Thursday, September 19, 2013

RG2011... Harian Metro di TH 200913

 

 

Harian Metro

 

Polis buru warga Indonesia terbabit samun bunuh

BALIK PULAU: Polis sedang memburu lelaki warga Indonesia bagi membantu siasatan kes samun dan bunuh seorang warga emas di sebuah rumah di Jalan Tun Sardon, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zain berkata Alias Minan berusia 30-an, dikehendaki susulan penemuan kesan cap jari di lokasi kejadian yang sepadan dengan cap jari lelaki itu yang mempunyai rekod lampau bersabit kes pecah rumah.

Polis kini menjalankan Ops Rantau Khas bagi mengesan suspek, katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya polis setakat ini memberkas 16 warga asing dalam operasi itu dan kesemua mereka didapati tiada kaitan dengan kes berkenaan namun tetap ditahan mengikut Akta Imigresen 1963.

Mengulas lanjut mengenai kes itu, Mohd Hatta berkata isteri mangsa, Chang Yook Kee, 71, yang patah tangan kiri dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang, masih belum dapat memberi keterangan kepada polis.

Hasil bedah siasat pula mendapati kematian Chin Len Wong, 83, berpunca daripada pendarahan dalaman di bahagian kepala, akibat dihentak dengan objek tumpul dan keras, katanya.

Dalam kejadian itu mangsa ditemui oleh anak lelakinya dalam keadaan nazak dan berlumuran darah pada jam 9 pagi, sebelum meninggal dunia beberapa minit kemudian.

Pasangan suami isteri itu hanya tinggal berdua di rumah yang teletak di atas bukit berkenaan dan mengusahakan sendiri kebun durian serta ladang getah seluas 2.83 hektar milik mereka. - Bernama

Pekerja am ditahan dipercayai liwat kanak-kanak

KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja am di sebuah sekolah rendah di sini yang sebelum ini pernah menjalani hukuman termasuk sebatan kerana meliwat masih tidak serik apabila mengulangi perbuatan jijik itu selepas dipercayai meliwat tujuh mangsa berusia 12 tahun dalam kejadian berasingan di rumah sewanya, di Kampung Pasir Panjang, di sini.

Bagaimanapun, perbuatan terkutuk suspek berusia 56 tahun yang dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu sejak Januari lalu akhirnya terbongkar sebelum dia ditahan malam tadi selepas salah seorang mangsa berusia 13 tahun mendedahkan peristiwa hitam itu kepada ibu bapanya.

Menurut sumber, perbuatan terkutuk mangsa terbongkar apabila salah seorang mangsa menceritakan perbuatan jijik suspek sambil memaklumkan beberapa rakannya turut diliwat.

"Terkejut dengan pendedahan itu, keluarga mangsa bersama beberapa penduduk kampung yang lain segera ke rumah mangsa bagi mendapatkan kesahihan di sebalik cerita anaknya kira-kira jam 6 petang semalam.

"Sebaik sampai di rumah suspek, keluarga mangsa yang gagal mengawal kemarahan bertindak menyerang dan memukul suspek di rumahnya.

"Pada masa sama, polis yang dimaklumkan kejadian berkenaan segera menahan suspek untuk tindakan lanjut," katanya.

Anuar Zain 'fobia' laman sosial

KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain enggan memiliki akaun Twitter, Instagram dan Facebook kerana dikatakan 'fobia' selepas melihat pelbagai perkara buruk berlaku dalam kalangan rakan-rakannya yang aktif dalam laman sosial berkenaan.

Anuar berpendapat tindakan berkongsi aktiviti dan hal peribadi dalam laman sosial dengan orang ramai boleh mengundang bahaya selain aib terhadap diri sekiranya tidak dikawal.

 

Penyampai radio parah ditikam

SRI AMAN:Seorang penyampai radio lelaki dari Stesen RaSA FM (RTM Sri Aman) cedera parah ditikam seorang lelaki tidak dikenali di Sri Jaya Park, Sri Aman malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad ketika dihubungi berkata mangsa dikenali sebagai Samei Epat, 31 tahun.

 

Jemaah Nazir dan Jabatan Kualiti diarah siasat kes guru disiplin

KUANTAN: Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud sudah mengarahkan Jemaah Nazir dan Jabatan Kualiti menyiasat secara terperinci kes guru disiplin yang dilaporkan mencabul muridnya.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci termauk mengambil butiran daripada mangsa dan ahli keluarga mereka untuk tindakan susulan.

Menurutnya, masih terlalu awal untuk memutuskan bentuk tindakan kerana kes itu masih dalam siasatan polis.

'Saya ni jenis miang'

Kuala Lumpur: "Saya memang macam itu. Jenis miang sikit. Saya faham semua orang tak selesa. Saya memang ada satu tabiat tak senonoh macam itu. Patut awak sound (beri amaran) masa kali pertama saya buat."

Itulah SMS pengakuan seorang guru disiplin kepada wanita yang juga rakan sejawat di sebuah sekolah di ibu negara selepas tembelangnya yang sering melakukan gangguan seksual terbongkar.

Akibatnya, guru wanita itu menghadapi tekanan perasaan selepas kerap diganggu termasuk tangannya dipegang serta betisnya diraba beberapa kali sejak Februari lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Anis, 27, berkata, dia mula 'diusik' guru berusia awal 30-an itu sejak berpindah ke sekolah berkenaan awal tahun lalu dan tidak menyangka diperlakukan sebegitu tanpa segan silu biarpun di depan murid.

Namun, penderitaan Anis berakhir apabila guru lelaki itu ditahan pihak berkuasa Isnin lalu berikutan laporan polis dibuat seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun mendakwa dicabul guru itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Azab enam jam

Balik Pulau: Tempoh enam jam memeritkan terpaksa ditempuh seorang lelaki warga emas yang hanya mampu merintih sambil menahan kesakitan apabila dipukul penyamun sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi anak dan isterinya di sebuah rumah di Pondok Upeh, di sini, semalam.

Dalam kejadian yang hanya disedari jam 9 pagi itu, mangsa, Chin Leng Wong, 83, maut apabila dipukul dengan kayu di kepala, muka dan beberapa anggota badannya, manakala isterinya, Chang Yook Kee, 71, terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP), akibat patah tangan juga angkara dibelasah penyamun.

Kejadian berlaku jam 3 pagi dan rumah mangsa yang terletak di atas bukit 200 meter dari jalan besar serta agak sunyi membuatkan penyamun mengambil kesempatan memecah masuk kediaman berkenaan.

Bagaimanapun, penyamun yang dikatakan lebih daripada seorang itu bertindak kejam dengan memukul pasangan warga emas terbabit walaupun mereka sudah mengambil barang kemas dan wang milik mereka.

Mangsa yang mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki itu memiliki dusun durian seluas 2.8 hektar dan kebun getah yang diusahakan sendiri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Sayu minta tolong

Melaka: "Saya terdengar jeritan sayu seorang gadis meminta tolong dari dalam kereta yang hampir terputus dua.

"Pilu hati saya apabila gadis yang tersepit dalam kereta itu semakin lemah sebelum tidak bergerak beberapa saat kemudian," kata pelanggan sebuah kedai makan dikenali sebagai Rohani, 39, di sini, semalam.

Rohani antara orang terawal tiba di lokasi kemalangan ngeri yang mengorbankan seorang pelajar Kolej Universiti Islam Melaka di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin, Balai Panjang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.20 pagi, Teh Arifah Hanani Mohd Nasri, 20, beralamat di Serendah, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala rakannya yang memandu Perodua Kancil dikenali Mohd Zul Akmal, 19, patah kaki kanan dan tangan kiri.

Kedua-dua mangsa yang parah pada anggota badan tersepit dalam kereta yang remuk dan melekat pada pokok," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Kampit baja jadi jalan

Kuantan: Terdesak selepas terperangkap dalam kesesakan lalu lintas akibat treler terbalik merentangi laluan di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan di Sungai Karang, di sini pagi semalam, segelintir pengguna jalan raya bertindak membina jalan alternatif dengan menutup sebahagian longkang menggunakan kampit berisi baja yang dibawa treler berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, treler membawa muatan baja terbabit dikatakan dalam perjalanan ke Cheneh, Kemaman sebelum belakangnya terbalik merentangi jalan sehingga menyebabkan kesesakan sejauh lebih 10 kilometer.

Kejadian berlaku ketika orang ramai mula keluar untuk ke tempat kerja serta menghantar anak ke sekolah menyebabkan mereka mengambil tindakan menutup longkang di tepi jalan raya menggunakan kampit berisi baja serta merobohkan tebing longkang yang agak tinggi bagi membolehkan kenderaan melepasi belakang treler yang terbalik.

Difahamkan, pemandu dan kelindan treler itu yang berusia lingkungan 30 tahun tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang orang ramai mengambil baja berharga RM150 sekampit untuk menutup longkang disebabkan pengguna jalan raya berang kerana perjalanan mereka tertangguh hampir empat jam.

Tinjauan di tempat kejadian mendapati ratusan kenderaan menghala ke kawasan perindustrian Gebeng terperangkap dalam kesesakan sebelum pihak berkuasa membuka laluan bersebelahan bagi melancarkan pergerakan trafik.

Malah, ada kenderaan mengalami kerosakan dan tersadai di bahu jalan akibat terlalu lama terperangkap dalam kesesakan selain terdapat pemandu kurang sabar menjerit marah ketika melepasi treler berkenaan.

Menurut kelindan treler itu yang enggan dikenali, mereka dalam perjalanan dari Johor Bharu ke Cheneh untuk menghantar baja, namun ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan itu hilang kawalan sebelum bahagian belakang terbalik merentangi jalan.

"Ketika itu treler dipandu perlahan berikutan muatan penuh selain menaiki jalan berbukit. Tiba-tiba ekor treler bergoyang dan pemandu cuba mengawal kenderaan, tetapi gagal sebelum ia terbalik," katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya mereka bernasib baik kerana kepala treler tidak terbalik, malah ketika kejadian tiada kenderaan lain di belakang.

Sementara itu, saksi yang ingin dikenali sebagai Shahir, 40-an, berkata, orang ramai terpaksa membina jalan alternatif untuk memberi laluan kepada kenderaan yang terperangkap memecahkan tebing serta menutup longkang menggunakan kampit baja.

"Jalan ini memang sentiasa sibuk terutama waktu pagi kerana ia laluan utama bagi pekerja perindustrian di Gebeng serta ibu bapa yang mahu menghantar anak ke sekolah berdekatan," katanya.

Peras buruh tanya jalan

Kota Bharu: Akibat melakukan pemerasan terhadap seorang buruh tahun lalu, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas Mohamad Azizi Ab Rashid, 24, mengaku bersalah, tetapi dua rakannya yang menghadapi pertuduhan sama, Wan Mohamad Ikhwan Wan Omar, 24, didenda RM10,000 manakala Norhafizi Nordin, 21, dipenjara 18 bulan.

Mahkamah memerintahkan semua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 17 Disember 2012.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama-sama didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan terhadap Mohd Elias Mat Isa, 25, sehingga mangsa menyerahkan motosikalnya di tepi jalan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kuala Krai pada jam 11.30 malam, 4 Disember 2012.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau antara dua hukuman jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika berada di satu lampu isyarat, mangsa bertanya kepada semua tertuduh yang tidak dikenali jalan untuk ke Kampung Padang Sembilan.

Semua tertuduh bersetuju membantu menunjukkan jalan dan seorang daripada mereka membonceng motosikal ditunggang mangsa manakala dua rakannya mengikut dari belakang.

Bagaimanapun, mangsa dibawa ke tempat gelap sebelum tertuduh yang membonceng motosikal mengeluarkan pisau dan mengacukan ke leher mangsa mengarahkan dia menyerahkan motosikalnya.

Terdahulu, semua tertuduh ketika mengemukakan rayuan memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahan masing-masing, tetapi Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin mohon semua tertuduh dijatuhi hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.

Pendatang 'tak gentar'

Shah Alam: Walaupun kerajaan melancarkan 'perang' secara besar-besaran bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (Pati) di negara ini, namun masih ada Pati yang berdegil dan tidak menghiraukan amaran itu.

Ini terbukti apabila serbuan yang dijalankan Jabatan Imigresen Selangor di lapan lokasi tumpuan sekitar bandar raya ini dan Petaling Jaya berjaya menahan 32 Pati dari pelbagai negara antaranya Indonesia, Myanmar, India, Pakistan, Nepal dan Bangladesh.

Alasan Pati yang ditahan cukup mudah iaitu masuk ke negara ini hanya mahu mencari rezeki walaupun mengetahui mereka melanggar pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil berkata, walaupun pihaknya menjalankan operasi secara besar-besaran, namun masih ada Pati yang tidak gentar dan berani mencabar undang-undang negara.

Menurutnya, pihak berkuasa mengetahui kebanyakan PATI yang ditahan masuk ke negara ini untuk bekerja dalam pelbagai bidang terutamanya pembinaan dan perkhidmatan.

"Tidak dinafikan ada majikan yang mengambil jalan mudah dengan menggajikan pekerja asing tanpa permit sah kerana mahu mengurangkan kos untuk mendaftarkan pekerja mereka dan harus diingat mereka juga tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Tumpu kes pecah rumah

Subang Jaya: Polis Selangor akan memberi tumpuan menangani jenayah pecah rumah, pecah kenderaan dan curi kenderaan yang sering dilaporkan berlaku di sekitar negeri itu sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kawasan bandar yang pesat membangun seperti Petaling Jaya, Kajang dan Klang antara daerah yang menjadi tumpuan penjenayah melakukan kegiatan mereka.

Justeru, katanya, rondaan secara berkala pada waktu malam dan sekatan jalan akan dipertingkatkan selain mewujudkan lebih banyak Pusat Kepolisan Komuniti di daerah yang berisiko tinggi bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat.

"Kejadian pecah rumah membabitkan warga asing, penagih dadah dan individu yang berpeluang melakukan pecah rumah tidak kira ahli keluarga sendiri banyak dilaporkan berlaku di kawasan semi bandar. Saya menyeru agar setiap masyarakat perlu menjaga diri sendiri terlebih dulu dan jangan mudah percayakan orang lain.

"Di negeri ini, berlaku kenaikan 16 peratus bagi kes pecah rumah dan kami akan mencari langkah baru mahu mengelak kejadian ini daripada terus berleluasa.

"Kita perlu tingkatkan kesedaran diri sendiri dan mengambil langkah berjaga-jaga setiap masa supaya tidak sesekali memberi peluang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah," katanya selepas merasmikan Pusat Kepolisan Komuniti Subang Jaya di Pangsapuri Angsana, di sini, semalam.

Menurut Mohd Shukri, kejadian jenayah di negeri ini khususnya di beberapa daerah tumpuan itu berlaku di kawasan semi bandar yang mempunyai banyak kawasan perumahan.

Katanya, kawasan perumahan mempunyai tempat letak kenderaan tidak teratur dan terdedah seperti di kawasan pangsapuri memudahkan penjenayah melakukan aktiviti pecah kereta, samun kereta dan motosikal terutama pada waktu malam.

"Disebabkan itu saya menyeru semua pihak supaya mewujudkan kesedaran dalam diri sendiri untuk menjaga keselamatan nyawa, keluarga dan harta benda kerana pasukan keselamatan tidak boleh berada di sesuatu tempat setiap masa," katanya.

Penghuni sergah pencuri

Sabak Bernam: Seorang lelaki terpaksa melupakan hasratnya untuk memecah masuk sebuah rumah di Taman Nirwana, di sini, apabila dia disergah penghuni rumah berkenaan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, penghuni rumah berkenaan Mohd Radzi Mohd Musri, 28, baru masuk ke bilik tidurnya sebelum dikejutkan dengan bayang-ba seorang lelaki.

Mohd Radzi berkata, dia nampak jelas bayang-bayang lelaki terbabit berlegar-legar di luar rumahnya dan menyangka ia bayang 'makhluk halus'.

Namun, katanya, selepas beberapa minit memerhatikan bayang-bayang itu, dia mula curiga dan memberanikan diri untuk meninjau melalui celah tingkap bilik.

"Alangkah terkejutnya apabila saya menyelak langsir dan membuka tingkap, muka saya betul-betul berada bertentangan dengan lelaki terbabit.

"Tanpa berlengah, saya terus menyergah lelaki itu yang kemudiannya terkejut dan terus melarikan diri dengan memanjat tembok pagar rumah," katanya.

Katanya, disebabkan dia masih berada di dalam rumah, lelaki terbabit sempat melarikan beberapa helai pakaian yang disidai di ampaian luar rumahnya.

Menurutnya, lelaki terbabit juga sempat berpatah balik untuk mengambil baju yang dicurinya yang tercicir di luar rumahnya namun usahanya menahan lelaki itu tidak berjaya.

Katanya, kejadian diceroboh individu tidak dikenali pertama kali berlaku sejak dia menetap bersama keluarga mentuanya beberapa tahun lalu.

Mangsa nahas pergi jua...

Serdang: Seorang penunggang motosikal akhirnya meninggal dunia selepas bertarung nyawa selama lapan hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), dekat sini, 9 September lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, mangsa Zainuddin Mohamad, 42, cedera parah di kepala selepas terjatuh di atas jalan selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah motosikal lain dari arah belakang.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, mangsa yang mengalami kecederaan parah itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.20 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata, seorang lagi penunggang Ahmad Auni Nadhil Abd Rahman, 29 yang merempuh mangsa mengalami kecederaan ringan pada tangan dan kaki dan dirawat sebagai pesakit luar.

"Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku apabila motosikal yang berada di depan mangsa dipercayai mahu menukar haluan dari kiri ke kanan jalan sebelum dirempuh mangsa.

"Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh menyebabkan penunggang di belakangnya tidak sempat mengelak dan merempuhnya. Waris mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini," katanya.

Menurut Abdul Razak, semua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan ditahan di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

Baju sendat 'monitor' berat

Kuala Lumpur: "Kalau pakai baju yang potongan ikut bentuk badan, saya dapat monitor sama ada berat badan naik atau sebaliknya. Kalau rasa ketat daripada biasa atau baju tak boleh nak berzip, maknanya badan dah gemuk. Jadi saya kena berhati-hati.

"Di rumah saya tiada penimbang, jadi saya lebih senang ukur badan menerusi baju dipakai hari-hari. Kalau naik sikit, saya akan usahakan kurangkan mana yang patut," kata pelakon jelita, Rozita Che Wan menjelaskan mengenai penampilannya yang sering menyarungkan baju sendat mengikut bentuk badan.

Menurut pelakon Kiah Pekasam ini, cara menjaga berat dan bentuk badannya ini dilakukan sejak dulu lagi dan tidak mengikut petua sesiapa.

"Dari zaman sebelum kahwin lagi saya amalkan cara ini, tetapi tidak keterlaluan.

"Sekarang saya perlu jaga sebab saya tidak mahu kelihatan gemuk. Senang saja, secara psikologinya jangan besarkan baju atau pakai baju bersaiz besar," katanya.

Rozita yang akan menamatkan zaman ibu tunggalnya dengan pelakon muda Zain Saidin penghujung tahun ini berkata, dia mengambil nasi dua kali sehari sebagai makanan utama, tetapi dalam sukatan kecil. "Orang kata, nasi yang menjadi penyebab utama seseorang itu gemuk dan saya pernah cuba untuk tidak menjamahnya, tetapi tidak boleh kerana saya akan sakit kepala. Cuma bila makan nasi saya makan sepinggan saja, tidak pernah tambah. "Saya juga cuba mengelak minum petang," katanya.

Ibu bapa hutang, anak mati

Petaling Jaya: Tanda tanya mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun tidak hadir ke tadika selama lima hari terbongkar apabila dia ditemui mati dalam percubaan keluarganya untuk membunuh diri beramai-ramai dalam kejadian di Sri Manja Square 1, di sini.

Difahamkan, bapa dan ibunya berusia 50 dan 30-an itu merancang membunuh diri bersama dua anak mereka termasuk abang mangsa berusia tujuh tahun sejak sebulan lalu akibat masalah kewangan.

Cubaan pertama pada 11 September lalu dengan cara membakar arang di dalam bilik ketika mereka tidur.

Bagaimanapun, gagal sebelum pasangan suami isteri itu melakukan perkara sama pada malam berikutnya menyebabkan anak perempuan mereka maut dipercayai akibat terhidu asap.

Pasangan itu turut cuba melakukan satu lagi cubaan bunuh diri dengan membawa ahli keluarganya ke Klang, namun berubah fikiran pada saat akhir. Kematian kanak-kanak perempuan itu terbongkar jam 9 pagi, semalam, apabila seorang ibu kepada rakan si mati ke rumah berkenaan untuk mengetahui keadaan kanak-kanak itu selepas beberapa hari tidak ke sekolah.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Yana, 26, berkata, dia ke rumah itu selepas dimaklumkan seorang wanita berusia 40-an mendakwa menemui kanak-kanak itu sudah mati.

"Wanita itu ke rumah terbabit selepas anaknya yang juga rakan si mati memberitahu mangsa tidak hadir ke sekolah selama lima hari.

"Sebaik tiba di rumah itu, ibu si mati memberitahu anaknya sedang tidur, namun wanita berkenaan curiga apabila abang mangsa mendakwa adiknya sudah mati," katanya.

Menurutnya, wanita itu masuk ke dalam bilik di rumah berkenaan sebelum menemui mangsa diselimutkan dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

"Wanita itu segera menghubungi polis sebelum memberitahu kejadian itu kepada saya ketika terserempak di kawasan berkenaan," katanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menahan pasangan suami isteri terbabit bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati pasangan suami isteri itu terbabit mempunyai masalah kewangan dan cuba membunuh diri tiga kali.

"Seorang daripada ahli keluarganya iaitu anak kedua berusia lima tahun maut selepas cubaan bunuh diri kali kedua," katanya.

Ditahan sebaik mendarat di pantai

Kangar: Usaha empat anggota Pasukan Gerak Am (PGA) menjalankan intipan membuahkan hasil apabila mereka berjaya menahan seramai 90 pendatang asing tanpa izin, di kawasan pantai berhampiran Batu Putih, Kuala Perlis, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 6.30 pagi, anggota PGA diketuai Sarjan Salleh Mat menahan pendatang asing lelaki warga Myanmar yang baru turun dari sebuah bot yang mendarat di pantai berkenaan.

Difahamkan, terdapat pendatang asing itu yang cuba melarikan diri, tetapi berjaya dikejar anggota PGA kerana tidak mampu berlari jauh akibat keletihan dan kecederaan yang dialami ketika mereka turun dari bot dan melalui kawasan berselut untuk ke tebing pantai dalam keadaan gelap-gelita.

Komander Kompeni B Batalion Ke-3 PGA Asisten Superintendan Joe King Marian Anthony berkata, pihaknya menahan seramai 90 pendatang asing tanpa izin yang berusia antara 20 hingga 40 tahun yang cuba memasuki Malaysia dipercayai untuk bekerja.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mereka dipercayai dari Myanmar seramai 350 orang sejak 15 hari yang lalu dengan menaiki kapal ke Malaysia.

Nafsu terencat kena penampar

Kuala Lumpur: Tamparan kuat seorang wanita berusia 30 tahun berjaya menyelamatkannya daripada menjadi mangsa rogol seorang lelaki dalam kejadian di sebuah hotel di Jalan Imbi, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang berkerja sebagai penyambut tetamu dilaporkan bersendirian di hotel berkenaan sebelum cuba dirogol lelaki berusia lewat 30-an itu.

Menurut sumber, tindakan suspek menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka namun lelaki itu hanya berhenti sebelum beredar dari kawasan berkenaan selepas ditampar dengan kuat di muka oleh mangsa.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber itu berkata, mangsa yang bersendirian di hotel berkenaan mendakwa duduk di sofa di lobi hotel itu.

"Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang juga pelanggan di hotel itu duduk di sebelah mangsa. Selepas melihat tiada orang lain di situ, suspek tiba-tiba memeluk mangsa.

"Lelaki itu mula mencabul mangsa menyebabkan pergelutan berlaku lebih 10 minit apabila mangsa cuba mempertahankan kehormatannya," katanya.

24 lagi diiktiraf SBT

Putrajaya: Sebanyak 24 lagi sekolah di seluruh negara diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) bagi kohort keempat tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhannya sehingga kini adalah 115.

Ia juga menyaksikan pengiktirafan kali pertama yang diterima Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) iaitu SJKT Ladang Rem, Johor.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pengiktirafan yang membabitkan 14 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah itu membuktikan sasaran kementerian membangun dan mewujudkan 10 buah SBT setahun dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 melebihi sasaran dengan signifikan.

Katanya, dengan pengiktirafan itu, setiap sekolah akan menerima peruntukan RM700,000 bagi tahun pertama; RM500,000 (kedua) dan RM300,000 bagi tahun seterusnya.

"Selain itu, setiap pengetua, guru besar, guru dan anggota khidmat sokongan (AKS) yang layak akan menerima bayaran insentif SBT berbentuk bayaran sekali sahaja (one-off) sebanyak RM1,000 untuk sekolah menengah dan RM700 sekolah rendah.

"Ini bermakna pada hari ini (semalam) kerajaan memberikan peruntukan khas berjumlah RM 16.8 juta kepada 24 SBT berkenaan," katanya pada sidang media selepas majlis pengiktirafan SBT di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan I dan II, Datuk Mary Yap Kain Ching serta P Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah Mohamad dan Ketua Setiausaha II kementerian, Datuk Dr Ir Zaini Ujang.

Idris berkata, semua pengetua, guru besar SBT juga diberikan autonomi bagi membelanjakan peruntukan khas SBT itu untuk melaksanakan program pendidikan bagi melonjakkan lagi kecemerlangan murid berdasarkan keperluan sekolah masing-masing.

Bagaimanapun, ia perlu berpandukan kepada peraturan kewangan sedia ada serta menekankan kepada konsep impak yang positif dan kadar pulangan ke atas pelaburan (ROI) yang tinggi. "Pada masa sama, SBT juga boleh menggunakan peruntukan itu untuk membantu sekolah bukan SBT berhampiran dengan menjadi pembimbing untuk meningkatkan prestasi sekolah berkenaan," katanya.

Menurut Idris, kerajaan amat berpuas hati dengan pelaksanaan dan pencapaian cemerlang 91 SBT yang sudah diiktiraf dari 2010 (20 SBT kohort satu), 2011 (32 SBT kohort dua) dan 2012 (39 SBT kohort tiga).

Hanya 29 murid tapi cemerlang

Putrajaya: "Besar atau kecil (bilangan murid) di sekolah tidak menjadi masalah, yang penting usaha kita... tanpa komitmen memang tidak boleh dicapai, jika berjaya ia atas kerjasama semua pihak termasuk guru besar, guru, ibu bapa, pekerja, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan murid, semua harus sehaluan," kata R Paramaswary, guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Rem, Johor yang diiktiraf Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) kohort empat, di sini, semalam.

SJKT Ladang Rem yang ditubuhkan pada 1935 dan hanya mempunyai 29 murid adalah SJKT pertama di negara ini diiktiraf sebagai SBT sejak program berkenaan diwujudkan pada 2010.

Paramaswary berkata, sebagai guru besar yang sudah enam tahun menyandang jawatan itu, beliau amat berbangga kerana sekolah berkenaan diiktiraf sebagai SBT, dan kejayaan itu diperoleh hasil sokongan daripada semua pihak.

"Saya berhasrat menjadikan SJKT Ladang Rem sebagai Sekolah Bestari supaya menjadi model kepada sekolah lain. Walaupun jumlah pelajar sedikit, tetapi saya rasa kami boleh melakukannya.

"Setakat ini, kita tidak berdepan dengan masalah atau halangan, kalau membabitkan murid-murid itu biasa saja, saya terima (tingkah laku mereka) sebagai kenakalan bukan jahat dan kita boleh atasinya sebagai mana kita lakukan kepada anak-anak sendiri," katanya.

Paramaswary berkata, sekolah berkenaan sepatutnya boleh memuatkan 50 murid, tetapi secara purata pihak sekolah hanya menerima sekitar 29 murid saja setiap tahun.

Katanya, ketika ini pihaknya sedang dalam usaha memindahkan sekolah ke taman berhampiran, memandangkan kedudukannya ketika ini berada kira-kira enam kilometer (km) di dalam kawasan ladang.

Sementara itu, guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1) Suhaimi Ali Ahmad berkata, selepas tiga tahun diverifikasi sebagai SBT, akhirnya sekolah terbabit tersenarai dalam SBT bagi kohort empat.

"Saya mewakili sekolah amat bangga kerana dapat melakar satu sejarah untuk sekolah. Sebenarnya ini kali ketiga kami diverifikasi, pertama pada 2011 tidak berjaya, kedua pada 2012 dan tahun ini Alhamdulillah kami dapat menempatkan diri dalam kumpulan SBT. katanya.

16 penumpang bas tercampak, drebar maut

Rompin: "Bas ekspres dinaiki tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan pemandunya cuba memasuki laluan asal, tetapi tidak berjaya sebelum ia merempuh pembahagi jalan lalu terbalik.

"Semua penumpang tercampak daripada tempat duduk masing-masing dan mengerang kesakitan," kata Siti Nordiana Mohamad, 19, semalam.

Siti Nordiana yang juga penuntut Kolej Politeknik Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kota Bharu, Kelantan antara 16 penumpang bas ekspres Shamisha Holiday yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 158.9, Jalan Johor Bahru-Kuantan berhampiran Tanjung Gemuk.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, pemandu bas berkenaan, Ismail Ali, 59, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan, manakala semua penumpang cedera ringan.

Menceritakan detik kejadian, Siti Nordiana berkata, kira-kira setengah jam selepas berhenti rehat di Cherating, Pahang bas ekspres berkenaan meneruskan semula perjalanan.

"Kami bertolak dari Kota Bharu dan singgah di Rantau Panjang untuk mengambil penumpang sebelum terus ke Pasir Gudang, Johor.

"Sebaik melepasi pekan Rompin, Pahang bas beberapa kali seolah-olah tidak dapat dikawal, namun pemandunya tetap meneruskan perjalanan," katanya.

Menurut Siti Nordiana, dia berasakan pemandu bas ekspres berkenaan mengantuk sebelum bas yang bergerak laju itu tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.

Katanya, pemandunya cuba memasuki laluan asal sebelum merempuh pembahagi jalan lalu terbalik.

"Perasaan saya memang berdebar setiap kali bas terhuyung-hayang, namun tidak berani menegur pemandunya yang ketika itu sedang memandu laju.

"Pemandunya juga mungkin keletihan kerana tiada pemandu kedua sedangkan perjalanan sangat jauh," katanya.

Siti Nurul Syamihah Mohd Razali, 21, pula berkata, sebaik bas terbalik, dia bersama penumpang lain terus merangkak keluar sebelum dibantu anggota bomba dan polis serta orang ramai," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, siasatan mendapati, pemandu bas terbabit hilang kawalan selepas melalui satu selekoh sebelum merempuh pembahagi jalan berhampiran Stesen Petronas Tanjung Gemuk.

"Tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rompin dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

"Semua penumpang hanya mengalami luka kecil," katanya.

Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Pulai Chondong, Machang, Kelantan dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk dibedah siasat, manakala penumpang pula dirujuk ke Klinik Kesihatan Tanjung Gemuk dan Hospital Rompin," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Angkara tayar bas tercabut

Georgetown: Angkara tayar belakang tercabut, seorang pemandu bas sekolah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh penunggang motosikal menyebabkannya maut dalam kemalangan di Jalan Paya Terubong, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Tan Kay Heng, 53, maut di tempat kejadian apabila terperosok di bawah kereta yang turut dirempuh bas berkenaan.

Difahamkan, mangsa yang dalam perjalanan mengambil anaknya pulang dari kelas tambahan tidak sempat mengelak sebelum dirempuh dengan kuat oleh bas sekolah itu sebelum motosikalnya diseret.

Menurut sumber, ketika itu, mangsa dalam perjalanan dari Balik Pulau menghala ke Ayer Itam dan dikatakan mahu menjemput anaknya pulang dari kelas tambahan.

"Bagaimanapun, ketika di lokasi kejadian, sebuah bas yang membawa kira-kira 10 murid sebuah sekolah di Paya Terubong hilang kawalan ketika berada berhampiran lampu isyarat.

"Tayar belakang bas berkenaan tercabut menyebabkan pemandunya tidak dapat mengawal sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.

"Mangsa terperosok di bawah sebuah kereta yang diletakkan di tempat parkir berhampiran," katanya.

Difahamkan, pemandu bas sekolah terbabit dan 10 murid hanya cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati seorang wanita dipercayai isteri mangsa hanya mampu menangis sebelum ditenangkan orang ramai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

'Tetap bela maruah anak'

Ipoh: Selepas 60 hari berada di bilik mayat, jenazah Allahyarham Sherol Aizam, 27, yang dikatakan meninggal dunia kerana sesak nafas akibat tersepit pada tingkap pada 20 Julai lalu, akhirnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Gurap, Jalan Kuala Kangsar, di sini, pada jam 12 tengah hari, semalam.

Jenazah arwah selamat dikebumikan selepas mayatnya itu dituntut bapanya, Mohd Damanhuri Mohd Fuat, 50, di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, pada jam 11 pagi sebelum dibawa ke rumahnya di Taman Saz, Silibin, untuk disembahyangkan.

Menurut Damanhuri, keputusan itu dibuat selepas dia terbuka hati untuk mempertimbangkan segala pendapat daripada beberapa doktor pakar serta nasihat peguam peribadinya pada Isnin lalu.

"Keputusan itu dibuat dua hari lalu dan ia dilakukan tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.

"Malah, keputusan untuk membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan turut dibatalkan berikutan terpaksa mengambil tempoh agak lama," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Gurap, semalam.

Menurut Damanhuri, walaupun jenazah anaknya selamat dikebumikan, perjuangannya sebagai seorang bapa akan tetap diteruskan bagi membela maruah arwah.

"Wajib bagi seorang bapa membela maruah anaknya jika sudah tercalar. Malah, saya masih berpegang teguh pada bukti yang ada dalam simpanan kami," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh dua bulan ini, banyak pihak menuduhnya seperti sudah hilang akal dan tiada pegangan agama kerana sengaja melambatkan proses pengebumian.

"Namun hanya Tuhan saja yang tahu betapa seksanya kami sekeluarga menanggung dugaan ini.

"Saya tidak pernah pertikaikan pemergian arwah, namun cara kematian itu menjadi persoalan bagi kami," katanya.

Mengenai keputusan bedah siasat yang mendakwa anaknya mengambil dua jenis dadah, Damanhuri berkata, dia dan isterinya amat terkilan mendengar keputusan itu dan berharap keadilan mampu ditegakkan.

 

 

Hujan rahmat membasahi Makkah

MAKKAH: Setelah berbulan-bulan cuaca kering dan panas terik sehingga mencapai suhu 45 darjah celsius, umat Islam dari seluruh dunia yang berhimpun di Tanah Suci, semalam menadah tangan berdoa dan bersyukur apabila hujan turun selama kira-kira 10 minit pada waktu Maghrib.

Hujan renyai itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan debu di sekitar kawasan Masjidil Haram yang kini melalui kerja pengubahsuaian secara besar-besaran.

Seorang penduduk Makkah yang hanya mahu dikenali sebagai Jaafar berkata hujan renyai itu kali kedua turun sejak enam bulan Makkah dilanda cuaca panas dan kering.

Jutaan umat Islam kini mula membanjiri Makkah sebagai persiapan menunaikan ibadah haji yang dijadual bermula 14 Okt.

Sementara itu Pengurus Media Tabung Haji (TH), Mohamad Naser Jaafar berkata, kira-kira 9,000 jemaah haji Malaysia kini berada di Makkah dan Madinah.

Jemaah haji Malaysia yang berada di Madinah sedang memasuki Makkah secara berperingkat dan kesemua mereka akan berada di Makkah pada 29 Sept ini apabila kesemua 33 penerbangan dari Malaysia ke Madinah berakhir pada 20 Sept.

Mulai 21 Sept pula, kesemua penerbangan dari Malaysia mendarat di Jeddah untuk membawa jemaah haji terus ke Makkah dan penerbangan terakhir jemaah haji Malaysia ke Jeddah ialah pada 9 Okt. - Bernama

 

 

Chong Wei masih sandaran utama raih pingat emas Olimpik: Khairy

PUTRAJAYA: Bakat luar biasa yang dimiliki Datuk Lee Chong Wei menjadikan pemain nombor satu dunia itu terus menjadi sandaran utama bagi meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata daripada kaca mata beliau, Chong Wei merupakan atlet yang mempunyai keistimewaan tersendiri, biarpun usia jaguh badminton negara itu sudah melepasi 30-an.

Pada masa sama, Khairy berkata beliau tidak mahu meletakkan harapan seratus peratus kepada acara badminton kerana percaya atlet sukan lain turut mampu meraih pingat emas negara pada temasya sukan terbesar dunia itu.

"Saya bukan sentimental tetapi tidak dinafikan Chong Wei masih ada peluang. Saya sendiri bercakap dengan beliau (Chong Wei)...ada sesuatu yang istimewa tentang Chong Wei.

"Atlet seperti beliau hanya datang mungkin dua atau tiga generasi sekali. Pada Olimpik akan datang, usianya 33 tahun dan beliau pernah beritahu saya, jika kondisi badan dapat dijaga dengan baik, mungkin peluang memberikan pingat emas itu ada," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya di sini.

Sejak Malaysia menyertai Olimpik pada 1956, hanya beregu Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (Atlanta 1996) dan Chong Wei (Beijing 2008) yang hampir memberikan pingat emas pertama negara pada temasya itu, namun hajat mereka tersekat di peringkat akhir untuk sekadar meraih perak.

Dua beradik Razif-Jalani Sidek menyumbang pingat Olimpik pertama kepada Malaysia semasa temasya 1992 di Barcelona apabila meraih gangsa manakala adik mereka, Rashid Sidek memenangi gangsa dalam acara perseorangan.

Untuk rekod, kesemua pingat yang dimenangi Malaysia pada temasya Olimpik adalah menerusi acara badminton sehinggalah pada Sukan Olimpik London 2012, ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg memecah tradisi apabila muncul penyumbang pingat gangsa dalam acara terjun 10 meter platform wanita.

Dalam pada itu, Khairy berkata kementerian akan memberi fokus dalam pelbagai aspek terhadap atlet sukan lain seperti berbasikal, terjun dan memanah bagi memastikan mereka benar-benar bersedia bersaing di pentas berprestij itu.

Beliau berkata atlet Olimpik seperti Khairul Anuar Mohamad daripada sukan memanah, pelumba trek Mohd Azizulhasni Awang dan Josiah Ng serta Pandelela mempunyai potensi besar meraih pingat emas pada temasya akan datang di Brazil.

"Khairul Anuar mempunyai masa depan cerah dan memanah ialah satu daripada lapan sukan pilihan yang dikenal pasti untuk program 'Road to Rio'. Azizul, Josiah dan Pandelela, mereka masih muda dan mempunyai banyak masa untuk bersaing di peringkat paling tinggi," katanya.

Selain tumpuan meraih pingat emas, Khairy berkata kementerian turut menyenarai 54 atlet daripada 11 jenis sukan yang mempunyai peluang cerah menyumbang pingat kepada negara pada temasya Olimpik, dalam program 'Road to Rio 2016'.

Sebelas jenis sukan di bawah program itu ialah acara yang pernah menyaksikan penyertaan atlet negara pada temasya Olimpik lepas iaitu akuatik, angkat berat, berbasikal, badminton, gimnastik, hoki lelaki, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan sukan layar.

Program 'Road to Rio 2016' adalah kesinambungan daripada program 'Road To London 2012', yang bertujuan mencari pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik dengan peruntukan sebanyak RM50 juta. - Bernama

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment