Tuesday, September 3, 2013

RG2011... Minyak di Sinar Harian TH 040913

 

 

Caj pengangkutan meningkat sehingga 5 peratus

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 4, 2013

ALOR SETAR - Kenaikan harga minyak jenis RON95 dan diesel sebanyak 20 sen berkuat kuasa semalam akan meningkatkan caj perkhidmatan pengangkutan perdagangan antara empat hingga lima peratus.

Presiden Persatuan Pengusaha Pengangkutan Perdagangan Wilayah Utara, Datuk Yusoff Ismail berkata, kenaikan itu memberi impak besar kepada syarikat pengangkutan perdagangan termasuklah pengusaha bas ekspres.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pengusahanya menaikkan tambang atau sewa perkhidmatan pengangkutan bagi mengelakkan kerugian kerana terpaksa menanggung kos kenaikan bahan api.

"Pengusaha pengangkutan perdagangan terpaksa menanggung kos kenaikan bahan api yang lebih membebankan dan mereka berkemungkinan menaikkan tambang atau kadar sewa kos perkhidmatan pengangkutan.

"Saya terima laporan daripada pengusaha syarikat pengangkutan perdagangan, bahawa mereka jangka caj perkhidmatan pengangkutan perdagangan akan naik sebanyak 4 hingga 5 peratus," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Yusoff berkata, kenaikan harga minyak itu juga sekali gus akan meningkatkan harga barangan lain.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Pengguna Kedah (Cake) berkata, barangan lain secara langsung membabitkan kebergantungan kepada kos pengangkutan untuk proses pengedaran dan penghantaran.

 

 

Peniaga diberi amaran tak naik harga barang

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberi amaran kepada semua peniaga agar tidak menaikkan harga barang kawalan sesuka hati berikutan kenaikan harga minyak RON 95 serta diesel sebanyak 20 sen seliter mulai hari ini.
   
Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata seramai 1,845 pegawai penguat kuasa di seluruh negara serta 1,701 pegawai pemantau harga sudahpun melakukan pemantauan bagi memastikan tiada peniaga memanipulasi kenaikan harga minyak.
   
Beliau berkata kementerian amat tegas dalam menangani masalah itu dan bertindak berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
   
"Saya akan memberi nasihat terlebih dahulu kepada peniaga yang ingkar, tetapi kalau tidak ikut, saya akan beri amaran dan mengambil tindakan kalau masih berdegil," katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Sijil Penilai Harta Intelek kepada tujuh penerima di sini hari ini.
   
Hasan juga berkata kenaikan harga barangan tidak sepatutnya berlaku kerana dari segi bekalan, semuanya mencukupi. - Bernama

Turun subsidi bahan api, cara kurangkan defisit

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

KUALA LUMPUR - Keputusan merasionalisasikan subsidi bahan api merupakan usaha permulaan untuk mengurangkan defisit fiskal negara, kata ketua ekonomi Malaysia Rating Corp (MARC), Nor Zahidi Alias.

Beliau berkata penurunan subsidi sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha menangani sebahagian daripada beban kewangan yang kian meningkat.

"Penurunan subsidi itu juga akan mengurangkan tekanan daripada agensi penarafan antarabangsa yang sentiasa memantau secara dekat rancangan jangka panjang kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan," kata beliau kepada Bernama.

Semalam, kerajaan telah menurunkan subsidi bahan api dengan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen, berkuat kuasa hari ini.

Langkah itu dijangka dapat menjimatkan RM1.1 bilion untuk tahun ini dan RM3.3 bilion setiap tahun untuk kerajaan, yang sekali gus boleh membantu mengurangkan defisit fiskalnya.

Sebelum pengumuman kenaikan harga bahan api, kerajaan telah memperuntukkan RM24.8 bilion untuk subsidi bahan api tahun ini.

Nor Zahidi berkata dengan langkah-langkah ini, seperti garis panduan pinjaman lebih ketat yang telahpun diambil untuk mengurangkan hutang isi rumah, negara boleh menjangkakan impak ke atas pertumbuhan boleh dilihat dalam suku ketiga.

Beliau berkata kuantum kenaikan harga petrol iaitu 20 sen amat penting kerana kenaikan yang signifikan akan memberikan kesan yang hebat kepada penggunaan persendirian, terutamanya ketika ekonomi telah sedia lembap.    

"Saya percaya usaha kerajaan untuk mengurangkan subsidi akan secara umumnya dilihat positif oleh kedua-dua pelabur antarabangsa dan agensi penarafan," tambah beliau.

Sementara itu, pakar ekonomi Dr Jorah Ramlan berkata penurunan subsidi petrol dan diesel merupakan langkah yang sesuai kerana ia akan membantu mengurangkan defisit negara.

Beliau bagaimanapun mengingatkan yang kerajaan seharusnya sedar dengan menaikkan harga petrol, ia akan secara automatik akan meningkatkan harga barangan dan produk.

"Untuk kesan jangka panjang, kerajaan berbuat sesuatu yang baik untuk rakyat.

"Bagaimanapun, kerajaan juga perlu fikirkan kesan ke atas kumpulan berpendapatan rendah yang akan membebankan mereka," katanya.

Jorah berkata kumpulan berpendapatan rendah tidak boleh bertahan di bawah situasi semasa dan lambat laun mereka mungkin akan mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

"Saya tidak fikir kumpulan berpendapatan tinggi akan berhadapan dengan masalah sekiranya subsidi dikurangkan. Saya lebih bimbangkan kumpulan berpendapatan rendah kerana harga produk isi rumah akan naik dan ahli perniagaan pula mengambil peluang untuk mengaut keuntungan," kata Jorah sambil menambah yang kerajaan seharusnya memantau secara aktif ke atas perniagaan.

Jorah menambah kerajaan boleh menjimatkan banyak wang dengan menurunkan subsidi petrol dan berharap kerajaan akan menggunakannya untuk membangunkan infrastruktur lain di dalam negara. – Bernama

Cara Najib urus ekonomi lemah, bidas PKR

Oleh: MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

Tarikh: September 3, 2013

PETALING JAYA - PKR hari ini menyifatkan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga petrol bagi RON95 dan diesel naik 20 sen sebagai kegagalan Perdana Menteri mentadbir ekonomi negara dengan baik.
 
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, jika dilihat kepada perkembangan terbaru ekonomi serantau dan kedudukan kewangan negara yang semakin lemah, timbul pelbagai keraguan negatif terhadap perdana menteri untuk mentadbir ekonomi negara.

"Kalau kita lihat kepada laporan Fitch, prospek ekonomi negara telah menjadi negatif iaitu  pertama kali ia berlaku dalam sejarah negara yang melihatkan kadar kebergantungan negara yang semakin tinggi tanpa ada jalan penyelesaian.

"Mata wang ringgit telah hilang nilainya dan susut mendadak dalam tempoh sebulan yang lepas serta pertumbuhan ekonomi negara yang tidak mencapai sasaran sejak 15 tahun berturut-turut," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
 
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan menaikkan harga bahan api itu sebagai salah satu langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Namun menurut Rafizi, kerajaan perlu membuat satu pelan ekonomi yang menyeluruh bagi menangani tiga masalah utama ekonomi negara .

"Saya berharap Perdana Menteri dapat menangani masalah keberhutangan kerajaan yang tinggi sehingga menjejaskan masa depan negara.

"Menangani keborosan kerajaan berbelanja sehingga melebihi pendapatan (belanjawan defisit) selama 15 tahun berturut-turut.

"Serta meningkatkan daya saing ekonomi negara yang semakin malap," katanya.

Oleh itu, Rafizi menyifatkan tindakan menaikkan harga minyak tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi negara sebaliknya memberi bebanan berganda terhadap rakyat.

"Fakta-fakta ekonomi telah membuktikan bahawa tindakan menaikkan harga minyak tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi.

"Sebaliknya akan memberi kesan kepada golongan sederhana dan miskin," katanya.

 

'Ubah suai' perbelanjaan, bersedia kesan subsidi

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia mulai sekarang harus menanam di fikiran dan bersedia bahawa subsidi kerajaan akan berkurangan dan langkah pengurangan itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dari masa ke masa.
    
Kerajaan yang kini memperuntukkan subsidi kira-kira RM30 bilion bagi tahun ini meliputi barangan asas, pada semalam telah mengurangkan subsidi bermula dengan petrol RON95 dan diesel sebanyak RM1.1 bilion.
    
Subsidi bahan api merupakan komponen terbesar dengan peruntukan kira-kira  RM24 bilion setahun.
    
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata penyelarasan subsidi sudah lama diuar-uarkan oleh kerajaan dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.
    
Bercakap kepada Bernama hari ini Mohd Yusof berkata pengguna sewajarnya sudah bersedia menerima kesan ekoran penurunan subsidi ketika ini dan di masa hadapan.
    
Namun katanya, penerangan berkaitan kewajaran subsidi itu diturunkan dan dasar-dasar kerajaan bagi meningkatkan ekonomi haruslah sampai hingga mencecah ke peringkat akar umbi.
    
Seorang pemerhati pasaran pula berkata rakyat Malaysia harus mula "mengubah suai" perbelanjaan mereka dengan mengandaikan harga petrol RON95 seolah-olah kini "benar-benar" berada pada harga pasaran iaitu harga tanpa
subsidi.    

Tambahan pula harga petrol bersubsidi ketika ini sudah menghampiri harga pasaran sebenar, hanya kurang 63 sen seliter, kata pemerhati itu yang enggan dikenali.
    
Dengan perbelanjaan "ke hadapan" sebegini, katanya pengguna tidak akan merasa terjejas setiap kali peningkatan harga petrol berlaku berikutan pengurangan subsidi secara berperingkat.
    
Sementara itu, ungkapan "Bersyukurlah Malaysia masih aman" kelihatan digunakan di media sosial bagi satu pihak yang membantu menjawab kritikan terhadap kerajaan berikutan keputusan menurunkan kadar subsidi semalam.
    
Ia juga dilihat sebagai ungkapan "memujuk hati" bagi pihak sama walaupun keputusan subsidi dikurangkan itu turut dirasai oleh mereka sendiri.
    
Seorang pengguna Facebook menulis : "Rakyat masih boleh keluar bekerja, masih memiliki pekerjaan, tawaran kerja masih diiklankan, malah ada yang begitu "marketable" (diterima pasaran) hingga boleh bertukar-tukar pekerjaan dalam tempoh kurang setahun."
    
Pengguna itu merujuk kepada perkembangan di Timur Tengah yang menyaksikan beberapa negara dan ekonomi runtuh akibat krisis dalaman. - Bernama

Menteri: Harga naik elak kesan lebih buruk

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

NANNING - CHINA. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta rakyat supaya bersabar dan memahami bahawa tindakan kerajaan mengurangkan subsidi bertujuan mengelak kesan yang lebih buruk atau "meletup" pada masa depan.

"Rakyat kena bersabar dan faham apa yang kita buat, semuanya semata-mata untuk kebaikan rakyat dan kerajaan. Kalau kita teruskan (subsidi), akan bagi kesan yang lebih serius kepada negara," katanya.

Beliau berkata kerajaan memberi subsidi untuk barangan keperluan seperti tepung, minyak masak, tong gas dan sebagainya, namun kerajaan mesti mengawal defisit yang boleh menjejaskan penarafan kredit Malaysia.

"Apabila defisit kita bertambah, penarafan kita menurun, persepsi negara negatif, dan  ini akan menjejas pelaburan masa depan dan menyusahkan cucu-cicit kita, kata Mustapa pada sidang media selepas perbincangan dengan peserta pameran Malaysia pada Ekspo China-Asean ke-10 (CAEXPO).

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa pada Selasa.

Mustapa berharap tindakan mengurangkan subsidi ini tidak memberi kesan yang terlalu besar kepada rakyat.

"Kita akan mengurangkannya secara perlahan-lahan," katanya.

Beliau berkata kerajaan membelanjakan RM20 bilion setahun ke atas subsidi minyak dan gas, yang merupakan angka yang besar.

"Kita bukannya tak boleh beri subsidi... kerajaan akan terus bagi subsidi, namun jumlahnya kena dikawal," katanya.

Pada Julai, agensi penarafan dunia Fitch Ratings menyemak unjuran penarafan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif. – Bernama

Orang ramai sensitif kenaikan harga minyak

Oleh: FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN

Tarikh: September 3, 2013

Dalam mana-mana kerajaan di dunia, kenaikan harga barangan asas mempunyai hubungan rapat dengan populariti kerajaan.

Semakin naik harga dan kos hidup, semakin tidak popular sesebuah kerajaan.

Dan dalam banyak-banyak keperluan asas, harga makanan dan petrol antara yang paling sensitif kepada pengguna.

Buktinya, di negara seperti Indonesia dan Greece, kenaikan harga barangan menyebabkan rakyat yang berasa hidup mereka terhimpit memprotes dan bertindak hingga menjejaskan imej negara dan populariti kerajaan.

Namun, kerajaan Malaysia semalam mengejutkan rakyat apabila menaikkan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak RM0.20 seliter bermula hari ini.

Mengapa harga petrol yang perlu dinaikkan, atau dikurangkan subsidinya?

Kesan kenaikan harga petrol terlalu besar, jika dibandingkan dengan barangan lain. Bukan sahaja kos perjalanan harian meningkat, tetapi akan menyebabkan kenaikan harga makanan, bahan binaan dan kos kesihatan.

Sebabnya? Semua barangan memerlukan petrol untuk pengangkutan.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia tahun lalu menunjukkan kenaikan lima peratus harga petrol dan diesel akan sebabkan kesan negatif semua faktor ekonomi seperti keluaran dalam negara kasar (KDNK), inflasi, perbelanjaan isi rumah, pengambilan pekerja, import dan eksport. Kenaikan hari ini adalah 10 peratus.


Kesan keputusan tidak popular

Ramai masih ingat, pada 5 Jun 2008, kerajaan di bawah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi naikkan harga petrol 41 peratus daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter.

Harga diesel pula naik daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter, iaitu kenaikan sehingga 63 peratus kerana krisis ekonomi yang melanda dunia pada masa itu dikatakan menyebabkan kerajaan tidak mampu menanggung subsidi petrol.

Walaupun harga petrol kemudiannya kembali diturunkan, reputasi Abdullah sebagai pemimpin tidak berjaya dipulihkan. Abdullah meletak jawatan pada 2009 selepas memegang jawatan nombor satu itu selama enam tahun.

Jadi, semalam, semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak umumkan kenaikan itu, ramai bertanya: Kenapa harga petrol yang perlu dinaikkan?

Dilihat pula pada kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini menggambarkan kerajaan boleh terus memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehingga RM1,000, menimbulkan kekeliruan mengenai kewangan negara.

Tentu rakyat musykil bagaimana kerajaan akan mampu memberi BR1M hingga RM1,000 setiap tahun sedangkan subsidi petrol dan diesel yang melibatkan hampir seluruh 28.5 juta rakyat tidak dapat dipertahankan.

Tetapi menurut Najib, semalam, kenaikan harga minyak adalah proses pengukuhan ekonomi bagi jangka pendek dan sederhana, yang akhirnya akan memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat.


Rakyat perlu bijak uruskan perbelanjaan

Dalam buku bertajuk 'Subsidi dan Bantuan Kerajaan: Memakmur Negara' diterbitkan Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia Februari lalu, kerajaan menjelaskan jenis dan jumlah subsidi yang ditanggung bagi barangan untuk kegunaan rakyat seperti petrol, gas, tepung, gula dan minyak masak.

Menurut buku penerangan itu, kerajaan berusaha memastikan perbelanjaan hidup rakyat tidak terjejas dengan kenaikan harga produk petroleum dan barangan keperluan di Malaysia, jadi subsidi diberikan bagi barangan-barangan tersebut.

"Namun begitu, jumlah subsidi dan bantuan kepada rakyat perlu dihadkan pada tahap yang munasabah agar perbelanjaan kerajaan dapat dimanfaatkan secara lebih adil dan digunakan untuk pelbagai tujuan demi kebaikan rakyat secara keseluruhan.

"Subsidi dan bantuan lain yang diberikan oleh kerajaan adalah untuk meringankan beban kewangan rakyat. Pada masa yang sama, rakyat sendiri perlu mengurus perbelanjaan mereka dengan bijak selaras dengan kemampuan masing-masing," menurut buku tersebut.

Jadi, bagi yang menyokong kenaikan ini, mereka percaya pengguna perlu lebih bijak mengurus perbelanjaan dan menerima penarikan subsidi sebagai tidak dapat dielakkan dalam proses Malaysia menjadi negara maju.

Tetapi bagi yang tidak gembira dengan kenaikan ini, mereka akan berpendapat kerajaan perlu lebih bijak mengurus kewangan negara.

Anwar: Negara pengeksport minyak patut turun harga

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 3, 2013

SHAH ALAM - Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sebagai sebuah negara pengekspot sepatutnya mampu menurunkan harga minyak.

Namun, beliau mendakwa amalan boros Kerajaan BN telah menyebabkan rakyat terbeban.

"Hentikan pembaziran dan rasuah.

"Malaysia ekspot minyak!," tulisnya laman sosial mikro Twitternya malam tadi.

Beliau berkata sedemikian sebagai respons terhadap pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa harga minyak RON 95 serta diesel dinaikkan 20 sen seliter, berkuat kuasa tengah malam tadi.

Menurut Najib, langkah yang diambil adalah sebagai sebahagian langkah penyusunan semula subsidi yang akan dilaksanakan secara berperingkat oleh kerajaan.

Berikutan itu, RON 95 kini dijual pada harga RM2.10 seliter manakala diesel RM2 seliter.

Langkah itu katanya, telah diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC)semalam adalah antara inisiatif ke arah mengukuhkan kedudukan kewangan negara dalam berdepan persekitaran ekonomi dunia yang semakin mencabar.

Subsidi petrol, diesel 'lipat ganda' beban rakyat

Oleh: JAMILAH HAMZAH

Tarikh: September 3, 2013

SHAH ALAM – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpendapat, pengurangan subsidi  harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen itu akan "melipat gandakan" bebanan terhadap rakyat.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata, pengumuman  tersebut bukan hanya memberi kesan kepada pemilik kenderaan persendirian dan awam tetapi turut  melibatkan kenaikan harga barangan keperluan asas yang lain.

Menurutnya, kenaikan harga tersebut akan menambahkan beban kepada golongan berpendapatan rendah dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Kenaikan harga ini memang mengejutkan semua pihak, tetapi bagi pihak kerajaan ia mungkin berguna.

"Saya lihat perkara ini akan menambah beban kepada rakyat sekiranya tidak diadakan langkah lain bagi mengurangkan beban itu," katanya kepada Sinar Harian Online.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan subsidi bagi petrol RON95 dan Diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter bermula esok.

Tambah Dr Maamor, susulan pengumuman kerajaan itu, majikan, pengusaha dan pengguna perlu bijak menghadapi perkara tersebut.

"Tiga pihak ini perlu ambil langkah dan mencari alternatif untuk terus dibelenggu beban selepas harga minyak naik yang secara tidak langsung ada pihak akan mengambil kesempatan menaikan harga barang," katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu mewujudkan kad khas kepada penunggang motosikal dan pemandu kereta tempatan dengan memberi rebat selain memberi subsidi kepada pengusaha yang membekal barangan pengguna mengikut terma dan syarat.

Tambah beliau lagi, bagi majikan-majikan, mereka perlu mengkaji semula elaun petrol dan elaun yang berkaitan supaya dapat membantu meringankan beban pekerja.

"Bagi pihak pengguna pula, mereka perlu melaksanakan semula cadangan "car pool" dan menggunakan kenderaan ditempat yang perlu sahaja," katanya.

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) turut mengakui kenaikkan harga petrol dan diesel ini turut akan memberi kesan kepada semua pihak.

Timbalan Presidennya, Muhammad Shaani Abdullah berkata, keputusan kerajaan itu perlu diikuti dengan program-program jaringan sosial yang dapat membantu meringankan beban pengguna atau rakyat.

Beliau berkata, kerajaan boleh mengurangkan harga tambang kenderaan awam dan sebagainya yang dapat meringankan beban pengguna perkhidmatan tersebut.

"Pengumuman untuk menaikan harga Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) itu tidak cukup.

"Rakyat sudah tidak hairan.

"Apa yang rakyat mahu ialah bagaimana kerajaan menangani dan membantu meringankan beban rakyat.

"Kerajaan perlu duduk dan kira balik apa perkara susulan perlu dibuat selain meningkatkan jumlah BR1M," tegasnya.

Harga minyak: Keputusan memeranjatkan

Oleh: SITI AISAH HABIRIN & NORUTUL ILHAM MAD JARI

Tarikh: September 3, 2013

SHAH ALAM – Pengumuman kenaikan harga diesel dan minyak petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter mulai tengah malam tadi memeranjatkan dan dijangka meningkatkan kos terhadap pengusaha serta pengguna di negara ini.

Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Abu Samah Bachik berkata, pihaknya tidak dimaklumkan awal mengenai kenaikan itu dan pengumuman tersebut sememangnya sesuatu yang tidak diduga.

"Pada mulanya kami hanya dengar khabar angin dan anggap ia tidak betul. Kami tidak menjangkakan kenaikan yang begitu mendadak dan kadar 20 sen itu memang banyak dan akan membebankan pengusaha stesen minyak kerana kita perlu mengeluarkan modal lebih untuk membeli stok minyak.

"Kos operasi stesen minyak juga akan meningkat akibat kenaikan itu dan sudah pastinya pengguna juga akan terbeban kerana kos sara hidup mereka meningkat," katanya kerajaan perlu cari mekanisme terbaik membantu rakyat walaupun dalam keadaan ekonomi tidak seimbang sebelum menaikkan harga petrol.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman turut terkejut kerana dalam keadaan ekonomi tidak stabil, pastinya akan memberikan kesan kepada golongan berpendapatan rendah.

"Kerajaan diharapkan jangan hanya tahu menaikkan harga minyak, sebaliknya mesti mencari kaedah lain membantu rakyat," katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau menyarankan kerajaan menggunakan kaedah lain seperti memperkenalkan kad rebat kepada rakyat.

"Saya cadangkan supaya kerajaan berikan kelebihan kepada individu yang menggunakan kereta nasional dan pengguna motosikal supaya mendapat harga berlainan bagi membantu mereka.

"Ini kerana jika diberikan harga murah, semua dapat menikmatinya tidak mengira sama ada golongan kaya atau miskin," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap rakyat bijak mengatur perjalanan bagi mengelakkan penggunaan petrol yang tinggi. 

"Sebagai pengguna, kita kena bijak dan mencari kaedah untuk mengelakkan pembaziran penggunaan petrol.

"Walaupun kita kecewa, tapi kita tetap tidak boleh membiarkan perkara itu membelenggu hidup, jadi jalan terbaik amalkan kongsi kereta dan kerap gunakan kenderaan awam," katanya.

Pas: Pemberian BR1M bukan penyelesaian

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 3, 2013

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dengan meningkatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukanlah penyelesaian kepada kenaikan harga barangan.

Katanya, sekiranya BR1M diberi pada kadar maksima RM1,200 untuk setahun, sebulan baru RM100.

"Hanya rakyat tahu betapa kecilnya nilai wang RM100 hari ini terutama apabila harga barangan dinaikkan dengan alasan nilai import meningkat kerana matawang Ringgit Malaysia (RM) mengecil dan kenaikan harga minyak.

"Oleh itu, Pas menyeru kerajaan BN menggunakan kuasa yang ada bagi mengawal kenaikan harga barangan khususnya selepas kenaikan harga minyak yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Najib mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula tengah malam tadi.

Tambah Tuan Ibrahim, Najib harus mengingati peristiwa kenaikan minyak ke RM2.70 di zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyebabkan kos barangan dan sara hidup melonjak secara mendadak.

Malah katanya, lonjakkan harga barangan tersebut telah kekal sehingga ini walaupun harga minyak diturunkan ke paras RM1.90.

"Rakyat sanggup bersusah-payah bersama kerajaan kalau kerajaan menunjukkan pembetulan pada sikap borosnya yang keterlaluan.

"Mudah untuk Perdana Menteri berkata inflasi masih terkawal tapi hakikatnya RM sedang jatuh merudum dan ditambah dengan konflik politik Timur Tengah yang tidak stabil.

"Apakah kerajaan BN, terutamanya Perdana Menteri menjamin inflasi boleh dikekalkan pada paras yang selesa dengan keputusannya menaikkan harga minyak?," katanya.

Ujar beliau lagi, selepas PRU13 hingga kini, keadaan ekonomi negara tidak banyak berubah dan langkah meningkat RM masih belum kelihatan.

 Oleh itu katanya, kenaikan harga minyak ini sememangnya tindakan memukul diri sendiri kerana ia bakal melonjakkan inflasi tatkala RM semakin mengecil.

Minyak dan naik minyak

Oleh: Haji Joe Osama

Tarikh: September 3, 2013

ANTARA sebab utama kejatuhan kerajaan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah ialah menaikkan harga minyak.

Pak Lah dilihat lemah apabila tidak dapat berbuat sesuatu dalam membendung kenaikan harga minyak ini. Rakyat bangkit dan membenamkannya dengan menafikan majoriti 2/3.

Sejarah ini haruslah menjadi ikhtibar yang berguna kepada Perdana Menteri, Datus Seri Najib Tun Razak yang dilihat memang mahu ke lubang yang sama dengan Pak Lah.

Dari segi politiknya Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah boleh mula membayangkan memakai baju melayu hitam untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang baru.

Namun Muhyiddin perlu lebih efisien mengorak langkahnya agar tidak tersunggkur sebelum Najib benar-benar rebah.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya mengekalkan kerajaannya kerana hampir keseluruhan zamannya minyak hanya naik pada kadar yang sangat minimun.

Zaman emas inilah di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan. Mereka berdua sama sama menegakkan yang kebaikan ekonomi waktu itu angkara masing masing.

Takpalah sapa yang bertanggungjawab asalkan rakyat yang memperolehi keuntungan.

Bagi pihak PR pula, inilah waktunya. Anwar yang pada waktu ini sudah agak sejuk perlu memasang kembali enjin 'PMnya'.

Inilah masa yang agak sesuai untuk menghentam kerajaan Najib dan menyediakan laluan kepada pemimpin pelapis selepasnya.

Anwar sudah tidak releven untuk jawatan PM lagi jika PRU berlaku dalam tempoh empat tahun lagi. Oleh itu Anwar perlu berjiwa besar menyediakan tapak ke arah itu.

Pas sendiri perlu sedikit kuasa untuk menguasai pakatan. Kuasa itu mungkin hanya akan bangkit selepas muktamar ini.

NGO dan aktivis juga boleh memulakan sesuatu. Mungkin Bersih ialah antara wadah yang paling berjaya setakat ini dalam menghimpunkan manusia.

Namun dalam masa yang dekat ini satu NGO yang berkaitan kenaikan harga minyak dan barangan perlu di lahirkan dan digagahkan.

Isu kenaikam ini agak menyentuh kesemua pihak. Ianya baru bermula semalam. Kenaikan harga minyak ini mengundang kepada kenaikan barangan, tiket atau tambang dan serba perkara lagi.

Kenaikan yang tidak seimbang dengan kenaikan gaji ini bisa menjadikan rakyat lebih payah dan sakit. Hanya manusia yang payah dan sakit mampu melawan.

Ayuh mulakan langkah masing masing! Perlawanan baru bermula.



Haji Joe Osama
Penyelaras SAMM Kelantan

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment