Kampung Nail, Kuala Besut itu mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat selepas menyertai JPS 15 tahun lepas sebagai jurutera daerah.

Kerusi Dun Kuala Besut kosong selepas penyandangnya, Dr A.Rahman Mokhtar daripada BN meninggal dunia pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru. 

Pada PRU13 Mei lepas, Allahyarham mempertahan kerusi itu dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon Pas Napisah Ismail.  – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

PRK: Che Long akur keputusan

Oleh:

Tarikh: July 25, 2013

KUALA BESUT - Calon Pas Endot@Azlan Yusof akur dengan kekalahannya kepada calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dun Kuala Besut, semalam.

"Saya terima kekalahan ini dan kalah itu perkara biasa, kita tidak merasa pelik dengan kekalahan ini tetapi jikalau kita menang ia memang suatu yang luar biasa," katanya yang juga dikenali sebagai Che Long, 48, pada sidang media di markas Pas PRK Kuala Besut di Kampung Baharu, di sini.

Azlan, seorang kontraktor, menyifatkan pilihan raya ini sebagai aman dan beliau berpuas hati dengan kempen yang berlangsung selama 12 hari sejak 12 Julai lepas.

Calon Pas itu bagaimanapun tidak hadir ketika keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK, A Rahim Jusoh di Dewan Majlis Daerah Besut di Jerteh, dekat sini, malam tadi.

Beliau memberi alasan tidak sempat untuk menghadirinya kerana sibuk tetapi enggan mengulas lanjut.

Che Long kalah kepada Tengku Zaihan, 37, dengan majoriti 2,592 undi setelah mendapat 5,696 undi berbanding calon BN yang mendapat 8,288 undi.

Sementara itu, Pas mengakui strategi 'Gelombang Biru' BN lebih mantap berbanding slogan '16-16 Terengganu Baru' dan BN mempunyai tawaran yang tidak boleh ditolak oleh pengundi Kuala Besut berbanding tawaran Pas.

Yang Dipertua Pas kawasan Besut, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, penduduk Kuala Besut dilihat lebih mementingkan pembangunan yang dicanangkan oleh BN. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Hampir 80 peratus keluar mengundi

Oleh:

Tarikh: July 24, 2013

KUALA BESUT - Sejumlah 79.78 peratus atau 14,108 orang daripada 17,683 pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam Pilihan Raya Kecil kawasan itu hari ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah itu termasuk 13,188 pengundi biasa, 911 pengundi awal dan sembilan orang pengundi pos.

Lapan pusat pengundian dibuka mulai 8 pagi hingga 5 petang kecuali pusat pengundian Pulau Perhentian ditutup lebih awal pada pukul 3 petang dengan 635 pengundi atau 86.6 peratus penduduk pulau itu telah keluar mengundi.

Perangkaan itu menepati jangkaan SPR yang menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil itu mencapai lingkungan 75 hingga 80 peratus.

Pengundian berjalan lancar dengan jumlah yang keluar mengundi sejam selepas dibuka sebanyak 15 peratus dan meningkat sekali ganda pada pukul 10 pagi. Ia melebihi 50 peratus pada tengah hari.

Faktor cuaca cerah antara yang menyumbang kepada peratus keluar mengundi yang tinggi walaupun ia berlangsung pada hari bekerja.

Kaedah mencelup jari ke dalam dakwat kekal yang diperkenalkan pada pilihan raya kecil itu turut mempercepatkan proses pengundian berbanding kaedah mencalit pada kuku sebelum ini.

Ramai menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai sangat tenang dan diakui Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menyifatkan pilihan raya kecil itu sebagai yang paling tenang sejak beliau berkhidmat dengan suruhanjaya itu.

Polis juga mengesahkan tiada laporan mengenai insiden yang tidak diingini kecuali satu laporan mengenai dakwaan 'pengundi hantu' yang menurut polis individu itu adalah seorang lelaki yang tidak siuman.

Namun, keadaan trafik agak perlahan di beberapa tempat kerana pertembungan dengan penduduk yang keluar bekerja dan sikap pemandu yang memperlahankan kenderaan mereka untuk melihat keadaan.

Kehadiran anggota polis di tempat-tempat strategik telah dapat mengawal keadaan.

Bagaimanapun, suasana tenang dicemari sedikit insiden yang membabitkan penahanan kereta yang dinaiki Wan Ahmad oleh sekumpulan penyokong pembangkang ketika beliau membuat tinjauan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu di sini hari ini.

Kumpulan itu dipercayai bertindak demikian kerana menganggap ada pihak luar cuba mencampuri urusan pengundian memandangkan kereta yang dinaiki Wan Ahmad dan anggota SPR tidak mempunyai logo suruhanjaya.

Pemerhatian SPR sejak pusat mengundi dibuka pada 8 pagi mendapati pengundi dan penyokong kedua-dua parti cukup berdisiplin dan patuh kepada arahan yang dikeluarkan.

Kira-kira 3,000 anggota polis termasuk 200 pegawai terlibat dalam PRK Kuala Besut bagi mengawal perjalanan kempen dan hari mengundi, sejak 12 Julai lalu.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, dan calon PAS Endot@Azlan Yusof, 48.

Keputusan rasmi hanya akan diumumkan selepas pukul 10 malam untuk memberi laluan kepada pemimpin dan penyokong parti berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Orang gila disangka 'pengundi hantu'

Oleh:

Tarikh: July 24, 2013

KUALA BESUT - Kehadiran seorang lelaki berlegar-legar di sekitar pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu di sini pada 2 petang menimbulkan kecurigaan kepada sekumpulan perayu undi yang bertindak menahannya kerana mengesyaki dia 'pengundi hantu'.

Mereka kemudian menyerahkan lelaki itu kepada polis dan membuat laporan polis berhubung kecurigaan mereka itu.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata ia satu-satunya laporan yang diterima pihaknya berhubung dakwaan pengundi hantu sepanjang proses pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut yang berlangsung hari ini.

"Hasil siasatan ke atas lelaki yang berasal dari Jerteh itu kami mendapati lelaki itu kurang siuman dan sesetengah penduduk di kawasan itu mengenalinya dan curiga dengan kehadirannya di kawasan itu.

"Lelaki yang bekerja sebagai jurukimpal itu ditahan bukan dalam 500 meter kawasan pengundian, bagaimanapun kita tetap menahannya untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Kamaruddin berkata polis tidak menggalakkan para penyokong parti yang bertanding membanjiri Dewan Gong Kemuntong Jerteh sewaktu penjumlahan undi dilakukan malam ini kerana tempat yang terhad.

Katanya orang ramai yang ingin mengetahui keputusan rasmi pilihan raya kecil itu boleh menontonnya menerusi siaran langsung di televisyen di rumah masing-masing.

Beliau berkata penyokong juga dilarang melakukan perarakan dalam apa juga bentuk untuk meraikan kemenangan calon mereka.

Kamaruddin memuji para penyokong parti yang memberikan komitmen terbaik sepanjang proses pilihan raya itu berlangsung.

Beliau turut mengesahkan insiden kereta Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar dikerumuni para penyokong parti tertentu yang menyangka kereta bercermin gelap tanpa logo SPR yang membawa beliau dan anggota suruhanjaya itu membawa pengundi hantu.

Bagaimanapun, tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu, kata Kamaruddin. - Bernama

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

3 sekeluarga maut dalam kebakaran

Oleh:

Tarikh: July 25, 2013

KOTA TINGGI - Tiga sekeluarga maut sementara dua lagi cedera dalam kebakaran di rumah mereka di Jalan Binjai 4, Taman Kota Jaya di sini hari ini.

Identiti mereka yang terkorban hanya dikenali sebagai Maliki Hanie Aziz, Ezza Nurfarhainie Othman dan Mahadir Ngapit.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Suhaimi Abd Jamal ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.04 petang dan sampai di tempat kejadian pada 5.09 petang.

Bagaimanapun apabila dua jentera dengan 12 anggota tiba di tempat kejadian, rumah teres kos rendah setingkat tersebut sudah 90 peratus terbakar, katanya.

Pihak bomba turut menghubungi unit anjing K-9 dari Kuala Lumpur bagi membantu menyiasat punca sebenar kebakaran, katanya. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

2 sahabat maut dihempap dinding

Oleh: MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON

Tarikh: July 25, 2013

LABIS - Dua remaja maut akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dinding konkrit bersebelahan  tempat mereka bekerja runtuh dan menghempap mereka dalam kejadian di Tenang, di sini  kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 12.50 petang ini, dua sahabat terbabit, Ungku Muhammad Syahir Ungku Abdul Malik , 19, bersama Mohamad Syazwan Saruddin, 18, sedang menyidai alas kaki kenderaan pelanggan di atas dinding tersebut sebelum tiba-tiba konkrit itu runtuh dan menghempap mereka.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurutnya, Mohamad Syazwan meninggal dunia pada jam 1.21 tengah hari, manakala Ungku Muhammad Syahir pada jam 4 petang selepas dirawat di wad kecemasan Hospital Daerah Segamat.

Kedua-dua jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kemelah selepas solat terawih

Sementara itu, nenek Ungku Muhammad Syahir, Munah Long, 76, berkata, Allahyarham cucunya itu ada menyerahkan wang kepadanya selain berhasrat mahu membeli pakaian bersama rakannya (Mohamad Syazwan) selepas pulang dari kerja.

"Arwah ada menyerahkan duit kepada makcik untuk membeli keperluan pada Aidilfitri nanti. Sekarang dia sudah meninggal dunia dan makcik tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan duit ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kemelah.

Menurut Munah, arwah yang tinggal bersamanya selepas kematian kedua ibu bapanya beberapa tahun lalu bercadang untuk ke Batu Pahat membeli baju raya, selain menyatakan tidak sedap hati ke tempat kerja pada hari kejadian.

"Arwah ada mengadu sakit belakang, tapi tetap pergi kerja kerana sudah berjanji dengan Mohamad Syazwan.

"Ketika itu, saya lihat arwah sedih sebelum menunggang motosikal menuju ke tempat kerja. Saya tidak sangka itu kali terakhir saya berjumpa dengan dia," katanya.

Bapa Mohamad Syazwan, Saruddin Aris, 45, berkata, sebelum anaknya keluar bekerja, anaknya itu ada memaklumkan kepadanya akan keinginannya untuk berbuka puasa dengan nasi ayam.

"Saya beri dia sejumlah wang untuk berbuka puasa, tetapi terkejut dan tidak menyangka menerima berita pemergian dia akibat kejadian tersebut.

"Arwah memang bersahabat baik dengan Ungku Muhammad Syahir dan kebetulan kami tinggal berjiran. Tak sangka mereka akan meninggal dunia bersama-sama," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Bayar RM150 untuk sebutir kurma

Oleh: ABD JALIL ALI

Tarikh: July 25, 2013

Ada lebih 100 jenis makanan dan minuman serba lazat dihidangkan, semuanya untuk anda makan sepuas hati.

Seperti yang diiklankan setiap hari sejak awal puasa, hotel lima bintang di Kuala Lumpur ini menawarkan resipi dari seluruh negara, juga hidangan pilihan ala barat.

Ada nasi minyak, nasi kerabu, nasi dagang, nasi ambeng, nasi kandar. Ayam kuzi, ayam percik, ayam goreng bercili, rendang tok, daging gulai kawah, daging masak kicap, kari kambing, ikan tenggiri asam pedas, ikan patin gulai tempoyak, sambal petai, sambal sotong. Itu hanya sebahagian dari sekian banyakan masakan tempatan.

Untuk yang gemar hidangan orang putih, ada 'T-bone steak', 'lamb chop', 'chicken chop'. Kalau hendak makanan Jepun, ada tempura, tepanyaki, sushi.

Ada juga selera Arab seperti nasi mendi, kebab. Kalau suka makanan dari India, ada roti nan, ayam tandori.

Ada yong taufu, capati, roti jala, mi hailam, mi hokkien, soto, mi bandung, rojak mamak, pecal Jawa. Ada tapai pulut, pengat keledek, bubur kacang, bubur pulut hitam, kek, puding. Ada cendol, ais kacang, aiskrim. Ada rambutan, nangka, belimbing madu. Dan, tentu sekali ada kurma Nabi.

Panjang lagi senarai juadah yang dihidangkan. Itu belum masuk beraneka minuman panas – teh tarik wajib – dan minuman sejuk – sirap bandung mesti – juga jus buah-buahan.

Pendek kata kalau hendak disebut semuanya, tidak cukup ruang yang terhad ini.

Dengan bayaran hanya RM129 (hanya?) seorang, kanak-kanak separuh harga, semua yang dihidangkan di coffee house hotel berkenaan boleh anda santap, boleh tambah berapa kali yang anda suka.

Had masa: bermula masuk waktu berbuka hingga 10.30 malam.

Tidak sahaja di hotel berkenaan, pakej berbuka puasa juga ditawarkan di hotel dan restoran-restoran eksklusif di Kuala Lumpur.

Sana-sini ada 'Ramadan Buffet'. Seperti yang diiklankan dalam surat khabar, harga paling rendah ialah RM49 seorang; paling tinggi RM150.

Menarik juga di Shah Alam, satu kawasan lapang telah diubah menjadi tempat eksklusif sepanjang Ramadan. Kanopi berhawa dingin lengkap dengan kerusi dan meja makan berkelas bintang.

Apa yang ditawarkan seperti dalam iklan ialah '222 Juadah Untuk Dinikmati' pada harga RM80 seorang. Bawa sepuluh orang dapat percuma seorang, macam iklan pakej pelancongan!

Itulah alkisah orang berduit-duit berjamu di bulan al-Mubarak. Menghairankan, dengan pakej yang begitu mahal, masih berebut-rebut orang berbuka puasa di tempat seperti itu.

Syarikat korporat membuat tempahan untuk para pelanggan dan rakan niaga. Individu bawa orang tersayang untuk menyatakan cinta. Bagi sesetengah orang lokasi berbuka pun boleh menjadi simbol status.

Saya bukan jutawan. Tetapi rasanya kalau satu hari nanti rezeki melimpah, poket sudah buncit dan saya termasuk golongan berwang, masih tidak akan saya berbelanja RM100 untuk berbuka puasa di hotel berbintang-bintang.

Malah, RM50 pun tidak sekali-kali.

Maaf cakap, ini bukan soal kedekut, tetapi soal perut. Saya tidak fikir tangki saya yang kecil boleh menerima juadah yang begitu banyak.

Walaupun tidak makan sepanjang hari, tentu tidak terlarat untuk kita melantak hidangan sebanyak itu ketika berbuka. Usahkan 222 juadah, kalau dapat menjamah 22 pun sudah kira hebat.

Dalam kes saya sudahlah tangki kecil, banyak pula yang tidak boleh dijamah sebab tubuh dilanda masalah gula dan kolesterol. Kambing panggang tidak boleh, rendang tok tidak boleh. Nasi minyak, gulai kawah, tapai pulut, sirap bandung, laici, tart, semua tidak boleh.

Pendek kata jangankan 222 juadah, 22 pun saya tidak larat. Kalau boleh pun hanya 2 iaitu kurma dan air suam. Maka rasa membazir sangat jika saya bayar RM100 untuk berbuka di hotel besar, tetapi hanya boleh makan kurma dan minum air suam.

Tetapi orang berduit tidak lihat pembaziran. Mereka sanggup bayar mahal hanya untuk makan kambing panggang dan seketul dua rendang tok.

RM150 hanya untuk makan sepinggan nasi minyak dan secucuk dua sate. Pada hal ada sekian ramai orang biasa hanya mampu makan nasi bungkus RM5. Demikianlah...

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Isu Syiah: SKMM akan bertindak jika ada laporan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 25, 2013

SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedia  bertindak jika ada laporan berkaitan laman sosial di internet yang didapati menyebarkan ajaran Syiah.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, SKMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana laman sosial atau web yang menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan amalan Ahlul Sunnah Wal Jamaah umat Islam di negara ini.

"Oleh kerana sejak dulu kita di sini berpegang pada Ahlul Sunnah Wal Jamaah, ajaran yang selain daripada itu tidak sepatutnya disebarkan," katanya.

Jailani berkata, jika pengguna mendapati ada elemen bahaya dalam web atau laman sosial itu, lebih baik laporkan terus kepada polis.

"Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pula lebih arif untuk mengenal pasti kandungan laman web atau laman sosial yang disebarkan itu," katanya.

Menurut Jailani, SKMM akan campur tangan jika ada unsur sensitif yang tidak sesuai disebarkan di negara ini.

"Kalau ada benda (maklumat) macam itu, kita akan buang atau ambil tindakan sesuai ikut undang-undang," katanya.

Sinar Harian difahamkan, SKMM masih belum menerima laporan mengenai 200 laman Facebook yang menyebarkan ajaran Syiah seperti yang didakwa.

Pada 5 Julai lalu, satu laporan polis dibuat  di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di Shah Alam oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berhubung penyebaran fahaman Syiah di Facebook.

Ketua Unit Kajian Syiah Isma, Mohamad Ismail mendakwa terdapat lebih 200 akaun mengenai Syiah di Malaysia dikenal pasti kian giat menjalankan aktiviti menyebarkan maklumat berkaitan fahaman itu kepada masyarakat umum.

 "Antaranya Al-Hadhari, Al-Jafari, Al-Mahdi. Terdapat juga satu blog bernama
kamilzuhairi.blogspot.com," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan berhubung fahaman seumpama itu, namun bersedia untuk menyalurkan maklumat dikehendaki polis atau Jakim. 

"Setakat ini tindakan hanya boleh diambil polis, kita cuma salurkan maklumat mengenai pemilik akaun, kesan kegiatan akaun dan berurusan dengan Facebook untuk minta akaun diminta itu dipadam.

"Pihak kami hanya bantu dari segi teknikal, sebarang tindakan dilakukan pihak berkuasa," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

KDN isytihar Syiah menyalahi undang-undang

Oleh: NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH

Tarikh: July 24, 2013

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai salah sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966 yang berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha KDN, Datuk Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan keingkaran mereka yang masih bergiat aktif, walaupun pertubuhan itu tidak didaftarkan secara sah.

"Mereka pernah memohon mendaftarkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai sebuah pertubuhan dengan jabatan pendaftaran pertubuhan Malaysia Negeri Melaka pada 18 jun 2011.

"Namun, permohonan mereka telah di tolak oleh Jabatan pada 4 Ogos 2011 dan Menteri Dalam Negeri pada 31 Oktober 2011," katanya dipetik dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas persatuan terbabit yang bergerak aktif sehingga memudaratkan ketenteraman  awam serta mencetuskan  suasana keresahan  di kalangan umat lslam di negara ini yang majoritinya mengikuti  fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
 
Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Keda Datuk Mukhriz Mahathir turut mencadangkan supaya fatwa anti Syiah diwartakan bagi membendung pergerakan terbabit.

Cadangan itu juga disambut baik oleh Mufti Kedah, Datuk Sheikh Mohamad Baderudin Ahmad dan Pas yang bersedia untuk membincangkan perkara tersebut dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Ketua Kumpulan Syiah Malaysia, Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz mendakwa jumlah pengikut fahaman itu kini dianggarkan mencecah antara 300,000 dan sejuta orang.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi anggaran tepat kerana tidak mempunyai data mengenainya.

"Jumlah yang tepat kita tidak ada. Kita hanya mengambil kira jumlah itu berdasarkan pelbagai pandangan dan laporan di media.

"Ada laporan mengatakan 300,000 orang. Paling ramai pernah dilaporkan mengenai jumlah pengikut Syiah di Malaysia ialah sejuta orang," katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Palsu dokumen: 2 pegawai bank bebas

Oleh:

Tarikh: July 24, 2013

BUTTERWORTH - Dua bekas pegawai bank dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan permohonan kad kredit, 10 tahun lepas.

Hakim Musyiri Peet menetapkan keputusan itu ke atas Wong Chee Gin, 49, dan Goh Chee Chun, 39, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membukti kes melampaui keraguan munasabah.

Musyiri berkata pihak pendakwaan juga gagal membuktikan bahan subjek utama yang berkaitan dalam pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.

"Laporan maklumat orang pertama yang direkodkan juga tidak mengandungi sebarang aduan atau dakwaan bahawa kedua-dua tertuduh telah memalsukan sebarang dokumen seperti yang didakwa," katanya.

Wong menghadapi tujuh pertuduhan kerana mengisi maklumat palsu dalam borang penilaian kad kredit dengan niat dokumen itu dapat menyakinkan pihak United Overseas Bank (UOB) meluluskan permohonan kad kredit atas nama tujuh individu berlainan.

Goh didakwa bersubahat dengan Wong untuk memalsukan dokumen tersebut melibatkan empat daripada tujuh nama individu terbabit.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank UOB cawangan Butterworth, Jalan Bagan Luar di sini antara 29 Jan hingga 23 Mei 2003.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Ramlan manakala Wong diwakili peguam Simon Murali dan Goh diwakili R. Balabedha.

Sementara itu, Wong ketika ditemui di luar mahkamah berkata beliau bersyukur dengan keputusan itu serta dapat mengembalikan maruahnya yang tercalar selepas dibuang kerja akibat didakwa terlibat dalam kes itu. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Anak OCPD Ampang Jaya disamun

Oleh:

Tarikh: July 24, 2013

KUALA LUMPUR - Anak perempuan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin disamun di persimpangan lampu isyarat di Sentul di sini hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata kejadian berlaku kira-kira 10.05 pagi ketika mangsa yng berusia 34 tahun yang juga ahli perniagaan menghentikan keretanya di persimpangan lampu isyarat tersebut sebelum dihampiri dua lelaki bermotosikal.

"Penjenayah dipercayai menggunakan palam pencucuh atau besi untuk memecahkan cermin kereta mangsa di bahagian penumpang hadapan, sebelum melarikan beg tangan mangsa yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan," katanya kepada Bernama.

Khairi berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek memakai topi keledar bertutup penuh berwarna gelap.

Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sementara jumlah kerugian mangsa masih dalam siasatan, katanya. – Bernama

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Lelaki kurang siuman bebas tuduhan bunuh budak

Oleh:

Tarikh: July 24, 2013

SANDAKAN - Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas serta membebaskan seorang lelaki daripada pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak berusia enam tahun, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Douglas Cristo Primus Sikayun membuat keputusan itu selepas mendapati Mohamad Hanafi Mohamad, 27, berada dalam keadaan kurang siuman ketika melakukan perbuatan berkenaan.

Mahkamah kemudian memerintahkan Mohamad Hanafi ditahan di Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu di bawah perkenan Tuan Yang Dipertua Negeri Sabah.

Mohamad Hanafi didakwa membunuh Ahmad Khir Hadari Awang, yang merupakan anak bekas seorang wartawan tempatan, di Flat MPS di sini pada kira-kira 2.30 petang, 10 Jun 2011.

Mengikut fakta kes, tertuduh turut menikam dua lagi adik beradik mangsa.

Mohamad Hanafi ditahan polis sehari selepas itu dan mahkamah memerintahkan dia dihantar ke Hospital Mesra Bukit Padang untuk pemeriksaan mental.

Pakar perunding psikiatri kemudian mengesahkan tertuduh kurang siuman pada masa kejadian, selain tidak menyedari perbuatan yang dilakukannya. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Lelaki bebas tuduhan miliki BMW curi

Oleh:

Tarikh: July 24, 2013

SHAH ALAM - Aidilfitri tahun ini pasti disambut penuh kegembiraan oleh seorang lelaki apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan memiliki harta samun iaitu sebuah kereta mewah jenis BMW 525 bernilai RM230,000 dua tahun lepas.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohammad Yusof Abu Bakar, 49, dan mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 28 Jun tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun selepas mendapati Mohammad Yusof bersalah terhadap tuduhan itu.

Dalam penghakimannya, Akhtar berkata hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dalam penerimaan keterangan saksi termasuk berhubung rekod kesalahan lampau Mohammad Yusof dan pemilikan pas Kastam.

Beliau berkata keterangan itu tidak boleh diterima pakai di mahkamah kerana ia adalah keterangan di bawah Seksyen 112 Akta Keterangan 1950.

"Pemilikan pas Kastam itu tidak cukup untuk membuktikan Mohammad Yusof terlibat dalam kes samun. Oleh itu, saya berpendapat hakim sebelum ini terkhilaf dalam penerimaan keterangan ketika membuat keputusan," kata Akhtar.

Mohammad Yusof didakwa memiliki harta samun berbentuk kereta mewah BMW 525 (A) milik Nordin Zabol, 58, yang dilaporkan hilang pada 21 Jan 2011.

Lelaki itu yang melakukan kerja-kerja kampung didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan hadapan Blok 6 A, Apartment Kenanga Puchong, Petaling Jaya dekat sini, pada 4.55 petang, 22 Mac 2011.

Pertuduhan di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan itu memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohammad Yusof diwakili peguam Nor Azreen Ab Rahman yang menyebut bagi pihak peguam M. Athimulan sementara Timbalan Pendakwa Raya Iswa Tonie hadir bagi pihak
responden. - Bernama

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Guru diarah buka hijab

Oleh:

Tarikh: July 25, 2013

MANILA - FILIPINA. Majoriti masyarakat Katolik Filipina, meminta guru Muslim membuka hijab muka ketika sedang mengajar.

Setiausaha Kementerian Pendidikan Armin Luistro berkata, permintaan itu dilakukan sebagai usaha memulihkan hubungan komuniti pelbagai agama yang mula dilihat dingin sejak kebelakangan ini.

"Arahan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Tindakan ini dilihat adil dan rasional," katanya dipetik AFP

Bagaimanapun, pelajar Islam tidak dihalang untuk berhijab ketika berada di dalam kelas.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Rakyat Mesir tolak rampasan kuasa

Oleh:

Tarikh: July 25, 2013

KAHERAH - Mesir. Kira-kira 65 peratus masyarakat Mesir menolak rampasan kuasa tentera apabila masih enggan bersurai dari berhimpun jalanan di sekitar Kaherah sejak 3 Julai.

Penganalisis politik Mesir Hisham el-Batal berpendapat, rakyat menolak rampasan kuasa tentera kerana masih trauma dengan era pemerintahan  rejim Hosni Mubarak yang mencatatkan peningkatan jumlah kematian setiap hari.

"Rampasan kuasa itu ditolak jutaan rakyat termasuk pegawai tertinggi ketika era Hosni yang kini masih dipenjarakan," katanya dipetik Press TV

Menurutnya, demonstrasi itu tidak hanya dilakukan oleh gerakan Ikhwanul Muslimin, ia sebaliknya turut dilakukan oleh kumpulan anti Amerika Syarikat.

"Negara antarabangsa tidak boleh menuduh demonstrasi ini didalangi kumpulan pro Mursi kerana jutaan rakyat termasuk anti Mursi mula mengerumuni Kedutaan AS bagi mendesak  negara itu supaya tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran di Mesir," katanya.

Beliau berkata, kumpulan yang menyokong penggulingan itu berasa bimbang kerana mengetahui kesan penggulingan tersebut membawa kepada campur tangan AS secara meluas di Kaherah.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

PM umum bantuan RM500 kepada penjawat awam

Oleh:

Tarikh: July 24, 2013

KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.

Katanya pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.

"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya.

Najib berkata langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.

Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.

"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion bagi pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan hari raya. - Bernama

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Bernama diperguna siar berita palsu

Oleh:

Tarikh: July 24, 2013

KUALA LUMPUR - Bernama hari ini menafikan telah mengeluarkan berita mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pemberian bonus Raya kepada kakitangan awam yang kononnya disiarkan melalui portal berita www.bernama.com.

Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong berkata beliau percaya ada usaha pihak tertentu untuk memburuk-burukkan kerajaan dengan menggunakan Bernama ketika pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut berlangsung hari ini.

"Bernama sering dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan imej kerajaan memandangkan agensi berita nasional ini terkenal dengan kewibawaan dan kesahihan berita yang dikeluarkannya," kata beliau dalam satu kenyataan.

Ibu pejabat Bernama di sini dimaklumkan mengenai berita palsu itu yang disebarkan melalui laman sosial Facebook oleh wartawannya yang membuat liputan pilihan raya kecil berkenaan.

Berita palsu dua perenggan itu turut diselitkan gambar perdana menteri yang kononnya sedang bercakap pada sidang akhbar di Kuala Besut.

Yong berkata ada kemungkinan ia hasil manipulasi menggunakan aplikasi 'Screenshot' dan 'Photoshop'. - Bernama

 

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Selangor umum bonus raya sebulan gaji

Oleh:

Tarikh: July 24, 2013

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan bonus sebulan gaji kepada 21,776 penjawat awam negeri sempena Aidilfitri tahun ini.
   
Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta bagi tujuan itu dan bonus akan diberi selewat-lewatnya hujung bulan ini.
   
"Pemberian bonus ini akan diberikan kepada kakitangan tetap, kontrak dan sambilan...namun sekiranya kerajaan pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada penjawat awam, maka kerajaan Selangor akan menambah lagi (bonus) setengah bulan gaji kepada penjawat awam di negeri ini," katanya pada sidang media di sini.
   
Ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri untuk mengekang ajaran syiah di Selangor, Abdul Khalid berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
   
"Jais akan mengambil tindakan terhadap perkara ini. Sekiranya perlu diambil tindakan ke atas pihak yang mengamalkan ajaran itu, mereka (Jais) akan buat apa yang perlu," tambahnya. - Bernama

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment